Category: Politik

  • SPR perlu lanjut tempoh daftar pengundi pos – Saifuddin Nasution

    SPR perlu lanjut tempoh daftar pengundi pos – Saifuddin Nasution

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan individu berada di luar negara yang layak mengundi diberikan hak tersebut.

    Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh sembilan hari yang diberikan SPR adalah amat singkat dan masih ramai pengundi yang belum berdaftar sebagai pengundi pos.

    “Saya mengikuti beberapa laporan berita yang berkata ramai pengundi Johor yang berada di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos.

    “Berdasarkan satu laporan media, dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut meminta SPR untuk lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial.

    SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.

    Permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka dari 9 hingga 18 Feb. Permohonan boleh dilaksanakan secara dalam talian. – BERNAMA

  • Tamatkan kegilaan politik UMNO pada PRN Johor

    Tamatkan kegilaan politik UMNO pada PRN Johor

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan sebagai titik penamat terhadap kegilaan politik UMNO yang dikatakan rakus dan tamak kuasa.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO sedang melakukan kerosakan terhadap negara dengan merealisasikan Teori Domino di seluruh negara.

    Beliau mendakwa, UMNO akan mengadakan PRN di negeri lain sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRN Johor dan situasi itu akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kesan dan implikasi PRN Johor akan dirasai seluruh rakyat Malaysia. Ini akan merosakkan satu negara. Mereka menggunakan Teori Domino dengan bermula di Melaka, apabila (kerajaan negeri) jatuh, maka akan jatuh satu lagi dan seterusnya.

    “Jadi bermula pada PRN Johor kita harus menghentikan Teori Domino ini dan pastikan tiada negeri yang akan terus jatuh lagi,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di DUN Machap, Simpang Renggam, malam tadi.

    wan saiful wan jan
    Wan Saiful Wan Jan melancarkan jentera PN bagi PRN Johor dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di DUN Machap, Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.

    Wan Saiful menambah, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan dan alasan kekurangan majoriti kerusi adalah tidak berasas sama sekali.

    Beliau memberi contoh, kerajaan negeri Kelantan yang diperintah PAS pernah mengalami situasi yang sama seperti di Johor.

    “PAS pernah alami situasi yang sama di Kelantan apabila menang PRU pada 2004 dengan dua kerusi majoriti. Salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia setahun.

    “Maka tinggal seorang sahaja ADUN dan yang ‘best’ pulak tu, ADUN PAS yang menang itu hanya dengan majoriti dua undi tetapi dari tahun 2005 hingga 2008, kerajaan pimpinan PAS kekal sampai tiba masa DUN dibubarkan.

    “Kerajaan negeri Kelantan masa itu tidak pernah sebut kerajaan tidak stabil. Ini menunjukkan UMNO (di Johor) tidak pandai menguruskan negeri, dahla tak tau bodoh sombong pulak tu, tak tahu tanyalah,” katanya.

  • Mazlan Bujang sahkan terima tawaran masuk Warisan

    Mazlan Bujang sahkan terima tawaran masuk Warisan

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengesahkan beliau menerima tawaran untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

    Walau bagaimanapun, bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

    “Memang ada (terima tawaran) tetapi saya masih tunggu dan lihat…tengok keadaan macam mana,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Sebelum ini, timbul spekulasi mengaitkan beliau dengan Warisan selepas gambarnya dikatakan tersiar seketika di skrin besar pada majlis pelancaran Warisan di Johor, Selasa lalu.

    Mazlan mengesahkan kepada FMT bahawa memang beliau menghadiri majlis anjuran Warisan itu.

    “Saya dulu kawan lama dengan dia (Shafie) dalam UMNO… saya dijemput, saya datanglah sebagai kawan. Masuk tak masuk (Warisan) itu nombor dua,” jelasnya.

    Mazlan turut menafikan dakwaan beliau meninggalkan Bersatu kerana ditawarkan jawatan atau pencalonan oleh UMNO.

    Malah, beliau menganggap kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

    “Oh tidak tidak… saya takkan sertai UMNO. Saya nak tolak tohmahan kononnya saya keluar (Bersatu), UMNO yang beri duit,” katanya.

    Pada 27 Januari lalu, Mazlan telah mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain termasuk pemegang jawatan sebagai ketua cawangan dan ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau.

    Mazlan berkata lagi, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun akan memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

  • PRN Johor:Amanah tidak campur tangan isu kerusi PKR-Muda

    PRN Johor:Amanah tidak campur tangan isu kerusi PKR-Muda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    NAIB Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat menyelesaikan isu rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan baik.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, semangat kerjasama dalam PH akan menjadi panduan kepada PKR dan Muda bagi mencari jalan penyelesaian sebelum tarikh penamaan calon pada 26 Febuari ini.

    “Atas semangat PH, saya yakin Muda dan PKR dapat selesaikan rundingan pembahagian kerusi dengan baik. Pada pandangan saya biarlah PKR dan Muda selesaikannya bersama.

    “Saya juga percaya apa juga isu yang berlaku dapat diselesaikan kerana banyak lagi masa sebelum tarikh penamaan calon PRN Johor,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi PRN Johor di Hotel Thistle, hari ini.

    Hadir sama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

    Hari ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan kerjasama politik dengan PKR sedia untuk diteruskan meskipun parti itu mengumumkan 20 calon mereka akan bertanding pada PRN Johor kali ini.

    Sementara itu, Salahuddin menafikan dakwaan PH terlalu bergantung dengan DAP pada PRN Johor.

    “Itu tuduhan lama, apabila kita bersama-sama dalam PH itu juga tuduhannya. Namun kita yakin dengan kerjasama DAP ini ia berikan keberhasilan iaitu mencapai kemenangan di DUN dan Parlimen,” katanya.

    Salahuddin yang juga calon Amanah bagi kerusi DUN Simpang Jeram berkata, lapan calon muka baharu yang ditampilkan menjadi bukti Amanah sebuah parti yang releven, progresif dan mampu memikat pengundi.

    “Daripada 16 calon yang diumumkan, lapan daripada mereka merupakan muka baharu gandingan orang muda dan senior. Saya yakin kombinasi calon yang diumumkan ini akan menarik perhatian pengundi.

    “Selain itu, calon yang dipilih telah dibuat tapisan oleh parti termasuk di peringkat polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi,” katanya.

  • Salahuddin Ayub antara 16 calon Amanah dalam PRN Johor

    Salahuddin Ayub antara 16 calon Amanah dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan seorang daripada 16 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Salahuddin akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Selain Salahuddin, tiga calon ‘heavyweight’ Amanah lain iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan timbalannya, Dzulkefly Ahmad turut bertanding semula.

    Suhaizan akan bertanding di kerusi DUN Pulai Sebatang yang sebelum ini disandang Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Taqiuddin Cheman.

    Aminolhuda (Parit Yaani) dan Dzulkefly (Kota Iskandar) bertanding kerusi dimenangi pada PRU-14.

    Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan barisan calon parti tersebut dalam di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

    Mohamad turut mengumumkan lapan calon baharu yang akan bertanding buat pertama kali iaitu Mohamad Fakrulradzi Mahmud, 32, (Endau) dan calon tertua parti, Mat Khairi Samsudin, 66, (Sedili).

    Enam lagi calon baharu diperkenalkan ialah Ahmad Daniel Shahrudin (Panti), Rohani Banu Abd. Rahman Krishnan (Kahang), Abd. Hamid Jamah (Senggarang), Asim Abdullah Ainollotfi (Serum), Elia Nadira Sabudin (Bukit Pasir) dan Norazila Sanip (Penawar).

    Mohamad berkata, semua 16 calon yang diperkenalkan itu melepasi tapisan ketat yang ditetapkan menepati ciri calon yang berkualiti dan berintegriti tinggi.

    “Kita mengemukakan 16 calon bagi mewakil Pakatan Harapan (PH) untuk PRN Johor dengan lapan muka baharu.

    “Kita juga mengemukakan empat calon wanita dan tiga pemuda serta kombinasi calon yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang mempunyai kekuatan masing-masing dalam menambat pengundi,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamad berkata, keputusan yang dibuat tersebut tentunya tidak disenangi sesetengah ahli parti namun berharap mereka dapat menerimanya dengan terbuka.

    “Namun begitu, saya yakin selepas diumumkan, seluruh jentera dan penyokong akan bekerja kerras untuk menangkan calon kita,” katanya.

  • PN tawar Pelan Pembangunan Ekonomi Johor jika menang PRN

    PN tawar Pelan Pembangunan Ekonomi Johor jika menang PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan Pelan Pembangunan Ekonomi Johor 2022-2032 sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, ini berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam memimpin negara serta pernah menjadi Menteri Besar dapat membantu negeri tersebut.

    “‘Yes, we will develop a plan’, mungkin 10 tahun ke hadapan, daripada sekarang ke 10 tahun, bagaimana Johor boleh melonjak dalam semua-semua sektor ekonomi.

    “Ini (pelan) akan mencangkupi semua bidang perniagaan, peruncitan, pelancongan pertanian dan lain-lain,” katanya dalam program sarapan pagi bersama-sama 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

    Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan wakil NGO berkenaan strategi dan bentuk transformasi ekonomi yang akan dibawa PN, di bawah pimpinan Muhyiddin di negeri ini jika menang PRN tersebut.

    Semalam, Muhyiddin menawarkan diri menjadi Penasihat ekonomi kerajaan negeri sekiranya PN menang PRN tersebut.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, satu pasukan daripada pakar-pakar akan dibentuk yang boleh menggubal pelan ekonomi baharu negeri Johor.

    Ahli Parlimen Pagoh itu juga akan mengarahkan menteri-menteri dalam sektor ekonomi berkaitan untuk turun memberi penerangan.

    “Johor ada potensi-potensi yang cukup baik.. seperti pelancongan. Tapi apakah langkah lain yang kita buat, supaya pelancong akan datang ke Johor dan berbelanja besar. Itu penting, misalnya untuk kita lihat,” katanya.

    Katanya, menerusi pelan itu juga PN akan melihat kepada pendapatan per kapita rakyat terutama dengan pandemik Covid-19 telah menyebabkan kedudukan ekonomi segelintir besar masyarakat terjejas teruk.

    “Usaha kita supaya ada peningkatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun. Ini akan memerlukan banyak perkara untuk kita lihat.

    “Antara lain, kita juga nak lihat sebahagian besar anak kita yang sudah keluar daripada sistem pendidikan sekolah, keluar daripada sistem itu, boleh dapat kerja,” ujarnya.

  • Calon PN untuk PRN Johor dimuktamad hari ini-Muhyiddin

    Calon PN untuk PRN Johor dimuktamad hari ini-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan senarai nama calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada masalah berkenaan pembahagian kerusi dan semuanya sudah selesai.

    “Soal senarai nama calon hari ini selesai, tiada sebarang masalah untuk kita bekerjasama kerana PN ada tiga parti sahaja untuk berbincang iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),” ujarnya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program sarapan pagi 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini.

    Muhyiddin dalam program sarapan bersama-sama 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Baru Uda, Johor Bahru hari ini

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN tidak hanya memilih kriteria calon yang mempunyai kelayakan akademik untuk PRN Johor.

    Beliau berkata, kriteria lain yang juga dipertimbangkan termasuk pengalaman dan kemahiran mereka.

    “Ada kes di mana calon ada kelayakan akademik sampai peringkat universiti dan sebagainya, tetapi ada juga calon miliki pengalaman dan rekod kedudukan serta jawatan.

    “Jadi kita ambil kira semuanya. Tetapi walau apapun, kelayakan akademik memang antara salah satu syarat yang dipertimbangkan tetapi bukan satu-satunya,” katanya.

    Semalam, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata, PN bakal mengumum senarai calon mereka dalam PRN ini pada 23 Februari ini iaitu tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.

  • PRN Johor: Gerakan bertanding lebih 2 kerusi DUN

    PRN Johor: Gerakan bertanding lebih 2 kerusi DUN

    GERAKAN akan bertanding lebih dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Beliau berkata bagaimanapun, bilangan sebenar kerusi yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Feb ini.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan bertanding (di Johor) satu Parlimen dan dua DUN, kali ini memang kita akan bertanding lebih daripada dua DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina PN di Pontian malam tadi, yang turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mengulas lanjut, Lau berkata, keputusan jumlah kerusi ditandingi diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PN dan fokus Gerakan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu pada PRN Johor.

    Pada PRU14, Gerakan yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Pemanis dan Bukit Batu, kalah di kedua-dua kerusi.

    Gerakan kemudiannya mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Feb, pengundian awal pada 8 Mac dan 12 Mac sebagai hari pengundian. – BERNAMA

  • Kerusi bertindih, rundingan gagal, PKR dan MUDA dijangka bertembung

    Kerusi bertindih, rundingan gagal, PKR dan MUDA dijangka bertembung

    PRESIDEN Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menganggap rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi antara partinya dan PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah tamat.

    Beliau berkata demikian ekoran keputusan PKR mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk yang mungkin ditandingi MUDA.

    Berikut adalah kenyataan penuh Syed Saddiq hari ini:

    MUDA menyertai Pilihan Raya Negeri Johor 2022 bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor dan Malaysia.

    Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor.

    MUDA telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana fokus utama MUDA adalah membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor.

    Melalui rundingan rasmi bersama DAP dan AMANAH, MUDA telah berjaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi.

    MUDA juga telah mengadakan siri-siri rundingan rasmi bersama pimpinan KEADILAN (PKR) – namun KEADILAN telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calon KEADILAN di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.

    Meskipun begitu, MUDA telah menyampaikan niat dan hasrat MUDA untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-KEADILAN kepada rakan DAP dan AMANAH. MUDA juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama KEADILAN.

    Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan KEADILAN berkaitan kerusi MUDA-KEADILAN, pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.

    Sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA-KEADILAN tidak dapat dielakkan, MUDA akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor.

  • Tolak parti amal kleptokrasi dalam PRN Johor-Azmin

    Tolak parti amal kleptokrasi dalam PRN Johor-Azmin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUNDI Johor perlu mencipta sejarah baharu dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menolak golongan kleptokrat yang mahu berkuasa semula.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat Johor perlu membuat pilihan bijak dan tidak memilih gabungan politik yang mengamalkan rasuah, tidam amanah dan salah guna kuasa.

    “Tidak lama lagi ada ‘hari yang besar’ di Johor, buat keputusan yang betul. Kita perlukan kerajaan yang kuat, kita perlukan pemimpin yang berkredibiliti, jangan sokong kleptokrat. Sekarang masanya untuk buang mereka daripada Johor.

    “Saya nak mengajak dan mengingatkan semua rakyat Malaysia ‘enough is enough’ (cukup-cukuplah). Dia dah curi duit kita berbilion ringgit, bukan satu atau dua bilion ringgit, kamu adalah pembayar cukai, ‘you’ kerja kuat dan bayar cukai kepada kerajaan. Akhirnya dia curi dan rompak wang kita,” katanya.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ketika ini pihak yang mengamalkan rasuah dan kleptokrasi mahu datang ke Johor untuk menagih undi semata-mata kerana PRN Johor.

    “Hari ini mereka mahu datang ke Johor, mereka mahu mewakili kita, ‘no way’, ‘get out from negeri Johor’. Saya bukan marah tapi saya geram kerana saudara saudari, kamu kerja keras, nak dapat gaji RM1,000 pun susah tapi ada orang dalam akaun dia ada 2.6 bilion, macamana nak kamu nak jelaskan tu,” katanya.

    Justeru katanya, penduduk negeri ini diseru untuk memilih parti politik ditunjangi rakyat Johor yang telah berjaya menyelamatkan negara ketika menghadapi tempoh mencabar akibat pandemik Covid-19 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, pemulihan ekonomi dan kesihatan negara ketika ini didasari pentadbiran Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

    “Kita gembira apabila Tan Sri Muhyiddin, seorang Bangsa Johor diberi tugas sebagai Perdana Menteri kerana pentadbiran beliau fokus dua perkara iaitu urus pandemik dan percepat pemulihan ekonomi dan kita berjaya.

    “Jadi rakyat Johor, cipta sejarah baharu bermula di Johor. Saya tahu pihak sana yakin boleh menang majoriti dua pertiga tetapi kita bekerja keras, jadi pada 12 Mac ini mari kita bentuk kerajaan baharu yang bersih untuk rakyat Johor,” katanya.

    Tambah Mohamed Azmin Muhyiddin tidak kekal sebagai Perdana Menteri bukan kerana beliau gagal.
    sebaliknya dijatuhkan golongan kleptokrat.

    “Jadi kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan. Walaupun golongan kleptokrat itu tidak bertanding dalam PRN Johor, tetapi rakan-rakan yang menyokong mereka masih ada dan bertanding dibawah logo yang sama,” jelasnya.