Category: Politik

  • Pas jangka senarai calon dimuktamad dalam tempoh satu atau dua minggu

    Pas jangka senarai calon dimuktamad dalam tempoh satu atau dua minggu

    PAS menjangkakan senarai akhir calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti, dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

    Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi membuat tapisan terakhir senarai calon yang sudah diperolehi daripada enam negeri terlibat PRN nanti.

    Beliau berkata Majlis Syura Ulama Pas akan meneliti senarai calon dari segi kelayakan syarie seperti bukan pelaku dosa besar, bukan merosakkan nama parti, dan memastikan mereka adalah ‘orang yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah kalau ditakdirkan dipilih’.

    “Kita minta setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) hantar sekurang-kurangnya dua nama, tetapi ada yang hantar tiga, empat malah lima nama,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kubang Kerian, di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata senarai calon yang melepasi tapisan berkenaan kemudiannya akan dihantar ke Jawatankuasa Pas Pusat sebelum dipanjangkan kepada Presiden parti dan pimpinan Pas negeri untuk keputusan akhir.

    Sementara itu beliau turut menolak satu maklumat ditularkan media sosial mengenai senarai yang dikatakan calon Pas pada PRN nanti, dan menegaskan bahawa ia adalah maklumat palsu.

  • Dominic Lau dijangka berdepan 3 pencabar dalam Pemilihan Gerakan

    Dominic Lau dijangka berdepan 3 pencabar dalam Pemilihan Gerakan

    RUNDINGAN yang dijalankan secara dalaman bagi memastikan Datuk Dr. Dominic Lau kekal dengan jawatan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tanpa perlu bertanding dalam pemilihan parti itu nampaknya menemui kegagalan.

    Setakat ini dijangkakan ada sekurang-kurangnya tiga nama akan mengemukakan borang pencalonan esok untuk mencabar Lau.

    Mereka ialah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Lau Hoi Keong, Pengerusi Gerakan Melaka, Michael Gan, dan Bekas Setiausaha Agung parti itu, Liang Teck Meng.

    Malaysiakini difahamkan sebelum ini terdapat percubaan untuk meyakinkan ketiga-tiga mereka agar bekerjasama dengan membentuk satu pasukan bagi meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam pemilihan.

    Ketika dihubungi semalam, Hoi Keong mengesahkan beliau akan mencabar Lau.

    Beliau juga mengumumkan penyandang setiausaha agung parti berkenaan, Mak Kah Keong, sebagai pasangannya.

    sementara itu, Gan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau sudah menjadikan Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Kiew Hen Chong, sebagai regunya.

    Gan berkata, jika dipilih sebagai Presiden parti, beliau tidak akan mengubah strategi parti terbabit untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

    “Jika saya dipilih, saya akan kekalkan keputusan yang dibuat dan calon. Tiada masalah,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Gan turut berjanji akan menjemput Lau untuk membantunya semasa pilihan raya negeri.

    Sebelum ini, Lau yang mengetuai Gerakan sejak 2018 memberitahu Malaysiakini beliau mengekalkan penyandang Timbalan Presiden, Oh Tong Keong, sebagai pasangannya.

    Sementara itu Liang tidak mendedahkan siapa tokoh yang menjadi regunya dalam pemilihan kali ini.

    Lau akan mempertahankan jawatan Presiden parti buat pertama kali apabila parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu mengadakan pemilihan pada 15 Julai ini.

    Ia menarik perhatian kerana seseorang yang menjadi presiden akan mempunyai kuasa besar untuk menentukan senarai calon bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.

  • Azmin kembali bertanding di DUN Hulu Kelang?

    Azmin kembali bertanding di DUN Hulu Kelang?

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali didakwa akan bertanding di DUN Hulu Kelang untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada bulan depan.

    Spekulasi berkenaan perkara tersebut didakwa selepas bekas Menteri Besar Selangor itu aktif di DUN Hulu Kelang menjelang PRN.

    Sumber PN memaklumkan, bekas Menteri Besar Selangor itu membuka pusat di DUN Hulu Kelang dan sudah memulakan gerak kerja.

    Seawal Februari lalu Azmin mengumumkan ‘berehat sebentar’ daripada politik dan mahu membuat perancangan baharu.

    Pada konvensyen jentera PN Selangor di Shah Alam bulan lepas, beliau menyatakan sedia untuk bertanding PRN sekiranya diarah parti.

    “Kemungkinan besar dia calon di Hulu Kelang,” kata sumber berkenaan kepada FMT.

    DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.

    Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket Pas mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang, kerana masalah kesihatan.

    Sumber menyifatkan Azmin sebagai seseorang yang ‘dekat’ dengan DUN Hulu Kelang.

    “Dia memang orang Hulu Kelang. Kalau ikut sejarah dia, pada 1999 pertama kali dia menang adalah sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Hulu Kelang. Jadi PRN kali ini dia kembali ke Hulu Kelang.”

    Pada PRU15, Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga anak didiknya.

  • Isu integriti, rasuah kian parah bawah Anwar, kata Sanusi

    Isu integriti, rasuah kian parah bawah Anwar, kata Sanusi

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa masalah integriti dan budaya rasuah di negara ini lebih berleluasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Jelas Menteri Besar Kedah tersebut, dakwaan itu berdasarkan maklumat yang diberikan beberapa ahli perniagaan yang ditemuinya.

    Sanusi berkata, apa yang didengarnya itu sama sekali berbeza dengan apa yang dilaungkan Anwar yang bertekad untuk membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa.

    “Kalau bercakap soal integriti, rasuah, saya sebagai Menteri Besar bertemu dengan ramai ahli perniagaan, yang mana ahli perniagaan terpaksa bertemu dengan pemimpin politik dari kerajaan persekutuan.

    “Mereka beritahu saya keadaan yang berlaku dulu (rasuah, masalah integriti) tak pernah surut, malah makin ganas.

    “… walaupun di pihak Perdana Menteri (Anwar) bercakap berdegar-degar di khalayak awam (tentang rasuah) tetapi di keliling Perdana Menteri keadaan (rasuah, masalah integriti) masih berlaku.

    “Saya yakin keadaan ini diketahui oleh perdana menteri tetapi untuk memaparkan bahawa mereka ini kumpulan menentang rasuah, tapi sebaliknya keadaan berlaku lebih ganas lagi,” dakwanya dalam wawancara khas yang disiarkan melalui Facebook malam tadi.

    Mengulas lanjut, Sanusi turut mendakwa Anwar gagal memberi fokus kepada tugasnya sebagai Menteri Kewangan dalam usaha membawa negara mendepani krisis ekenomi.

    Sebaliknya, kata Sanusi, Anwar lebih gemar melakukan siri jelajah dengan menyampaikan ceramah-ceramah politik dan melontarkan propaganda agar rakyat menerima kerajaan yang disifatkan sebagai ‘kakistokrasi’ itu.

    Kakistokrasi bermaksud sebuah sistem kerajaan yang ditadbir oleh satu golongan yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa sebagai pemerintah.

    “Ketika rakyat sedang menghadapi krisis yang semakin hari semakin parah nampaknya Menteri Kewangan sedang menggelak untuk mengambil tanggungjawab itu.

    “Sebaliknya (dia) lebih berminat untuk menyampaikan ceramah dan di semua ceramah yang disampaikan dia mengambil kesempatan untuk melancarkan kempen bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang dan melontarkan propaganda bagi orang dapat terima kakistokrasi yang sedang mengisi kerajaan hari ini.

    “Rakyat Malaysia perlu membuat desakan habis-habisan supaya Menteri Kewangan mengambil tanggungjawab secara serius dalam isu-isu kewangan yang sedang dihadapi negara pada masa ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Senarai tular calon PAS Kelantan palsu, kata Tuan Ibrahim

    Senarai tular calon PAS Kelantan palsu, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan senarai nama calon parti itu bagi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan yang tular di media sosial sejak semalam palsu.

    “Apa yang saya boleh katakan, senarai berkenaan tidak betul sama sekali dan ia mula tular sejak semalam.

    “Biasalah, kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kira undi.

    “Namun, saya sahkan senarai berkenaan tidak betul dan palsu. Kita tidak tahu apa motif maklumat yang tidak betul itu disebarkan,” katanya menurut Harian Metro selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Kubang Kerian, malam tadi.

    Terdahulu, tular senarai nama dikatakan calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding di PRN Kelantan bulan depan.

    Dalam senarai itu, Tan Sri Annuar Musa yang juga pengerusi Muafakat Nasional dikatakan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, manakala Datuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula dikatakan bertanding di DUN Kijang.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula dikatakan akan mempertahankan kerusi masing-masing di DUN Pasir Pekan serta Panchor.

  • PAS mahu negeri terlibat PRN tiru Kelantan sedia bas percuma

    PAS mahu negeri terlibat PRN tiru Kelantan sedia bas percuma

    PAS mencadangkan agar semua kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah diambil oleh kerajaan Kelantan menyediakan kemudahan itu wajar ditiru oleh semua negeri.

    “Saya fikir tindakan itu sepatutnya ditiru oleh semua negeri.

    “Bukan (sogokan), bukan parti yang buat tapi kerajaan sediakan (kemudahan) dan tidak hadkan kepada penyokong parti, sesiapa saja.

    “Kita pun tak tahu mereka balik undi siapa,” katanya ketika ditemui media selepas program Ppakat Pertahan peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, malam tadi.

    Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan parti lawan yang menyatakan kemudahan bas disediakan kerajaan Kelantan kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi merupakan sejenis kempen.

    Isu tersebut timbul selepas kenyataan dibuat Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang memaklumkan tiket bas ke Kelantan habis dijual selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh berlangsungnya PRN.

    Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati dakwaan itu tidak benar apabila penjualan tiket bas ekspres baru sahaja dibuka mulai semalam.

    Susulan itu juga kerajaan Kelantan kemudiannya mengumumkan mereka menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada pelajar IPT untuk pulang mengundi di negeri itu.

    Sementara itu Tuan Ibrahim mengalu-alukan negeri lain turut mengambil langkah yang sama bagi memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

    “Saya mengalu-alukan kalau boleh negeri lain juga, SPR pun nak tengok peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

    “Jadi segala elemen ke arah itu patut dipermudahkan,” ujarnya.

  • Kerjasama Pejuang bersama PN perlu diputuskan Majlis Presiden

    Kerjasama Pejuang bersama PN perlu diputuskan Majlis Presiden

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HASRAT Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menjalin kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditentukan oleh Majlis Presiden PN yang dianggotai semua presiden parti dalam gabungan tersebut.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau secara peribadi bagaimanapun merasakan bahawa parti itu yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir seharusnya menyokong PN dengan mengundi gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Keputusan diterima atau tidak Pejuang menyertai PN, itu saya tak mahu jawab kerana tertakluk di bawah Majlis Presiden PN. Kalau ikut saya, saya suruh beliau (Mukhriz) sokong PN saja dan undi PN pada PRN ni. Kalau beliau undi diri sendiri pun kalah juga. Untuk mengelak kerugian itu, undilah PN dan supaya tidak rugi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Operasi kepada 237 wakil Institusi Pendidikan Agama di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Sungai Petani, hari ini.

    Ketika ditemui pemberita di Pulau Pinang semalam, Mukhriz menzahirkan harapan agar pimpinan Perikatan Nasional (PN) dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu menyertai atau bekerjasama dengan gabungan tersebut.

    Katanya, Pejuang tidak mahu dilihat sebagai pengacau yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN kerana penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik bagi parti itu serta PN berdepan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, senarai nama calon Pas bagi PRN kali ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Saya ingat dalam dua tiga hari sebelum penamaan calon, kita akan umumkan senarai nama tersebut. Esok (Jumaat) kita akan hantar senarai di Majlis Syura Ulama Pas dan lusa (Sabtu), jawatankuasa pusat akan pilih daripada senarai tersebut,” ujarnya.

  • Kerajaan Kelantan sedia  bas pelajar IPT pulang mengundi

    Kerajaan Kelantan sedia  bas pelajar IPT pulang mengundi

    KERAJAAN Kelantan menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, perkhidmatan tersebut diuruskan Jawatankuasa Khas yang diketuai Pejabat Perbendaharaan Negeri dan diurusetiakan Pejabat Pembangunan Negeri.

    Tarikh bagi perjalanan balik bermula 6 hingga 11 Ogos 2023 dan tarikh kembali ke destinasi pada 13 hingga 15 Ogos 2023.

    “Kerajaan Kelantan sangat menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara. Penglibatan mahasiswa dan mahasiswi sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak sangat besar dalam membina negara melalui pentas demokrasi,” katanya pada kenyataan hari ini.

    Menurut beliau juga hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

    Kata beliau kos perkhidmatan pengangkutan akan meningkat dan terhad disebabkan permintaan yang tinggi pada musim pilihan raya sehingga membebankan mahasiswa, mahasiswi dan ibu bapa.

    Menteri Besar juga berkata, mahasiswa dan mahasiswi bebas menggunakan hak mereka untuk memilih mana-mana calon atau parti politik yang bertanding tanpa terikat dengan apa jua syarat.

    “Semoga perkhidmatan tersebut dapat membantu meringankan beban mahasiswa, mahasiswi serta ibu bapa,” ujarnya.

    Keterangan lanjut hubungi Pejabat Pembangunan Negeri di talian 09-748 1180. 

  • PRN: Anak Annuar Musa kata belum dikenali, Annuar kata anaknya penyokong kuat

    PRN: Anak Annuar Musa kata belum dikenali, Annuar kata anaknya penyokong kuat

    KETUA Pemuda UMNO Ketereh yang juga anak kepada bekas pemimpin UMNO Tan Sri Annuar Musa menegaskan dirinya masih belum dikenali ramai untuk tampil menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Afiq Amani Annuar berkata, secara jujur dia menyedari kedudukan sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian yang baru dilantik.

    “Secara jujur saya sedar kedudukan saya. Saya baru dilantik sebagai ketua pemuda dan masih ramai belum mengenali saya.

    “Di Kelantan jika mahu menang, penting calon itu terbukti khidmatnya dan dikenali pengundi. Lebih ramai yang lebih layak jika BN serius mahu menang. Kita buat yang terbaik,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini,lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyatakan dia antara 155 nama yang dihantar BN Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan nanti.

    Ketua Penerangan UMNO negeri Zawawi Othman mengesahkan nama Afiq Amani diangkat kepimpinan Umno Bahagian untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.

    Menurutnya, Afiq Amani antara orang muda yang disenaraikan nama dan terserah kepada pucuk pimpinan parti memutuskannya memandangkan lima nama yang dihantar bagi setiap DUN.

    Annuar Musa

    SEMENTARA itu, Annuar pula menegaskan, biarpun berbeza parti politik namun Afiq tetap merupakan penyokong kuatnya.

    Malah kata Annuar, tidak akan berlaku pertembungan antara beliau dan Afiq pada PRN nanti.

    “Saya akan tengok perkembangannya, tak payah kalau-kalau, itu (pertembungan) takkan berlaku. Anak saya tetap merupakan penyokong kuat saya,” tegas Annuar ketika ditemui media selepas ceramah mega ‘Ppkat Pertahan Kelantan’ peringkat parlimen Bachok, malam tadi.

  • Gendang rakyat mula bertabuh, PRN Terengganu dijangka sengit

    Gendang rakyat mula bertabuh, PRN Terengganu dijangka sengit

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu kini telah dibuka sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dibubarkan secara rasmi pada 28 Jun lalu.

    Pembubaran itu dibuat lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 30 Jun dimana ia telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu. Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata lebih 9.73 juta pengundi layak bakal menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri terbabit.

    Susulan itu, maka bermulalah episod awal PRN yang menyaksikan gendang rakyat mula bertabuh dengan jentera parti telah menggerakkan peranan dan tugas masing-masing. Calon-calonnya bakal diketahui tidak lama lagi, hanya menantikan saat dan ketika sahaja pertarungan sebenar akan bermula.

    Memandangkan ia merupakan pilihanraya yang melibatkan enam negeri, maka perhatian rakyat kini sudah tentu tertumpu kepada Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Walaupun ia baharu sahaja memasuki episod awal, namun suasana dan bahangnya telah mula dirasai. Markas-markas kini sedang dibina, manakala bendera parti pula sudah dinaikkan di lokasi strategik terutama di atas jambatan di negeri ini.

    Bagi orang politik di Terengganu, sebahagian besarnya sudah bersedia untuk ‘berperang’. Tanpa mengira kaum, agama dan jantina, setiap jentera dilihat seperti terlalu ghairah dan taksub dalam usaha untuk memastikan kemenangan calon yang akan bertanding mewakili parti masing-masing.

    Apa yang menarik perhatian ramai, PRN kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua parti berseteru iaitu Perikatan Nasional (PN) (diwakili Pas dan Bersatu) serta Pakatan Harapan (PH diwakili PKR, Amanah dan DAP) dan Barisan Nasional (BN diwakili UMNO, MIC dan MCA).

    Walaupun tumpuan lebih kepada dua gabungan parti ini yang akan bertanding di Terengganu, namun beberapa calon daripada parti lain termasuk Bebas, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Pejuang dan Putra juga kemungkinan turut meletakkan calon.

    Bagi pemerhati politik tempatan pula, mereka menyifatkan kehadiran calon-calon daripada parti lain tidak membawa ancaman besar kepada PN, kecuali BN. Namun, masalah dihadapi BN sekarang adalah membabitkan ahli di peringkat akar umbi terutama jentera parti yang dikatakan akan mengadakan ‘mogok’ sekiranya di kawasan DUN mereka diletakkan calon daripada PH.

    Malah, seperti biasa kehadiran calon Bebas pula dilihat sebagai ada sesuatu yang tidak kena dan bakal dikaitkan dengan tindakan protes ekoran rasa tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon. Persoalannya,apakah dalam PRN Terengganu pada kali ini akan turut menyaksikan kehadiran calon Bebas?

    Sekiranya ada, bermakna penyakit barah dalam politik di negeri ini khususnya BN masih belum sembuh dan gagal dirawat. Sebagai sebuah parti politik tertua dan matang, BN seharusnya akur dan malu mengenai kesepaduan dan persefahaman dimiliki oleh PN terutama dalam menentukan agihan kerusi dan pemilihan calon pilihan raya.

    Sebab itulah pemimpin PN tidak pernah ‘berkelahi’ mengenai agihan kerusi dan juga calon. Malah, parti terbabit dilihat lebih pentingkan perpaduan dan kesepakatan dalam parti-parti gabungan. Berbanding BN dan PH pertelingkahan mengenai agihan kerusi terus kedengaran walaupun DUN telah dibubarkan.

    Justeru, pemerhati politik menyifatkan suasana yang tidak harmoni itu bakal meleraikan perpaduan dalam kalangan jentera parti, sekaligus memusnahkan harapan untuk mencapai kemenangan.

    Dalam PRU-14 pada tahun 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN manakala BN pula hanya menang 10 kerusi sahaja yang kini dikatakan hampir ‘patah’.

    Dan apakah 930,894 orang pengundi di negeri ini akan memilih dan terus memberi peluang kepada PN untuk memerintah Terengganu?