Category: Politik

  • PN harap hanya berlaku pertembungan dua penjuru dalam PRN

    PN harap hanya berlaku pertembungan dua penjuru dalam PRN

    PERIKATAN Nasional (PN) berharap hanya berlaku pertembungan dua penjuru antara mereka gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini bagi mengelak rakyat berdepan kesukaran untuk memilih calon yang akan diundi sebagai pemimpin mereka.

    “Kita mengharapkan berlaku pertandingan dua penjuru antara PN dengan PH. Tidak adalah banyak parti lagi.

    “Insya-Allah, kita berusaha ke arah itu untuk menyenangkan rakyat memilih,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Masjid Kampung Rusila, di Marang pada petang semalam.

    Mengulas mengenai persiapan PRN, Presiden Pas itu berkata, Majlis Syura Ulama Pas telah meluluskan semua nama daripada parti itu yang disenaraikan untuk bertanding pada PRN nanti.

    “Namun, masih belum dimuktamadkan lagi dan masih di peringkat penelitian bagi mengenal pasti calon-calon yang akan diangkat bagi mewakili parti dan bertanding di kawasan masing-masing.

    “Semalam (Jumaat) Majlis Syura Ulama telah menyemak semua calon yang disenaraikan daripada Pas termasuk Tan Sri Annuar Musa, tetapi beliau tidak berhasrat untuk bertanding.

    “Kita sebenarnya lebih setuju sekiranya beliau (Annuar) berperanan di peringkat nasional memandangkan beliau adalah tokoh besar. Beliau lebih sesuai di peringkat nasional, bukan negeri,” ujarnya.

    Sementara itu, Abdul Hadi berharap gelombang Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) pada November tahun lalu dapat diteruskan dan lebih kuat lagi.

    “Kita menyaksikan gelombang rakyat sangat positif terhadap PN terutama apabila melihat kenyataan-kenyataan terlalu negatif daripada pimpinan PH.

    “Kenyataan sepintas lalu yang bercanggah. Rakyat dapat lihat sendiri segala janji-janji yang tidak dapat ditunaikan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    SPR baru-baru ini menetapkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos manakala 29 Julai hari penamaan calon dan 8 Ogos sebagai hari pengundian awal.

  • ‘Sampai mati pun saya tak ingin jadi Setiausaha Agung DAP’- Wan Saiful

    ‘Sampai mati pun saya tak ingin jadi Setiausaha Agung DAP’- Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan secara sinis menolak sindian Anthony Loke Siew Fook iaitu adalah beliau Setiausaha Agung DAP yang boleh menentukan calon Ketua Menteri Pulau Pinang.

    “Sampai mati pun saya tak ingin jadi Setiausaha Agung DAP,” jawab Wan Saiful terhadap sindiran Anthony Loke itu yang juga Setiausaha Agung DAP.

    Kata Wan Saiful, beliau menerima banyak maklumat mengenai Pulau Pinang, termasuk pendedahan mengenai pergolakan politik dalaman negeri itu.

    “Pergolakan mereka memberi kesan kepada Pulau Pinang. Sebab, sekarang ini ada usaha satu kelompok dalam DAP untuk menukar Ketua Menteri yang ada sekarang dengan calon daripada pihak mereka.

    “Nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

    “Apabila saya sebut buat kali pertama beberapa hari lepas, bahawa ada usaha dalam DAP untuk menukar Ketua Menteri, Loke mengatakan bahawa, ‘Wan Saiful, adakah kamu Setiausaha Agung DAP?’

    “Saya nak jawab kepada Loke pada malam ini, kalau bagi tawaran, kalau dibayar pun, sampai mati pun, saya tak ingin jadi Setiausaha Agung DAP,” katanya.

    Wan Saiful berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional Parlimen Bangi, Jelajah Selangor Baharu, di Bangi, malam tadi, lapor Astro Awani.

    Loke sebelum ini meminta Wan Saiful agar tidak mencampuri urusan parti itu terutama dalam soal calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Beliau turut menasihati bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu supaya menjaga urusan partinya sendiri berbanding hal ehwal parti lain.

    “Saya tanya, adakah dia (Wan Saiful) Setiausaha Agung DAP, (maka) dia boleh tentukan calon kita?” soal Loke.

  • Kenyataan Guan Eng provokasi  melampau, hasutan kebencian luar biasa – Takiyudin

    Kenyataan Guan Eng provokasi  melampau, hasutan kebencian luar biasa – Takiyudin

    Pas malam ini mengecam keras kenyataan Lim Guan Eng yang mengaitkan parti itu dan gabungan politik yang dianggotainya dengan insiden sejarah pencerobohan tentera Mongol ke atas negara China.

    Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, Pas amat terkejut dan mengecam keras provokasi melampau dan hasutan kebencian luar brasa dibuat Pengerusi DAP tersebut.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    PAS merakamkan rasa amat terkejut dan mengecam keras provokasi melampau dan hasutan kebencian luar biasa yang dibuat oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng ketika menghadiri satu acara di sebuah tokong di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

    Setelah bertahun-tahun cuba memburukkan Pas dengan mengaitkannya dengan kumpulan Taliban di Afghanistan dan ideologi keganasan serta ekstremisme tanpa apa-apa kejayaan, kali ini beliau melangkah lebih jauh lagi dengan mengaitkan Pas dan gabungan politik yang dianggotainya dengan insiden sejarah pencerobohan tentera Mongol ke atas negara China pula.

    Mengulangi terma jijik “gelombang hijau” yang dimulakan bapanya Lim Kit Siang ekoran keputusan PRU15 yang memihak kepada Pas dan gabungan politiknya, Perikatan Nasional (PN), bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan berkata bahawa “akan berlaku kemusnahan ke atas tokong-tokong Buddha dan pengharaman terhadap cara hidup orang bukan Islam di Pulau Pinang jika ia (gelombang hijau) tiba di negeri itu”.

    Menurut akhbar China Press, Lim seterusnya dilaporkan berkata bahawa “jika gelombang hijau tidak menyukai tokong yang mereka lihat, maka mereka akan memusnahkannya”.

    Kenyataan ini jelas merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan bulan depan di enam buah negeri di Semenanjung, termasuk Pulau Pinang dan Lim berkempen untuk memastikan pentadbiran negeri itu kekal di tangan Pakatan Harapan (PH).

    Pas percaya rakyat Malaysia yang berfikiran waras, peka sejarah dan berpijak di bumi nyata tidak sesekali akan tergamak untuk membuat kenyataan yang sedangkal dan seburuk ini dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan jahat sangka terhadap mana-mana orang atau pihak lain.

    Malangnya bekas Menteri Kerajaan PH itu berasa layak dan berhak untuk bertindak melampau seperti itu tanpa sebarang bukti yang sah dan konkrit, selain tidak mengambil kira akan kesannya ke atas pemikiran rakyat dan kesejahteraan hidup bersama yang sudah terjalin baik sejak sekian lama.

    Barangkali Lim perlu menyenaraikan tokong-tokong dan tempat ibadat orang bukan Islam yang telah dimusnahkan oleh orang Islam di Malaysia ini, khasnya di negeri-negeri yang dipimpin oleh parti-parti yang dikaitkan dengan “gelombang hijau” yang dimaksudkannya itu.

    Pas  percaya ucapan menghasut dan tidak bertanggungjawab seperti inilah yang akan mengeruhkan, malah memburukkan hubungan kaum dan agama dalam masyarakat. Malah tidak keterlaluan untuk diperingatkan bahawa ucapan dan sentimen penuh kebencian dan sangka jahat seperti inilah yang menyumbang kepada Tragedi 13 Mei lebih 50 tahun lepas.

    Juga tidak keterlaluan untuk diperingatkan bahawa tragedi malang itu sangat berkait dengan kehadiran DAP sebagai sebuah parti politik di negara ini. Ucapan dan sikap kebencian seburuk ini hanya lahir daripada individu dan pihak-pihak yang terdesak, tandus idea, bankrap moral dan tidak bertanggungjawab sama sekali dan mesti ditolak sepenuhnya.

    Justeru Pas menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup bersama supaya menolak jauh individu, kumpulan, parti atau mana-mana orang yang mendukung dan memanjangkan idea dan sentimen sedemikian kerana kesan buruknya yang sudah boleh dijangka.

    Dalam pada itu, Pas  menggesa pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Menterinya supaya bertindak tegas dan proaktif terhadap pihak- pihak terbabit yang dengan sengaja menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat baik di pihak pembangkang, orang awam maupun kerajaan atas asas komitmen kita kepada keamanan serta kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

  • Annuar tidak berhasrat tanding PRN – Hadi

    Annuar tidak berhasrat tanding PRN – Hadi

    TAN Sri Annuar Musa memaklumkan beliau tidak germinate dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Sehubungan itu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Annuar  berkemungkinan tidak bertanding mewakili Pas pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos nanti.

    Katanya, Annuar akan diberi peranan membantu Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional.

    “Beliau (Annuar) memberitahu tidak berhasrat untuk bertanding dalam PRN Kelantan. Kita juga mahu beliau memainkan peranan di peringkat nasional,” katanya lapor Kosmo!.

    Beliau berkata demikian ketika diziarahi Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rusila.

    Terdahulu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh dikatakan antara calon disenaraikan Pas untuk bertanding, manakala anaknya, Afiq Amani yang juga ketua Pemuda UMNO Ketereh juga tersenarai calon berpotensi bertanding di satu kerusi dalam kawasan Parlimen tersebut.

    Sementara itu, Abdul Hadi memaklumkan semua cadangan calon yang akan ditampilkan Pas pada PRN enam negeri telah melepasi tapisan Majlis Ulama, yang bermesyuarat semalam.

    Ahli Parlimen Marang itu berharap momentum “Gelombang Hijau” pada PRU15 dapat dikekalkan.

    “Harap momentum PRU15 dapat diteruskan dan kita beroleh kemenangan lebih besar lagi. Saya juga berharap pertandingan (kerusi setiap DUN) hanyalah dua penjuru, senang rakyat hendak buat pilihan,” katanya.

  • Penat woo..kalau lepas PM cakap saya kena betulkan fakta – Radzi

    Penat woo..kalau lepas PM cakap saya kena betulkan fakta – Radzi

    Oleh RADZI JIDIN

    *Isu hutang peneroka

    SAYA  pantang kalau orang bercakap dengan fakta yang tidak betul. 

    Terkejut saya dengar petikan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kerajaan PH-BN, semasa Hari Peneroka semalam. Kata beliau, 

    “Dan baru-baru ini, 3 tahun berdegar-degar, mereka bicara nak jaga orang Melayu, nak jaga Islam. Tetapi, hutang pun tak dilupuskan sehingga kita ambil alih baru-baru ini. 

    Ya, memang diumumkan. Saya tengok fail, berapa keperluan, 8.3 bilion ringgit. Mana kelulusan? Tidak ada. Tapi dah umum, saya check fail, kebetulan saya Menteri Kewangan, bila nak luluskan? Belum!” 

    Adoiiii…Perdana Menteri kena semak fakta sebelum bercakap. 

    Semasa sambutan Hari Peneroka FELDA pada 7 Julai 2020, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA. Pasukan ini diketuai oleh Tan Sri Wahid Omar. 

    Laporan pasukan ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Oktober 2020. Laporan antara lain menyentuh perancangan pemulihan FELDA termasuk pembelian saham FGV dan pengukuhan kewangan FELDA. Penghapusan hutang peneroka turut disentuh. 

    Cadangan peruntukan RM9.9 billion melalui penerbitan sukuk untuk pemulihan FELDA telah diluluskan oleh Jemaah Menteri. Penerbitan sukuk dibuat secara berperingkat antara tahun 2021 hingga 2026. Rentetan itu, urusan berkaitan pemulihan dan penghapusan hutang peneroka telah dimulakan. 

    Pada Hari Peneroka FELDA 7 Julai 2021, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan secara rasminya bahawa sejumlah RM8.3 billion hutang peneroka akan dihapuskan. 

    Kemudiannya pada 24 Februari 2023,  Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh, dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 billion “telah pun selesai dilaksanakan pada tahun 2021”. 

    Kalau tanya peneroka pun, mereka sendiri tahu bahawa penghapusan hutang ini telah pun dibuat di bawah Projek Wajar. Jumlah bayaran balik yang perlu dibuat mereka adalah jauh lebih rendah selepas penghapusan hutang berbanding sebelumnya. 

    Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum bercakap, semaklah fakta. Perkara ini bukan berstatus ‘Sulit’ atau ‘Rahsia’ lagi, telah beberapa kali dijawab di Parlimen dan berita berkenaan juga disiarkan kepada umum.

    Tak larat juga saya kalau  lepas Perdana Menteri cakap saya nak kena betulkan fakta. Penat woooo….

    *Datuk Dr. Radzi Jidin adalah Ahli Parlimen Putrajaya dan bekas Menteri Pendidikan

  • Pas kecam kenyataan Guan Eng, gesa polis ambil tindakan

    Pas kecam kenyataan Guan Eng, gesa polis ambil tindakan

    PAS mengecam tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa membuat ucapan menyatakan Perikatan Nasional akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas meminta Kementerian Komunikasi dan Multi mengambil tindakan undoing-undang ke atas pemimpin utama DAP itu.

    Berikutan kenyataan penuh beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut:

    Pas melahirkan rasa kecewa atas ucapan Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Lim Guan Eng yang mendakwa Perikatan Nasional akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

    Fitnah dan kenyataan yang bersifat ekstrem ini adalah bukti kepada wajah sebenar pemimpin utama DAP yang sentiasa meniupkan api sentimen perkauman dan agama secara ekstrem sehingga mewujudkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat Malaysia.

    Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini menunjukkan bahawa DAP yang terpaksa bekerjasama dengan UMNO dalam keadaan sangat terdesak dan ketandusan idea untuk berkempen dalam PRU Dewan Undangan Negeri akan datang.

    Pas mengutuk sekeras – kerasnya naratif Islamofobia yang dibawa oleh pemimpin utama DAP ini. Kenyataan ini ternyata membenarkan dakwaan pelbagai pihak bahawa selama ini DAP adalah penyambung lidah rasmi kepada gerakan Islamofobia yang memusuhi Islam di seluruh dunia.

    Insiden ini jelas memberi indikasi bahawa ideologi serta agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa oleh DAP adalah tidak bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

    Pas memohon agar pihak Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil tindakan undang-undang tegas dan segera ke atas pemimpin utama DAP yang secara jelas memainkan sentimen 3R secara ekstrem ini.

    Pas menyeru kepada umat Islam di seluruh negara untuk tampil membuat laporan polis ke atas ucapan pemimpin utama DAP yang secara jelas menghina keadilan Islam secara terbuka demi kepentingan politik DAP. Pas yakin pihak PDRM dan kementerian yang berwajib akan bersikap adil “without fear and favour” lebih-lebih lagi dalam isu yang melibatkan 3R ekstrem seperti ini.

  • PRN: DAP pertahan kesemua kerusi DUN disandang

    PRN: DAP pertahan kesemua kerusi DUN disandang

    DAP akan mempertahankan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, kata Setiausaha Agung parti Anthony Loke.

    Loke  yang juga Menteri Pengangkutan berkata secara umumnya jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi DAP tidak berubah.

    “Jumlah kerusi (DAP bertanding) memang tidak berubah (besar), kita hanya bertanding di kerusi yang kita telah menang. DAP akan bertanding di semua kerusi penyandang dalam PRN nanti. Mengenai jumlah kerusi keseluruhannya, saya belum kira lagi, tetapi di Pulau Pinang ada 19 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau hari ini, lapor Bernama.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP menang 48 kerusi DUN dengan 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (16), Kedah (2) dan Negeri Sembilan (11).

    Sementara itu, Loke berkata ketika ini DAP Pusat masih belum menerima senarai calon daripada pimpinan negeri. 

    Katanya, kesemua isu berkaitan PRN seperti nama calon dan juga soal agihan kerusi akan diumumkan sebelum hari penamaan calon iaitu 29 Julai.

    ”Soal calon akan diumumkan kelak, senarai calon belum ada dan kami belum terima (nama calon) dari peringkat negeri lagi, mungkin mereka akan serahkan dalam masa terdekat atau sebelum penamaan calon,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

  • Dakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong: Ketua Pemuda UMNO mahu Guan Eng disiasat

    Dakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong: Ketua Pemuda UMNO mahu Guan Eng disiasat

    PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini meminta polis menyiasat kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

    Ketuanya , Dr Akmal Saleh berkata, tindakan itu sebagai amaran keras kepada semua tanpa mengira parti supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.

    “Bila kita minta jangan mainkan isu 3R, bukan hanya kepada pembangkang, tetapi juga kepada pihak kerajaan. Maka tuduhan seperti ini (kenyataan Guan Eng) sangat-sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia. Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis,” katanya dalam hantaran di Facebook

    Sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

    Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

    Dr.Muhammad Akmal menegaskan, rakyat negara ini mahukan politik yang progresif dan matang serta berbahas dengan idea, bukan sentimen yang memecahkan.

    ” Islam tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain dan itu adalah fakta,” katanya.

  • Hutang peneroka : Anwar suka berbohong tak layak jadi PM – Muhyiddin

    Hutang peneroka : Anwar suka berbohong tak layak jadi PM – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menuduh beliau  tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri. 

    ‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021. Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felduhyia,   kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Semalam, ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

    Sebaliknya, kata Anwar kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda  telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

    ‘’Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim. Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,’’ katanya.

  • PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

    PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

    PAS akan meneruskan amalan bai’ah dalam kalangan calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan , tetapi kali ini mungkin tidak serumit seperti sumpah taklik cerai talak tiga yang pernah berlaku di Kelantan sebelum ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata bai’ah wajib bagi setiap calon Pas sebelum bertanding namun kemungkinan kepimpinan akan mengubah dan menambah kandungan tertentu.

    “Jika dilihat situasi semasa juga sudah agak berbeza berbanding dulu yang mana ahli sangat setia dan walak kepada parti. Pada satu situasi, semasa di Kelantan dulu (Pilihan Raya Umum pada 2004) kita hanya ada kelebihan satu kerusi yang memerlukan bai’ah seperti sumpah taklik cerai talak tiga itu, namun situasi sekarang sudah berbeza,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, berkemungkinan bai’ah bagi calon Pas pada PRN kali ini adalah selaras di setiap negeri.

    Menjadi amalan bagi setiap calon Pas yang dipilih bertanding akan berbai’ah yang mana sekiranya calon meninggalkan atau lompat ke parti lain dengan keredaan sendiri selepas menang atau dilantik senator maka dia akan dilaknat oleh Allah, rasul serta orang beriman serta segala perbelanjaan menggunakan wang elaun dewan adalah haram.

    Selain itu, calon juga bersumpah meletak jawatan apabila keluar atau dipecat oleh parti.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah memaklumkan bahawa bai’ah itu adalah sebagai janji setia terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

    Bai’ah cerai talak tiga pernah dilaksanakan di Kelantan apabila Pas berada dalam keadaan genting sehingga memaksa Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah boleh gugur talak tiga ke atas isteri calon PAS bagi memastikan mereka yang menang tidak mengkhianati parti.

    Menjelang PRU tahun lalu, Abdul Hadi pernah menyatakan bahawa amalan bai’ah hanya diamalkan dalam Pas dan tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).