Category: Politik

  • Hukum pihak yang sengaja cetuskan PRN Johor

    Hukum pihak yang sengaja cetuskan PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr. Karim Deraman mahu rakyat menghukum pihak yang segaja mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa alasah yang kukuh.

    Jelas Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah itu, ini kerana mereka tidak memikirkan kepentingan rakyat dan risiko untuk mengadakannya.

    “Mereka membawa rakyat Johor terpaksa menghadap risiko-risiko yang tidak patut dihadapi oleh rakyat Johor itu sendiri. Sedangkan Covid-19 masih tidak selesai lagi.

    “Moga rakyat menghukum mereka yang bertindak untuk kepentingan sendiri,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Ahmad Nawfal manfaat kempen hingga lewat malam

    Ahmad Nawfal manfaat kempen hingga lewat malam

    SEBELUM kempen pilihan raya menutup tirai menjelang tengah malam Jumaat ini, calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memanfaatkan kebenaran tempoh berkempen sehingga lewat malam dengan menampilkan pelbagai strategi bagi mendekati pengundi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminda prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor dengan membenarkan ceramah, syarahan dan kempen hingga 12 tengah malam berbanding sehingga 10 malam sebelumnya.

    Bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani daripada Perikatan Nasional (PN) Ahmad Nawfal Mahfodz, beliau mengadakan dan menyertai pertandingan futsal pada waktu malam kerana ia aktiviti yang digemari anak muda bagi mengisi masa lapang mereka pada waktu malam.

    Selain kempen rumah ke rumah, program seperti aktiviti futsal itu akan membolehkan beliau mendekati masyarakat serta mengetahui keperluan dan masalah berbangkit mereka.

    “Kempen hingga larut malam ini memang kelebihan buat semua yang bertanding, kerana kita ada lebih masa dan dapat bertemu lebih ramai pengundi,” kata Ketua Pemuda PN Johor berumur 38 tahun itu kepada Bernama.

    Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata parti-parti politik mempunyai masa lebih panjang untuk berkempen apabila SPR melanjutkan tempoh berkempen sehingga 12 tengah malam.

    “Di sebelah malam biasanya pengundi mempunyai masa, kerana pada waktu siang mereka bekerja. Parti politik yang bertanding perlu kreatif menggunakan kesempatan masa yang ada ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program,” katanya.

    Bagaimanapun, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata kempen rumah ke rumah atau secara bersemuka masih menjadi kaedah terbaik untuk menarik sokongan pengundi.

    “Ia lebih berkesan kerana ia ada sentuhan hati ke hati. Kaedah lama ini masih lagi relevan kerana pengundi akan lebih mengenali calon bertanding apabila mereka sendiri bertemu dengan calon dan mengenali perwatakan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

  • Johor terus maju, moden apabila PN menjadi kerajaan negeri

    Johor terus maju, moden apabila PN menjadi kerajaan negeri

    CALON Perikatan Nasional (PN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Nur Faizal Abdullah percaya Johor akan menjadi lebih maju dan moden sekiranya PN menjadi kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.

    Beliau berkata, banyak usaha dapat dilakukan apatah lagi Johor merupakan sebuah negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara pada 2020 selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

    “Johor yang mempunyai banyak potensi ekonomi termasuk bersempadan dengan Singapura memerlukan pengemudi atau kerajaan yang dapat memacu lebih banyak peluang ekonomi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

    “Menerusi tunjang Ikrar PN iaitu keutuhan ekonomi, saya dapat lihat pelbagai pelan dirangka Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Antaranya pelan sedekad Johor yang bakal memberi manfaat kepada setiap lapisan rakyat Johor,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut Nur Faizal, beberapa inisiatif ekonomi bakal dilaksanakan dengan pemerkasaan kegiatan ekonomi setempat bagi kawasan terletak di sempadan negeri Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

    “Industri strategik di kawasan yang terletak di sempadan negeri boleh ditingkatkan dengan pemerkasaan ekonomi yang dilakukan. Ia melibatkan industri pelancongan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pengangkutan.

    “Inisiatif yang bakal dilakukan akan mengoptimumkan pelbagai sektor termasuk ekonomi. Ikrar keutuhan ekonomi ini jelas menunjukkan perancangan yang rapi untuk Johor,” ujarnya.

    Katanya, pertumbuhan ekonomi Johor diterajui oleh sektor perkhidmatan khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan; diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik turut menjadi tumpuan PN.

    “Saya percaya rakyat Johor pasti mahu sebuah kerajaan yang boleh membangun dari segi ekonomi. Justeru PN jadi pilihan tepat untuk PRN Johor,” katanya.

  • Shazani amat benci rasuah, pencuri dan perompak wang rakyat

    Shazani amat benci rasuah, pencuri dan perompak wang rakyat

    SEPERTI kebanyakan anak muda lain di Johor, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A Hamid amat membenci rasuah.

    Sikap itu menjadikan PN yang sentiasa memberi keutamaan terhadap prinsip integriti dan bersih serasi dengan diri beliau.

    “Saya menentang hebat rasuah, mencuri dan merompak ini. Rakyat nampak dan rakyat marah tindakan sebegitu.

    “Dari atas sehingga ke akar umbi ada rasuah ini. Maka, saya sebagai orang baharu berharap sangat untuk PN menentang hebat dan berpegang kepada kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah serta prihatin kepada rakyat.

    “Kami sebagai calon dari PN telah pun membuat akujanji untuk bebas dari rasuah dan menentang kleptokrasi,” katanya seperti dipetik daripada wawancara Utusan TV.

    Calon muda berusia 31 tahun yang fasih berbahasa Mandarin itu menyifatkan pengalamannya berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sangat mencabar.

    Beliau dapat melihat rakyat marah dengan situasi yang dihadapi, isu-isu yang masih tergantung dan tiada penyelesaian.

    “Memang kena marah malah kena halau. Walaupun bukan kita yang buat tetapi mereka marah dan benci mendengar tentang politik ini disebabkan dengan apa yang mereka lalui.

    “Di samping itu, dalam kempen ini boleh berjumpa dengan masyarakat berbilang bangsa dan kaum. Malah, dapat melihat penerimaan mereka yang berbeza-beza. Ada yang positif dan negatif.

    “Alhamdulillah, kebanyakannya positif termasuk dari bangsa-bangsa lain. Mungkin kerana saya pandai berbahasa Mandarin,” jelasnya.

    Shazani yang lebih mesra dengan panggilan Cik Nani yakin pengundi pelbagai kaum pasti dapat menerimanya.

    “Jadi penerimaan dari bangsa Cina, mereka sangat mengalu-alukan calon yang muda dan baharu. Tidak kurang juga yang berbangsa Melayu,” ujarnya.

  • Najib perlu segera beri jawapan, bukan tunggu hingga PRN Johor berakhir

    Najib perlu segera beri jawapan, bukan tunggu hingga PRN Johor berakhir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Najib Tun Razak seharusnya segera memberikan penjelasan terhadap dakwaan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) seperti diarah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum ini.

    Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, tindakan Najib yang memaklumkan hanya akan memberi penjelasan perkara itu selepas berakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seolah-olah menunjukkan Ahli Parlimen Pekan tersebut tidak mampu memberi penjelasan memuaskan.

    “Beliau tak boleh bagi penjelasan, sebab itu Beliau tak buat demikian. Kalau penjelasannya betul dan boleh diterima akal, maka dia perlu bagi penjelasan sebelum PRN kerana perkara tu akan mempengaruhi orang untuk menyokong dirinya.

    “Ini sebab tak boleh pengaruhi orang sokong, sebab itu beliau tak bagi penjelasan,” katanya ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Lang Agro Park di Langkawi, hari ini.

    Sementara itu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan yang beliau tidak lagi akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Begitu pun katanya, beliau akan tetap memainkan peranan untuk berkempen bagi individu yang akan menggantikannya.

    “Saya masih tak pulih sepenuhnya, masih lemah dan tidak kuat. Tetapi setakat nak ke Johor, bercakap sikit-sikit dan ke Langkawi untuk berkempen, itu bolehlah.

    “Tetapi saya ingat, kita bagi peluang kepada orang lainlah (Untuk bertanding di Langkawi dalam PRU-15),” katanya.

    Tambahnya, calon yang bakal menggantikannya itu sudah tentu seseorang yang lebih muda daripadanya.

    “Kita nak cari orang yang lebih muda dari saya. Saya boleh ada bersama, beri nasihat dan boleh ambil bahagian dalam kempen pun.

    “Kalau ada satu tempat yang saya perlu hadir, saya akan hadir. Mungkin boleh bercakap sikit untuk membantu kempen calon,” katanya.

  • ‘’Tak payah, Azmin..budak sekolah pun boleh debat dengan Najib’’ – Muhyiddin

    ‘’Tak payah, Azmin..budak sekolah pun boleh debat dengan Najib’’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cabaran bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk berdebat mengenai isu Felda.

    Beliau berkata PN tidak perlu menghantar Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat kerana yakin berdasarkan data-data dan fakta-fakta kejayaan kerajaan PN untuk atasi masalah Felda, Najib tidak akan mendapat menjawabnya sekiranya mereka berdebat.

    “Apa Najib nak cabar dengan data-data dan fakta-fakta sudah ada terpampang di depan mata dia…. Nak bahas apa lagi.

    “Tak payah Azmin, budak sekolah pun boleh menang dalam debat seperti itu,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis pelancaran program mendayakan ketersambungan luar bandar dan merapatkan jurang Digital dengan TV White Space di Stadium MPM Lenga di Muar, lapor FMT.

    Ahad lalu, Najib mencabar Muhyiddin berdebat mengenai isu Felda dan mencadangkan Azmin membantu Presiden Bersatu itu ketika berdebat nanti.

    Terdahulu pada Sabtu lepas, Azmin mencabar Najib berdebat dengannya mengenai isu Felda dan turut mendakwa, kepimpinan bekas Perdana Menteri itu menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau tidak perlu berdebat dengan Najib kerana mahu membiarkan pengundi di Johor yang disifatkan sebagai hakim terbaik menentukan keputusan pada Sabtu ini.

    “Beliau (Najib) sendiri mencampuri urusan pentadbiran Felda yang tidak dipersetujukan oleh Ahli lembaga Pengarah seperti penyenaraian FGV, pembelian ladang ladang Eagle High. Banyak penyelewengan Najib tak boleh nak tepis.

    “Terduduk nak jawab. Macam mana cara nak jelaskan, Apa lagi penyelesaian hutang peneroka Felda RM8.3 bilion yang saya hapuskan.

    “Mereka kata atas desakan UMNO (hapuskan hutang peneroka). Apa desakan UMNO. UMNO memimpin negara dah berpuluh tahun kalau sedar masalah itu waktu itu dah selesaikan masalah,” katanya.

    Muhyiddin juga berkata beliau yang tidak sampai setahun memerintah kerajaan PN telah hapuskan hutang peneroka, terbitkan sukuk dijamin oleh kerajaan RM9.9 bilion untuk ambil alih semula FGV, pulihkan Felda pada satu organisasi.

    “Dengan data-data dan fakta-fakta sudah ada terpampang di depan mata, dia nak bahas apa lagi,” soal Muhyiddin.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata calon Menteri Besar bagi PN akan diputuskan selepas memenangi PRN Johor pada 12 Mac ini, bagaimanapun pengundi tidak perlu bimbang kerana calon yang bertanding mempunyai kelayakan yang baik.

  • Peja kasihan dengan Najib, doa diberi petunjuk

    Peja kasihan dengan Najib, doa diberi petunjuk

    PELIK tapi benar. Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berasa ‘kasihan’ dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “SAYA sebenarnya rasa cukup ‘kasihan’ dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), ‘kasihan’ kepada pemimpin UMNO yang masih mendukung mereka,” katanya.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum PN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Parit Seraya, Pontian, malam tadi.

    Pemimpin yang lebih popular dengan gelaran Peja itu merasakan Najib dan pemimpin UMNO lain masih belum terbuka hati serta diberi petunjuk untuk kembali ke jalan yang benar.

    Ahmad Faizal turut menyuarakan kehairanan apabila melihat masih ada sebilangan masyarakat terus mendukung Najib sedangkan telah terbukti bersalah di mahkamah.

    Ini kerana, kata beliau, satu dunia dengan jelas telah menyaksikan kemungkaran dan kerosakan yang telah dilakukan menerusi penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.

    “Saya terlalu kasihan kerana Allah masih belum membuka hati mereka, belum diberi petunjuk dan hidayah untuk kembali ke jalan benar.

    “Saya hairan kalau satu dunia nampak dengan jelas kemungkaran dan kerosakan yang telah dibuat tetapi masih ada sebilangan di negara kita yang mampu mengeluarkan kalimah ‘bossku’ kepada seorang yang telah cuba membinasakan kita,” jelasnya.

    Berbeza dengan parti lain terutama Barisan Nasional (BN), Ahmad Faizal berkata, PN merupakan sebuah parti yang membawa konsep politik kasih sayang kepada seluruh rakyat.

    Beliau berkata, PN menerusi Ikrar yang telah dibentangkan sebelum ini berhasrat membawa rakyat Johor keluar daripada segala kemelut yang melanda akibat pandemik COVID-19.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, PN adalah satu-satunya parti yang mementingkan calon berintegriti, bersih dan benci kepada rasuah.

    “Saya melihat calon parti lain, bukanlah mereka ini perompak atau pencuri tetapi apa yang membezakan ialah mereka boleh mendekatkan diri kepada pemimpin yang berlaku rasuah, berani membuat penyelewengan dan sebagainya.

    “Calon kita benci rasuah, sama-sama menandatangani ikrar menolak rasuah secara terbuka, ini jelas direkodkan dan di masa akan datang boleh tunjukkan semula,” jelas beliau.

    Program ceramah itu turut dihadiri Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

  • PN pilihan terbaik anak muda Johor

    PN pilihan terbaik anak muda Johor

    DI satu sudut di kawasan deretan kedai di Taman Pagoh Jaya, seorang remaja Aiman Tosiran tekun membelek telefon pintar untuk mendapatkan siaran secara live program Pentas Anak Muda yang menampilkan pemimpin-pemimpin golongan muda Perikatan Nasional.

    Meskipun boleh sahaja mendengar terus ceramah di lokasi, namun kerana sistem audio yang kurang jelas, ditambah jiwa muda yang sememangnya sangat dekat dengan teknologi dan media sosial, Aiman lebih selesa mengikuti menerusi telefon pintarnya.

    Berbeza dengan ratusan anak muda lain yang siap memakai baju PN, Aiman hanya mengenakan seluar, kurta dan kopiah, mungkin baru lepas urusan di surau.

    “Saja tengok orang,” katanya sebaik disapa sambil menanggalkan sebelah fon telinganya.

    Aiman memberitahu, jika Sabtu ini dia keluar mengundi, itu bakal menjadi pengalaman pertamanya menggunakan hak sebagai seorang warganegara memilih pemimpin negeri dan negara.

    Sebenarnya Aiman adalah salah seorang daripada 749,731 pengundi berusia 18 tahun yang layak mengundi pada PRN Johor kali ini susulan pendaftaran Undi18.

    Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus kepada jumlah keseluruhan pengundi PRN Johor yang kini berjumlah kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Namun seperti kebanyakan pengundi muda lain, Aiman juga masih keliru tentang pilihan.

    Selain faktor legasi dan keluarga, lambakan maklumat di media sosial dan kempen agresif jentera parti-parti politik di media sosial yang cuba mempengaruhi pandangan golongan muda, menjadikan ramai keliru.

    Tidak dinafikan ramai mereka terperangkap dalam persepsi dan sejarah keluarga yang telah menyokong sesebuah parti sejak dahulu lagi.

    Dan Aiman tidak terkecuali masih terperangkap dalam pilihan sama ada meneruskan pilihan keluarga atau pun melakukan perubahan mencuba yang baru.

    “Itu masalahnya,” kata Aiman bercakap tentang sokongan keluarga khususnya kedua-dua ibu bapa.

    Namun Aiman dan lebih 700,000 pengundi muda sebenarnya tidak sukar untuk membuat pilihan jika menyoroti kembali ucapan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari malam tadi.

    “Selepas 60 tahun, tidak dinafikan ada kebaikan daripada BN sebelum ini tetapi setakat mana mereka beramanah dan berintegriti dalam mentadbir negara ini.’ ujarnya.

    Kisah kerakusan pemimpin BN bukan lagi sekadar kisah di kedai kopi, namun sudah dibicarakan panjang lebar di mahkamah, malah sesetengahnya sudah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

    Tiada lagi rahsia pemimpin BN yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, malah PRN Johor juga bukti BN hanya mementingkan kuasa berbanding survival rakyat.

    Justeru Ahmad Fadhli mengingatkan pengundi muda jika mereka menyerahkan sekali lagi masa depan ini kepada golongan yang tidak menghiraukan survival rakyat, maka mereka, golongan muda akan berdosa kepada negeri ini dan menggadaikan masa depan mereka sendiri.

    “Justeru kepada adik-adik berumur 18, 19, 20 tahun, bersaksilah bahawa peluang anda untuk memangkah kali pertama tidak akan anda gunakan untuk memangkah penyamun merompak.

    “Tidak akan anda gunakan (peluang) mengundi (kali pertama) menggadaikan masa depan negara,” ujarnya sambil menyeru anak muda menjadikan kehadiran di Bukit Kepong malam tadi medan kebangkitan anak muda menolak pemimpin rasuah dan memilih pemimpin berintegriti yang diketengahkan PN.

    Mungkinkah Aiman akan menjadi sebahagian kebangkitan anak muda Johor pada PRU Johor kali ini, 12 Mac akan menentukannnya.

    Yang pasti Aiman pasti kembali dengan pendirian lebih jelas dan memilih parti yang memberikan tawaran terbaik untuk anak muda Johor seperti Perikatan Nasional.

  • Calon PH DUN Skudai, Marina Ibrahim positif Covid-19

    Calon PH DUN Skudai, Marina Ibrahim positif Covid-19

    CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim disahkan positif Covid-19 melalui ujian kendiri pada Isnin lepas.

    Perkara itu disahkan oleh Marina menerusi hantaran pada akaun Twitter rasminya pada Rabu dan turut memaklumkan beliau sedang menjalani kuarantin di rumah serta menunggu hasil ujian RT-PCR.

    Bagaimanapun beliau berkata, semangatnya untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak luntur dan akan meneroka cara lain termasuk media sosial untuk berhubung dengan pengundi Skudai dalam tempoh kuarantin.

    “Saya berharap anda semua akan terus memberi sokongan kepada saya dan pasukan kempen saya sehingga hari pengundian nanti. Pasukan saya akan meneruskan kempen walaupun dengan ketiadaan saya secara fizikal,” menurut hantaran tersebut.

    Marina berdepan pertandingan tiga penjuru antara Lim Soon Hai yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) Khoo Kong Ek.

    PRN Johor akan diadakan Sabtu ini. – Bernama

  • PN umum nama MB lepas menang PRN Johor

    PN umum nama MB lepas menang PRN Johor

    PERIKATAN Nasional (PN) hanya akan mengumumkan nama Menteri Besar Johor selepas berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pengundi tidak perlu berasa ragu dan bimbang kerana PN membariskan ramai calon yang berkelayakan dan berpengalaman untuk mentadbir negeri.

    “Bila sudah diputuskan kita memperoleh sejumlah kerusi yang mampu membentuk kerajaan, maka selepas itu baru kita namakan (Menteri Besar) dan nama akan dikemukakan untuk mendapat perkenan Sultan,” katanya selepas merasmikan TV White Space di Stadium Lenga di Pagoh hari ini.

    PN membariskan 56 calon untuk bertanding di semua kerusi PRN Johor.

    Muhyiddin dalam pada itu menyasarkan antara 70 dan 75 peratus pemilih akan keluar mengundi termasuk dalam kalangan pengundi 18 tahun ke atas dan yang pertama kali mengundi.

    “Diharap pengundi yang berada di luar Johor akan mengambil peluang untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing,” katanya. – BERNAMA