Category: Politik

  • Ikrar PN bentuk tamadun Bangsa Johor yang baharu

    Ikrar PN bentuk tamadun Bangsa Johor yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan Ikrar PN Untuk Johor iaitu manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’ mempunyai visi dan misi yang jelas untuk negeri itu.

    Menariknya dan perlu diketahui terutama pengundi PRN Johor, gabungan tersebut menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

    Lapan tunjang utama itu ialah Kepemimpinan Berintegriti dan Bebas, Keutuhan Ekonomi Johor, Keprihatinan Kepada Rakyat, Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup, Kesejahteraan Sosial, Kecekapan Infrastruktur, Kerancakkan Sektor Pelancongan dan Kelestarian Alam Sekitar.

    Dapat dilihat semua lapan tunjang tersebut sebenarnya adalah asas permulaan yang bersifat fundamental dalam memacu perkembangan dan pertumbuhan Johor dalam tempoh lima tahun ke atas.

    Lapan tunjang tersebut menjadi kerangka serta hala tuju sebelum dikembang dan ditambah baik. Ini merupakan tawaran terbaik dan realistik sekali gus merupakan jalan keluar kepada kerosakan sistem pemerintahan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

    Semua asas tunjang tersebut sebenarnya dibuat berdasarkan denyut nadi rakyat yang amat dahagakan pembaharuan selain tidak sanggup lagi terperangkap dalam kitaran ganas kerajaan kleptokrat terdahulu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

    Ikrar PN yang pertama, Kepemimpinan Berintegriti dan Bebas. Ini adalah asas kepada pemerintahan adil, bertanggungjawab dan Islamik. Jika tidak, ia akan dirosakkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan karenah biokrasi yang melumpuhkan sistem pentadbiran.

    PN melihat elemen ini sangat penting dalam kerajaan negeri yang dibentuk nanti kerana rakyat sendiri sudah menyaksikan korupsi dan kletokrasi membinasakan negara, sebagai contoh kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Tunjang kedua adalah Keutuhan Ekonomi Johor, ini juga penting kerana Johor adalah negeri progresif dan mempunyai pelbagai sumber untuk terus diteroka dengan sumber manusianya yang kompeten dan berdaya saing.

    Ini amat penting apatah lagi Johor yang bersempadan dengan Singapura menerima banyak manfaat limpahan ekonomi, kelebihan dan peluang yang dinikmati itu tidak perlu dipersia-siarkan.

    PN memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor merangkumi Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 termasuk menyediakan pelbagai bantuan khas. Ini perlu dinilai rakyat Johor kerana menyediakan tawaran inklusif bagi memastikan tiada yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat di negeri ini.

    Tunjang ketiga dan keempat iaitu Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup serta Keprihatinan Kepada Rakyat adalah saling berkait dengan tunjang kedua malah saling lengkap melengkapi.

    Misalnya penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar PN itu merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi di seluruh negeri. Ini amat melegakan peniaga selepas kehidupan dihimpit pandemik Covid-19.

    Begitu juga tawaran PN berkenaan penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan. Tawaran lain seperti pemberian kad prihatin Johor dan skim pemberian air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah melihatkkan PN faham dengan keadaan terkini rakyat.

    Bagi satu keluarga yang mempunyai pendapatan RM2,000 tetapi mempunyai dua anak, berbeza dengan satu keluarga lain pendapatan sama tetapi anak empat, perkara ini akan ambil kira. Ini adalah contoh dasar yang prihatin.

    Sementara tunjang kelima iaitu Kesejahteraan Sosial adalah tepat pada masanya kerana Johor memerlukan satu lonjakan progresif selepas dilanda pandemik tersebut yang mengakibatkan banyak sektor terbantut dan perlahan perkembangannya.

    Banyak perkara dan usaha yang perlu disusun semula menurusi tunjang tersebut selepas Johor terjejas teruk terumata aktiviti ekonominya dan ini memerlukan pelan tindakan jangka masa pendek serta panjang.

    Usaha untuk mensejahterakan sosial dan menaik taraf infrastruktur akan dilakukan kerana tiada guna jika dapat tingkatkan kualiti hidup, turunkan kos sara hidup tetapi tidak wujud rasa selamat dalam diri rakyat kerana bergaduh antara kaum.

    Strategi tunjang kelima itu juga dilihat sebagai langkah kepada keselamatan dan perpaduan sosial yang terkandung sekali gus memperkukuh perpaduan bangsa Johor serta memperkasa keselamatan dan ketententeraman awam.

    Tunjang itu juga menggariskan lima strategi – tiga daripadanya adalah Memperhebat Generasi Pewaris Johor Melalui Pendidikan Berkualiti, Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan dan Meningkatkan Akses Rumah Mampu Milik.

    Bagi tunjang keenam pula iaitu Kecekapan Infrastruktur, ini perlu dilakukan secara holistik kerana sebelum ini pembangunan seakan-akan banyak tertumpu di kawasan bandar terutama tiga bandar raya yang terdapat di Johor.

    Bayangkan Johor ketika ini sebagai sebuah negeri yang maju dan bersebelahan dengan Singapura masih tidak mempunyai jaringan dan capaian internet yang pantas selain tidak menyeluruh di beberapa kawasan luar bandar.

    Begitu juga kemudahan asas antaranya jalan raya masih berada pada tahap kurang memuaskan. Cuba bayangkan bandar Pasir Gudang yang dinaik taraf sebagai bandar raya pada tahun lalu, keadaan jalan raya sedia ada masih tidak memuaskan dan tidak sesuai dengan status tersebut.

    Tunjang ketujuh, Kerancakkan Sektor Pelancongan adalah juga elemen yang penting kerana Johor mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik malah ada pulau-pulau di Mersing yang masih ‘kosong’ dan tidak dibangunkan.

    Setiap daerah di Johor mempunyai tarikan tersendiri apatah lagi bersempadan dengan negeri lain. Kelebihan dan kedudukan Johor yang berjiran dengan Singapura pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pelancongan.

    Sementara Kelestarian Alam Sekitar yang merupakan tunjang kelapan, amat penting dan selari dengan tuntutan milennial. Kita semua sedang bergerak ke hadapan dan sebagai sebuah negara serta negeri yang maju, aspek itu tidak boleh diabaikan.

    Ini adalah tuntutan global dan tunjang kelapan itu dilihat amat tepat pada masanya kerana isu pencemaran alam sekitar bukan baharu. Contohnya pencemaran Sungai Kim Kim yang sehingga kini tiada penyelesaian.

    Kita tidak tahu apa tindakan yang diambil malah pencemaran bahan buangan sisa kimia masih terus berlaku tanpa dapat dikawal terutama di Pasir Gudang yang mempunyai lebih 5,000 kilang.

    Begitu juga sungai-sungai di Johor yang dikategorikan sebagai antara ‘sungai mati’ dan sungai paling teruk tercemar di Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan bertambah parah.

    Kesimpulannya semua tunjang dalam Ikrar PN bukan retorik, sebaliknya komitmen realistik dan praktikal bahawa PN yang bakal membentuk kerajaan negeri nanti kelak adalah bersih, cekap dan prihatin rakyat.

    Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangi kepemimpinan berintegriti dan bebas rasuah selain mempunyai pelan komprehensif dan sentiasa memandang jauh ke hadapan. 

  • Angkara skandal 1MDB, Pak Arab tak lagi hormat Malaysia

    Angkara skandal 1MDB, Pak Arab tak lagi hormat Malaysia

    DUNIA kini tidak lagi memandang tinggi terhadap Malaysia ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri merangkap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapati skandal 1MDB telah memalukan negara di persada antarabangsa.

    Malah berdasarkan pengalamannya sendiri di tanah suci Mekah, orang Arab di sana turut mengetahui tentang Najib dan skandal 1MDB.

    “Waktu zaman dahulu kalau kita menunaikan haji dan umrah, jumpa dengan Arab dekat sana dia kata ‘Ya haji, ente dari mana?’ Ana orang Malaysia. ‘Malaysia baik, bagus tempat Abdul Rahman’.

    “Dia sebut nama Tunku (Abdul Rahman Putra Al-Haj) waktu itu. Bagus kerana ada ini menara Petronas yang tinggi. Bagus kerana ada pembangunan yang pesat.

    “Apa makna tu? Penghormatan masyarakat dunia terhadap Malaysia kerana kepimpinannya yang jujur dan ikhlas.

    “Cuba pergi sekarang ni. ‘Ente daripada mana?’ Malaysia. ‘Oh, itu Najib Razak. Itu sudah korup itu. Itu haram.’ Betul tak? Mana nak taruk muka?” katanya ketika berucap pada ceramah umum PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di Bilik Gerakan PN, Padang Endau, Mersing malam tadi.

    Presiden Bersatu itu juga berterus-terang mengakui bahawa seorang pemimpin yang sudah lama dalam kerajaan sehingga diangkat menjadi Perdana Menteri terlibat dalam kes rasuah yang disifatkan sebagai penyelewengan terbesar di dunia.

    Sementara itu, beliau berkata, Bangsa Johor mesti keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok bagi mengelakkan tragedi yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Melaka berulang di Johor.

    Muhyiddin mengingatkan bahawa jumlah kehadiran yang ramai semasa program ceramah tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur sama ada parti akan menang atau kalah dalam pilihan raya.

    “Tapi bila sampai pilihan raya bukan perasaan, bukan sentimen. Tapi bilangan angka undi yang kita dapat. Jangan lihat macam contoh di Melaka.

    “Di Melaka, PN hampir menang di banyak kerusi. Tetapi kerana UMNO lebih sedikit daripada kita, mereka menang lebih daripada kita.

    “Calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mas Ermieyati (Samsudin) yang saya umumkan kalah hanya 239 undi sahaja. Cuba fikir kalau 400 orang keluar. Dah pasti kita menang.

    “Calon kita jugak di satu DUN di Melaka yang diwakili oleh PAS kalah hanya dengan 79 undi sahaja. Kalau hari tu, 80 orang keluar. Dah menang kita.

    “Jadi saya nak ingatkan sakit, uzur, sihat tubuh badan keluar. Jangan tak keluar. Ralat saya kalau tuan-tuan tak keluar dengan hanya sebab 10 undi, kita kalah. Nauzubillahiminzalik,” ujarnya.

    Beliau turut menyeru agar Bangsa Johor khususnya ahli dan penyokong PN yang berada di negeri-negeri lain agar pulang mengundi esok bagi memastikan parti diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    Dengan sebab 100 undi kita tak dapat satu lagi undi untuk membentuk kerajaan.

    Nak bentuk kerajaan mesti ada 28 kerusi DUN campur satu. Barulah dikatakan majoriti mudah.

    Apa jadi kalau kita dapat 28, tak dapat satu. Satu pulak di Endau. Endau pulak tu hanya 100 undi.

    Kalau terjadi hal sebegitu, ralat kita. Ralat 1000 kali ralat nak buat apa? Nak menangis air mata sekali pun nak jadi apa? Duduk termenung seminggu pun nak jadi apa? Dah kalah.

    Nasib baik saya cakap ni kita tak kalah dan kita tak nak kalah ni. Kita nak menang. Kalau kita nak menang kita mesti keluar undi.

    Anak kita yang ada di Kuala Lumpur baliklah mengundi. Jangan terbiar dan tak buat apa-apa. Sakit, usung mereka. Bawa mereka ke pusat pembuangan undi. Tak taulah kalau sakit COVID-19.

  • Najib sembang macam dia selamatkan Felda… POORAH!

    Najib sembang macam dia selamatkan Felda… POORAH!

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin memang jarang bercakap tentang isu politik apatah lagi berceramah secara terbuka di depan orang ramai.

    Beliau lebih dikenali dengan peranannya sebagai Menteri Kanan Pendidikan dan lebih banyak memberi kenyataan berkenaan kementeriannya.

    Tetapi, bila sekali-sekala Radzi diberi kesempatan berceramah, memang pedas dan berapi.

    Pada ceramah umum Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di Bilik Gerakan PN, Padang Endau, Mersing malam tadi, beliau menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Najib selama ini mendabik dada kononnya beliau yang menyelamatkan Felda namun dakwaan itu disangkal oleh Radzi.

    “Dia cerita seolah-olah dialah yang menyelamatkan Felda… pooorah! Sembang,” kata Radzi penuh bersemangat ketika mendedahkan tentang isu pembelian Eagle High Plantations Tbk di Indonesia daripada Kumpulan Rajawali ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu.

    Beliau menyambung: “Apa nak buat? Beli harga 584 rupiah tinggal 83 rupiah hilang nilai 84 peratus. Ini duit siapa? Generasi peneroka, anak-anak mereka, masa depan pewaris Felda.

    “Dia kata dia bercerita… eh tak apa, dia ada put option. Ini meniaga ni, meniaga orang atas-atas. Nanti dia bayar bunga enam peratus setahun dia kata.

    “Put option ni apa? Maknanya dia kata Eagle High boleh beli balik yang mana Felda ambik tadi.

    “Eh, eh, eh, dia kata tak apa untung enam peratus. Dia tak tahu duit yang dia pinjam daripada Kementerian Kewangan itu kena bayar bunga jugak.

    “Tolak bunga ni, tolak bunga tu, tinggal berapa sen je untung? Tetapi pada masa yang sama tahun 2019 Felda dah mintak oklah aku dah tak nak pegang dah saham ni.

    “Kau ambik baliklah. Kau bagi duit aku RM2.3 bilion. Tapi syarikat tersebut pusing-pusing kata macam-macam. Tak nak bagi balik, masih berunding.

    “Di peringkat antarabangsa nak runding supaya tak payahlah dulu. Kami tak nak pulangkan balik RM2.3 bilion ini. Belum sampai masanya lagi.

    “Saya risau kalau tempoh put option ini tamat pada Mei tahun depan, saya risau kalau Felda tak dapat balik seperti mana yang dijanjikan.

    “Ini kerja manusia yang tidak fikir orang lain. Ini manusia yang fikir bahawa sampai ke sudah rakyat akan menyokong mereka,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Radzi menyeru semua warga Felda termasuk generasi kedua dan pewaris supaya kembali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok bagi memastikan UMNO dan BN dapat ditumbangkan di Johor.

    Beliau bimbang usaha-usaha pemulihan Felda yang dimulakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri dahulu digagalkan oleh UMNO dan BN.

    Sebaliknya, kata Radzi, jika PN memerintah. peneroka boleh membeli tanah yang untuk membina rumah generasi kedua Felda di Johor dengan membayar premium RM1 setiap kaki persegi sahaja.

    Perkara itu terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor yang dilancarkan Muhyiddin baru-baru ini.

  • Jasa, sumbangan Muhyiddin terus segar di DUN Gambir

    Jasa, sumbangan Muhyiddin terus segar di DUN Gambir

    TAN Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri memperkenalkan lapan pakej rangsangan yang telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat, serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

    Semua pakej rangsangan itu bernilai RM530 bilion adalah satu tujuan iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela dan kini Muhyiddin meneruskan khidmat dan bakti PN menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN).

    Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Solihan Badri berkata, Ikrar PN yang ditawarkan itu juga berasaskan kepada keperluan terkini rakyat selain perancangan jangka masa panjang bagi jaminan pentadbiran yang lebih efisyen pada masa akan datang.

    Mengulas mengenai perkara yang ingin dibawakan PN khusus bagi kawasan ditandinginya, Mohd Solihan berkata, Gambir merupakan lokasi berpotensi untuk dikembangkan dan sentuhan daripada Ikrar PN itu adalah ramuan terbaik untuk pelaksanaanya.

    “Wadah ini kita kira adalah platform politik, tetapi sebenarnya apa falsafah perjuangan yang kita PN mahu terapkan. Ia adalah usaha untuk kita buktikan kesungguhan wakil rakyat kita dalam melaksanakan sesuatu.

    “Paling utama, perkara yang saya mahu laksanakan di sini (Gambir) adalah ia mestilah merangkumi semua aspek sama ada ekonomi, sosial, kesihatan mahupun pendidikan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd Solihan yang juga Ketua Penerangan PN Johor memberitahu, hasrat pertamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat di Gambir adalah meneruskan legasi Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan bekas wakil rakyat di kawasan berkenaan.

    “Jadi kalau saya nak kembangkan perkara ini adalah saya mahu meneruskan hasrat Muhyiddin untuk membangunkan Gambir sebagai kawasan industri ringan.

    “Sebenarnya keputusan untuk perkara ini telah pun dibuat. Ia akan dilaksanakan cuma ketika ini kita hanya berhadapan dengan isu masih mengenal pasti lokasi sesuai dan tanah yang boleh digunakan,” katanya.

  • Rakyat Endau faham PN masih berkuasa di Persekutuan

    Rakyat Endau faham PN masih berkuasa di Persekutuan

    itik patah kaki johor

    KECENDERUNGAN rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau kepada Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan oleh kefahaman mereka PN masih berkuasa di peringkat Persekutuan.

    Hakikat itu, kata penyandang kerusi DUN berkenaan, Alawiyah Talib, bermakna walaupun PN tidak berjaya menubuhkan kerajaan di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, wakil-wakil rakyatnya masih boleh banyak membawa manafaat kepada mereka.

    Menurut beliau, perkara itu juga memberikan rakyat Endau kefahaman dan keyakinan akan ada satu perubahan kepada negeri Johor jika PN berjaya menubuhkan kerajaan negeri berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama ini.

    “Kerajaan PN masih di peringkat Persekutuan Persekutuan.

    “Inii bermakna masih banyak ruang yang boleh saya lakukan untuk rakyat Endau,” katanya kepada SatuBerita ketika ditemui di Majlis Minum Petang Bersama Komuniti Cina di Medan Ikan Bakar Endau, hari ini.

    Menyentuh mengenai persaingan sengit PN dan Barisan Nasional di Endau, Alawiyah yang lebih mesra dipanggil Kak Awi berkata, rata-rata penerimaan rakyat di kawasan itu amat menggalakkan.

    “Ini merupakan satu indikasi bahawa mesej perubahan yang dibawa oleh PN sampai dan difahami oleh rakyat di DUN itu.

    “Kita mahu bawa perubahan kepada Endau dan rakyatnya boleh menilai prestasi PN yang saya wakili dalam penggal yang lalu,” katanya. 

  • Sambutan menggalakkan komuniti Cina Endau terhadap kunjungan Muhyiddin

    Sambutan menggalakkan komuniti Cina Endau terhadap kunjungan Muhyiddin

    KUNJUNGAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Endau hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada kaum Cina di kawasan itu.

    Beliau berkongsi tentang kunjungan tersebut dalam laman Facebook hari ini:

    Hari ini saya bersama-sama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menghadiri Program Dialog Orang Muda bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Kampung Air Tawar, Endau, Mersing.

    Dalam majlis dialog ini saya berpeluang menjelaskan peranan yang dimainkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat terutama kumpulan B40, M40, golongan muda, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

    Saya memberi contoh bagaimana Johor menjadi negeri yang menerima kesan besar akibat pandemik COVID-19.

    Sekatan perjalanan rentas sempadan yang dilaksanakan menyebabkan banyak aktiviti ekonomi tergendala dan ramai penduduk Johor tidak dapat kembali bekerja di Singapura, begitulah sebaliknya.

    Alhamdulillah setelah banyak kali syor dan gesaan dibuat oleh MPN, kerajaan memutuskan untuk membuka balik sempadan negara pada 1 April ini yang sudah tentunya dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dan Singapura.

    Langkah ini pasti akan merancakkan kembali aktiviti ekonomi sekali gus dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak muda.

    Mengenai isu perumahan rakyat termasuk untuk golongan muda yang berlarutan sehingga sekarang, saya menegaskan kerajaan Perikatan Nasional akan memastikan isu rumah mampu milik diselesaikan sebagaimana terkandung dalam Ikrar Perikatan Nasional jika diberi peluang mentadbir negeri ini.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa menikmati makanan laut bersama komuniti Cina kawasan ini di Medan Ikan Bakar Endau.

    Sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina di sini amat menggalakan dan rata-rata mengharapkan agar perniagaan yang di jalankan akan menjadi semakin rancak.

  • PN terus dapat sambutan di Endau

    PN terus dapat sambutan di Endau

    itik patah kaki johor

    WALAUPUN tinggal kurang 48 jam untuk rakyat Johor membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, sambutan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) dilihat masih amat menggalakkan.

    Keadaan ini dapat dilihat dalam Ceramah Umum PN yang diadakan Pusat Gerakan PDM PN di Padang Endau, Endau yang berlangsung pada malam ini.

    Pada acara yang dihadiri oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon DUN PN Endau, Alawiyah Talib itu, hadirin dapat dilihat memenuhi khemah ceramah itu sehingga ada yang terpaksa berdiri di kawasan berdekatan bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Majlis ceramah tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

  • KKM keluarkan 42 kompaun sepanjang PRN Johor

    KKM keluarkan 42 kompaun sepanjang PRN Johor

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengeluarkan 42 kompaun berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat ini.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 13 kompaun telah dijelaskan membabitkan nilai keseluruhan RM13,000.

    “Walaupun ada 42 kompaun dikeluarkan, tetapi setakat ini pematuhan boleh tahan dan saya harap akan kekal sehingga hari pengundian nanti kerana yang penting kita mahu pengundi Johor keluar mengundi dan rasa selamat untuk mengundi,” katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Tangkak, hari ini.

    Khairy pada masa sama meminta semua calon dan jentera parti yang bertanding supaya kekal mematuhi SOP terutamanya dalam soal penjarakan fizikal semasa sesi tinjauan dan ceramah.

    “Penjarakan fizikal ni susah kita nak ‘maintain’ (kekalkan) satu meter sekarang, sebab itu saya maklumkan kepada penguat kuasa saya guna budi bicara dengan penjarakan yang munasabah,” katanya.

    Beliau berkata KKM mengeluarkan lima kompaun kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan pelanggaran SOP, namun sehingga kini hanya satu kompaun telah diserahkan pada 8 Mac lepas. – Bernama

  • PN bantu lenyapkan hutang peneroka Felda

    PN bantu lenyapkan hutang peneroka Felda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal mengingatkan pengundi Pilihran Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak lupa jasa gabungan itu melupuskan hutang peneroka Felda.

    “Salah satu pencapaian Perikatan Nasional yang membantu peneroka Felda. Masih ingatkah para peneroka semua 80% Hutang Peneroka Felda yang dihapuskan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin semasa beliau menjadi Perdana Menteri?

    “Marilah kita semua memilih calon yang Berkepimpinan, Berintegriti, Bersih dan Prihatin kepada rakyat,” kata bekas Menteri Besar Johor itu dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Pada 7 Julai 2021, Muhyiddin semasa menjadi menjadi Perdana Menteri mengumumkan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

  • Rekod cemerlang ‘Kak Awi’ mampu robek kubu kuat BN

    Rekod cemerlang ‘Kak Awi’ mampu robek kubu kuat BN

    KECEMERLANGAN rekod calon yang diketengahkan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu menggugat kubu kuat yang dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) itu, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Presiden Bersatu itu berkata, calon PN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Alwiyah Talib, mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat dan diyakini mampu mempertahankan kerusi tersebut bagi meneruskan perancangan yang diusahakan sebelum ini.

    Beliau berkata, maklum balas yang diperoleh menunjukkan Alwiyah yang dikenali sebagai ‘Kak Awi’ dalam kalangan penduduk setempat adalah sangat popular kerana banyak usaha yang dilakukan untuk membantu masyarakat.

    “Asasnya dia calon yang berkesan, digemari, calon mesra rakyat kerana sepanjang tempoh dia menjadi wakil rakyat sini, dia telah membuktikan perkara yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama golongan muda di Dewan Serbaguna Tok Mior, Kampung Air Tawar, Endau hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Alwiyah menang atas tiket BN tetapi kemudian bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

    Pada PRN Johor Sabtu ini, Alwiyah akan ditentang Mohd Youzaimi Yusof yang mewakili BN bagi merampas kembali kerusi itu, Mohammad Fakrulradzi Mahmud (Pakatan Harapan), Mohd Noorhisyam Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Bebas Ismail Don. – BERNAMA