Category: Politik

  • Saingan sengit, pengundi Melayu kekal sokong PN – Akhbar Singapura

    Saingan sengit, pengundi Melayu kekal sokong PN – Akhbar Singapura

    AKHBAR  Berita Minggu Singapura melaporkan, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menyaksikan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menerima pukulan di tangan Perikatan Nasional, memetik penganalisis yang mengatakan sokongan pengundi Melayu masih belum beralih kepada PH-BN sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    Akhbar itu memetik seorang penganalisis berpengalaman sebagai berkata terdapat petunjuk kukuh kerajaan negeri boleh tertukar di Negeri Sembilan dan Selangor, negeri ini merupakan sandaran utama kedua gabungan PH-BN dan PN dalam kempen mereka.

    Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berpendapat PN berpeluang membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, sambil menambah akan berlaku persaingan sengit di Selangor. 

    Beliau berkata sentimen semasa di Malaysia mencerminkan keadaan di tempat lain di dunia Islam.

    “Ini berdasarkan pemerhatian lama berkaitan politik Malaysia, kebangkitan politik Islam di negara itu serta perkembangan sejagat khususnya kebangkitan Islam bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Turkiye dan Indonesia,” katanya rapor MalaysiaNow.

    Norshahril Saat berkata berikutan jajaran politik baharu, adalah lebih sukar untuk meramalkan keputusan pengundian kali ini, meskipun tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dapat melihat pengukuhan pentadbiran Pas berikutan peralihan penyokong Umno ke arah PN.

    “Pulau Pinang pula adalah kubu kuat DAP, cuma bezanya adalah bagaimana rakyat negeri itu menilai kerjasama DAP dan Umno di peringkat Persekutuan. 

    “Selangor dan Negeri Sembilan pula agak sukar diramal, kerana setiap gabungan parti ada kekuatan masing-masing,” kata Norshahril yang juga felo kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Singapura.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata walaupun beliau menjangkakan status quo dari segi parti yang menerajui enam kerajaan negeri, namun majoriti dan kerusi dikuasai PH-BN diramal berkurangan berbanding jumlah yang dimenangi PH ketika bertanding secara solo sebelum ini.

    “Gelombang keraguan masyarakat Melayu kepada kerajaan perpaduan masih terlalu kuat.  Ini bukan sahaja berkaitan ‘gelombang agama’ (green wave), tetapi sentimen lebih umum berkaitan kegagalan kerajaan menangani isu kos kehidupan selepas tujuh bulan serta bantahan masyarakat Melayu kepada UMNO yang dilihat terlibat dengan rasuah,” katanya.

    “Gelombang hijau”, merujuk kepada warna tema Pas, ungkapan yang digunakan oleh pemimpin DAP untuk menggambarkan pencapaian PN dalam pilihan raya umum lalu, tetapi dilihat sebagai menghina dan bersifat Islamofobia oleh orang yang bersimpati terhadap parti Islam itu.

    Fauzi berkata PRN ini akan menyaksikan trend selama ini berulang, apabila Pas “secara automatik” akan menjadi parti pilihan mereka apabila ada rasa tidak puas hati terhadap UMNO.

    BN mengalami kekalahan pilihan raya paling teruk dalam PRU15 tahun lepas, dengan PN muncul sebagai pemenang di kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh UMNO. 

    Pemerhati dan peninjau menunjukkan bahawa trend itu akan berulang pada PRN. 

    Tinjauan terbaru yang diterbitkan oleh Institut Kajian Asia Tenggara Singapura mendapati majoriti mereka yang mengundi Umno dalam pilihan raya umum kini akan menyokong calon PN dan bukannya PH-BN.

    Menurut tinjauan tersebut, trend berkenaan dicerminkan di 39 kerusi majoriti Melayu di Selangor, dan menandakan berakhirnya pemerintahan 15 tahun PH di negeri terkaya Malaysia itu. 

    Oh, Norshahril dan Fauzi tidak menolak kesan kepada kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan sekiranya PH-BN berakhir dengan teruk pada PRN ini. 

    Fauzi berkata walaupun “secara teori” kerajaan persekutuan mungkin kekal, namun terdapat tekanan daripada akar umbi Umno untuk menilai semula sokongan parti itu terhadap Anwar. 

    Beliau menambah bahawa sekiranya Umno keluar, sokongan daripada GPS Sarawak dan lain-lain parti di Sabah juga boleh terjejas, kerana mereka akan menilai “tawaran lebih baik” yang diberikan PN. 

    Bagi Oh, kerajaan Anwar berisiko sekiranya berlaku kekalahan pada PRN ini.

    “Ahli Parlimen individu yang kini menyokong Anwar akan berfikir dua kali memandangkan keputusan PRN. Mereka akan kekal dengan parti mereka sekarang supaya tidak mencetuskan undang-undang antilompat parti, tetapi boleh mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemimpin PN untuk menjadi perdana menteri. Jika cukup bilangan mereka berbuat demikian, Anwar akan kehilangan majoriti (Parlimen),” tambah Oh.

  • Pas kata Gerakan minta tanding di kerusi selamat DUN Sungai Dua

    Pas kata Gerakan minta tanding di kerusi selamat DUN Sungai Dua

    PAS mengakui wujud permintaan dari Gerakan untuk meletakkan calonnya di Sungai Dua, susulan spekulasi presidennya Dominic Lau mahu mencari kerusi selamat di Seberang Perai Pulau Pinang pada PRN.

    Terletak di Seberang Perai, DUN Sungai Dua dikatakan “agak selamat” untuk Perikatan Nasional (PN) selepas kejayaanya merampas Parlimen Tasek Gelugor daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 12,252 undi.

    Naib Yang Dipertua Pas Tasek Gelugor Abdul Razib Rahim berkata Gerakan ada menyuarakan hasrat bertanding di Sungai Dua yang turut menjadi rebutan partinya dan Bersatu.

    “Dia (Gerakan) hanya berkeinginan saja tetapi di peringkat negeri dan pusat memang tak setuju (beri Sungai Dua kepada Gerakan). Kita dah putuskan mereka hanya bertanding di kerusi majoritinya bukan Melayu atau kerusi campuran,” katanya mengulas khabar angin Dominic turut mengintai peluang bertanding di DUN Sungai Dua, lapor FMT.

    Pada 18 Jun lalu, Dominic mengesahkan akan bertanding di satu daripada kerusi DUN di kawasan Seberang Perai.

    Gerakan akan bertanding 19 kawasan DUN di Pulau Pinang pada PRN bulan depan, terbanyak di kalangan komponen PN yang bakal mengisi baki 21 lagi kekosongan.

    Razib berpendapat Pas wajar diberikan peluang di Sungai Dua memandangkan ia kerusi tradisinya sejak sekian lama.

    “Kalau ikut maklumat (Sungai Dua) masih lagi ‘pending’ kerusi… Bersatu dan Pas masih mahu kerusi tu. Sama ada tukar DUN Air Tawar atau Sungai Dua (antara Bersatu dan Pas). Sekarang di peringkat Majlis Presiden untuk tentukan kerusi mana parti mana dapat tetapi bagi Pas, itu kerusi tradisi Pas…. pendirian Pas Tasek Gelugor, sepatutnya diberikan kepada Pas,” katanya yang juga Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang.

  • PRN: Nama Annuar Musa, Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura

    PRN: Nama Annuar Musa, Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO yang baru menyertai Pas, Tan Sri Annuar Musa dan anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz merupakan antara individu yang telah melepasi proses tapisan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mengesahkan perkara berkenaan memberitahu, keputusan itu dibuat oleh Majlis Syura Pas dalam mesyuarat yang diadakan di Kuala Terengganu kelmarin.

    Mesyuarat tersebut katanya turut dihadiri Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan pemimpin-pemimpin Pas dari negeri-negeri terlibat PRN.

    “Annuar dan Nik Abduh merupakan antara beratus senarai calon yang dikemukakan dari enam negeri yang bakal menghadapi PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulai Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Nama Annuar dan Nik Mohamad Abduh adalah dua nama yang dicadangkan oleh Pas Kelantan dan Majlis Syura sudah membuat keputusan dalam proses tapisan.

    “Terserah kepada Pas Kelantan untuk membuat keputusan selepas ini bagi menentukan kedua-duanya bakal mewakili Pas atau tidak dalam PRN pada Ogos depan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Difahamkan, Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok bakal diletakkan sebagai calon sama ada di kawasan Dewan Undang Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pengkalan Chepa ataupun Kota Bharu.

    Bagaimanapun, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh dilaporkan berkemungkinan tidak akan bertanding pada PRN kali ini.

    Abdul Hadi dilaporkan berkata, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu juga difahamkan tidak berhasrat bertanding pada PRN kerana lebih sesuai berperanan di peringkat Pusat.

  • Tun Faisal sertai Bersatu

    Tun Faisal sertai Bersatu

    BEKAS ahli UMNO, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang dipecat daripada parti pada Januari lalu kini secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau dijangka menerima watikah keahlian daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.

    Tun Faisal yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya berkata, beliau memilih menyertai Bersatu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu.

    “Saya ialah orang yang percaya kepada jemaah atau bekerja dalam organisasi, jadi saya perlu berada dalam satu-satu organisasi untuk membantu perjuangan yang saya percaya.

    “Sebenarnya bagi saya, Pas atau Bersatu, sama saja kerana kedua-duanya berada di bawah PN. Bagaimanapun, melihat kepada aspek di Putrajaya, tempat yang saya sudah biasa, Ahli Parlimennya ialah daripada Bersatu (Datuk Radzi Jidin).

    “Jadi, saya percaya boleh memainkan lebih banyak peranan dalam Bersatu berbanding Pas, terutama dalam memberikan input berkaitan isu tempatan dan pada masa sama, memperkukuh Bersatu di kawasan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Tun Faisal dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada Januari lalu selepas diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Tindakan itu diambil selepas Tun Faisal yang lantang mengkritik kepemimpinan UMNO, dikatakan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

  • Wan Saiful cabar beri jaminan KM Pulau Pinang takkan bertukar

    Wan Saiful cabar beri jaminan KM Pulau Pinang takkan bertukar

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi jaminan bahawa ketua menteri Pulau Pinang akan dikekalkan selepas pilihan raya negeri (PRN) sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang di negeri itu.

    Cabaran itu selepas Loke memberitahu bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu supaya ‘tidak menjaga tepi kain orang’, sebagai menjawab dakwaan Wan Saiful mengenai perbalahan antara kem dalam DAP.

    “Saya cabar kalau betul saya salah, Anthony Loke daripada buat jawapan politik macam itu, cuba bagi jaminan bahawa ketua menteri sekarang akan dikekalkan.

    “Saya ada rekod, track record saya masa PRN Melaka dulu, saya antara yang paling awal kata ketua menteri Melaka pada masa itu, sebelum PRN itu, akan bertukar dengan orang lain.

    “(Pada masa itu) Orang yang diuar-uarkan akan jadi ketua menteri Melaka takkan jadi ketua menteri sebab ada orang lain yang akan jadi, dan betul bertukar,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu Wan Saiful mendakwa terdapat usaha mahu meletakkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai calon di kerusi DUN Pulau Pinang dalam PRN 12 Ogos depan bagi menggantikan penyandang ketua menteri, Chow Kon Yeow.

    Loke kemudiannya mengingatkan Wan Saiful supaya tidak campur tangan dalam urusan parti lain, sebaliknya fokus kepada urusannya sendiri.

    “Adakah Wan Saiful setiausaha agung DAP ke? Saya tanya, adakah dia setiausaha agung DAP dia boleh tentukan calon kita.

    “Jadi, tak payahlah nak jaga tepi kain orang, dia sibuk dengan hal dia sendiri,” katanya.

    Wan Saiful kemudian membalas kenyataan itu dengan mengatakan ‘sampai mati’ pun dia tidak teringin menjadi setiausaha agung DAP.

    Loke hari ini menyatakan tiada sesiapa pun menjemput Wan Saiful menyertai DAP, sebaliknya ia hanyalah sendiran.

    “Hello Wan Saiful, janganlah perasan sangat. Tiada siapa pun jemput hang masuk DAP, apatah lagi jadi setiausaha agung.

    “Takkanlah tahap pemahaman bahasa Melayu hang begitu lemah? Yang tanya hang setiausaha agung DAP ka itu adalah bahasa sindiran,” katanya.

  • DAP tiada kuasa minta MCA-MIC tak tanding, nafi berebut kerusi

    DAP tiada kuasa minta MCA-MIC tak tanding, nafi berebut kerusi

    DAP tidak pernah meminta MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos ini.

    Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, DAP tiada kuasa untuk berbuat demikian kerana segala perbincangan berhubung kerusi yang dipertandingkan hanya dibincangkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Menerusi Kerajaan Perpaduan, perbincangan tidak dibuat terus antara DAP dengan MCA atau MIC,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ultimate MMA Fitness & Self Defence, Indahpura, Kulai, hari ini.

    Rabu lalu, MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding di dalam PRN meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.

    Beliau berkata, DAP tidak mempunyai maklumat terperinci di sebalik keputusan MCA dan MIC tidak tanding sebaliknya menghormati keputusan parti komponen dalam BN.

    “Walaupun mereka (MCA dan MIC) umum untuk tidak bertanding pada PRN di enam negeri tersebut, kita berharap mereka dapat mendukung semangat Kerajaan Perpaduan dengan menyokong mana-mana calon parti yang bertanding,” katanya.

    Nie Ching juga menafikan timbul isu perebutan kerusi memandangkan pembahagian kerusi adalah berdasarkan parti yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terus bertanding di kerusi berkenaan.

    Katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, keputusan MCA dan MIC itu tidak boleh dikatakan laluan mudah kepada DAP.

    Menurutnya, ini kerana mereka kini berada dalam Kerajaan Perpaduan dan bukan sebagai lawan seperti PRU15 lalu.

    “Dulu kita bertanding sebagai lawan, tetapi sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan. Jika mereka bertanding sekali pun, mereka tidak akan bertanding di kerusi DAP.

    “Jadi saya tidak rasa keputusan mereka untuk tidak bertanding pada PRN ini memberi laluan mudah atau kelebihan kepada DAP.

    “Kami tidak akan bertembung, sekiranya ada wakil BN tiada wakil PH, begitu juga sebakiknya. Jika tidak bertanding itu harap mereka beri semangat dengan membantu satu sama lain,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kenyataan Guan Eng semai kebencian terhadap pemimpin politik Islam – Armada

    Kenyataan Guan Eng semai kebencian terhadap pemimpin politik Islam – Armada

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang didakwa menyatakan gelombang hijau akan memusnahkan tokong sebagai menghasut dan menyemai perasaan negatif orang bukan Islam terhadap pemimpin politik Islam.

    “Ini merupakan kenyataan biadab dan perkauman serta sangat keji dan boleh mengancam ketenteraman awam serta menggugat keamanan negara.

    “Kenyataan itu amat tidak bertanggungjawab, bersifat menghasut serta menyemai perasaan takut dan benci orang bukan Islam terhadap pimpinan serta parti-parti politik Islam yang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.

    “Kenyataan Pengerusi DAP itu yang turut dilaporkan berkata ‘gelombang hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya’ adalah sangat keji, terkutuk dan boleh mengancam ketenteraman awam serta menggugat keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Ahli Parlimen Machang itu menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Bagan tersebut atas kenyataan yang dianggap bersifat perkauman dan berniat jahat.

    Wan Ahmad Fayhsal juga menggesa tindakan tegas diambil ke atas Lim kerana membuat kenyataan tidak bertanggungjawab berkenaan.

    “Armada bersama Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang kepada perpaduan semua kaum di Malaysia,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Keputusan MUDA bertanding solo dalam PRN muktamad, kata Amira

    Keputusan MUDA bertanding solo dalam PRN muktamad, kata Amira

    KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kali ini adalah muktamad dan untuk mempertahankan prinsip parti tersebut.

    Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, parti tersebut ada menerima undangan daripada parti lain untuk bekerjasama dalam PRN namun mereka tidak akan menggadaikan prinsip untuk bekerjasama.

    “Sangat jelas keputusan untuk bertanding secara sendiri kali ini bukan semata-mata kerana kita tiada tawaran (daripada Pakatan Harapan).

    “Sudah tentu ia (tawaran) salah satu pertimbangan tapi pada masa sama, dari sudut pendirian dan juga dasar, kita sudah ada banyak perbezaan dengan PH dan Barisan Nasional (BN).

    “Jadi mungkin untuk PRN kali ini, keputusan bertanding sendiri adalah keputusan yang sudah dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aktiviti jualan meraih dana PRN Muda di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurutnya, MUDA berharap keputusan itu dapat menghantar isyarat jelas, terutama kepada PH dan BN, yang mereka perlu menunaikan janji yang telah dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15, lapor Malaysiakini.

  • Pemuda PN kerah jentera buat laporan ke atas Guan Eng

    Pemuda PN kerah jentera buat laporan ke atas Guan Eng

    SEMUA jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN)
    diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa pernah menuduh gabungan itu akan merobohkan tokong sekiranya mentadbir Pulau Pinang.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya telah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan menyifatkannya sebagai biadab dan untuk usaha menakutkan pengundi Cina dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    “Kenyataan ini adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang bakal memusnahkan kedamaian dan perpaduan rakyat hanya semata-mata takut melihat penolakan rakyat kepada kerajaan perpaduan yang penuh penipuan, manipulasi dan kegagalan yang berturut-turut selama tujuh bulan pemerintahan yang gagal ini.

    “Laporan polis akan dilakukan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap sikap perkauman pemimpin DAP ini. Pengarahan ini untuk seluruh jentera Pemuda PN di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, Lim menafikan beliau pernah membuat dakwaan itu dan sebaliknya berkata ucapannya dalam bahasa Mandarin telah diputar belit seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.

    “Ini tidak benar. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” kata Lim dalam kenyataan semalam.

    Beliau berkata, ucapan itu dibuat merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

    Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, PN mengecam keras kenyataan itu dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar untuk menutup kegagalan kerajaan mentadbir negara.

    “Hipokrit! Itu sahaja perkataan yang layak untuk diletakkan kepada para pemimpin kerajaan perpaduan apabila kononnya lantang mengecam isu 3R (royalty, religion, race) termasuk satu lagi ‘r’ iaitu region, tetapi apabila kenyataan berkaitan 4R ini dilaung oleh para pemimpin PH (Pakatan Harapan), mereka sendu seribu bahasa.

    “Para menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, sekarang apa tindakan,” soalnya, lapor Malaysiakini.

  • UMNO ‘rapuh’, apa sahaja boleh berlaku

    UMNO ‘rapuh’, apa sahaja boleh berlaku

    SUMBER UMNO mendedahkan betapa mereka bergelut menjelang pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos, dengan pemimpin bahagian dan ahli akar umbi mengadu mengenai perpecahan dalaman dan kekecewaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Portal FMT melaporkan seorang pemimpin bahagian berkata, UMNO rapuh dan apa sahaja boleh berlaku dalam masa beberapa minggu.

    “Fakta diketahui parti ini terbahagi kepada beberapa kem. Kami melihat keadaan semakin teruk dengan lebih ramai (ahli berpaling tadah) menentang kepimpinan,” kata pemimpin bahagian itu yang enggan dikenali.

    “Lebih baik bagi kami jika pilihan raya diadakan pada pertengahan Julai berbanding 12 Ogos,” katanya.

    Seorang lagi pemimpin bahagian berkata semakin lama menunggu pilihan raya, UMNO semakin teruk.

    “Kita sudah ada ahli UMNO, terutama akar umbi, beralih kepada Perikatan Nasional. Jika kita tunggu lagi, banyak yang perlu dilakukan dan tidak akan dapat banyak sokongan daripada pengundi tanpa akar umbi,” katanya.

    Seorang bekas ahli UMNO berkata, parti itu tidak mempunyai jumlah ahli hampir tiga juta seperti didakwa.

    “Jika anda tanya saya, hari ini jumlah itu tidak sampai sejuta dan ia akan terus menurun. Mereka tidak pernah menjelaskan bagaimana parti kalah teruk, walaupun ada tiga juta ahli.

    “Angka itu tidak benar, sebab itu UMNO tidak pernah menjalankan bedah siasat selepas pilihan raya,” katanya menambah ribuan akar umbi UMNO sepertinya keluar parti kerana kepimpinan Ahmad Zahid.

    “Ribuan menyertai PN. Walaupun tidak menyertai sebagai ahli, mereka tetap menyokong gabungan itu.

    “Saya menjangkakan ramai pemimpin dan bekas pemimpin UMNO akan menyertai PN. Akar umbi berbuat demikian sebelum PRU15 dan masih melakukannya hari ini,” kata sumber itu yang menjadi ahli UMNO lebih 15 tahun.

    “UMNO sudah hilang prinsip memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.

    “Bekerjasama dengan parti (DAP), yang selama beberapa dekad kami dipengaruhi oleh pemikiran yang mereka adalah musuh, tidak membantu mengekalkan ahli,” katanya.