Category: Politik

  • Tiga nama calon MB Johor diserah kepada Sultan Johor

    Tiga nama calon MB Johor diserah kepada Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu kepada Sultan Johor.

    Warta Rakyat difahamkan, tiga nama itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Tiga nama berkenaan diserahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Kelmarin, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Selepas diisytiharkan menang, Ahmad Zahid berkata, gabungan itu secara rasmi akan menamakan kembali Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan keputusan itu dibuat sebulat suara.

  • ADUN Bukit Batu sedia kerjasama susulan BN bakal kemuka petisyen

    ADUN Bukit Batu sedia kerjasama susulan BN bakal kemuka petisyen

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) mahu mengemuka petisyen pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu seabgai satu proses biasa demokrasi dan hak mereka untuk berbuat demikian.

    Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tebrau sedia bekerjasama dengan mana-mana dan pihaknya terbuka walaupun kemenangannya secara rasmi sudah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “SPR memang sudah umumkan saya sebagai ADUN baharu Bukit Batu. Keputusan yang ditetapkan SPR ini dibuat selepas melepasi beberapa ‘level’, proses dan prosedur sebelum diumumkan.

    “Namun mereka berhak membuat petisyen tersebut di mahkamah kerana negara ini mengamalkan demokrasi. Kita tunggu arahan daripada pihak SPR dan mahkamah serta melakukan persiapan secukupnya, semua dokumen itu sudah ada.

    “Kita akan bawa peguam kita dan orang parti yang berpengalaman untuk bantu kita,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Pakatan Harapan (PH) Johor di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Perling, Liew Chin Tong; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.

    Semalam, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, BN akan mengemukakan petisyen pilihan raya itu selepas Sen Sern berjaya

    memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

    Vigneswaran berkata, petisyen berkenaan akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

    Mengulas lanjut, beliau akur sebarang keputusan yang akan dibuat nanti dan semua pihak juga perlu menghormati pengundi yang sudah membuat keputusan pada PRN Johor di kawasan berkenaan.

  • PH belum putuskan siapa ketua pembangkang Johor

    PH belum putuskan siapa ketua pembangkang Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAKATAN Harapan (PH) masih belum memutuskan siapa yang akan dilantik sebagai ketua pembangkang Johor yang baharu selepas mereka gagal mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurutu Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke peringkat kepimpinan tertinggi PH dalam masa terdekat.

    “Kita masih belum bincangkan siapa ketua pembangkang Johor dan itu terpulang kepada pimpinan PH Pusat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Senai, Wong Bor Yang dan ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

    Kelmarin, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Chin Tong menang di kerusi DUN Perling dengan majoriti 3,347 undi dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon (PN), Khoo Shiaw Lee dan calon BN, Tan Hiang Kee.

    Sementara itu, Kah Eng berharap kerajaan negeri yang baharu perlu bertindak proaktif dengan memberi akan memberi tumpuan kepada isu pembukaan sempadan membabitkan Johor dan Singapura.

    Katanya, perkara itu perlu diberikan keutamaan susulan pembukaan pintu sempadan antarabangsa bermula 1 April ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

    “Kami berharap kerajaan negeri baharu yang dibentuk dalam masa terdekat in akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Pusat dalam rundingan berkenaan pembukaan sempadan Johor-Singapura yang akan memberi impak kepada kedua-dua negara,” katanya.

  • PH cari formula baharu pastikan peratusan mengundi tinggi pada PRU15

    PH cari formula baharu pastikan peratusan mengundi tinggi pada PRU15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU formula baharu dan segar perlu dirangka Pakatan Harapan (PH) untuk menarik rakyat keluar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, ini bagi peratusan mengundi tinggi pada PRU-15 kerana tidak mahu insiden peratusan mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlaku lagi.

    “Formula baharu ini perlu dibincangkan nanti dan pada masa sekarang kita masih belum mempunyai formula baharu itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz; ADUN Johor Jaya,
    Liow Cai Tung; ADUN Bukit Batu, Wong Bor Yang dan ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

    Pada Sabtu, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, Parti Keadilan Rakya (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Pada PRN tersebut, Cin Tong menang di kerusi DUN Perling dengan majoriti 3,347 dalam pertembungan tiga penjuru dengan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu, Amira Aisya yang menang di kerusi DUN Puteri Wangsa dan satu-satunya calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menang PRN Johor berkata, rakyat tidak wajar dipersalahkan apabila mereka tidak keluar mengundi.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Muda berkata, penting untuk PH melihat semula dan mencari jalan supaya rakyat keluar mengundi pada PRU15 dan tidak berlaku seperti PRN di Sarawak, Melaka dan Johor yang menyaksikan peratusan mengundi rendah.

  • Meski kalah 2 PRN berturut-turut, Gerakan mahu kekal setia dengan PN

    Meski kalah 2 PRN berturut-turut, Gerakan mahu kekal setia dengan PN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan itu tewas pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu.

    Malah, Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, keputusan Gerakan untuk tetap setiap dan bersama PN itu juga tidak berubah sewaktu gabungan tersebut turut tewas pada PRN Melaka, November lalu.

    “Parti Gerakan akan tetap bersama dan terus setia dengan PN.

    “Pihak kepimpinan Parti Gerakan akan berbincang dan mengkaji semula strategi baharu yang bakal digunakan untuk PRU-15 supaya mendapat sokongan daripada pengundi dan kepercayaan penyokong kami,” katanya.

    Pada PRN Johor Sabtu lalu, kesemua tujuh calon Gerakan yang bertanding di bawah logo PN tewas sekali gus mengulangi kegagalan sama lima calon mereka ketika PRN Melaka, November lalu.

    Dalam masa sama ujar beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, pihaknya menghormati pilihan dan keputusan yang dibuat rakyat Johor pada PRN itu yang menyaksikan PN hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Namun, kita akan mengkaji sebab-sebab yang menyebabkan keputusan yang kita dapat di PRN Johor.

    “Kita dapat melihat misalnya pengundi di DUN Yong Peng khususnya golongan Melayu, mereka inginkan kestabilan politik.

    “Dalam hal ini, rakyat bukan sahaja menolak rasuah, tetapi juga mahukan pembangunan dan kelestarian di Johor kerana dengan adanya kestabilan politik, baru ekonomi negeri Johor boleh membangun,” katanya.

    Menyentuh situasi di Pulau Pinang, Tong Keong berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan mengutamakan kepentingan dan hak rakyat.

    “Keadaan politik sentiasa berubah dan sekiranya Gerakan dapat melancarkan rancangan yang lebih memanfaatkan penduduk, membantu meningkatkan ekonomi masyarakat dan negeri, maka tidak mustahil sokongan di Pulau Pinang akan beralih kepada kita,” katanya.

  • Pembangkang perlu susun semula strategi tumbangkan UMNO

    Pembangkang perlu susun semula strategi tumbangkan UMNO

    PEMBANGKANG perlu menyusun semula strategi sebagai persediaan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus, ini kerana keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor peru dijadikan panduan dan jelas menunjukkan pembangkang perlu bekerjasama lebih erat.

    “Analisa keputusan jelas menunjukkan sekiranya parti-parti lawan bergabung tentunya tiada jalan mudah untuk UMNO kembali berkuasa kerana pengundi Johor telah lakukan yang terbaik,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kelmarin PRN Johor menyaksikan BN memperoleh kemenangan besar iaitu 40 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 13 kerusi berbanding 27 kerusi pada 2018.

    Hasanuddin yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Langat berpandangan, kegagalan pembangkang untuk bekerjasama memberikan kemenangan kepada UMNO dan BN sekali gus menguasai pentadbiran negeri Johor.

  • Muda mampu jadi ‘game changer’ pada masa akan datang

    Muda mampu jadi ‘game changer’ pada masa akan datang

    WALAUPUN masih baharu namun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dianggap mampu menjadi ‘game changer’ dan memberikan impak dalam arena politik negara pada masa depan.

    Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kemenangan satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan parti itu mampu menjadi relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Namun, beliau berkata, Muda perlu bijak untuk turut mendekati pelbagai golongan dan bukan hanya memberikan fokus kepada golongan muda semata-mata.

    “Bagi saya, perancangan Muda bukan untuk PRN Johor. Mereka sebenarnya sekadar menguji sokongan akar umbi iaitu adakah golongan muda sahaja yang menyokong atau sebaliknya.

    “Saya berpendapat sasaran sebenar yang Muda perlu lakukan adalah mendekati golongan pertengahan, profesional dan bandar yang dirasakan mampu untuk menyebelahi isu yang dibawa oleh parti itu dalam PRU-15 akan datang.

    “Bagaimanapun di Johor, Muda telah berjaya menang satu kerusi dan ia satu pencapaian kepada Muda. Aliran sokongan kepada Muda juga tidak terlalu sedikit berbanding parti baharu lain yang bertanding,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, selain mendekati golongan yang berbeza, Muda juga memerlukan kerjasama politik dengan parti lain sekiranya mahu memberikan cabaran pada PRU-15.

    Sivamurugan berkata, sukar untuk Muda bergerak sendiri pada PRU akan datang dan ia dibuktikan dengan kekangan logistik untuk mendekati golongan sasar pada PRN Johor.

    “Susah untuk mereka bergerak sendiri kerana mereka parti baharu dan apabila bertanding dalam PRU, mereka memerlukan logistik dan jentera yang kuat untuk masuk ke seluruh kawasan.

    “Sebab itu mereka memerlukan kerjasama politik tetapi perlu bersama parti yang seiring dengan idea dan misi mereka. Jika dapat dilakukan, mereka mampu jadi game changer dan memberikan impak kepada politik negara,” katanya.

  • Raih undi kedua popular atasi PH, PN mampu jadi pencabar utama BN

    Raih undi kedua popular atasi PH, PN mampu jadi pencabar utama BN

    WALAUPUN memenangi hanya 3 daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bahawa mereka mampu menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).

    Berdasarkan statistik  perolehan undi popular parti-parti yang bertanding dalam PRN itu seperti mana disiarkan oleh BERNAMA, PN berada di tempat kedua dengan memperolehi undi sebagai 334,457 undi atau 24.04 peratus di belakang  Barisan Nasional (BN) yang meraih 599,753 undi atau 43.11 peratus.

    Lebih menarik kedudukan PN itu mengatasi Pakatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 284,969 (20.48 peratus) undi. PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri pada kali ini memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus manakala parti MUDA buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya memperoleh 48,072 atau 3.46 peratus undi.

    Undi popular merujuk kepada jumlah undi diraih oleh setiap parti atau gabungannya.

    Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, Warisan (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.

    Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07 peratus) undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan 247 atau 0.02 peratus undi.

    Dalam PRN itu BN menguasai majoriti dua pertiga apabila mendapat 40 kerusi dengan UMNO memenangi 33 kerusi DUN, manakala MCA empat, dan MIC tiga. Ia diikuti dengan PH (11), PN (tiga), MUDA (satu) dan PKR (satu).

    Pencapaian BN itu bukanlah sesuatu mengejutkan kerana selain berlaku perpecahan dalam kalangan parti pembangkang melibatkan parti-parti pembangkang, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 54.92 peratus atau 1,426,573 daripada 2,599,797 pengundi berdaftar juga turut membantu kemenangan BN.

    Selain berjaya memenangi 3 kerusi, PN dilaporkan terus mencatat momentum kenaikan sokongan selepas PRN Melaka apabila memberi saingan sengit di 26 DUN di Johor.

    Situasi memungkinkan PN kini dilihat mampu memberi saingan kepada BN khususnya di kawasan majoriti Melayu.

  • PRN Johor:BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

    PRN Johor:BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

    BARISAN Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

    Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, kerusi DUN Bukit Batu itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

    Menurutnya, calon PKR tersebut berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

    Beliau berkata, petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

    “Sebanyak 650 undi rosak dan kita telah buat bantahan tetapi saya diberitahu bahawa bantahan itu seharusnya dibuat mengikut saluran-saluran sepatutnya.

    “Maka, kita akan membuat rayuan di mahkamah supaya kita boleh memastikan bahawa pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu beliau menyampaikan 32 komputer riba kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan India Perak di Pejabat BN Sungai Siput, hari ini.

    Vigneswaran berkata, kemenangan lebih dua pertiga yang diperolehi pada PRN Johor kali ini bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

    Katanya, undi kaum India kembali kepada BN juga menunjukkan peningkatan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

    “Sokongan padu rakyat majmuk termasuk kaum Cina kepada calon BN dapat dilihat menerusi kemenangan pada PRN Johor dan Melaka.

    “Kita melihat sokongan pengundi bukan kepada calon tetapi lebih kepada parti yang diwakilinya. Ini suatu perkara yang baik yang mana calon kita telah mendapat undi pelbagai kaum,” katanya.

    Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    “Kita tidak ada banyak masa lagi namun terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakan PRU pada waktu yang sesuai. Jentera kita sudah mula bekerja.

    “Bagi jumlah kerusi pula, kita akan bincang dalam kalangan kepimpinan BN. Meminta kerusi setakat untuk bertanding tidak berguna, jika mahu minta kerusi pun mestilah ada peluang tinggi untuk menang,” katanya.

  • Pas akan terus bersama PN santuni rakyat

    Pas akan terus bersama PN santuni rakyat

    PAS akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) menyantuni rakyat sambil berlapang dada dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, kata Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Maharani dan Endau, gabungan tersebut akan terus bersama-sama menyuburkan konsep perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

    “Jangan diukur keputusan pada PRN Melaka dan Johor. Kita baru lagi bersama. Kita terima kekalahan dan akan sediakan satu perancangan untuk bergerak ke hadapan menghadapi PRU15. Apa yang penting adalah perpaduan,” katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan futsal Parlimen Bukit Gantang, Bukit Gantang hari ini.

    Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (satu) dan Parti Keadilan Rakyat (satu).

    Dalam pada itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, para agamawan termasuk ustaz diminta menyebar luas kepentingan mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

    “Pas bukan cakap mengenai agama Islam sahaja tetapi juga berkaitan kesihatan kerana ia sebahagian daripada Islam. Kalau kita sakit kita kena cari ubat, penawar. Begitu juga untuk melawan mitos, kita kena bercakap menggunakan fakta kenapa pentingnya mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah,” katanya. – Bernama