Category: Politik

  • Hasni hadir majlis angkat sumpah Onn Hafiz sebagai MB baharu

    Hasni hadir majlis angkat sumpah Onn Hafiz sebagai MB baharu

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad hadir ke majlis angkat sumpah Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu hadir dengan menaiki pelbagai guna jenis Toyata Velfire menerusi pintu belakang istana kira-kira pukul 2.30 petang.

    Sumber BN memaklumkan, selepas majlis angkat sumpah Hasni akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok.

    “Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya Hasni hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 pada petang ini.

    “Selesai angkat sumpah Menteri Besar baharu, Hasni akan terus bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO,” katanya ketika dihubungi.

    Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

    Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Maritim bantu bawa keluar budak sesak nafas di Pulau Aur

    Maritim bantu bawa keluar budak sesak nafas di Pulau Aur

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Mersing membantu membawa keluar seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami sesak nafas dari Pulau Aur ke Hospital Mersing, semalam.

    Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mersing pada 11 pagi memaklumkan Nur Izzara Aliasha Hirwanizam mengalami sesak nafas dan perlu mendapatkan rawatan segera.

    “Sejurus menerima maklumat tersebut, bot Perkasa 31 yang sedang melakukan rondaan operasi telah diatur gerak ke Pulau Aur bagi memberi bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, bot membawa Nur Izzara Aliasha bersama dua kakitangan PKD Mersing tiba di Jeti Mersing kira-kira 3.30 petang dan kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.

    Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

    Jarak dari Jeti Mersing ke Pulau Aur mengambil masa lebih dua jam perjalanan dengan menaiki bot.- Bernama

  • Onn Hafiz sah MB Johor yang baharu

    Onn Hafiz sah MB Johor yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSOALAN tentang siapa Menteri Besar Johor yang baharu terjawab apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu mengangkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    On Hafiz juga merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dipilih selepas UMNO menyerahkan tiga nama kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Semalam, Barisan Nasional (BN) memberikan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor iaitu Onn Hafiz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

  • Rafizi kembali dalam arena politik, bertanding Timbalan Presiden PKR

    Rafizi kembali dalam arena politik, bertanding Timbalan Presiden PKR

    BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengambil keputusan kembali dalam bidang politik selepas lebih dua tahun berehat.

    Malah beliau mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu akan datang.

    Keputusan itu yang diambilnya berdasarkan perkembangan terbaharu dan politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

    “Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

    “Sumbangan saya menubuhkan PH pada tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Rafizi yang merupakan Naib Presiden PKR berkata, sejak 2019 beliau telah menyuarakan pandangan tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat demi untuk mendapat kuasa.

    “Suara saya menjadi suara minoriti dalam kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH. Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.

    “Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian daripada pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawapan,” katanya.

    Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau berterusan mendapat desakan daripada pendukung parti itu dan PH daripada kalangan rakyat biasa agar kembali ke gelanggang politik.

    “Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti dalam kalangan pimpinan PKR dan PH.

    “Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat.

    “Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan rakyat,” jelasnya.

    Tegas Rafizi, mereka seharusnya bukan sahaja menuding jari antara satu sama lain tetapi membawa penyelesaian yang masuk akal bagi meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika memilih PKR dan PH.

    “Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik.

    “Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik daripada menambat hati rakyat,” katanya.

  • Dua beranak diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

    Dua beranak diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

    DUA beranak yang menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak awal Januari lalu diberkas dalam satu serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom Kuala Langat, Khamis lalu.

    Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan

    Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor simpanan bahan terlarang terbabit.

    Pihaknya berjaya merampas 53 bungkusan teh dipercayai berisi dadah jenis syabu bernilai RM1.95 juta dalam rumah itu, lapor Sinar Harian.

    “Dua beranak itu merupakan seorang bapa dan anak lelakinya dan kedua-duanya diberkas di tempat letak kereta di Bandar Saujana Putra.

    “Serbuan dijalankan pada pukul 4.50 petang memberkas dua suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Thailand masing-masing berumur 26 dan 49 tahun.

    “Pemeriksaan yang dijalankan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dinaiki suspek menemukan polis dengan satu kotak berisi 10 bungkusan plastik teh mengandungi dadah jenis syabu seberat 10.2 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini.

    Beliau berkata, tangkapan yang dijalankan ke atas kedua suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra kira-kira jam 6.20 petang.

    “Pemeriksaan dijalankan menemukan dua kotak berisi 43 bungkusan teh dipercayai turut mengandungi dadah jenis syabu seberat 43.86 kilogram.

    “Siasatan mendapati rumah teres berkenaan disewa untuk dijadikan lokasi penyimpanan dadah tersebut,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati kedua suspek menetap di Kelantan dan menjalankan perniagaan menjual barangan mainan.

    “Siasatan awal mendapati kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai dari negara jiran untuk pengedaran di Selangor.

    “Kedua suspek dipercayai telah menyewa sebuah inap desa di negeri ini untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

    Tambahnya, semakan mendapati seorang suspek memiliki rekod kesalahan lampau.

    “Semakan mendapati suspek berumur 26 tahun tersebut memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala bapanya tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

    “Ujian saringan yang dijalankan mendapati kedua suspek negatif dadah,” katanya.

    Ahmad Jefferi berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • BN gesa SPR kira semula kertas undi DUN Bukit Batu

    BN gesa SPR kira semula kertas undi DUN Bukit Batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengira semula kertas undi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu berikutan MIC tewas hanya 137 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

    S. Suppayah yang menjadi calon BN bagi kerusi DUN Bukit Batu berkata, MIC juga akan menggunakan saluran perundangan kerana dipercayai berlaku ketirisan ketika proses pengiraan undi.

    Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat itu mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak.

    “Saya dimaklumkan ejen kira undi, terdapat banyak bantahan dan sepatutnya kertas undi boleh diterima. Tetapi bila ada bantahan daripada PKR, mereka (SPR) tolak semula kertas undi itu.

    “Berdasarkan asas itu, kami kurang senang dengan apa yang berlaku, jadi kami lihat menerusi perundangan boleh menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Kulai, hari ini.

    Suppayah menunjukkan salinan laporan berkenaan keputusan PRN Johor yang dibuat di IPD Kulai

    Pada PRN Johor, Suppayah tewas kepada calon PKR, Chiong Sen Sern di kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi selepas beberapa kali pengiraan undi dilakukan.

    Sen Sern berjaya memenangi kerusi itu dengan jumlah undi sebanyak 9,439, menewaskan Supayyah yang memperoleh 9,302 undi.

    Dalam pada itu, Supayyah berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah salah satu proses perundangan bagi membolehkan bantahan dilaksanakan dan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

    Katanya, dalam laporan polis berkenaan, pihaknya memohon SPR membuat pengiraan semula bagi undi yang ditolak membabitkan sebanyak 612 undi.

    “Itu adalah satu jumlah yang sangat tinggi kerana jumlah majoriti di kerusi DUN itu adalah sebanyak 137 sahaja, ia sukar diterima akal dan dilihat tidak munasabah.

    “Oleh itu, kami berpendapat adalah adil sekiranya perlu diadakan pengiraan semula mengikut undang-undang sepatutnya.

    “Kami bukan bertindak sesuka hati tetapi ia termaktub dalam peruntukan Akta SPR,” katanya.

  • Sultan Johor perkenan, Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

    Sultan Johor perkenan, Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

    AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikatakan sudah mendapat perkenan Sultan Johor sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di salah sebuah istana di Johor Bahru, hari ini.

    Onn Hafiz, 43, merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dipilih selepas UMNO menyerahkan tiga nama kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Selain beliau, turut dinamanakan calon Menteri Besari Johor ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

    Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    Terdahulu dalam satu kenyataan, Hasni yang juga pengerusi BN Johor mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

    Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.

  • ‘Malu saya’ – Shahrir ulas laporan Hasni tidak dilantik MB

    ‘Malu saya’ – Shahrir ulas laporan Hasni tidak dilantik MB

    SANGAT memalukan apabila UMNO tidak menepati janji awalnya untuk melantik semula Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar (MB) sebaliknya akan memilih seorang MB yang baharu, kata Tan Sri Shahrir Samad.

    Shahrir yang juga pemimpin veteran UMNO Johor menyifatkan ura-ura Hasni tidak dilantik semula dan akan digantikan dengan orang lain adalah ‘malu’, malah beliau sendiri mendapat perkhabaran tersebut secara bisik-bisik dan tidak disampaikan terus kepadanya.

    “Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam.

    “Tadi, adanya kenyataan media oleh Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus. Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor. Malu saya,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.

    Jelasnya lagi, rasa ‘malu’ juga apabila sebelum ini beliau ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon MB mereka tetapi kini lebih UMNO pula tidak menunaikan janji untuk melantik semula Hasni yang juga merupakan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “UMNO sudah pasti dengan Hasni sebagai Menteri Besar. Tapi itu tidak cukup kuat dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

    “Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung minggu ni. Boleh mendapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan,” katanya lagi.

    Beliau juga mengubah pendirian untuk tidak bercakap atas kapasiti Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru walaupun sepatutnya diberi peluang untuk berucap semasa perhimpunan bermula 16 Mac ini.

    “Taklah sehebat mana UMNO Johor. Patut saya juga jurucakap UMNO Johor di PAU kali ini. Tapi kalau saya sudah malu nak ke PAU atas nama bahagian UMNO dari negeri Johor, tidak adalah saya nak cakap apa-apa pun.

    “Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Hasni,” katanya lagi.

    Spekulasi kuat mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi bakal dilantik sebagai Menteri Besar baharu Johor, dan akan mengangkat sumpah jawatan tersebut selepas mendapat perkenal Istana Johor.

    Perkembangan terbaharu itu menyusul gesaan Hasni sendiri dalam satu kenyataan media supaya BN memilih orang muda untuk memimpin Johor, walaupun beliau sebelum ini diangkat sebagai calon MB gabungan itu.

  • Onn Hafiz bakal MB baharu Johor?

    Onn Hafiz bakal MB baharu Johor?

    KEPEMIMPINAN Kerajaan negeri Johor dijangka berubah wajah apabila Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

    Onn, 44 tahun dan merupakan bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor dikatakan akan mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh Datuk Hasni Mohammad.

    Sumber Barisan Nasional (BN) memberitahu Berita Harian, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

    “Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

    “Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini.

    “Melihat situasi semasa yang menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dititah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan kenyataan terbaharu Datuk Seri Hasni, seolah-olah sudah ada kompromi untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar ke-19,” katanya.

    Sebelum ura-ura pelantikan Onn yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan University of Hertfordshire, United Kingdom bertebaran, Hasni yang memimpin BN mencapai kemenangan besar dalam PRN Johor dalam satu kenyataan hari ini sudah memberi bayangan negeri itu bakal mendapat Menteri Besar baharu.

    Berita pelantikan Onn juga turut menarik perhatian kerana sebelum ini ketika pengumuman calon BN bagi PRN Johor pada 24 Februari lalu, Hasni dipilih sebagai ‘poster boy’ sekaligus membayangkan beliau akan terus menjadi Menteri Besar yang disandangnya sejak 28 Februari 2020 jika BN menang pilihan raya tersebut.

    Bagaimanapun Hasni 63 tahun dalam kenyataan tersebut menegaskan, melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, beliau mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri itu.

    Onn Hafiz yang Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam yang merupakan bapa kepada empat orang anak adalah anak saudara kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan cicit kepada pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar.

    Beliau yang merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan (2013 hingga 2018) sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Layang-Layang dan memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 364 undi.

    Bagaimanapun pada PRN Johor, Onn Hafiz diletakkan bertanding di DUN Machap .Beliau yang pernah menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal 2012-2018 menang dengan majoriti 6,543 undi menewaskan tiga calon lain selepas mendapat 11,029 undi.

  • Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? – Ahmad Maslan

    Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? – Ahmad Maslan

    *Perlu terima keputusan mereka yang mengundi

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilihat seolah-olah ‘kurang senang’ dengan kenyataan mendakwa Barisan Nasional (BN) sebenarnya bukan pilihan rakyat Johor kerana undi popular tidak memihak kepada mereka.

    Tegas Ahmad, demokrasi di Malaysia berlandaskan sistem ‘first past the post’ dan bukan ‘presidential election’ seperti di Amerika Syarikat.

    Menurutnya, sejak beberapa hari lepas, ada beberapa pihak juga mempertikaikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malah mengaitkannya dengan jumlah peratusan mengundi yang rendah pula.

    “Dalam konteks demokrasi, orang yang tidak mengundi tak pernah dihalang untuk keluar. Siapa suruh dia tak keluar? Mereka yang tak keluar mengundi hendaklah terima keputusan mereka yang telah mengundi. Itu adalah sistem demokrasi di Malaysia.

    “Analisa kata kalau ramai keluar mengundi, tak mungkin BN menang. Siapa suruh kau tak nak keluar mengundi? Itu saja yang saya nak tanya mereka.

    “Tiada siapa halang mereka daripada tak keluar mengundi. Yalah…mereka dah kalah, mereka carilah alasan. Kalah tu kalahlah,” katanya lapor Astro Awani.

    Begitupun, tegas beliau, BN tidak mendabik dada dengan kemenangan di Johor sebaliknya akan sentiasa memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad berkata seramai 5,571 perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri PAU2021 pada 16 Mac hingga 19 Mac ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menyampaikan ucapan dasar pada 18 Mac di hadapan 2,680 perwakilan.

    Tegas Ahmad, meskipun tidak dilakukan secara hibrid namun segala prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dipatuhi sebaiknya termasuk menggunakan beberapa dewan bagi mengamalkan penjarakan fizikal.

    “Kita juga akan mengadakan satu majlis penyampaian anugerah keapda Tokoh UMNO Negeri. Ini kali pertama diadakan selepas Ucapan Dasar Presiden,” katanya.