Category: Politik

  • Kempen PH-BN sindir negeri Melayu miskin akan makan diri – kata pakar komunikasi

    Kempen PH-BN sindir negeri Melayu miskin akan makan diri – kata pakar komunikasi

    KETIKA  bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hangat dirasakan, kempen di media sosial antara kedua-dua blok yang bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin rancak dengan bahan-bahan propaganda masing-masing. 

    Ini bermakna rakyat Malaysia terutama pengguna internet akan berdepan bahan-bahan politik yang disediakan cyber-trooper, istilah yang digunakan merujuk kepada pemain atau pempengaruh media sosial yang dibayar. 

    Antara bahan kempen yang sering menjadi tatapan ialah kritikan terhadap status negeri-negeri yang terlibat. 

    Kedah dan Kelantan, kedua-duanya kini di bawah pentadbiran PN, menjadi ejekan dan sindiran mengenai kemiskinan selain kekurangan kemudahan asas, seperti bekalan air. 

    Bercakap kepada MalaysiaNow, profesor di Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Shafizan Mohamed berkata, walaupun semua parti mempunyai kumpulan cyber-trooper dan propaganda, kumpulan daripada Pakatan PH mempunyai gaya tersendiri.

    “Mereka cenderung untuk menggunakan gaya kononnya mereka lebih intelektual dan berfakta. 

    “Gaya mereka memberi komentar seakan menunjukkan mereka lebih bermoral dan lebih berintelektual memandangkan mereka pernah bercakap mengenai rasuah. Apabila cyber-trooper PH menulis, mereka merendahkan pilihan politik Melayu, dan mereka sentiasa mengaitkan apa-apa isu dengan Melayu,” katanya.

    Katanya, trend menyalahkan Melayu kerana tidak membuat “pilihan politik yang betul” adalah merbahaya dan akan memakan diri bagi PH.

    Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan melangsungkan PRN pada 12 Ogos ini bagi menentukan kerajaan negeri untuk penggal seterusnya. 

    Sebelum ini, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaludin sebelum ini berkata cyber-trooper PH antara punca orang ramai tidak berasa senang dengan gabungan itu.

    “Salah satu sebab saya tak berapa senang dengan PH hari ini dan saya rasa sebahagian besar (orang ramai) tak senang dengan PH, adalah kerana perangai cytro PH ni,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini. 

    Shafizan berkata, PH mampu mencipta dan membawa sentimen kerana keberadaan penyokong mereka yang kuat di platform dalam talian.

    Namun, mereka perlu melakar semula strategi (restrategize) mereka. 

    “PH boleh menarik undi Melayu bandar dan lebih liberal. Tetapi majoriti Melayu adalah fundamentalis. Mereka ialah kumpulan berpendidikan dan tahu apa yang mereka buat, dan berpegang teguh kepada idealisme Melayu. Mereka tidak suka apabila direndah-rendahkan dan dikritik.”

    Sementara itu, pakar komunikasi daripada Universiti Teknologi Mara, Abd Aziz Aizam berkata berkata, keghairahan cyber-trooper dalam bertarung dan memenangi medan topik berbulan memberikan kesan negatif jika ia tidak diurus dengan berdisiplin.

    “Antaranya apabila cyber-trooper ini boleh menjadi toksik dalam operasi mereka. Gerakan mereka ‘menyerang’ lawan menggunakan ugutan, cemuhan, kempen fitnah, dan berita palsu akan sebenarnya menjauhkan potensi pengundi mereka daripada mereka sendiri.

    “Pada masa yang sama pula, apabila cyber-trooper kepada sesebuah pihak terlalu cuba untuk menampakkan kumpulan mereka adalah yang terbaik, dengan mewujudkan interaksi positif terhadap mereka sendiri, ia sebenarnya mengganggu perkiraan persepsi sebenar terhadap kumpulan mereka sendiri,” katanya.

    Menurut beliau, perkara tersebut menjadi faktor keruntuhan parti akibat tindakan cyber-trooper mereka sendiri. 

    Selain isu cyber-trooper, kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengaitkan identiti Melayu dengan isu rasuah. 

    “Tidak kira hang pakai serban, baju kot atau semua, Tan Sri ka, Tun ka, atau daripada parti manapun, kalau hang curi duit, kita perosok (masukkan) bilik saya di Sungai Buloh (penjara),” kata Anwar dalam satu majlis di Pulau Pinang sebelum ini. 

    Shafizan berkata, ia adalah kenyataan yang tidak mengambil sensitiviti Melayu.

    “Tidak bijak untuk Anwar menggunakan komen seperti ini.  Ia akan memberi kesan dalam PRN akan datang kerana ia adalah mengenai meyakinkan majoriti Melayu.  Perdana menteri dan cyber-trooper tidak berada di landasan yang betul.”

  • Keputusan PRN dijangka kekal status quo, kata pemimpin DAP

    Keputusan PRN dijangka kekal status quo, kata pemimpin DAP

    BEKAS Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan tidak mungkin mengubah status quo melainkan perubahan ketara yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan rakannya Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

    Dalam analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas dan kemungkinan keputusan PRN, Ong, yang merupakan pakar strategi pilihan raya DAP, berkata jangkaan dalam kalangan pemerhati politik ialah PN berkemungkinan akan mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, manakala PH-BN akan mempertahankan kerajaan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan. 

    Berdasarkan keputusan pilihan raya pada 19 November 2022 lalu, katanya, nampaknya PN akan memenangi 32 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, dan hampir semua kerusi di Kelantan dan Terengganu.

    Sementara itu, PH-BN akan memperoleh 32 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang, 42 daripada 56 kerusi di Selangor, dan 33 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan.

    “Jumlah kerusi yang dimenangi PH, BN, dan PN dikira menggunakan tiga senario ‘perpindahan’ undi ‘rendah’, ‘neutral’ dan ‘tinggi’ antara PH dan BN.  Walaupun di bawah senario ‘rendah’ iaitu kadar pemindahan undi yang agak rendah iaitu 30% daripada BN kepada PH, kekuatan gabungan pilihan raya PH dan BN sudah memadai untuk mengekalkan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dengan mudah. 

    “Pada masa sama, walaupun dengan kadar pemindahan undi yang agak tinggi iaitu 70% daripada BN kepada PH, keputusan pilihan raya diraih PH dan BN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, akan kekal terhad, berdasarkan keputusan PRU15,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Pada pilihan raya umum tahun lepas, PN mencatatkan pencapaian mengejutkan di beberapa negeri, malah memenangi beberapa kawasan yang secara tradisinya dilihat sebagai kubu kuat PH dan BN termasuk Permatang Pauh, yang lama disandang oleh ahli keluarga Anwar Ibrahim.

    Parti komponen PN, PAS memenangi 43 kerusi secara keseluruhan, paling banyak berbanding mana-mana parti politik. Ia diikuti DAP (40), PKR dan Bersatu (masing-masing 31), dan Umno (26). 

    Dengan tiada satu parti pun memenangi sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, PH dan BN akhirnya bergabung dengan kumpulan politik lain untuk membentuk kerajaan campuran ketika ini – satu langkah kontroversi memandangkan permusuhan mereka selama berdekad-dekad. 

    Pemimpin tertinggi daripada kedua-dua gabungan meminta sokongan bersama menjelang PRN, yang dijadualkan diadakan pada 12 Ogos, walaupun beberapa pemerhati politik mempersoalkan sejauh mana ini akan berjaya, dan sama ada PN akan meneruskan penguasaan sokongannya di kalangan pengundi Melayu. 

    Ong, dalam artikelnya yang diterbitkan oleh Iseas-Institut Yusof Ishak Singapura, memetik data Suruhanjaya Pilihan Raya yang katanya menunjukkan bahawa PN mendominasi pilihan raya di Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada PRU15 dengan masing-masing memenangi 14/15, 14/14 dan 8 /8 kerusi dan 54.3%, 62.9%, dan 61.8% undian.

    “Begitu juga, PH mendominasi kawasan majoriti bukan Melayu di Pulau Pinang, memenangi 59.4% undi dan 10 daripada 13 kerusi Parlimen,” katanya.

    “Gabungan undi PH dan BN masing-masing sebanyak 69.3% dan 76.3% di Selangor dan Negeri Sembilan dengan PH memenangi 17/22 kerusi Parlimen di Selangor dan PH+BN memenangi 8/8 kerusi Parlimen di Negeri Sembilan juga sepatutnya menyebabkan kedua-dua negeri dimenangi oleh PH+BN dalam pilihan raya negeri akan datang.” 

    Sambil menambah keputusan keseluruhan pilihan raya negeri tidak mungkin menjejaskan kestabilan di peringkat Persekutuan, Ong bagaimanapun berkata prestasi PH dan BN kekal penting, baik dari segi politik dan ekonomi. 

    “Dari segi politik, keputusan itu akan mempengaruhi pemikiran dalam UMNO tentang kelebihan strategik kerjasama dengan PH pada pilihan raya akan datang. Ia juga akan menjejaskan keyakinan keseluruhan pemimpin UMNO dan ahli akar umbi terhadap Presiden parti itu dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

    “Bagi PH, persoalan penting sama ada ia boleh meningkatkan sokongan pengundi Melayu melalui kerjasama dengan Umno pimpinan Zahid akan terjawab dalam pilihan raya negeri ini. 

    “Dari perspektif ekonomi, keputusan positif bagi kerajaan perpaduan akan memberi lebih banyak ruang untuk memperkenalkan lebih banyak pembaharuan ekonomi substantif selepas pilihan raya, termasuk rasionalisasi pelbagai subsidi umum ke arah program yang lebih bersasar.”

  • Kerajaan perlu jelaskan apa dimaksudkan dengan ‘3R’, kata peguam

    Kerajaan perlu jelaskan apa dimaksudkan dengan ‘3R’, kata peguam

    AMARAN dan peringatan keras daripada menteri-menteri kerajaan supaya rakyat tidak membuat kenyataan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum kini dipersoalkan apabila seorang peguam menjelaskan beberapa takrifan bersandarkan isu-isu tersebut adalah bertepatan daripada segi undang-undang.

    Peguam Rafique Rashid berkata, kenyataan seperti takrifan Malaysia sebagai negara Melayu dan bukan negara pelbagai kaum sangat konsisten dengan Perlembagaan menjadikannya tidak salah daripada segi perundangan.

    Katanya, bercakap dan membuat kenyataan mengenai agama dan kaum secara ilmiah pula dibenarkan dari sisi undang-undang.

    “Selagi mana kita berhujah dan berdebat dengan sihat dan terbuka dan baik tanpa apa-apa keganasan, ianya adalah dibenarkan oleh undang-undang,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Komen itu muncul selepas kenyataan bukan sahaja Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang kerap kali mengulang amaran yang sama mengenai topik 3R.

    Paling terbaru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarurin Husain mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R sepanjang tempoh berkempen.

    Bagaimanapun, sehingga kini, kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Dalam Negeri masih belum memberikan penjelasan kukuh atau takrifan tepat yang boleh menjadi indikasi bahawa seseorang itu melangkaui batas dalam bercakap tentang isu raja, kaum dan agama.

    Mengulas lanjut, Rafique mengakui kenyataan-kenyataan membabitkan isu 3R akan sering kali dibangkitkan dan timbul menjelang musim pilihan raya.

    Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting dalam bercakap tentang 3R adalah perbezaan yang menunjukkan penyalahgunaan isu 3R demi kepentingan politik dan juga menyalahgunakan kenyataan-kenyataan sehingga menjadi ‘hate speech’ menggunakan isu 3R yang sudah pun termaktub dalam perlembagaan.

    “Kenapa saya kata begitu? Oleh kerana, sekiranya seseorang menyatakan orang Melayu adalah golongan yang mempunyai hak keistimewaan bersama dengan orang-orang Bumiputera dan orang-orang asal, Sabah dan Sarawak seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan maka ianya tidak salah.

    “Kerana itu lah yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

    Berkenaan R yang kedua, iaitu ‘religion’ atau agama, jika seseorang memberitahu bahawa Perlembagaan di Malaysia adalah bukan Perlembagaan yang sekular kerana mengiktiraf hak agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, maka ianya juga dibenarkan dari segi undang-undang.

    Terakhir, katanya, mengenai ‘royalty’ pula selalunya melibatkan kes hasutan, cacian dan makian tanpa sebab yang sudah semestinya akan dikira sebagai menghina institusi diraja.

    “Tetapi sekiranya seseorang itu menceritakan sejarah institusi raja-raja dan kita pun tahu dan sedia maklum sejarah pelbagai perkara libat institusi raja yang mungkin boleh dikategorikan sebagai kurang enak untuk dibahaskan.

    “Namun sekiranya ianya dibuat bersandarkan kepada hujah dan fakta-fakta sejarah, maka jika ingin menjelaskan sesuatu perkara ianya harus dibenarkan dan tidak salah dari segi undang-undang.”

    Katanya lagi, bagi ketiga-tiga elemen ‘R’ itu meskipun dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi didapati ianya bagi membincangkan sesuatu bersandarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, ianya kemudian bokeh menjadi pembelaan.

    Terdahulu, Fahmi mengundang reaksi negatif netizen selepas memberitahu pengkritiknya mereka mungkin dikunjungi kereta polis ketika sesi siaran langsung di TikTok.

    Selepas dikecam hebat, beliau menjelaskan kenyataan ketika siaran langsung di TikTok itu sebagai amaran ditujukan kepada mereka yang membuat komen mengenai isu 3R dan bukan kerana kritikan terhadap dirinya.

    Mengulas lanjut, Rafique mempersoalkan mengapa tiba-tiba sahaja terdapat terlalu ramai pihak dan individu yang mengkritik kerajaan dipanggil oleh pihak berkuasa.

    Katanya, pemerhatiannya mendapati mereka yang sering dipanggil oleh pihak berkuasa adalah individu yang membuat kenyataan dan kritikan kepada kerajaan meskipun mereka hanya menyatakan perkara-perkara mengenai hak orang Melayu dan agama Islam.

    “Adakah pihak berkuasa dengan arahan menteri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan atas arahan menteri dalam usaha untuk mendiamkan suara-suara ini?”

    Tambahnya lagi, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan kebebasan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun hak itu boleh dihalang atau dihadkan oleh peruntukan undang-undang yang lain.

    “Tetapi adakah dengan bersuara sahaja dikatakan sebagai harus panggil polis dan panggil siasatan?

    “Adakah untuk menakut-nakutkan orang supaya tidak bersuara dan mengkritik kerana kritikan itu mungkin satu kritikan yang membina.

    “Jadi perlu ada keseimbangan atau jalan tengah,” ujarnya lagi.

  • Kalau tak cakap pasal Melayu, nak cakap pasal apa – Sanusi

    Kalau tak cakap pasal Melayu, nak cakap pasal apa – Sanusi

    PENGARAH Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor mendakwa parti politik ibarat diikat kaki dan tangan mereka apabila dilarang bercakap isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.

    Beliau berkata, parti politik seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah parti orang Melayu, maka kalau tidak boleh bercakap perihal Melayu, isu apa lagi yang boleh dibicarakan.

    “Parti politik di Malaysia ditubuhkan berasaskan kaum dan isu sebegitu pastinya menjadi antara topik perbincangan.

    “Bersatu, Pas, ini semua (parti) Melayu. Kalau tak cakap Melayu, nak cakap apa? Parti politik di Malaysia ini ditubuhkan berasaskan kaum.

    “MIC untuk India, MCA untuk Cina, DAP untuk Cina,” katanya dalam program bual bicara Keluar Sekejap pada Selasa yang menampilkan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Sufian sebagai hos.

    “Tetapi, DAP parti berbilang kaum,” celah Khairy.
    “Itu dia kata… dia kata. Itu semua wayang saja. Jangan percaya itu. Pas Melayu, Islam. Jadi, kalau asas kepada penubuhan kita tak boleh cakap, kita nak cakap pasal apa?

    “Saya rasa ini semua nak ikat kaki tangan kita. Dia ajak lawan, tetapi kita kena ikat. Ini tidak adil,” ujarnya.

    Menteri Besar Kedah itu juga mendakwa isu 3R ada dalam Rukun Negara.

    “Pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan. Itu agama. Cuma jangan cakap perkara sensitif. Itu tidak boleh. Itu saya setuju. Itu isu 3R yang tidak boleh diungkapkan oleh sesiapa pun.

    “Macam (Lim) Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan) kata, kalau Pas menang, agama lain akan terancam. Itu tidak boleh cakap.

    “Tetapi bagi Perikatan Nasional, bagi Pas, kita tak pernah kata macam itu,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Dr. Mahathir bidas Tengku Zafrul ‘over excited’ ulas laporan tidak tepat

    Dr. Mahathir bidas Tengku Zafrul ‘over excited’ ulas laporan tidak tepat

    TUN Dr Mahathir Mohamad membidas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang “over-excited” dengan laporan tidak tepat mengatakan beliau bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 bilion.

    Bekas Perdana Menteri berkata, laporan itu diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan daripadanya, dan kenyataan sebenar ialah pelaburan dinyatakan beliau adalah sebanyak RM500 juta dimuat naik menggantikan laporan asal.

    Berikut kenyataan penuh Dr.Mahathir yang disiarkan dalam media sosial beliau:

    TENGKU Zafrul (Tengku Abdul Aziz) kelihatan agak over-excited dengan laporan yang tidak tepat yang mengatakan bahawa saya bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 billion.

    Laporan itu telah diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan daripada saya, dan kenyataan saya yang sebenar ialah pelaburan yang saya nyatakan adalah sebanyak RM500 million (juta) telah dimuatnaik mengganti laporan asal.

    Agaknya sebelum sempat akhbar itu lakukan pembetulan, Tengku Zafrul tanpa berlengah telah memuat naik di video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia, dan di zaman saya jadi PM pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 billion.

    Jika sifat over-excited Tengku Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi Negara yang kelam dan muram ini dapat diatasi. Kalau setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan MOU berkait pelaburan tanpa keputusan yang muktamad tidak akan membangun ekonomi Negara. Saya ingin meminta Tengku Zafrul perincikan pelaburan yang telah masuk dan dimuktamadkan di Malaysia sejak dia jadi Menteri di bawah pentadbiran ini.

    Ada orang yang tanya jika saya kenal siapa Tengku Zafrul. Saya bagi tau tak begitu kenal secara peribadi tetapi saya dengar cerita pasal dia termasuk dia menyanyi dalam kugiran sebelum pilihanraya ke-14 sokong kerajaan kleptokrasi. Selepas saya jadi PM ada pegawai saya minta supaya jangan ambil tindakan terhadap Tengku Zafrul walaupun ada usaha untuk buang dari CIMB. Saya kata Kerajaan pimpinan saya tidak akan aniaya sesiapa kecuali jika dapat bukti kesalahan.

    Dia dilantik Tan Sri Muhyiddin jadi Menteri Kewangan dan dia dikecam Datuk Seri Anwar sebagai Menteri yang jaga bank dan bukan jaga rakyat. Walau kalah dalam pilihanraya umum ke-15 atas tiket UMNO, Datuk Seri Anwar, yang sebelum itu kecam Tengku Zafrul lantik dia jadi Menteri sekali lagi. Kalau ikut Datuk Seri Anwar, Tengku Zafrul ni memang tak layak jadi Menteri.

    Tapi dia tetap jadi Menteri. Mungkin ada something special yang kita tak nampak lagi.

  • ‘’Itu bukan banglo Sanusi, pemfitnah bekerja keras menjelang PRN’’ – Pejabat MB Kedah

    ‘’Itu bukan banglo Sanusi, pemfitnah bekerja keras menjelang PRN’’ – Pejabat MB Kedah

    PEJABAT MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial sejak semalam kononnya beliau membina sebuah banglo bernilai jutaan ringgit di Sik. 

    Setiausaha Akhbarnya Muhammad Mat Hakim berkata,  dakwaan tersebut langsung tidak benar dan semata-mata fitnah oleh golongan pendengki dalam media sosial. 

    Berikutan kenyataan penuh Pejabat Menteri Kedah berhubung tuduhan tersebut:

    Foto sebuah banglo di Sik lengkap dengan imej google map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu milik beliau sedang ditularkan oleh para pemfitnah dan pendengki di serata media sosial.

    Ia tidak benar dan semata-mata fitnah.  Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang PRN untuk mempengaruhi orang ramai percaya MB Kedah kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

    Rumah itu bukan milik beliau. Tidak ada wang Dato Seri Sanusi diguna untuk bina rumah itu walau satu sen. Ia milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.  Selama ini, pemilik rumah itu kumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut, terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.Bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak,  si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut. 

    Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini.   Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru, ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka. Apa salah mereka kepada kalian?  Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?

    Pemilik rumah itu bukan orang politik. Dia tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya. Mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri? Apa salah pemilik rumah itu kepada kalian hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalin tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu?

    Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan Dato’ Seri Sanusi? Adakah kerana pemilik rumah itu abang kepada MB Kedah, dia hilang hak untuk bina rumah besar walaupun ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu? Mudah sungguh kalian buat persepsi sedangkan persepsi bukan realiti. Antara kalian ada yang tidak pernah  lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana.  Orang Sik rata ratanya tahu rumah itu rumah Budin, bukan rumah Sanusi.

    Menurut Dato’ Seri Sanusi, sebagai adik, beliau tahu abangnya seorang yang berhati cekal, kuat bekerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup. Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Dato Seri Sanusi  sendiri mengakui kagum dengan pengorbanan dan kesanggupan abangnya berusaha mencari kesenangan untuk keluarga. 

    Hentikanlah fitnah seperti ini kerana ia hanya membawa dosa. 

  • Pas Pulau Pinang sifatkan DAP ‘ketakutan’ hadapi PRN

    Pas Pulau Pinang sifatkan DAP ‘ketakutan’ hadapi PRN

    PAS Pulau Pinang menyifatkan DAP sedang berada dalam ketakutan di negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, sebanyak 26 daripadanya adalah kerusi campuran dengan Melayu sebagai bukan majoriti pengundi.

    Jelasnya, baki 14 kerusi lagi ialah kerusi Melayu yang mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus pengundi Melayu.

    Ujar beliau, Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kerusi Melayu di Pulau Pinang menyaksikan peralihan kepada Perikatan Nasional (PN).

    “PN juga merampas Parlimen Kepala Batas dan Parlimen Tasek Gelugor daripada Barisan Nasional (BN) dan mengalahkan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Permatang Pauh yang sinonim dengan keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

    Kenyataan beliau itu dikongsi menerusi laman sosial Facebook milik Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff hari ini.

    Menurut beliau, data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN memenangi bahagian terbesar sokongan daripada pengundi kali pertama.

    Sementara itu, tambahnya, PH kehilangan undi secara keseluruhan berbanding prestasi mereka pada PRU-14. BN juga menyaksikan pengurangan undi.

    “Peralihan undi rakyat kepada PN ini menjadi kegusaran PH-BN sehingga DAP terpaksa memainkan sentimen 3R bagi meraih undi.

    “Insya-Allah, PN akan kuasai hampir 20 kerusi di Pulau Pinang dalam PRN ini,” katanya.

  • Prabagaran tarik diri bertanding Timbalan Presiden Gerakan

    Prabagaran tarik diri bertanding Timbalan Presiden Gerakan

    TIMBALAN Speaker Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), V. Prabagaran membuat keputusan menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu.

    Perkara berkenaan diumumkan calon bagi jawatan Presiden Gerakan, Liang Teck Meng.

    Menurut Teck Meng, keputusan Prabagaran disebabkan pihak tertentu mahu membunuh demokrasi dalam parti.

    “Ia adalah hari yang menyedihkan bagi Gerakan. Pemimpin tertentu mahu membunuh demokrasi dalam Gerakan.

    “Kenapa mereka takut dengan pemilihan parti? Mengapa tidak bertanding secara adil dan biarkan perwakilan memilih pemimpin?

    “Mengapa berusaha keras untuk tekan rakan gandingan saya supaya berhenti di separuh jalan,” soalnya dalam satu kenyataan.

    Teck Meng tertanya-tanya apakah pihak lawannya mahu sembunyikan sesuatu dengan memastikan beliau tewas dalam pertandingan itu.

    “…Adakah parti ini sangat bergantung kepada panglima perang sehingga semangat demokrasi sedang dibunuh. Saya sedih dan saya kecewa,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan Teck Meng yang akan merebut jawatan nombor satu parti itu akan bergandingan dengan Prabagaran yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Tiga calon lain akan merebut jawatan Presiden Gerakan termasuk penyandangnya, Datuk Dr. Dominic Lau yang akan berganding dengan Timbalannya, Oh Toh Keong.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Teck Meng berkata, beliau akan terus bertanding walaupun gandingannya menarik diri.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan rundingan bagi memastikan pertarungan satu lawan satu menentang Teck Meng gagal membuahkan hasil.

    Teck Meng dipilih sebagai Presiden Gerakan pada 2018 dan akan mempertahankan gelarannya buat kali pertama.

    Kemenangan bagi jawatan itu penting kerana Presiden mempunyai kuasa untuk menentukan calon daripada parti itu bagi pilihan raya enam negeri akan datang.

  • MCA,MIC tak tanding sebab peluang UMNO menang lebih  cerah 

    MCA,MIC tak tanding sebab peluang UMNO menang lebih  cerah 

    KEPUTUSAN parti komponen Barisan Nasional (BN) MIC dan MCA untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan, bukan langkah memboikot gabungan itu dan PRN.

    Sebaliknya ia merupakan keputusan konsensus dan dibuat berdasarkan peluang calon UMNO yang dilihat lebih cerah untuk memenangi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang bakal ditandingi BN.

    Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata keputusan itu pernah dilakukan sebelum ini, iaitu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highland pada 2019, yang menyaksikan kerusi tradisi MIC diberikan kepada calon UMNO dan berjaya dimenangi BN pada PRK itu.

    “Tidak timbul soal kita memboikot (PRN)…kita ambil semangat atau spirit Cameron Highland (PRK)…kita lihat peluang UMNO menang lebih cerah…jadi kita beri laluan pada mereka bertanding.

    “Keputusan ini ialah soal kemenangan BN… kemenangan BN lebih penting daripada kemenangan parti secara individu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi, di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, lapor BERNAMA.

    Saravanan berkata walaupun MIC dan MCA tidak bertanding, namun sebagai parti komponen BN, jentera masing-masing akan menyokong dan membantu sepenuhnya kempen calon UMNO, bagi memenangi PRN itu.

    Senada dengan beliau, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon juga menegaskan MCA akan terus menyokong calon BN dan memastikan kemenangan di setiap kerusi DUN yang ditandingi.

    Terdahulu, mesyuarat berlangsung selama lebih sejam itu, dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin tertinggi BN, antaranya Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan beberapa pemimpin tertinggi parti komponen gabungan itu.

    Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan depan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

    Sementara itu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan sejurus tamat mesyuarat itu memaklumkan, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN menghormati keputusan dan komitmen parti komponen BN bagi memastikan kemenangan di semua kawasan yang ditandingi.

    Beliau berkata kerjasama di antara parti komponen Kerajaan Perpaduan juga akan diperkukuh dan dipertingkatkan.

    “BN juga mengarahkan persiapan dan memperkukuhkan semua jentera parti di setiap peringkat bagi menghadapi PRN ini. BN bersama-sama dengan Pakatan Harapan akan mengadakan Program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kedah pada 15 Julai, Pulau Pinang (16 Julai) Kelantan (23 Julai) Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lepas, mengumumkan PRN di enam negeri itu dijalankan secara serentak, dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

  • Muhyiddin anggap PRN akan jadi referendum rakyat untuk kerajaan

    Muhyiddin anggap PRN akan jadi referendum rakyat untuk kerajaan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini sebagai referendum atau pungutan rasmi suara rakyat sama ada mahu melihat kerajaan Putrajaya kekal atau sebaliknya.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, setelah lebih tujuh bulan memerintah, rakyat boleh melihat dan menilai apa yang kerajaan campuran PH-BN lakukan untuk rakyat selain berpolitik tanpa mengira tempat dan masa.

    ‘’Kerajaan PH-BN juga sanggup berbohong kepada rakyat dengan memberi gambaran yang cantik-cantik sahaja, sedangkan realiti di bawah tidak sedemikian. Kos sara hidup terus meningkat dan mencengkam hidup rakyat, ekonomi merudum, ringgit menjunam ke paras membimbangkan tetapi kerajaan dilihat tidak berbuat apa-apa,’’ katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau, hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, secara jujur beliau tidak menyangka setelah lebih tujuh bulan memerintah, masalah kerajaan campuran PH-BN ini begitu besar daripada yang dijangka.

    ‘’Justeru saya menyeru seluruh rakyat agar dapat keluar mengundi dan menjadikan PRN ini sebagai satu pungutan suara rasmi rakyat menolak sebuah kerajaan ‘cakap tak serupa bikin’ yang banyak menyusahkan hidup rakyat,’’ katanya.

    Sambil menjelaskan, beliau melancarkan jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan malam tadi, Presiden Bersatu berkata, pilihan raya ini bukan sekadar untuk memilih seorang wakil rakyat tetapi lebih daripada itu memilih sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, amanah, tidak rasuah, mendukung perlembagaan, adil dan saksama dalam sentiasa berusaha memajukan ekonomi negeri.

    Beliau berkata,  walaupun PN berada dalam serba kekurangan, jangan sesekali mudah putus asa, terus berusaha perhebatkan jentera pilihan raya, insya-Allah kemenangan akan menjadi milik kita.