Category: Politik

  • ‘Saya sanggup tumbuk meja kalau tak puas hati’ – Masidi

    ‘Saya sanggup tumbuk meja kalau tak puas hati’ – Masidi

    ISU tuntutan terhadap hak minyak dan gas dengan kerajaan Pusat dan Petronas menjadi keutamaan bagi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perubahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

    Malah, beliau menegaskan sanggup ‘menumbuk meja’ sekiranya tidak berpuas hati dengan hasil rundingan mengenai tuntutan tersebut.

    Memetik laporan FMT, Masidi yang juga ketua pasukan rundingan Sabah memberi jaminan akan memastikan misi untuk mengembalikan hak Sabah ke atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri itu mencapai kejayaan yang dikehendaki rakyat.

    “Pasal gas jangan risau. Walaupun saya ini orang kampung, orang Dusun atau orang bukit dari Ranau saya akan pasti mempertahankan hak Sabah.

    “Saya sanggup keluar bilik rundingan dan tumbuk meja jika tidak puas hati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

    Shafie yang juga ketua pembangkang DUN Sabah bertanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan hak minyak dan gas negeri itu benar-benar dikembalikan seperti yang dituntut menerusi rundingan dengan Petronas.

    Masidi menambah, hasil ketegasan kerajaan negeri, Petronas bersetuju membangunkan fasiliti minyak dan gas terapung di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

    Katanya, projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini seperti yang sudah dipersetujui.

    “Petronas sudah bersetuju membina fasiliti ini di SOGIP, tiada toleh-toleh lagi dan insyaAllah akan dilaksanakan pada tahun ini,” jelasnya.

    Dalam perkembangan sama, Masidi ketika menjawab soalan tambahan ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee berkaitan kerahsiaan rundingan dengan Petronas, beliau menjelaskan perkara itu adalah kelaziman dalam amalan perniagaan.

    Namun katanya, kerahsiaan itu hanya berlaku ketika perundingan masih dijalankan tetapi isi rundingan akan terdedah dengan sendirinya apabila perkara yang dirundingkan berjaya dan menjadi kenyataan.

    “Contohnya kita diberi hak ambil alih ekuiti syarikat Petronas, apabila sampai kita ambil alih ia akan didedah kepada orang ramai, tapi memandangkan ada saingan dalam perniagaan, ia dirahsiakan ketika rundingan.

    “Namun, satu demi satu akan didedahkan juga kepada awam apabila tiba masanya. Itu niatnya kerahsiaan itu, bukan tidak mahu beritahu atau ada sesuatu yang kita mahu sembunyikan, tiada niat seperti itu,” ujarnya.

  • Benarkah cengkaman Dinasti Lim dalam DAP telah berakhir?

    Benarkah cengkaman Dinasti Lim dalam DAP telah berakhir?

    DINASTI Lim telah menguasai DAP sejak Lim Kit Siang menjadi Setiausaha Agungnya selama 30 tahun mulai 1966 hingga 1999. Beliau seterusnya memainkan peranan selaku Penasihat dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sehinggalah semalam.

    Namun, beliau tidaklah lenyap sepenuhnya dari pentas politik DAP kerana masih diberi peranan sebagai Mentor Parti. Tidak pasti apakah fungsi sebenar jawatan tersebut dan tahap pengaruhnya terhadap dasar DAP.

    Anak lelakinya, Lim Guan Eng mula menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP kelima selama tiga penggal mulai 4 September 2004 sehingga semalam.

    Jika tidak kerana Perlembagaan DAP yang mengehadkan tempoh seseorang pemimpin memegang jawatan Setiausaha Agung selama tiga penggal, mungkin bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpeluang menyamai atau memecahkan rekod yang dipegang oleh bapanya.

    Guan Eng yang terpalit dengan tuduhan berkaitan skandal terowong di mahkamah juga masih ada dalam barisan CEC penggal ini malah beliau dilantik sebagai Pengerusi pula.

    Seorang lagi waris Kit Siang iaitu anak perempuannya, Lim Hui Ying juga mendapat tempat dalam CEC DAP bagi penggal 2022 – 2025 yang dianggap sebagai barisan penggempur parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Adik perempuan Guan Eng itu juga merupakan seorang Ahli Dewan Negara bagi mewakili Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP sejak selepas PRU-12.

    Sebelum pemilihan, ramai pemerhati melihat keputusan Kit Siang mengundurkan diri dari persaingan mendapatkan tempat dalam CEC sebagai langkah mengurangkan pengaruh keluarganya dalam parti.

    Mungkin beliau pun sedar tentang tanggapan negatif terhadap kewujudan Dinasti Lim yang ditujukan terhadap dirinya dan Guan Eng selama ini.

    Malangnya andaian itu tersasar apabila dua ahli Dinasti Lim dipilih menganggotai CEC DAP manakala Kit Siang sendiri dilantik sebagai Mentor Parti.

    Maknanya, kini ada tiga ahli Dinasti Lim dalam carta organisasi kepimpinan DAP, berbanding hanya dua sebelum ini.

    Memang benar, seramai 30 ahli CEC termasuk Guan Eng dan Hui Ying dipilih oleh para perwakilan yang menghadiri Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, semalam.

    Kita tidak mempertikaikan keputusan pemilihan tersebut. Cuma agak hairan apabila akar umbi DAP sendiri masih enggan membebaskan parti itu daripada cengkaman Dinasti Lim.

    Lebih pelik apabila mereka selama ini mendabik dada sebagai pejuang CAT atau kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan mengangkat seorang pemimpin dalam kategori kluster mahkamah sebagai Pengerusi.

    Memandangkan akar umbi DAP tidak berani menyingkirkan Dinasti Lim daripada parti mereka, wajarlah rakyat mengajar mereka pada PRU-15 dengan memastikan parti yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) itu jatuh tersungkur.

    Hanya dengan cara itu baru mereka sedar bahawa rakyat Malaysia sudah bosan dan meluat dengan dasar cauvinistik dan sikap hipokrit yang disuburkan oleh Dinasti Lim dalam DAP.

  • Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

    Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

    NEGERI SEMBILAN menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 yang sepatutnya bermula hari ini disebabkan Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan timbalannya, Datuk M. Ravi disahkan positif Covid-19.

    Perasmian persidangan pertama bagi penggal kelima DUN Negeri Sembilan itu sepatutnya bermula empat hari sehingga Khamis ini.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh baharu akan dimaklumkan setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.

    “Pagi tadi saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik pada pukul 8 pagi mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan perkembangan Speaker dan Timbalan Speaker didapati positif Covid-19.

    “Perkara ini dimaklumkan kepada baginda. Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar. Kita cuba cadangkan tarikh pada Ramadan ini,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan Speaker DUN sementara boleh dilantik tetapi memandangkan suasana Covid-19 selain ramai petugas dewan dilaporkan turut positif, persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

    “Sedia maklum ada Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang. Jadi, perlu ada Speaker dan timbalannya pada waktu tersebut (sidang DUN),” katanya.

    Aminuddin berkata, Zulkefly disahkan positif pada tengah malam Ahad manakala Ravi pada Sabtu lalu.

  • PRU-15 dijangka diadakan selepas MoU kerajaan, PH tamat

    PRU-15 dijangka diadakan selepas MoU kerajaan, PH tamat

    ISU pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan pelaksanaan awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini menjadi polimik dalam perbincangan politik negara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir.

    UMNO merupakan pihak terkehadapan memainkan perkara tersebut ketika ini terdorong daripada kemenangan PRN di Johor dan Melaka dengan jumlah kemenangan yang selesa melalui Barisan Nasional (BN).

    Ahli dan kepimpinan tertinggi UMNO dilihat menggunakan sepenuhnya pentas Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung selama empat hari bermula Rabu dengan menjadikan isu tersebut sebagai perkara utama dalam acara berkenaan, memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Desakan dan saranan yang dilontarkan itu dilakukan dengan mengambil kira momentum dan prestasi baik ditunjukkan oleh UMNO dan BN dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk di PRN Sabah.

    Bagaimanapun, prestasi baik parti itu dalam pilihan raya sebelum ini bukanlah satu-satunya sebab yang memungkinkan berlakunya PRU-15 dengan lebih awal meskipun Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob merupakan Naib Presiden UMNO.

    Ini kerana selain perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, langkah pembubaran Dewan Rakyat itu juga perlu terlebih dahulu mengambil kira Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

    Namun begitu, situasi semasa MoU itu dilihat berada dalam keadaan tidak menentu ekoran kelewatan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti di Parlimen.

    Semalam, pemimpin DAP, Lim Guan Eng berkata, MoU tersebut tidak akan bermakna dan perlu ditamatkan sekiranya RUU itu tidak dibentangkan pada urusan mesyuarat Parlimen pada Isnin.

    Kenyataan beliau itu dilihat selari dengan penegasan yang dilontarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang menggesa agar RUU Anti Lompat Parti segera dibentang dan diluluskan pada persidangan Parlimen kali ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.

    Malah, Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu turut menyatakan bahawa PH tidak teragak-agak untuk menarik balik MoU tersebut sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen yang berlangsung pada Mac.

    MoU tersebut menetapkan bahawa di bawah perkara pembentangan RUU berkaitan hendaklah dibentang dan diluluskan dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen tahun 2022 yang bermula pada 28 Februari lalu dan berakhir pada Khamis ini.

    Penamatan MoU yang pada awalnya ditetapkan berakhir pada Julai ini dan turut meliputi penangguhan pembubaran Dewan Rakyat itu dilihat secara langsung memberi ruang kepada UMNO untuk memaksa Perdana Menteri bagi memberi laluan untuk mengadakan PRU15 dengan lebih awal.

    Dengan mengambil kira tekanan kepimpinan tertinggi UMNO dan keperluan parti itu sendiri untuk mengadakan PRU-15 sebelum pemilihan yang dijadual pada akhir tahun ini, Ismail Sabri dijangka terpaksa akur dengan kehendak partinya.

    Justeru, penamatan MoU tersebut sekiranya benar-benar berlaku dilihat menjadi satu lagi peluang yang bakal digunakan UMNO untuk memastikan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, termasuk selepas bulan puasa iaitu pada Mei ini.

  • Tidak ramai keluar mengundi jika PRU15 diadakan tergesa-gesa – penganalisis 

    Tidak ramai keluar mengundi jika PRU15 diadakan tergesa-gesa – penganalisis 

    PERATUSAN keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka rendah sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat dan secara tergesa-gesa, kata beberapa penganalisis.

    Mereka berkata, beberapa pilihan raya kecil (PRN) yang diadakan seperti di Melaka dan Johor dipengaruhi pandemik Covid-19 dan dilihat menjadi faktor utama ramai pengundi terutamanya yang berada di luar kawasan enggan melaksanakan tanggungjawab mereka.

    Malah, penganalisis juga berpandangan rakyat enggan keluar mengundi kerana meluat dengan kerenah ahli politik yang sentiasa sibuk berebut kuasa dan jawatan tetapi mengabaikan nasib orang ramai yang sedang menghadapi pelbagai musibah termasuk banjir.

    Dr. Azmil Mohd. Tayeb, dari USM berkata perkara itu tidak terlalu membimbangkan kerana pelaksanaan PRN dan pilihan raya kecil (PRK) terutamanya sekiranya ia dibuat secara mendadak memang akan mempunyai peratusan pengundi lebih rendah berbanding PRU.

    Namun begitu, beliau menyarankan supaya kerajaan dan parti politik tidak memandang remeh isu ini dan perlu tingkatkan usaha menaikkan kadar peratusan mengundi pada masa hadapan.

    “Situasi pandemik yang membuatkan ramai tidak mahu mengambil risiko jangkitan, malah pengundi juga berasa muak dengan ahli dan parti politik yang dilihat cuma merebutkan kuasa,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    “Selain itu, terdapat juga kesulitan dan kekurangan motivasi pengundi luar untuk pulang mengundi.

    “Ini ditambah juga dengan naratif kempen yang tidak berkesan disampaikan kebanyakan parti politik.

    PRN Johor menyaksikan peratusan mengundi rendah iaitu 54.92% daripada 2,597,742 pengundi yang layak mengundi, sekali gus menunjukkan hampir 45% pengundi Johor tidak keluar mengundi.

    PRN Melaka pula menyaksikan peratusan mengundi 65.85 peratus.

    Kedua-dua PRN tersebut tidak mencecah sasaran SPR sebanyak 70 peratus keluar mengundi.

    Sementara itu, penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, menyifatkan peratusan mengundi rendah sebagai kebimbangan besar terhadap sebuah negara demokrasi apabila penyertaan pengundi adalah kunci utama terhadap amalan demokrasi sihat.

    Oh bagaimanapun menegaskan keputusan tidak mengundi juga merupakan hak pengundi di mana mereka ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap situasi politik semasa negara.

    “Ramai yang tidak turun mengundi kemungkinan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) atau pro-pembangkang kerana kecewa dengan Langkah Sheraton yang tumbangkan kerajaan reformasi yang diundi mereka.

    “Mereka berasa hilang harapan untuk mengembalikan kerajaan itu, contohnya apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditumbangkan tahun lalu, mereka mula berasa undi sebagai usaha sia-sia,” katanya.

    Tindakan PH menolak tawaran perjanjian persefahaman (MoU) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkan jawatan perdana menteri kembali kepada UMNO.

    PH bagaimanapun menandatangani MoU bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO yang menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin meletakkan jawatan akibat hilang sokongan.

    Tambah Oh, golongan ini juga berkemungkinan bertambah kecewa apabila PH menandatangani MoU menyokong kerajaan semasa yang disifatkan sebagai regresif.

    Walaupun mereka berat hati untuk keluar mengundi kerana dianggap sebagai pengundi PH yang ‘terabai’, mereka juga tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) atau PN, justeru kumpulan ini lebih rela duduk di rumah,” katanya.

    Bagi James Chin dari University of Tasmania, Australia sekiranya PRU-15 diadakan pada tahun hadapan, ada kemungkinan jumlah pengundi akan kembali meningkat memandangkan impak penularan Covid-19 dijangka akan berkurang pada hujung tahun ini.

    “Kita perlu perhatikan juga perkembangan jangkitan Covid-19 di Malaysia sebab ia akan memberi kesan terhadap suasana PRU-15 akan datang,” katanya dan menambah jumlah peratusan rendah bukan satu kebimbangan kerana angka itu akan sentiasa berubah setiap pilihan raya.

    “Covid-19 bukan sahaja mengubah karakter pilihan raya tetapi juga cara parti politik dalam negara berkempen,” katanya.

  • Anthony Setiausaha Agung DAP, Guan Eng jadi Pengerusi

    Anthony Setiausaha Agung DAP, Guan Eng jadi Pengerusi

    AHLI Parlimen Seremban, Anthony Loke diumumkan sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu bagi menggantikan Lim Guan Eng.

    Bekas Menteri Pengangkutan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu dipilih sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang baharu untuk memimpin parti.

    Memetik laporan Malaysiakini, Lim Guan Eng yang menang kerusi dalam CEC dilantik sebagai Pengerusi DAP yang baharu.

    Bapa Guan Eng iaitu Lim Kit Siang dilantik sebagai Mentor DAP manakala Tan Kok Wai sebagai Penasihat dan Nga Kor Ming sebagai Ketua Parlimen.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang meraih undi tertinggi dengan 1,782 undi, kekal sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.

    Jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan pula disandang bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

    Jawatan lama Anthony iaitu Setiausaha Organisasi Kebangsaan kini diisi oleh Steven Sim.

    Kali ini, bilangan jawatan CEC yang ada telah ditambah daripada 20 kepada 30 sejak pemilihan semula DAP pada 2017, dengan 17 muka baharu turut terpilih.

    Antara mereka yang baru menyertai CEC termasuk Young Syefura Othman, yang merupakan satu-satunya calon Melayu yang masuk dalam senarai itu.

    Beliau juga menggantikan Zairil Khir Johari sebagai satu-satunya wakil Melayu yang berjaya dilantik ke CEC.

    Zairil gagal mempertahankan jawatannya dalam CEC pada pemilihan kali ini.

    Satu lagi penambahan baharu yang mencuri tumpuan dalam CEC ialah Lim Hui Ying, yang merupakan anak kepada veteran DAP, Lim Kit Siang.

    Kit Siang telah mengumumkan persaraan daripada politik awal hari ini. Sumber DAP berkata, Kit Siang mahu mengehadkan bilangan ahli keluarga dalam kepimpinan untuk mengelakkan dakwaan “dinasti politik”.

    Guan Eng berundur sebagai Setiausaha Agung, jawatan eksekutif tertinggi, susulan had tiga penggal yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

    Ronnie Liu pula berjaya menduduki tempat ke-20 dalam senarai ahli CEC yang dipilih walaupun secara terbuka mengkritik kepimpinan DAP dalam pelbagai perkara, termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta kerjasama DAP sebelum ini dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

    Jannie Lasimbang juga berjaya dipilih ke CEC walaupun memperoleh jumlah undi yang lebih rendah berbanding beberapa calon lain berikutan kuota 30 peratus wanita DAP untuk jawatankuasa itu.

  • PRU-15: PBS mahu rampas semula Tuaran untuk GRS

    PRU-15: PBS mahu rampas semula Tuaran untuk GRS

    PARTI Bersatu Sabah (PBS) bersedia merampas semula kerusi Parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Tamparuli ke-36 dan ke-37, dekat Tuaran, hari ini.

    Menegaskan bahawa Tamparuli dan jirannya Kiulu merupakan kubu kuat PBS, Ongkili yakin mereka mampu menawan semula Tuaran daripada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), terutamanya dengan sokongan daripada pengundi di kerusi DUN Sulaman dan Pantai Dalit.

    “Tuaran antara kawasan yang kita inginkan. Jentera PBS sudah bersedia dan akan diperkukuhkan lagi dengan penambahan keahlian dan cawangan.

    “Parti kita akan terus berkembang, dan dua ADUN kami di Kiulu dan Tamparuli telah berkhidmat dengan baik di peringkat akar umbi. Akar umbi sangat jelas tentang perjuangan parti, justeru akan berikan sokongan berterusan mereka kepada PBS,” kata Ongkili, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut menegaskan bahawa GRS, yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac lepas, juga akan terus memperjuangkan hak dan tuntutan Sabah serta rakyatnya.

    Presiden UPKO ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, kerusi yang dimenangi beliau dengan majoriti 7,624 atas tiket Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

    Penggal Parlimen semasa akan tamat pada Jun 2023 dan PRU15 perlu diadakan menjelang Julai tahun sama. – BERNAMA

  • Senarai 30 ahli CEC DAP penggal 2022-2025

    Senarai 30 ahli CEC DAP penggal 2022-2025

    SEBANYAK 30 ahli dilantik menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas tamat sesi pengundian yang dijalankan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, petang tadi.

    Juruaudit dari firma Grant Thornton, John Lau Tiang Hua mengumumkan senarai itu pada kongres yang berlangsung selama satu hari itu.

    Berikut adalah senarai 30 ahli CEC untuk penggal 2022-2025:

    Gobind Singh Deo: 1,782 undi
    Chow Kon Yeow: 1,641
    Anthony Loke Siew Fook: 1,625
    Teresa Kok Suh Sim: 1,373
    Hannah Yeoh Tseow Suan: 1,346
    Fong Kui Lun: 1,341
    Steven Sim Chee Keong: 1,340
    Lim Guan Eng: 1,311
    Ng Sze Han: 1,282
    Ng Suee Lim: 1,279
    Tan Kok Wai: 1,263
    Nga Kor Ming: 1,262
    M. Kulasegaran: 1,226
    Lim Lip Eng: 1,156
    Lim Hui Ying: 1,155
    Chong Chieng Jen: 1,154
    Alice Lau Kiong Yieng: 1,119
    Chan Foong Hin: 1,101
    Teo Nie Ching: 1,071
    Ronnie Liu Tian Khiew : 1,070
    Wong Kah Woh: 1,069
    Liew Chin Tong: 1,008
    Tan Hong Pin: 992
    Young Syefura Othman: 991
    P. Kasthuriraani: 978
    Teo Kok Seong: 976
    Thomas Su Keong Siong: 953
    Vincent Wu Him Ven: 950
    Wong Shu Qi: 939
    Jannie Lasimbang: 877

    • BERNAMA
  • PAS Sabah mahu tahu hala tuju GRS selepas pendaftaran

    PAS Sabah mahu tahu hala tuju GRS selepas pendaftaran

    PAS Sabah menyokong pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi, namun memerlukan maklumat terperinci mengenai kandungan dan hala tuju pendaftaran berkenaan.

    Sehubungan itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, PAS Sabah akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai pendaftaran GRS baru-baru ini.

    “Secara prinsipnya PAS Sabah dan semua komponen parti dalam GRS yang ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bersetuju dengan penubuhan GRS namun bagi PAS Sabah, kita akan mengikut perkembangan terkini.

    “Kita akan teliti semula semua keputusan yang akan kita buat. Kita masih bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan kita tidak berpisah dengan Bersatu…cuma pendaftaran itu perlu kita dapatkan maklumat lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tukar Minyak Enjin PAS Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    GRS kini secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan Barisan Nasional dan PAS.

    Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, sebelum ini dilaporkan berkata kerjasama parti dalam GRS bersama PAS adalah melalui PN.

    Mengenai program itu, Aliakbar berkata ia adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melalui Alternative Riding Club (ARC) dan seramai 50 orang penghantar Foodpanda dan Grab yang berdaftar dengan ARC akan mendapat perkhidmatan menukar minyak enjin motosikal secara percuma. – BERNAMA

  • Bentang RUU anti lompat parti atau MoU batal, DAP gertak PM

    Bentang RUU anti lompat parti atau MoU batal, DAP gertak PM

    DAP akan mendapatkan kepastian daripada kerajaan berhubung tarikh muktamad pembentangan rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti di Parlimen, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

    Beliau berkata, DAP akan mendapatkan kepastian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu, jika tidak, Memorandum Persedahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang dari gabungan Pakatan Harapan (PH) akan terbatal secara automatik.

    Ahli Parlimen Bagan itu berkata, parti DAP tiada bantahan sekiranya kerajaan berhasrat melanjutkan persidangan parlimen bagi tujuan meluluskan rang undang-undang itu, selagi ia tidak terus menangguhkannya.

    “Sekiranya persidangan dilanjutkan namun ia masih tidak mendapat kelulusan awal, atau sebagainya, ia boleh diterima selagi kita dapat tarikh muktamad.. kita akan bincang berkara itu apabila Perdana Menteri kembali daripada lawatan rasmi di Vietnam.

    “Sekiranya ini (Rang Undang-undang Anti Lompat) tidak dapat diluluskan, ia bermakna MoU tamat,” katanya dalam persidangan media pada Kongres Nasional DAP ke-17 2022 di Shah Alam hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata, rang undang-undang bagi Anti Lompat Parti itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hanya selepas pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh, dan semua sesi libat urus tamat.

    Bagaimanapun Guan Eng berkata, MoU yang dicapai antara kerajaan dan gabungan PH akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana syarat, termasuk yang berkaitan rang undang-undang Anti Lompat Parti, tidak dipenuhi.

    MoU yang ditandatangan pada bulan September lepas oleh Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH sepakat bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan setidak-tidaknya sebelum 21 Julai ini.

    Ismail memulakan lawatan rasmi pertama beliau ke Vietnam mulai hari ini hingga 22 Mac. – BERNAMA