Category: Politik

  • Ada keputusan parti perlu diputuskan Presiden Pas

    Ada keputusan parti perlu diputuskan Presiden Pas

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, sebarang keputusan yang diambil parti itu perlu dibuat secara bersama selepas dibincangkan di peringkat parti yang berkaitan sesuai dengan isu berbangkit.

    Menurutnya, namun ada isu yang dibawa dan dibincangkan di peringkat Dewan Harian parti selain di peringkat jawatankuasa Pusat atau majlis syura.

    “Ada juga (keputusan) sesuatu perkara dibuat menjadi budi bicara presiden,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Terdahulu Menteri Alam Sekitar dan Air itu menghadiri program sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Taman Awam Bera, Pahang. Turut hadir Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikan acara tersebut.

    Pada pertengahan bulan ini Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat keputusan sendiri semasa membawa parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Dakwanya, keputusan Abdul Hadi didorong oleh nasihat seorang dua pemimpin yang rapat dengan duta khas bertaraf menteri terbabit.

    Mohd. Khairuddin yang dipecat daripada ahli Jawatankuasa Pusat Pas juga membuat keputusan meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas pada 14 Mac lalu.

    Selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), Mohd Khairuddin dilantik menjadi menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin namun diketepikan apabila Ismail Sabri menggantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu adalah seorang daripada segelintir pemimpin Pas yang dilihat lebih cenderung kepada UMNO berbanding Bersatu dan PN.

    Sementara itu ditanya mengenai calon yang akan bertanding mewakili Pas di kerusi parlimen Kuala Nerus pada pilihan raya umum akan datang, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu akan diputuskan selepas parlimen dibubarkan.

    “Soal calon, kita kena tunggu hari penamaan calon nanti,” katanya.

  • Positif Covid-19: Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik

    Positif Covid-19: Kesihatan Abdul Hadi bertambah baik

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tamat tempoh kuarantin pada hari ini selepas disahkan positif Covid-19 pada 20 Februari lalu.

    Setiausaha Politiknya, Mohd. Syahir Sulaiman berkata, tahap kesihatan pemimpin berkenaan bertambah baik.

    Katanya, sepanjang tempoh kuarantin Abdul Hadi telah menyiapkan sebuah manuskrip buku yang telah mula ditulis sejak sebulan lalu.

    “Sepanjang tempoh kuarantin banyak masa beliau habiskan dengan menulis dan saya difahamkan beliau telah menyiapkan sebuah manuskrip buku berjudul Hidayah sepanjang tempoh beliau dikuarantin.

    “Semalam saya ada berhubung dengan beliau dan keadaanya ceria. Insya-Allah beliau akan kembali berkhidmat selepas habis kuarantin,” katanya memetik laporan Sinar Harian, ketika ditemui pemberita di Kuala Nerus, hari ini.

    Menurut Syahir, manuskrip setebal 400 muka surat itu merupakan kesinambungan daripada penulisan ketika Abdul Hadi menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

    “Ketika di IJN sebelum ini beliau menulis buku berkisar tentang al-Quran, selepas itu mengenai Taqwa dan kali ini mengenai Hidayah.

    “Jangkaan untuk penerbitan belum dipastikan namun menurut beliau buku itu akan diterbitkan secepat mungkin kerana ada satu lagi buku dalam perancangan untuk diterbitkan iaitu buku berkisar mengenai empat khalifah,” katanya.

    Pada 20 Februari lalu, Abdul Hadi mengalami demam selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Pentadbiran Pas di Kedah sebelum disahkan dijangkiti Covid-19.

  • Sosma: Pembangkang tidak langgar MOU – KJ

    Sosma: Pembangkang tidak langgar MOU – KJ

    TINDAKAN pembangkang tidak menyokong usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada Rabu lepas, tidak melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, mesyuarat Kabinet semalam telah membincangkan perkara itu dan mendapati ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak melanggar MoU yang dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lepas.

    “MoU hanya terpakai kepada undang-undang atau RUU (rang undang-undang) yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan. Itu hanyalah sama ada RUU perbekalan yang lebih dikenali sebagai bajet atau usul tidak percaya (kepada perdana menteri).

    “Kalau undang-undang biasa macam usul SOSMA dan lain-lain, saya rasa tidak tertakluk kepada MoU sebab ia tidak bermaksud bahawa sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan cuma tidak setuju dengan peruntukan SOSMA, itu saja. Bukan menentang kerajaan,” katanya kepada media selepas melancarkan MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di Sepang, hari ini.

    Dewan Rakyat pada Rabu gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk lima tahun lagi, selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 49 Ahli Parlimen tidak hadir.
     
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis dilaporkan berkata MoU antara kerajaan dengan PH belum terbatal berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU itu yang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat jika usul kerajaan tidak disokong.

    Wan Junaidi berkata, MoU yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dengan PH pada 13 September tahun lepas itu hanya akan tamat apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan MoU berkenaan.

    MoU Transformasi dan Kestabilan Politik itu ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pula dilaporkan berkata tindakan pembangkang tidak menyokong usul SOSMA itu tiada kena-mengena dengan MoU, yang menurutnya dalam MoU itu terdapat dua perkara sahaja iaitu pembangkang akan menyokong dan berkecuali dalam bajet dan undi percaya kepada perdana menteri.

    “Semua RUU dan usul lain perlu dirunding dan bebas untuk kami mengambil pendirian seperti dalam kes SOSMA ini tiada rundingan dibuat sebelum dibentang dan kita bebas mengambil pendirian kita,” kata Anthony.

    Khairy dalam pada itu berkata, beliau difahamkan oleh pihak pembangkang bahawa keputusan tidak menyokong usul SOSMA yang dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak membawa maksud mereka hilang kepercayaan kepada Ismail Sabri.

    “Pembangkang pun sebut tidak bermaksud bahawa mereka menarik sokongan kepada MoU dan bermaksud hilang kepercayaan kepada kerajaan.

    “Ini hanya kerana mereka tidak setuju dengan usul SOSMA itu sendiri, pelanjutan peruntukan penahanan 28 hari tanpa bicara,” katanya. – Bernama

  • Exco Johor dibarisi peguam, guru, ahli perniagaan

    Exco Johor dibarisi peguam, guru, ahli perniagaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dilantik hari ini terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dan berkelayakan tinggi daripada beberapa bidang.

    Exco berkenaan terdiri daripada empat peguam, guru, perunding pendidikan awal kanak-kanak serta ahli perniagaan.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, mandat diberikan itu adalah penghargaan golongan muda yang diberi kepercayaan bagi menerajui barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

    Beliau akan memastikan setiap tugasan yang dipikul mampu menjayakan dasar kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

    “Saya akan memulakan tugasan esok dan melihat apa isu, permasalahan dan penambahbaikan yang diperlukan hasil perbincangan dan pertemuan bakal dilakukan,” katanya.

    Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman 10 Exco kerajaan Johor yang baharu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon pula, tidak akan berlengah untuk memulakan tugasan kerana portfolio dipikul itu adalah sesuatu yang penting ketika negara akan beralih ke fasa endemik.

    Malah susulan pembukaan sempadan Johor, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Saya akan berusaha sebaik mungkin dan tidak akan menghampakan pengundi yang memberi saya peluang menjadi Adun dan kini menggalas tugasan sebagai Exco,” katanya.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kesejahteraan penduduk.

    “Peranan saya sebagai pemudah cara bagi memastikan semua penduduk termasuk B40 dan di bawahnya tidak terlepas pandang,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh bersyukur atas mandat berkenaan dan akan berusaha memikul portfolio berkenaan dengan sebaiknya.

    “Saya akan berjumpa ketua-ketua jabatan yang berkaitan dahulu mulai esok,” ujar ADUN Johor Lama itu.

  • Najib ‘drama king’ terdesak – Amir Razali

    Najib ‘drama king’ terdesak – Amir Razali

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa cuba meraih simpati orang awam ketika berkunjung ke Pulau Pinang, memandangkan dia mungkin berdepan hukuman penjara dalam kes rauah SRC International.

    Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Amir Ghazali menyifatkan Najib sebagai seorang ‘drama king desperado’ yang membuat ‘pementasan drama’ menyasarkan masyarakat Cina.

    “Siapa pun boleh mengatur orang-orang atau penyokong yang masih ada untuk ditumpukan ke ceramah.

    “Kami tahu, ramai yang hadir adalah saki-baki penyokong ‘Bossku’ yang telah disusun awal untuk memenuhi acara tersebut, itu saja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, masyarakat sudah celik untuk menilai tindakan individu yang sarat dengan tuduhan mahkamah dan bekemungkinan bakal ke penjara.

    Ekoran itu menurut Amir, individu sebegitu perlu melakukan tindakan ‘terdesak’ bagi meraih simpati rakyat.

    Terdahulu pada Jumaat, Najib menghadiri acara rasmi dan tidak rasmi dengan peserta kebanyakkanya dalam kalangan masyarakat Cina termasuk menyampaikan ucaptama dalam Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis).

    Dalam pada itu, gambar yang dimuat naik Najib di Facebooknya ketika berkunjung ke Teoh Kongsi, pasar malam di Jelutong dan juga jeti Chew, menunjukkan dia mendapat sambutan ramai.

    Namun bagi Amir, kebanyakan penduduk Pulau Pinang tidak akan melupakan Najib meminggirkan mereka ketika menjawat jawatan Perdana Menteri kerana negeri itu ditadbir DAP.

    “Justeru, saya ucap tahniah juga di atas pementasan drama yang boleh dijadikan kenangan terindah untuk di bawa ke penjara nanti oleh ‘Bossku’.

    “Saya juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memahami sebaiknya akan trend terkini iaitu semakin UMNO, BN berkuasa, makin teruk rakyat merana terseksa,” katanya lagi.

  • Dua bekas ADUN DAP Sabah nekad sertai Warisan

    Dua bekas ADUN DAP Sabah nekad sertai Warisan

    DAP Sabah menerima tamparan hebat apabila dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang keluar parti pada Januari lalu secara rasminya menyertai Parti Warisan (Warisan), hari ini.

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan kemasukan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun di ibu pejabat Warisan, Kolombong, Kota Kinabalu, hari ini.

    Menurut Mohd Shafie, kemasukan kedua-dua ADUN ke dalam Warisan penting dalam usaha mengukuhkan parti itu di peringkat negeri.

    “Hari ini, mereka telah bertemu dengan saya menyatakan keinginan mereka, yang pertama asas dia adalah mereka mahu pastikan mereka masuk ke dalam parti tempatan yang ada dan kedua dalam pilihan raya lalu mereka bertanding menggunakan logo parti Warisan.

    “Warisan adalah platform yang betul untuk mereka terus perkukuhkan perjuangan. Supaya hak-hak yang ada di peringkat negeri ini juga diperjuangkan, ini antara sebab penting bagi mereka (memilih) landasan mana yang ada,” katanya memetika laporan Sinar Harian, selepas sidang akhbar sempena kemasukan dua ADUN itu.

    Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, keinginan kedua-dua ADUN yang mahu memperjuangkan hak rakyat Sabah antara faktor yang dilihat bagi menyertai Warisan.

    “Jadi ini antara yang saya lihat kerana kita bukan kerajaan, kita bukannya parti yang atas landasan bagi tawaran projek, bagi tawaran duit tetapi mereka menyatakan kepada saya keinginan mereka untuk memperjuangkan rakyat Sabah, hak-hak Sabah khususnya.

    “Saya berterima kasih kepada kedua-dua ADUN yang sudi dan sanggup menyertai Warisan dan dapat memperkukuhkan perjuangan Warisan di peringkat Sabah khususnya.

    “Ini bukan asing kepada kita, ada juga ADUN Bebas di Semenanjung sudah pun menyertai Warisan di Semenanjung, jadi ini satu trend cukup mengalakkan bagi kita untuk memastikan supaya kita dapat memperkuatkan parti Warisan,” katanya.

    Sementara itu, Calvin kekal dengan pendirian sebagai ADUN yang menyokong parti pembangkang dan ketua pembangkang untuk memperjuangkan hak rakyat.

    “Walaupun kita menjadi pembangkang tetapi saya tetapkan untuk terus berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk poket saya sendiri.

    “Rakyat mahu parti ini, kalau tiada rakyat, saya tidak berdiri di sini. Jadi saya harap di masa hadapan, kita akan bersama-sama sehingga ke hujung. Saya akan terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

    Menurut Justin pula, penyertaannya ke dalam Warisan atas dasar tanggungjawab beliau kepada pengundi untuk memperjuangkan hak-hak Sabah.

    “Atas sebab ini, saya percaya orang yang paling layak untuk menerajui hala tuju politik adalah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang terbukti ikhlas dan komited dalam mengembalikan hak Sabah sebagai rakan kongsi Malaysia,” katanya.

  • Johor tampil 100 peratus Exco muka baharu

    Johor tampil 100 peratus Exco muka baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMUA 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal 2022 hingga 2026 yang ditampilkan merupakan 100 peratus muka baharu.

    Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, daripada jumlah tersebut sebanyak 70 peratus adalah dalam kalangan orang muda.

    “Tahniah kepada ADUN-ADUN yang dilantik sebagai Exco Johor dan telah mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing di hadapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebentar tadi.

    “Barisan Exco ini merupakan gabungan antara pemimpin-pemimpin yang sarat dengan pengalaman bersama dengan pemimpin-pemimpin muda yang berilmu dan berketrampilan,” katanya dalam sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, barisan Exco itu juga dibarisi pemimpin pelbagai kaum dan mengambil kira keseimbangan jantina yang mencerminkan wajah sebenar Bangsa Johor.

    Beliau yakin barisan Exco yang dilantik berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

    “Saya sedar dan insaf, cabaran yang menanti di hadapan adalah amat besar dan mencabar, terutama ketika kita masih lagi bertarung dengan pandemik Covid-19.

    “Namun, saya bersama barisan ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor, dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya.

    Beliau dan barisan Exco baharu nekad bekerja keras memenuhi segala janji yang telah dibuat Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

    Menurutnya, Lima Ikhtiar BN Johor iaitu Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Orang Muda Johor, Pentadbiran Berintegriti dan Reformasi Politik pasti akan dilaksanakan kelak serta menjadi keutamaan Johor.

    Teras kerajaan negeri baharu itu katanya, akan menekankan konsep Bangsa Johor yang aka memastikan semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang terlibat sama dalam membangunkan negeri ini.

    “Aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat akan menjadi keutamaan serta fokus kerajaan negeri ini.

    “Justeru, saya bersama-sama barisan Exco yang baharu ini amat memerlukan sokongan dan doa setiap daripada anda, Bangsa Johor, dalam menggalas amanah dan tanggungjawab ini.

    “Jika kita bersama, saya yakin dan percaya tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah yang terlalu curam untuk dituruni, Insya-Allah,” katanya.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, daripada jumlah tersebut sebanyak 70 peratus adalah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) muda.

    “Tahniah kepada ADUN-ADUN yang dilantik sebagai Exco Johor dan telah mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing di hadapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebentar tadi.

    “Barisan Exco ini merupakan gabungan antara pemimpin-pemimpin yang sarat dengan pengalaman bersama dengan pemimpin-pemimpin muda yang berilmu dan berketrampilan,” katanya dalam sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini pada Sabtu.

    Katanya, barisan Exco itu juga dibarisi pemimpin pelbagai kaum dan mengambil kira keseimbangan jantina yang mencerminkan wajah sebenar Bangsa Johor.

    Beliau yakin barisan Exco yang dilantik berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

    “Saya sedar dan insaf, cabaran yang menanti di hadapan adalah amat besar dan mencabar, terutama ketika kita masih lagi bertarung dengan pandemik Covid-19.

    “Namun, saya bersama barisan ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor, dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya.

    Beliau dan barisan Exco baharu nekad bekerja keras memenuhi segala janji yang telah dibuat Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

    Menurutnya, Lima Ikhtiar BN Johor iaitu Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Orang Muda Johor, Pentadbiran Berintegriti dan Reformasi Politik pasti akan dilaksanakan kelak serta menjadi keutamaan Johor.

    Teras kerajaan negeri baharu itu katanya, akan menekankan konsep Bangsa Johor yang aka memastikan semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang terlibat sama dalam membangunkan negeri ini.

    Aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat akan menjadi keutamaan serta fokus kerajaan negeri ini, katanya.

    “Justeru, saya bersama-sama barisan Exco yang baharu ini amat memerlukan sokongan dan doa setiap daripada anda, Bangsa Johor, dalam menggalas amanah dan tanggungjawab ini.

    “Jika kita bersama, saya yakin dan percaya tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah yang terlalu curam untuk dituruni, Insya-ALLAH,” katanya.

    Habis

  • Sultan Ibrahim ingatkan Exco BN Johor tunai janji

    Sultan Ibrahim ingatkan Exco BN Johor tunai janji

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KESEMUA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Sultan Johor menegaskan, mereka perlu merealisasikan janji tersebut mengikut portfolio masing-masing yang sudah ditetapkan dan sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah ketika melaksanakan tugas.

    Baginda bertitah, kini bukan lagi masa untuk berbulan madu kerana kepentingan negeri dan rakyat mesti sentiasa diutamakan dan Exco-Exco juga perlu bekerjasama dengan semua pihak.

    “Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

    “Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco-Exco,” titah Sultan Ibrahim.

    Terdahulu, baginda berkenan melantik seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di Johor Bahru, hari ini.

    Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

    Antara Exco yang dilantik ialah Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap); Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor (Bukit Permai); K. Raven Kumar (Tenggaroh); Khairin Nisa Ismail (Serom); Mohd Hairi Mad Shah (Larkin) dan Mohd. Fared Mohd. Khalid (Semerah).

    Turut mengangkat sumpah ialah Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir) dan Norliza Noh (Johor Lama).

    Tegas Sultan Ibrahim, kesemua Exco berkenaan juga perlu menjalankan tugas dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain.

  • 10 barisan Exco kerajaan Johor yang baharu diumum hari ini

    10 barisan Exco kerajaan Johor yang baharu diumum hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10 Exco Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diumumkan pada ini bagi tempoh lima tahun ini selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengumumkan barisan Exco di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, Johor Bahru, hari ini.

    Senarai Exco kerajaan negeri yang bahru adalah seperti berikut:

    Exco Hasil bumi, Pentadbiran, Kewangan, perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor, Onn Hafiz (ADUN Machap)

    Exco Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap)

    Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai)

    Exco Perlacongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar (ADUN Tenggaroh)

    Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin Nisa Ismail Negeri Johor (ADUN Serom)

    Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin)

    Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah).

    Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng)

    Exco Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han (ADUN Paloh)

    Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir)

    Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh (ADUN Johor Lama).

  • Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang nafi orang Cina alu-alukan Najib

    Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang nafi orang Cina alu-alukan Najib

    DEWAN Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) hari ini menafikan tanggapan bahawa masyarakat Cina di negeri itu mengalu-alukan lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Pulau Pinang.

    Dakwaan itu dibuat selepas Presiden Persekutuan Persatuan Keturunan Zhang Malaysia, Anthony Chang Wei Loon berkata dia mengalu-alukan kedatangan Najib bagi pihak masyarakat Cina Pulau Pinang pada satu majlis yang diadakan semalam.

    Presiden PCCC, Hong Yeam Wah berkata, PCCC tidak mungkin menjemput atau mengalu-alukan Najib – yang telah disabitkan kesalahan rasuah – ke Pulau Pinang. Ini kerana katanya, ahli-ahli perniagaan mengutamakan integriti melebihi segalanya.

    “Bagaimana dia (Chang) boleh mewakili kami? PCCC mempunyai sejarah lebih seratus tahun, dan lebih 10,000 ahli meliputi semua industri di Pulau Pinang.

    “Hampir semua ahli perniagaan di sini adalah ahli kami, bukan ahlinya,” kata Hong kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

    “Jadi pada dasarnya, kami tidak akan menjemput atau mengalu-alukan Najib ke majlis kami atau mengalu-alukan beliau ke Pulau Pinang.

    “Kamu telah melakukan jenayah dan kamu datang ke sini untuk menghadiri acara yang bersifat politik. Kami sentiasa menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya melakukan rasuah,” katanya memetik laporan MalaysiaKini, hari ini.

    Najib sedang merayu terhadap sabitan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

    Sementara itu, Hong enggan mengulas mengenai pemimpin masyarakat Cina Pulau Pinang lain yang menghadiri majlis dihadiri Najib semalam.

    “Itu urusan mereka. Untuk PCCC, kami tidak akan menjemput beliau (Najib) untuk datang. Ahli perniagaan sentiasa menekankan bahawa pemimpin harus mempunyai integriti dan bebas daripada rasuah,” tegas Hong.

    Najib telah memulakan lawatan ke Pulau Pinang bagi mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina di negeri itu semalam.

    Selepas menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2, Najib mengadakan sesi dialog dengan pemimpin persatuan Cina Pulau Pinang.

    Semasa sesi dialog itu, Chang mendakwa masyarakat Cina merindui ‘kenangan yang indah’ di bawah pentadbiran ahli parlimen Pekan itu di mana Malaysia meraih pencapaian ekonomi yang hebat.

    Beliau turut memuji Najib yang mengambil pendekatan sederhana dalam mentadbir negara termasuk menghormati kepelbagaian kumpulan agama dan budaya.