Category: Politik

  • DAP Negeri Sembilan sokongan Aminudin Harun kekal MB 

    DAP Negeri Sembilan sokongan Aminudin Harun kekal MB 

    DAP Negeri Sembilan menyatakan pendirian menyokong Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun supaya dikekalkan sebagai menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberikan mandat menerajui Negeri Sembilan pada PRN, 12 Ogos ini.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata ini kerana Aminuddin yang juga pengerusi PH negeri telah membuktikan kemampuannya memimpin kerajaan negeri dengan baik, malah pendirian itu juga akan disampaikan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

    “Malam ini bagi pihak DAP saya isytiharkan bahawa DAP akan tetap sokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar (MB) …ini sokongan dan komitmen kami kepada beliau.

    “Kita sokong Aminuddin kerana beliau telah buktikan beliau seorang menteri besar yang bukan sahaja taat kepada perjuangan, kasih dan prihatin kepada rakyat, negeri, malah adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persediaan PRN DAP negeri, semalam, lapor FMT.

    Dalam pada itu, beliau berkata semua ADUN PH juga telah memberikan komitmen yang baik termasuk menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan PH akan meneruskannya sekiranya terus diberikan mandat.

    Justeru, Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata masyarakat perlu untuk terus menyokong kerajaan perpaduan yang sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

    Dalam pada itu, beliau berkata semua pihak juga perlu memastikan kestabilan kerajaan pada masa ini sekali gus memastikan pelaburan akan terus masuk ke negara ini sekiranya mempunyai kerajaan yang kuat.

    Sementara itu, Aminuddin meluahkan rasa terima kasihnya atas sokongan dan cadangan DAP Negeri Sembilan supaya beliau dikekalkan sebagai menteri besar sekiranya diberikan mandat selepas PRN.

    “Terima kasih DAP atas pendirian yang tidak berubah sejak awal. Bagaimanapun, pucuk pimpinan yang akan menentukannya,” katanya.

    Pada PRU14, Negeri Sembilan, yang memiliki 36 kerusi, menyaksikan PH menguasai 20 kerusi; DAP (11); PKR (6); Amanah (tiga); manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (Umno 15 dan MIC satu).

  • Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

    Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.

    Melalui kenyataan bertajuk ‘Apa gunanya Menangguk di Air Nan Keroh’, Sanusi berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks ucapannya.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    Apa gunanya Menangguk Di Air Nan Keroh…. 

    Sebaik mengetahui ucapan saya telah  dispin (diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah) oleh agen-agen Pakatan Harapan /Barisan Nasional (PH/BN), saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang telah sengaja diputar belit itu. 

    Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.  Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.

    Saya dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa DYMM Tuanku Sultan Selangor telahpun memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya itu pada hari Jumaat 14/7/2023.

    (Warkah tersebut tidaklah molek untuk diperturunkan di sini bagi memelihara kemuliaan DYMM Tuanku Sultan  dan menjaga adat dan adab berurusan dengan Istana).

    Berkaitan itu juga, saya telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat PDRM dari Bukit Aman pada jam 2.00 pagi (14/7/2023)  untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas laporan-laporan yang telah dibuat oleh AMK PKR dan lain-lain. Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. 

    Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu.

  • Kon Yeow dinamakan semula sebagai Ketua Menteri, jadi ‘poster boy’ PH di Pulau Pinang

    Kon Yeow dinamakan semula sebagai Ketua Menteri, jadi ‘poster boy’ PH di Pulau Pinang

    DAP menamakan semula Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri bagi penggal kedua sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP malam tadi.

    Ujar beliau, jawatankuasa itu diketuai beliau sendiri selain turut dianggotai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi Gobind Singh dan dua Naib Pengerusi iaitu Nga Kor Miing dan M. Kulasegaran.

    “Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Dalam pada itu, Anthony berkata, jawatankuasa tersebut yang merupakan kepimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk kerajaan negeri.

    Ujar beliau, proses pembaharuan itu adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

    “Senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.

    “Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Sebelum ini, wujud desas-desus kononnya Kon Yeow yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota akan disingkirkan sebagai Ketua Menteri sekiranya PH berjaya mengekalkan Pulau Pinang pada PRN akan datang.

    Ia ekoran laporan sebuah portal berita yang mendakwa terdapat gerakan dari dalam DAP sendiri yang mahu menyingkirkan Kon Yeow dan mengembalikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri semula.

    Bagaimanapun, laporan portal berita itu kemudiannya ditarik balik susulan kesemua ADUN DAP Pulau Pinang menafikan terlibat dalam sebarang gerakan menyingkirkan Kon Yeow.

    Namun isu itu kembali panas selepas sebuah akhbar yang memetik sumber dalaman DAP mendakwa Kon Yeow akan digantikan dengan Anthony sendiri sebagai Ketua Menteri yang akan berpindah bertanding dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, kedua-dua pihak turut menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengarut.

    Terbaharu, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan pula mendakwa terdapat usaha menyingkirkan Kon Yeow untuk digantikan dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

    Dakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan, isu itu hangat dimainkan di dalam DAP sekali gus menunjukkan wujud keretakan dalaman dalam parti tersebut di Pulau Pinang.

  • Polis buka kertas siasatan terhadap Sanusi, turut disiasat Hadi,Guan Eng dan Dr.Mahathir

    Polis buka kertas siasatan terhadap Sanusi, turut disiasat Hadi,Guan Eng dan Dr.Mahathir

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan semalam terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

    “Penyiasatan yang pantas kita lakukan. Sebenarnya tak boleh cepat tetapi kita akan buat siasatan yang mana kita ada pasukan petugas yang akan menyiasat kes berkaitan 3R ini, yang dianggotai seramai 21 pegawai.

    “Dalam siasatan kita (berkaitan 3R), daripada 27 Mac (sehingga kini), kita telah buka kertas siasatan berjumlah 61 kes termasuk kes terbaharu melibatkan Menteri Besar Kedah,” katanya dalam sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, hari ini.

    Beliau berkata siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Saya boleh katakan, bahawa siasatan yang telah lengkap akan dihantar ke pihak AGC (Jabatan Peguam Negara), termasuk kertas siasatan melibatkan ahli politik, bekas ahli politik, NGO dan orang awam,” katanya.

    Razarudin berkata selain Muhammad Sanusi, pihaknya turut menyiasat individu penting termasuk Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Bagan dan juga bekas Menteri Kewangan Lim Guang Eng serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata sebahagian kertas siasatan telah diangkat ke Jabatan Peguam Negara, selaras dengan Perkara 145(3) iaitu Peguam Negara mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicara Peguam Negara, bagi membawa atau menjalankan atau memberhentikan apa-apa jua perbicaraan mengenai satu kesalahan.

    Sementara itu, Razarudin memberi amaran bahawa PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, terhadap sesiapa sahaja yang memainkan isu 3R, terutamanya ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

    “Isu 3R ini melibatkan bangsa, agama dan raja. Tetapi ada pihak yang bercakap terlampau seronok hingga tidak menghirau perasaan orang lain, sampai sanggup mengaibkan dan memfitnah. Ini sepatutnya tidak berlaku.

    “Apa perkataan yang mengaibkan institusi diraja, ia mendatangkan kegusaran dan ketidakharmonian. Jadi lebih bagus jangan bangkitkan isu 3R ini, terutamanya dalam musim pilihan raya negeri,” katanya.

    Baru-baru ini media melaporkan terdapat video tular yang memaparkan Sanusi ketika menyampaikan politik didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai Menteri Besar Selangor.

  • PRN: Amiruddin nafi senarai calon tular, anggap  usaha melobi

    PRN: Amiruddin nafi senarai calon tular, anggap  usaha melobi

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini menafikan senarai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini dan menyifatkan ia sebagai usaha melobi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

    Beliau berkata senarai calon PKR DUN Selangor hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Calon PKR, yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini.

    “Saya pun tidak tahu macam mana orang itu boleh tahu senarai calon, calon perlu ditandatangani dan dipilih oleh jawatankuasa, 16 dan 17 hari bulan ini baru kita nak mesyuarat senarai calon. Ini semua kaedah lobi yang biasa nak pilihan raya tetapi saya nafikan senarai ini, bila nak pilihan raya itu perkara biasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senarai calon PKR Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor BERNAMA.

    Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan program Jaringan BizClub: BizMatch Mega 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

    Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR Selangor pada PRN kali ini, Amirudin masih mengunci mulut dan menyerahkan kepada peringkat tertinggi parti untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

    “Saya tidak berada dalam posisi nak dedahkan (senarai kerusi), yang dedah kerusi-kerusi (parti lain) itu oleh pimpinan pusat. Walaupun saya naib presiden tapi saya bukan dalam posisi nak menjelaskan, mungkin Rafizi (Timbalan Presiden PKR, Ramli Ramli) atau Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh beritahu mana kerusi-kerusi itu,” katanya.

    Amirudin yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

  • PRN : BN dapat tanding lebih 100 kerusi, kata Zahid

    PRN : BN dapat tanding lebih 100 kerusi, kata Zahid

    BARISAN Nasional (BN) mendapat lebih 100 kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Lebih sedikit dari 100,” katanya ditanya media mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi calon BN dalam PRN itu, selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Putrajaya hari ini.

    Timbalan Perdana Menteri itu berkata pengumuman rasmi nama calon BN bagi setiap kerusi yang ditandingi, akan dibuat pada 21 Julai ini.

    “Kita dah selesai (pengagihan kerusi) sepenuhnya. Insya-Allah, 21 Julai ini akan buat pengumuman secara rasmi calon-calon mengikut kawasan-kawasan yang telah kami persetujui. Ketika itu watikah-watikah akan diberikan,” katanya lampor BERNAMA.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, dan penamaan calon pada 29 Julai.

    Sementara itu, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu tidak diperuntukkan banyak kerusi pada PRN itu dan kebanyakan calonnya akan diletakkan di kerusi sama yang dimenangi pada pilihan raya lepas.

    “Amanah tidak banyak kerusi namun kerusi yang kami tanding akan menang semua,” katanya masih terdapat dua kerusi yang masih belum dimuktamadkan dan dijangka selepas dalam masa terdekat. 

  • ‘Terima kasih Zahid, saya nasihat beliau taubat 48 kali’ – Sanusi

    ‘Terima kasih Zahid, saya nasihat beliau taubat 48 kali’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan taubat sama yang disaran kepadanya sebanyak 48 kali.

    Sambil berterima kasih kepada Presiden UMNO yang sedang berhadapan kes mahkamah itu, Muhammad Sanusi turut bersetuju agar taubat nasuha dilakukan oleh mereka yang menyesali perbuatan dilakukan.

    “Saya bersetuju dan berterima kasih di atas nasihat supaya bertaubat nasuha yang sememangnya dianjurkan kepada mana-mana orang yang menyesali dosa yang telah dilakukan.

    “Saya juga ingin menasihatkan beliau bertaubat nasuha 48 kali dan meninggalkan arena politik tanah air di atas kerosakan yang dibawa oleh beliau kepada rakyat negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

    Respon tersebut merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid bahawa Muhammad Sanusi kononnya perlu melakukan taubat nasuha kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam satu ceramah di Selayang, Selangor malam kelmarin.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengingatkan Muhammad Sanusi supaya tidak menjadikan semua perkara sebagai bahan kempen yang merosakkan diri sendiri.

    Beliau berkata, politik bukan bahan lawak atau gurauan dan beliau sendiri tidak akan melayan kempen politik seperti itu.

  • Wan Saiful nafi pernah buat kenyataan pulangkan duit Jana Wibawa

    Wan Saiful nafi pernah buat kenyataan pulangkan duit Jana Wibawa

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan mengeluarkan kenyataan untuk memulang wang Jana Wibawa seperti yang disebarkan dalam video TikTok.

    Menurut beliau, video berdurasi 15 saat yang mendakwa dirinya mengaku untuk memulangkan duit Jana Wibawa menerusi ulasan video keratan akhbar itu adalah tidak benar dan didakwa berniat jahat.

    “Saya tidak kenal pemilik TikTok berkenaan, laporan latar belakang video itu adalah seolah-olah laporan media menggunakan pula nama sebenar seorang wartawan yang benar-benar wujud.

    “Jadi gambaran yang diberi ialah saya buat tawaran akan pulangkan balik wang didakwa saya ambil sebagai rasuah dengan syarat dakwaan terhadap saya mesti digugurkan oleh pendakwa raya,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Damansara pada Khamis.

    Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, ini adalah satu fitnah dan penipuan berniat jahat dan bahayanya ialah dia menggunakan nama wartawan sebenar yang dikatakan menulis artikel tersebut.

    “Saya telah menghubungi editor akhbar berkenaan dan saya maklumkan telah buat satu laporan polis berkenaan video ini,” katanya.

    Wan Saiful turut kesal dengan penerbitan video seperti itu yang cuba membuat penipuan dan menerbitkan berita palsu.

    Beliau juga sudah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam.

    “Video ini tersebar luas menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp, saya harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan menerusi laporan yang telah dibuat. Peguam saya juga sudah mengeluarkan surat tuntutan kepada penama berkenaan dan kita sudah hantar surat berhubung video yang dimuat naik pada 3 Jun lalu,” katanya.

    Dalam pada itu, Sinar Harian sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung penularan video berkenaan.

    Difahamkan sehingga kini video berkenaan mendapat 244,200 tontonan, 8,701 suka dan 1,474 komen.

  • Rumah di Kajang dipajak Anwar selama 10 tahun

    Rumah di Kajang dipajak Anwar selama 10 tahun

    SEORANG peguam memberitahu kediaman yang dihuni Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kajang ketika ini dipajak selama 10 tahun.

    Peguam Anwar, SN Sankara Nair berkata, Perdana Menteri menandatangani perjanjian pajakan selama 10 tahun pada 2020 untuk mendiami rumah terbabit.

    “Harta yang beliau diami sekarang adalah dalam pajakan. Ada perjanjian pajakan selama 10 tahun,” katanya ketika ditemui media di Putrajaya hari ini, lapor Malaysakini.

    Terdahulu Sankara Nair menemani Setiausaha Politik Anwar, Farhan Fauzi, untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan dibuat bekas anggota Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin dan dua yang lain berhubung kediaman di di Sungai Long itu.

    Kelmarin Malaysiakini melaporkan Badrul Hisham merujuk rumah banglo yang didiami Anwar itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggesa agens terlibat menyiasatnya.

    Menurut Badrul Hisham rumah terbabit sebenarnya dimiliki seorang “tauke Cina yang penuh misteri”.

    Dia juga mendakwa memiliki dokumen berkaitan yang ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar.

    Sankara Nair berkata beliau memiliki dokumen yang berkaitan bagi membuktikan kediaman tersebut dipajak dan maklumat tersebut juga boleh ditemukan jika dicari di pejabat tanah.

    “Dakwaan itu bersifat sangat memfitnah kerana tidak ada kebenaran,” katanya.

    Tambah peguam itu lagi seseorang Perdana Menteri berhak tinggal di mana saja yang dianggap sesuai selagi ia dirasakan selamat.

    “Beliau(Anwar) mempunyai tempoh pajakan selama 10 tahun, jadi mengapa dia perlu keluar? Mengapa dia perlu berpindah hanya kerana dia perdana menteri?” katanya.

    Sementara itu Farhan berkata beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Turut dirujuk kepada pihak berkuasa, katanya, ialah bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen, berhubung kenyataan mereka yang didakwa mencemarkan nama baik Anwar.

  • PH hipokrit main isu peribadi untuk jatuhkan Sanusi – Pas Kedah

    PH hipokrit main isu peribadi untuk jatuhkan Sanusi – Pas Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN pihak lawan menggunakan fitnah untuk menyerang serta menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, menggambarkan hipokrasi pihak berkenaan yang sering melaungkan mengenai kematangan politik.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya turut mempersoalkan apakah pihak berkenaan tiada lagi modal untuk membahaskan prinsip politik serta dasar cemerlang sepanjang pentadbiran Muhammad Sanusi hingga terpaksa mengheret isu peribadi ke medan politik.

    Justeru katanya, pihaknya mengecam tindakan tersebut yang sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama.

    “Perkara ini menggambarkan hipokrasi politik matang yang sering dilaungkan oleh pihak berkenaan. Seolah-olah ‘Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih. Tuduhan semberono sebegini sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH). Sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran lagi pelbagai tuduhan yang menyimpang dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Baru-baru ini timbul dakwaan di media sosial mengenai pemilikan sebuah banglo di Sik yang dikatakan milik Muhammad Sanusi tetapi didaftarkan atas nama adiknya.

    Namun Muhammad Sanusi kemudiannya menjelaskan bahawa rumah itu adalah milik abangnya yang bekerja selama berpuluh tahun sebagai penyelam dasar laut telah banyak berkorban selama ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tuduhan jahat dilakukan pihak lawan turut pernah dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya terlibat dengan rasuah.

    “Sedangkan kes tersebut belum pun dibicarakan di mahkamah. Begitu juga tuduhan ke atas Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air sebelum ini oleh Timbalan Presiden PKR, Rafiz Ramli, namun ia terus menyepi hingga ke hari ini.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menudh PN menerima dana daripada syarikat perjudian tetapi akhirnya terbukti perkara itu satu fitnah dan pembohongan. Dari situ, satu Malaysia dapat menyaksikan bahawa pembohonan dan fitnah menjadi makanan mereka dalam politik,” katanya.

    Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, lebih malang lagi ada badan-badan penguatkuasa diarahkan oleh pihak tertentu untuk terus menjatuhkan reputasi Menteri Besar Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    “PAS Kedah sekali lagi mengulangi bahawa rakyat Malaysia seharusnya menjauhi politik kotor yang dimainkan oleh pihak lawan. Politik fitnah dan adu domba bukanlah identiti politik negara yang harus diangkat ke tengah. Pas Kedah yakin rakyat sudah matang untuk menilai PH sebagai kaca, manakala PN sebagai permata. Jelas dan terang,” katanya.