Category: Politik

  • 1MDB: Keadilan masih belum ditegakkan, kata Anwar

    1MDB: Keadilan masih belum ditegakkan, kata Anwar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, keadilan masih belum ditegakkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng telah didapati bersalah oleh mahkamah New York.

    Beliau berkata, kenyataan para saksi sepanjang perbicaraan tersebut hanya mengungkapkan kesalahan dan peranan banyak orang.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia.

    “Atas keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam ‘scam’ ini, saya ulang pendirian saya bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambilkira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.

    Berikut adalah kenyataan penuh Anwar:

    Sesi perbicaraan di New York telah tamat dalam tempoh yang singkat. Pihak defendan tidak dibenarkan atau tidak dikurniakan layanan VIP dari pihak mahkamah untuk mengurus hal peribadi, mahupun diberikan akses kepada pasport untuk ke mana-mana tempat yang bukan mustahak. Selalunya untuk bermain golf.

    Di Malaysia, seorang tokoh VIP yang juga seorang defendan mendapat layanan yang cukup istimewa dari mahkamah. Maknanya, ada dua jenis peraturan di Malaysia – untuk yang kaya begini, dan orang lain begini.

    Pengakuan bersumpah oleh saksi-saksi dengan secara menyeluruh menghapus dakwaan oleh pegawai-pegawai kerajaan Malaysia bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku di Terengganu Investment Authority, dan kemudian 1MDB.

    Malah, gejala rasuah telah mula mengakar sejak hari pertama, dan berlanjutan terus kerana sistem yang ada ini terlalu rosak dan bobrok. Setiap sosok yang cuba untuk menghentikan kegilaan ini dari berlaku hampir pasti menemui kegagalan.

    Sebagai mantan Menteri Kewangan, saya yakin jumlah dana yang sebegitu besar dengan potensi risiko yang begitu besar terhadap kewangan negara tidak akan boleh melepasi pengawasan dan penelitian negara tanpa tangan dan peranan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

    Rakyat Malaysia berhak marah dan sangat kesal dengan watak-watak yang punya kuasa yang mampu untuk menghentikan rompakan ini dari berlaku. Namun, ternyata mereka bungkam dan benarkan ia berlaku.

    Terdapat banyak jaminan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa bahawa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas. Namun, sehingga kini ia belum terhasil. Watak-watak ini bergerak bebas di Malaysia bertahun-tahun sehinggalah beberapa hari sebelum pilihanraya umum yang lepas.

    Berapa banyak peluang telah terlepas untuk mengheret para konspirator ‘scam’ ini ke muka pengadilan? Saya tidak akan berdiam diri selagimana mereka ini tidak muncul di mahkamah di Malaysia.

    Seorang pegawai dari Goldman Sachs telah disabitkan dengan jenayah dalam skandal 1MDB. Untuk menyebut bahawa keadilan telah ditegakkan sangat tidak jujur. Kenyataan para saksi sepanjang perbicaraan ini hanya mengungkapkan kesalahan dan peranan banyak orang.

    Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia.

    Atas keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam ‘scam’ ini, saya ulang pendirian saya bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambil kira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia.

    Sekalung penghargaan kepada pihak pendakwaan di Eastern District New York atas usaha dan upaya mereka dalam mengheret salah seorang dalang skandal 1MDB.

    Sekarang kita mahukan keadilan untuk rakyat Malaysia.

  • Bersatu tidak setuju defisinasi lompat parti, minta perhalusi

    Bersatu tidak setuju defisinasi lompat parti, minta perhalusi

    BERSATU tidak setuju jika seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa juga sebab dikira sebagai  lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta, Presidennya, Tan Sri Muhyiddih Yassin.

    Katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ada banyak sebab seorang ahli Parlimen dipecat dari parti atau meninggalkan partinya.

    ‘’Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti atau kerana dengan izin cross the floor atau kerana menyatakan sesuatu yang hak tetapi tidak disenangi oleh pemimpin parti lalu dipecat dari partinya, atau kerana partinya telah lari daripada landasan prinsip perjuangannya yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.

    ‘’Keempat-empat situasi ini adalah berbeza. Kalau undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim. Maka, pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini,’’ katanya Di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah pun boleh terus kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan sekiranya dia memohon untuk mendapatkan pengampunan, sehingga petisyen pengampunannya diputuskan yang keseluruhan prosesnya mungkin memakan masa bertahun.

    ‘’Tetapi seorang Ahli Parlimen yang menyuarakan kebenaran dan dipecat oleh partinya mesti mengosongkan kerusinya serta-merta. Tidak ada ruang untuk Ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti. Adakah ini adil? Is this fair?,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada Ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan, kerana bimbang akan dipecat dari parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang.

    ‘’Ini akan menjadi suatu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita. Dengan izin, members of parliament who represent the will of the people will be muted and silenced by the cabbal who controls a political party. We are putting the interests of a political party first before the people.

    ‘’Oleh yang demikian, sekiranya Rang Undang-Undang ini diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini, saya mencadangkan supaya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang anti lompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya,’’ katanya.

    Beliau juga berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang anti lompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen.

    ‘’Dalam apa jua keadaan pun, pertimbangan kita yang paling utama mestilah untuk menegakkan hak dan keadilan. Inilah fungsi utama Perlembagaan dan undang-undang di negara kita dan kita sebagai Ahli Parlimen adalah penjaga atau dengan izin, custodian, kepada Perlembagaan dan undang-undang.

    ‘’Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati. Justeru saya menyokong Rang Undang-Undang ini dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya, iaitu untuk membuat sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain.

    ‘’Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang,’’ katanya.

  • Anwar sah pertahan jawatan Presiden PKR, belum ada pencabar

    Anwar sah pertahan jawatan Presiden PKR, belum ada pencabar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden PKR bagi penggal 2022/2025.

    “Beliau telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada jam 12.14 tengah hari,” jelas kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pejabatnya melalui Facebook hari ini.

    Pemilihan parti itu melibatkan jawatan tertinggi PKR iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti serta cabang.

    Setakat ini, masih belum ada calon lain mengumumkan bertanding jawatan Presiden PKR untuk mencabar Anwar.

    Pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.

    Bagi jawatan Naib Presiden pula antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

    Sementara itu, dalam kenyataan lain, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpandangan, pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada Rang Undang-Undang (RUU) berhubung larangan melompat parti sahaja.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan Anwar selaku Pengerusi PH serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

    Ia susulan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen pagi tadi.

    Selain itu, Majlis Presiden PH berkata, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti.

    “Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti, dan ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

    “Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung bulan Mei 2022,” jelas kenyataan tersebut.

    Majlis Presiden PH mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan kestabilan Politik (MOU).

    “PH komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” tambahnya.

  • Usul Bentang RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

    Usul Bentang RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengusulkan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentangkan di Parlimen sebelum akhir bulan depan.

    Menurut beliau, tujuannya bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi punca kuasa bagi penggubalan RUU berkenaan yang dibentangkan hari ini, dapat dilakukan bersama dengan pembentangan RUU Antilompat Parti.

    “Kita usulkan supaya sesi berikutnya, harapannya selewat-lewatnya sebelum akhir Mei ini. Saya harap, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dapat memberikan persetujuan.

    “Ini bagi membolehkan kita tahu pindaan ini berlaku khusus untuk memenuhi maksud kita dalam meminda atau mengadakan RUU ini, supaya Yang Berhormat akan mendapat kepastian yang dimaksudkan dengan pindaan ini, yang kita tahu adalah dengan menterjemahkannya dalam RUU Antilompat Parti ini.

    “Saya harap jawatankuasa berkenaan akan segera bermesyuarat dan mencari kesepakatan supaya dapat dibentang, dibahas dan diluluskan secepat mungkin,” katanya, lapor Berita Harian.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian ketika membahaskan RUU Perlembagan (Pindaan) (No 3) 2022 pada mesyuarat khas Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur.

  • Wan Junaidi bentang RUU pinda Perkara 10 Perlembagaan 

    Wan Junaidi bentang RUU pinda Perkara 10 Perlembagaan 

    KERAJAAN hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi menambah fasal 3A dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. 

    RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebaik sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi tadi, lapor Satu Berita.

    “RUU yang akan saya bentangkan bertujuan meminda Perkara 10 dengan maksud memasukkan fasal 3A selepas fasal 3 bagi sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan c fasal 1 yang berhubung dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

    “Pindaan ini turut memberi punca kuasa bagi membolehkan satu akta khsusunya berhubung larangan ahli dewan bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan hari ini.

  • Sidang khas Parlimen bermula hari ini

    Sidang khas Parlimen bermula hari ini

    MESYUARAT Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (no. 3) 2022 akan diadakan hari ini.

    Sidang khas itu merangkumi mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini dan mesyuarat khas Dewan Negara pada esok, lapor Astro Awani.

    Pembentangan dan perbahasan itu melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Bagaimanapun, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti yang dijadual dibentang, dibahas dan diluluskan pada mesyuarat khas kali ini ditangguh ke satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

    Penangguhan itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Khamis lepas, yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pengerusi jawatankuasa itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Antilompat Parti itu ditangguh buat kali kedua selepas dijadual untuk dibentang bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac.

    Penangguhan kali pertama itu dibuat untuk membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

    Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat Mac lepas termasuk rang undang-undang berkaitan anti lompat parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

    Ia selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rang undang-undang itu disegerakan selepas kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik bersama Pakatan Harapan pada 13 Sept 2021.

    Pada 2 April, Wan Junaidi mendedahkan seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini melompat parti sejak 2018 dan tindakan itu membawa kepada ketidakstabilan politik selain negara turut menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal Parlimen.

  • RUU Anti Lompat Parti dibentang Julai depan – PM

    RUU Anti Lompat Parti dibentang Julai depan – PM

    KERAJAAN menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata kerajaan tidak ada niat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan Akta Anti Lompat Parti, namun ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang akan dibentangkan esok.

    “Ada pihak yang terkeliru cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam soal membentang Akta Anti Lompat Parti,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat khas mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, di sini hari ini.

    Turut hadir dalam taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

    Ismail Sabri berkata sebaik sahaja RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 diluluskan dengan majoriti dua pertiga atau lebih 148 undi, kerajaan akan membentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang dan ahli akademik untuk meneliti dan mengubal RUU Akta Anti Lompat Parti.

    “Saya harap perkara ini dapat dipercepatkan kerana sasaran kerajaan adalah untuk membentangkan Akta Anti Lompat Parti ini pada sesi Parlimen Julai.

    “Bagaimanapun ia tergantung kepada jawatankuasa khas nanti, secepat mana mereka boleh mencadangkan untuk dibentangkan ke dalam Kabinet untuk persetujuan. Selepas Kabinet bersetuju maka kita boleh bentangkan segera di Parlimen,” katanya.

    Ismail Sabri berkata beliau yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diluluskan.

    “Setakat hari ini daripada kenyataan media kita baca, dari parti-parti kerajaan semuanya menyokong. Pembangkang, Pakatan Harapan pun dah buat kenyataan, berjanji sewaktu berjumpa dengan saya, mereka juga akan menyokong.

    “Jadi saya rasa tidak timbul isu tentang pindaan ini tidak diluluskan. Saya harap apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” katanya.

    — BERNAMA

  • Chin Tong dilantik Ketua Pembangkang DUN Johor

    Chin Tong dilantik Ketua Pembangkang DUN Johor

    MAJLIS  Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling yang juga Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.

    PH Johor dalam satu kenyataan menyebut surat pemakluman berhubung perkara itu dihantar ke Pejabat Jurutulis Negeri hari ini.

    “Beliau akan menggembleng komitmen wakil rakyat blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam dewan demi kebaikan negeri Johor,” menurut kenyataan itu di Johor Bahru hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Parti Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

    Dalam pada itu, PH Johor berharap reformasi DUN Johor dapat diteruskan antaranya mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang dan mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan.

    Selain itu, melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri serta pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang.

    — BERNAMA

  • ‘Tak masuk akal, lawak, karut, memalukan’ – Razif

    ‘Tak masuk akal, lawak, karut, memalukan’ – Razif

    BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan kononnya beliau sanggup melepaskan kerusi disandangnya untuk ditandingi bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

    Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu menyatakan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan hantaran yang dibuat oleh sebuah akaun Facebook bersama gambar kehadirannya pada sidang media Mohd Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu adalah tidak benar.

    “Saya ingin menegaskan bahawa status Facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat dilemparkan kepada saya yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ADUN Seberang Takir.

    “Laporan itu juga langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lebih menyedihkan, fitnah ini telah disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Razif berkata, gambar yang dirakam bersama Mohd Khairuddin diambil ketika beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal Parlimen Kuala Nerus anjuran Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

    “Majlis tersebut juga turut dihadiri Mohd Khairuddin selaku Pengerusi PAAB dan tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan oleh saya, apatah lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh akaun Facebook tersebut,” katanya.

    Ahmad Razif yang kesal dengan penyebaran fitnah itu berkata, keputusan menentukan calon yang layak bertanding di mana-mana kerusi pada PRU bukan berada di tangan beliau sebaliknya presiden parti.

    Sehubungan itu, beliau berharap tuduhan seumpama itu dihentikan apatah lagi ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan yang mulia.

  • Runding dengan PN sebelum bubar Parlimen, Muhyiddin ingatkan PM

    Runding dengan PN sebelum bubar Parlimen, Muhyiddin ingatkan PM

    KERAJAAN perlu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

    Peringatan itu disampaikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Sri Perdana, Putrajaya semalam.

    “Saya juga antara lain mengingatkan YAB Perdana Menteri bahawa PN sebagai parti utama yang membentuk kerajaan Persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

    Perjumpaan yang disusuli majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

    Mereka turut membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

    Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam kerajaan Persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO pada masa ini berdepan desakan yang amat hebat daripada partinya sendiri agar Parlimen dibubar secepat mungkin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Laungan agar Parlimen segera dibubarkan begitu lantang kedengaran pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Antara pemimpin UMNO yang kuat mendesak pembubaran Parlimen ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Walau bagaimanapun, Ismail Sabri membayangkan pembubaran Parlimen seperti yang didesak oleh pucuk pimpinan UMNO tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa.

    Dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021, 19 Mac lalu, Naib Presiden UMNO itu menyatakan, perkara itu perlu dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi parti terlebih dahulu.

    Lima pemimpin tertinggi atau ‘top five’ UMNO itu ialah Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad dan Naib Presiden iaitu Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    “Insya-Allah, selepas top five membincangkan, kita akan bawa ke dalam Majlis Kerja Tertinggi untuk bincang bersama-sama,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, selepas perbincangan dengan keempat-empat pemimpin parti, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.