Category: Politik

  • PRN Pulau Pinang: UMNO, DAP ‘berebut’ kerusi DUN Seri Delima

    PRN Pulau Pinang: UMNO, DAP ‘berebut’ kerusi DUN Seri Delima

    KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima disandang DAP menjadi rebutan antara DAP dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.

    Sumber BN berkata, menerusi rundingan awal sebelum ini, kerusi itu sepatutnya ditandingi MCA selepas diberi laluan oleh DAP yang menguasai Seri Delima sejak 2008.

    “Tetapi MCA telah putuskan tak bertanding, jadi kita merasakan kekosongan itu sepatutnya diisi UMNO.

    “Kalau boleh kita mahu tambah satu lagi kerusi di bahagian pulau, setakat ini hanya dapat Teluk Bahang.

    “Perbincangan masih berjalan dan siapa wakil BN-PH (Pakatan Harapan) akan diputuskan pucuk pimpinan dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dari DAP yang menang Seri Delima pada PRU14 dengan majoriti 16,553 undi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.

    Rabu lalu, Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Seri Delima antara 19 kerusi akan ditandingginya pada PRN 12 Ogos depan.

    Bagaimanapun, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ada dua kerusi masih dirunding dengan PH selepas enam kerusi telah dimuktamadkan kepadanya iaitu Teluk Bahang, Sungai Dua, Bertam, Penaga, Permatang Berangan dan Sungai Acheh.

    Sumber itu berkata sebelum ini BN turut meminta bertanding di DUN Batu Maung yang disandang Exco Pulau Pinang Abdul Halim Hussain dari PKR.

    “Tetapi berdasarkan rundingan, PKR nampaknya akan kekal di sana,” katanya.

    Selain Pulau Pinang, pilihan raya juga diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

  • PRN: Kesal dengan kenyataan Tok Mat, kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN

    PRN: Kesal dengan kenyataan Tok Mat, kerusi Lenggeng milik Amanah bukan BN

    PARTI Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng milik parti itu dan bukannya Barisan Nasional (BN).

    Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan BN telah bersetuju yang prinsip pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

    “Jika ada perubahan sekali pun ia semestinya diputuskan dalam Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kemudian akan dimaklumkan kepada ketua setiap parti.

    “Jadi buat masa ini kita tetap dengan pendirian yang Amanah akan bertanding kerusi DUN Lenggeng kerana secara prinsipnya semua parti telah bersetuju pembahagian kerusi dibuat secara status quo,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Kata beliau, pihaknya sudah pun merujuk dengan Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu berhubung perkara itu dan turut mengesahkan Amanah akan bertanding mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Jelasnya, tiga kerusi berkenaan adalah di DUN Lenggeng, Kuala Klawang dan Paroi.

    Malah katanya, parti juga telah menamakan calon di tiga DUN berkenaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

    Penyokong BN pekik ‘pakatan hancing’ manakala penyokong PH jerit ‘hancur BN’ semasa kedua-dua pihak itu bergaduh di pusat pengundian SJKC Chung Hua, Rantau, pada 2019 dan keadaan tegang selama 10 minit

    Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan memberikan kerusi itu kepada UMNO.

    “Bagi saya itu kenyataan provokasi dan boleh mengundang persepsi tidak baik terhadap PH dan BN yang seolah-olah menunjukkan kita berpecah-belah. Semestinya ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan.

    “Selagi bukan Perdana Menteri yang umumkan, saya tidak akan percaya yang kerusi Lenggeng diberi kepada UMNO,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Amanah Negeri Sembilan bertanding di tiga kerusi DUN termasuk Lenggeng selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah.

    Semalam, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kuala Pilah berkata, BN Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi DUN termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

    Katanya, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 yang lalu manakala Pakatan Harapan (PH) 19 kerusi.

  • Aura Sanusi mampu tarik sokongan rakyat – Hashim

    Aura Sanusi mampu tarik sokongan rakyat – Hashim

    AURA  Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat mampu menarik sokongan rakyat kerana beliau boleh melakukan pelbagai kerja.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Sanusi seorang MB yang mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi dan mudah mesra dengan semua golongan.

    “Allah menghantar ke Kedah seorang MB yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, walaupun beliau bukan berlatar belakang agama tetapi mampu membaca khutbah pada hari Jumaat,” katanya lapor HarakahDaily.

    Baru-baru ini Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan Sanusi sebagai ‘wow factor’ yang mampu menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Hashim juga berkata, walaupun jawatan Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas di Kedah dipegang individu berbeza, namun mereka mampu bergerak sealiran.

    Sedangkan katanya menjadi kebiasaan di negeri-negeri yang diterajui PAS Pesuruhjaya akan dipilih sebagai Menteri Besar.

    “Sanusi seorang yang boleh bekerja 24 jam. Auranya di Kedah khasnya sangat kuat walaupun bahasa yang digunakan agak kasar bagi sesetengah orang. Rakyat boleh terima dia. insya-Allah saya berkeyakinan tidak mudah bagi parti lain untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) di kedah,” katanya.

    Beliau juga berkata, sokongan rakyat kepada PN dilihat semakin melonjak menjelang PRN pada 12 Ogos tidak lama lagi.

    Menurutnya kemeriahan suasana PRN semakin terasa terutama di negeri Pantai Timur termasuk di Terengganu.

    “Jumaat lepas ketika ke Terengganu saya lihat bendera-bendera Pas sudah dipasang dengan meriah seolah-olah pilihan raya akan berlaku esok. Ceramah-ceramah juga mendapat sambutan luar biasa menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin hari semakin bertamah,” katanya

  • Zahid Hamidi anggap Sanusi ‘pelawak politik’

    Zahid Hamidi anggap Sanusi ‘pelawak politik’

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor tidak lebih daripada ‘pelawak politik’.

    Presiden UMNO itu berkata,  seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka beliau serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di  Kedah.

    “Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya UMNO/BN di Merbok dekat sini hari ini.

    Mengulas keyakinan Pengerusi PH Kedah Datuk Seri Mahfuz Omar bahawa PH dan BN mampu menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada pilihan raya negeri nanti, beliau berkata kedua-dua gabungan perlu bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu.

    “Yang penting kita bekerja keras dahulu baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri terutama di Kedah ini,” katanya.

    Beliau juga menegaskan setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ walaupun berbeza pendapat.

    Beliau berkata perbuatan tersebut hanya akan memberi gambaran yang negatif bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga rakyat keseluruhannya lebih-lebih lagi jika membabitkan pemimpin parti berasaskan agama. 

    Ahmad Zahid berkata antara perkara yang perlu dielak disentuh sepanjang kempen ialah isu 3R (agama, raja dan kaum) bagi menjaga keharmonian serta ketenteraman dalam kalangan masyarakat dan mana-mana pihak yang ingkar, perlu dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

    “Apatah lagi jika menghina… terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya Ahmad Zahid.

    Beliau berkata memaki hamun, mencaci serta memfitnah kemudian memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima dan harus ditolak oleh rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun agama yang dianuti.

  • ’’Kerajaan PN adil, usah risau Gelombang Hijau’’ – Muhyiddin

    ’’Kerajaan PN adil, usah risau Gelombang Hijau’’ – Muhyiddin

    KERAJAAN yang bakal dipimpin Perikatan Nasional (PN) dijamin akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai tidak perlu risau berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-seolah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai pemerintahan kumpulan Taliban.

    “Terdapat beberapa kebimbangan bahawa kerajaan Pas atau PN akan berbeza sama sekali, malah ada yang mengatakan lebih teruk daripada kerajaan Taliban. Saya tak tahu pun apa yang dimaksudkan Taliban itu, saya pernah mendengar mengenainya.

    “Ia (PN) akan menjadi kerajaan yang adil,” katanya ketika dalam sesi soal jawab Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini, lapor SInar Harian.

    Dalam pada itu, ujar Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan warna logo Pas.

    “Jangan risau tentang gelombang hijau. Saya tidak tahu dari mana datangnya istilah itu. Tidak mengapa kerana saya boleh katakan sekarang gelombang hijau dan biru bersama itu kita ada, iaitu di bawah PN,” ujarnya.

    Istilah ‘Taliban’ sering digunakan untuk menggambarkan pentadbiran Islam yang ketat di Afghanistan.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos ini. PN akan mengekalkan logo Pas untuk Kelantan dan Terengganu manakala logo berwarna biru gabungan itu pula digunakan untuk empat negeri lain.

  • Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

    Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah tidak bersetuju dengan ramalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah bahawa mereka sudah memiliki 16 kerusi boleh menang di Kedah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendahului hukum Allah sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan 12 Ogos ini.

    “Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi kita jangan bersifat mendahului hukum Allah. Walaupun saya tidak ada perbedaan pendapat dengan beliau atau mana-mana pemimpin tetapi eloklah kita bekerja keras dahulu. Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya di enam negeri ini terutamanya di kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN dan UMNO Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok di Sungai Petani.

    Sebelum ini, Mahfuz berulang kali menyatakan gabungan PH dan BN di Kedah hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas PRN kelak.

    Ini kerana menurutnya, mereka sudah memiliki 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja lagi bagi mengambil alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Secara realistik, kami sudah ada 16 kerusi dalam tangan dan kita perlu tiga saja lagi untuk ambil alih negeri dari PN. Walaupun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pernah perli saya dengan mengatakan kami hanya berangan-angan, tetapi saya tak kisah,” kata Mahfuz.

    Sementara itu, Ahmad Zahid kembali berterima kasih kepada Muhammad Sanusi yang menggesa beliau bertaubat nasuha sebanyak 48 kali dan meninggalkan dunia politik tanah air.

    “Terima kasih atas nasihat itu tetapi nasihat itu harus digunakan oleh diri beliau sendiri kerana beliau telah mengakui kesilapan beliau dengan meminta maaf. Budaya memaki hamun, mencaci memfitnah selepas itu memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima,” katanya.

  • “Menang dulu baru bincang pasal siapa MB” – Mohamad

    “Menang dulu baru bincang pasal siapa MB” – Mohamad

    TIMBALAN Presiden UMNO Mohamad Hasan hari ini menggesa semua parti dalam kerajaan supaya menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya negeri sebelum berbincang mengenai calon Menteri Besar mereka.

    Mohamad turut mengingatkan bahawa keputusan muktamad calon Menteri Besar terletak di tangan Sultan di negeri-negeri berkenaan atau di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar.

    “Pastikan menang dulu. Kalau minta-minta tapi tak menang pun tak guna juga. Janganlah kita berebut sangat jawatan, tapi pastikan kita boleh tubuh kerajaan dulu,” kata Mohamad yang juga bekas MB Negeri Sembilan, seperti dipetik Harian Metro.

    Pengerusi BN Negeri Sembilan itu dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH Negeri Sembilan Anthony Loke bahawa DAP akan menyokong Menteri Besar sementara Aminuddin Harun untuk kekal memegang jawatan itu selepas PRN.

    “Dah tubuh kerajaan nanti, kita runding elok-elok siapa yang kita putuskan misalnya dalam Barisan Nasional (BN), siapa yang kita rasa paling layak. Selepas itu kita berunding antara BN dan PH jika kedua-dua parti boleh tubuhkan kerajaan,” kata Mohamad.

    Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan bagaimana BN Johor semasa pilihan raya negeri berkempen supaya ADUN Benut Hasni Mohammad dikekalkan sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memilih untuk melantik ADUN Machap Onn Hafiz Ghazi.

    “Itu parti tak boleh buat apa-apa kerana dalam Perlembagaan, hak mutlak pelantikan Menteri Besar terletak kepada kuasa raja atau sultan,” jelasnya.

  • Amiruddin pelik Sanusi kata kenyataan diputar belit tapi minta maaf

    Amiruddin pelik Sanusi kata kenyataan diputar belit tapi minta maaf

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pelik mengapa rakan sejawatnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun sebelum ini beliau tidak mengaku bersalah dan mendakwa kenyataannya diputar belit.

    Bagaimanapun, Berita Harian melaporkan Amiruddin berkata, apa yang berlaku itu sebenarnya boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika berucap di hadapan orang ramai.

    “Akhirnya dia minta ampun walaupun tak mengaku bersalah, itu yang pelik. Bila kita tegur, dia kata tak ada (keluarkan kenyataan) dan kemudian minta ampun. Tapi tidak mengapalah, biar polis jalankan siasatan dan kita juga perlu lebih berhati-hati.

    “Kerajaan juga ada mengeluarkan peringatan untuk tidak terlalu menunggang isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana ia akhirnya akan memakan diri sekiranya pandangan yang dikeluarkan itu disalah erti oleh masyarakat.

    “Jadi, diharapkan ketika pilihan raya kelak tidak lagi timbul isu seperti ini, marilah kita bincang mengenai fakta, data dan bagaimana untuk bangunkan negara atau negeri pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda #IniMasaKami oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), di Petaling Jaya hari ini.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi menjelaskan sudah mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

    Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat itu semalam.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

    Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan memaparkan surat berkenaan di laman sosial Facebooknya untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.

    Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

  • ‘’Mereka serang dia cukup-cukup sebab tak mahu Sanusi berjaya’’ – Hamzah

    ‘’Mereka serang dia cukup-cukup sebab tak mahu Sanusi berjaya’’ – Hamzah

    KRITIKAN dan kecaman politik bertali arus diterima Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, Menteri Besar Kedah itu telah membawa banyak pencapaian dan pembangunan membanggakan di negeri jelapang padi itu hingga sukar ditangkis parti lawan.

    “Mereka merasakan Kedah ini sebuah negeri yang mereka kena tunjuk kuat, mereka tidak mahu menerima satu keputusan yang menyedihkan kepada penyokong-penyokong mereka. Pada saya YB (Yang Berhormat), Sanusi ini seorang berkhemah dan baik, tetapi dalam ceramah-ceramah tertentu, mereka serang dia secukup-cukupnya kerana mereka tidak mahu melihat kejayaan Sanusi yang begitu menggalakkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Makan Malam bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama, malam tadi.

    Hamzah bagaimanapun mengakui, budaya taktik menyerang pemimpin tertinggi di peringkat negeri menjelang pilihan raya negeri (PRN) adalah perkara biasa yang dilakukan semua peringkat parti.

    Seperti di Selangor katanya, PN turut mengkritik pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Tak salah kerana ini kempen, mereka ‘attack’ pemimpin tertinggi kita di peringkat negeri, kita juga attack pemimpin mereka di peringkat negeri,” katanya.

  • PRN : Bekas pegawai tinggi kerajaan jadi calon PN

    PRN : Bekas pegawai tinggi kerajaan jadi calon PN

    BEBERAPA bekas pegawai tertinggi kerajaan akan mewakili Perikatan Nasional (PN) sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri Ogos depan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, individu yang diketengahkan itu bukan sahaja pernah memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri, malah jabatan Persekutuan.

    “Kita akan ketengahkan calon berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman antaranya sebagai pegawai tertinggi kerajaan. Jadi tak perlu risau kerana dari segi pengalaman cukup dan boleh menguruskan kerajaan negeri yang ada dalam PRN kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Makan Malam bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama, Perak malam tadi lapor Sinar Harian.

    Tanpa mendedahkan nama-nama calon berkenaan, beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.

    Katanya, pemilihan kalangan bekas pegawai kerajaan itu antara strategi PN mendapatkan sokongan dan kepercayaan selain dapat diterima baik rakyat.

    “Menang itu sesuatu yang kita fikirkan perlu bukan hanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin rakan kita daripada PN, tetapi juga di tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH). Kita merasakan mampu untuk ambil alih (Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang). Ada strategi-strategi tertentu contohnya menerusi calon yang kita ketengahkan nanti,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, satu jawatankuasa masyarakat India telah ditubuhkan dalam PN untuk membantu mengenal pasti masalah komuniti itu yang dihadapi di peringkat akar umbi.

    Menurut Ahli Parlimen Larut itu, jawatankuasa baharu tersebut ramai dianggotai bekas pemimpin muda MIC termasuklah P Punithan yang meletak jawatan Ketua Pemuda MIC Selangor, Jun lalu.

    “Saya telahpun bertemu dan menggariskan apa yang mereka rasakan perlu untuk kita bawa dalam pilihan raya kali ini. Sudah tentu jawatankuasa ini akan turun ke bawah berjumpa dengan masyarakat India dan maklumkan spesifik memorandum supaya mereka tahu kita tidak meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.