Category: Politik

  • Sanusi ditahan polis, Pas minta ahli bertenang

    Sanusi ditahan polis, Pas minta ahli bertenang

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah ditahan oleh polis sekitar pukul 3 pagi tadi di sebuah hotel di ibu negara.

    Menteri Besar Kedah itu difahamkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor dengan menaiki sebuah kenderaan multi guna (MPV).

    Penahanan Muhammad Sanusi turut dirakamkan dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial. Beliau dikatakan ditahan selepas beberapa jam kembali daripada mesyuarat Perikatan Nasional.

     Muhammad Sanusi juga difahamkan akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang pagi ini dipercayai berkaitan kenyataan beliau menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih Menteri Besar negeri itu.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan meminta semua pihak khususnya ahli dan penyokong supaya bertenang dan menghormati proses perundangan.

    Berita lanjut menyusul

  • Pertembungan Muda-PH dalam PRN:Kerusi milik rakyat, kata Syed Saddiq

    Pertembungan Muda-PH dalam PRN:Kerusi milik rakyat, kata Syed Saddiq

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu leka dengan berfikir bahawa undi rakyat merupakan deposit tetap mereka dalam pilihan raya akan datang.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi adalah milik rakyat dan bukan milik mana-mana parti.

    “Kerusi ialah milik rakyat. Kebanyakan pemimpin kini terlalu selesa dan beranggapan tiada siapa boleh bertanding di kawasan berkenaan.

    “Mereka beranggapan itu adalah kerusi selamat mereka dan tidak boleh dikacau. Itu tak adil,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Muda di Petaling Jaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai sembilan dari sepuluh kerusi DUN yang bakal ditandingi Muda kini disandang Pakatan Harapan (PH).

  • Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

    Kurang 24 jam, TikTok baru Sanusi raih lebih 160,000 pengikut

    AKAUN  terbaru aplikasi TikTok milik Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sudah meraih lebih 160,000 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam, sebagai tanda populariti ahli politik PAS itu susulan serangan terhadapnya oleh pemimpin Pakatan Harapan dan Umno.

    Semakan portal MalaysiaNow di aplikasi itu mendapati akaun dengan nama @sanusimdnor74 itu kini mempunyai lapan klip video dengan 164,300 pengikut dengan hampir 100,000 sukaan setakat ini. 

    Akaun baharu itu diwujudkan bagi menggantikan akaun asalnya di bawah nama pengguna @sanusimdnor yang nampaknya disekat, mendorong Sanusi menuding jari kepada kerajaan yang katanya cuba menutup mulutnya menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dipetik dalam satu ceramah di Baling, Sabtu lalu. 

    Akaun asal TikTok Muhammad Sanusi Md.Nor

    Difahamkan bahawa akaun TikTok asal telah dipulihkan dan boleh diakses semula pagi ini.

    “Yang (akaun baru) dibuat semalam apabila TikTok asal disekat.  Tapi yang asal pun dah okay balik dah pagi ni. Depa takut,” kata Setiausaha Akhbar Sanusi, Muhamad Mat Yakim kepada MalaysiaNow.

    Kerajaan menafikan bahawa telah menyekat akaun TikTok Sanusi, mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan mana-mana akaun pengguna di negara ini kerana platform media sosial itu dimiliki oleh firma teknologi China, Bytedance Ltd. 

    Bagaimanapun, sejurus selepas gabungan PH-BN membentuk kerajaan tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan TikTok kerana aplikasi itu dikatakan memberi manfaat kepada Perikatan Nasional semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15. 

    Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menulis surat kepada syarikat media sosial meminta kerjasama untuk menghapuskan siaran oleh pengkritik kerajaan.

    Sekurang-kurangnya dua permintaan sedemikian kepada Twitter telah ditolak oleh platform itu dalam tempoh dua minggu lalu. 

    Twitter berkata ia tidak dapat memenuhi permintaan sedemikian oleh agensi kerajaan kerana platform itu mempunyai dasar untuk melindungi hak kebebasan bersuara.

  • Pejabat MB Kelantan buat laporan polis dakwaan salah guna peruntukan projek khas

    Pejabat MB Kelantan buat laporan polis dakwaan salah guna peruntukan projek khas

    PEJABAT Menteri Besar Kelantan hari ini memandang serius tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuat laposan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM terhadap dakwaan menyalahguna  peruntukan prjek khas RM30 juta.

    Dalam kenyataan hari ini, Pejabat itu memaklumkan setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.

    Berikutan kenyataan penuh tersebut;

    Pejabat Menteri Besar Kelantan mengambil serius berkaitan laporan media mengenai Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada 16 Julai 2023 yang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan menyalahguna peruntukan projek-projek khas RM 30 juta bagi tujuan Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan.

    Sebagai rekod, Belanjawan Kelantan 2023 telah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan sokongan semua Ahli Dewan Negeri Kelantan dalam Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 pada 27 November 2022. Justeru, setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.

    Berkaitan Projek-Projek Khas sebanyak RM30 Juta adalah bagi peruntukan Jaminan Bekalan Makanan sebanyak RM 10 Juta. RM 8 juta bagi projek-projek kecil, RM 5 Juta bagi Projek Menangani Banjir Kilat, RM 3 juta bagi peruntukan Pinjaman Mikro Kredit dan RM 4 juta bagi Projek Air Komuniti dibawah Bekalan Sumber Air dan Bekalan Air Alternatif.

    Dengan penjelasan ini, satu laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut. Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif bagi memburukkan imej YAB Menteri Besar Pejabat MB Kelantan buat laporan polis dakwaan salah guna peruntukan projek khas(Datuk Ahmad Yaakob) dan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan Ke-15.

  • Akur keputusan parti jika digugur, DAP mahu muka baru – Loke

    Akur keputusan parti jika digugur, DAP mahu muka baru – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke berharap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu yang tidak tercalon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini akan menerima keputusan tersebut dan memberi laluan kepada muka baharu.

    Beliau berkata di Pulau Pinang, DAP telah mentadbir kerajaan negeri selama tiga penggal dan bakal memasuki penggal keempat, justeru terdapat keperluan untuk memperkenal muka baharu sebagai sebahagian daripada pelan peralihan parti untuk masa depan.

    “Saya harap sebaik sahaja kami memuktamadkan senarai calon, semua pihak akan menerimanya termasuk penyandang yang tidak tercalon semula untuk bertanding. Memang ada penyandang kerusi DUN yang tidak akan dicalonkan semula.

    “Ini bukan soal mahu menjatuhkan sesiapa sebaliknya kita berhasrat untuk membarisi senarai calon dengan muka baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Pulau Pinang di George Town malam tadi.

    Turut hadir pemimpin veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Loke berkata DAP Pulau Pinang dijangka mengemukakan senarai calon parti itu dalam tempoh beberapa hari lagi yang akan dibahas dan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai lima orang termasuk beliau.

    DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dan sebelum pembubarannya bulan lepas, DAP menguasai 19 dengan memenangi setiap kerusi yang ditandingi di antara tahun 2013 dan 2018.

    Ditanya mengenai rancangan mereka untuk meraih undi orang Melayu, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan tumpuan kepada perkara itu dengan mengadakan lawatan kerja ke Kedah dan Pulau Pinang baru-baru ini.

    “Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, beliau akan terus meluangkan lebih banyak masa untuk mendekati komuniti orang Melayu. Banyak jaminan yang perlu diberikan iaitu mereka tidak akan rugi apa-apa hanya kerana DAP berada dalam gabungan politik ini.

    “Hasrat dan semangat Kerajaan Perpaduan adalah mentadbir negara ini secara stabil serta aman agar Malaysia dapat dibangunkan dan rakyat hidup sejahtera,” katanya.

  • Rampas kerusi Parlimen Tambun 4 tahun lagi, kata Faizal Azumu

    Rampas kerusi Parlimen Tambun 4 tahun lagi, kata Faizal Azumu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

    Beliau berkata, tugasnya adalah untuk membantu partinya menang dalam PRN di Negeri Sembilan.

    “Saya bukan nak jadi calon di sini namun akan kembali bertanding di Tambun empat tahun lagi bagi merampas kembali kerusi itu.

    “Kalau panjang umur, saya nak (mahu) lawan Datuk Seri Anwar Ibrahim balik, harap dia jangan tukar kawasan lagi.

    “Buat masa sekarang, tumpuan saya adalah bagi membantu Perikatan Nasional merampas Negeri Sembilan tetapi bukan sebagai calon,” katanya.

    Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Peringkat Parlimen Port Dickson di Port Dickson hari ini.

    Katanya, hasil jelajahnya di seluruh 36 DUN di Negeri Sembilan, PN mempunyai peluang cerah bagi membuat kejutan dalam PRN enam negeri di Negeri Sembilan.

    Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, kajian yang sudah dibuat pihaknya menunjukkan ada perubahan besar.

    “Apa yang saya nampak adanya perubahan sikap pengundi semua kaum yang bergabung seperti suasana pelancaran Jentera Perikatan Nasional Negeri minggu lalu apabila ramai jentera parti daripada pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India memberikan sokongan,” ujarnya.

    Faizal berkata, pihaknya tidak terpedaya dengan isu perebutan kerusi antara komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (Amanah) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

    “Kami tidak rasa isu itu sebagai ‘peluang’ tetapi sudah menjangka ia akan berlaku antara parti komponen mereka tetapi jentera akan bekerja seperti biasa mendekati pengundi.

    “Jentera Perikatan Nasional pastikan sentiasa membuka pintu kepada penyokong parti lawan terutamanya daripada parti UMNO yang kecewa, kami alu-alukan mereka untuk datang atau menyokong kami,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berharap ahli Perikatan Nasional tidak sabotaj parti apabila nama tidak naik sebagai calon PRN kali ini dan perlu berlapang dada dan teruskan bekerja secara berpasukan tanpa mengira calon.

  • Tak perlu sokong calon PH, kata Pengerusi MCA Selangor

    Tak perlu sokong calon PH, kata Pengerusi MCA Selangor

    PENGERUSI MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin berkata, tiada keperluan parti itu menyokong calon Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    “Isu asasnya kerana PH tidak memenuhi ‘semangat kerajaan perpaduan’.

    “Justeru, tiada keperluan bagi MCA menyokong calon mereka,” katanya berucap pada Konvensyen MCA Selangor.

    Katanya, komponen parti dalam kerajaan perpaduan sepatutnya melayan antara satu sama lain dengan ‘ihsan dan timbang rasa’ untuk memastikan survival sebagai parti politik.

    “Kita sudah melaluinya dalam Barisan Nasional (BN) dan kerajaan perpaduan perlu mengikuti prinsip itu juga,” katanya, lapor FMT.

    Ng, bagaimanapun menekankan MCA akan membantu calon BN dalam kempen PRN nanti.

    Pada 5 Julai, MCA mengumumkan tidak bertanding pada PRN enam negeri selepas mengambil kira situasi politik semasa menerusi perbincangan mendalam dan analisis.

    Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, parti memutuskan tidak bertanding pada PRN kerana menyedari risiko tumpas daripada menang di enam negeri berkenaan, sejak 2008.

    Katanya, MCA akan berdepan laluan sangat sukar dalam rundingan kerusi memandangkan parti tidak mempunyai kuasa perundingan.

    Dalam ucapannya, Wee juga berkata, lebih baik MCA menuruti gabungan besar selepas PH dan BN memutus bertanding sebagai satu pasukan, berbanding membenar rundingan agihan kerusi dibuat secara bersendirian oleh komponen parti.

    Beliau berkata, parti enggan dilihat sekadar hiasan semata-mata.

    “Bagaimanapun, bukan bermakna kita akan menyerah kerusi itu selamanya. Cita-cita kita untuk mengambil bahagian pada PRU,” katanya.

    Enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, dan Kelantan akan mengadakan PRN serentak, pada 12 Ogos ini.

  • PN Kelantan umum calon 27 Julai

    PN Kelantan umum calon 27 Julai

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan dijadual mengumumkan senarai penuh 45 calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 27 Julai ini.

    Setiausaha Perhubungan PN Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata senarai calon untuk PRN Kelantan sudah dimuktamadkan, dengan PAS bertanding di 39 kerusi manakala enam kerusi kepada Bersatu.

    Enam calon Bersatu itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas (Parlimen Ketereh), Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Paloh serta Nenggiri (Parlimen Gua Musang) dan Air Lanas (Parlimen Jeli).

    Sementara satu lagi DUN belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga bagi Parlimen Jeli, katanya pada sidang media di Bangunan PAS Kelantan, hari ini.

    Wan Roslan, yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata lokasi pengumuman akan ditentukan dalam masa terdekat, dan 50 peratus calon muka baharu yang akan diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

    “Semua calon yang bertanding akan menggunakan logo PAS dengan tema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bagi calon wanita, kita cuba kekalkan seperti jumlah sedia ada atau lebih sedikit,” katanya.

    Pada PRU15, PAS mempunyai dua wakil rakyat wanita iaitu ADUN Demit Datuk Mumtaz Md Nawi dan ADUN Tanjong Mas Rohani Ibrahim.

  • Mariss : Dakwaan Saifuddin mengelirukan, fitnah, berniat jahat  – Sanusi

    Mariss : Dakwaan Saifuddin mengelirukan, fitnah, berniat jahat  – Sanusi

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor hari ini menyifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution menuduh Kerajaan Negeri Kedah (KNK)  melakukan kesalahan dalam tata kelola kewangan kerajaan adalah bersifat mengelirukan, berniat jahat memfitnah, dan bermotifkan politik. 

    Ia berikutan dakwaan  Saifuddin yang mendakwa kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah lemah dalam pengurusan kewangan kerana menggunakan sebahagian peruntukan duit Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi pembangunan negeri tersebut.

    Berikut kenyataan penuh Sanusi bagi menjawab tuduhan Saifuddin:

    Kenyataan ini adalah sebagai maklumbalas kepada kenyataan oleh YB Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Sidang Media beliau berhubung Peruntukan MARRIS Negeri Kedah.

    Perlembagaan Persekutuan di bawah Per.109 (1)(b) telah memperuntukkan pemberian penyenggaraan jalan negeri. Peruntukan penyenggaraan jalan negeri telah diberi kepada semua Kerajaan Negeri bagi menyenggara jalan negeri di negeri masing-masing. Pemberian ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak dahulu.

    Di peringkat Kerajaan Negeri (KN) pula telah menubuhkan satu akaun amanah di bawah Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957 bagi mengakaunkan terimaan dan perbelanjaan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sejak tahun 1994.

    Bagi Kerajaan Negeri Kedah (KNK), sebelum tahun 2014, perbelanjaan bagi projek penyenggaraan jalan negeri telah diperuntukkan di bawah Bajet Pembangunan JKR. Rekod perbelanjaan sebenar bagi projek MARRIS telah dicaj kepada Akaun Amanah MARRIS melalui kaedah perakaunan dengan proses pelarasan akaun iaitu pindahan daripada Akaun Amanah Marris kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri. 

    Pada masa itu tiada garispanduan yang jelas berhubung tatacara pengurusan pemberian penyenggaraan jalan negeri. Namun begitu, KNK telah mengambil semua tindakan pematuhan kepada tatacara dan prosedur perakaunan yang berkuatkuasa.

    Majlis Kewangan Negara (MKewN) pada tahun 2012 telah menetapkan supaya peruntukan MARRIS ditubuhkan di bawah Sek 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 dan telah mengeluarkan garispanduan berhubung Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (GP MARRIS). 

    Berdasarkan GP MARRIS, semua perbelanjaan bagi projek MARRIS telah dicaj secara langsung di bawah Akaun Amanah MARRIS. MKewN juga telah menetapkan paras perbelanjaan adalah sekurang-kurangkan 85% daripada terimaan tahun sebelumnya bagi membenarkan peruntukan disalurkan sepenuhnya berdasarkan kelayakan tahun semasa.

    Jawatankuasa Pengurusan Pemberian MARRIS (JPP MARRIS) juga telah ditubuhkan diperingkat Kementerian Kewangan dan di Peringkat Kerajaan Negeri.

    Antara terma dan rujukan JPP MARRIS adalah membincang dan mencadangkan penyelesaian ke atas isu-isu berkaitan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan mendapatkan kelulusan MKewN bagi sebarang cadangan penambahbaikan yang melibatkan pindaan ke atas Garispanduan atau undang-undang berkaitan. Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil semua tindakan yang sewajarnya bagi mematuhi GP MARRIS dan keputusan MKewN.

    Merujuk kepada Laporan KAN yang disebutkan oleh YB Menteri, saya dapati dalam laporan KAN bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 ada menyentuh berhubung baki kumpulan wang amanah MARRIS yang merupakan baki terkumpul bagi peruntukan yang tidak digunakan sejak kumpulan wang ini ditubuhkan.

    Ingin saya maklumkan di sini, perkara berhubung baki terkumpul kumpulan wang amanah MARRIS telah dibincangkan semasa Mesyuarat Penutup Penyata Kewangan Negeri Kedah bagi Tahun 2021 bersama Jabatan Audit Negara. 

    Dalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2021 menunjukkan baki akaun Amanah MARRIS sehingga 31 Dis 2021 berjumlah RM1.104 billion. Manakala baki tunai dan pelaburan KNK adalah berjumlah RM497.5 juta. Nampak tidak setara atau tidak seimbang di situ.

    Sehubungan itu, KNK telah memulakan langkah bagi mencari penyelesaian ke atas isu ini. Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negeri dan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan.

    Ia bagi mendapatkan pertimbangan supaya baki terkumpul kumpulan wang amanah MARRIS dipindahkan ke Akaun Kumpulan Wang Pembangunan Negeri yang menunjukkan baki defisit. Pejabat Kewangan Negeri juga telah mendapatkan nasihat dan pandangan perundangan daripada YB LA. 

    Selepas itu surat permohonan telah dihantar bagi mendapatkan pertimbangan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan
    Pada hemat saya, surat KNK kepada Kementerian Kewangan inilah yang telah dirujuk oleh YB Menteri. Perkara atau urusan berhubung pentadbiran akaun penyenggaraan jalan negeri ini telah berlaku sejak sekian lama ianya ditubuhkan. 

    Malahan dalam bahagian SYOR AUDIT dalam laporan KAN tersebut juga tiada menyentuh mengenai kesalahan dalam tatacara perakaunan akaun amanah atau perakaunan KNK. 

    Pendapat Ketua Audit Negara dalam Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021 juga telah menyatakan bahawa secara keseluruhannya Penyata Kewangan KNK menunjukkan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan KNK.

    Berdasarkan penjelasan di atas, tuduhan YB Menteri bahawa KNK telah melakukan kesalahan dalam tata kelola kewangan kerajaan adalah bersifat mengelirukan, berniat jahat memfitnah, dan bermotifkan politik.

  • Bekas ketua pemuda UMNO Machang umum sertai Bersatu

    Bekas ketua pemuda UMNO Machang umum sertai Bersatu

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang, Eriandi Ismail pengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Probumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan membuat penampilan pertama di pentas ceramah Perikatan Nasional (PN), malam tadi.

    “Langkah yang diambil ini bukan keputusan dibuat sehari dua tetapi selepas sekian lama difikirkan selain bertanya pandangan pelbagai pihak.

    “Ringkas ceritanya saya bukan buat keputusan sehari dua hari ini untuk menyertai Bersatu tetapi dah lama, tanya pandangan orang tua, orang alim dan orang pelbagai peringkat untuk saya membuat keputusan malam ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berceramah sempena program Ppakat Pertahan peringkat parlimen Machang, malam tadi.

    Program itu turut menampkan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim

    Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan meninggalkan parti yang disertainya lebih 20 tahun lalu.

    “Saya bukan tokoh besar, kecil saja. Paling tinggi pun jadi Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan sahaja dan jadi calon dua kali.

    “Cuma oleh kerana ada sedikit pengalaman dalam konteks politik di Machang ini, maka saya ambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN). Saya jumpa dan tanya ibu bapa, kerana ibu saya masih ketua wanita Umno bahagian Machang,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Eriandi sebelum ini pernah ditampilkan sebagai calon bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kemuning pada 2013 dan 2018 bagaimana tewas kepada calon Pas, Mohd. Roseli Ismail.

    Sementara itu, Eriandi berkata, keputusannya keluar daripada UMNO bukan disebabkan tawaran tertentu sebaliknya menolak kerjasama antara parti itu dengan DAP.

    “Tatkala UMNO ambil keputusan bergabung dengan DAP, saya ambil keputusan mohon izin daripada ibu bapa untuk meninggalkan UMNO dan BN (Barisan Nasional).

    “Jangan marahkan saya, saya tak rela tangan ini mengundi logo dacing dalam PRN (pilihan raya negeri (PRN) kerana di sebalik logo itu terselit DAP. Maka saya ambil keputusan bersama PN,” katanya yang mendakwa lebih 200 penyokongnya turut menyertai Bersatu.