Category: Politik

  • Zuraida terus diangkat sebagai bakal Presiden PBM

    Zuraida terus diangkat sebagai bakal Presiden PBM

    AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin diterima sebagai anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan terus diangkat sebagai bakal Presiden parti.

    Presiden PBM, Larry Sng berkata, Biro Politik dan Majls Tertinggi parti memutuskan untuk meluluskan permohonan kemasukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ke dalam PBM, yang diterima pada 26 Mei lepas.

    Beliau berkata, Zuraida juga dinobatkan sebagai bakal Presiden parti sebagaimana yang diinginkan oleh akar umbi, dan akan menerajui parti dalam menentukan hala tuju politiknya.

    “Semasa ketiadaan saya, beliau akan menerajui parti. Saya juga telah memberikan mandat kepadanya untuk mengetuai delegasi serta pemimpin parti, dari segi kemasukan parti untuk menyertai mana-mana pakatan politik,” katanya dalam persidangan media di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, dalam menghormati hak prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan Zuraida sebagai menteri, parti itu berharap Zuraida akan dikekalkan dengan jawatan itu, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan PBM kepada kerajaan.

    “PBM adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan kami menyokong perdana menteri. Soal berhubung kedudukan menteri, kita serahkan kepada prerogatifnya.. PBM harap perdana menteri akan mengekalklan kedudukan Zuraida sebagai menteri berdasarkan kepada prestasinya dan sokongan yang diberikan PBM kepada kerajan,” katanya.

    Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keputusannya menyertai PBM, dan katanya beliau akan berjumpa dengan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai kedudukannya dalam kabinet.

    Sementara itu Zuraida berkata, beliau masih belum menemui perdana menteri untuk berbincang mengenai perkara itu.

    “Saya belum dapat tarikhnya kerana Perdana Menteri sedang sibuk. Dia sekarang berada di Kedah untuk berjumpa dengan Sultan Kedah dan saya masih lagi menunggu,” katanya. – BERNAMA

  • Bersatu gesa kerajaan bendung kenaikan harga makanan

    Bersatu gesa kerajaan bendung kenaikan harga makanan

    BERSATU menggesa kerajaan mengambil langkah yang komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian yang mencukupi.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, fokus utama mesti diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Justeru, Bersatu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan oleh parti termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksakan di beberapa kawasan.

    “Program ini mampu menjana pendapatan penduduk di samping menyediakan bekalan sayuran dan makanan dengan harga yang murah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Kenyataan media tersebut dikeluarkan susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

    Sementara itu, Hamzah berkata, mesyuarat MPT Bersatu menetapkan persidangan cawangan parti diadakan mulai 19 Ogos hingga 18 September diikuti persidangan bahagian mulai 8 hingga 9 Oktober, Perhimpunan Agung Sayap pada 10 hingga 11 November dan Perhimpunan Agung Tahunan mulai 12 hingga 13 November.

    “Manakala urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” jelasnya.

    Beliau turut memaklumkan, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai Ahli MPT yang baharu.

  • Tak perlu Mesyuarat Khas Parlimen bahas RUU Anti Lompat Parti

    Tak perlu Mesyuarat Khas Parlimen bahas RUU Anti Lompat Parti

    TIADA keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu diputuskan oleh Perdana Menter,i Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis.

    Sebaliknya, beliau berkata, rang undang-undang berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya.

    Beliau berkata, beberapa faktor telah dipertimbangkan semasa sesi perbincangan bersama Ismail Sabri, antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang dijangka boleh digunakan untuk perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat.

    “Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, beliau berkata, penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara ketika ini sehingga pertengahan Julai bagi mengikuti program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan lain-lain pihak berkepentingan, termasuk dua Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan.

    Wan Junaidi berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengikut takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan datang akan memberi masa mencukupi untuk rang undang-undang itu diteliti Ahli Parlimen sebelum ia dibahas, dan katanya perkara itu tidak dapat dilaksanakan jika Mesyuarat Khas diadakan.

    Beliau berkata, jika Mesyuarat Khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan Julai tahun ini memandangkan ketiadaan ramai Ahli Parlimen sebelum pertengahan bulan itu.

    Menurut Wan Junaidi, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang disediakan.

    Penyata itu akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, katanya. – BERNAMA

  • Muhyiddin diberi mandat bincang bentuk ‘jajaran politik baharu’

    Muhyiddin diberi mandat bincang bentuk ‘jajaran politik baharu’

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diberi mandat oleh partinya bagi menganjurkan perbincangan dengan parti-parti lain untuk membentuk ‘jajaran politik baharu’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Malaysiakini yang memetik Sinar Harian melaporkan, perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Menurut beliau, langkah itu penting bagi membolehkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) membentuk pakatan politik yang boleh mengalahkan Barisan Nasional (BN).

    Wan Saiful menambah, PN dan Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa BN akan beroleh manfaat jika mereka tidak bersatu.

    “Biarpun belum ada kata sepakat namun semua parti sama ada dalam PN dan PH masih terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai pembentukan jajaran baharu politik menjelang PRU-15.

    “Di pihak Bersatu dan PN, kita jarang mengeluarkan kenyataan media kerana belum ada keputusan muktamad.

    “Jika ada keputusan barulah kita akan keluarkan kenyataan rasmi. Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR mengakui ada berlaku perbincangan ke arah itu.

    “Justeru, kita tunggu dan lihat hasilnya apabila tiba masanya nanti,” katanya lagi.

    Sejak beberapa minggu lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengadakan perbincangan dengan Anwar serta Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung mewujudkan gabungan politik menjelang PRU-15.

    Muhyiddin sejak itu menjelaskan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin selain BN kerana keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menunjukkan BN hanya memenangi dua pilihan raya itu kerana undi pembangkang berpecah.

    Beliau berkata, majoriti telah mengundi menentang BN pada dua pilihan raya itu kerana mereka menentang pemimpin kleptokrasi.

  • DAP cuma mahu 3 kerusi, tetapi Warisan tuduh angkuh

    DAP cuma mahu 3 kerusi, tetapi Warisan tuduh angkuh

    TIADA syarat yang ditetapkan oleh DAP untuk bekerjasama dengan Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pendirian yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa DAP meletakkan syarat tertentu untuk menjalinkan kerjasama.

    Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Rasah itu berkata, DAP hanya menyatakan ‘pendirian’ untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenanginya di Sabah pada PRU-14.

    Kerusi-kerusi Parlimen tersebut adalah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

    “Kita tidak minta banyak. Kita tidak mempunyai banyak kerusi (di Sabah).

    “Sebaliknya saya dituduh sebagai angkuh. Bagi saya ini seolah-olah seperti alasan untuk tidak berunding mengenai kerusi,” katanya dalam segmen di Facebook bertajuk #AnthonyJawabJujur.

    Semalam, Mohd Shafie berkata, DAP tidak sepatutnya menetapkan syarat apabila berunding dengan Warisan mengenai kemungkinan kerjasama pada PRU-15.

    Ahli Parlimen Semporna itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anthony bahawa parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti dari Sabah yang lain selagi mereka mengekalkan hak bertanding di tiga kerusi itu.

    “Ini aliran trafik sehala, nak bincang, bincanglah. Tetapi ini ada letak syarat. Hanya boleh bincang kecuali penuhi kehendak mereka.

    “Kita tidak boleh terlalu angkuh, tujuan kita nak menang. Maka rundinglah macam dulu, sebelum kita berhadapan PRU-14. Ketika itu, kita runding sebaik mungkin bukan hanya pembahagian kerusi tetapi hala tuju kerjasama,” kata Mohd Shafie seperti yang dipetik sebelum ini.

    Anthony turut menyatakan, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan dan terpulang kepadanya untuk menerima tawaran itu.

    Namun katanya, komen yang dibuat oleh parti itu memberi gambaran bahawa ia tidak berminat untuk mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan.

    Pada Mac lalu, Anthony mengakui bahawa hubungan DAP dan Warisan agak ‘tegang’ disebabkan ‘pendekatan konfrontasi’ yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan bertanding di kerusi yang dimenangi DAP pada PRU-14.

    Jumaat lalu, Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, sebarang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Warisan nampaknya tidak mungkin berlaku kerana mereka menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang.

  • Perkhidmatan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

    Perkhidmatan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

    PERKHIDMATAN Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

    Surat pemakluman yang ditandatangani Setiausaha BN Selangor Datuk Dr Mohamed Satim berkata, keputusan itu dibuat merujuk Fasal 23 Perlembagaan BN yang tidak memperuntukkan jawatan ketua penerangan dalam BN negeri.

    Isham yang merupakan bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak menerima keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dengannya ketika berkhidmat sebagai ketua penerangan BN Selangor.

    “Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

    “Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, lapor Satu Berita.

    Isham yang dilantik sebagai ketua penerangan BN pada Mei 2020 itu juga turut dilihat lantang dalam mempertahankan Najib Razak berhubung pertuduhan mahkamahnya.

  • Zahid kaya, mungkin tak terasa dengan kos hidup – Pemuda Amanah

    Zahid kaya, mungkin tak terasa dengan kos hidup – Pemuda Amanah

    PEMUDA Amanah menyifatkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera dilihat sebagai biadab kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

    Naib ketuanya, Abbas Azmi berkata, Seri Paduka pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bertitah agar semua pihak tidak meletakkan masa depan negara dan nasib rakyat sebagai taruhan dalam percaturan politik demi mencapai agenda tertentu.

    “Masalah rakyat hari ini ialah bebanan kos barangan harian melampau.

    “Masalah kenaikan harga dan juga bekalan makanan terhad sepatutnya menjadi keutamaan sebenar kerajaan ketika ini, dan bukannya pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Ahmad Zahid ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) 1 Jun lalu sekali lagi mendesak agar PRU-15 diadakan segera.


    Katanya, empat tahun sudah berlalu sejak PRU-14 dan ini menjadikan pilihan raya seterusnya boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin menegaskan kuasa untuk membubarkan parlimen dan pengumuman tarikh PRU-15 terletak di bawah YDPA.

    Kata Perdana Menteri, meskipun beliau berupaya untuk menasihati Agong untuk membubarkan parlimen, namun ia adalah salah daripada segi perlembagaan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya akan datang.

    Mengulas lanjut, Abbas berkata, kenaikan mendadak harga barang keperluan dan kadar inflasi makanan yang berada pada kadar 4.1 peratus adalah di luar kawalan dan sangat menekankan rakyat.

    “Bak kata pepatah, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Itulah yang sesuai untuk digambarkan nasib rakyat ketika ini,” katanya.

    Abbas juga menyindir Ahmad Zahid dengan berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mungkin tidak terkesan dengan situasi hari ini ‘kerana beliau seorang yang kaya raya’.

    “Biarpun ayam, daging, sayuran dan lain-lain makanan asas harganya naik 100 peratus pun, beliau tidak akan merasa apa-apa.

    “Tetapi, bagaimana dengan basib rakyat B40? Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” soalnya.

  • Jadikan Kuala Selangor daerah angkat KKM:Tengku Zafrul terdesak sokongan politik

    Jadikan Kuala Selangor daerah angkat KKM:Tengku Zafrul terdesak sokongan politik

    LANGKAH Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan (KKM) disifatkan sebagai tindakan ‘desperado’ untuk mendapatkan sokongan politik.

    Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang menyifatkan demikian berkata, gelagat Menteri Kewangan itu menaburkan ‘khidmatnya’ di Kuala Selangor termasuk pengumuman meluluskan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam adalah tindakan terdesak.

    “Menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ KKM yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri dalam sejarah lebih 60 tahun kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) ternyata beliau sangat ‘desperado’,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau mengulas pengumuman Tengku Zafrul berhubung kelulusan bagi pembinaan stesen jajaran utara ECRL di Puncak Alam, kelmarin.

    Turut diumumkan ialah Kuala Selangor dijadikan daerah angkat KKM bagi merealisasikan kemajuan daerah itu.

    Dzulkefly yang juga Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sebagai Ahli Parlimen, beliau sememangnya mahukan kawasan dan daerah Kuala Selangor terus dibangunkan demi kemakmuran rakyat merentasi sempadan parti, kaum dan agama.

    Namun, beliau bimbang dengan gelagat Tengku Zafrul yang dilihat terdesak dan seakan memberikan sogokan politik.

    “Tanggapan bahawa beliau amat cenderung dengan budaya ‘Cash is King’ juga adalah amat mengkhuatirkan dan terdedah kepada ‘moral hazard’ dalam suasana negara bercita-cita membanteras amalan salah guna kuasa dan rasuah.

    “Saya optimis rakyat dan pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah ‘digula-gulakan’ dengan tindakan sogokan politik dan membeli sokongan politik seperti ini,” katanya.

    Dzulkefly turut membangkitkan janji politik Tengku Zafrul sebelum ini di Lembah Pantai bagi pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

    “Rakyat belum lupa janji Menteri Kewangan ini untuk menubuhkan UTC di Lembah Pantai pada 2017, ketika beliau sedang mengintai kerusi Parlimen Lembah Pantai.

    “Adalah lebih baik beliau menunaikan janji yang terdahulu, sebelum terburu-buru menabur janji yang baharu,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata, umum mengetahui beliau mahu memberi laluan pimpinan yang lebih muda di kawasan Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

    “Perkara ini sudah saya nyatakan kepada pimpinan Amanah kawasan dan nasional lebih enam bulan lalu. Namun saya tetap menjalankan khidmat menyantuni Rakyat Kuala Selangor seperti biasa hingga kini,” katanya.

    Beliau menjelaskan sangat khuatir jika beliau berubah pendirian akan ada calon ‘payung terjun’ bertaraf menteri yang seolah-olah menyatakan hasrat untuk bertanding, kelak menuduhnya ‘flip-flop’ atau cakap tak serupa bikin.

  • Zuraida sedia jumpa PM minggu ini

    Zuraida sedia jumpa PM minggu ini

    AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin kini dalam keadaan ‘standby’ kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, setakat ini masih menerima jemputan untuk bertemu Ismail Sabri yang sebelum ini dijadualkan pada minggu ini.

    “Saya masih ‘standby’ untuk bertemu dengan Perdana Menteri sebab masih belum dapat masa lagi. Beliau (sebelum ini) kata mahu jumpa saya minggu depan iaitu pada minggu ini, jadi boleh jadi keseluruhan minggu ini tetapi saya dalam ‘standby’,” katanya ditanya sama ada akan berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan majlis Pembiayaan Global untuk Inovasi Getah oleh Majlis Getah Malaysia.

    Perdana Menteri minggu lalu mengesahkan masih belum bertemu Zuraida untuk membincangkan kedudukannya dalam Kabinet.

    Ismail Sabri berkata, pertemuan itu masih belum diadakan memandangkan Zuraida masih bercuti selepas beliau pulang daripada lawatan kerjanya ke Turki dan Greece, baru-baru ini.

    Ditanya sama ada akan menghadiri mesyuarat Kabinet esok berkata, beliau masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai menteri.

    “Seperti Perdana Menteri katakan, saya masih menteri, jadi sebab itu saya hadir untuk merasmikan program ini hari ini,” katanya.

    Zuraida turut menegaskan yang beliau akan melepaskan jawatannya sebagai menteri jika diarahkan oleh Perdana Menteri.

  • Mohd. Azis pertahan kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU-15

    Mohd. Azis pertahan kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU-15

    KETUA Wira Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman akan mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Beliau sedia menyahut cabaran daripada mana-mana pihak dan mengambil sikap terbuka bahawa mana-mana parti politik di negara ini berhak untuk bertanding di kerusi yang mereka inginkan.

    “Kalau dulu saya selaku pendatang baharu berhadapan dengan seorang yang cukup dikenali di negara kita iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (bekas Ahli Parlimen Sepanggar) yang mana ketika itu saya tidak pernah berkhidmat di Sepanggar tetapi saya boleh berhadapan dengan beliau.

    “Apatah lagi kini saya pernah berkhidmat di situ, rakyat kenal saya jadi pada saya tidak ada masalah berhadapan dengan sesiapa pun jika diminta berkhidmat dan bertanding di situ sekali lagi, Insya-Allah saya akan menyahut cabaran itu jika diminta oleh parti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum itu, beliau diminta mengulas berhubung kerusi yang disandangnya ketika ini mula menjadi rebutan beberapa pihak termasuk Pas yang memberi bayangan akan bertanding di Parlimen Sepanggar.

    Beliau bagaimanapun menyerahkan sebarang keputusan kepada pimpinan tertinggi parti untuk menentukan sama ada akan kekal bertanding di kawasan itu atau sebaliknya.

    “Kita serahkan kepada Presiden (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) kerana pada akhirnya yang akan memutuskan siapa bertanding di mana-mana sekali pun adalah Presiden Warisan.

    “Saya selalu akur kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh parti. Tanding atau tidak, saya kena nyatakan bahawa saya akan bekerja supaya rakyat Sabah melihat kepentingan untuk kita bersatu menuntut hak-hak kita selaku rakyat Sabah.

    “Keadaan negeri kita ini seolah-olah kita ketinggalan 20 tahun jika dibandingkan dengan negeri yang lain di Semenanjung, jadi itu yang lebih penting,” katanya.

    Media pada Mei lalu melaporkan, Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan menawarkan diri untuk bertanding pada PRU-15 dan beliau tidak menolak bahawa Parlimen Sepanggar antara kerusi yang menjadi sasaran Pas Sabah.