Category: Politik

  • Bersatu tidak bincang kedudukan Ismail Sabri sebagai PM

    Bersatu tidak bincang kedudukan Ismail Sabri sebagai PM

    TIADA perbincangan berkaitan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu lepas.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu hanya membincangkan mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan masalah dihadapi rakyat pada masa ini.

    “Tidak ada bincang kedudukan Perdana Menteri. Kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan mahu kerajaan yang stabil supaya boleh fokus masalah rakyat dan bukannya masalah peribadi politik

    “Kami berbincang tentang persiapan menghadapi pilihan raya dan masalah kos sara hidup, masalah harga makanan tinggi dan cara mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin di Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta di sini hari ini.

    Menteri Belia dan Sukan itu mengulas laporan media yang memetik sumber mendedahkan antara perkara disebut dalam mesyuarat itu adalah Bersatu boleh menukar kerajaan Ismail Sabri tanpa mengadakan pilihan raya sekiranya mendapat sokongan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, Bersatu sentiasa mengutamakan masalah rakyat dan dakwaan bahawa perkara berkenaan antara cadangan dikemukakan oleh kalangan pemimpin parti adalah tidak benar.

    “Kalau ada ura-ura perbincangan lain itu bohong. Bersatu tidak bincang berkaitan politik. Bersatu bincang masalah rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • UMNO patut insaf, taubat nasuha depan rakyat

    UMNO patut insaf, taubat nasuha depan rakyat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS parti kerajaan yang memegang rekod terlalu lama mentadbir negara ini perlu mengambil peluang berbaki untuk mempamerkan keinsafan dan taubat nasuha di depan rakyat serta melunaskan amanah dalam kerajaan bersama hingga berakhir penggal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, golongan itu tidak sepatutnya bersikap gopoh dan rakus untuk menghadap Pilihan Raya Umum ke-15 ketika pelbagai masalah masih membelenggu rakyat.

    Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, namun ‘pesanan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu dipercayai merujuk kepada UMNO yang mana beberapa kepimpinannya kebelakangan ini dilihat seakan sudah tidak sabar menuntut supaya Parlimen dibubarkan segera.

    “Sepatutnya tempoh yang ada dimanfaatkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan mensejahterakan rakyat. Natijah PRU-14 lalu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi mimpi ngeri rakyat mesti jangan diberi peluang untuk diulang.

    “Semua agenda yang dirancang meskipun dalam tempoh masa singkat ini mestilah diterjemahkan dalam agenda bertindak kerajaan. Masalah rakyat mestilah diselesaikan semaksimum mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    MOHD AZAM ABD SAMAT

    Mohd. Azam menambah, Pas Kedah komited dengan arahan Pas Pusat untuk memperteguhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

    “‘Khemah’ besar mahu pun ‘jajaran baharu’ langsung tidak akan membangkitkan selera Pas untuk bersama lantaran Pas menolak DAP sebagai rakan sekutu berikutan sikap mereka terhadap Islam.

    “Berhubung PRU, Pas meletakkan keyakinan kepada janji Allah untuk kemenangan Islam dengan semampu mungkin usaha dan ikhtiar dilaksanakan. Apa jua keputusan yang Allah tentukan adalah yang terbaik, justeru ia tidak menjadi sebab untuk kita bersikap resah-gelisah seolah-olah tirai besi penjara sedang berada di depan mata,” katanya.

    Tambahnya, seluruh ahli Pas sentiasa bermotivasi tinggi dan hanya mengharapkan reda Allah dalam apa jua gerak kerja dilaksanakan.

    “Kami mengajak semua pihak untuk berbakti kepada rakyat dan beramal soleh sebagai bekalan kita di akhirat nanti,” katanya.

  • RUU Anti Lompat Parti: Pimpinan PH akan jumpa PM

    RUU Anti Lompat Parti: Pimpinan PH akan jumpa PM

    PIMPINAN utama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan tiga perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan Persekutuan.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataannya hari ini berkata, PH berharap Rang Undang-Undang tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini.

    “Dengan meluluskan Rang Undang-undang ini maka 15 dari 18 Perkara dalam MoU di antara PH dan kerajaan Persekutuan akan tercapai bersamaan dengan 83 peratus,” katanya.

    Menurut kenyataan itu tiga perkara MoU yang masih perlu dilaksana adalah menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri, membentang Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

    Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH kecewa atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang Rang Undang-undang Anti Lompat Parti seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

    Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

    Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Wan Junaidi berkata, sebaliknya rang undang-undang berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya. – BERNAMA

  • Pelantikan Dr. Sahruddin teraju PN Johor mampu bawa kemajuan

    Pelantikan Dr. Sahruddin teraju PN Johor mampu bawa kemajuan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PELANTIKAN Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor adalah tepat sekali dan diyakini mampu membawa kemenangan dan kemajuan gabungan berkenaan di negeri ini.

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti tersebut yakin dengan kemampuan dan kebolehan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong itu serta akan memberikan sokongan penuh terhadapnya.

    “Pas Johor mendoakan semoga Datuk Dr. Sahrudddin dan seluruh saf kepimpinan PN Negeri Johor akan terus beristiqamah dan bersemangat memikul tanggungjawab ini dengan jayanya.

    “Pas Johor akan menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau. Semoga PN Negeri Johor akan terus maju dan mencapai kemenangan demi masa hadapan bangsa dan negeri Johor khasnya dan negara kita Malaysia amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan mengumumkan Dr. Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor berkuat kuasa serta-merta.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam semalam yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.

    Mereka termasuk Lau, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Star Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.

    Sementara Rabu lalu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Dr Sahruddin sebagai Pegnerusi (Bersatu) Johor bagi menggantikan beliau.

    Muhyiddin mengambil alih jawatan Pengerusi Bersatu Johor daripada Mazlan Bujang yang ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa pada September 2020.

    Mazlan sebelum itu pula mula menyandang jawatan berkenaan sejak 25 Mei 2019 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian.

  • Kerajaan stabil, tidak perlu desak bubar Parlimen – Annuar

    Kerajaan stabil, tidak perlu desak bubar Parlimen – Annuar

    KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

    Justeru, beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.

    “Soal pembubaran ini kalau kita tengok pilihan raya umum sebelum ini pun bukan berdasarkan desakan. Kabinet kena buat keputusan kalau rasa dapat mandat serta rasa dah cukup masa nak bubar, Kabinet serta perdana menteri cuma boleh menasihatkan, namun Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa mutlak.

    “Setakat ini, Yang di-Pertuan Agong titah kita (kerajaan) suruh kerja, Yang di-Pertuan Agong tidak titah kita (kerajaan) suruh ‘politiking’ malah Yang di-Pertuan Agong sebut kurangkan ‘politiking.’ Kerajaan ini akan junjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Jabatan Penerangan Kelantan.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kerajaan pimpinan perdana menteri ketika ini mahu terus memberi tumpuan melaksanakan banyak agenda kepada rakyat.

    “Tetapi cuba digambarkan kerajaan ini tidak stabil, kerajaan ini perlu dibubarkan, adakan pilihan raya umum dan sebagainya sedangkan ini dua dunia berbeza, ini adalah sebuah kerajaan yang cukup stabil.

    “Jangan lupa kerajaan ini turut ditadbir berasaskan memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang, MoU tentang kestabilan dan transformasi,” katanya.

  • Dominic dilantik Pengerusi PN Pulau Pinang, Sahruddin Pengerusi PN Johor

    Dominic dilantik Pengerusi PN Pulau Pinang, Sahruddin Pengerusi PN Johor

    PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor juga berkuat kuasa serta-merta.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.

    Mereka termasuk Lau, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat amnya. – BERNAMA

  • Perjuangan suci PN tidak mudah, kata Muhyiddin

    Perjuangan suci PN tidak mudah, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta setiap peringkat kepimpinan Bersatu dan PN agar memberi perhatian terhadap dapatan post-mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu mengingatkan bahawa perjuangan suci itu tidak mudah dan kejayaannya tidak boleh dilihat dalam jangka masa yang singkat.

    Walau bagaimanapun, beliau percaya bahawa selagi mereka masih berpegang kepada prinsip dan semangat perjuangan, insya-Allah mereka dapat berhadapan dengan apa juga cabaran politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang berlaku sekarang.

    “Saya suka mengingatkan semua ahli, dalam situasi sekarang ini dengan pelbagai masalah terutama yang berkaitan dengan peningkatan kos hidup rakyat, kita tidak boleh bergerak dan bertindak seperti biasa lagi.

    “Kita perlu melipat ganda usaha bagi membantu golongan yang terkesan dengan cara apa sekali pun mengikut kemampuan kerana ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

    “Inilah perkara penting yang harus menjadi keutamaan kita dan bukannya memikirkan tentang bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan.

    “Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar dapat menggerakkan program yang boleh membantu rakyat yang ketika ini berada dalam situasi paling sukar.

    “Semoga dengan sedikit usaha yang diadakan secara berterusan ini dapat membantu golongan atau kumpulan yang terkesan teruk dengan pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi semasa negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

    Sementara itu, beliau gembira melihat ramai tetamu yang datang pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Bersatu Johor semalam walaupun Syawal baru sahaja berlalu.

    Muhyiddin berkata, ia sekali gus membuktikan semangat sama ada di peringkat kepimpinan atau sesama ahli Bersatu serta PN Johor terus bersemarak walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran mutakhir ini.

    “Ini merupakan petanda yang cukup baik bahawa walau dalam apa juga situasi, perpaduan sesama kita terus kukuh dan utuh,” jelasnya.

  • Jangan heret rakyat dalam konflik perebutan kuasa, PAS ingatkan Zahid

    Jangan heret rakyat dalam konflik perebutan kuasa, PAS ingatkan Zahid

    PAS menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada berpolitiking kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

    Ketua Penerangan PAS, Ir Kharil Nizam Khirudin berkata, Ahmad Zahid seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

    “Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi.

    “Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Khairil Nizam turut menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menasihati Presiden mereka yang seringkali memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut beliau, sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Ahmad Zahid haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan.

    “Tujuan PAS menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti,” jelasnya.

    Khairil Nizam menambah, sepertimana Ahmad Zahid mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

    “Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

    “Berikan sokongan tidak bersyarat kepada YAB Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

  • PRU-15:Pas, Bersatu Terengganu belum putuskan agihan kerusi

    PRU-15:Pas, Bersatu Terengganu belum putuskan agihan kerusi

    PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum memuktamadkan agihan kerusi di Terengganu ini bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana perbincangan masih berjalan ketika ini.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar percaya rundingan akan menjadi kunci dalam mencapai kesepakatan.

    “Perbincangan (kerusi) dalam proses dan (setakat ini), tak bincang secara terperinci lagi (dan) tidak ada (keputusan) muktamad lagi.

    “Saya percaya daripada pihak Bersatu juga mereka faham bahawa tidak ada sebarang kata muktamad lagi mengenai pembahagian kerusi.

    “Rundingan tetap dijalankan, kita bincang… kita runding itu (kerana itu) adalah kunci segala-galanya dan (rundingan) bukan sahaja antara Pas dan Bersatu tetapi bersama UMNO,” katanya yang juga Naib Presiden Pas.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Ulama Terengganu : Sumbangan Tok Sheikh Duyong kepada Negeri Terengganu dan Majlis Pecah Tanah Pusat Tafaqquh Fi Al-Din Tok Sheikh Duyong di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

    Ketika ditanya sama ada Pas mempunyai kerusi yang diidamkan, Ahmad Samsuri berkata, parti itu mempunyai sasaran kerusi tersendiri untuk PRU-15 namun ia masih tertakluk kepada perbincangan.

    “Tentulah kita ada hasrat kita, orang lain ada hasrat orang lain, (sebab itu) kita duduk kita bincang kita padukan hasrat-hasrat itu,” katanya.

    Sebelum ini, Bersatu Terengganu berhasrat untuk meletakkannya calonnya di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

  • Keputusan Zuraida tidak jejas Bersatu, ramai calon layak gantikannya

    Keputusan Zuraida tidak jejas Bersatu, ramai calon layak gantikannya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LANGKAH Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin yang keluar parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sama sekali tidak menjejaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama Srikandi.

    Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ini kerana parti terutama sayap berkenaan mempunyai ramai calon pelapis kepimpinan yang layak untuk diketengahkan.

    Malah kata beliau, pihaknya sudah lama bersedia kerana sudah mengetahui keputusan itu lebih awal sebelum Zuraida mengumumkannya secara rasmi menerusi sidang akhbar pada bulan lalu.

    “Ini tidak merisaukan kita kerana Bersatu dan Srikandi mempunyai ramai calon pelapis kepimpinan yang layak untuk diketengahkan.

    “Daripada sudut parti mahupun Srikandi khususnya, tindakan itu tidak menjejaskan sebarang urusan pentadbiran, itu perkara biasa dalam politik dimana pemimpin datang dan pergi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di Johor Bahru, hari ini.

    Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Mengulas lanjut, Rina berkata, tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu hanya diikuti sekumpulan kecil ahli lain.

    “Semasa beliau (Zuraida) keluar Bersatu, saya kira mungkin ada beberapa yang ikut dan mereka itu memang sudah bersama dengan beliau ketika dia menyertai Bersatu dahulu.

    “Jumlahnya tidak besar tetapi adalah beberapa orang yang kita tahu,” ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.