Category: Politik

  • PRN : Tok Mat Hasan dan 3 bekas MB antara calon BN

    PRN : Tok Mat Hasan dan 3 bekas MB antara calon BN

    TIMBALAN  Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan antara pemimpin tertinggi Barisan Nasional bertanding pada PRN enam negeri, pada 12 Ogos.

    Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Rembau akan mempertahan kerusi Rantau di Negeri Sembilan.

    Setiausaha Agung  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, juga mengumumkan Ketua BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Pendidikan, bertanding di kerusi Pedu.

    Dalam pada itu, dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masing-masing bertanding di Kijal dan Seberang Takir, lapo FMT.

    Ketua UMNO Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias, yang disebut-sebut mungkin menjadi calon MenteriBbesar, akan bertanding di kerusi Pertang, manakala Ketua UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin, pula bertanding di Gombak Setia.

    Asyraf juga mengumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan bertanding di Bertam.

    Selain itu, nama besar lain tercalon termasuk Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, bertanding di Kuang.

    Sementara itu, Najib Isa, anak kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, akan bertanding di Bagan Pinang.

  • BN tanding 108 kerusi DUN di enam negeri

    BN tanding 108 kerusi DUN di enam negeri

    BARISAN Nasional (BN) hari ini mengumumkan akan bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

    Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN malam ini berkata  63 peratus calon merupakan muka baharu, 18 peratus ialah penyandang dan selebihnya ialah mereka yang pernah bertanding sebelum ini. 

    “Kita juga mengemukakan 87 peratus daripada calon ini memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi termasuk yang berkelulusan ikhtisas atau profesional,” katanya. 

    Beliau berkata barisan calon yang ditampilkan itu mampu memastikan kestabilan politik di negara ini dapat diterjemahkan sebaik mungkin. 

    “Saya telah temui tiap seorang daripada mereka, saya telah berikan amanah kepada mereka bahawa mereka dipilih yang terbaik daripada kalangan yang terbaik. Ini kerana kita berazam untuk membentuk kerajaan negeri yang berupaya menjamin pertumbuhan dan mempunyai keserasian serta persamaan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata antara objektif utama BN pada PRN kali ini adalah untuk mewujudkan pentadbiran di peringkat negeri yang mengutamakan kestabilan dan bukannya perpecahan.

    Beliau berkata BN juga mahu membentuk kerajaan negeri yang dapat menjamin kesejahteraan dan tidak membiarkan rakyat hidup dalam kesempitan dan kesusahan.

    “Kita mahu bina kerajaan negeri yang berupaya memiliki nilai hormat sesama insan dan mengetepikan perbezaan kaum dan agama,” katanya. 

    Pengumuman malam ini menyaksikan BN menampilkan calon daripada UMNO berikutan parti komponennya MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada 12 Ogos ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

    PRN 2023 ini melibatkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56); dan Negeri Sembilan (36).

  • Norsabrina reda tak dipilih pertahan DUN Bandar Baharu

    Norsabrina reda tak dipilih pertahan DUN Bandar Baharu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor sah tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Menurut Norsabrina, beliau sedia maklum yang namanya tidak dicalonkan di mana-mana kerusi Barisan Nasional (BN) untuk kali ini.

    “Saya sedar, amat sukar keputusan ini dibuat oleh pimpinan lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO perlu ‘struggle battle’ serta ‘Do or Die’. Maka saya menganggap keputusan ini adalah suatu pilihan di antara beberapa strategi bagi BN dan Pakatan Harapan memenangi PRN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebelum ini Norsabrina pernah memegang jawatan exco di bawah dua Menteri Besar yang mewakili BN iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. Beliau telah dua penggal menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

    Mengulas lanjut Norsabrina berkata, beliau menerima seikhlasnya keputusan itu dan percaya terdapat hikmah lebih besar diperoleh memandangkan tunjang berorganisasi adalah taat dan walak kepada pimpinan.

    “Walau bagaimanapun PRN kali ini parti memiliki tugas paling mencabar iaitu menguasai 55 peratus pengundi Kedah dalam kalangan anak muda yang berumur 40 tahun ke bawah. Perspektif dan naratif yang perlu dibawa mesti selari bersama kewibawaan UMNO Kedah terutamanya calon yang bakal ditonjolkan nanti.

    “Saya mengajak semua sahabat setia bersama perjuangan. Kita teruskanlah selekoh terakhir ini dengan tekad demi agama, bangsa dan negara agar kejayaan mampu dimiliki BN dan PH dalam PRN kali ini. Perancangan manusia hebat tetapi perancangan Allah juga yang terbaik. Manusia membuat pilihan, Allah mentakdirkan. Saya reda atas ketentuan ini dan akan meneruskan perjuangan,” katanya.

  • Tuan Ibrahim ucap terima kasih kepada Sanusi bantu lonjak sokongan PN

    Tuan Ibrahim ucap terima kasih kepada Sanusi bantu lonjak sokongan PN

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam nada bergurau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana penahanan beliau melonjak sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Malah, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, peluang mereka untuk merampas negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi lebih cerah susulan pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi pada Selasa lalu.

    “Dua hari lepas, saya bertemu dengan seorang orang kuat UMNO di Putrajaya, sambil-sambil minum saya tanya macam mana pandangan dia dengan isu yang berlaku kepada saudara Sanusi.

    “Dia kata dulu sebelum tangkapan kepada Sanusi, kami ada letak harapan di Selangor untuk tawan dan bertahan 50-50, lepas kena tangkap ini pakat tak dak harapan langsung.

    “Betul, saya kadang-kadang rasa nak ucap terima kasih (Sanusi) kena tangkap. Tapi jangan keraplah sekali cukuplah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Dewan Al-Hana, Sik malam tadi.

    Menurut Tuan Ibrahim, serangan dilakukan kerajaan Madani terhadap Muhammad Sanusi disebabkan kehebatan beliau mengemudi Kedah dan berada di landasan yang betul seiring jawatannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

    “Bila mereka mula menyerang Sanusi (yang) bukan seorang dua anggota Kabinet (tapi hampir keseluruhan), saya tengok Kelantan rileks, Terengganu lagi rileks.

    “Pasal semua peluru tuju ke Sanusi, kenapa? kerana kehebatan beliau. Kerana apa yang dibawanya itu dirasai oleh denyut nadi rakyat. Betul tak? yang dibawa ialah benda yang rakyat Kedah nak selama ini. Betul tak?

    “Kerana beliau juga ialah panglima perang PN dan mereka tahu bahawa kita sedang berada di atas landasan yang betul. Insya-Allah 12 Ogos depan, keenam-enam negeri tidak mustahil kita akan kuasai,” katanya.

  • PRN: Radhi Mat Din, Baddrol Bakhtiar disebut-sebut calon DUN Kedah

    PRN: Radhi Mat Din, Baddrol Bakhtiar disebut-sebut calon DUN Kedah

    DUA bekas ketua pasukan bola sepak Kedah, Muhamad Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar disebut-sebut antara calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos akan datang.

    Sekalipun tidak menyebut nama kedua-dua pemain popular itu, namun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi bayangan Muhammad Radhi dan Baddrol akan menjadi pertaruhan pada PRN negeri itu kali ini.

    Bahkan, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN menegaskan, bukan sahaja dua pemain bola sepak itu, sebaliknya, PN Kedah juga akan mempertaruhkan dua ahli akademik bertaraf profesor sebagai calon mewakili gabungan itu dalam PRN.

    “Sebahagian besar daripada calon PN terdiri daripada golongan ustaz dan ulama dan kesemua mereka akan diketuai oleh seorang ‘panglima’.

    “Tuan-tuan sekalian, (pada) 12 Ogos undilah Perikatan Nasional… (untuk) musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor untuk mewakili kita, ‘player’ (pemain) bola ada dah dua… ustaz (dan) ulama tak payah kira (memang banyak),dan seorang panglima (akan) duduk di hadapan (mengetuai senarai calon itu),” kata Muhammad Sanusi memberi bayangan, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Dewan Al Hana, di Sik, malam tadi.

    Muhammad Sanusi turut menzahirkan keyakinan bahawa PN tidak perlu untuk menunggu lama bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan sekiranya menang di semua enam negeri dalam PRN akan datang.

    Terdahulu, Majlis Pengisytiharan Calon-Calon PN Kedah yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan kepada Rabu depan.

    Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad berkata, penangguhan itu diputuskan oleh Majlis PN Pusat dan PN Kedah dalam mesyuarat pada Rabu.

    Menurutnya, perubahan tarikh berkenaan tiada kaitan dengan dakwaan terdapat perubahan calon Pas pada saat akhir susulan kes pendakwaan Muhammad Sanusi di mahkamah pada Selasa.

    Untuk rekod, Kedah memiliki 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana PN menguasai 21 daripadanya sebelum DUN dibubarkan 28 Jun lalu.

  • Tajuddin tak mahu rayu lagi, enggan kempen untuk UMNO pada PRN

    Tajuddin tak mahu rayu lagi, enggan kempen untuk UMNO pada PRN

    DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman enggan berkempen untuk UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos depan kerana parti berkenaan tidak memberi maklum balas berkenaan rayuan menarik balik penggantungan keahliannya.

    Tajuddin berkata, beliau mengemukakan rayuan sebanyak empat kali namun tidak dibalas, sambil menambah sudah tidak mahu merayu lagi.

    “Itulah saya cakap bagi baliklah keris saya itu – keahlian saya itu. Penggantungan keahlian saya itu kenapa tak ada respon? Kalau nak suruh saya kempen, tapi penggantungan saya itu lepaskan lah.

    “Macam mana nak buat kerja? Nak tolong (kempen) kalau saya pun ‘diikat’, kaki saya ‘diikat’, tangan saya ‘diikat’, nak buat apa,” soalnya, memetik laporan FMT.

    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaannya berkempen pada PRN bulan depan, termasuk status rayuan terhadap penggantungan keahlian enam tahun.

    Sebelum ini, Tajuddin menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik balik penggantungan keahliannya agar beliau boleh menggempur pesaing UMNO.

    “Saya dalam UMNO 50 tahun, daripada jadi ketua pemuda pada usia 25 tahun. Mereka buat saya macam ini apa salah saya? Takkan tak boleh mengkritik, bagi pandangan, bagi nasihat, takkan tak boleh ditegur? Nak jadi apa parti kalau tak boleh ditegur,” katanya.

    Tajuddin bagaimanapun tidak kecewa dengan UMNO, sebaliknya yang bersalah adalah pemimpin yang mengendalikan parti berkenaan.

    “Nampak pemimpin ini tak ada kepentingan parti, lebih kepentingan peribadi. Nak kedudukan, pangkat, tak fikirkan parti. Mereka tahu parti dalam keadaan lemah pun mereka tak kisah, mereka rasa yakin sahaja, macam sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Jadi kerajaan menumpang pun rasa hebat lagi, apa benda ni? Di mana maruah UMNO,” katanya.

    Tajuddin turut menolak untuk menyertai parti lain ketika ini.

  • Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu – Sanusi

    Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu – Sanusi

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia beri kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

    Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa yang mahu melakukan apa sahaja siasatan ke atas pentadbirannya.

    “Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada apa saja penyiasatan pihak berkuasa. Saya sebut banyak kali sejak jadi Menteri Besar, saya dan pejabat saya dibuka untuk disiasat SPRM atau mana-mana agensi. Boleh siasat 25 jam sehari, lapan hari seminggu, boleh hubungi saya melalui WhatsApp kalau saya tak sempat jawab panggilan telefon,” katanya kepada Berita Harian hari ini.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah memanggil 12 orang saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan mencuri REE di Kedah.

    Katanya, semua saksi yang dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dengan beberapa lagi saksi termasuk Muhammad Sanusi akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

    Kelmarin, SPRM menahan pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan perlombongan membabitkan jumlah rasuah lebih RM13 juta.

  • ‘’Kalau hendak dedah…dedah semualah…Anwar sendiripun ada kertas siasatan’’ – Tun M

    ‘’Kalau hendak dedah…dedah semualah…Anwar sendiripun ada kertas siasatan’’ – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersikap komprehensif atau menyeluruh dalam mendedahkan dakwaan salah laku terhadap bekas Menteri UMNO, mendakwa siasatan juga dibuka ke atas Perdana Menteri sendiri. 

    Menjawab dakwaan Anwar mengenai fail yang mengandungi maklumat mengenai menteri yang berpaling tadah daripada UMNO menjelang pilihan raya umum tahun lepas, Dr. Mahathir berkata ugutan pendedahan itu merupakan salah guna kuasa.

    “Kalau hendak dedah, dedah semualah. Dedah berkenaan menteri sekarang pun. Saya tahu ada kertas siasatan terhadap Anwar sendiri, walaupun saya tidak lihat. Polis beritahu saya semasa saya perdana menteri,’’ kata beliau dalam Facebook.

    Anwar ketika majlis Jelajah Madani pada 15 Julai lalu berkata terdapat fail yang mengandungi maklumat mengenai bekas menteri Umno yang keluar parti menjelang Pilihan Raya Umum, 19 November tahun lepas. 

    Beliau dilaporkan berkata fail itu mengandungi bukti penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tersebut semasa mereka dalam kerajaan.

    Mahathir berkata ramai “orang kenamaan Melayu” takut dan “tidak senang dengan prestasi kerajaan sekarang”.

    “Tetapi mereka enggan menyertai sebarang gerakan yang memiliki pendapat yang sama dengan mereka Mereka takut jika mereka dikenal pasti oleh kerajaan, tindakan akan diambil terhadap mereka. Undang-undang dibuat untuk semua orang, bukan untuk parti lawan sahaja.

    ”Apakah ugutan dan tindakan seperti ini diizin oleh demokrasi. Siasatan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu dilakukan. Tetapi bukan untuk ugutan politik.  Jika benar ada jenayah tindakan undang-undang hendaklah diambil. Amatlah tidak bertanggungjawab jika diguna untuk politik parti. Apakah itu sebahagian dari Reformasi?” tegas beliau.

  • Kerusi DUN Hulu Bernam milik UMNO bukan Amanah, kata Rosni Sohar

    Kerusi DUN Hulu Bernam milik UMNO bukan Amanah, kata Rosni Sohar

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam bukan Amanah tetapi milik Barisan Nasional (BN) sebab kita menang, tegas Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar.

    Sinar Harian melaporkan Rosni yang juga penyandang kerusi DUN Hulu Bernam berkata, Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim tidak wajar mendahului keputusan pimpinan dengan mengumumkan parti mereka bertanding di situ.

    “BN menang di DUN Hulu Bernam, sebab kita menang melainkan kita kalah dan Izham kena tahulah perkara ini, takkan beliau ketepikan perkara yang benar, perkara nyata dan jelas. Jangan bercakap mengatasi keputusan pimpinan teratas, kita dahulu buat andaian, saya tidak setuju,” katanya mengulas kenyataan Izham sebelum ini yang memaklumkan DUN Hulu Bernam milik Amanah.

    Pada Isnin, Izham mengesahkan kerusi Hulu Bernam akan ditandingi parti itu yang bernaung di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

    Izham berkata, Amanah akan bertanding sembilan kerusi di Selangor termasuk Hulu Bernam pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

    Menurutnya, keputusan itu dibuat di peringkat tertinggi sementara kerusi DUN Jeram akan diambil alih oleh BN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Hulu Bernam dimenangi Rosni yang mewakili BN dengan majoriti 20 undi.

    Rosni yang mendapat 8,164 undi menewaskan calon PKR, Amran Sakir yang memperoleh 8,144 undi dan calon Pas, Salleh Ri yang meraih 2,554 undi.

    Menurut Rosni, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat secara sesuka hati kerana sepatutnya ia diumumkan di peringkat atasan yang membuat keputusan.

    “Baik kita tunggu sahaja (keputusan) sebab saya pun tidak ada masalah, saya hanya menunggu keputusan itu kerana mungkin ada sebab tertentu mereka (pimpinan) membuat keputusan sedemikian. Kita sepatutnya membiar keputusan itu dibuat oleh pihak menteri besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan Izham tidak boleh buat kenyataan seperti itu,” katanya.

    Tambah Rosni, tindakan Izham mendahului keputusan pemimpin tertinggi juga menyebabkan timbul banyak persoalan kepada pengundi BN dan persoalan itu tidak dapat dijawab olehnya.

  • Tindakan ke atas Sanusi hanya tambah sokongan kepada PN,Pas -Hashim

    Tindakan ke atas Sanusi hanya tambah sokongan kepada PN,Pas -Hashim

    TINDAKAN  Kerajaan Madani terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap tidak melemahkan perjuangan Pas dan Perikatan Nasional (PN). 

    Malah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menambah sokongan rakyat terhadap PN dan Pas.

    Katanya, tindakan secara tergesa-gesa terhadap Menteri Besar Kedah dengan terus mendakwa ketika siasatan masih dilakukan dipertikaikan rakyat.

    “Apa yang berlaku itu seperti tindakan terlalu tergesa-gesa khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin menjelang tiba. Apa pun kita hormati proses perundangan dan ahli Pas diminta supaya terus bertenang dan mengelak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

    “Sokongan padu rakyat akan diterjemahkan pada PRN 12 Ogos hadapan termasuk peluang terbuka luas bagi menguasai Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya lapor HarakahDaily.

    Awal pagi Selasa lepas Sanusi ditahan sekumpulan pegawai dan anggota polis ketika menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan terus didakwa di mahkamah di Selayang atas dakwaan menghasut.

    Kata Hashim kejadian itu dianggap sebagai permainan politik kerajaan bagi membunuh karakter Menteri Besar Kedah terutamanya ketika hampir menjelang PRN.

    “Adakah tidak ada masa yang lebih sesuai dikenakan pendakwaan tersebut atau tunggu selepas habis PRN,” katanya.

     Hashim bagaimanapun berharap ahli dan penyokong Pas supaya memohon doa kepada Allah SWT agar memberi pertolongan kepada Sanusi.

    Media sebelum ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor yang dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

    Muhammad Sanusi dikatakan menghina Sultan Selangor apabila membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

    Sementara itu, Hashim berkata, sokongan terhadap Sanusi dan PN akan bertambah kuat meskipun berdepan situasi berkenaan.

    “Sokongan kuat itu akan diterjemahkan di dalam PRN termasuk kita mampu merampas Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya.

    SEMENTARA ITU, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan ke atas Sanusi membina gelombang sokongan kepada gabungan berkenaan.

    “Tinjauan umum mendapati sokongan kepada PN meningkat,” katanya kepada Berita Harian.

    Tuan Ibrahim turut mendakwa, keadaan sebaliknya pula dialami PH dan BN.

    “Walaupun mereka cuba menafikan tindakan ini bukan bermotif politik, semua pihak sedar ia memang tindakan politik, pendakwaan terpilih dan pelanggaran janji mereka mementang Akta Hasutan sebelum ini. Tindakan ini ternyata memakan diri apabila muncul pelbagai pihak membuat kenyataan membantah dan mempertikai tindakan ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi selepas mereka meneliti ucapan beliau yang langsung tidak menyebut Sultan Selangor,” katanya.