Category: Politik

  • Tak perlu kosong kerusi, Kelayakan 4 ADUN Bersatu P. Pinang kekal ikut Perlembagaan

    Tak perlu kosong kerusi, Kelayakan 4 ADUN Bersatu P. Pinang kekal ikut Perlembagaan

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang tidak perlu mengosongkan kerusi kerana kelayakan mereka sebagai wakil rakyat adalah kekal mengikut Pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

    Empat ADUN Bersatu Pulau Pinang berkenaan ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

    Ketua Penerangan Armada Bersatu Pulau Pinang, Harris Idaham Rashid berkata, pindaan Perlembagaan itu yang telah diluluskan di Dewan Rakyat memberi makna yang jelas berkenaan tindakan tindakan yang boleh melucutkan seseorang itu daripada terus menjadi wakil rakyat.

    Jelasnya, pindaan itu jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya dipecat oleh parti politik yang dianggotai.

    Antara lain katanya, seorang Ahli Parlimen juga tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya parti politik yang dianggotainya membuat keputusan dasar untuk menukar penjajaran dan sokongan terhadap sesebuah gabungan.

    “Kes yang melibatkan empat ADUN Pulau Pinang itu jatuh di bawah pengecualian pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 49A.

    “Parti yang dianggotai oleh ADUN Bertam dan Telok Bahang telah membuat keputusan dasar untuk menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).

    “ADUN Seberang Jaya dan Sungai Acheh pula telah dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Armada Nasional turut menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan hasrat untuk menyambung prosiding di mahkamah untuk membatalkan kelayakan empat ADUN tersebut.

    Ini kerana jelasnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan mendapati tindakan-tindakan tersebut tidak sama sekali menjejaskan kelayakan seseorang sebagai wakil rakyat.

    “Memandangkan Pakatan Harapan khususnya DAP telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat, mereka perlu membuktikan komitmen mereka dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

    “Dalam masa sama, mereka seharusnya tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai oleh kesemua 209 Ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut termasuklah Ahli Parlimen dari DAP sendiri,” katanya.

  • PRU-15: Gerakan Tanah Air jangka bertanding 120 kerusi

    PRU-15: Gerakan Tanah Air jangka bertanding 120 kerusi

    GERAKAN Tanah Air dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu dinyatakan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan gabungan itu hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, beliau yakin mendapat sokongan daripada rakyat terutama orang Melayu yang menolak rasuah serta penyelewengan.

    “Kita nak letak calon sebanyak 120 kerusi, ada kerusi yang sudah tentu ditandingi UMNO.

    “Kita berpendapat masa sudah tiba untuk orang Melayu kenal UMNO sekarang ini, kerana UMNO sekarang ini nama sahaja UMNO tapi prinsip perjuangannya ialah duit,” katanya.

    Dr Mahathir mengulas lanjut, gerakan itu berpotensi untuk menang dalam PRU-15 sekiranya 65 peratus pengundi yang tidak menyokong kerajaan memihak kepada mereka.

    “Setakat kita tahu UMNO jadi kerajaan kerana sokongan 35 peratus sahaja, ada 65 peratus tidak sokong kerajaan, mereka ini tidak mengundi sama sekali, kerana menganggap politik ini bosan dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.

    “Kita yakin dengan penerangan kita lakukan menerusi gerakan ini, kita yakin mereka akan beri sokongan dengan kita bersama empat buah parti dan beratus NGO yang sudah menyatakan sokongan mereka kepada kita.

    “Serta jumlah orang ramai prihatin tidak senang amalan rasuah kerajaan sekarang, kita yakin kita boleh dapat kemenangan,” katanya.

  • Tun M umum pelancaran Gerakan Tanah Air

    Tun M umum pelancaran Gerakan Tanah Air

    BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan gagasan baharu berasaskan Melayu dan Islam serta badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Tanah Air.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, gerakan itu akan memperjuangkan kaum Melayu untuk mempertahan Malaysia.

    “Kita pilih nama sesuai gerakan iaitu dipersetujui Gerakan Tanah Air. Ini gerakan rakyat untuk tentukan nasib mereka lebih baik dengan tukar kerajaan yang ada kepentingan diri.

    “Kita akan berjuang untuk rakyat dan agama, itu tujuan kita. Nama ini dah dipersetujui dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan dalam talian.

    Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan berkenaan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan

  • Rafizi, Amirudin dilantik Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Selangor

    Rafizi, Amirudin dilantik Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Selangor

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan yang baharu sementara Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Selangor.

    Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama kesemua Ketua Cabang PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan petang tadi.

    Beliau berkata mesyuarat berkenaan diadakan bertujuan untuk memuktamadkan proses pelantikan Pengerusi MPN yang baharu.

    “Saya percaya pelantikan ini akan dapat membantu Keadilan mempercepat kesiapsiagaan parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi. – Bernama

  • Fat Full dilantik Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang baharu

    Fat Full dilantik Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Chong Fat Full menyasarkan untuk menarik lebih banyak penyertaan bukan Melayu ke dalam parti itu.

    “Saya akan segera merangka strategi bagi merealisasikan rancangan itu sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

    “Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, saya mahu menarik lebih ramai dalam kalangan orang bukan Melayu sertai Bersatu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau terharu dan berbesar hati dengan kepercayaan pucuk pimpinan Bersatu sekali gus berazam akan menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin dengan membantu parti.

    “Saya akan segera mengadakan mesyuarat bersama pimpinan sayap termasuk di negeri bagi merangka pelan serta strategi bagi menarik sokongan kaum bukan Melayu terhadap parti,” katanya.

    Sementara itu, Fat Full berkata, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara yang juga bekas ketua sayap berkenaan turut memberi jaminan akan memberi bantuan sewajarnya.

    “Santhara adalah pemimpin berpengalaman dan sudah pasti kami akan memanfaatkan pengalamannya bagi mengukuhkan sayap ini,” katanya.

    Menurut beliau, Sayap Bersekutu Bersatu perlu bekerja keras bagi menangkis salah faham masyarakat bukan Melayu terhadap parti selain menangkis kritikan parti lawan.

    Pada Rabu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan mengumumkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Fat Full dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu.

    Pelantikan itu bagi menggantikan Santhara, yang dilapor menghantar surat peletakan jawatan pada 22 Julai lalu.

  • PBM tidak gugurkan Paul Yong, masih lagi ADUN Tronoh

    PBM tidak gugurkan Paul Yong, masih lagi ADUN Tronoh

    KEPUTUSAN Parti Bangsa Malaysia (PBM) terhadap Paul Yong Choo Kiong yang disabit bersalah atas tuduhan merogol untuk ‘berehat’ daripada aktiviti dan pengurusan parti tidak akan mempengaruhi statusnya untuk digugurkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

    Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, selagi penangguhan hukuman mahkamah terhadap ADUN itu berjalan memandangkan beliau dibenar merayu ke Mahkamah Rayuan, maka Yong masih kekal sebagai wakil rakyat.

    “Merehatkan daripada pengurusan dan aktiviti politik, itu keputusan di peringkat parti yang tiada kena-mengena dengan Dewan Negeri, tiada kena-mengena dengan Peraturan Dewan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika program Pra Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 Negeri Perak di Dataran Warisan di Taiping, hari ini yang turut menyaksikan sambutan kedatangan Jelajah Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia.

    Sebelum ini, Mohamad Zahir dilaporkan berkata, pihaknya akan merujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri (LA) berhubung status ADUN Tronoh itu selepas diputuskan bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Julai lalu.

    Ditanya perkembangan mengenainya, Mohamad Zahir berkata, setakat ini pihaknya belum memperoleh maklumat rasmi daripada Pejabat LA negeri yang turut merujuk perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara.

    “Namun, secara makluman dan perbincangan (tidak rasmi), kita dapati Paul Yong sudah memfailkan rayuanya di Mahkamah Rayuan yang bermakna proses undang-undang (kes) itu masih berjalan, dengan dia juga mendapat penangguhan hukuman.

    “Dengan demikian, beliau masih kekal sebagai ADUN kerana proses perundangan kes dia masih belum tamat. Saya pun tidak tahu bila jangkaan keputusan dari LA kerana ia berkaitan urusan mahkamah,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid berkata, Paul Yong direhatkan daripada aktiviti dan pengurusan parti itu.

    Ia termasuk jawatannya sebagai Bendahari Agung dan Pengerusi PBM Perak serta akan digantikan dengan indvidu lain dalam masa terdekat dengan berkuat kuasa sehingga proses rayuan di mahkamah selesai.

    Pada 27 Julai lalu, Paul Yong dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu selepas Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu kerana berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

  • Tun M cabar Apandi buktikan anaknya jutawan

    Tun M cabar Apandi buktikan anaknya jutawan

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar bekas peguam negara Tan Sri Mohd Apandi Ali membuktikan anaknya menjadi jutawan semasa beliau perdana menteri.

    Beliau mengutarakan cabaran itu selepas Apandi dilaporkan bertanya, “Dalam dunia ini, mana lagi ada seorang perdana menteri yang mana anak-anak mereka menjadi jutawan?”

    Dr. Mahathir sebagaimana laporan Free Malaysia Today berkata, anaknya tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan dengan kerajaan, apatah lagi menyertai parti kerajaan, ketika beliau menjadi perdana menteri.

    “Jika ada anak (saya) yang jadi jutawan, sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

    “Jika tidak ada bukti, saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang.”

    Beliau menjawab empat soalan dikemukakan Apandi di Facebook bulan lalu, termasuk berkaitan kes Batu Puteh, tuntutan Sulu, dan saman berkaitan pemecatan Apandi sebagai peguam negara.

    Apandi bertanya mengapa kerajaan Dr Mahathir memilih untuk menyelesaikan saman pemecatan tidak sah terhadapnya melalui “persetujuan”, dan sama ada ini bermakna Dr. Mahathir telah bertindak secara arbitrari dan “salah dari segi tatacara atau perundangan” ketika memecatnya sebagai peguam negara.

    Mahathir menjelaskan bahawa Apandi dipecat kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan seterusnya mahkamah tempatan mendapati bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bersalah atas salah laku.

    Namun, katanya, Apandi memutuskan bahawa Najib “tidak membuat apa-apa kesalahan”.

    “Semua ini menunjuk bahawa Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

    “Perbuatan Apandi menunjuk bahawa ia tidak memegang kepada ‘rule of Law’ (kedaulatan undang-undang. (Beliau) tidak sesuai menjadi peguam negara.

    “Kerajaan berhak untuk menamatkan (perkhidmatan) pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan daripada jawatan.”

  • Muhyiddin masih diperlukan pimpin PRU-15 – PAS

    Muhyiddin masih diperlukan pimpin PRU-15 – PAS

    PRESIDEN BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih diperlukan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kepimpinan masa depan.

    Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sebagaimana lapor Berita Harian berkata, pengalaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu masih diperlukan untuk kempen PRU-15.

    “Pada pandangan parti dan saya sendiri, dia masih diperlukan untuk menerajui PN bukan hanya untuk PRU-15 ini sahaja tapi untuk masa akan datang.

    “Tapi kalau dia sendiri merasakan tak nak teruskan, itu hak dia. Kita tak boleh kata apa,” katanya hari ini.

    Muhyiddin baru-baru ini mengumumkan mahu bersara dari gelanggang politik untuk meluangkan masa bersama keluarga.

    Bekas Perdana Menteri itu juga tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU-15 akan datang, sekiranya parti memutuskan beliau layak dipilih sebagai calon sekali gus menjadi penggal terakhir buatnya.

    Pada soalan mengenai bayangan PRU-15 yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengakui PAS sudah bersedia.

    Beliau menambah, lazimnya semua parti sudah membuat persiapan apabila memasuki tahun keempat penggal Parlimen.

  • ‘Rasuah, 1MDB bukan isu basi’ – Chegu Bard

    ‘Rasuah, 1MDB bukan isu basi’ – Chegu Bard

    PENGARAH Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan isu kluster mahkamah dan 1MDB sebagai sudah basi.

    Memetik laporan MalaysiaPost, beliau berkata, kes 1MDB dan rasuah yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah ketika ini bukan merupakan isu politik yang boleh ‘basi’, tetapi tentang jenayah pengkhianatan wang rakyat.

    Jelas beliau, perkara itu dapat dilihat menerusi komen rakyat terhadap laporan berita berkenaan termasuk mengecam kenyataan bekas menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan.

    “Semalam Sinar Harian menyiarkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang nyatakan isu berkaitan pendakwaan korupsi pemimpin UMNO sudah basi dan perlu dilupakan atau jangan dilayan.

    “Laporan itu mendapat respon lebih 6,000 komen dan majoriti telah memberi komen yang mengecam kenyataan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

    “Walaupun selepas angka beberapa ribu cubaan cytro pro #klustermahkamah termasuk dengan akaun palsu cuba masuk menyokong namun ia tenggelam dengan ribuan ‘real comments’ mengecam yang masuk menderu,” katanya menerusi Facebook.

    Beliau berkata, ia petanda jelas bahawa rakyat ingin melihat penjenayah yang terlibat dengan skandal 1MDB dan rasuah dihukum serta wang negara dikembalikan.

    Kelmarin, media melaporkan, Mohamad menyifatkan isu kluster mahkamah dan 1MDB yang dibawa oleh pembangkang sudah basi.

    Beliau turut mengambil contoh semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini di mana rakyat di dua negeri berkenaan sudah tidak mempedulikan isu terbabit.

    Katanya, ini disebabkan isu berkenaan sering digunakan oleh pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH).

    “Orang dekat Johor, Melaka tak peduli lagi dah 1MDB. Bahkan orang menderu berkerumun (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.

    “Orang dah tak kisah lagi, cerita dah basi dah. Cerita orang kata terlampau digunakan,” katanya.

  • Perjanjian PM-PN: Hamzah jumpa Ismail Sabri esok

    Perjanjian PM-PN: Hamzah jumpa Ismail Sabri esok

    SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” antara Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri.

    “InsyaAllah saya akan bertemu dengan perdana menteri esok hari,” kata Hamzah yang juga setiausaha agung PN dipetik berkata dalam laporan Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan “Aviation Against Trafficking In Persons Conference”.

    Pada 28 Jul, PN menyatakan kekecewaan mereka terhadap Ismail Sabri kerana dilihat “tidak bersungguh” memenuhi “terma penting” itu, yang menyokong beliau menjadi perdana menteri.

    Hamzah dalam kenyataan berkata, PN mahu menghantar wakilnya untuk bertemu Ismail bagi membincangkan pelaksanaan “terma-terma perjanjian” dalam masa terdekat.

    Sebelum ini didedahkan bahawa Ismail Sabri menandatangani perjanjian dengan PN sebelum naib presiden UMNO itu dilantik sebagai perdana menteri ke-9 pada Ogos 2021.

    Menurut salinan perjanjian yang dibocorkan baru-baru ini, jawatan timbalan perdana menteri telah dijanjikan kepada tonggak PN, Bersatu.

    Pada 2 Jul, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah bertemu dengan Ismail untuk membincangkan pelantikan politik, termasuk jawatan timbalan perdana menteri, seperti yang dipersetujui sebelum ini apabila gabungan itu memutuskan untuk menyokong kerajaan Ismail.

    Beliau juga berkata, pelantikan timbalan perdana menteri adalah antara syarat perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.