Category: Politik

  • UMNO tak dapat jadi kerajaan tanpa sokongan PN – Hamzah

    UMNO tak dapat jadi kerajaan tanpa sokongan PN – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi amaran kepada pemimpin UMNO yang menggesa pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan bahawa parti itu tidak dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan Perikatan Nasional (PN).

    Memetik laporan Free Maaysia Today beliau menegaskan, PN tidak akan teragak-agak “mengambil alih kuasa”, sekiranya gesaan dari UMNO untuk mengadakan PRU-15 lebih awal berterusan.

    Beliau mengingatkan mereka yang meminta PN menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya jangan sombong dan angkuh.

    “Dia naib presiden parti itu pun boleh jadi perdana menteri. Bukan presiden mereka, bukan timbalan presiden mereka, tetapi naib presiden mereka. Mana mungkin naib presiden boleh jadi perdana menteri tanpa sokongan PN?

    “Jadi yang angkuh ini pasal apa? Sudah engkau kira betul-betulkah?Sudah engkau buat bancian yang betul-betul?

    “Kalau strategi kita mengena, insya Allah mereka tidak boleh menang lebih daripada 50 kerusi. Yang konon-kononnya nak mencabar kita pasal apa?” katanya ketika menghadiri perasmian Persidangan Bersatu Wilayah Persekutuan.

    PRU-15 perlu diadakan menjelang September tahun depan, tetapi terdapat pemimpin UMNO yang mendesak ia disegerakan tahun ini susulan kemenangan mereka dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.

    Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Oktober atau awal November adalah masa sesuai untuk mengadakan PRU-15 kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum Parlimen dibubarkan.

    Beliau turut mencadangkan pembentangan bajet diawalkan bagi mengelak PRU diadakan sekitar hujung November dan Disember kerana musim banjir.

    Jun lalu, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa ini sesuai untuk mengadakan PRU15 kerana sokongan pengundi muda sudah kembali kepada BN berdasarkan keputusan PRN di Sarawak, Melaka dan Johor.

  • Campuran orang lama, baharu ramuan kukuhkan Bersatu

    Campuran orang lama, baharu ramuan kukuhkan Bersatu

    SETIAP ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa tidak membezakan orang lama dan baharu kerana ia ramuan yang memperkukuhkan parti itu.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, terdapat pihak yang membezakan ahli Bersatu sejak penubuhannya pada 2016 dan pemimpin seperti beliau yang hanya masuk pada 2018.

    “Siapa pula yang meletakkan garis pemisah antara yang baharu dan lama. Sebenarnya, bila-bila (masa) masuk (Bersatu) itu adalah orang parti kita.

    “Jangan biarkan sesiapa pun memecahkan kita. Kalau musuh dari luar itu memang kerja dia,” katanya di Facebook sebagaimana lapor Free Malaysia Today.

    Wan Saiful berkata, terdapat juga pihak yang mempertikaikan kemasukan sekumpulan ahli selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seperti Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

    “Selepas PRU14, ada lagi kelompok-kelompok yang masuk bersama Hamzah. Ramai yang menyertai kita daripada UMNO.

    “Tidak berapa lama, datang pula kelompok dari PKR, Azmin. Ini semua patut dianggap ramuan perkukuhkan (parti),” katanya.

    Beliau bagaimanapun sedih dan bimbang dengan sikap sesetengah pihak yang membeza-bezakan orang baharu dan lama kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

  • Wan Saiful mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu pada PRU-15

    Wan Saiful mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu pada PRU-15

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Saya bersedia untuk bertanding di kerusi itu sekiranya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

    “Sebagai ahli Bersatu di Kubang Pasu, saya akan bantu jentera Bersatu di Kubang Pasu dan sudah tentu minat saya di Parlimen itu.

    “Bagaimanapun, keputusan akhir perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti kerana mereka mungkin mempunyai calon yang lebih baik daripada saya sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perjumpaan tertutup Penerangan Bersatu di Marang, hari ini.

    Katanya, kerusi Parlimen itu sebelum ini dimenangi Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang bertanding atas tiket Bersatu sebelum melompat ke Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Apabila masuk Pejuang katanya, maka kerusi berkenaan sepatutnya dikekalkan sebagai kerusi Bersatu.

    “Walaupun begitu, penentuan calon di Parlimen akan dibincangkan dengan Pas serta rakan-rakan daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN),” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada PRU-14 lalu, Amiruddin memenangi Parlimen Kubang Pasu dengan majoriti 13,009 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Baharom yang mendapat 16,975 undi manakala calon Pas, Norhafiza Fadzil (13,375 undi).

    Pada pilihan raya itu juga, Wan Saiful tewas di Parlimen Pendang selepas kecundang kepada calon Pas, Awang Hashim.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Bersatu akan turut mempertahankan empat kerusi parlimen iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu dan Sri Gading yang dimenangi atas tiket Bersatu pada PRU-14.

  • Anthony Loke cuba raih undi Melayu – Mahathir Rais

    Anthony Loke cuba raih undi Melayu – Mahathir Rais

    KENYATAAN Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan kerjasama antara parti tersebut dengan UMNO boleh dicapai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah satu cubaan dalam meraih undi.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd. Rais berkata, kenyataan Anthony Loke itu hanyalah satu strategi untuk menarik undi masyarakat Melayu dalam pilihan raya akan datang.

    “Apa yang kita lihat sekarang ini parti DAP seolah-olah sedang menggunakan strategi untuk mengambil hati orang-orang Melayu.

    “Saya berpandangan kenyataan daripada Setiausaha Agung DAP ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga menyebabkan wujud tanggapan bahawa tidak mustahil kerjasama antara kedua-dua parti ini dapat termeterai selepas PRU-15,” katanya memetik laporan SatuBerita, hari ini.

    Jelas Mahathir, penerimaan UMNO untuk menjalinkan kerjasama ini boleh dianggap sebagai satu pengkhiantan yang dilakukan parti tersebut dalam perjuangan orang Melayu di negara ini.

    “Rakyat khusunya orang Melayu tahu bahawa DAP tidak pernah menerima hakikat demografi dan sejarah penubuhan Malaysia.

    “Jadi, sekiranya kerjasama kedua-dua parti ini termeterai, selepas ataupun sebelum PRU-15, ini secara sahnya akan membuatkan UMNO mengiktiraf serta menyempurnakan pengkhianatan mereka kepada orang Melayu,” katanya.

    Isnin lalu, FMT melaporkan bahawa Anthony Loke mengeluarkan kenyataan yang tidak menolak kemungkinan penubuhan kerjasama antara DAP dan UMNO selepas PRU-15.

    Kata Ahli Parlimen Seremban itu, ketidak tentuan dalam landskap politik negara membangkitkan kemungkinan tersebut, lebih-lebih dengan ketiadaan parti tunggal dominan.

    Mengulas lanjut, Mahathir juga tidak menolak terdapat kemungkinan berlakunya perbincangan antara kedua-dua parti tersebut mengenai kerjasama mereka.

    “Kedua-dua parti telah memberi gambaran bahawa mereka tidak mustahil akan dapat bekerjasama.

    “Maka, mungkin ada satu rancangan mahupun satu perbincangan telah diadakan di belakang tabir yang mungkin kita tidak tahu, tetapi naratif sedia ada seolah menunjukkan perkara ini menuju ke arah (kerjasama) itu,” katanya.

  • Tanding di Tambun: Anwar mungkin bimbang ditolak pengundi Port Dickson

    Tanding di Tambun: Anwar mungkin bimbang ditolak pengundi Port Dickson

    TINDAKAN Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mencari kerusi selamat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mungkin didorong rasa bimbang akan ditolak pengundi Parlimen Port Dickson.

    Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya kebimbangan berkenaan menyebabkan Anwar menimbang kemungkinan bertanding di kerusi dimenanginya pada PRU lalu.

    Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu secara sinis juga berkata, Anwar kini mengintai kerusi Parlimen baharu kerana beliau telah menyelesaikan semua masalah penduduk Permatang Pauh dan Port Dickson.

    “Mungkin mereka (PKR) berpandangan bahawa Permatang Pauh dan Port Dickson telah membangun dengan amat hebat, tiada lagi masalah rakyat yang perlu dibantu.

    “Ataupun, beliau bimbang ditolak di tempat sendiri maka pilihan yang lebih selamat adalah dengan menjadi Ahli Parlimen nomad (berpindah-randah),” kataya memetik laporan Malaysiakini.

    Semalam, Anwar yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh mengesahkan sedang mempertimbangkan cadangan supaya beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

    Anwar turut berkata, cadangan itu telah diusulkan kepadanya namun keputusan belum lagi boleh diputuskan kerana fokus parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.

    “PKR bahagian Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” kata Anwar yang juga ketua pembangkang.

    Oktober lalu, Ketua PKR Bahagian Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan mahu memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi berkenaan dan keputusan itu juga dikatakan dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi mesyuarat agung tahunan bahagian sebelum ini.

    Pada PRU-14, Ahmd Faizal menang kerusi Tambun di bawah tiket Pakatan Harapan dan menewaskan penyandangnya Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah daripada BN dengan majoriti 5,320 undi.

  • Pas rugi bersama Bersatu? Khairuddin yang rugi tinggalkan Pas

    Pas rugi bersama Bersatu? Khairuddin yang rugi tinggalkan Pas

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Khairuddin Aman Razali selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyifatkan parti itu rugi meninggalkan Muafakat Nasional (MN) untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

    Enggan mengulas lanjut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata:

    “Sebenarnya Khairuddin itu yang rugi tinggalkan Pas…tolong beritahu kat dia,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Laman Watani Yayasan Wakaf Malaysia, di Putrajaya pada Jumaat.

    Khairuddin pada Mac lalu mengumumkan keluar daripada parti itu selepas 33 tahun menyertainya.

    Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu bagaimanapun enggan mendedahkan alasan berhubung pendiriannya itu, selain menegaskan beliau akan menjadi ahli Parlimen bebas.

    Meskipun dilihat lebih mesra UMNO, Khairuddin mengambil sikap ‘kunci mulut’ berhubung status dan perancangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menerusi laporan portal pada Khamis, Khairuddin berkata, jika Pas meninggalkan UMNO untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ia tidak membawa sebarang keuntungan seperti terbukti ketika gabungan itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    “Pandangan saya, merugikan (tinggalkan UMNO) kerjasama dengan Bersatu, tetapi saya kena berkecuali juga…itu hak Pas dan hak Presiden Pas untuk berijtihad dengan cara dia,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Naib Pengerusi MPN PKR Sabah keluar parti, dakwa kecewa dengan Anwar

    Naib Pengerusi MPN PKR Sabah keluar parti, dakwa kecewa dengan Anwar

    KECEWA dengan Presiden parti, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk John Ghani mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar parti.

    Menurutnya, keputusan itu diambil kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan pusat sebelum ini.

    Malah memburukkan rasa tidak puas hati pemimpin itu ialah tindakan menggantikan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Christina Liew dengan Datuk Sangkar Rasam beberapa hari lepas.

    “Perkara pertama berkenaan dengan menandatangani MoU Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim sendiri sebagai ketua pembangkang buat MoU dengan kerajaan.

    “Tidak ada manfaat kepada parti. Tidak ada dalam sejarah, sebuah parti pembangkang yang begitu ditakuti dan digeruni begitu kuat oleh kerajaan menandatangani MoU dengan kerajaan.

    “Apabila kita menandatangani MoU dengan kerajaan, maknanya kita sebahagian daripada kerajaan. Apa masalah-masalah melibatkan kerajaan sudah tidak wujud lagi”, katanya menerusi laporan yang dipetik Astro Awani.

    John berkata, tindakan Anwar menggantikan Christina Liew dengan Sangkar Rasam sebagai pengerusi baru MPN PKR Sabah di saat PRU-15 semakin hampir merupakan langkah yang kurang tepat selain memecahkan kesatuan parti itu.

    “Anwar sendiri tahu masalah PKR Sabah. Kem YB Christina, Raymond dan Sangkar sedang bersaing.

    “Kita berharap kedatangan Anwar itu untuk menyelesaikan masalah tapi tidak, dia lepaskan Christina sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah, dan lantik Datuk Sangkar sebagai pengerusi baru.

    “Untuk menukar pemimpin boleh tapi tidak sesuai pada waktu ini di mana kita mahu menghadapi pilihanraya.

    “Sepatutnya dia (Anwar) datang ke sini menyatukan kami semua, bukan memecahkan. Dia memecahkan kami semua”, beliau berkata.

    Veteran PKR berusia 72 tahun itu menambah, penggantian Christina kepada Rasam berpotensi menyebabkan PKR kehilangan kerusi parlimen di Tawau dan kerusi DUN Api-Api.

    “Ya, seperti yang berlaku di Semenanjung. Ini sepatutnya jadi satu pengajaran tapi saya tidak tahu apa terjadi kepada dia (Anwar)”, tambah John.

    John sebelum ini juga pernah memegang jawatan Naib Presiden PKR di dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas posisi itu ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Lajim Ukin.

    Berjuang selama 16 tahun bersama PKR, Johm belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.

  • Skandal LCS: Pemimpin bersih UMNO bakal ‘dihukum’ pada PRU-15

    Skandal LCS: Pemimpin bersih UMNO bakal ‘dihukum’ pada PRU-15

    BARISAN Nasional (BN) termasuk seluruh pemimpin UMNO yang berimej bersih berisiko menerima ‘hukuman’ daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Hal ini kerana skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan keselamatan negara dilihat memberi impak lebih besar berbanding isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Memetik laporan Sinar Harian, Penganalisis Politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, seluruh kepimpinan UMNO akan menerima tempias meskipun skandal LCS melibatkan segelintir pemimpin UMNO dan kroni.

    “Jika UMNO masuk PRU sekarang, maka seluruh UMNO termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang tidak terlibat dalam skandal ini akan dihukum pengundi yang marahkan seluruh UMNO kerana melihat ini sebagai 1MDB 2.0 yang lebih besar dan lebih menjahanamkan keselamatan negara.

    “Untuk menyelamatkan diri, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seperti yang dicadangkan oleh Pemuda UMNO juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan DAP perlu ditubuhkan,” katanya kepada Sinar Harian.

    Tambah beliau, bagaimanapun sekiranya RCI ditubuhkan sekalipun, ia tidak cukup membuktikan kesungguhan UMNO membersihkan diri daripada rasuah, tetapi reformasi penyiasatan dan pendakwaan yang bebas daripada campur tangan kerajaan perlu dilakukan.

    “Jabatan Pendakwa raya yang dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di bawah Parlimen, bukannya Perdana Menteri mesti diwujudkan.

    “UMNO mesti menunjukkan kesungguhan untuk membersihkan diri daripada barah-barah rasuah. Dengan reformasi ini, UMNO dapat berdiri teguh sebagai parti patriotik dan bukan parti perasuah yang dengan mudahnya boleh dilabel sebagai pengkhianat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jangkaan nasib yang bakal dihadapi UMNO pada PRU15 memandangkan isu LCS sedang meledak di pelbagai platform media sosial sama seperti isu 1MDB.

    Sementara itu, penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun pula berkata, peluang UMNO untuk menang akan lebih terjejas jika PRU15 terus ditangguh.

    “Isu LCS ini menjadi satu lagi sebab mengapa UMNO perlu mendesak supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

    “Jika dibiarkan lebih lama, bukan sahaja skandal LCS ini akan memburuk, tetapi ekonomi juga akan menjadi lebih teruk, jadi peluang UMNO (untuk menang) akan menjadi lebih teruk,” katanya.

  • Kerjasama PH-UMNO selepas PRU-15 tidak timbul – Anwar

    Kerjasama PH-UMNO selepas PRU-15 tidak timbul – Anwar

    TIDAK timbul soal Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) seperti yang dikatakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    Demikian penegasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak di Ipoh hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, Anwar memberitahu, jika dibaca konteks ucapan Anthony, perkara itu tidak sampai membawa pada kerjasama tersebut.

    Beliau menjelaskan, kenyataan Anthony tempoh hari merujuk pada kemenangan PRU15 adalah atas nama PH, namun, seandainya keadaan selepas PRU15 rumit dan gawat, maka beliau tidak menolak kemungkinan yang akan berlaku.

    “Tapi jawapan saya, kita nak berdepan dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan yang padu dengan keyakinan untuk menyelamatkan negara dan merayu kepada rakyat teruskan dokongan yang berlaku pada tahun 2013, 2018 dan sekarang apatah lagi,” kata Presiden PKR itu lagi.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan, PH perlu memasuki pertandingan dan seterusnya menang dengan bergaya.

    Pada Isnin, dalam temu bual bersama sebuah portal, Anthony berkata, DAP tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan UMNO kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

    Kata Anthony, politik Malaysia telah mengalami perubahan drastik sejak pilihan raya umum 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU15.

  • PRU-15 pilihan raya paling sengit – DAP

    PRU-15 pilihan raya paling sengit – DAP

    PERSAINGAN lebih tiga penjuru yang terdiri daripada pelbagai gabungan parti politik menjadikan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sebagai pilihan raya paling sengit kerana peralihan undian yang sukar untuk diramalkan.

    Memetik Free Malaysia Today, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, senario pada masa ini sudah berubah jika dibandingkan dengan gabungan yang paling kuat, iaitu Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mempunyai simpanan tetap di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.

    “Tapi sekarang, BN tak ada di Sabah dan Sarawak lagi dah. Daripada 14 parti, kini tinggal empat parti sahaja. Lepas PRU14, BN dah pecah dah. Parti-parti Sarawak keluar sendiri dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Di Semenanjung, kita ada tiga gabungan besar, iaitu BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Jangan lupa PN ini sebahagian daripada kerajaan hari ini dan mempunyai kelebihan dengan partinya Bersatu dan PAS yang memegang banyak negeri,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

    Loke memaklumkan, keadaan itu bertambah sengit lagi dengan Warisan yang ingin masuk bertanding di kawasan Semenanjung serta Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Macam mana undi itu akan beralih? Kita tak tahu lagi, tidak ada sesiapa yang akan tahu. Sekarang semua pihak yang hanya membuat ramalan sahaja. Sehingga hari pengundian baru boleh buat analisa.

    “Dalam konteks persaingan pelbagai penjuru ini, undi akan pecah-pecah. Sesiapa yang dapat undi tertinggi walaupun bukan majoriti dia akan menang. Yang dapat 30 peratus undi itu dah boleh menang.” katanya.