Category: Politik

  • Bersatu Hulu Selangor mahu Khairul Azhari jadi calon di Batang Kali

    Bersatu Hulu Selangor mahu Khairul Azhari jadi calon di Batang Kali

    BEBERAPA jam menjelang pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) malam ini, Bersatu Hulu Selangor membuat “tuntutan akhir” kepada pucuk pimpinan parti supaya meletakkan Khairul Azhari Saut sebagai calon PRN di Batang Kali.

    Tuntutan dibuat susulan spekulasi bekas ahli jawatankuasanya Muhammad Muhaimin Harith bakal dipilih calon PN di kerusi terbabit, yang bukan dicadangkan bahagian itu.

    Ketua Bersatu Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor, berkata bahagian itu sebulat suara menyokong Khairul yang juga timbalannya memadangkan beliau antara orang lama parti dan bekerja keras untuk mengukuhkan parti.

    “Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan rakan komponen PN dan pengundi bukan Melayu yang memberi kelebihan jika beliau dicalonkan pada PRN.

    “Saya berharap pihak pimpinan tertinggi mendengar dan mengambil kira pandangangan Bersatu Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT

    Semalam FMT melaporkan kekecewaan Bersatu Hulu Selangor terhadap pucuk pimpinan parti kerana meminggirkan peranannya dalam memutuskan calon PN di DUN Batang Kali pada PRN 12 Ogos ini.

    Menurut Anuar, rasa tidak puas hati itu menyebabkan ada ahli mengugut mahu menutup jentera dan meluahkan kemarahan di media sosial dengan memuat naik gambar mereka membakar dan memijak bendera PN.

    PN akan mengumumkan calon PRN Selangor di padang awam MBPJ Taman Medan, 8 malam ini.

    Pada PRU14 DUN Batang Kali dimenangi wakil Bersatu Harumaini Omar, namun beliau keluar parti susulan Langkah Sheraton dan menyertai Pejuang.

  • Ahli seumur hidup DAP persoal mengapa Guan Eng masih bertanding PRN

    Ahli seumur hidup DAP persoal mengapa Guan Eng masih bertanding PRN

    SEORANG ahli seumur hidup DAP, M. Kogilan mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung tindakan menggugurkan beberapa penyandang DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kononnya kerana parti perlu melakukan pembaharuan.

    Menurut Kogilan yang juga Ahli Jawatankuasa DAPSY Pulau Pinang, sekiranya itu alasan yang diberikan, maka mengapa Anthony atau Jawatankuasa Pencalonan Kebangsaan tidak mengugurkan nama Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

    Sambil meluahkan rasa kecewa, beliau berkata, Guan Eng juga ialah orang lama yang bertanding sejak sekian lama pada PRN tau Pilihan Raya Umum (PRU) atas tiket parti DAP.

    “Adakah Pengerusi Kebangsaan DAP tidak mempunyai niat untuk memberi peluang kepada muka baharu atau anak muda untuk bertanding dalam PRN atau PRU.

    ”Saya sebagai ahli DAP amat kecewa dengan senarai nama calon DAP Pulau Pinang.

    ”Pemimpin yang bekerja keras untuk rakyat Pulau Pinang telah diketepikan dan meletakkan calon yang tidak kenali oleh penduduk kawasan itu,” katanya.

    Semalam, Anthony mengumumkan 19 nama calon yang akan bertanding mewakili parti itu dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, tujuh penyandang digugurkan DAP antaranya Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy serta empat Exco kerajaan negeri lain iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).

    Turut digugurkan ialah M. Satees (Bagan Dalam) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

  • ’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

    ’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

    SEORANG  bekas ADUN DAP di Pulau Pinang yang digugurkan daripada PRN bulan depan mendakwa “seseorang” menjadikan negeri itu seperti harta persendirian mereka.

    Bekas  ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy menyamakan “seseorang” itu dengan maharaja dan mendakwa individu itu diberikan hak penuh untuk menentukan senarai calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.

    “Mereka kata (alasan beberapa bekas ADUN digugurkan demi) pembaharuan, darah baharu dan lain-lain. Alasan sebenar ialah seorang individu mahu mengawal Pulau Pinang.

    “Malah, DAP negeri tiada kata putus langsung. Semua rakyat Pulau Pinang tahu ia keputusan seorang individu. Ada orang jadikan Pulau Pinang seperti harta bapanya,” katanya pada sidang media di Butterworth, lapor FMT.

    Semalam, DAP mengumumkan 19 calon bagi PRN Pulau Pinang, dengan tujuh bekas Adun digugurkan dan lima daripadanya adalah exco negeri.

    Selain seorang digugurkan atas alasan perubatan, Satees mendakwa beliau dan lima lagi tidak dicalonkan kerana mereka tidak berada dalam kem “maharaja”.

    Beliau turut mendakwa mereka digugurkan kerana lantang menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

    “Itu harga yang kami perlu bayar untuk menyokong seorang lelaki baik.”

    DAP turut menggugurkan Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy dan Exco Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin serta Soon Lip Chee bagi PRN bulan depan.

    Bekas ADUN Pulau Tikus, Chris Lee menarik diri atas sebab kesihatan.

    Satees mempertahankan prestasinya sebagai ADUN dengan berkata, beliau aktif turun padang dan menyertai banyak perbahasan penting di DUN.

    Sebagai pembantu Ramasamy, katanya, beliau tidak tahu dakwaan Ramasamy menemui Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

    Satees berkata, ancaman lebih besar kepada Pulau Pinang bukanlah sokongan “gelombang hijau” kepada PN, tetapi “maharaja” itu sendiri.

    Katanya, beliau tidak bercadang menemui Muhyiddin, tetapi sedia “bekerja dengan sesiapa saja yang mengutamakan kepentingan Pulau Pinang”.

  • 15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

    15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

    KIRA-kira 15 Ketua Cawangan Amanah di Paroi, Negeri Sembilan, memberi isyarat untuk tidak akan keluar mengundi pada 12 Ogos nanti, jika parti itu tidak menukar calon pilihan yang diumumkan sebelum ini.

    Mereka membantah pencalonan Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dan mahu penyandangnya Mohamad Taufek Abd Ghani dikekalkan.

    “Kami memang tak dapat terima Norwani dan sekiranya bukan YB Taufek dipilih sebagai calon, saya tidak akan keluar mengundi. Kalau dia (Norwani) yang bertanding DUN Paroi, saya tak tahu macam mana dia nak menang,” kata Ketua Cawangan Amanah Bandar Seremban Selatan, M Kalai Selvan yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, beliau juga tidak kisah dipecat daripada parti kerana lantang bersuara mengenai pendirian akar umbi. 

    Katanya, apa dilakukan adalah jalan akhir bagi memastikan kepimpinan parti membuat perubahan calon dalam tempoh berbaki empat hari sebelum penamaan calon.

    Ketua Amanah Taman Sri Kasih, Mokhtar Hassan turut senada dengan Kalai Selvan dan menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan protes.

    “Saya boleh katakan Norwani sebagai seorang ketua yang tidak mengambil berat terhadap ketua cawangannya. Malah kewibawaannya dalam DUN Paroi tidak memuaskan sedangkan YB Taufek sudah dikenali dan menunjukkan prestasi baik,” kata Mokhtar.

    Ini bukan kali pertama pemilihan calon pilihan raya PH menjadi isu di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, ADUN Ampangan Mohamad Rafie Abdul Malek membidas kepimpinan PKR berhubung keputusan tidak mencalonkannya bagi mempertahankan kerusinya pada PRN 12 Ogos ini.

    Menurut Rafie yang juga Exco Kerajaan Negeri, umum mengetahui beliau bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan itu dan membangunkan negeri secara amnya.

    Beliau kemudian menuduh “individu tertentu” berusaha  untuk menyingkirkannya daripada pentadbiran Negeri Sembilan.

    Rafie, yang juga Timbalan Ketua Cawangan PKR Seremban, memenangi kerusi Ampangan pada 2018. PKR mengumumkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman akan bertanding pada PRN kali ini.

  • Zahid minta sayap ‘lebih ikhlas’ hadapi PRN – sumber 

    Zahid minta sayap ‘lebih ikhlas’ hadapi PRN – sumber 

    SETELAH mengalami kekalahan teruk pada PRU ke-15 lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan sayap parti itu bahawa pilihan raya negeri (PRN) akan datang merupakan peluang terakhir mereka untuk bangkit semula.

    Portal Malaysiakini melaporkan, sumber parti itu memberitahu  semasa mempengerusikan suatu mesyuarat semalam Timbalan Perdana Menteri itu juga meminta ketiga-tiga sayap UMNO supaya “lebih ikhlas” mengharungi PRN tidak lama lagi.

    Katanya Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Induk BN sempena bagi PRN di enam negeri nanti.

    “Presiden memberitahu, sumbangan sayap kepada parti khususnya dalam PRN ini tidak begitu memberangsangkan,” katanya yang turut hadir dalam mesyuarat itu di Kuala Lumpur.

    Menurut sumber itu lagi, Ahmad Zahid mengarahkan jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO memberi laporan yang sebenar mengenai situasi di lapangan kepada puncuk pimpinan.

    Katanya, Ahmad Zahid menekankan perkara itu kerana maklumat yang tepat diperlukan jika mereka mahu melihat UMNO kembali mendapat sokongan ramai.

    “Beliau juga berkata sayap UMNO tidak lagi boleh berfungsi dengan cara konvensional, iaitu terlalu fokus kepada jentera, tetapi rakyat atau pengundi diabaikan,” katanya.

    Setelah lebih dua abad menjadi seteru politik, UMNO akan bekerjasama buat kali pertama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya. PRN pada 12 Ogos ini akan melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. UMNO akan bertanding 108 kerusi di enam negeri menggunakan logo BN.

    Sumber UMNO itu juga memberitahu Malaysiakini semasa mesyuarat semalam, Ahmad Zahid meminta jentera sayap parti menukar cara berkempen.

    “Beliau bertegas bahawa parti tidak akan lagi memberi peruntukan yang besar kepada sayap seperti sebelum ini. Presiden kemudian membandingkan keadaan jentera PH yang jauh lebih kecil dari segi bantuan kewangan dan sumber manusia, tapi masih mampu menarik pengundi lebih banyak berbanding UMNO,” katanya.

  • Kumpulan peguam dakwa Fahmi salah guna kuasa isu poster tular

    Kumpulan peguam dakwa Fahmi salah guna kuasa isu poster tular

    SEBUAH kumpulan peguam hari ini mendakwa Fahmi Fadzil menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri dalam mengarahkan laporan dibuat kepada sebuah agensi di bawah bidang kuasanya berhubung poster yang menuduhnya mengarahkan penyokong kerajaan mencipta naratif jahat untuk menyalahkan PAS dalam isu pembatalan Festival Good Vibes 2023 baru-baru ini.

    Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan berkata tindakan itu adalah “konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa yang jelas bahawa seorang menteri mengarahkan atau menggerakkan pihak berkuasa di bawahnya untuk melakukan siasatan ke atas poster yang dikatakan fitnah terhadap dirinya”.

    Pengarah LFL Zaid Malek menambah bahawa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi.

    “Memandangkan menteri sendiri yang memulakan perkara itu secara terbuka, ia memberi tekanan yang tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan dan menjejaskan keadilan siasatan. Ini sepatutnya difahami dengan jelas oleh Fahmi,” katanya lampor MalaysiaNow.

    Poster yang tular di media sosial itu mendakwa Fahmi memberi arahan supaya PAS diketengahkan sebagai parti ekstremis dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan yang dilakukan selepas meluluskan permit kepada kumpulan rock dari UK, The 1975, untuk membuat persembahan di Malaysia. 

    Fahmi berkata pada 24 Julai lalu KKD mengarahkan agar laporan dibuat mengenai perkara itu kepada SKMM dan polis. 

    Zaid berkata, sebagai menteri, Fahmi bertanggungjawab menegakkan hak kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan dan memuhasabah dirinya daripada “menggunakan kuasa untuk menafikan hak ini”.

    “Beliau tidak boleh sesuka hati menggunakan pihak berkuasa di bawah bidang kuasanya untuk menundukkan pengkritik politiknya kepada siasatan jenayah. 

    “Fahmi tidak mempunyai keistimewaan untuk terlepas daripada kritikan atau menggunakan jentera kerajaan untuk membersihkan namanya sendiri,” katanya.

    Tambahnya, Fahmi bebas memfailkan saman sivil kerana memfitnah mereka yang bertanggungjawab ke atas poster itu.

    Zaid berkata tiada asas undang-undang untuk melibatkan pihak penguat kuasa bagi membersihkan dakwaan yang dibuat terhadap menteri itu.

    “Sememangnya, terdapat bau Stalinisme mengenai perlakuan menteri seperti ini. Badan penguatkuasaan tiada urusan yang mengganggu ‘kecederaan’ kepada ‘imej’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Dalam semua keadaan, imej kerajaan bukanlah alasan yang wajar untuk mengehadkan kebebasan bersuara dalam apa jua cara sekali pun,’’ katanya.

  • ‘’Kalau saya curi duit, tunjuk la bukti’’ – Mahathir cabar Anwar

    ‘’Kalau saya curi duit, tunjuk la bukti’’ – Mahathir cabar Anwar

    BEKAS  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menuduh tetapi enggan mendedahkan bukti apabila diminta.

    Kata Dr Mahathir, Ahli Parlimen Tambun itu perlu menunjukkan bukti-bukti kukuh dan bawa pada perbicaraan di mahkamah sekiranya ingin mendakwa beliau mencuri wang atau harta daripada rakyat.

    “Dia kata dia ada bukti berkotak-kotak, tulisan-tulisan bukti pun ada. (Anwar kata) akan tunjuk tetapi bila saya minta tunjuk dia kata tidak boleh, rahsia. Kalau awak ada (bukti) tunjuk la pada saya. Tunjuk (bukti) saya curi duit sebab kita tahu ada orang curi duit, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dimasukkan di dalam penjara. Kalau saya curi duit, tunjuk (bukti) secara terang yang saya curi duit, boleh bawa saya pergi mahkamah adakan perbicaraan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika di Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk malam tadi.

    Pada Isnin, media melaporkan Anwar memberi amaran kepada seorang pemimpin politik sama ada memulangkan semula harta yang didakwa dicuri atau bersedia untuk disiasat.

    Perdana Menteri itu berkata, beliau akan mengarah pihak berkuasa untuk menyiasatnya sekiranya pemimpin tersebut gagal berbuat demikian.

  • PRN: Guan Eng pertahan kerusi,Ramasamy digugurkan di Pulau Pinang

    PRN: Guan Eng pertahan kerusi,Ramasamy digugurkan di Pulau Pinang

    DAP hari ini mengumumkan 19 calon termasuk tujuh muka baru yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan depan, dengan Timbalan Ketua Menteri Prof Dr P. Ramasamy tidak tersenarai.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang membuat pengumuman itu memaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dan Air Putih.

    Turut akan mempertahankan kerusi masing-masing adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam kerajaan sebelum ini iaitu Zairil Khir Johari (Tanjung Bunga) dan Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat).

    Muka baharu yang diumumkan Loke adalah  Phee Syn Tze untuk DUN Sungai Puyu, Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal), Kumaran Krishnan (Bagan Dalam), Sundarajoo Somu (Perai), Wing Yuee Harng (Pengkalan Kota), Woo Sze Zeng (Pulau Tikus) dan Tan Hooi Peng (Seri Delima).

    Selain Ramasamy, antara yang turut digugurkan adalah Ketua Wanita DAP Chong Eng, lapor Bernama.

    Sementara itu, penyandang Pengkalan Kota Gooi Zi Sen dan penyandang Bukit Bendera Wong Hon Wai masing-masing dicalonkan semula untuk kerusi DUN Padang Lalang dan Paya Terubong.

    “Saya menyeru jentera parti untuk bersatu supaya ada kekuatan untuk berhadapan dengan sebarang cabaran serta mengekalkan 19 kerusi sebagai KPI (petunjuk prestasi utama) kita pada PRN akan datang. Misi kita adalah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya Kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dan sekiranya boleh, tambah satu atau dua lagi kerajaan negeri,” kata Loke dalam ucapannya.

    Katanya, jika misi ini dapat dicapai, beliau yakin negara akan menjadi semakin stabil di bawah Kerajaan Perpaduan dan sekali gus menjadikan Pulau Pinang terus maju ke hadapan.

    Selain calon bagi Pulau Pinang, Loke turut mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding bagi PRN Kedah iaitu Teh Swee Leong bagi kerusi DUN Kota Darulaman dan Tan Kok Yew (Derga).

    PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon Sabtu ini.

  • PRN: PN dapat sokongan MIC, pemimpin India dalam pertembungan sengit di Selangor

    PRN: PN dapat sokongan MIC, pemimpin India dalam pertembungan sengit di Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) melancarkan kempen untuk meningkatkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu terutamanya dalam kalangan masyarakat India selepas mendapati sambutan menggalakkan terhadap ceramahnya serta beberapa tinjauan prapilihan raya yang meramalkan kemenangan gabungan itu di Selangor.

    Ia merupakan satu langkah yang mungkin memberi sokongan kritikal daripada kaum minoriti memihak kepada gabungan itu.

    Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali pada Ahad melancarkan Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) bagi kawasan Selangor Utara, yang akan diketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi MIC KR Parthiban.

    Selangor Utara adalah tempat di mana beberapa pertembungan sengit antara Pakatan Harapan (PH)-UMNO dan PN, berikutan kejayaan besar mereka di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

    Difahamkan, sekretariat itu dianggotai oleh aktivis MIC dari Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Hulu Selangor.

    “PN memberi jaminan bahawa anak-anak orang India akan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan menikmati pengagihan kek ekonomi dengan adil dan saksama,’’ katanya.

    Orang India membentuk kira-kira 13% daripada penduduk Selangor, dan sebelum ini memainkan peranan penting dalam menjatuhkan cengkaman Barisan Nasional (BN) selama berdekad di negeri itu. 

    PH yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat yang pada ketika itu turut dianggotai Pas memerintah Selangor sejak 2008 selepas pakatan itu menumbangkan BN dalam pilihan raya pada tahun tersebut. 

    Kali ini, ia akan berganding bahu dengan UMNO, mencerminkan perkongsian baru gabungan itu di peringkat persekutuan. 

    Semalam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin bercakap mengenai peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu.

    “Gelombang ini boleh dilihat di Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Kini, gelombang yang sama terbukti di Selangor dan semakin rancak di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” kata Hamzah. 

    Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, dan oleh kerana itu, ia dilihat sebagai pusat pilihan raya yang akan menyaksikan pengundi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu keluar mengundi pada 12 Ogos untuk memilih kerajaan negeri masing-masing. 

    Dengan 56 kerusi dipertandingkan, sebuah parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 untuk membentuk kerajaan negeri.

    Kedua-dua gabungan, PH dan PN, masing-masing mendakwa mereka boleh meraih majoriti yang diperlukan, dengan kumpulan pemikir PKR meramalkan parti itu mampu menyapu bersih hampir semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

    Namun penganalisis dan pengulas memberi amaran mengenai kebolehpindahan undi yang rendah antara PH dan UMNO dilihat sebagai kunci untuk memastikan kejayaan kedua-dua rakan kongsi itu.

    Awal bulan ini, tinjauan yang diterbitkan oleh ISEAS Perspective, jurnal dari Institut Kajian Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, mendapati 39% pengundi Melayu yang mengundi BN dalam pilihan raya tahun lepas berkata mereka akan mengundi PN pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, manakala hanya 15% daripada mereka berkata mereka akan mengundi PH.

  • ‘’Saya tidak kisah dilabel ‘anti-Semitik’, Dr.Mahathir bidas akhbar pro-Zionis

    ‘’Saya tidak kisah dilabel ‘anti-Semitik’, Dr.Mahathir bidas akhbar pro-Zionis

    TUN Dr Mahathir Mohamad mempertahankan penentangannya terhadap Israel selepas sebuah akhbar pro-Zionis yang berpangkalan di United Kingdom (UK) menyiarkan laporan mengkritik lawatan bekas Perdana Menteri itu ke Britain baru-baru ini di mana beliau berucap pada beberapa acara yang dianjurkan oleh umat Islam tempatan serta badan pemikir politik.

    Sebelum laporan tersebut diterbitkan pada 13 Julai, The Jewish Chronicle, yang dilihat sebagai lidah kepada kerajaan Israel, menghubungi Dr. Mahathir untuk memberikan respons terhadap dakwaan beliau “anti-Semitik” berhubung ulasan bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mengenai Zionisme dan penubuhan negara Israel. 

    Dr. Mahathir dalam jawapannya mengecam akhbar itu, mengatakan ia sengaja menghantar e-mel kepadanya pada saat-saat akhir kerana ia “sebenarnya tidak mahu saya memberikan jawapan”.

    “Saya akan memberikan jawapan saya kepada The Jewish Chronicle,” tulisnya, lapor MalaysiaNow.

    Dalam jawapan enam muka surat yang disiarkan di Facebooknya, Dr. Mahathir menyelar penyokong Israel yang berhujah tanah Palestin adalah milik orang Yahudi. 

    “Tuntutan anda ke atas tanah Palestin adalah kerana seribu atau lebih beberapa tahun dahulu anda tinggal di sana. Tuntutan itu bukanlah asas untuk orang mengambil alih tanah yang kemudiannya didiami oleh orang lain. Orang Melayu kehilangan empat negeri Melayu kepada Thailand, satu kepada Indonesia. Singapura, sebahagian daripada tanah Melayu kini pada dasarnya adalah sebuah negeri kaum Cina yang merdeka.

    “Bekas penduduk dan rakyat negeri-negeri ini, iaitu orang Melayu, tidak menuntut hak untuk menubuhkan negeri milik mereka semata-mata kerana tanah itu pernah menjadi milik mereka,” tulis Dr. Mahathir. 

    Beliau berkata daripada memberikan empati terhadap penderitaan mereka semasa kekejaman Nazi, orang Yahudi kini menindas rakyat Palestin.

    “Dengan segala keangkuhan dan kekejaman anda, bagaimana saya boleh terus bersimpati atas penderitaan anda semasa holokus. Ia adalah simpati yang tidak kena dan sia-sia,’’ katanya katanya sambil memberikan beberapa contoh sejarah di mana tanah yang diambil alih oleh warga asing, termasuk apa yang berlaku di negara ini.

    Dr. Mahathir juga mempertahankan keputusannya pada 1994 untuk mengharamkan Schindler’s List, sebuah filem mengenai holokus, dengan mengatakan ia adalah aksi propaganda untuk meraih simpati dunia. 

    Beliau juga mencabar naratif bahawa enam juta orang Yahudi terbunuh sewaktu holokus.

    “Bagaimana anda dapat menentukan angka yang tepat ini? Ia mungkin lebih; ia mungkin kurang. Jika saya katakan ia adalah empat juta, saya mungkin betul atau saya mungkin salah. Tetapi apa yang penting ialah kekejaman tersebut dilakukan oleh Nazi,’’ katanya.

    Beliau berkata dunia sudah berperang untuk menamatkan kekejaman Nazi. 

    “Itulah yang dunia korbankan untuk menghalang Nazi daripada menindas orang Yahudi. Sekarang anda tidak lagi ditindas. Anda sepatutnya menghargai itu. Tetapi tidak. Anda hanya bercakap tentang holokus, enam juta kematian kaum anda,’’ katanya.

    Dr. Mahathir berkata beliau tidak kisah jika beliau dilabel “anti-Semitik”, mengatakan orang Arab Palestin juga adalah orang Semitik. 

    “Anda adalah anti-Semitik seperti saya. Anda tidak peduli dengan penderitaan orang Arab Semitik.”

    I