Category: Politik

  • ‘Saya takkan lari walau badai taufan melanda’ – Ahmad Faizal

    ‘Saya takkan lari walau badai taufan melanda’ – Ahmad Faizal

    “SAYA tidak akan lari ke mana-mana, saya akan kekal (bertanding) di situ (Parlimen Tambun) walau badai taufan datang melanda,” kata penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Timbalan Presiden Bersatu itu berkata demikian bagi menegaskan pendiriannya yang dijangka berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, selepas gabungan itu mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

    Ahmad Faizal berkata jika PH menamakan Anwar, yang juga presiden PKR sebagai calon perdana menteri, beliau akan membawa dirinya sebagai anak jati yang akan berkhidmat untuk rakyat tempatan.

    “Yang penting bukan sebab Anwar Ibrahim, bukan sebab Peja (Ahmad Faizal). Yang pentingnya adalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Forum Eksekutif Muda Global 2022 (FEMG22) di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini. 

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

    Terdahulu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dalam ucapan penutup FEMG22 berkata beliau berharap agar golongan belia berusia 18 tahun ke atas dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi pada PRU15 ini.

    “Inilah masanya para belia memilih pemimpin yang menerajui pentadbiran negara. Saya percaya para belia cukup matang untuk melaksanakan tanggungjawab ini demi kepentingan serrta masa hadapan yang lebih gemilang.

    “Pilihlah pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan negara di tahap yang tertinggi,” katanya.

    FEMG22 yang menyasarkan belia sektor awam di dalam dan luar negara dianjurkan sebagai platform dua hala antara pemimpin negara dan pemimpin muda sektor awam dalam menyuarakan pandangan bagi mencorak negara pada masa hadapan. – BERNAMA

  • MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Setakat ini Alhamdulillah saya tak tanding Parlimen. Kenapa saya perlu pergi Parlimen?” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau di sini hari ini.

    Spekulasi Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS, dikatakan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus adalah susulan penyebaran poster yang memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Parlimen di Terengganu.

    Sementara itu Ahmad Samsuri berkata rundingan akhir agihan kerusi bagi parti komponen dalam PN untuk PRU15 akan diputuskan dalam satu mesyuarat hari ini, manakala pengumuman calon-calon PN pula dijangka dibuat pada 30 Okt, kecuali Terengganu pada 3 Nov.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • [VIDEO]PRU-15: Radzi calon Perikatan Nasional di Putrajaya

    [VIDEO]PRU-15: Radzi calon Perikatan Nasional di Putrajaya

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

    Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa program Jelajah Prihatin PN di Putrajaya malam tadi sekali gus menjawab spekulasi bertiup sebelum ini.

    “Malam ini sahih, bukan uar-uar, bukan khabar-khabar, tetapi diumumkan oleh pengerusi PN bahawa ini calon kita di Putrajaya,” katanya.

    Kerusi Parlimen Putrajaya kini disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN).

    Pada PRU-14, Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, walaupun Tengku Adnan sudah melakukan pelbagai usaha demi Putrajaya, sekarang masanya untuk melakukan perubahan.

    “Dan perubahan itu mestilah diterajui PN di bawah pimpinan Radzi,” tegas beliau.

    Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu dipilih sebagai menteri pendidikan selepas dilantik sebagai senator.

    Pada PRU-14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh atas tiket Bersatu, tetapi beliau tewas dalam pertarungan tiga penjuru yang dimenangi calon BN, Tan Sri Annuar Musa dengan majoriti 4,625 undi.

    Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan slogan PN untuk PRU15 iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil dengan laungan PN Best! .

    “Ini tagline yang kita akan laungkan pada PRU-15 dan PN Best adalah harapan kita,” katanya.

    PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov ini.

  • PN Terengganu kemuka senarai calon bertanding PRU-15 3 Nov – Rosol

    PN Terengganu kemuka senarai calon bertanding PRU-15 3 Nov – Rosol

    PERIKATAN Nasional (PN) Terengganu akan mengemukakan senarai calon yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 3 November depan.

    Timbalan Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ketika ini agihan kerusi sudah dimuktamadkan dan ia akan diumumkan oleh pimpinan PN Negeri dalam satu sesi pengumuman bulan hadapan.

    “Saya difahamkan PN akan umumkan calon pada 3 November depan.

    “Setakat ini yang saya dimaklumkan Hulu Terengganu calonnya dari Bersatu (beliau),” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Dalam pada itu, Rosol menjelaskan, Bersatu akur kepada keputusan kepimpinan PN Pusat untuk menentukan sama ada akan menggunakan logo Pas atau logo parti calon bertanding.

    Difahamkan tiga negeri dilapor akan menggunakan logo parti Pas bagi setiap calon yang bertanding pada PRU15 walaupun daripada berlainan parti.

    Bersatu merupakan parti komponen dalam PN bersama beberapa parti lain termasuk Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

  • Amirudin-Azmin bertembung di Parlimen Gombak

    Amirudin-Azmin bertembung di Parlimen Gombak

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka bertembung dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan.

    Portal FMT melaporkan, seorang pemimpin PKR Gombak yakin Amirudin yang juga ADUN Batu Caves akan ke Parlimen.

    “Keupayaan dan kemampuan (Amirudin) telah terbukti melalui pencapaian serta rekod cemerlang beliau sebagai ADUN sejak 2008, Exco Belia dan Sukan, dan mutakhir ini sebagai menteri besar,” katanya.

    Menurut sumber itu lagi, PKR Gombak sebulat suara mencalonkan Amirudin untuk kerusi Parlimen itu.

    Terdahulu, Azmin menyatakan beliau akan mempertahankan kerusi itu, selepas tiga penggal mewakili rakyat Gombak.

    Pada PRU 2018, bekas timbalan presiden PKR itu menang dengan majoriti 48,721. Azmin dipecat keahlian pada Februari 2020 atas dakwaan “pengkhianatan terbuka”.

    Gandingan Azmin dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, PAS, dan Barisan Nasional membawa kepada pembentukan kerajaan baharu bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin. Azmin menyertai Bersatu pada Ogos 2020.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, yang juga Bendahari PKR Gombak, Zainol Abidin Mohamed, berkongsi dalm media sosial poster menyatakan Amirudin calon Pakatan Harapan di kerusi berkenaan.

    Katanya, PH membuat keputusan tepat meletakkan Aminudin sebagai calon di situ.

    “Rakyat Gombak sejak 2008 memilih Pakatan Rakyat dan PH dengan kemenangan majoriti yang besar. Itu bukti kukuh bahawa Gombak ini kubu kuat perjuangan reformasi dan PH.

    “Amirudin sosok yang amat sesuai bagi mengembalikan mandat rakyat yang telah dicabuli melalui Langkah Sheraton yang menyaksikan kerusi Parlimen Gombak ini ‘dicuri’ secara khianat tanpa melalui proses demokrasi yang bermaruah,” katanya.

  • Digugurkan DAP, Wong Tack jadi calon Bebas di Bentong

    Digugurkan DAP, Wong Tack jadi calon Bebas di Bentong

    BEBERAPA jam selepas Young Syefura diumumkan sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Bentong, penyandangnya yang juga daripada parti, Wong Tack mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan depan.

    Pada sidang akhbar hari ini, Wong berkata, DAP memutuskan untuk tidak meletakkan beliau di kerusi Parlimen berkenaan kerana ‘’…tidak akan sesuai dengan strategi besar mereka pada pilihan raya umum.’’

    “Sejak empat tahun lalu, saya bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat Bentong. Bentong adalah kampung halaman saya, saya tetap komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

    “Dengan itu, saya dengan ini mengumumkan bahawa saya, Wong Tack, akan bertanding di bawah ‘tiket rakyat’,’’ katanya.

    Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan bahawa Young Syefura akan bertanding menentang bekas Presiden MCA Liow Tiong Lai, yang menewaskan Wong pada 2013 tetapi kalah kepadanya pada 2018.

    Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan pencalonan itu, Loke berkata dia percaya Young Syefura adalah calon boleh menang di Bentong.

    “Keputusan dibuat bukan hanya berdasarkan pemerhatian, tetapi ada juga tinjauan, dan kami percaya dia adalah calon boleh menang di sana,” katanya.

    Beliau berkata, Wong Tack ditawarkan bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands, bagaimanapun ia ditolak..

  • PKR umum tujuh calon profesional,agamawan,anak muda

    PKR umum tujuh calon profesional,agamawan,anak muda

    PKR mengumumkan tujuh calon dalam kalangan profesional, agamawan dan orang muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Dalam pengumuman oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli di Petaling Jaya, hari ini, kesemua mereka akan mengisi kuota calon PKR bagi mewakili PH.

    Calon terbabit adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman, yang akan bertanding di Perak

    Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang akan bertanding di Pahang.

    Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh profesional kelainan upaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

    Bekas Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang juga anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Aziz, yang akan bertanding di Perak; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop yang akan bertanding di Selangor.

    Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha yang akan bertanding di Negeri Sembilan dan calon muda berusia 28 tahun yang juga doktor falsafah di Universiti Malaya, Fathin Amelina Fazlie yang akan bertanding di Perlis.

    Anwar berkata, kawasan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi calon diumum hari ini akan diumumkan pada Jumaat ini.

  • PRU-15: Rara taruhan DAP pertahan Bentong

    PRU-15: Rara taruhan DAP pertahan Bentong

    DAP mempertaruhkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Loke berkata, penyenaraian Young Syefura atau lebih dikenali Rara untuk bertanding di kerusi Parlimen adalah langkah strategik untuk memastikan masa depan DAP ke arah parti pelbagai bangsa.

    Young Syefura atau lebih dikenali Rara dijangka bertembung Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diuar-uar mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi terbabit.

    Pada PRU14, kerusi Parlimen Bentong dimenangi DAP melalui aktivis anti-Lynas, Wong Tack yang bertanding menggunakan logo PKR, menewaskan dua calon termasuk Tiong Lai selaku penyandang.

    Ditanya mengenai nama Wong Tuck yang tidak disenarai, Loke berkata penyandang kerusi Parlimen Bentong itu menolak tawaran parti untuk bertanding di Cameron Highlands

    “Kita mahukan langkah yang strategik untuk Bentong dan kita cadangkan beliau (Wong Tuck) bertanding di Cameron Highlands, namun beliau tidak bersetuju,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau bagaimanapun tidak mengulas sebab mengapa Wong Tuck tidak bersetuju dengan cadangan parti itu, sebaliknya menyerahkan kepada bekas wakil rakyat berkenaan untuk menjelaskannya.

    “Saya berbincang dengannya selama tiga jam mengenai kerusi Bentong, namun keputusan akhir terletak pada tangan beliau.

    “Di peringkat parti, kita perlu buat keputusan memandangkan waktu yang ada suntuk,” katanya.

    Dalam pada itu, DAP menerima satu lagi kerusi Parlimen di Pahang iaitu Lipis untuk meletakkan calonnya dalam PRU14, sebagai tambahan kepada tiga kerusi sedia ada iaitu Bentong, Cameron Highlands dan Raub.

    Selain Rara di Bentong, Loke turut mengumumkan nama untuk baki tiga lagi kerusi Parlimen termasuk penyandang kerusi Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding di Lipis.

    Dua lagi nama ialah penyandang kerusi DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan Chow Yu Hui yang akan mempertahankan penguasaan di Raub.

  • Bersara politik, Nazri kembali ke bidang guaman, jalankan perniagaan

    Bersara politik, Nazri kembali ke bidang guaman, jalankan perniagaan

    DATUK SERI Nazri Aziz, yang memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada  19 November  akan kembali ke bidang guaman dan menjalankan perniagaan kerana tidak lagi aktif dalam politik.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen selama enam penggal yang pernah menyandang beberapa jawatan menteri sejak 30 tahun lalu itu akan terus menjadi ahli UMNO.

    “Ini dalam darah saya,” katanya kepada  portal FMT.

    Nazri berkata, beliau akan ke bidang guaman bersama beberapa rakan dan memulakan perniagaan.

     “30 tahun menjalani kehidupan di mata umum adalah terlalu lama. Sudah tiba masa untuk beralih dan memberi laluan kepada generasi muda mengambil alih.”

    Bekas  Menteri Undang-Undang berusia 68 tahun itu berkata, beliau akan turun padang di kawasan Padang Rengas untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen dan dua calon DUN kerana beliau adalah pengerusi gabungan di sana.

    “Pada pilihan raya umum 2018 lalu, BN tidak memenangi kerusi itu secara mutlak memandangkan gabungan undi PAS dan PH adalah lebih tinggi daripada apa yang kita dapat,” katanya.

    “Sekarang Pas dan Bersatu berada dalam gabungan, undi PH akan pergi kepada calon PN. Jadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jentera lama saya akan melakukan yang terbaik untuk menghalangnya.”

    Pada pilihan raya 2018, Nazri memperoleh 10,491 undi manakala pesaing terdekatnya Ejazi Yahaya (PKR) memperoleh 7,943 undi. Mohd Azalan Mohd Radzi (Pas) memperoleh 6,847 undi dan Ahmad Affandi Fairuz (Kita) 1,380 undi.

    Nazri telah menjadi Ahli Parlimen sejak 1995. Antara jawatan menteri yang pernah disandangnya adalah undang-undang, pembangunan usahawan serta pelancongan dan budaya. Beliau juga pernah menjadi timbalan menteri kewangan 1 dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Sebagai menteri dan ‘backbencher’, Nazri dikenali dengan sikap terus terangnya di Parlimen, kadangkala menyentuh isu sensitif yang melibatkan semua kaum.

    Beliau juga lantang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bekas perdana menteri itu menyerang kepimpinan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.

    Beliau adalah antara Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), membuka jalan kepada UMNO menerajui kerajaan.

  • PRU-15: PKR akan calonkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak

    PRU-15: PKR akan calonkan Wan Azizah di Bandar Tun Razak

    PKR dilaporkan bakal menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengumuman mengenai pencalonan bekas timbalan perdana menteri itu di kerusi tersebut dijangka dibuat pada Jumaat ini, lapor Malaysiakini.

    PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diganti oleh Datuk Kamaruddin Jaffar pada 2018.

    Pada 2018, Kamaruddin memenangi memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000 namun meninggalkan parti tersebut bersama kumpulan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “PKR sudah memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 tapi dua ahli Parlimen terdahulu akhirnya meninggalkan parti.

    “Kami mengakui keyakinan pengundi kepada PKR (di kawasan berkenaan) tidak begitu stabil, justeru kami perlu meletakkan seorang pemimpin utama untuk mempertahankannya,” lapor Malaysiakini yang memetik sumber.

    Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Pandan dan Permatang Pauh.

    Beliau meninggalkan Parlimen Pandan bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli bertanding di kerusi tersebut.