Category: Politik

  • Spekulasi anak Allahyarham Salahuddin bertanding di Parlimen Pulai

    Spekulasi anak Allahyarham Salahuddin bertanding di Parlimen Pulai

    SPEKULASI anak bongsu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Siti Fatihah akan dicalonkan bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti, setakat ini disifatkan sebagai khabar angin politik.

    Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu masih belum membuat sebarang perbincangan mengenai calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Pulai, mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    “Isu berkenaan calon dua kerusi itu tidak disentuh pada mesyuarat pimpinan Amanah Pusat yang berlangsung di ibu negara, dua hari lalu.

    “Amanah sebenarnya terbuka apabila PRK berlangsung, sudah tentu jadi tumpuan media. Pelbagai cadangan tentang calon akan ditimbulkan dalam media sosial dan menjadi perbualan hangat, namun calon akan tentukan mengikut prosedur parti,” katanya ketika dihubungi.

    Ahad lalu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

    Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah sebelumnya dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

    Salahuddin dipilih menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal iaitu pada 2018 dan 2022, selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.

    Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Fatihah adalah anak bongsu daripada enam beradik dan merupakan seorang peguam.

    Selain itu katanya, Fatihah juga sudah terbabit dalam Wanita Muda Amanah (WARDA) di peringkat nasional.

    “Sama ada Fatihah bakal menjadi calon Amanah pada PRK nanti, buat masa ini ia hanya desas desus,” jelas bekas Exco kerajaan Johor itu.

    Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, mengikut prosedur parti, kepimpinan negeri akan menghantar senarai nama calon untuk diputuskan kepimpinan Pusat.

    “Apa-apa pun, kita ada prosedur seperti yang dilakukan mana-mana parti politik. Biasanya nama-nama calon akan diangkat daripada kawasan atau bahagian terlebih dahulu.

    “Kemudian nama calon berkenaan akan dihantar ke kepimpinan negeri sebelum ke peringkat Pusat yang kemudiannya akan memutuskan calon yang terbaik,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Bekas ahli DAP tanding Bebas mahu ‘bebas P Pinang daripada LGE’

    Bekas ahli DAP tanding Bebas mahu ‘bebas P Pinang daripada LGE’

    BEKAS ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel akan bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai dalam pilhan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

    Bagaimanapun beliau berkata, tetap menyatakan sokongannya kepada Chow Kon Yeow untuk kekal selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

    Marshel berkata, sebab utama beliau bertindak demikian untuk memastikan Chow kekal memegang jawatan tertinggi negeri.

    “Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri, walaupun berulang kali menyatakan sokongannya kepada Chow,” katanya yang keluar DAP semalam .

    “Saya akan bertanding sebagai calon bebas dan ‘tagline’ kempen saya ialah ‘Bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’,” katanya pada sidang media, lapor FMT.

  • Annuar Musa tidak dicalonkan dalam PRK Kuala Terengganu

    Annuar Musa tidak dicalonkan dalam PRK Kuala Terengganu

    PENGERUSI Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang keluar UMNO menyertai Pas disahkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.

    Beliau adalah antara nama-nama besar yang disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN), sebelum ini.

    Malah difahamkan, bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri itu memandang rakyat Terengganu masih lagi terikat dengan politik konvensional yang mahukan elemen tempatan.

    Astro Awanio melaporkan, penyandang kerusi tersebut, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang menang dengan majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dkatakan akan dikekalkan.

    Bagaimanapun, segala teka-teki itu akan terjawab malam ini apabila PN akan mengumumkan nama-nama calon di kesemua 32 DUN dan Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Tok Guru di Rusila, Marang, di Kuala Terengganu.

    Sebelum ini, nama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga disebut-sebut sebagai calon lawan di kerusi berkenaan.

    Namun ternyata menyimpang selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

    Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di Kuala Terengganu membatalkan kemenangan bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi daripada Pas itu setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen PRU15 bagi Parlimen tersebut.

    Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Justeru, Pengerusi Suruhanjaya SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan hari mengundi PRK P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos ini.

  • Pimpinan Pusat PN perjelas pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas hari ini

    Pimpinan Pusat PN perjelas pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas hari ini

    PIMPINAN Pusat Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan sidang akhbar khas hari ini bagi menjelaskan mengenai kontroversi pencalonan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Pulau Pinang.

    Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff kepada pemberita malam tadi selepas majlis pengumuman calon PRN Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

    Terdahulu, Muhammad Fauzi ditanya media berhubung kedudukan sebenar pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas selepas namanya tidak diumumkan di pentas meskipun berada dalam senarai 40 calon PN Pulau Pinang yang diedarkan kepada media kemudiannya.

    “Biasalah tu, semua parti ada percanggahan pendapat. Kita mengambil tanggungjawab sebagai pimpinan untuk mententeramkan pengikut kita. Sebab itu, PN Pusat mengambil tanggungjawab untuk mengumumkan esok (hari ini). Maka, kami di Pulau Pinang, tak mau bagi, ‘special’ juga lah. Entah-entah dia (keputusan) berubah,” katanya.

    Dalam pada itu, Ronald ketika ditanya mengenai perkara sama bagaimanapun meminta pemberita merujuk senarai penuh calon yang terpilih di dalam web Pas.

    Usaha untuk mendapatkan maklum balas Dominic juga gagal apabila beliau meninggalkan majlis pengumuman calon tersebut lebih awal.

    Dalam pada itu, PN Pulau Pinang pada PRN kali ini akan dibarisi oleh seramai 19 calon daripada Gerakan; Bersatu (11) dan Pas (10).

    Antara penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing ialah calon Pas, Mohd. Yusni Mat Piah di kerusi DUN Penaga selain dua lagi calon Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

    Lebih separuh calon PN Pulau Pinang pada PRN kali ini juga merupakan muka baharu dengan calon Gerakan, Heng See Lin menjadi satu-satunya calon wanita yang akan bertanding di DUN Datuk Keramat.

  • Sanusi cabar Saifuddin siasat 3 skandal ketika Kedah ditadbir PH,BN

    Sanusi cabar Saifuddin siasat 3 skandal ketika Kedah ditadbir PH,BN

    ”Pudin sila siasat, dah kamu rajin sangat pergi siasat” – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Ssri Saifuddin Nasution Ismail dicabar untuk menyiasat tiga skandal yang didakwa berlaku ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kedah.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor  mendakwa, Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami kerugian berjumlah RM36 juta dan berhutan RM149 juta.

    Disebabkan itu kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri di bawah pimpinannya terpaksa menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri, bagi membayar hutang yang ditinggalkan PH demi menyelamatkan SADA.

    “Dia (Saifuddin) selalu tanya suruh kita jawab, malam ini saya nak tanya kamu jawab. Masa kamu (PH) jadi kerajaan 2018 hingga 2020, SADA mengalami kerugian RM36 juta dan ada hutang RM149 juta, mengapa masa itu kamu tak siasat?

    “RM36 juta dan RM149 juta itu saya yang bayar, kenapa kamu tak siasat? Pergi siasat. Dengan jumlah RM185 juta itu PH punya kerja, Pudin sila siasat. Waktu BN memerintah, dibuat perjanjian dengan satu syarikat untuk membangunkan Jerai International Park. Perjanjian itu telah dilanggar menyebabkan kerajaan negeri disaman dan dituntut RM50 juta. Setelah rundingan 30 tahun, kerajaan negeri tahun ini diperintah membayar RM21 juta, kenapa tak siasat?” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Pilihan Raya Umum Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam ini.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu menambah, beliau akan mendedahkan satu per satu penyelewengan dan salah urus yang dilakukan BN dan PH berikutan tindakan Saifuddin yang secara berterusan mencabarnya.

    Katanya, beliau tidak berniat mendedahkan isu berkenaan, namun terpaksa berbuat demikian kerana terus diasak termasuk dalam isu berkaitan dua warga China yang terbabit kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

    “Sekarang kamu jawab ketika BN memerintah Kedah ada duit Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM13 juta dipindahkan ke Kanada, mana pergi duit itu mengapa tak siasat? 

    “Zaman BN, pemimpin BN buat kerja ini, sekarang BN dan PH cium mulut. Yang kena bayar kita rakyat Kedah yang hidup hari ini, yang buat kerja BN. Pudin sila siasat, dah kamu rajin sangat pergi siasat. Ada bercambah fail lagi di pejabat saya dan tak pernah dalam tiga tahun ini kita berhasrat melondehkan keburukan sesiapa, tapi kamu kurang ajar, saya akan londeh kamu setiap hari,” katanya.

    Muhammad Sanusi menegaskan, isu politik sepatutnya diselesaikan di medan politik dan agensi kerajaan tidak boleh digunakan bagi mengambil tindakan ke atasnya.

    “Kamu tanya saya dua pekerja China yang saya tak pernah jumpa, tak pernah kenal, tak pernah ambil tahu kerana itu urusan syarikat bukan urusan Pejabat Menteri Besar. Saya kena bagi keterangan kepada polis tiap-tiap hari. Hari ini dua kes sampai Maghrib saya kena beri keterangan. Ucapan saya diteliti satu pasukan, setiap perkataan saya diteliti, silap (cakap) dilaporkan. 

    “Ucapan politik mesti diselesaikan di medan politik, datangkan hujah kamu di ceramah, kamu jawab. Jangan guna agensi salin tiap patah perkataan dan lapor polis, punya pondan,” katanya.

  • PN tanding 40 kerusi di Pulau Pinang, nasib Dominic Lau di DUN Bayan Lepas jadi tanda tanya?

    PN tanding 40 kerusi di Pulau Pinang, nasib Dominic Lau di DUN Bayan Lepas jadi tanda tanya?

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di semua 40 kerusi DUN Pulau Pinang dalam PRN pada 12 Ogos ini.

    Gerakan meraih kerusi terbanyak dengan 19 kerusi diikuti Bersatu (11) dan PAS (10). Bagaimanapun, kerusi Bayan Lepas yang bakal ditandingi calon Gerakan akan diumumkan kemudian.

    Terdahulu, Pas Bayan Lepas dilaporkan membantah kerusi yang majoriti Melayu itu akan ditandingi Ketua PN Pulau Pinang Dominic Lau.

    Menurut laporan Kosmo, kerusi itu dipegang Pas sejak PRU-12 dan pengundi kawasan itu mahu calon Melayu,

    Berikut kerusi ditandingi calon PN:

    1.  Penaga: Mohd Yusni Mat Piah (PAS)
    2.  Bertam: Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bersatu)
    3.  Pinang Tunggal: Bukhori Ghazali (PAS)
    4.  Permatang Berangan: Mohd Sobri Salleh (PAS)
    5.  Sungai Dua: Muhammad Fauzi Yusoff (PAS)
    6.  Telok Ayer Tawar: Azmi Alang (Bersatu)
    7.  Sungai Puyu: Teoh Chin Siang (PAS-DHPP)
    8.  Bagan Jermal: Ong Chuan Jin (Bersatu-Bersekutu)
    9. Bagan Dalam: K Jayaraman (PAS-DHPP)
    10. Permatang Pasir: Amir Hamzah Abdul Hashim (PAS)
    11. Seberang Jaya: Izar Shah Ariff Shah (Bersatu)
    12. Penanti: Zulkefli Bakar (Bersatu)
    13. Berapit: Lee Kok Keong (Gerakan)
    14. Machang Bubuk: Tan Hum Wei (Gerakan)
    15. Padang Lalang: Suresh Devaraj Naidu (Bersatu-Bersekutu)
    16. Perai: Sivasuntaram Rajalingam (Gerakan)
    17.  Bukit Tengah: Baljit Singh Jigiri Singh (Gerakan)
    18.  Bukit Tambun: Tan Gia Wei (Gerakan)
    19.  Jawi: Koh Tien Yew (PAS-DHPP)
    20.  Sungai Bakap: Nor Zamri Latiff (PAS)
    21.  Sungai Acheh: Zulkifli Ibrahim (Bersatu)
    22.  Tanjung Bungah: Hng Chee Wey (Gerakan)
    23.  Air Putih: Kong Cheng Ann (Gerakan)
    24.  Kebun Bunga: Tan Zhen Zune (Gerakan)
    25.  Pulau Tikus: Tan Ching Sern (Gerakan)
    26.  Padang Kota: Hng Khoon Leng (Gerakan)
    27.  Pengkalan Kota: Suthakaran Subramaniam (Gerakan)
    28.  Komtar: Cheah Kim Huat (Bersatu-Bersekutu)
    29.  Datok Keramat: Heng See Lin (Gerakan)
    30.  Sungai Pinang: Ng Fook On (Gerakan)
    31.  Batu Lanchang: Mohd Aswaad Jaafar (Gerakan)
    32.  Seri Delima: Mohan Apparoo (Bersatu-Bersekutu)
    33.  Air Itam: Cheang Chee Gooi (Gerakan)
    34.  Paya Terubong: Ooi Ghee Oon (Gerakan)
    35.  Batu Uban: Mok Kok On (Gerakan)
    36.  Pantai Jerejak: Oh Tong Keong (Gerakan)
    37.  Batu Maung: Azahari Aris (Bersatu)
    38.  Pulau Betong: Mohamad Shukor Zakariah (PAS)
    39.  Teluk Bahang: Mohamad Kassim (Bersatu)
  • PN umum 56 calon PRN, Azmin bertanding di  DUN Hulu Klang

    PN umum 56 calon PRN, Azmin bertanding di  DUN Hulu Klang

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan senarai 56 calon yang akan berentap merebut kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, setelah proses rundingan yang memakan masa berbulan-bulan.

    Keputusan diumumkan oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor malam ini.

    “Mereka mesti melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Insolvensi.

    “Empat agensi ini sudah membuat saringan dan semua nama ini melepasi saringan,” katanya ketika mengumumkan calon.

    Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali bertanding di Hulu Kelang. 

    Sebelum ini beliau bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa. Azmin akan bertemu dengan Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

    Berikut senarai penuh calon PRN Selangor :

  • Sanusi pertahan kerusi DUN  Jeneri, Badrol Bakhtiar, Radhi turut jadi calon

    Sanusi pertahan kerusi DUN  Jeneri, Badrol Bakhtiar, Radhi turut jadi calon

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor akan terus mempertahankan kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

    Sanusi yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bakal berdepan dengan pencabar utamanya daripada Barisan Nasional iaitu Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim 12 Ogos ini.

    Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah pada Rabu.

     Sementara tu, dua bekas pemain bola sepak kebangsaan turut diumumkan sebagai  calon Pas.

    Mereka ialah Badrol Bakhtiar yang akan bertanding di kerusi DUN Gurun manakala Radhi Mat Din di DUN Alor Mengkudu.

    Berikut senarai penuh calon-calon PN Kedah:

  • Komplot dirancang pihak tertentu bukan polis – Sanusi

    Komplot dirancang pihak tertentu bukan polis – Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa komplot untuk menjatuhkan kredibilitinya yang dirancang sejak enam bulan lalu bukan membabitkan pihak berkuasa, sebaliknya dirancang pihak tertentu.

    Beliau mendakwa, rancangan untuk memusnahkan karier politiknya kemungkinan bermula sejak Oktober tahun lalu dan dirinya terpalit dengan satu persatu plot dirancang pihak terbabit.

    Menurutnya, sebahagian daripada komplot tersebut bermula dengan insiden stor di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon dibaling bom.

    “Itulah sebahagian daripada komplot tersebut. Kemudian kerajaan bertukar dan saya dihalang untuk menghadiri majlis-majlis mesyuarat kerajaan persekutuan. Mereka berusaha bersungguh-sungguh, tapi gagallah pasal saya pandai. Saya riuhkan benda ni, terpaksa dibenarkan hadir. Itu komplotnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Alor Setar, hari ini, labor Sinar Harian.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak pernah membuat tuduhan komplot itu dirancang pihak berkuasa, sebaliknya didalangi pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kedudukan beliau menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    “Saya bukan maksudkan polis, yang perasan pasai apa. Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam. Semua kakitangan awam negeri dan persekutuan rakan saya.

    “Mereka bekerja atas bidang kuasa masing-masing. Jangan bekerja ikut arahan elit politik atas kepentingan politik. (Tindakan seperti itu) bahaya untuk negara dan masa depan penjawat awam,” jelasnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Muhammad Sanusi yang dirancang sejak enam bulan lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan terhadap Muhammad Sanusi adalah berdasarkan kronologi siasatan dilakukan polis.

    Ketika ditanya mengenai pihak yang didakwa merancang komplot terhadapnya itu, Muhammad Sanusi sebaliknya hanya berteka-teki.

    “Tak tahulah. Buatlah kesimpulan sendiri. Siapa yang dapat untung, dialah yang rancang,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau akan memberi keterangan mengenai dakwaan itu kepada polis pada petang Rabu.

    “Saya mana tau (Bukit Aman atau Kedah), yang saya tau mereka polis. Saya hari-hari diambil keterangan. Nampak tumpuan kepada saya berlebihan kan? Itulah orang kesian pada saya.

    “Saya angkat tangan, budak-budak semua angkat tangan sekarang ni. Jangan lebih-lebih, nanti orang marah. Lepas ni, saya akan buat satu tagline baru (angkat tangan) di Malaysia untuk rakyat ikut saya,” katanya.

    Pada 17 Oktober lalu, tembok pagar utama kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, disimbah cat merah dan biru.

    Sebelum itu, sebuah kabin kontena yang dijadikan stor dalam kawasan berkenaan turut musnah akibat letupan bom pada awal pagi 16 Oktober.

    Ketua Polis Kedah ketika itu, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan menerima laporan mengenai kemusnahan kontena pada petang 18 Oktober dan siasatan awal membawa kepada penemuan sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan bagi menghasilkan letupan.

  • ‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

    ‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

    SEORANG pemimpin DAP Pulau Pinang menyerang seorang individu dipercayai pemimpin paling kanan dalam partinya, sambil menyifatkan amaran yang dilaungkan baru-baru ini mengenai “gelombang hijau” hanyalah taktik untuk menakut-nakutkan rakyat negeri itu terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata bahaya yang lebih besar bagi Pulau Pinang ialah “maharaja” tertentu, yang dibandingkan dengan seorang pemimpin komunis Cina.

    “Istilah ‘gelombang hijau’ hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat. Ia hanya buat ‘maharaja’ bertambah kuat. Kamu (pengundi) tak dapat ‘gelombang hijau’, kamu dapat Xi Jinping,” katanya lapor Malaysikini sebagai berkata, merujuk kepada Presiden China yang terkenal sebagai pemimpin Parti Komunis China sejak 2013.

    Sementara itu, Satees berkata sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 2018, beliau memperjuangkan pelbagai isu rakyat.

    “Dalam lima tahun, saya buat kerja lebih banyak daripada orang yang gagal selama 10 tahun. Saya tidak bawa kereta Vellfire dan bawa pemimpin ke sana sini. Saya tidak angkat beg pemimpin itu,” sindirnya.

    Beliau juga menolak penjelasan bahawa senarai calon baru bertujuan mengetengahkan calon lebih muda kerana beliau sendiri berusia 38 tahun. Sedangkan,ada yang dalam senarai calon itu berumur sehingga 58 dan 61 tahun.

    “Memang tiada keadilan dalam politik. Saya terima tetapi saya akan terus bersuara,” katanya.

    Satees berkata senarai calon ditentukan oleh “maharaja” tertentu, sambil menambah ia memudaratkan demokrasi.

    “Jika anda berada di Pulau Pinang, anda akan faham. Pulau Pinang adalah negeri barisan hadapan demokrasi Malaysia.  Apa yang saya lakukan adalah demi kepentingan negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang! Kami tidak memerlukan Maharaja di Pulau Pinang; kami perlu menggerakkan demokrasi!” tulis Satees dalam satu kiriman di Facebook.

    my.