Category: Politik

  • Rakyat bukan Islam jangan takut beri peluang kepada PN – Abdul Hadi

    Rakyat bukan Islam jangan takut beri peluang kepada PN – Abdul Hadi

    RAKYAT bukan Islam di negara ini diseru agar jangan takut untuk membuka peluang buat parti Perikatan Nasional (PN) menjadi peneraju kepimpinan kerajaan Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November kelak.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia adalah kerana biarpun baru dua tahun ditubuhkan, PN telah membuktikan ia bukan sahaja sebuah parti yang sahih bersih dan stabil, tetapi juga tidak bersifat perkauman.

    “Bersih adalah kerana sepanjang pemerintahan PN sebelum ini di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, tidak pernah berlaku sebarang salah laku; manakala stabil pula kerana PN ketika itu berjaya menangani pandemik Covid-19 dan impaknya terhadap ekonomi negara,” katanya memetik laporan Harakah Daily.

    Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Presiden PAS di Restoran Al-Badiyah, KL Traders, Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir ialah calon-calon PN di Wilayah Persekutuan dari Pas bagi Parlimen Batu, Ustaz Azhar Yahya; Wangsa Maju, Ustazah Senator Nuridah Salleh; Titiwangsa, Dr Rosni Adam; dan Lembah Pantai, Ustaz Fauzi Abu Bakar.

    Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, Pas telah menjadi pemerintah Kelantan sebanyak kali – dari tahun 1959 hingga 1978 dan dari 1990 hingga sekarang tanpa ada sebarang kes rasuah dan salah laku.

    “Begitu juga di Terengganu tiada sebarang salah laku ketika PAS menjadi pemerintah sebanyak tiga kali – dari tahun 1959 hingga 1961, 1999 hingga 2004, dan 2018 hingga sekarang.

    “Sama juga ketika Pas memerintah Kedah sebanyak dua kali – dari tahun 2008 hingga 2012, dan dari 2018 hingga sekarang,” jelas beliau yang juga merupakan calon PN bagi Parlimen Marang.

    Abdul Hadi turut mengimbas kembali sejarah hitam Tragedi 13 Mei di Malaysia yang berlaku di negeri-negeri yang dikuasai parti DAP pada ketika itu yang termasuklah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

    “Di Kedah, Terengganu, Kelantan yang diperintah PAS tidak tercetus Tragedi 13 Mei 1969. Di ketiga-tiga negeri itu, dapat disaksikan bagaimana keluarga Cina dan India boleh hidup aman dalam kampung Melayu.

    “Itu memang adab yang diajar oleh Islam. Kalau kita (PN) perintah kelak, negara aman dan stabil, orang bukan Islam jangan takut, alhamdulilah.

    “Sementelah PN bukan sahaja menggabungkan Pas dan Bersatu tetapi juga parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),” ujar beliau lagi.

    Justeru, beliau menyeru rakyat berbilang kaum di negara ini untuk sama-sama bersatu padu membuat perubahan pada PRU15 kelak dengan mengundi calon-calon dari PN.

    “Beri peluang kepada kami, lihat satu penggal, apa yang kami kerajaan bersih mampu lakukan. Kalau kami buat salah, tolak kami pada PRU16.

    “Biar kami tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik. Fikirkan untuk kebaikan untuk generasi masa depan, selamatkan negara daripada huru-hara dan pelbagai penyelewengan,” katanya.

  • Pengundi Tambun mungkin ‘cipta sejarah’ pastikan Anwar tewas – Azmin

    Pengundi Tambun mungkin ‘cipta sejarah’ pastikan Anwar tewas – Azmin

    PENGUNDI di kerusi Parlimen Tambun mungkin ‘mencipta sejarah’ dengan memastikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana rakyat setempat sudah memahami dan melihat perkhidmatan diberikan oleh penyandang kerusi tersebut yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang memegang jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

    “Kita tak perlu orang luar untuk mewakili penduduk di sini. Jadi biarlah penduduk di sini kekalkan keharmonian mereka, kekalkan kesatuan mereka dengan pemimpin mereka.

    “Tidak perlu ada unsur-unsur luar untuk memecahkan perpaduan di dalam Tambun ini. Saya yakin sejarah ini akan dicipta sekali lagi di Tambun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Klebang Jaya di sini pada Khamis, memetik laporan Sinar Harian.

    Hadir sama, Ahmad Faizal, calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Hafez Sabri dan calon PN DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali.

    Sementara itu, mengenai jumlah sasaran kerusi yang bakal dimenangi PN pada PRU15, Azmin berkata, gabungan parti itu akan membuat kejutan pada hari mengundi nanti.

    Anwar pada PRU15 bertanding di kerusi Parlimen Tambun meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenangi pada pilihan raya kecil pada 2018.

    Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU15 dengan Anwar akan menentang Ahmad Faizal, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dari BN dan Abdul Rahim Tahir dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

  • Sokongan terhadap PN semakin meningkat – Muhyiddin

    Sokongan terhadap PN semakin meningkat – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sokongan rakyat kepada gabungan itu semakin meningkat, berdasarkan sambutan luar biasa yang dilihatnya sepanjang sesi turun padang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata kebanyakan rakyat yang ditemuinya sepanjang tempoh itu, menyatakan hasrat mahukan pembaharuan pada pentadbiran negara. 

    “Saya fikir situasi ini mungkin disebabkan mereka mahukan satu kerajaan lebih prihatin dan bertanggungjawab, selepas situasi kehidupan yang tidak begitu baik selepas pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Masyarakat di Felda Lepar Hilir 3 di sini hari ini. 

    Turut hadir Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Mengulas secara spesifik penerimaan masyarakat FELDA kepada PN, Muhyiddin berkata golongan itu juga semakin terbuka untuk mendengar tawaran daripada PN dan bukannya seperti dahulu yang dilihat menjurus ke arah Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

    “FELDA yang kita tahu, dikatakan macam kubu UMNO dan BN tapi kini tidak begitu lagi, orang sudah berubah. Kalau (dahulu) buat (program) di FELDA, jarang sambutan begini. 

    “Tapi sekarang mereka (peneroka FELDA) bersikap lebih terbuka dan bersedia mendengar. Ini perubahan besar dalam kalangan peneroka FELDA,” katanya.

    PN meletakkan calon di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU15. – BERNAMA

    Muhyiddin Yassin, PRU15, PN, turun padang, kerajaan

  • Isytihar harta: Usah tunjuk hero tiap kali kempen PRU sahaja

    Isytihar harta: Usah tunjuk hero tiap kali kempen PRU sahaja

    “BUAT apa nak isytihar harta jika hanya nak sedapkan waktu berkempen je.”

    Itu reaksi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang mengisytiharkan hartanya hari ini.

    Beliau berkata, jika dilihat semasa pelantikan Kabinet terdahulu, beliau bersama jemaah menteri dan timbalan ketika itu sudah pun membuat pengisytiharan harta.

    “Masa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri dulu, kita sudah isytiharkan semua harta pemegang jawatan.

    “Jadi tak payahlah nak tunjuk hero pada kali ini. Kita sudah lakukan dah lama dah, cuma dulu-dulu masa BN (Barisan Nasional) pun dah buat, cuma kita tak umumkan.

    “Jika mereka (PH) isytihar harta, bermakna merekalah yang mengikut kita yang telahpun buat perkara itu terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kampung Sungai Jernih, Kubu Gajah, hari ini, lapor BH Online.

    Ditanya adakah beliau mahu mengekalkan jawatan sebagai menteri sekiranya PN menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Hamzah menegaskan perkara itu tidak perlu berebut dan akan membahagikan secara adil dan saksama demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.

  • Kerusi Sungai Buloh: ‘Saya ditinggal begitu saja’, KJ tepis dakwaan Zahid

    Kerusi Sungai Buloh: ‘Saya ditinggal begitu saja’, KJ tepis dakwaan Zahid

    BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyangkal dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau meminta untuk bertanding di kerusi Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), dengan mengatakan beliau “tiada pilihan”.

    Khairy berkata, beliau bertindak sedemikian berikutan tiada menerima sebarang isyarat untuk bertanding di mana-mana kawasan selepas memberi kerusi disandangnya selama tiga penggal sebelum ini kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Menurutnya, beliau mengaku berjumpa Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

    “Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau. Ketika itu, saya tiada pilihan. Saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Tan Sri Noh Omar (Pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Vigneswaran).

    “Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh).

    “Saya memang menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan tetapi tidak ada apa-apa. Selepas satu per satu kerusi tidak lagi ‘available’, maka akhirnya saya ke sini (Parlimen Sungai Buloh).

    “Saya tak nak panjangkan polemik dengan Presiden UMNO, sebab tidak elok bercakap melalui media… tetapi hakikatnya, saya tiada pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi sebarang isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan. Saya ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SME Aerospace, di sini, hari ini.

    Semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan Khairy yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dipetik berkata, tiada siapa yang memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu untuk bertanding di kawasan berkenaan.

    Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, tidak timbul isu beliau membelakangkan Ahmad Zahid, kerana beliau tiada diberi sebarang isyarat berkaitan kedudukan dirinya.

    “Macam mana pula saya membelakangkannya (Ahmad Zahid)? Saya tiada diberi sebarang isyarat, tidak dijemput untuk berbincang. Justeru dalam keadaan tarikh penamaan calon semakin hampir, saya perlu buat sesuatu untuk diri sendiri. Jadi, saya mengambil inisiatif berbincang dengan Tan Sri Noh.

    “Beliau (Noh) menghubungi saya dan menyatakan jika tiada tempat, apa kata datang ke Selangor. Kemudian, barulah bertemu Presiden MIC kerana sebelum ini kerusi terbabit adalah milik (ditandingi) parti berkenaan.

    “Untuk kata saya yang minta (bertanding di Parlimen Sungai Buloh)… itu betul tetapi saya berusaha mendapatkannya kerana sudah tidak ada kerusi lagi. Namun, saya tak nak bertelagah dengan Presiden… pokok pangkalnya saya datang ke sini (Sungai Buloh) mewakili BN,” katanya.

    Sementara itu mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa Khairy berada dalam ‘parti salah’ untuk menjadi Perdana Menteri, Khairy berpandangan bahawa dirinya berada dalam parti yang tepat.

    “Pada pandangan saya, saya berada dalam parti yang tepat. Terima kasih Tan Sri (Muhyiddin) kerana memberikan komen baik berkenaan mutu kerja saya. Saya bekerja kuat ketika beliau melantik saya sebagai Menteri bagi menyelaras program imunisasi (COVID-19).

    “Beliau tahu apa yang saya mampu lakukan. Ketika bekerja, saya mampu menjalankan tugas. (Namun) Soal parti ini… kita kena bersetuju atau tidak, beliau (Muhyiddin) PN dan saya BN,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PRU-15: Pas yakin menang 36 kerusi Parlimen

    PRU-15: Pas yakin menang 36 kerusi Parlimen

    PAS yakin mampu mencapai sasaran menang 36 kerusi Parlimen seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keyakinan itu susulan mendapat sokongan kuat melalui gabungan parti di bawah Perikatan Nasional (PN), selain kedudukan pihaknya sebagai sebahagian daripada kerajaan.

    “Kita optimis dengan sokongan rakyat kepada PN, selain berpuas hati melihat proses berkempen, sekali gus memberi keyakinan bahawa PAS boleh memenangi lebih daripada 18 kerusi yang disandang ketika ini.

    “Dahulu kita (Pas), hanyalah sebagai pembangkang sahaja yang hanya berpengaruh besar di Kelantan, namun kini sokongan dilihat lebih luas melalui gabungan di bawah PN,” katanya di Pasir Mas, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata, tidak timbul persoalan susulan lantikan Datuk Mumtaz Mat Nawi, sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Tumpat.

    “Apabila pegawai pengurus PRU sudah menerima borang pencalonan, bermaksud beliau layak untuk bertanding walaupun memegang jawatan bergaji sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan.

    “Saya sendiri masih memegang jawatan dalam KeTSA dan nasihat perundangan menunjukkan pemegang jawatan seperti kami layak untuk bertanding dalam PRU-15,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Beri peluang PN PRU-15, tolak jika gagal buktikan: Abdul Hadi

    Beri peluang PN PRU-15, tolak jika gagal buktikan: Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta pengundi memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara ini bagi tempoh satu penggal.

    Menurut Timbalan Pengerusi PN itu, jika gabungan berkenaan gagal membuktikan kemampuan mentadbir negara dengan baik, rakyat boleh menolak mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

    “Beri peluang kepada kami, tengok satu penggal apa yang kami buat. Kalau ada buat kesalahan, tolaklah pada PRU16.

    “Beri kita tunjukkan dulu bagaimana untuk perintah negara dengan baik,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

    Yang turut hadir, tiga calon Pas mewakili PN, iaitu calon kerusi Parlimen Wangsa Maju, Nuridah Mohd Salleh, Azhar Yahya (Batu) dan Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).

    Penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut optimis PN mampu menawan Perlis dan Pahang pada PRU15 terutama dengan penyertaan calon boleh menang yang digugurkan oleh Barisan Nasional (BN).

    “Apabila BN bertindak mencantas orang dia seperti (Tan Sri) Annuar Musa, (Datuk Seri Dr) Shahidan Kassim dan (Tan Sri) Noh Omar dan ramai lagi, kami ambil pendekatan ambil mana-mana yang boleh seperti Shahidan jadi calon PN di Arau (Perlis) dan (Datuk Seri) Ismail Muttalib di Maran (Pahang).

    “Ini bermakna kita boleh menembusi Perlis dan Pahang… insya-Allah kita boleh tawan Perlis dan Pahang,” katanya.

    Mendedahkan kemelut PAS-BN, Abdul Hadi berkata, ia tidak dapat diselamatkan berikutan parti itu tetap memaksa PAS memutuskan kerjasama dengan BERSATU.

    “Mereka (BN) masih degil dan saat akhir iaitu minggu selepas Parlimen dibubarkan, PAS diajak berbincang dengan PAS diberikan syarat sama, mesti berpisah dengan BERSATU. Mana boleh dia (BN) nak paksa sebegitu.

    “Disebabkan itu kami buat keputusan untuk terus bersama PN dan tolak BN,” katanya.

    Menyentuh kerjasama PAS-UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi berkata, sekiranya parti itu sedia bertoleransi, kerjasama itu pastinya dapat diteruskan pada PRU15.

    Katanya, ia sekali gus mampu mengelakkan perpecahan undi orang Melayu yang sepatutnya boleh dielakkan.

    “Mereka kata tak boleh (kerjasama) dengan BERSATU kerana mereka khianat dan keluar UMNO. Saya beritahu pemimpin UMNO, kalau ikut perbezaan pendapat, PAS lebih lama berkelahi (bermusuh) dengan UMNO, lebih puluhan tahun.

    “Daripada peristiwa Memali, orang PAS ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), malah ada yang dibuang kerja serta diturunkan pangkat. Kita lupakan semua ini kerana nak satukan umat,” katanya.

  • Bersatu keluar PH bukan tindakan pengkhianat : Rina

    Bersatu keluar PH bukan tindakan pengkhianat : Rina

    BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) bukan satu tindakan pengkhianat, tegas Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Sepang itu menegaskan, langkah itu diambil kerana mahu menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

    Dakwanya, ketika PH menjadi kerajaan, ia dilihat tidak mesra kakitangan kerajaan dan rakyat berbilang kaum, sekali gus menyebabkan Bersatu turut terpalit dengan persepsi berkenaan.

    “Kerana itulah, Bersatu ini, dalam tempoh 22 bulan, bukan sahaja tidak mesra kakitangan kerajaan, juga tidak mesra antara kaum sesama kita.

    “Pilihan raya kita lima tahun sekali, tetapi dalam setahun, kita sambut pelbagai hari yang ada cuti umum. Kerana apa? Kerana kita di Malaysia masyarakatnya berbilang kaum.

    “Keluar PH ini bukan kerana (kita) pengkhianat, tetapi kerana nak menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Kalau kita tak keluar, mungkin kita tak duduk sepentas seperti hari ini.

    “Ada banyak rahmatnya di sebalik apa yang berlaku,” katanya semasa Ceramah Pentas PRU-15 PN Kuala Langat malam tadi.

    Dalam pada itu, Rina berkata, beliau memilih untuk bertanding di Sepang kerana berasal dari kawasan Parlimen itu dan sedia berkhidmat untuk pengundi di situ.

    “Saya sebelum ini adalah Ahli Parlimen Titiwangsa. Ada yang tanya, lari dari Parlimen Titiwangsa? Ini saya nak cakap, saya asal Sepang.

    “Ibu saya lahir di Sepang, datuk saya imam Masjid Salak Tinggi. Memang asal Sepang.

    “Sebab itu saya menawarkan diri di Sepang. Saya harap semua dapat bantu saya untuk saya terus bantu rakyat Sepang,” ujarnya lapor portal BeritaBersatu.

  • Kad Peduli Sihat antara lima fokus PN Batu

    Kad Peduli Sihat antara lima fokus PN Batu

    PERIKATAN Nasional (PN) Batu akan memperkenalkan Kad Peduli Sihat yang memberi akses dan manfaat kepada kesihatan, kenderaan awam, kebajikan serta perlindungan sosial.

    Calon PN Batu, Azhar Yahya berkata, perkara tersebut antara lima manifesto yang akan difokuskan selain aspek pembangunan belia sebagai peneraju, melindungi kumpulan rentan, memperuntuk RM1 bilion untuk dana makanan meliputi projek sekuriti makanan, program pembangunan modal insan berkonsep kerohanian dan keagamaan.

    Menurutnya, itu adalah lima janji terbaik yang realistik, sesuai dan boleh dilaksanakan terus jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Kami mahu jadikan belia sebagai peneraju termasuk melantik senator dalam kalangan belia. Selain itu, memberi diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk graduan kelas kedua atas serta menyediakan skim perumahan mikro belia mampu sewa.

    “Bagi melindungi kumpulan rentan, kami akan mempertingkatkan perkhidmatan kepada warga emas, wanita, orang kurang upaya (OKU) melalui jabatan dan latihan kemahiran,” katanya pada Program Munajat dan Malam bersama calon PN Parlimen Batu di Markas Pas Batu, One Maxim di Kuala Lumpur, semalam.

    Beliau yang kali kedua menjadi calon bagi Parlimen Batu memberi keyakinan lebih bersedia dan mampu menang dalam pertembungan 10 penjuru pada PRU15, 19 November depan.

    Jelas anak jati Sentul itu, pengalaman 2018 sebagai calon Pas dan memperoleh 10,000 undi dalam tempoh persediaan kurang tiga bulan menunjukkan parti itu mempunyai akar umbi yang kuat.

    “Jadi selepas diberikan kepercayaan menjadi calon sekali lagi pada PRU15, walaupun komposisi itu agak sukar kerana bertanding di kawasan majoriti bukan Muslim, namun saya anggap itu sebagai cabaran.

    “Di bawah kerajaan PN, Pas diberi ruang dan peluang untuk mainkan peranan yang lebih besar kepada masyarakat menerusi lantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan kemasyarakatan. Peluang itu kami gunakan sebaiknya untuk belajar dan mendekati komuniti,” katanya.

    Selain itu katanya, persaingan 10 kerusi itu juga memberikan kelebihan untuk Pas lebih menonjol berbanding calon-calon lain yang dilihat telah pecah undi.

    “Jika saya menang, ini memberikan peluang kepada parti Islam untuk mentadbir dalam keadaan majmuk yang mana masyarakat di sini adalah 47 peratus Melayu sementara bakinya bukan Islam.

    “Batu ini ibarat satelit yang menjadi tempat tumpuan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ia sangat sesuai dijadikan contoh kepada Malaysia Sejahtera,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.

  • PRU-15: PN jauh di depan raih sokongan pengundi

    PRU-15: PN jauh di depan raih sokongan pengundi

    KAJIAN risikan terbaharu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) sudah jauh ke hadapan meninggalkan parti lawan untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan itu berdasarkan kepada manifesto ditawarkan PN yang dilihat jauh lebih baik dan prihatin rakyat secara keseluruhannya.

    Menurut beliau, rakyat juga melihat calon PN ditampilkan pada PRU15 terdiri dalam kalangan mereka yang tidak terpalit dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

    “Terbukti dalam tempoh dua tahun PN diberi tanggungjawab memerintah negara, kita telah berjaya mengangkat martabat umat dan rakyat.

    “Mereka (rakyat) ingin melihat PN kembali ke Putrajaya untuk meneruskan usaha ini dan saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Insya-ALLAH PN akan dinobatkan sebagai kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap di Pentas PRU15 PN Kuala Langat di Kampung Kanchong Darat di sini pada malam Rabu.

    Mohamed Azmin yang juga calon PN Parlimen Gombak memberitahu, manifesto yang dilancarkan PN tiga hari lalu itu memberikan pelbagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

    Jelas beliau, PN telah menyediakan tawaran besar dalam sektor ekonomi, pendidikan dan juga pelbagai inisiatif lain sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan parti itu kepada umat dan rakyat Malaysia.

    Beliau memberitahu, PN mengangkat tema besar iaitu prihatin, bersih dan stabil, namun ada rakyat mungkin keliru dengan manifesto yang turut ditawarkan parti lain.

    “Bagi saya jawapannya mudah kerana pendirian yang diambil PN tidak sama dengan pendirian di sebelah sana.

    “Mereka bicara soal bersih, reformasi tetapi lihat sahaja ada dalam kalangan calon mereka sedang turun naik mahkamah, bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

    “Malah mereka tidak langsung berasa malu untuk mengemukakan kertas penamaan calon pada 5 November lalu,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.

    Sehubungan itu, Mohamed Azmin menjelaskan, parti lawan tidak mempunyai komitmen dan kesungguhan untuk membentuk sebuah kerajaan bersih dan prihatin rakyat berbanding dengan apa ditawarkan PN pada masa ini.

    Mohamed Azmin berkata, rakyat juga diingatkan bijak dalam memilih pemimpin dan sudah tentu calon dikemukakan PN terdiri dalam kalangan mereka bersih daripada gejala rasuah serta tidak pernah didakwa di mahkamah.

    “Walaupun tempoh pentadbiran PN singkat, inilah yang harus diberikan pertimbangan (pengundi) kerana pemimpin PN sewaktu memerintah negara mempunyai wawasan jauh dan berfikiran panjang serta bergabung tenaga untuk membentuk kerajaan kuat, bersih dan stabil demi umat dan rakyat kesemuanya,” jelas beliau.