Category: Politik

  • ‘Anwar mahu selesaikan isu MA63, adakah kamu percaya?’ tanya Abang Johari

    ‘Anwar mahu selesaikan isu MA63, adakah kamu percaya?’ tanya Abang Johari

    “SAYA tanya kamu, adakah kamu percaya? Selepas apa yang berlaku semasa 22 bulan,” soal Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Itu reaksi ringkas Premier Sarawak ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tawarannya untuk menyelesaikan isu hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

    Dalam majlis Tawaran Pakatan Harapan Kepada Sarawak di Kuching pada Sabtu, Anwar memberitahu bahawa isu berkenaan akan diselesaikan tanpa rundingan panjang jika PH diberi mandat untuk menjadi Kerajaan Persekutuan.

    Ia termasuk soal penurunan kuasa yang melibatkan beberapa perkara utama seperti pendidikan di bawah sistem persekutuan.

    Selain itu, ketika ditanya mengenai keterbukaan PH untuk bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abang Johari berkata biar pertandingan berlangsung terlebih dahulu.

    “Kita bertanding dahulu, baru kita tahu, kalau tidak bertanding kita tidak tahu (apa keputusan selepas ini),” kata Pengerusi GPS itu, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Esplanade Telaga Air hari ini.

    Semalam dalam majlis sama, Anwar yang juga Presiden PKR menyatakan PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk GPS yang kini mentadbir kerajaan negeri Sarawak.

    Namun katanya, perkara itu akan dibangkitkan selepas PRU-15 pada 19 November ini.

  • PRU-15: Anwar yang pengkhianat, Jonathan pulang paku buah keras

    PRU-15: Anwar yang pengkhianat, Jonathan pulang paku buah keras

    DATUK Jonathan Yasin memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan kerusi Parlimen Ranau sebagai tempat pengkhianat.

    Jonathan, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan penyandang kerusi Parlimen Ranau berkata, Anwar yang selayaknya digelar pengkhianat, dan perlu dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau mendakwa, Pengerusi PKR itu juga yang menyebabkan PH berpecah belah pada Februari 2020.

    “Kalau bukan kerana beliau dan konco-konco yang mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir pada masa itu, tidak mungkin ada perpecahan dalam PH.

    “Lupakah mereka bahawa ada janji dan surat hitam putih yang kami tandatangani, mengatakan tidak ada tempoh masa perjanjian peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Anwar.

    “… Dan sebab itu bila dikatakan pengkhianat, mereka yang menyingkirkan Tun (Mahathir) adalah pengkhianat,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

    Terdahulu, Anwar berkata bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan membantu kempen PH di Ranau, bagi memastikan kemenangan calon mereka, Taufik Dahlan kerana Ranau tempat pengkhianat.

    Pada PRU-14, Jonathan menang di kerusi Parlimen Ranau atas tiket PKR, dengan majoriti 1,076.

    Mengulas lanjut, Jonathan berkata perpecahan yang didakwa berlaku dalam PH, akan memberi kelebihan kepada GRS.

    Dalam pada itu, Jonathan menambah tindakan Anifah yang mahu membantu calon PH di kawasan tersebut juga menunjukkan gabungan itu lemah di Ranau.

    Ujarnya, penglibatan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu tidak akan memberi kesan besar terhadap sokongan kepada GRS.

    “Selama ini, kita dapati bahawa kekuatan Anifah di kawasan Ranau pun tidak lah begitu besar.

    “Sudah terbukti di masa lalu bahawa ada pun sokongan (orang luar) tidak begitu mengugat keadaan GRS di Ranau,” kata Jonathan.

    Pada PRU-15, kerusi Parlimen Ranau menyaksikan saingan lima penjuru.

    Selain Jonathan (GRS) dan Taufik (PH), turut memberi saingan di kerusi berkenaan ialah calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azizul Julirin, Markos Siton (Warisan), serta Datuk Ewon Ebin yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

  • Politik negara bergolak teruk jika BN-PH rancang bentuk kerajaan, dakwa Fadillah

    Politik negara bergolak teruk jika BN-PH rancang bentuk kerajaan, dakwa Fadillah

    SEORANG pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) meramalkan arena politik negara kembali bergolak jika kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) direalisasikan, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut calon GPS bagi Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, bukan sahaja berlaku ketidakstabilan, malah kemelut politik negara juga bertambah buruk jika benar jajaran itu sedang dirancang.

    “Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH,” katanya menurut Astro AWANI.

    Beliau berkata demikan sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan bergabung dengan PH selepas PRU-15.

    Pada masa sama, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menyuarakan bahawa strategi itu bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan.

    Hadi juga membangkitkan objektif akhir kerjasama itu adalah “menyelamatkan” pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

    Dalam pada itu, Fadillah yang juga ketua whip GPS menyeru pengundi memilih GPS demi kestabilan dan keutamaan Sarawak ketika ini ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.

    “Jika BN dan PH bergabung, itu hak mereka. Keutamaan Sarawak sekarang ialah menentukan dasar di peringkat persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil. GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.

    Isu dakwaan kerjasama BN dan PH itu kemudiannya dinafikan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malah Pengerusi PH-PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kerjasama antara dua seteru politik itu adalah fitnah.

    Sebelum ini, Ahmad Zahid dilapor menepis dakwaan kononnya pemimpin parti itu mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH.

    Sebaliknya, beliau yang juga presiden Umno itu berkata, semua parti mahukan kemenangan besar termasuk parti yang baharu bertanding

  • Parlimen Sik masih perlukan ahli Parlimen lelaki

    Parlimen Sik masih perlukan ahli Parlimen lelaki

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan ucapannya yang didakwa menyentuh kemampuan wanita sebagai wakil rakyat di buat dalam konteks Parlimen Sik.

    Beliau yang mempertahankan kenyataan itu berkata, Sik masih memerlukan seorang ahli Parlimen lelaki untuk berkhidmat kecuali di kawasan-kawasan tertentu lain.

    “Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya (dan) dalam konteks Sik dengan geografi, sosio-ekonomi, sosio-budaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

    “Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik itu adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) PN di Padang Sera, Jerlun.

    Dalam ucapannya sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, UMNO memilih calon ‘betina’ di Sik walaupun terdapat lebih ramai ‘jantan’ dalam parti itu.

    Menurutnya, wanita tidak mampu untuk melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen di situ kerana kawasan yang luas, berkedudukan luar bandar serta memiliki ramai orang susah menyebabkan wakil rakyatnya akan diperlukan setiap masa.

    Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, sebagai penduduk yang tinggal lama di Sik, beliau lebih memahami keperluan Parlimen itu untuk diwakili seorang lelaki berbanding wanita.

    “Saya duduk situ lama dah semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli Parlimen sebelum ini lelaki dan keperluan itu masih ada sampai sekarang.

    “Macam di Kuala Lumpur dan sesetengah kawasan bandar sesuai sangat perempuan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya.

    Justeru, pihak yang mendesaknya untuk memohon maaf perlu memahami dialek Sik dan menyangkal tuduhan bahawa beliau memperlekeh golongan wanita.

    Malah, beliau mengakui dalam sesetengah keadaan wanita lebih kehadapan berbanding lelaki dengan mengambil contoh jumlah kaum itu yang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi berbanding lelaki.

    PN mengekalkan penyandang Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menampilkan calon wanita iaitu Maizatulakmam Othman dan Datuk Latifah Md. Yatim.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang menyatakan mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

    “Pemuda Pas itu pun dah minta maaf, dia terlanjur dia kata. Saya pun tengok video itu. Saya rasa banyak orang yang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita ini dan Alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang pemaaf,” katanya.

  • PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka memecahkan rekod yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama apabila menguasai kerusi Parlimen Besut buat beberapa penggal.

    Peluang PN lebih cerah memandangkan penyandangnya Tan Seri Idris Jusoh menarik diri daripada dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Calon Pas mewakili PN bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, perubahan iklim politik yang berlaku sekarang memberi peluang kepada parti-parti lain.

    Katanya, Parlimen Besut sejak sekian lama dimenangi UMNO, BN dengan mengambil kira ada tokoh yang disegani.

    “Namun sekarang sudah dikesan ada angin perubahan apabila pengundi yang ditemui memberi komitmen memihak kepada PN,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan orang ramai di Pasar Tani Alor Lintah dekat sini semalam.

    Turut hadir Yang Dipertua Pas Besut Wan Azhar Wan Ahmad.

    Che Mohamad Zulkifly sebelum ini merupakan bekas Ahli Parlimen BN Setiu, namun sudah lama keluar daripada parti terbabit.

    Menurutnya juga kerja kuat semua pihak terutamanya kerjasama erat jentera Pas dianggap begitu luar biasa bagi memenangkan calon PN kali ini.

    “Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan dan gerak kerja yang padu petugas PAS dan pelbagai pihak,” ujarnya lapor Harakah Daily.

  • ‘Saya tak ada banyak duit untuk buat poster gergasi macam Anwar,’ kata Peja

    ‘Saya tak ada banyak duit untuk buat poster gergasi macam Anwar,’ kata Peja

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak mempunyai banyak duit untuk membuat poster gergasi seperti yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PH) Perak berkata, beliau juga teringin untuk berbuat demikian sekiranya mempunyai duit.

    Menurutnya berpandangan, Anwar perlu membuat perkara seumpama itu untuk memperkenalkan diri kepada orang Tambun kerana beliau bukan berasal dari kawasan itu.

    “Dia perlu memperkenalkan diri dia. Kalau dia buat poster kecil, orang tak nampak. Jadi kena buat lebih besar dan dengan itu mungkin dapat menarik perhatian orang Tambun.

    “Itu kreativiti beliau, saya meraikan usaha-usaha ini. Beginilah kita berkempen di dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Esports Youth Cabin Negeri Perak di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kehadiran beberapa poster ‘gergasi’ Anwar di tepi Lebuhraya Utara Selatan dan berhampiran pintu gerbang Gugusan Manjoi.

    Poster di Gugusan Manjoi yang terpampang sosok Presiden PKR itu disifatkan begitu unik dan besar dengan ketinggiannya dikatakan melebihi bangunan dua tingkat.

    Mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan posternya malam tadi, Ahmad Faizal yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Tambun berharap, ia tidak akan berulang.

    “Kita menghargai demokrasi, kita menghargai kepelbagaian pendapat dan kita menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih.

    “Namun kalau kita masih ada sikap seperti tidak faham proses demokrasi, tiada semangat demokrasi dalam pilihan raya ini, tentu ia akan mengundang kepada ketidakstabilan politik kerana apabila kita melakukan sesuatu, tentunya ada reaksi daripada pihak yang lain.

    “Kalaulah dalam kalangan penyokong saya pula yang berada dalam berasa marah kerana keadaan itu berlaku, ia tentu akan mengundang masalah lain,” ujarnya.

    Penyandang Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.

    “Namun saya ingin katakan kepada mereka yang telah merosakkan bukan saja poster saya, juga poster pesaing saya, perlulah kita jaga dengan baik dan tidak dirosakkan.. kerana akhirnya kita nak serahkan kebijaksanaan kepada rakyat,” tambahnya.

    Menurutnya, tindakan merosakkan poster calon lain itu tidak semestinya memberi impak negatif kepada calon tersebut, sebaliknya ia mungkin mendapat simpati daripada orang ramai.

    Beliau juga menyerahkan kepada pihak bilik gerakan yang berkenaan untuk membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Saya pula tak ada duit banyak nak buat banner baharu, jadi itulah, nak kena tunggu tengok kalau ada duit lebih, nak kena tempah yang baharu,” katanya, lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun ujarnya, beliau tidak risau kerana yakin orang Tambun telah mengenalinya.

  • GPS sedia kerjasama dengan mana-mana gabungan bentuk kerajaan stabil – Nanta

    GPS sedia kerjasama dengan mana-mana gabungan bentuk kerajaan stabil – Nanta

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan yang berupaya membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan memberikan manfaat kepada rakyat, kata Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata GPS sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan enggan berdepan terlalu banyak ketidaktentuan seperti mempunyai beberapa perdana menteri dalam satu penggal seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Sejak dahulu lagi, misi kami adalah untuk memastikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan semasa yang stabil dan boleh menumpukan kepada pemulihan ekonomi selain mengambil kira segala aspek demi kebaikan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sarawak di sini hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis bahawa  Barisan Nasional (BN) memerlukan bantuan daripada rakan BN Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil meskipun beliau yakin BN mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada PRU15.

    “(Selepas pilihan raya) kita akan bertemu (untuk berbincang sebarang tawaran kerjasama antara gabungan) kerana apa yang lebih penting adalah sesiapa sahaja yang kita bekerjasama, kita mesti yakin bahawa kerjasama itu akan bermanfaat kepada negara. Sudah tentu kita mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan,” kata Nanta. – BERNAMA

  • PN Pahang yakin penerimaan rakyat

    PN Pahang yakin penerimaan rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang yakin dengan penerimaan rakyat terhadap gabungan itu yang dilihat semakin memberansangkang menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sokongan dan sambutan luar biasa rakyat terhadap PN telah melepasi jangkaan sepanjang tempoh berkempen ini.

    “Sebab itu saya katakan sudah ada gelombang dalam penerimaan kepada PN dan gelombong itu menolak kerajaan yang sudah lama.

    “Sambutan ini dapat dilihat bukan sahaja di kawasan bandar, malah di Felda dan kawasan pendalaman.

    “Ada juga dalam kalangan orang bukan Islam sudah memahami matlamat disampaikan PN walaupun ada parti Pas dan ia sudah jelas menunjukkan perkembangan sangat menggalakkan kepada PN,” katanya di Indera Mahkota di Kuantan.

    Saifuddin berkata, jika beliau berjaya mempertahankan Parlimen Indera Mahkota pada PRU kali ini,. banyak perubahan akan dibawanya.

    “Saya akan memberi keutamaan yang lebih kepada aspek ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.

    “Saya yakin dengan sokongan yang diberikan, PN akan beroleh kemenangan di Indera Mahkota dan negeri Pahang,” katanya.

  • Kenyataan undi BN, PH ‘masuk neraka’: Muhyiddin mohon maaf

    Kenyataan undi BN, PH ‘masuk neraka’: Muhyiddin mohon maaf

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada pihak tersinggung dengan kenyataan pengundi “masuk api neraka” jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

    Menurut beliau, seharusnya semua pemimpin PN perlu mengelakkan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham.

    “Tak apalah saya fikir mereka sudah mengetahui penjelasannya.

    “Saya tidak berapa gemar buat kenyataan seperti itu. Yang penting elakkan kenyataan boleh timbulkan salah faham dalam kalangan pengundi,” katanya selepas menghadiri program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram.

    Semalam, Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi “masuk api neraka” jika memilih BN atau PH, berbanding PN.

    Dalam video dimuat naik di laman Facebook Pemuda PAS Sik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf sambil mengakui kenyataan dibuat menyinggung ramai pihak.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, isu kenyataan ketua Pemuda PAS Sik itu tidak perlu diperbesarkan.

    Katanya, yang penting adalah mengenai apa ditawarkan oleh PN kepada rakyat.

    Sementara itu, Muhyiddin menyambut baik kajian mengenai sokongan orang Melayu terhadap PN semakin meningkat.

    Beliau berharap peningkatan itu akan berterusan 70% hingga 80% supaya dapat membentuk kerajaan.

    “Yang penting kita sudah tahu ada peningkatan. Namun kita tidak boleh buat kesimpulan sekarang. Yang penting tunggu hingga 19 Nov ini,” katanya, katanya lapor Free Malaysia Today.

  • PRU-15: Calon PN Parlimen Teluk Intan tegaskan bukan kerja bermusim

    PRU-15: Calon PN Parlimen Teluk Intan tegaskan bukan kerja bermusim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak menyangka mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk di daerah itu.

    Menurut beliau, sokongan diterima setakat ini mungkin kerana penduduk tahu menilai gerak kerja serta rekod cemerlangnya sebagai exco kerajaan negeri.

    “Saya bukan kerja bermusim, rakan media tahu selepas menang, saya terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Macam biasa dan pekerjaan itu adalah rutin saya. Saya tidak sangka menerima sambutan amat baik penduduk Teluk Intan.

    “Bekerja sebagai wakil rakyat, saya tidak sama seperti segelintir wakil rakyat yang lain. Saya akan pegang amanah dan kerja saya dengan baik. Rakyat boleh lihat sendiri apa sahaja yang saya jalankan, saya juga mudah didekati,” katanya kepada FMT.

    Zainol yang juga bekas ADUN Sungai Manik berkata, selain mengangkat isu tempatan, fokusnya juga adalah kepada pembangunan dan pemodenan yang mampu memberi impak lebih besar kepada penduduk.

    Katanya, pembangunan dan pemodenan itu bukan sahaja menarik pelancong dari dalam dan luar negara, sebaliknya ia juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.

    “Antara perkara paling besar yang mereka laungkan ialah membangunkan Teluk Intan, walaupun Teluk Intan ada Menara condong, tapi mereka mahukan impak yang besar kepada penduduk.

    “Tetapi kita hanya ada program berkala, tidak tetap, kenapa tidak kita adakan sesuatu yang tetap memandangkan Teluk Intan menjadi destinasi wajib mesti dikunjungi apabila datang ke Perak,” katanya.

    Menurutnya, Teluk Intan masih kekurangan daya tarikan meskipun berpotensi menjadi kawasan pelancongan, justeru beliau mahu pembangunan yang bakal dibentuk mampu merangsang sektor pelancongan agar mampu menyediakan pakej pelbagai dan menarik.

    “Tarikan tambahan bukan semata-mata Menara Condong kena ade, pakej agar pengunjung bermalam di sini lebih lama. Sektor pelancongan boleh memanfaatkan pembangunan dan keunikan sedia ada di daerah ini untuk menarik pelancong,” katanya.

    Sementara itu, mengenai perkembangan kempen, Zainol berkata, selain aktif di media sosial, beliau masih mengekalkan tradisi berkempen dari rumah ke rumah untuk melihat sendiri isu dan masalah penduduk.

    Ditanya berhubung keyakinan berentap dengan pencabar hebat daripada parti lain, bagi Zainol setiap calon mempunyai cara tersendiri, dan setakat ini beliau lebih selesa bertanding secara sihat tanpa membuat serangan peribadi kepada calon lain.