Category: Politik

  • PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

    PRN: PN yakin 32 calon mampu beri kemenangan, kata Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin 32 bakal calon yang dipertaruhkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos ini akan membawa kemenangan.

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua bakal calon yang diumumkan sudah melalui proses tapisan oleh Majlis Syura Ulama dan pimpinan parti selain perlu melakukan baiah atau ikrar taat setia kepada parti.

    Beliau yang juga Presiden Pas turut meminta semua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan PN seterusnya kekal mentabdir Terengganu.

    “Untuk maklumat, semua calon-calon yang kita pilih ini bagi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada penapisan dia dan ada ikrar dia… Pas ada penapisan Majlis Syura Ulama (untuk) tapis tiap-tiap orang calon.

    “Majlis Syura Ulama tapis pastikan calon ini seorang yang tidak fasik, adil, tidak buat dosa besar, tak buat salah laku (dan) mesti ditapis betul-betul.

    “(Calon yang bertanding perlu) lulus mengikut hukum dan syariat Islam bukan mengikut berita-berita orang cakap kerana hukum Islam ada caranya dan membuat tabayyun (menyemak atau memeriksa) mengikut ajaran Allah SWT,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang malam tadi.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, PRN kali ini PN menampilkan calon-calon yang mempunyai kewibawaan yang luar biasa bagi memastikan kemenangan parti itu.

    “Ini membabitkan 16 calon atau 50 peratus calon ulama atau berkelulusan agama, 13 calon daripada golongan profesional dan usahawan (39.5 peratus) dan tiga lagi calon dengan lain-lain latar belakang.

    “Ia menandakan bahawa satu keadaan dan satu kombinasi yang akan mampu menterjemahkan dasar dan hala tuju Pas untuk memimpin dan mengendalikan kerajaan (Terengganu) bagi penggal lima tahun yang akan datang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada majlis itu, seramai 33 calon termasuk seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diumumkan.

    Daripada 32 DUN di Terengganu, Pas akan bertanding di 27 kerusi DUN manakala kerusi Hulu Besut, Telemung, Permaisuri, Seberang Takir dan Kijal akan ditandingi calon Bersatu.

  • Nik Abduh tolak tawaran dua kerusi – Pas

    Nik Abduh tolak tawaran dua kerusi – Pas

    PAS mengesahkan spekulasi dan menjelaskan Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan selepas menolak dua kerusi yang ditawarkan kepadanya.

    Menurut laporan MalaysiaKini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu tetap berlapang dada walaupun tidak bertanding.

    Malah anggota Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan tindakan tidak mengangkat nama Nik Abduh sama sekali bukan bertujuan menghapuskan legasi bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    “Tiada isu berhubung ketiadaan Nik Abduh kerana dalam politik ruangnya banyak bukan untuk bertanding semata-mata.

    “Kita ada tawarkan satu dua kerusi, namun beliau tolak, Nik Abduh pun kata tidak bertanding pun tidak mengapa, dia boleh fokus kepada sekolah agama yang diuruskannya.

    “Ketiadaan Nik Abduh juga bukan untuk matikan legasi Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz kerana untuk meneruskan legasi bukan hanya perlu menjadi calon sebaliknya perjuangannya yang perlu disambung,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan, di Kota Bharu, malam tadi.

    Dalam pengumuman itu, PN Kelantan menampilkan 23 calon muka baru termasuk enam calon daripada Bersatu di 45 DUN keseluruhannya.

    Terdahulu media melaporkan Nik Abduh sekali lagi tidak dicalonkan seperti mana dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Malaysiakini sebelum ini memetik beberapa sumber melaporkan bekas ketua Pemuda Pas Pusat itu berkemungkinan akan dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

    Sumber memaklumkan beliau ditwarkan untuk bertanding di DUN Kijang dan DUN Kota Lama bagaimanapun menolak kerana lebih berminat dengan kerusi Chempaka.

    Pas Kelantan mengumumkan kerusi itu diberikan kepada calon muka baru, Nik Baharum Nik Abdullah bagi menggantikan posisi yang disandang Fathan Mahmood.

    Untuk rekod, Chempaka merupakan salah satu kubu kuat Pas dan sebelum ini turut diwakili Nik Abdul Aziz sejak 1995 hingga kemuncak karier politiknya pada tahun 2013.

  • PRN: Dua calon wanita taruhan PN-Pas di Kelantan

    PRN: Dua calon wanita taruhan PN-Pas di Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) menampilkan dua calon wanita daripada Pas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan pada 12 Ogos ini.

    Mereka ialah Rohani Ibrahim juga penyandang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas dan calon muka baharu, Nor Asilah Mohamed Zain yang diletakkan di DUN Limbongan.

    Nor Asilah ialah graduan lulusan luar negara dan kini berkhidmat sebagai ustazah di Sekolah Menengah Ugama Arab Saniah di Pasir Puteh.

    Sementara itu, di DUN Demit yang disandang oleh Datuk Mumtaz Mat Nawi diletakkan calon Mohamad Asri Daud iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Untuk rekod, Rohani menyandang DUN Tanjung Mas sejak tahun 2004 dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau mengalahkan Madihah Ab Aziz iaitu calon dari Barisan Nasional (BN)-UMNO yang meraih 4,945 undi sementara Dr Hafidzah Mustakim calon Pakatan Harapan (PH) – Parti Amanah Negara (Amanah) kalah dengan 6,139 undi.

    Rohani mewakili Pas pada PRU14 tahun 2018 itu, menang dengan 13,154 undi yang diraih 7,015.

    Mereka antara 45 calon yang diumumkan Ahmad pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU DUN ke-15 PH di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam ini, lapor Sinar Harian.

  • PRN: Eddin Syazlee tanding DUN Juasseh bertembung Bibi Sharliza

    PRN: Eddin Syazlee tanding DUN Juasseh bertembung Bibi Sharliza

    MESKIPUN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, namun Datuk Eddin Syazlee Shith diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Juasseh pada PRN ini.

    Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bakal berdepan dengan calon dari BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.

    Menurut Eddin, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai calon apabila terus diberi kepercayaan oleh parti.

    “Saya kata sebelum ini terpulang kepada pucuk pimpinan, kalau mereka masih ada keyakinan untuk saya bertanding, maka saya mengambil tanggungjawab itu seperti sebelum ini.

    “Tetapi kesetiaan kepada parti yang penting tidak berbelah bahagi. Walaupun jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tetapi saya tetap memberikan komitmen dan komited dengan perjuangan parti,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Seremban malam ini.

    Dalam pada itu Eddin Syazlee mengakui berdepan cabaran apabila bertembung dengan Bibi Sharliza yang disifatkan satu nama besar sedangkan dirinya hanya ‘underdog’.

    Bagaimanapun katanya, soal itu tidak memberi tekanan kepadanya dan akan berusaha melakukan yang terbaik.

    Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kesihatanya beliau berkata, ia sudah semakin pulih.

    Malah katanya, akan mengkaji kekurangan dan kelemahan sewaktu pilihan raya lalu sehingga menyebabkannya gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah.

    “Alhamdulillah kesihatan saya beransur pulih, ini satu perkembangan yang sangat positif.

    “Saya berharap kali ini semuanya berjalan lancar boleh berkempen dengan lebih sempurna dan lebih kuat untuk memastikan kemenangan PN pada PRN ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: Razali lawan Ahmad Said di Kijal

    PRN: Razali lawan Ahmad Said di Kijal

    PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

    Keputusan itu sekali gus menyaksikan Razali bakal menentang penyandang kerusi tradisi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos depan.

    Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang malam ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.

    Beliau menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.

    Bagaimanapun, keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Kemaman lalu tidak memihak kepada Pengerusi UMNO Terengganu itu.

    Pilihan raya itu menyaksikan Ahmad Said tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi kepada calon Pas, Che Alias Hamid.

    Che Alias yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

  • PRN: Nik Abduh tak disenarai, Ahmad Yakob pertahan Pasir Pekan

    PRN: Nik Abduh tak disenarai, Ahmad Yakob pertahan Pasir Pekan

    MENTERI Besar kelantan, Datuk Ahmad Yakob kekal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kekal mempertahankan DUN Panchor, manakala Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Kamarudin Md. Nor akan bertanding di Air Lanas.

    Bagaimanapun, nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak disenaraikan sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

    Selain itu, bekas Setiausaha Agung UMNO yang menyertai Pas, Tan Sri Annuar Musa juga tidak disenaraikan Pas sebagai calon.

    Pengumuman 45 Calon PN Kelantan itu dibuat Ahmad Yakob yang mana menampilkan 51.11% atau 23 muka baharu.

    “Suatu sejarah di Kelantan di mana colon di Kelantan terdiri dari pelbagai, ada di kalangan ulama, teknokrat, ahli korporat dan profesional.

    “Calon ulama 10 orang, profesional lapan orang, orang muda lima orang, teknokrat 10, aktivis 10, dan wanita dua,” katanya ketika umum senarai penuh calon PN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

    Sebelum ini, Nik Abduh menegaskan tiada sebarang cubaan memadamkan legasi Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali pun namanya tidak tercalon.

    Beliau berkata, menjadi calon pilihan raya bukan sebahagian daripada legasi ‘Tok Guru’, sebaliknya legasi sebenar mempertahankan perjuangan Islam dan kerajaan Kelantan.

    Beliau juga menegaskan akan kekal bersama perjuangan Pas.

    Sebelum ini, Pas menolak dakwaan parti itu cuba menafikan Nik Abduh bertanding pilihan raya dan mematikan legasi bapanya.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pimpinan Pas Kelantan sendiri yang mencadangkan nama Nik Abduh untuk PRN akan datang dan ia diluluskan Majlis Syura Ulama.

  • PRN: PAS ketuai cabaran PN di Kelantan, tanding 39 kerusi

    PRN: PAS ketuai cabaran PN di Kelantan, tanding 39 kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    PAS seperti dijangka mengepalai cabaran PN dengan 39 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi.

    Pengumuman itu dibuat Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

    PN Kelantan melahirkan keyakinan menang semua kawasan ditandingi dan kekal mentadbir negeri.

    Berikut kerusi ditandingi calon PN:

    Kelantan

    Pengkalan Kubor – Wan Roslan Wan Hamat (PAS)
    Kelaboran – Mohd. Adnan Hassan (PAS)
    Pasir Pekan – Ahmad Yakob (PAS)
    Wakaf Baru – Mohd. Rusli Abdullah (PAS)
    Kijang – Dr Izani Husin (PAS)
    Chempaka – Nik Asma’ Bahrum Abdullah (PAS)
    Panchor – Mohd Amar Nik Abdullah (PAS)
    Tanjong Mas – Rohani Ibrahim (PAS)
    Kota Lama – Zamri Ismail (PAS) baru
    Bunut Payong – Shaari Mat Yaman (PAS)
    Tendong – Rozi Muhamad (PAS)
    Pengkalan Pasir – Mohamad Nasriff Daud (PAS)
    Meranti – Mohd. Nassuruddin Daud (PAS)
    Chetok – Zuraidin Abdullah (PAS)
    Gual Periok – Kamaruzzaman Mohamad (PAS)
    Apam Putra – Zamakhshari Mohamad (PAS)
    Salor – Saizol Ismail (PAS)
    Pasir Tumboh – Abdul Rahman Yunus (PAS)
    Demit – Mohd. Asri Mat Daud (PAS)
    Tawang – Harun Ismail (PAS) – baru
    Pantai Irama- Mohd. Huzaimy Che Husin (PAS)
    Jelawat – Zameri Mat Nawang (PAS)
    Melor – Wan Rohimi Wan Daud (PAS)
    Kadok – Azmi Mohd. Nor (PAS)
    Kok Lanas – Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Bersatu)
    Bukit Panau – Abdul Fattah Mahmood (PAS)
    Gual Ipoh – Bahari Mohamad Nor (Bersatu)
    Kemahang – Md. Anizam Ab. Rahman (PAS)
    Selinsing – Tuan Mohd. Saripuddin Tuan Ismail (PAS)
    Limbongan – Nor Asilah Mohamed Zin (PAS)
    Semerak – Nor Sham Sulaiman (PAS)
    Gaal – Rodzi Jaafar (PAS)
    Pulai Chondong – Azhar Salleh (PAS)
    Temangan – Mohamed Fadzli Hassan (PAS)
    Kemuning – Ahmad Zakhran Mat Noor (PAS)
    Bukit Bunga – Mohd Almidi Jaafar (Bersatu)
    Air Lanas – Kamarudin Md. Nor (Bersatu)
    Kuala Balah – Abdul Hadi Awang Kecil (PAS)
    Mengkebang – Zubir Abu Bakar (PAS)
    Guchil – Helmi Abdullah (PAS)
    Manek Urai – Fauzi Abdullah (PAS)
    Dabong – Ku Mohd. Zaki Ku Husin (PAS)
    Nenggiri – Mohd. Azizi Abu Naim (Bersatu)
    Paloh – Shaari Mat Hussain (Bersatu)
    Galas – Mohd. Tarmizi Abd. Rahman (PAS)

  • PRN: Senarai calon PN di Negeri Sembilan

    PRN: Senarai calon PN di Negeri Sembilan

    Berikut adalah senarai nama calon yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

    N.01: Chennah – Rosmadi Arif (Bersatu)

    N.02: Pertang – Amirudin Hassan (Pas)

    N.03: Sungai Lui – Mohd Nordin Hasim(Pas)

    N.04: Klawang – Danni Rais (Bersatu)

    N.05: Serting – Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (Pas)

    N.06: Palong – Noor Azuan Parmin (Bersatu)

    N.07: Jeram Padang – (Akan diumumkan kemudian)

    N.08: Bahau – Kumar S. Paramasivam (Pas-DHPP)

    N.09: Lenggeng – Fazli Che Me (Pas)

    N.10: Nilai – Gan Chee Biow (Bersatu-Bersekutu)

    N.11: Lobak – Ng Soon Lean (Gerakan)

    N.12: Temiang – Datuk Chua Eng Pu(Gerakan)

    N.13: Sikamat – Ahmad Raihan Muhamad Hilal (Bersatu)

    N.14: Ampangan – Muhammad Ghazali Zainal Abidin (Bersatu)

    N.15: Juasseh – Datuk Eddin Syazlee Shith (Bersatu)

    N.16: Seri Menanti – Jamali Salam (Bersatu)

    N.17: Senaling – Amrina Mohd Khalid (Bersatu)

    N.18: Pilah – Rafiei Mustapha (Pas)

    N.19: Johol – Kamarudin Md Tahir (Pas)

    N.20: Labu – Mohamad Hanifah Abku Baker (Bersatu)

    N.21: Bukit Kepayang – P. Subramaniam (Bersatu- Bersekutu)

    N.22: Rahang – Lee Boon Shian(Gerakan)

    N.23: Mambau -N Satesh Kutmar (Pas-DHPP)

    N.24: Seremban Jaya – Lee Ban Fatt (Gerakan)

    N.25: Paroi – Kamarol Ridzuan Md. Zain (Pas)

    N.26: Chembong – Bakly Baba (Bersatu)

    N.27: Rantau – Rozmal Malakan (Pas)

    N.28: Kota – Ahmad Shukri Abdul Shukor (Bersatu)

    N.29: Chuah – Tang Jay Son (Gerakan)

    N.30: Lukut – Datuk Ragu Subramaniam (Pas-DHPP)

    N.31: Bagan Pinang – Abd. Fatah Zakaria (Pas)

    N.32: Linggi – Zamri Md. Said (Bersatu)

    N.33: Sri Tanjung – (Akan diumumkan esok)

    N.34: Gemas – Ridzuan Ahmad (Bersatu)

    N.35: Gemencheh – Tengku Abdullah Tengku Rakman (Pas)

    N.36: Repah – Yong Li Yi (Gerakan)

  • Jadi calon PN, timbalan ketua UMNO Sungai Buloh lucut keahlian

    Jadi calon PN, timbalan ketua UMNO Sungai Buloh lucut keahlian

    KEAHLIAN Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh, Harrison Hassan dilucutkan secara automatik kerana menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

    Ditanya jika Harrison pernah memohon keluar parti, katanya, beliau tidak dapat maklumat itu, tetapi hanya mendengar khabar angin dia akan bertanding atas tiket parti lain.

    “Saya sudah dengar (khabar angin) sebulan lalu, jadi saya tidak terkejut dengan perkara itu.

    “Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain, maka itu pilihan dibuat individu berkenaan,” katanya menurut Utusan Malaysia dalam sidang media di Putrajaya.

    Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu bertanding di 56 kerusi pada PRN Selangor.

    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan 12 calon, diikuti Pas (17), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (lapan) dan 10 calon mewakili Bersatu-Bersekutu, iaitu satu daripada sayap Bersatu.

  • Gelombang hijau belum reda, sedia badai Pulau Pinang, Selangor, NS

    Gelombang hijau belum reda, sedia badai Pulau Pinang, Selangor, NS

    GELOMBANG hijau dan Perikatan Nasional (PN) akan terus membadai negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

    Keyakinan tersebut disebalik dakwaan kononnya gelombang gabungan tersebut semakin reda di negeri-negeri berkenaan.

    Pengerusi PN Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, selain Pulau Pinang, PN juga mampu merampas Selangor dan Negeri Sembilan berdasarkan gelombang yang cukup hebat ditunjukkan rakyat di negeri tersebut.

    Katanya, PN bukan sahaja yakin mampu menang di kerusi majoriti Melayu malah berupaya merampas kawasan majoriti masyarakat Cina yang dilihat mula beralih arah kepada gabungan berkenaan.

    “Daripada apa yang dilihat, gelombang di Selangor memang amat hebat menyokong PN dan akan memberi perubahan pada PRN nanti

    “Negeri Sembilan pula sama macam Perlis, walaupun senyap sahaja suasananya, tapi kita akan lihat perubahan gelombang menyokong PN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer di Padang Besar hari ini.

    Semalam Utusan Malaysia melaporkan keyakinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi meraih kemenangan dua pertiga dalam PRN di Pulau Pinang susulan gelombang PN dikatakan semakin mengendur.

    Keyakinan itu dinyatakan oleh Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengakui meskipun PN berjaya mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun banyak perubahan telah berlaku dalam politik dan pentadbiran negara sehingga kini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Shukri yang juga Menteri Besar berkata berkata, krisis calon DAP di Pulau Pinang juga akan turut memberi kelebihan buat gabungan PN meraih kemenangan pada PRN nanti.

    Selain itu, katanya, PN juga dijangka tidak menghadapi masalah untuk menyapu bersih semua kerusi di negeri-negeri yang ditadbir sebelum ini iaitu Kedah Kelantan dan Terengganu.