Category: Pendapat

  • Perlu langkah lain lengkapi vaksinasi warga asing tanpa janji temu

    Perlu langkah lain lengkapi vaksinasi warga asing tanpa janji temu

    Pelaksanaan inisiatif vaksinasi Covid-19 tanpa janji temu yang akan bermula pada hari ini (1 Ogos) di Kuala Lumpur dan Selangor khusus untuk golongan yang berdepan halangan dalam menerima suntikan vaksin, dijangka dapat menangani isu pemvaksinan warga asing tanpa dokumen sah dan pelarian di negara ini.

    Pemvaksinan golongan itu dilihat oleh banyak pihak sebagai antara aspek penting dalam memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengawal penularan Covid-19 yang kini membebankan ekonomi negara dan juga sistem penjagaan kesihatan yang dilaporkan semakin kritikal.

    Pada masa ini, Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar pemvaksinan terpantas di dunia – 1.35 dos bagi setiap 100 orang – dan vaksinasi tanpa janji temu diyakini dapat meningkatkan lagi kadar itu bersandarkan kejayaan inisiatif serupa “jab first, register later” atau “suntik dahulu, daftar kemudian” di Kapit, Sarawak.

    Aktivis dan pemimpin komuniti imigran di negara ini menyifatkan inisiatif tersebut dapat membantu rakyat negara mereka yang memasuki Malaysia secara sah dan mempunyai permit kerja, namun atas sebab-sebab tertentu tidak dapat mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, iaitu antara medium yang digunakan kerajaan bagi menyertai PICK, menerima vaksin.

    Pemimpin komuniti Filipina, Liezl (bukan nama sebenar) antara yang meluahkan kelegaan itu, dan berkata langkah tersebut dapat memastikan warga asing yang pasport mereka telah tamat tempoh dan masih belum dapat memperbaharuinya, divaksinasi.

    Bagaimanapun ada pihak yang melahirkan kebimbangan inisiatif tersebut tidak akan dapat mencapai sepenuhnya matlamat yang ditetapkan kerana kebanyakan warga asing, khususnya yang tiada dokumen perjalanan yang sah, berasa curiga untuk datang ke pusat pemberian vaksin (PPV), takut ditangkap dan dihantar ke pusat tahanan.

    Menurut mereka, kerajaan perlu menterjemahkan secara lebih terperinci akan jaminan yang diberikan sebelum ini bahawa warga asing tanpa dokumen sah serta pelarian tidak akan ditangkap ketika hadir di PPV.

    Pada Ahad lepas, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin semasa mengumumkan tentang garis panduan vaksinasi untuk warga asing dan pelarian, berkata pemvaksinan akan dilakukan oleh badan bukan kerajaan bagi meyakinkan golongan tersebut yang mereka tidak akan ditangkap.

    Perkara itu turut dijamin oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud yang memberitahu Bernama bahawa “Imigresen tidak akan mengganggu program vaksinasi bagi warga asing mahupun menempatkan pegawainya berhampiran PPV”.

    Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata inisiatif vaksinasi tanpa janji temu untuk kelompok itu boleh berjalan lancar sekiranya arahan pihak atasan sampai kepada kumpulan dan mereka yang bertanggungjawab melaksanakan pemvaksinan.

    Bagaimanapun yang menjadi masalah ialah apabila dasar kerajaan gagal diterjemahkan oleh mereka yang bertanggung jawab di akar umbi, katanya, menambah pendatang tanpa izin dan pelarian hanya akan berasa yakin selepas melihat sendiri janji itu dikotakan.

    Sementara itu, pakar dan aktivis juga menyarankan kerajaan melaksanakan langkah lain bagi melibatkan warga asing tanpa dokumen sah dan pelarian dalam PICK, seperti pandu lalu, vaksinasi dari rumah ke rumah dan unit PPV bergerak yang pada masa ini hanya dilaksanakan untuk penduduk warganegara.

    Dr Faizal berkata kerajaan juga tidak seharusnya menunggu hingga fasa empat PICK untuk melibatkan golongan itu yang disifatkannya berpotensi menjadi “lubuk” penularan virus.

    Warga asing merangkumi kira-kira 10 peratus daripada populasi negara ini, namun statistik jangkitan Covid-19 setakat ini menunjukkan 20 peratus daripada kes yang dicatatkan adalah golongan tersebut.

    Menurut Kementerian Sumber Manusia, terdapat kira-kira 1.7 juta pekerja asing di Malaysia pada 2020, sementara Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran mengunjurkan tambahan dua hingga empat juta lagi warga asing tanpa dokumen sah di negara ini pada 2018.

    Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian pula melaporkan ada lebih 179,000 pelarian di Malaysia setakat Jun tahun ini.

    Pengasas dan Pengarah Our Journey Sumitha Shaanthinni Kishna Sumitha berkata pihaknya bercadang menyediakan unit PPV bergerak memandangkan ramai pekerja asing mungkin enggan hadir di PPV.

    “Bagi warga asing tanpa dokumen, pengalaman lepas menyebabkan mereka sangat keberatan untuk ke premis fasiliti kerajaan, contohnya hospital. Mereka masih takut (dilaporkan ke Jabatan Imigresen),” katanya.

    Di sebalik kebimbangan itu, ada warga asing tanpa izin yang sanggup mengambil risiko asalkan mereka dapat menerima suntikan vaksin secepat mungkin.

    Antaranya warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Surya yang berkata pengalamannya menerima suntikan vaksin AstraZeneca yang diperoleh menerusi program sukarela sebelum ini, mendorongnya menggalakkan rakan senegara mengambil vaksin secepat mungkin.

    “Saya beritahu mereka agar terima suntikan vaksin untuk lindungi diri mereka dan juga orang lain. Jika kita sudah divaksinasi, kita tidak akan berasa begitu takut (dijangkiti). Betul, hidup dan mati ditentukan oleh Tuhan, namun kita juga harus berusaha untuk melindungi diri kita,” katanya yang memberitahu tidak mengalami sebarang kesan sampingan vaksinasi. – BERNAMA

  • Wujud gerakan jatuhkan kerajaan PN – Hadi

    Wujud gerakan jatuhkan kerajaan PN – Hadi

    Oleh DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

    POLITIK Tunisia terkini yang sedang hangat dan panas, mengesahkan telahan banyak pihak bahawa hanya kerajaan Islam sekular sahaja yang diizinkan bergerak. Maka, sebarang perubahan yang menunjukkan hala tuju untuk kembali ke arah Islam akan dihalang.

    Dahulu pernah berlaku satu usaha rampasan kuasa di Turki yang telah gagal, tetapi modus operandinya pada hari ini adalah tetap sama dengan tujuan menyekat kemaraan Islam.

    Namun begitu, musuh Barat berjaya menjatuhkan kerajaan Mesir yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui demokrasi yang sebenar. Walau bagaimanapun, demokrasi yang diamalkan oleh Barat mengharamkan apa jua pengaruh Islam yang dijangka akan berkuasa semula.

    Kerajaan campuran Tunisia telah didominasi oleh Parti al-Nahdah yang berteraskan Islam, dan menjadi parti yang paling berpengaruh dalam kerajaan. Apakah percaturan yang telah menggulingkan kerajaan Mesir yang dipilih oleh rakyat bersama mantan Presiden Mesir, Almarhum Dr. Muhammad Morsi dahulu, akan berulang sekali lagi di Tunisia dengan pendekatan yang berbeza tetapi tujuannya yang sama? Begitulah langkah rampasan kuasa yang gagal di Turki dan sebaliknya berjaya dilakukan di Mesir.

    Langkah yang sama tujuannya telah menjatuhkan kerajaan yang dikuasai oleh Majlis Syura Muslimin (Masyumi) di Indonesia pada tahun 1955, dan juga telah membatalkan Pilihan Raya Majlis Perbandaran di Algeria pada tahun 1990. Termasuklah langkah untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Islam di Afghanistan dan lain-lain.

    Konsepnya sama sahaja, iaitu diizinkan kerajaan Islam sekular wujud sepertimana pembahagian kuasa yang diamalkan oleh penjajah British di Tanah Melayu dahulu dan penjajah lain di negeri-negeri umat Islam yang menjadi tanah jajahan masing-masing. Ketika itu, raja-raja yang menjadi ketua agama dan umat Islam tidak berkuasa penuh, dan mereka hanya berkuasa dalam hal ehwal agama yang dihadkan tanpa kuasa untuk mentadbir negara sepenuhnya.

    Umat Islam yang mengalami masalah yang sama ketika zaman penjajahan dan negara-negaranya yang mengekalkan konsep tersebut, terus tidak bangkit untuk menjadi negara yang maju dan kuat. Sebenarnya itulah bentuk penjajahan baharu dengan pendekatan baharu yang dilaksanakan, sekadar untuk menyekat penentangan umat Islam terhadap penjajah asing yang telah ditukar dengan penjajah tempatan yang dibentuk oleh mereka.

    Akibatnya, walaupun penjajah asing itu sudah pulang ke negeri masing-masing, tetapi agenda penjajahannya masih tetap berlangsung hingga hari ini. Pengaruh dalam lapangan politik, ekonomi dan budaya yang ditinggalkan, diteruskan pergantungannya dengan bekas penjajah masing-masing.

    Kita menyaksikan betapa negara Kesatuan Eropah (EU) dan sekutu Barat terus menjadi negara besar yang maju dan kuat, dengan sumber kekayaan dan tenaga manusia daripada negara umat Islam.

    Adapun dunia Islam yang luas wilayahnya, ramai tenaga manusianya, banyak hasil buminya, dan kedudukannya yang strategik dalam peta dunia tidak mampu menjana semula kekuatan untuk menjadi bangsa yang mulia dan perkasa.

    Kini, kita menyaksikan kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah. Namun begitu, mereka tetap menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia.

    Kita telah berjaya mencetuskan kesedaran, apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu ditubuhkan kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan seluruh kumpulannya. Sehingga kumpulan Islam yang terpengaruh dengannya tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam setelah menjadi pejuang. Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.

    Walaupun begitu, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera (UMNO, Pas dan BERSATU) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem.

    Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat. Bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan.

    Justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.

    Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara. Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara.

    Pada masa yang sama, hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara yang disebutkan di atas, gagal dibawa masuk ke negara kita. Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.

    Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali.

    • Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas. Tulisan ini adalah kenyataan media beliau.
  • Mendamaikan ummah melalui konsep pengorbanan

    Mendamaikan ummah melalui konsep pengorbanan

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    KITA masih dalam bulan Zulhijjah. Bulan yang mengagungkan sifat pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s, yang sanggup berkorban jiwa dan raga atas ketaatan mereka ke hadrat Allah SWT. Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar masing-masing mempamerkan pengorbanan luar biasa, dan terus kita muliakan sehingga ke hari ini.

    Allah SWT berfirman di dalam al-Quran maksudnya:

    Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.”

    (an-Nisa’: 125)

    Sifat pengorbanan kerana Allah SWT ini kekal mengalir dalam tubuh badan setiap Muslim dan sewajarnya dibuktikan melalui akhlak dan perlakuan kita masing-masing dalam apa jua aktiviti kehidupan. Jika Allah SWT membalas pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim dengan meningkatkan martabatnya menjadi insan kesayangan Allah SWT, tidak mustahil pengorbanan kita juga akan dicurahkan dengan sebaik-baik balasan oleh-Nya.

    Yang penting sebagaimana keluarga Ibrahim A.S, ketaatan pada Allah SWT perlulah diberikan secara mutlak, dan dipikulnya segala perintah dan tanggungjawab dengan penuh cekal dan sabar, tidak sesekali berputus asa apa lagi lari dan keluar mencari jalan mudah.

    Dalam menghadapi pandemik Covid-19 umpamanya, kita diarahkan mengorbankan kebebasan pergerakan, kebebasan beribadat, ada yang terpaksa berkorban sumber pendapatan, terpisah dengan keluarga dan pelbagai dugaan lain kecil mahupun besar semata-mata kerana kita mahu mengawal dan memutuskan rantaian pandemik ini.

    Mudah-mudahan berkat pengorbanan kita semua, dan dengan meningkatnya bilangan kadar vaksinasi di kalangan rakyat, wujud imuniti kelompok dalam waktu terdekat, dan kehidupan kita dapat kembali normal. Ia boleh berlaku.

    Dan dalam menghadapi kemelut politik di tanah air juga, sewajarnya semua pihak khasnya kepimpinan politik, beriltizam menjiwai sifar pengorbanan keluarga Ibrahim A.S, demi membina sebuah negara bangsa yang bermaruah dan dihormati dengan mendaulatkan agama dan mempertahankan hak dan kepentingan umat Melayu dan rakyat Malaysia secara amnya.

    Negara ini perlukan keamanan dan kestabilan, umat Melayu Islam serta rakyat Malaysia amnya mahukan jaminan yang kepimpinan kerajaan mampu memimpin mereka ke arah kesejahteraan yang dinanti-nantikan. Biar apabila terkawal pandemik ini, negara mampu bangkit kembali sebagaimana sebelum ini, rakyat terbela dan tiada lagi kebimbangan.

    Parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara khasnya yang membentuk Kerajaan Persekutuan hari ini bertanggungjawab memastikan perkara ini dapat dicapai demi memberikan keyakinan kepada rakyat. Kerana itu sifat sanggup berkorban demi kepentingan yang lebih besar, demi nasib dan masa depan rakyat dan negara wajib didahulukan.

    Cukup-cukuplah kita berbalah dan berpecah sesama kita, bertelagah dan bercakaran sedangkan agama menuntut kita bersatu-padu dan tidak bercerai-berai yang sudah pasti bakal membawa natijah yang buruk buat agama dan bangsa sebagaimana terbukti pasca PRU14 dahulu.

    Inilah masa dan ketikanya untuk masing-masing kepimpinan berlapang dada, berjiwa besar dan mula menggerakkan langkah-langkah perdamaian, yang sudah pasti memerlukan pengorbanan yang besar, yang kita mahukan adalah jajaran politik perpaduan ummah itu diperkasakan, kalau perlu masing-masing berkorban dan bertolak-ansur, maka lakukanlah ia, kerana berkorban itu bukannya sesuatu yang asing pun buat kita sebagaimana ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.

    Langkah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia, adalah pengorbanan besar, langkah positif ke arah memperkasakan jajaran politik perpaduan ummah.

    Ia satu pengiktirafan besar buat UMNO yang sebelum ini dalam PRU-14 telah tewas pada PH. Muhyiddin boleh sahaja melantik seseorang dari partinya sendiri, dan sudah pasti mengeruhkan keadaan tetapi saya yakin langkah ini diambil kerana mahukan UMNO kekal dalam kerajaan dan sanggup terus bersama demi kepentingan negara dan ummah.

    Kesediaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO pula dalam menerima pelantikan Ismail Sabri itu juga dilihat sebagai pengorbanan besar. Dalam kalut pihak musuh khususnya mahu melihat umat Melayu Islam berpecah belah, UMNO keluar daripada kerajaan dan kerajaan ini roboh, tiba-tiba Presiden UMNO mengalu-alukan pelantikan Naib Presiden parti itu sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

    Saya cukup yakin bukan sahaja ahli dan penyokong UMNO malah ramai umat Melayu Islam khasnya menarik nafas lega melihatkan perkembangan ini, apa sahaja yang membawa kepada memperkasa jajaran politik perpaduan ummah pasti disokong dan diterima baik rakyat.

    Dan terbaru langkah bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak pula mengunjungi Timbalan Perdana Menteri yang baru di pejabatnya di Putrajaya terus melegakan rakyat. Kehadiran Najib, bekas Perdana Menteri dan satu-satu tokoh paling popular dalam UMNO dan dalam kalangan rakyat hari ini memberikan lampu hijau kepada politik baru yang diterokai UMNO.

    Jika pengorbanan demi pengorbanan ini dapat ditunjukkan oleh saf kepimpinan politik tanah air khasnya dari kalangan pimpinan parti-parti Melayu Islam terbesar, sudah pasti kita bakal saksikan politik negara yang lebih stabil dan masa depan negara yang lebih terjamin.

    Biarkan musuh yang melukut di tepi gantang terus menggigit jari, biarkan mereka yang mementingkan agenda peribadi, kedudukan anak isteri dan kaum keluarga terus bersekongkol dengan musuh perpaduan ummah dan kekal tersisih dari arus perdana politik negara. Biarkan si Mat Jenin yang tak sabar mahu menjadi Perdana Menteri sejak puluhan tahun lalu terus berangan-angan kosong.

    Pas selaku parti yang berteraskan Islam, yang lebih memahami konsep pengorbanan dan politik perpaduan ummah sewajarnya mengambil peranan pendamai, mendamaikan semua pihak yang berkepentingan dalam kerajaan hari ini, agar dapat dibina suatu permuafakatan yang lebih kukuh dengan meletakkan akidah sebagai tunjang dan penyatuan ummah sebagai jajaran politik baru.

    Harapan dan cita-cita besar ummah jangan digagalkan lantaran kecewa dan berputus asa. Langkah-langkah positif menjelang dan sewaktu Zulhijjah ini diharapkan jangan terhenti tetapi diteruskan, perjuangan yang besar menuntut pengorbanan yang besar, sesungguhnya perjuangan mendukung dan membina kekuatan politik perpaduan ummah ini adalah perjuangan yang sangat besar dan semua pihak perlu sedia berkorban.

    *Artikel ini dipetik dari harakahdaily.net

  • MCW mahu Jabatan Audit Negara lakukan auditan pembelian 16 dron PDRM

    MCW mahu Jabatan Audit Negara lakukan auditan pembelian 16 dron PDRM

    Oleh  JAIS ABDUL KARIM

    PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengikuti rapat isu perolehan 16 dron berkuasa tinggi berharga RM48 juta untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dalam media sosial tular poster yang membandingkannya dengan perolehan dron pihak Polis Amerika Syarikat yang dianggap sama kualiti namun dengan harga lebih murah. Harga RM48 juta itu dikhuatiri tidak munasabah dan dianggap terlalu mahal.

    MCW juga memahami kenyataan media PDRM semalam bahawa cadangan perolehan yang telah diluluskan oleh kerajaan itu berdasarkan kajian harga pasaran dengan spesifikasi terkini untuk tugasan taktikal dan pemantauan sempadan yang dianggap luas.

    Dengan ketahanan, resolusi tinggi dan kemampuan beroperasi pada waktu malam serta dilengkapi dengan sistem sokongan yang serba canggih maka ia memberi justifikasi yang baik dengan harga tersebut.

    MCW yakin dan percaya PDRM dan KDN telah membuat kajian pasaran berdasarkan Arahan Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia yang berkaitan perolehan demi memastikan kepentingan kerajaan terjaga dan mengelakkan ketirisan dana awam serta memastikan perolehan ini mempunyai ‘value for money’ yang terbaik.

    MCW ingin mencadangkan Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan auditan harga dan keperluan spesifikasi dengan membuat perbandingan berdasarkan spesifikasi yang sama. Proses ini penting bagi memperlihatkan ketelusan dan menolak kesangsian awam dalam perolehan ini.

    SPRM juga diharapkan dapat membuat siasatan bagi memastikan tiada unsur  tidak diingini berlaku dalam perolehan ini.

    MCW memandang serius sikap ‘cybertrooper’ yang menviralkan perkara itu sehingga menimbulkan fitnah terhadap PDRM dan Kementerian Dalam Negeri. Mereka bukanlah ‘punching bag’ atau musuh kita sebaliknya segenap lapisan masyarakat perlu menyokong segala usaha yang sedang mereka lakukan untuk memastikan keselamatan negara terjamin.

    MCW berharap tohmahan liar dan jahat seperti ini dapat dihentikan dalam zaman yang sukar sekarang ini agar segala usaha dan fokus perlu diberikan untk menyelamatkan negara kita. Viral poster yang bermotif persepsi jahat terhadap agensi kerajaan mesti disiasat oleh pihak berkuasa bagi mencari niat sebenar pembuat mesej tersebut.

    • Penulis adalah Presiden MCW. Artikel ini adalah kenyataan media beliau.