Category: Luar Negara

  • Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

    Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

    KOREA Utara mengumumkan kejayaannya melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang baharu hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Agensi Berita Korea Utara (KCNA) hari ini.

    Peluru berpandu itu terbang selama lebih 7,500 saat atau kira-kira dua jam di atas ruang udara Korea Utara dan mengenai sasaran pada jarak 1,500 kilometer.

    Bagaimanapun, ujian peluru berpandu jenis cruise itu dipercayai diadakan tanpa kehadiran pemimpin Kim Jong-un dan dipercayai bertujuan untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan negara itu tanpa melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Korea Utara dilarang menggunakan teknologi balistik di bawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB.

    Bagaimanapun, peluru berpandu cruise tidak dikenakan sekatan kerana dianggap kurang memberi ancaman berbanding balistik.

    Peluru berpandu “dengan kelajuan 7,580 saat itu mampu mengenai sasaran sejauh 1,500 kilometer,” lapor KCNA.

    Ujian peluru berpandu itu adalah yang ketiga untuk tahun ini.

    Pada 21 Mac, Korea Utara menyasarkan dua peluru berpandunya ke pantai barat, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).

    Empat hari kemudian, dua peluru berpandu balistik disasarkan ke Laut Timur, dipercayai versi yang ditambah baik dari jenis KN-23 Iskander.

  • Covid-19: Indonesia sedia masuk fasa endemik

    Covid-19: Indonesia sedia masuk fasa endemik

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    INDONESIA sedia untuk fasa perubahan Covid-19 daripada pandemik ke endemik selepas berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak itu.

    Menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo, pandemik tersebut tidak akan hilang begitu saja dalam tempoh terdekat.

    “Kita perlu bersedia untuk fasa perubahan ini dan belajar hidup bersama Covid-19,” katanya ketika melawat program vaksinasi Covid-19 di sebuah sekolah orang kurang upaya di Yogyakarta.

    Antara hujung Jun hingga awal Ogos, Indonesia berdepan lonjakan kes Covid-19 akibat penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.

    Pasukan Petugas C-19 negara itu merekodkan kes harian terbesar pada 15 Julai lalu dengan 56,757 jangkitan dan angka kematian tertinggi 2,068 mangsa pada 27 Julai.

    Bagaimanapun, trend penurunan kes harian dan jumlah kematian mula dilihat sejak pertengahan bulan lalu, yang kini merekodkan kes harian 3,779 jangkitan dan 188 kematian setakat Ahad.

    Kerajaan Indonesia juga sudah mula melonggarkan sekatan pergerakan awam yang dikenali sebagai PPKM, manakala kegiatan ekonomi seperti pusat beli-belah dan pejabat kembali beroperasi dengan kapasiti serta tempoh operasi terhad.

    Sementara itu, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, semua orang boleh kembali melaksanakan pelbagai kegiatan secara berfasa seperti dalam PPKM ketika perubahan daripada pandemik ke endemik.

    “Semua orang perlu berdisiplin dengan mematuhi protokol kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

  • 4.6 juta kematian, 223 juta kes positif Covid-19 global – JHU

    4.6 juta kematian, 223 juta kes positif Covid-19 global – JHU

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATA terbabaru Johns Hopkins University (JHU) mencatatkan lebih 600,000 kes positif baharu Covid-19 dikesan di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam lepas.

    Jumlah itu menjadikan kumulatif kes global ketika ini melebihi 223 juta dengan

    Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 40.5 juta kes.

    Menurut data berkenaan lagi, ini diikuti India dengan lebih 33 juta kes dan Brazil lebih 20.9 juta kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mencatatkan angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.1 juta, Malaysia 1.9 juta kes, Thailand 1.3 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 70,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.6 juta.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 654,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 584,000 kes, India lebih 441,000 kes, Mexico lebih 265,000 kes, sementara United Kingdom kini catat lebih 134,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

  • WHO gesa tangguh beri dos penggalak sehingga hujung tahun

    WHO gesa tangguh beri dos penggalak sehingga hujung tahun

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara kaya yang mempunyai bekalan vaksin Covid-19 berlebihan agar tidak menawarkan dos penggalak atau suntikan dos ketiga sehingga akhir tahun ini, mengulangi gesaan yang diabaikan kebanyakan negara.

    Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika ditemui di Geneva berkata, beliau terkejut dengan kenyataan persatuan pengeluar farmasi terkemuka yang mendakwa bekalan vaksin cukup banyak untuk pemberian dos penggalak sedangkan masih ada negara mengalami kekurangan bekalan vaksin dan amat memerlukannya.

    Menurutnya, ketika 70 peratus negara berpendapatan tinggi telah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduknya, tiada satu pun negara berpendapatan rendah telah mencapai sebarang sasaran.

    Malah katanya, hampir 90 peratus negara berpendapatan tinggi kini telah mencapai sasaran 10 peratus dan lebih 70 peratus telah mencapai sasaran 40 peratus.

    “Kami telah mendengar alasan daripada pengeluar dan beberapa negara berpendapatan tinggi mengenai bagaimana negara berpendapatan rendah tidak mendapat vaksin.

    “Hampir setiap negara berpendapatan rendah sudah mendaftarkan vaksin yang mereka miliki, dan mereka memiliki pengalaman luas dalam kempen vaksinasi berskala besar untuk polio, campak, meningitis, demam kuning dan banyak lagi.

    “Namun oleh kerana pengeluar telah mengutamakan atau diwajibkan secara undang-undang untuk memenuhi perjanjian dua hala dengan negara-negara kaya yang bersedia membayar harga tinggi, negara-negara berpendapatan rendah telah kehilangan cara untuk melindungi rakyatnya,” kata Dr Tedros.

    Dr Tedros sebelum ini pernah meminta moratorium terhadap dos ketiga vaksin Covid-19 sehingga akhir bulan September.

    Bagaimanapun Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah mengumumkan pelan menawarkan dos ketiga terhadap populasi yang mempunyai masalah imunisasi.

  • 100 rakyat Palestin cedera bertempur dengan pengganas Israel

    100 rakyat Palestin cedera bertempur dengan pengganas Israel

    SERAMAI 100 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan anggota tentera Israel berdekatan bandar Nablus di Tebing Barat pada Rabu, lapor Sputnik, memetik Bulan Sabit Merah Palestin.

    “Mereka cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di daerah Beita dan Huwara berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat,” menurut pertubuhan. 

    Pada Rabu, semua gerakan dan kumpulan Palestin bertempur dengan tentera Israel sebagai menyokong tahanan Palestin di penjara Israel.

    Sejak dua bulan kebelakangan ini, kawasan Beita di selatan Nablus telah menyaksikan pertempuran antara rakyat Palestin dan tentera Israel.

    Menurut laporan media, pertempuran itu disebabkan pembangunan penempatan Israel yang baharu di daerah ini yang dimulakan pada Mei.- BERNAMA

  • 14 maut, hospital pesakit Covid-19 terbakar

    14 maut, hospital pesakit Covid-19 terbakar

    SEKURANG-KURANGNYA 14 orang terkorban dan lebih 20 lagi cedera dalam kebakaran sebuah hospital pesakit COVID-19 di bandar Tetovo, barat laut Macedonia Utara, lapor Sputnik.

    Menurut penyiar Alsat, dalam kejadian malam tadi (waktu tempatan), seramai 30 anggota bomba bergegas ke lokasi bersama tujuh jentera.

    Menteri Kesihatan Venko Filipce berkata api telah dipadamkan dan mereka yang cedera dihantar ke Skopje. – Bernama

  • Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    TINDAKAN biadab dua wanita Singapura menghina seorang anggota penguatkuasa republik itu dengan komen kasar mengundang padah apabila kedua-duanya didenda SGD$3,000 (RM9,262) oleh sebuah mahkamah, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, hari ini.

    Beritamediacorp melaporkan, antara kata-kata penghinaan yang dilontarkan dua wanita berusia 50 tahun itu kepada pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) termasuk:”bercakap baik-baik dengan orang kaya” dan memanggil pegawai itu “perempuan gila”.

    Mahkamah diberitahu bahawa, Chee Kam Fah dan Koh Lee Yen merokok di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada pagi 21 September tahun lalu.

    Mereka yang melakukan kesalahan kerana menyalakan rokok di luar kawaan yang ditetapkan kemudiannya dihampiri Asyikah Suri Kamsari, seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan NEA sebagai pegawai penguat kuasa.

    Asyikah ketika kejadian sedang menjalankan tugasnya bersama seorang rakan sekerjanya.

    Kedua-dua pegawai itu kemudian meminta butiran Kam Fah dan Lee Yen untuk mengeluarkan saman.

    Namun ketika Asyikah memasukkan butiran Kam Fah ke dalam terminal elektronik yang dipegangnya, wanita itu berkata dengan marah: “Gaji kau berapa? 1,000 sahaja sebulan, aku rasa.”

    Dia juga berkata: “Cakap baik-baik dengan orang kaya, kau budak miskin”, “Aku bilang kau, kau jalan hati-hati, kau jatuh… jangan langgar kereta” dan “Apa susah, bayar aje, aku ada duit (kata kesat)”.

    Lee Yen yang kemudian turut serta berkata: “Kau diam dan minta IC” serta “Kau selamanya miskin, kau tahu ke tidak?”

    Dia juga menuduh Asyikah “gadis gila” yang gajinya juga tidak cukup untuk membeli bantal untuk menangis. Dia turut menghina ibu bapa pegawai berkenaan dalam bahasa Kantonis.

    Kam Fah kemudian mengeluarkan sekeping nota SGD$1,000 (RM3,087) dan menayangkannya di hadapan muka pegawai itu sambil berkata beliau patut diam sahaja dan mengambil wang tersebut.

    Tanpa disedari kedua-dua wanita itu, semua tindakan mereka dirakam menerusi kamera lekap tubuh Asyikah.

    Sementara itu, Pegawai Pendakwa Negara Nasri Haron meminta denda S$3,000 hingga S$4,000 bagi setiap wanita itu.

    Beliau memberitahu mahkamah, serangan lisan itu “meleret dan berakhir dengan penghinaan serta menjatuhkan maruah mangsa”, yang sekadar menjalankan tugasnya.

    Kedua-dua wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam berkata dalam rayuan masing-masing bahawa mereka berada dalam keadaan tertekan ketika itu.

    Kam Fah melalui seorang jurubahasa berkata, Asyikah “tiba-tiba berjalan ke arah saya jadi pada ketika itu, saya tidak tidak tentu arah”.

    Katanya, dia seorang ahli perniagaan dan amat tertekan akibat pandemik Covid-19.

    Apabila Hakim Daerah Asbendar Kaur bertanya Lee Yen mengapa kawannya melayangkan nota SGD$1,000, wanita itu berkata mereka menyangka boleh membayar saman pada ketika itu juga.

    Dia mendakwa pernah ditangkap membuang puntung rokok sebelum ini dan membayar denda S$300.

    Dakwanya lagi ada dua lelaki lain yang merokok di luar kawasan yang dibenarkan tetapi Asyikah “melepaskan mereka begitu sahaja”.

    “Sebab itu saya menggunakan bahasa seperti ini. Saya juga tidak suka menggunakan bahasa begini.”

    Hakim memberitahu mereka bahawa isu tekanan bukannya alasan untuk mereka berkelakuan sedemikian.

    Kedua-duanya boleh didenda sehingga SGD$5,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

  • Arab Saudi sedia terima 70,000 jemaah umrah sehari

    Arab Saudi sedia terima 70,000 jemaah umrah sehari

    JABATAN Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kesediaan pihaknya menyambut kedatangan 70,000 jemaah umrah sehari.

    Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram Dr Saad Muhammad Al-Muhaimidi menerusi perkongsiannya di Twitter hari ini berkata pihaknya sedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

    Media sebelum ini melaporkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 sehari berbanding 60,000 ketika ini.

     Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah.

      Pihaknya akan sentiasa memantau setiap ruang di Masjidil Haram dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran urusan jemaah.

    Portal berita Saudi Gazette turut melaporkan bahawa penambahan angka itu dibuat berikutan negara berkenaan menjangkakan menerima lebih ramai jemaah umrah dari seluruh dunia tahun ini sejak ibadah itu dihentikan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • AS ‘bimbang’ rekod beberapa anggota Kabinet kerajaan sementara Taliban

    AS ‘bimbang’ rekod beberapa anggota Kabinet kerajaan sementara Taliban

    Pentadbiran Presiden Joe Biden menyuarakan kebimbangan terhadap gabungan dan rekod beberapa anggota Kabinet Taliban yang baharu diumumkan, menurut jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan kepada Sputnik.

    Mullah Mohammad Hassan Akhund

    “Kami dapati senarai nama diumumkan terdiri anggota Taliban atau sekutunya dan tiada wanita.

    “Kami juga gusar terhadap rekod prestasi beberapa individu,” kata jurucakap itu pada Selasa.

    Pada Selasa, Taliban mengumumkan penubuhan kerajaan sementara di bawah pimpinan Hasan Akhund, yang dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2001.

    Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memahami bahawa anggota kabinet yang diumumkan itu merupakan kerajaan sementara, tetapi prestasi tetap dinilai berdasarkan tindakan mereka, menurut jurucakap itu.

    “Kami turut berharap agar rakyat Afghanistan dipimpin sebuah kerajaan yang inklusif,” katanya.

    Sementara itu, AS akan memastikan Taliban berpegang kepada janji menyediakan perjalanan selamat bagi warga asing yang ingin meninggalkan negara itu.

    AS juga berharap Taliban tidak membenarkan negara itu menjadi sarang kumpulan pengganas dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Afghanistan.- BERNAMA

  • Kerajaan baharu Afghanistan akan mula berfungsi dalam masa terdekat

    Kerajaan baharu Afghanistan akan mula berfungsi dalam masa terdekat

    PEMIMPIN Tertinggi Taliban Hibatullah Akhundzada pada Selasa berkata kerajaan sementara Taliban yang baharu dibentuk bakal berfungsi tidak lama lagi, lapor Xinhua.

    “Memandangkan kerajaan sementara dan Kabinet telah diumumkan pihak berkuasa Islamic Emirate, ia akan mulai berfungsi secepat mungkin untuk mengawal dan menjalankan urusan negara.

    “Saya meyakinkan semua rakyat bahawa kami akan bekerja keras untuk mematuhi peraturan Islam dan undang-undang Syariah,” kata Akhundzada dalam satu kenyataan.

    Kerajaan itu akan diketuai oleh Mullah Mohammad Hassan Akhund (gambar), seorang yang berada dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

    Ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan pemimpin tertinggi Taliban sejak kumpulan itu mengambil alih Kabul pada pertengahan Ogos.

    “Kami mahukan kedamaian dan kemakmuran di Afghanistan dan negara yang tidak bergantung kepada orang lain. Kami akan berusaha untuk menghapuskan semua penyebab peperangan dan perselisihan di negara ini dan rakyat hidup aman serta damai,” katanya.

    Kenyataan itu dikeluarkan pada Selasa ketika jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengumumkan barisan pemerintahan baharu, menyaksikan Mullah Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku perdana menteri.- BERNAMA