Category: Luar Negara

  • Kes Covid-19 global kini 230 juta, korban 4.72 juta

    Kes Covid-19 global kini 230 juta, korban 4.72 juta

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KAJIAN terkini Johns Hopkins University (JHU) mendedahkan lebih 500,000 kes positif baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Menurut data JHU, perkembangan itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 global kini melebihi 230 juta.

    Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan 42.6 juta kes, diikuti India dengan lebih 33.5 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.2 juta kes.

    United Kingdom, Rusia dan Perancis antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia masih mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan menghampiri 4.2 juta kes, diikuti Filipina dengan lebih 2.4 juta kes.

    Malaysia pula merekodkan lebih 2 juta kes dan Thailand dengan 1.5 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 82,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.72 juta. Berdasarkan data itu lagi, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 682,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 592,000 kes, India lebih 446,000 kes dan Mexico lebih 273,000 kes, sementara United Kingdom mencatatkan lebih 136,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 141,000 kes.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 37,000 diikuti Malaysia dengan 24,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 15,000 angka korban.

  • Gempa bumi Melbourne, tiada rakyat Malaysia terjejas

    Gempa bumi Melbourne, tiada rakyat Malaysia terjejas

    TIADA rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian gempa berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang melanda berhampiran Melbourne, Victoria, Australia pada Rabu, kata Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, Mazita Marzuki.

    Beliau berkata pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne akan terus memantau keadaan dan menasihati rakyat Malaysia agar bertenang. 

    “Setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan serius melibatkan rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

    Gempa yang melanda Melbourne pada Rabu itu antara yang terkuat menyebabkan kerosakan pada bangunan di bandar kedua terbesar itu dan gegaran turut dirasai di negara jiran.

    Mengulas mengenai keadaan semasa di Melbourne, Konsulat Jeneral memaklumkan keadaan terkawal dengan keperluan asas, infrastruktur dan keperluan lain masih seperti biasa.

    “Sebanyak 46 kerosakan harta benda dilaporkan di Mansfield dan Melbourne. Kira-kira 35,000 penduduk dan sebuah hospital terputus bekalan elektrik seketika,” katanya sambil menambah sekitar 779 rakyat Malaysia berdaftar di pejabat Konsulat.

    Untuk maklumat dan kemas kini, rakyat Malaysia diminta menghubungi Konsulat melalui e-mel [email protected], atau di talian: +613 95735400, talian kecemasan: +61403 859 500, portal:  www.kln.gov.my, FB: https://www.facebook.com/ConsulateGeneralofMalaysiaMelbourne, Twitter:  https://twitter.com/MYCGMelbourne dan Instagram: https://www.instagram.com/malaysiainmelbourne.- BERNAMA

  • Covid-19: Singapura lapor 1,457 kes baharu, 3 kematian semalam

    Covid-19: Singapura lapor 1,457 kes baharu, 3 kematian semalam

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,457 kes baharu COVID-19 pada Rabu (22 Sept), dengan 1,277 dalam komuniti, 176 di asrama pekerja migran dan empat kes import.

    Ia merupakan kes harian tertinggi yang dikesan sejak peningkatan kes sebanyak 1,426 pada 20 April 2020.

    Dalam data dikeluarkan lewat malam tadi, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan 1,083 kes kini ditempatkan di hospital dengan 145 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan tiga kematian, semua membabitkan penduduk tempatan, menjadikan jumlah korban akibat jangkitan COVID-19 seramai 68 orang.

    Satu daripada kes itu melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun, didapati positif COVID-19 pada 13 September.

    Dia belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan keadaan perubatan tidak diketahui, menurut data berkenaan.

    Sementara itu, sejak 28 hari lalu, Kementerian Kesihatan Singapura menyatakan daripada sejumlah 14,412 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak mengalami gejala ringan atau ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus memerlukan rawatan ICU dan 0.08 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Rabu, jumlah keseluruhan kes sebanyak 81,356 dengan 9,198 kes aktif.

    Setakat 21 September, 82 peratus penduduk menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 84 peratus lagi sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA

  • Gempa bumi 5.9 magnitud cetus panik di Melbourne

    Gempa bumi 5.9 magnitud cetus panik di Melbourne

    SATU gempa bumi kuat yang jarang berlaku menggegarkan tenggara Australia pagi ini, menggoncang bangunan dan menjatuhkan tembok serta mengakibatkan penduduk yang panik berlari ke jalan raya di Melbourne.

    Memetik agensi berita AFP, gempa bumi cetek yang melanda bandar kedua terbesar Australia itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan dan dapat dirasai sehingga ratusan kilometer.

    Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu dikesan pada kedalaman 10 km.

    Serpihan bangunan terutama batu bata yang jatuh dari bangunan, berselerak di kawasan beli belah popular di Chapel Street, Melbourne.

    Pemilik kafe Oppen, Zume Phim, 33, berkata beliau bergegas keluar sebaik sahaja gegaran bermula.

    “Seluruh bangunan bergegar, semua tingkap dan kaca turut bergegar, bagaikan ada gelombang melanda.

    “Saya tidak pernah merasai pengalaman seperti ini, agak menakutkan,” katanya.

    Gempa bumi kuat jarang berlaku di kawasan padat penduduk di tenggara Australia

    Kakitangan kafe di Melbourne, Parker Mayo, 30, pula memberitahu, gegaran agak kuat sehingga membuatkan orang ramai panik.

    Batu bata dan serpihan simen memenuhi perkarangan Betty’s Burgers di Melbourne, dengan kepingan besi tergantung di bahagian bumbung luar restoran.

    Pemilik restoran itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, tiada pelanggan berada di restoran ketika itu.

    Dalam pada itu, pakar geologi di University of Melbourne, Mike Sandiford berkata, gempa hampir 6 magnitud itu adalah fenomena terbesar di tenggara Australia sejak kebelakangan ini.

    “Kita ada mengalami gempa bumi kuat sekitar lewat 1800an tetapi kekuatan sebenar tidak dapat diukur pada masa itu.

    “Gempa dengan kekuatan seperti ini hanya dijangka setiap 10 hingga 20 tahun di tenggara Australia, dengan yang terakhir pada 2012 di Thorpdale tetapi kali ini jauh lebih kuat,” katanya.

    Sandiford memberitahu, ratusan gempa susulan juga dijangka berlaku namun kebanyakannya mungkin tidak akan disedari.

    Tambahnya, bencana alam itu mungkin mengakibatkan kerugian berbilion jika pusat gempa terletak di bawah Melbourne.

    Menurut Geosciences Australia, pihaknya mengesan gempa susulan berukuran 4.0 sejurus selepas gegaran pertama.

    Sementara itu, Datuk Bandar Mansfield, Mark Holcombe, berkata tidak banyak kerosakan berlaku di pekan kecil yang menjadi lokasi pusat gempa bumi itu tetapi penduduk agak terkejut.

    “Kami tidak pernah mengalami gempa bumi di kawasan ini, malah tiada seorang pun penduduk tempatan yang pernah merasai gempa bumi di sini sebelum ini,” katanya kepada stesen penyiaran ABC.

    Perkhidmatan kecemasan berkata mereka menerima panggilan kecemasan dari Dubbo, kawasan sejauh 700 km dari pusat gempa.

    Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, yang kini berada di New York, Amerika Syarikat, berkata tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

    “Saya agak terkejut menerima berita gempa bumi kerana bencana alam seumpama ini jarang berlaku di Australia, malah boleh dikatakan amat jarang,” katanya.

  • Krisis Laut China Selatan: Malaysia cuba santuni AS, China

    Krisis Laut China Selatan: Malaysia cuba santuni AS, China

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA mengambil sikap berkecuali dalam krisis Laut Cina Selatan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Cina, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia cuba menyantuni kedua-dua negara itu malah cuba membantu menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.

    “Ada dua perkara yang harus menjadi perkiraan kita. Yang pertama, kita ini negara yang mengamalkan dasar berkecuali. Kita selalunya negara yang neutral.

    “Kedua, bergantung kepada kekerapan sesuatu kuasa besar itu menerjah kawasan kita. Namun demikian kekerapan menerjah itu juga relatif sama ada ia menunjukkan kuasa untuk menguasai ataupun menunjukkan kuasa keberadaannya.

    “Jadi, sukar untuk menyatakan siapa yang berbahaya. Tetapi kita santuni dan perhatikan sebaik mungkin,” katanya pada program Bersama Saifuddin bersama-sama Sinar Harian, semalam.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam berhubung negara manakah yang lebih berbahaya sama ada AS ataupun Cina.

    Dalam konteks kestabilan rantau ASEAN pula, Saifuddin berkata, terdapat tiga faktor utama walaupun beliau menyatakan kerisauan dan kegusaran Malaysia terhadap Australia.

    Ini kerana, beliau berkata, Malaysia masih lagi mempunyai perjanjian pertahanan antara Australia dan New Zealand.

    “Ada waktunya kita mengadakan latihan bersama termasuk dengan kapal-kapal perang mereka. Saya fikir dalam hal ini tentu kita akan kecualikan kapal selam mereka itu.

    “Keduanya, dari segi undang-undang antarabangsa iaitu undang-undang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang lautan antarabangsa. Mereka boleh lalu berhampiran perairan kita asalkan mereka tidak masuk ke dalam perairan kita.

    “Ketiga, kalau mereka (Australia) hadir ke sini, saya yakin AS tentunya akan menghantar anggotanya juga. Kita tak mahu ini berlaku kerana ia boleh mengundang istilah ketenteraan (militarization).

    “Bukan bermakna ada engagement tetapi kawasan kita ini akan menjadi kawasan yang banyak dengan kapal-kapal perang lalu sedangkan kita mahu kawasan ini biarlah banyak kapal-kapal perdagangan,” katanya.

  • ‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

    ‘Virus’ Islamofobia sama bahaya dengan COVID-19

    PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Islamofobia sebagai virus yang sama bahaya dengan COVID-19.

    Memetik laporan Agensi Anadolu, Erdogan berkata demikian dalam pertemuan anjuran Jawatankuasa Pemandu Nasional Turki Amerika di New York City, semalam.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan pendirian Turki akan mengambil peranan utama dalam memerangi Islamofobia di platform antarabangsa.

    “Kami sedang memerangi virus maut dan licik. Virus ini yang sama bahayanya dengan coronavirus, dikenali Islamofobia.

    “Virus ini menular dengan sangat cepat,” katanya.

    Erdogan menambah, Islamofobia berubah menjadi trend yang mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan mengancam keamanan sosial.

    Sebelum menyampaikan ucapannya, beliau mengunjungi Turkevi Centre yang terletak di 821 First Avenue di Manhattan berhampiran ibu pejabat PBB yang akan dibuka dalam masa terdekat.

    Erdogan berkata, bangunan pencakar langit 36 tingkat itu adalah monumen kebanggaan yang akan berfungsi tidak hanya sebagai rumah bagi orang Turki tetapi juga untuk masyarakat Muslim Amerika.

    Bangunan yang bermotifkan seni bina tradisional Turki, terutama daripada Empayar Seljuk dapat dilihat dari pusat bandar Manhattan, East River dan Long Island.

    Ia direka sebagai pencakar langit simbolik yang akan menambah latar langit New York, antara bandar paling ikonik di dunia, dan mencerminkan budaya, sejarah dan kepelbagaian Turki.

  • Singapura lapor lebih 1,000 kes Covid-19 untuk hari kedua

    Singapura lapor lebih 1,000 kes Covid-19 untuk hari kedua

    SINGAPURA, yang kini menghadapi gelombang jangkitan COVID-19 sejak 23 Ogos, telah mencatatkan lebih 1,000 kes baharu untuk hari kedua berturut-turut pada Ahad.

    Dalam data yang dikeluarkan pada Ahad, Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan telah mengesan sejumlah 1,012 kes baharu – termasuk 919 dalam masyarakat, 90 di asrama pekerja migran, dan tiga kes import.

    Pada Sabtu, sebanyak 1,009 kes jangkitan dikesan di sini. Kali terakhir republik ini melaporkan lebih 1,000 kes harian adalah pada April tahun lalu.

    Menurut kementerian sepanjang 28 hari lalu, daripada 11,196 individu yang dijangkiti, 98.1 peratus tidak mengalami gejala atau bergejala ringan, 1.7 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dan 0.04 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Ahad, jumlah keseluruhan kes ialah 77,804 dengan 7,144 kes aktif.

    Setakat ini, 60 orang telah meninggal dunia kerana COVID-19 di republik ini.

    Pada 18 September, 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 manakala 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.-BERNAMA

  • Kes positif Covid-19 global hampiri 228 juta, kematian 4.68 juta

    Kes positif Covid-19 global hampiri 228 juta, kematian 4.68 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHNS Hopkins University (JHU) menerusi data terbaharunya memaklumkan, kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini menghampiri 228 juta.

    Menurut JBU, perkembangan itu selepas
    hampir 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 227,939,234.

    Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling terjejas dengan 42,038,402 kes.

    Ini diikuti India dengan 33,417,390 kes dan Brazil dengan 21,080,219 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan 4,188,529 kes.

    Ini diikuti dengan Filipina dengan, 2,347,550, Malaysia (2,082,876) dan Thailand (1,462,901) serta Singapura (76,792).

    Sementara itu, angka kematian seluruh dunia kini melebihi 4.68 juta iaitu pada 4,683,818 kes.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 673,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 589,000 kes, India lebih 444,000 kes, Mexico lebih 270,000 kes

    Sementara United Kingdom kini mencatat lebih 135,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 140,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua angka korban tertinggi dengan lebih 36,000 diikuti Malaysia dengan 23,000 kes.

    Sementara Thailand mencatatkan lebih 15,000 angka korban.

  • England tawar vaksinasi Covid-19 remaja 12-15 tahun

    England tawar vaksinasi Covid-19 remaja 12-15 tahun

    SEMUA remaja berusia 12 hingga 15 tahun di England akan diberikan vaksin Covid-19 selepas penasihat perubatan tertinggi negara itu menyatakan kanak-kanak akan mendapat manfaat daripada sedikit gangguan dalam pendidikan mereka.

    Kerajaan Britain lapor agensi berita Reuters mengesahkan suntikan itu akan diperluaskan kepada semua kanak-kanak berusia 12-15 tahun selepas sokongan sebulat suara oleh Ketua Pegawai Perubatan (CMO) dari empat negara di United Kingdom (UK).

    “Saya telah menerima saranan daripada CMO untuk memperluaskan vaksinasi ke atas mereka berusia 12-15 tahun bagi melindungi remaja daripada dijangkiti Covid-19, mengurangkan jangkitan di sekolah dan memastikan pelajar kekal berada di kelas,” kata Menteri Kesihatan, Sajid Javid dalam satu kenyataan.

    Pelancaran vaksinasi di England akan bermula minggu depan manakala Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkan polisi kesihatan sendiri walaupun setiap kerajaan menerima nasihat yang sama daripada ketua pegawai perubatan masing-masing.

    CMO menyarankan remaja 12 hingga 15 tahun di Britain mendapatkan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech selepas jawatankuasa bersama vaksinasi dan imunisasi (JCVI) awal bulan ini memutuskan untuk tidak menyokong cadangan tersebut.

    Remaja yang mempunyai masalah kesihatan sebelum ini telah disarankan mengambil vaksin Covid-19.

    Amerika Syarikat (AS), Israel dan beberapa negara Eropah lain telah memulakan vaksinasi kepada remaja dengan lebih meluas.

    Terdapat lebih daripada 134,000 kematian akibat Covid-19 di Britain dengan pemberian vaksinasi mula perlahan setelah lebih 81 peratus orang berumur 16 tahun ke atas telah lengkap dua dos vaksin.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty berkata, vaksinasi remaja dapat mengelakkan gangguan pendidikan.

    “Kami percaya vaksinasi penting dan mungkin membantu dalam mengurangkan impak kesihatan awam dari gangguan pendidikan,” katanya.

    Menurut CMO, dos kedua tidak akan diberikan kepada kumpulan umur itu sehingga sekurang-kurangnya musim bunga nanti kerana masih menunggu lebih banyak data dari seluruh dunia.

  • Covid-19:225.1 juta kes positif global, 4.637 juta korban,

    Covid-19:225.1 juta kes positif global, 4.637 juta korban,

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Johns Hopkins University (JHU) menerusi kajian dan data terbaharunya mendedahkan, kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 225.14 juta.

    Jelas JHU, perkembangan itu disumbangkan hampir 600,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan 41.1 juta kes, diikuti India dengan lebih 33 juta kes dan Brazil dengan lebih 20.9 juta kes.

    United Kingdom dan Rusia antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes, manakala Perancis dan Turki melebihi 6 juta kes.

    Argentina pula melebihi 5 juta manakala Colombia dan Sepanyol pula mencatat kes melebihi 4 juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

    Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 2.2 juta, Malaysia 1.97 juta kes, Thailand dengan 1.38 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 71,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.637 juta.

    Berdasarkan data itu, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 661,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 586,000 kes, India lebih 442,000 kes, Mexico lebih 267,000 kes, sementara United Kingdom mencatat lebih 134,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 92,000 kes ialah Jerman sementara Sepanyol melebihi 85,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 139,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 35,000 diikuti Malaysia 21,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 14,000 angka korban.