Category: Luar Negara

  • Pandora Papers dedah 2 ahli politik Malaysia miliki akaun luar pesisir, ada kaitan 1MDB

    Pandora Papers dedah 2 ahli politik Malaysia miliki akaun luar pesisir, ada kaitan 1MDB

    INTERNATIONAL of Investigative Journalists (ICIJ) mendedahkan, terdapat beratus-ratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain.

    Menurut ICIJ menerusi pendedahan digelar Pandora Papers, ini dilakukan sejak 25 tahun lalu yang melibatkan 12 juta fail dimiliki 14 firma di serata dunia.

    Menerusi pendedahan itu yang dilakukan semalam melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara, menunjukkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS dalam pelbagai akaun luar pesisir.

    Mereka dilapor mengambil langkah tersebut, antara lain bertujuan mengelak membayar cukai.

    ICIJ dalam penafiannya menjelaskan, wujud penggunaan sah untuk akaun luar pesisir dan tidak semua individu yang terlibat adalah korup.

    Siasatan yang dilakukan selama setahun ini mendedahkan bagaimana bank dan firma guaman bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan luar persisir untuk mereka struktur korporat yang rumit.

    Antara nama individu didedahkan mempunyai akaun luar pesisir sulit adalah Raja Jordan Raja Abdullah II, bekas perdana menteri United Kingdom Tony Blair, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Russia Vladimir Putin.

    Menurut pendedahan tersebut, dua ahli politik daripada Malaysia didakwa memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat dengan pemilik berasal dari Malaysia.

    Antara nama yang disebut adalah Jho Low dan kaitannya dengan sebuah firma undang undang Amerika global yang dilaporkan diguna untuk membina jaringan syarikat di Malaysia dan Hong Kong.

    Syarikat ini didakwa pihak berkuasa Amerika digunakan untuk menyalurkan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

  • Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad mati nahas jalan raya

    Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad mati nahas jalan raya

    SEORANG kartunis dari Sweden yang sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia selepas melukis gambar Nabi Muhammad, maut dalam kemalangan jalan raya semalam.

    Menurut media tempatan, Lars Vilks dilaporkan terbunuh ketika kereta polis yang dinaikinya bertembung dengan sebuah trak berdekatan bandar Markaryd di selatan Sweden.

    Dua anggota polis turut dilaporkan terkorban dalam nahas itu manakala pemandu trak berkenaan dibawa ke hospital untuk rawatan.

    Vilks, 75 tahun, hidup di bawah perlindungan polis selepas berdepan ugutan bunuh susulan lukisannya yang menimbulkan kontroversi.

    Hasil lukisan kartun berkenaan yang dihasilkan pada 2007, dikritik ramai kerana ibarat mencerca Nabi Muhammad.

    Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad maut nahas jalan raya di Sweden

    Bagaimanapun, pihak polis setakat ini belum mengeluarkan keterangan berhubung mangsa nahas namun pasangan Vilks mengesahkan kematiannya kepada akhbar tempatan, Dagens Nyheter.

    Lukisan kartun Vilks itu turut mencetus pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin seluruh dunia.

    Ini memaksa Perdana Menteri Sweden ketika itu, Fredrik Reinfeldt, bertemu duta besar dari 22 negara Islam dalam usaha meredakan keadaan.

    Al-Qaeda di Iraq juga menawarkan ganjaran AS$100,000 atau RM417,000 bagi pembunuhannya.

    Pada 2015, Vilks menghadiri perdebatan mengenai kebebasan bersuara yang menjadi sasaran serangan senjata api di Copenhagen.

    Dakwanya, dia mungkin menjadi sasaran serangan sehingga seorang pengarah filem terbunuh.

  • Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

    Kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang sehari

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini.

    Bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang.

    Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi paada awal September lepas mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.

    Selain itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

    “Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya. – Bernama
     

  • 4.78 juta korban, 233.5 kes juta Covid-19 seluruh dunia

    4.78 juta korban, 233.5 kes juta Covid-19 seluruh dunia

    JOHNS Hopkins University (JHU) menerusi kajian terbahrunya memaklumkan, kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melepasi 233.57 juta.

    Menurut data JH perkembangan itu berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Data terbaharu JHU juga menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 43 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 33.7 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.3 juta kes.

    United Kingdom, Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Argentina catata angka lebih 5 juta diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.

    Bagi Asia Tenggara pula, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan hampir 4.2 juta kes.

    Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.5 juta, Malaysia lebih 2.2 juta kes, Thailand dengan 1.5 juta kes, manakala singapura merekodkan lebih 94,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.778 juta.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 696,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 596,000 kes, India lebih 448,000 kes, Mexico lebih 276,000 kes, sementara Rusia kini mencatat lebih 203,000 kematian.

    United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 93,000 kes ialah Jerman sementara Sepanyol melebihi 86,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 141,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 38,000 diikuti Malaysia dengan 26,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 16,000 angka korban.

  • Banduan merusuh di penjara, 24 nyawa melayang

    Banduan merusuh di penjara, 24 nyawa melayang

    SATU rusuhan berlaku di sebuah penjara di bandar Guayaquil, Ecuador pada Selasa mengorbankan 24 banduan manakala 48 yang lain cedera.

    Kejadian dikatakan berpunca akibat pergaduhan membabitkan geng di penjara Litoral Penitentiary, lima banduan maut dipenggal, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa penjara.

    Pasukan polis dan tentera dihantar ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

    Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan ramai banduan naik ke bumbung bangunan penjara dan kendengaran bunyi tembakan serta letupan.

    Media tempatan melaporkan rusuhan itu membabitkan geng ‘Los Lobos’ dan ‘Tiguerones’.

    Pada Julai lalu, Presiden Ecuador mengisytiharkan darurat di penjara negara itu selepas berlaku pertempuran antara geng yang meragut 22 nyawa banduan dan puluhan lagi cedera.

    Sebelum ini pada 24 Feb sekurang-kurangnya 80 banduan maut dalam rusuhan yang berlaku serentak di penjara di tiga bandar. – BERNAMA

  • Kementerian luar lantik penasihat khas mengenai Afghanistan

    Kementerian luar lantik penasihat khas mengenai Afghanistan

    KEMENTERIAN Luar melantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ahmad Azam Ab. Rahman sebagai penasihat khas Wisma Putra mengenai Afghanistan.

    Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, pengalaman luas Azam dapat membantu Wisma Putra memperoleh lebih maklumat mengenai Afghanistan.

    “Selain memberikan maklumat dan nasihat, beliau juga membantu Wisma Putra untuk mempermudah usaha kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.

    “Melihat kepada keadaan sekarang, sangat penting bagi kita untuk terus berhubung dengan sumber boleh dipercayai dan Azam punyai kelebihan.

    “Ini sangat penting untuk membolehkah kita lebih memahami dengan betul mengenai perkembangan terbaru itu. Sudah tentu Wisma Putra akan guna pelbagai sumber lain tetapi pengalaman beliau membantu kami dapatkan maklumat tambahan lain yang penting,” lapor MalaysiaNow.

    Beliau mengumumkan pelantikan itu pada Persidangan KL mengenai Afghanistan: Re Emergence of a Nation, hari ini.

    Acara ini anjuran bersama Global Peace Malaysia (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

    Azam juga adalah pengerusi GPM.

  • [VIDEO]Gengster Delhi mati ditembak pesaingnya di mahkamah

    [VIDEO]Gengster Delhi mati ditembak pesaingnya di mahkamah

    LELAKI bersenjata berpakaian sebagai peguam menembak mati seorang gengster India terkenal di sebuah mahkamah Delhi hari ini sebelum polis membunuh kedua-dua penyerang itu.

    Memetik laporan AFP polis berkata, Jitendra Gogi, seorang samseng yang ditahan Mac tahun lalu ketika kejadian berdiri di hadapan hakim di mahkamah sebelum dua lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan.

    Saksi memberitahu media bahawa kira-kira 12 tembakan dilepaskan di dalam mahkamah.

    Tembakan itu mengenai Gogi beberapa kali sebelum peguam palsu berkenaan dibunuh oleh pegawai khas perlindungan.

    Menurut laporan media yang memetik polis, lelaki bersenjata itu merupakan geng pesaing Gogi.

    Rakaman video dari telefon bimbit mengenai insiden tembakan di mahkamah di daerah Rohini, Delhi itu menunjukkan peguam dan peguam bela berlindung di koridor di luar mahkamah ketika tembakan kedengaran.

    Gogi, sekitar 30-an dikaitkan dengan pertempuran geng, pembunuhan, rompakan dan pemerasan di Delhi dan negeri-negeri di utara India.

    Dia pertama kali ditangkap pada 2016 tetapi melarikan diri dari tahanan polis dan berjaya mengelak daripada ditangkap hingga tahun lalu.

    Reputasi ganas Gogi menjadikannya sasaran polis dan pesaingnya, dengan laporan media menyatakan geng lain marah dengan tindakannya memasuki wilayah mereka.

    Polis Delhi memberitahu, selepas penangkapannya tahun lalu, Gogi sedang dalam pertempuran sengit dengan ketua geng yang mengawal wilayah di utara India dan dikenali sebagai Tillu.

    Anggota kumpulan Tillu menyamar sebagai peguam untuk memasuki mahkamah Delhi hari ini, kata laporan media.

    Persoalan mengenai keselamatan di mahkamah India kerap kali dibangkitkan.

    Kompleks Rohini sering menangani kes yang berkaitan dengan penjenayah berprofil tinggi.

  • China salur 1.2 bilion dos vaksin kepada dunia

    China salur 1.2 bilion dos vaksin kepada dunia

    CHINA sudah menyalurkan 1.2 bilion dos vaksin COVID-19 serta vaksin berbentuk cecair kepada lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa, menurut Kementerian Luar.

    Jurucakapnya, Zhao Lijian berkata setakat ini, China telah menggerakkan bantuan peralatan perubatan kepada 150 negara dan 14 organisasi antarabangsa.

    Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berhubung penglibatan China dalam usaha memerangi pandemik di peringkat dunia, di sini, pada Khamis.

    Terdahulu, Presiden Xi Jinping semasa sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mengulangi komitmen dan iltizam China untuk memastikan vaksin COVID-19 dimanfaatkan untuk kebaikan global.

    Seperti diumumkan beliau, China komited untuk membekalkan dua bilion dos kepada dunia sepanjang tahun ini.

    Selain menyumbangkan US$100 juta (RM418 juta) kepada Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 (COVAX), negara Tembok Besar itu berjanji akan berkongsi 100 juta dos lagi kepada negara-negara membangun tahun ini.

    “Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesaksamaan dalam akses dan kemampuan memiliki vaksin di negara membangun,” kata Zhao.

    Beliau turut merayu kepada pihak-pihak lain supaya terlibat dalam membantu negara membangun menerusi pendekatan praktikal.- BERNAMA

  • Insiden tembakan kedai runcit di AS, 1 maut 12 cedera

    Insiden tembakan kedai runcit di AS, 1 maut 12 cedera

    SEKURANG-kurangnya seorang maut dan 12 yang lain cedera selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kedai runcit berhampiran Memphis di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

    Penyerang turut maut, kemungkinan suspek menembak diri sendiri, kata Ketua Polis Collierville, Dale Lane pada sidang media. 

    Katanya, polis sedang menunggu peralatan khas untuk melakukan siasatan ke atas kenderaan suspek yang diletakkan di tempat letak kereta Pasaraya Kroger. 

    Laporan awal menyatakan 13 orang dilaporkan cedera dan jumlah mangsa mungkin akan berubah.

     “Kejadian ini mengerikan. Saya telah terlibat selama 34 tahun dan tidak pernah melihat perkara seperti itu,” katanya.- BERNAMA

  • Rakyat Malaysia dipenjara 15 tahun terbabit kumpulan Al-Shabaab

    Rakyat Malaysia dipenjara 15 tahun terbabit kumpulan Al-Shabaab

    RAKYAT Malaysia Ahmad Mustakim Abdul Hamid dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia kerana terbabit dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab.

    Atase Akhbar Kedutaan Somalia di Malaysia Abdimajit M. Osman ketika dihubungi Bernama berkata hukuman itu dibaca oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera Hassan Ali Nur Shuuto.

    “Namun, di bawah sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk buat rayuan,” jelas Abdimajit.

    Semalam Bernama melaporkan perbicaraan Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.

    Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.

    “Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab. Kerajaan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.

    “Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan. Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat. Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.

    Abdimajit berkata, Mustakim, 34, rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.

    Sementara itu, Agensi Berita Somali (Sonna) melaporkan mahkamah itu turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lagi warga asing yang ditahan bersama dengan Mustakim.

    “Mustakim membantu kumpulan itu dengan memberikan pertolongan cemas dan mengambil bahagian dalam pertempuran di Mogadishu dan Dhusamareb,” kata agensi itu berdasarkan transkrip terjemahan oleh Kedutaan Somalia di Malaysia.

    Pada Sabtu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata kementerian luar memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap Mustakim.

    Saifuddin berkata pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.

    “Kementerian luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

    “Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” katanya.

    Al-Shabaab, sekutu paling kuat al-Qaeda, terkenal dengan serangan berprofil tinggi seperti serangan 2013 terhadap Westgate Mall di Nairobi, Kenya selain terbabit dengan pembunuhan ahli politik dan pegawai tentera Somalia.