Category: Luar Negara

  • Gempar lelaki tangkap ikan berkepala buaya

    Gempar lelaki tangkap ikan berkepala buaya

    SEORANG pemancing, Danny Lee Smith tidak menduga apabila menangkap seekor ikan berkepala buaya di sebatang sungai di Texas baru-baru ini.

    Pada mulanya, kejayaan menangkap ikan tersebut di Sungai Neosho di negeri Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu itu tidak didedahkan.

    Bagaimanapun cerita tersebut diketahui ramai apabila didedahkan menerusi satu dokumentari yang disiarkan baru-baru ini di AS.

    Berat ikan berkepala buaya yang berjaya ditangkap oleh Smith dengan pancingnya itu ialah 17.92 kilogram (kg) manakala panjang haiwan tersebut ialah 1.37 meter
    .

    Menurut satu kenyataan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Kansas (KDWP), lelaki itu berjaya memangkap haiwan tersebut setelah dia mengikuti tip memancing ikan di sungai berkenaan.

    Menurut Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS, haiwan itu boleh ditemui di kawasan dari barat daya Ohio dan selatan IIIinois sehingga ke Sungai Mississippi serta di Teluk Mexico.

    “Bagaimana haiwan itu boleh berada di Sungai Neosho masih menjadi misteri.

    Ini adalah kerana ikan itu bukannya haiwan yang hidup secara semula jadi di sungai itu,” jelas kenyataan itu.

    Justeru, Penyelia Ikan diJabatan Hidupan Liar dan Taman Kansas, Sean Lynott percaya ikan tersebut kemungkinan dilepaskan ke sungai itu dari sebuah akuarium.

    “Terdapat juga kemungkinan bahawa seseorang individu telah melepaskan haiwan itu ke sungai tersebut,” katanya. – Agensi

  • 5 maut, 2 lagi cedera dalam serangan guna panah

    5 maut, 2 lagi cedera dalam serangan guna panah

    LIMA terbunuh dan dua yang lain cedera dalam satu serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah di pusat bandar Kongsberg, kira-kira 82 km barat daya ibu kota Norway, Oslo pada Rabu, kata polis.

    Seorang daripada dua mangsa yang cedera adalah anggota polis berpakaian awam. Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital, menurut maklumat yang disahkan oleh Ketua Polis daerah tenggara Oyvind Aas kepada Perbadanan Penyiaran Norway (NRK) pada Rabu malam.

    “Sekitar pukul 18:13 waktu tempatan, polis menerima maklumat mengenai seorang individu yang bersenjatakan busur dan anak panah menyerang orang awam,” lapor Xinhua memetik Aas dalam sidang media sebelumnya.

    Menurut ketua polis, suspek ditangkap di kawasan yang sama sekitar jam 18:40 waktu tempatan. Berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri sebelum ditangkap.

    “Berdasarkan maklumat yang kami ada, suspek bertindak sendirian. Berdasarkan kejadian itu, ia wajar dipertimbangkan sebagai serangan pengganas, namun terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” kata Aas.

    Polis belum dapat menentukan sama ada kejadian itu adalah serangan bermotif pengganas dan masih meneruskan pengawasan di kawasan itu.

    Menurut Aas siasatan mengenai serangan itu masih berjalan. – BERNAMA

  • Ribut solar melanda tengah malam ini, patutkah kita panik?

    Ribut solar melanda tengah malam ini, patutkah kita panik?

    RIBUT solar dijangka melanda bumi tengah malam ini dan mungkin menyebabkan berlaku masalah dalam sistem bekalan elektrik.

    Memetik laporan portal The Sun, ribut itu juga dijangka mencetuskan fenomena Cahaya Utara atau Aurora Borealis di hemisfera utara.

    Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Amerika Syarikat (NOAA) menjangka ribuat solar melanca bumi sekitar pukul 5 petang waktu UK (12 tengah malam waktu Malaysia).

    Fenomena tersebut boleh menjejaskan komunikasi dengan menganggu isyarat radio.

    Pada 1989, ribut solar yang kuat menyebabkan wilayah Quebec di Kanada mengalami gangguan bekalan elektrik selama sembilan jam.

    Medan magnet bumi mampu memberi perlindungan daripada kesan serius ribut berkenaan.

    Ketika ini, matahari pada peringkat permulaan kitaran 11 tahun yang lazimnya menyaksikan kerap berlaku letusan dan percikan.

    Fenomena ini dijangka memuncak sekitar 2025.

    NOAA dalam laman sesawangnya memberitahu, analisis meramalkan ribut solar mula berlaku petang ini (waktu AS) pada 11 Oktober, dengan kesannya sehingga 12 Oktober.

    Ribut itu dijangka berlaku pada skala sederhana namun boleh berpanjangan hingga keesokannya.

    Walau bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa panik kerana Jabatan Meteorologi UK menyatakan, fenomena itu hanya menyebabkan ribut geomagnetik berskala kecil dan sederhana.

    “Ribut kecil dijangka berterusan sehingga 12 Oktober sebelum angin kencang dari lubang korona melanda, mungkin melanjutkan tempoh aktiviti geomagnetik.

    “Aurora mungkin dapat disaksikan di sekitar Scotland, walaupun mungkin terhalang oleh awan tebal.

    “Aurora juga mungkin dapat dilihat di utara England dan kemungkinan besar di Ireland Utara malam ini,” kata jabatan itu.

  • 13 maut bas terjunam ke sungai

    13 maut bas terjunam ke sungai

    SERAMAI 13 penumpang terbunuh manakala seorang lagi masih hilang selepas bas dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Pingshan County, wilayah Hebei, China, pada jam 7 pagi semalam.

    Menurut laporan CGTN, semasa kejadian, bas milik syarikat keluli Jingye Group itu dilapor membawa 51 penumpang.

    Mangsa maut terdiri daripada 50 penumpang yang berjaya dikeluarkan pada jam 7 malam, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan.

    Seramai 37 penumpang bas terselamat dalam nahas berkenaan dan tujuh daripada dirawat di hospital

    Sejumlah 37 mangsa lagi masih hidup dengan tujuh daripadanya dirawat di hospital.

    Pemandu bas ditahan polis dan siasatan sedang dijalankan.

  • Kes positif Covid-19 global melebihi 237.7 juta

    Kes positif Covid-19 global melebihi 237.7 juta

    KUMULATIF kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 237.7 juta.

    Menurut data terbaharu Johns Hopkins University (JHU), ini berikutan lebih 300,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

    Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling terjejas dengan 44.3 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 33.9 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.5 juta kes.

    United Kingdom kini catat lebih 8 juta kes, manakala Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

    Argentina melebihi 5 juta dan diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.2 juta kes.

    Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 2.6 juta, Malaysia lebih 2.3 juta kes dan Thailand dengan 1.7 juta kes manakala Singapura merekodkan lebih 124,000 kes.

  • 46 maut dalam serangan bom di masjid di Afghanistan

    46 maut dalam serangan bom di masjid di Afghanistan

    SERANGAN bom di sebuah masjid Syiah di bandar Kunduz,  Afghanistan meragut sekurang-kurangnya 46 nyawa pada Jumaat. 

    Kejadian berlaku di Masjid Seyedabad kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT), lapor Agensi Anadolu.

    Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan Kunduz, Matiullah Rouhani berkata, letupan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 46 nyawa manakala 143 yang lain cedera.

    Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid menerusi Twitter berkata ramai mangsa terbunuh dan cedera oleh serangan “pemberontak” itu.

    Beliau turut mengecam tindakan keji itu serta berjanji akan mencari pelakunya dan membawanya ke muka pengadilan. 

    Sementara itu, kumpulan pengganas Daesh/ISIS dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Pada Ahad, sekurang-kurangnya lapan terbunuh dan 20 yang lain cedera selepas sebutir bom meletup berhampiran pintu masuk Masjid Eidgah di Kabul. – Bernama

  • 6.39 bilion dos vaksin Covid-19 disuntik seluruh dunia

    6.39 bilion dos vaksin Covid-19 disuntik seluruh dunia

    DATA terbaharu Johns Hopkins University (JHO) memaklumkan, China kini mendahului dengan lebih 2.21 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Jelas data tersebut, ini diikuti India sebanyak 931 juta dos manakala Amerika Syarikat dengan lebih 398 juta dos vaksin.

    Brazil catat lebih 245 juta dos sementara Jepun melebihi 170 juta dos.

    Manakala Turki, Jerman dan Mexico mencatat angka melepasi 100 juta dos.

    Di Asia Tenggara, Indonesia jauh di hadapan negara lain dengan 152 juta dos.

    Ini diikuti Thailand dengan lebih 57 juta, manakala Filipina dan Malaysia lebih 45 juta.

    Singapura pula dengan lebih 9 juta dos vaksin.

  • Indonesia lakukan ujian penerbangan guna minyak sawit yang pertama

    Indonesia lakukan ujian penerbangan guna minyak sawit yang pertama

    SEBUAH pesawat penumpang hari ini berjaya melengkapkan penerbangan sejauh 100 km dari Jakarta ke Bandung dengan menggunakan bahan bakar yang dicampur dengan minyak sawit.

    Menurut Menteri Kanan Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, penerbangan itu merupakan ujian pertama yang dilakukan oleh rupublik berkenaan bagi menguji keberkesanan bahan biodiesel itu untuk kegunaan pesawat komersial.

    Jelas beliau, penerbangan itu dilakukan ketika republik berkenaan merancang mengkomersialkan minyak sawit sebagai bahan bakar pesawat, dalam usaha kreatifnya bagi memperluaskan kegunaan minyak masak itu.

    “Indonesia, sebagai pengeluar terbesar, tentu saja perlu melakukan inovasi penggunaan minyak sawit, termasuk dalam pengembangan biodiesel, bahan bakar jet dan juga melanjutkan program D100,” kata Airlangga pada sidang maya, merujuk pada diesel yang dibuat sepenuhnya daripada minyak sawit yang dikembangkan oleh syarikat minyak negara Pertamina.

    Indonesia ketika ini memiliki program biodiesel wajib dengan kandungan minyak sawit 30 peratus yang dikenali sebagai B30.

    Pemerintah Indonesia berusaha memperluas penggunaan minyak sayuran untuk tenaga dan mengurangkan import bahan bakar.

    Bahan bakar jet yang digunakan selama penerbangan ujian itu hanya mengandungi 2.4 peratus kandungan sawit, tetapi dalam peraturan 2015, Indonesia telah mewajibkan jumlah itu dinaikkan kepada lima peratus. – Agensi

  • COVID-19: Singapura kesan lebih 3,000 kes baharu

    COVID-19: Singapura kesan lebih 3,000 kes baharu

    SINGAPURA mengesan lebih 3,000 kes baharu COVID-19 pada Selasa (5 Okt), jumlah tertinggi dicatatkan sejak pandemik bermula tahun lalu.

    Daripada 3,486 kes baharu, Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan sebanyak 2,767 adalah kes tempatan, 713 di asrama pekerja migran, dan enam kes import.

    Dalam kemas kini datanya, menurut kementerian itu 1,512 kes masih menerima rawatan di hospital, 247 memerlukan bantuan oksigen dan 34 di unit rawatan rapi (ICU).

    Sementara itu, taklimat terkini Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian memaklumkan Singapura menyaksikan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 5,000 sehari dalam tempoh dua minggu, dengan sebahagian besar pesakit mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

    Sepanjang 28 hari lepas, daripada 40,396 individu yang dijangkiti, 98.3 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.4 peratus perlukan bantuan oksigen, 0.1 peratus memerlukan rawatan ICU, dan 0.2 peratus meninggal dunia.

    Menurut Kementerian Kesihatan, sembilan lagi kematian dilaporkan semalam, semua korban adalah warga emas Singapura atau Penduduk Tetap dengan tiga daripadanya tidak divaksinasi sementara dua lagi belum lengkap dos vaksin COVID-19.

    Secara keseluruhan, 130 meninggal dunia di republik itu berikutan komplikasi jangkitan COVID-19.

    Pada 4 Okt, 83 peratus populasi republik itu telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 manakala 85 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Setakat ini, 321,228 individu sudah disuntik dos penggalak.

    Sehingga tengah hari Selasa, jumlah kes adalah 109,804 dengan 23,463 kes aktif. – Bernama

  • Palestin bersedia proses damai dengan Israel – Mahmoud

    Palestin bersedia proses damai dengan Israel – Mahmoud

    PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas pada Isnin menyuarakan kesediaannya untuk melaksanakan proses damai dengan Israel berdasarkan resolusi antarabangsa.

    Mahmoud berkata demikian pada pertemuan dengan Timbalan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hal Ehwal Israel dan Palestin Hady Amr di Ramallah, Tebing Barat, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Agensi Berita Palestin (WAFA).

    “Persidangan antarabangsa perlu diadakan untuk perdamaian di Asia Barat di bawah kerangka antarabangsa bagi mengakhiri pencerobohan Israel dan menubuhkan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.

    “Situasi ketika ini tidak dapat diterima dan mahu tekanan diberikan kepada Israel untuk menghentikan tindakan mereka ke atas rakyat Palestin dan menamatkan aktiviti penempatan dan pencerobohan tanah Palestin,” katanya.

    Mahmoud pada Sabtu berkata sekiranya Israel enggan menerima prinsip penyelesaian dua negara, rakyat Palestin akan mencari pilihan lain, termasuk pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 1947, atau memilih menubuhkan negara demokratik.

    Rundingan damai antara Israel dan Palestin, yang disokong AS selama sembilan bulan, telah tertangguh pada 2014 kerana pertikaian mengenai penempatan Israel dan pengiktirafan untuk mendirikan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967. – BERNAMA