Category: Luar Negara

  • Jurutera maut ditetak ketika ritual ilmu hitam

    Jurutera maut ditetak ketika ritual ilmu hitam

    SEORANG jurutera memilih ilmu hitam sebagai jalan penyelesaian menyelamatkan perkahwinannya selepas isterinya meninggalkan setahun lalu.

    Bagaimanapun langkah tersebut mengundang padah apabila lelaki itu ditipu dan dibunuh seorang individu yang mengamalkan ilmu hitam.

    Anton Shabanov, 33, ditetak dengan kapak selepas melakukan satu ritual ilmu hitam kononnya untuk menyelamatkan rumah tangganya.

    Akhbar Mirror UK memetik Jawatankuasa Penyiasatan Rusia melaporkan, Anton memilih untuk menggunakan ilmu hitam bagi menyelamatkan perkahwinannya yang hampir gagal dengan isterinya, Lyubov, 29.

    Laporan itu mengatakan, jurutera terbabit bagaimanapun mendapatkan khidmat seorang penipu, Nikolay Ivanov, 32, untuk melakukan upacara ritual dengan mengebumikan harta benda mereka di sebuah hutan berhampiran.

    Ketika upacara berlangsung, Shabanov dan Lyubov dihina oleh Ivanov sehingga mencetuskan pergaduhan.

    Menurut Jawatankuasa Penyiasatan Rusia itu, ketika menggali lubang, Ivanov bercakap perkara negatif mengenai lelaki berkenaan dan isterinya sehinggakan mereka bergaduh sebelum berlakunya pembunuhan.

    Ivanov dilaporkan mengambil kapak sebelum membunuh Shabanov dengan menyasarkan pada kepala dan lehernya.

    Dia kemudiannya melarikan diri setelah menutup mayat Shabanov menggunakan ranting pokok.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun enam bulan ke atas Ivanov serta mengarahkannya membayar ganti rugi sebanyak £20,700 (RM116,737).

  • Rumah penjagaan terbakar, lima wanita warga emas maut

    Rumah penjagaan terbakar, lima wanita warga emas maut

    LIMA maut dalam kebakaran di sebuah rumah jagaan swasta di bandar Dnipro di tengah Ukraine, kata Polis Negara dalam satu kenyataan pada Selasa, lapor Xinhua.

    Menurut kenyataan itu, selepas kebakaran, lima wanita berusia antara 75 hingga 89 tahun ditemui mati di dalam bilik mereka.

    Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada litar pintas, dan mangsa meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.

    Polis memulakan prosiding jenayah terhadap kejadian itu dan menahan pengurus rumah jagaan berkenaan.

    Pada Januari tahun ini, 15 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah rumah penjagaan swasta di bandar Kharkiv, timur Ukraine. – BERNAMA

  • 6 maut, 10 cedera dalam kemalangan jalan raya

    6 maut, 10 cedera dalam kemalangan jalan raya

    SEKURANG-KURANGNYA enam orang terbunuh manakala 10 yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya berasingan di Pakistan sepanjang tempoh 24 jam, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.

    Dalam kejadian pada Selasa pagi, dua pelajar terbunuh dan 10 yang lain cedera apabila sebuah van sekolah dirempuh kereta api ketika van itu melintasi rel kereta api yang tidak dikawal di bandar Sheikhupura di wilayah Punjab, timur Pakistan.

    Kemalangan dilaporkan berlaku akibat kecuaian pemandu van yang didakwa melarikan diri dari tempat kejadian.

    Sementara itu, dalam kemalangan jalan raya pada malam Isnin, empat terbunuh di Islamabad apabila sebuah kereta terbalik selepas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh empat kenderaan lain.

    Empat mangsa yang parah dikejarkan ke hospital oleh pasukan penyelamat namun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

    Nahas jalan raya kerap berlaku di Pakistan, terutama disebabkan kenderaan tidak diselenggara dengan baik, keadaan jalan raya yang teruk serta akibat kecuaian. – BERNAMA

  • Gara-gara selisih faham, 4 maut ditembak

    Gara-gara selisih faham, 4 maut ditembak

    SEKURANG-KURANGNYA empat maut dalam kejadian tembakan di kawasan penempatan karavan di Arizona, Amerika Syarikat pada Ahad.

    Menurut polis, pihak berkuasa menerima beberapa panggilan kecemasan pada jam 12.45 pagi, memetik laporan CNN.

    Sebaik tiba di lokasi, polis menemui tiga individu yang maut di tempat kejadian dengan kesan tembakan.

    Lokasi kejadian tembak yang mengorbankan empat nyawa di Arizona, Amerika Syarikat (gambar CNN)

    Seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, kata Polis Tucson.

    “Siasatan awal mendapati kejadian bukan tembakan rambang dan mungkin berlaku akibat perselisihan faham antara dua kumpulan penduduk,” kata polis kepada CNN.

    Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti mangsa dan suspek serta motif kejadian.

  • Potong kepala, bakar mayat ibu angkat yang didakwa syaitan

    Potong kepala, bakar mayat ibu angkat yang didakwa syaitan

    SEORANG lelaki sanggup membunuh dan memotong kepala ibu angkatnya sebelum membakarnya di Ohio, Amerika Syarikat.

    Lionel Justin Gore, 34, dikatakan bertindak sedemikian kerana mendakwa dimaklumkan ‘roh’ bahawa ibu angkatnya itu adalah syaitan.

    Dia mengaku membunuh Diane Gore di rumah wanita itu di New Matamoras di sempadan Ohio dan Virginia LBarat, Sabtu lalu.

    Selepas ditahan, dia dilaporkan memberitahu pihak berkuasa: “Saya potong kepalanya dan bakarnya dengan api.”

    Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di hadapan anak saudara lelaki Lionel berusia enam tahun, lapor New York Post yang memetik Marietta Times.

    Mayat mangsa ditemukan pihak berkuasa dipanggil ke rumah itu kira-kira jam 6.30 petang, selepas mendapat laporan mengenai kebakaran di kediaman berkenaan.

    Anak saudara Lionel memberitahu polis, dia melihat lelaki itu memotong leher Diane dengan pisau sebelum membakar rumah berkenaan.

    Kanak-kanak itu berkata, dia merangkak untuk keluar dari rumah dipenuhi asap.

    Lelaki itu kini direman dan berdepan tuduhan membunuh, melakukan khianat serta membahayakan kanak-kanak.

  • Presiden terakhir era Aparteid meninggal dunia

    Presiden terakhir era Aparteid meninggal dunia

    PRESIDEN terakhir era aparteid di Afrika Selatan, Frederik Willem de Klerk meninggal dunia awal Khamis di kediamannya di Fresnaye, Cape Town pada usia 85 akibat kanser mesotelioma, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan daripada yayasannya.

    De Klerk yang berkhidmat sebagai presiden dari September 1989 hingga Mei 1994, dikenali kerana peranan pentingnya dalam menghapuskan penindasan oleh pemerintah kulit putih melalui sistem aparteid.

    Pada 1990, De Klerk mengumumkan pembebasan aktivis Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 tahun kerana menentang aparteid.

    Pembebasan Mandela membawa kepada pilihan raya pelbagai parti pada 1994 yang menyaksikan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinannya menang dan beliau menjadi presiden kulit hitam pertama di negara itu.

    De Klerk turut berkongsi Hadiah Keamanan Nobel 1993 bersama Mandela.

    Beliau juga menjadi Timbalan Presiden di bawah kerajaan demokrasi baharu Mandela pada 1994.

    Presiden Cyril Ramaphosa mengucapkan takziah kepada keluarga De Klerk dan mengiktiraf sumbangannya terhadap demokrasi Afrika Selatan.

    Ramaphosa berkata, De Klerk memainkan peranan penting dalam peralihan negara kepada demokrasi pada 1990-an selepas pertemuan pertamanya dengan Mandela pada 1994, yang ketika itu merupakan tahanan politik.

    “Beliau membuat keputusan berani dengan membatalkan pengharaman parti-parti politik, membebaskan tahanan politik dan mengadakan rundingan dengan gerakan pembebasan meskipun berhadapan tekanan daripada pihak lawan di kawasan politiknya,” katanya.

    Ramaphosa berkata, De Klerk adalah warga Afrika Selatan yang komited dan berpegang kepada konsep perlembagaan demokratik dan meletakkan masa depan jangka panjang negara itu mendahului kepentingan politik yang sempit.

    “Semasa menjadi Timbalan Presiden dari 1994 hingga 1996, De Klerk memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan Nasional, mendedikasikan dirinya terhadap perlembagaan untuk memulihkan perpecahan dan konflik masa lalu kita,” kata Ramaphosa.

    Tokoh pembangkang Afrika Selatan Bantu Holomisa, yang juga bekas aktivis perjuangan, berkata keputusan De Klerk mengadakan rundingan bagi menamatkan aparteid membantu menghalang berlakunya pertumpahan darah di negara itu.

    Yayasan Nelson Mandela juga mengiktiraf sumbangan dan peranan penting De Klerk terhadap peralihan negara. – Bernama
     

  • Empat kanak-kanak cedera periuk api meletup di Afghanistan

    Empat kanak-kanak cedera periuk api meletup di Afghanistan

    EMPAT kanak-kanak cedera dalam kejadian letupan periuk api di barat wilayah Ghor, Afghanistan, lapor Xinhua.

    Kejadian itu berlaku pada petang semalam ketika kanak-kanak berkenaan sedang membawa biri-biri mereka meragut rumput di kampung Tasarqi di pinggir wilayah Firoz Koah, kata pengerusi direktorat kesihatan wilayah Abdul Satar.

    Kesemua mangsa dibawa ke hospital dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius, katanya hari ini.

    Hampir setiap bulan kejadian letupan bom buatan sendiri dan periuk api tinggalan perang dilaporkan berlaku yang telah meragut banyak nyawa serta kecederaan sehingga menyebabkan kecacatan, menurut Kementerian Pengurusan Bencana Afghanistan. – Bernama

  • Korban lori tangki meletup meningkat 131 orang

    Korban lori tangki meletup meningkat 131 orang

    ANGKA korban dalam insiden lori tangki yang membawa muatan bahan api meletup di Freetown, Sierra Leone minggu lalu meningkat kepada 131 orang, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut pihak berkuasa 63 orang cedera dan 19 daripanya dilaporkan kritikal.

    Nahas itu mencetuskan kebakaran dan api yang marak menyambar orang ramai dan kenderaan berhampiran.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menghantar 6.6 tan bekalan perubatan kecemasan ke negara itu.

    Susulan insiden itu, Presiden Julius Maada Bio mengumumkan tiga hari berkabung bermula Isnin. – Bernama

  • 26 kanak-kanak maut dalam kebakaran sekolah di Niger

    26 kanak-kanak maut dalam kebakaran sekolah di Niger

    SEKURANG-kurangnya 26 kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran di sebuah sekolah di selatan Niger pada Isnin.

    Menurut Agensi Anadolu, Datuk Bandar Maradi Chaibou Aboubacar yang mengesahkan kejadian itu kepada media tempatan berkata berpuluh-puluh kanak-kanak yang melarikan diri daripada kebakaran itu melecur teruk dan sedang menerima rawatan.

    Kebanyakan kanak-kanak yang meninggal dunia berumur lima hingga enam tahun.

    Angin kencang dilapor menyemarakkan lagi kebakaran bilik darjah yang dibina menggunakan jerami dan kayu, dan pihak berkuasa keselamatan masih menyiasat bagaimana ia bermula. Tiga bilik darjah sekolah itu musnah dalam kejadian itu.

    Kebanyakan bilik darjah luar bandar di Niger diperbuat daripada kayu dan jerami, menyebabkannya mudah terbakar.

    Radio Nagarta di Niger melaporkan angka kematian mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.


    Pada April lalu, 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 13 tahun maut dalam kebakaran di sebuah sekolah rendah di pinggir ibu kota Niger Niamey.

    Niger, yang mempunyai lebih 25 juta penduduk, adalah antara negara termiskin di dunia dan mempunyai kadar celik huruf terendah di Afrika, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Sekolah tidak mencukupi dan selalunya dibina daripada kayu, jerami dan kepingan besi. – Bernama

  • University of Bristol didesak ambil semula Prof David Miller

    University of Bristol didesak ambil semula Prof David Miller

    SEBANYAK 27 pertubuhan Islam serta wartawan dan ahli akademik di United Kingdom mendesak agar University of Bristol mengambil semula Prof David Miller yang sebelum ini ditamatkan perkhidmatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan anti-Semitik.

    Mereka turut menggesa agar University of Bristol menangani sikap dwistandard yang diamalkannya berhubung isu ucapan kebencian di kampus.

    Desakan dan gesaan itu disuarakan dalam surat terbuka kepada universiti berkenaan hari ini.

    “Kami menulis surat ini bagi menyuarakan kebimbangan dan kekesalan kami dengan pemecatan Prof David Miller baru-baru ini.

    “Keputusan itu telah mewujudkan duluan yang berbahaya di mana kebebasan akademik digugat dan kebebasan bersuara tentang isu perkauman dan kolonialisme disekat.

    “Dengan menyingkirkan Prof David Miller, seorang cendekiawan terkemuka mengenai Islamofobia, dari jawatannya, pihak universiti menunjukkan kebencian yang serupa terhadap rakyat Palestin, umat Islam dan pelajar-pelajar bukan kulit putih. Kelihatan jelas bahawa amalan dwistandard berlaku.

    “Terdapat usaha bersepadu oleh kumpulan-kumpulan Zionis untuk memfitnah, memburuk-burukkan dan meminggirkan Prof Miller.

    “Namun, amalan perkauman dan Islamofobia nampak diterima, malah diiktiraf oleh pihak universiti. Sila ambil maklum bahawa kami akan mendapatkan nasihat perundangan tentang perkara ini,” kata mereka dalam surat terbuka tersebut.

    Mereka seterusnya bertanya kepada University of Bristol tentang kesalahan yang dilakukan oleh Miller memandangkan Peguam Diraja mendapati komen beliau tidak melanggar undang-undang dan berunsur anti-Semitik.

    Surat terbuka itu ditandangani oleh:

    Robert Carter – wartawan, Press TV
    Mizanur Rahman – Kempen Solidariti Palestin Harrow dan Brent
    Dr Layla Aitlhadj – Prevent Watch
    Anjum Anwar – guru
    Nasim Ahmed – wartawan
    Sulieman Gani – Masjid Purley
    Mohammed Kozbar – Masjid Finsbury Park
    Sahar Al-Faifi – aktivis hak asasi manusia
    Ismail Patel – Friends of Al Aqsa
    Dr Yvonne Ridley – wartawan dan penulis
    Syed Mohsin Abbas – wartawan penyiaran
    Tanzil Chowdhury – pensyarah undang-undang, QMUL
    Haseeb Rizvi – The Muslim Vibe
    Afroze Zaidi – The Canary
    Zahid Khan & Kala Khan – Majlis Tertinggi Global Pakistan dan Kashmir
    Raghad Altikriti – Presiden, Persatuan Muslim Britain
    Soukeyna Osei-Bonsu – Black Muslim Forum
    Anas Altikriti – CEO, The Cordoba Foundation
    Zeeshan Mushtaq – Muallim Academy
    Shahbaz Meer – akauntan
    London Muslim Community Forum
    Muslim Voice for Peace
    Jahangir Mohammed – Centre For Muslim Affairs
    Shehryar Khan – UQIC
    Masjid Central Oxford
    Tarek Younis – pensyarah
    Ahammed Hussain – CEO, Muslim Public Affairs Committee UK (MPACUK)

    Baru-baru ini, Electronic Intifada menyiarkan dokumen-dokumen yang bocor menunjukkan bahawa peguam yang mewakili University of Bristol memutuskan bahawa tiada kes terhadap Miller.

    Pada 26 November lalu, sebanyak 20 pertubuhan di Malaysia menegaskan untuk memboikot University of Bristol sekiranya ia tidak mengambil semula Miller sebagai tenaga pengajar.

    Pada 2019, Miller menyampaikan syarahan mengenai Lima Teras Islamofobia sebagai sebagai daripada modul bertajuk Ancaman Daripada Mereka Yang Berkuasa.

    Salah satu daripada teras berkenaan adalah ‘sebahagian daripada gerakan Zionis’.

    Sementara itu, Ahammed mendakwa, tindakan University of Bristol itu telah menyebabkan ia dilihat sebagai ejen pro-pelobi Israel.

    “Tindakan tersebut mempunyai kesan negatif terhadap amalan demokrasi di Britain dan masyarakat sivil secara keseluruhan. Kita mesti membantahnya demi kebaikan semua pihak,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ragad menyifatkan pemecatan Miller sebagai intimidasi terhadap mana-mana ahli akademik yang berani berjuang bagi membebaskan rakyat Palestin dari penderitaan.