Category: Luar Negara

  • 48 maut dalam konflik puak di Darfur, Sudan

    48 maut dalam konflik puak di Darfur, Sudan

    SEKURANG-KURANGNYA 48 orang terbunuh dalam konflik puak di Darfur, Sudan, lapor Xinhua memetik kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada Isnin.

    “Laporan awal menunjukkan terdapat 48 kematian akibat ditembak dan ramai lagi cedera  dengan beberapa orang daam keadaan kritikal akibat konflik di kawasan Kirainik, di Darfur. 

    “Keganasan meletus di kawasan itu selepas militia bersenjata membunuh dan mencederakan beberapa orang pelarian domestik (IDP) serta membakar kem IDP dan pasar awam,” menurut kenyataan Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan.


    Pihak berkuasa Sudan belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai jumlah sebenar yang maut  atau cedera. 

    Darfur dicengkam perang saudara sejak 2003 semasa pemerintahan bekas Presiden Omar al-Bashir, yang digulingkan pada April 2019.

    Kerajaan peralihan di Sudan berusaha untuk menamatkan konflik melalui perjanjian yang dicapai pada 3 Okt 2020, namun masih ada beberapa kumpulan bersenjata belum menandatangani kesepakatan itu. – Bernama

  • 31 penumpang lemas bas hanyut dibawa air sungai

    31 penumpang lemas bas hanyut dibawa air sungai

    SEKURANG-KURANGNYA 31 orang lemas pada hujung minggu apabila sebuah bas dalam perjalanan ke majlis perkahwinan dihanyutkan air sungai yang deras ketika cuba menyeberang sungai yang dilimpahi air di Kenya.

    Gabenor Daerah Kitui Charity Ngilu berkata pemandu bas berkenaan cuba meredah Sungai Enziu yang mengalir deras, kira-kira 200 kilometer (125 batu) timur ibu negara Nairobi, apabila kenderaan itu terbalik dan tenggelam, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media tempatan.

    Ngilu mengatakan 31 mayat sudah ditemui setakat ini semasa usaha menyelamat.

    Dua belas orang berjaya menyelamatkan diri daripada lemas, termasuk empat kanak-kanak, katanya.

    “Ia benar-benar menyedihkan. Kita kehilangan banyak nyawa.”

    Ngilu berkata usaha mencari dan menyelamat diteruskan di wilayah itu tetapi menjangkakan jumlah kematian mungkin bertambah.- Bernama

  • 13 maut dalam kejadian tembakan di Nagaland, India

    13 maut dalam kejadian tembakan di Nagaland, India

    SERAMAI 13 orang di Nagaland, India dilaporkan maut selepas sebuah pikap ditembak oleh anggota pasukan keselamatan, sekali gus mencetuskan ketegangan di negeri yang bersempadan dengan Myanmar itu.

    Ketua Menteri Nagaland, Neiphiu Rio pada Ahad merayu semua pihak untuk bertenang dan berjanji akan menyiasat kejadian itu dengan terperinci. Kejadian itu berlaku di kampung Oting di daerah Mon.

    Rio menyifatkan pembunuhan itu satu kejadian yang ‘malang’ dan akan memastikan ia akan disiasat dengan adil mengikut lunas undang-undang.

    Agensi berita PTI melaporkan memetik seorang pegawai polis tempatan, kejadian pada Sabtu itu berlaku apabila tentera melepaskan tembakan ke arah pikap yang dalam perjalanan membawa pekerja pulang dari lombong arang batu.

    Maklumat terperinci mengenai kejadian masih disiasat.

    Menurut laman web NDTV, insiden itu mungkin berpunca daripada kesilapan mengenal pasti sasaran ketika tentera sedang mengadakan operasi antipemberontak di kawasan itu.

    NDTV melaporkan 14 orang maut dalam kejadian itu termasuk seorang tentera.

    Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berkata, kerajaan negeri akan menjalankan siasatan yang menyeluruh berhubung kejadian itu.

    “Saya turut berduka cita dengan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya. – Bernama

  • 31 maut dalam serangan di Mali

    31 maut dalam serangan di Mali

    SEKURANG-KURANGNYA 31 orang terbunuh manakala 17 lagi cedera selepas lelaki bersenjata menyerang sebuah trak, di Mali pada Jumaat, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Sabtu.

    Agensi Berita Xinhua melaporkan memetik kenyataan itu, sekumpulan penyamun menyerang dan membakar trak yang sedang dalam perjalanan membawa orang awam ke tapak pesta berhampiran perkampungan Songho.

    Anggota keselamatan bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesan dalang serangan itu, menurut kenyataan tersebut.

    Presiden sementara Mali, Assimi Goita, turut mengisytiharkan negara berkabung selama tiga hari bermula Ahad susulan kejadian tragis itu. – Bernama

  • Satu maut, 41 melecur dalam letusan Gunung Berapi Semeru

    Satu maut, 41 melecur dalam letusan Gunung Berapi Semeru

    SEORANG maut manakala 41 yang lain melecur teruk selepas Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus semalam.

    Timbalan Ketua Daerah Lumajang, Indah Masdar berkata, sekurang-kurangnya 10 orang terperangkap dalam bangunan dan memerlukan bantuan helikopter untuk mengeluarkan mereka.

    Usaha menyelamat oleh penduduk tempatan terganggu oleh asap tebal, tiada bekalan elektrik dan hujan semasa letusan berlaku.

    Semalam, Gunung Berapi Semeru setinggi 3.6 meter di daerah Lumajang meletus dan mengeluarkan asap dan debu panas.

    Malah, ia mengakibatkan hujan dan banjir di sekitar Kampung Sumberwuluh menyebabkan penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri.

    Dalam pada itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk setempat supaya tidak melakukan aktiviti di sepanjang sungai di daerah itu.

  • Jet pejuang tentera udara terhempas semasa latihan

    Jet pejuang tentera udara terhempas semasa latihan

    SEBUAH jet pejuang F-5 terhempas semasa menjalani latihan di daerah Chai Badan, di Lopburi, Thailand hari ini, menyebabkan juruterbangnya cedera parah.

    Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi (waktu tempatan), jet itu terhempas di sebuah padang latihan.

    Jurucakap Tentera Udara, Naib Marsyal Udara (AVM) Prapas Sornchaidee berkata juruterbang berjaya melenting keluar tetapi mengalami kecederaan parah.

    “Tentera Udara telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat nahas itu,” katanya.

    Tambahnya, juruterbang itu kini menerima rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan dalam keadaan stabil. – BERNAMA

  • Nagaenthran sudah terima proses perundangan sewajarnya – Presiden Singapura

    Nagaenthran sudah terima proses perundangan sewajarnya – Presiden Singapura

    RAKYAT Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati di Singapura telah menerima proses yang sewajarnya mengikut undang-undang.

    Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata demikian sebagai menjawab surat yang diutuskan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memohon hukuman Nagaentran diringankan.

    Kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar republik itu, hari ini sebagai menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia dan nasib Nagaenthran, 33, yang menunggu hukuman mati atas kesalahan dadah di Singapura.

    Pada 12 November, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar, Dr. Vivian Balakrishnan juga telah membalas surat rakan sejawatan dari Malaysia.

    Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawatan di Singapura, meminta budi bicara pihak berkuasa di Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

    Nagaenthran yang berasal dari Perak, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009, kerana menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

    Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden. Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.

    Nagaenthran, dijatuhi hukuman mati 11 tahun lepas dan dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 November 2021, bagaimanapun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. 

    Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman. – Bernama

  • Doktor wanita didenda tersilap potong kaki pesakit

    Doktor wanita didenda tersilap potong kaki pesakit

    SEORANG doktor didenda 2,700 euro (RM3,059) oleh sebuah mahkamah Austria selepas dia tersilap memotong kaki seorang pesakit warga emas

    Seorang jurucakap sebuah tribunal di bandar Linz berkata, walaupun doktor wanita tersebut menyatakan bahawa perbuatan tersilap memotong satu kaki pesakit tersebut adalah kesilapan manusia, hakim pula mendapati kesilapan itu adalah berpunca daripada kecuaian.

    Berikutan itu, doktor tersebut didenda dengan jumlah itu dan separuh daripadanya digantung pembayarannya, kata jurucakap berkenaan.

    Doktor itu tersilap menandai kaki seorang warga emas berumur 82 tahun yang hendak dipotong sebelum pembedahan dilakukan pada bulan Mei lalu namun dia menyedari telah melakukan kesilapan dua hari selepas pemotongan dilakukan.

    Pihak mahkamah juga telah menganugerahkan ganti rugi sebanyak 5,000 euro (RM5,665) ditambah dengan kadar faedah kepada balu pesakit tersebut.

    Ini adalah kerana pesakit berkenaan sudah meninggal dunia sebelum kesnya dibawa ke mahkamah.

    Bagaimanapun, doktor itu boleh membuat rayuan berhubung keputusan tersebut dan dia kini bekerja di sebuah klinik yang lain.

  • Wanita maut ditembak depan rumah

    Wanita maut ditembak depan rumah

    SEORANG suri rumah maut selepas terkena tembakan di depan rumahnya di Tak Bai, Narathiwat dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.20 pagi (waktu tempatan) pada Rabu.

    Timbalan Ketua Polis (Siasatan) Tak Bai Kapt Pol  Phutida Nitichart berkata wanita yang berusia  44 tahun itu maut di tempat kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada bahagian dada.  

    Beliau berkata polis telah menahan seorang lelaki di sebuah kedai kopi yang terletak berdekatan tempat kejadian.

    “Saksi memberitahu polis bahawa suspek yang memakai pakaian seragam renjer telah mengugut penduduk tempatan sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Phutida berkata motif kejadian masih dalam siasatan polis. – Bernama

  • Selepas mengaku berbohong di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang Singapura letak jawatan

    Selepas mengaku berbohong di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang Singapura letak jawatan

    Oleh MASSITA AHMAD

    PARTI Pekerja (WP) Singapura mengumumkan peletakan jawatan Raeesah Khan dari parti itu dan juga sebagai Ahli Parlimen (MP).

    Menurut parti pembangkang itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah mengadakan mesyuarat pada 8 malam, 30 Nov untuk membincangkan dan memutuskan syor Jawatankuasa Tatatertib yang telah dibentuk pada 2 Nov bagi menyiasat berkaitan kehadiran Khan di Parlimen.

    Dilaporkan Khan pada 1 Nov mengakui berbohong di Parlimen pada sidang terdahulu mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya disalah urus oleh polis.

    Menurut WP pada 4.30 petang Selasa, Khan memaklumkan kepada setiausaha agung WP dan juga Ketua Pembangkang Pritam Singh hasratnya untuk meletak jawatan.

    “Beliau kemudian menghadiri mesyuarat CEC pada 8 malam dan menyampaikan secara peribadi hasratnya itu,” kata WP menerusi kemas kini Facebooknya pada lewat Selasa.

    Khan, 27, Ahli Parlimen termuda di Singapura, mewakili perwakilan kumpulan (GRC) Sengkang untuk kawasan Compassvale .

    Beliau adalah seorang daripada empat ahli parti yang bertanding di bawah tiket GRC Sengkang bersama Jamus Lim, He Ting Ru dan Louis Chua pada semasa Pilihan Raya Umum Julai 2020.

    Khan turut memuat naik surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen di akaun Facebooknya yang ditujukan kepada Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin. – BERNAMA