Category: Luar Negara

  • Tujuh maut, 28 cedera bas terhumban dalam gaung

    Tujuh maut, 28 cedera bas terhumban dalam gaung

    SEKURANG-KURANGNYA tujuh maut dan 28 cedera, lapan dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di perbandaran San Luis, Colombia, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan, semalam.

    Komander polis trafik dan lebuh raya Antioquia, Jaime Ramirez berkata, rangkaian kecemasan hospital diaktifkan serta-merta dan anggota bomba mula bertindak menyelamatkan mangsa kemalangan.

    Menurut laporan pihak berkuasa, bas dari Bogota itu dalam perjalanan menuju ke perbandaran Monitos di jabatan Caribbean di Cordoba, lapor Xinhua.

    Datuk Bandar San Luis Henry Suarez berkata, 22 mangsa yang cedera dibawa ke pusat perubatan di bandar itu dan enam lagi ditempatkan di perbandaran berdekatan Puerto Triunfo.

    Suarez berkata, tiada maklumat ‘jelas’ berhubung punca kemalangan, dan siasatan masih dijalankan. – Bernama

  • Hero Bollywood Salman Khan dipatuk ular tiga kali

    Hero Bollywood Salman Khan dipatuk ular tiga kali

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    BINTANG filem India yang terkenal dengan reputasi hidup dalam bahaya, Salman Khan, dipatuk ular dan terpaksa dirawat di hospital.

    Kejadian berlaku ketika pelakon itu cuba mengeluarkan ular itu daripada rumah ladangnya di kawasan Panvel berhampiran Navi Mumbai.

    “Seekor ular memasuki rumah ladang saya dan ketika membawanya keluar menggunakan kayu, ia menjalar ke tangan saya. Dan ketika cuba menangkapnya, ia mematuk saya tiga kali,” katanya kepada pemberita selepas keluar dari hospital.

    Pelakon berusia 56 tahun itu berkata beliau diberi rawatan antivenom ular dan berada di hospital selama enam jam.

    Salman membintangi banyak filem blokbuster sepanjang tiga dekad kerjaya hiburannya. – BERNAMA

  • 10 maut dalam nahas lebuh raya, berbelas lagi cedera

    10 maut dalam nahas lebuh raya, berbelas lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 10 orang maut dan berbelas lagi cedera dalam nahas di lebuh raya Ahvaz-Khorramshahr, di wilayah Khuzestan, Iran pada Sabtu.

    Nahas itu melibatkan beberapa kenderaan berat dan ringan termasuk sebuah bas mini yang membawa pekerja syarikat minyak, bertembung antara satu sama lain, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik pihak berkuasa tempatan.

    Ketua polis trafik wilayah itu, Reza Dolatshahi, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut kira-kira 7 pagi waktu tempatan.

    Antara yang terbunuh ialah pekerja Yadavaran, satu daripada syarikat minyak terbesar di negara itu.

    Dolatshahi berkata punca kejadian sedang disiasat.

    Banyak kematian akibat nahas jalan raya dilaporkan berlaku di lebuh raya antara Ahvaz dan Khorramshahr.

    Menurut Dolatshahi, seramai 442 telah kehilangan nyawa dalam nahas jalan raya di wilayah itu dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. – BERNAMA

  • Pesawat MiG-21 tentera udara terhempas ketika latihan

    Pesawat MiG-21 tentera udara terhempas ketika latihan

    SEBUAH pesawat MiG-21 milik Tentera Udara India (IAF) terhempas di negeri Rajasthan, India, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik media tempatan.

    Pesawat itu terhempas pada Jumaat ketika menjalani latihan dan setakat ini nasib juruterbangnya belum dapat dipastikan.

    “Petang ini, kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan), sebuah pesawat MiG-21 IAF kemalangan ketika menjalani latihan. Masih menunggu butiran lanjut,” menurut kenyataan IAF.

    Laporan media tempatan , memetik polis, pesawat itu terhempas di kawasan Taman Negara Gurun di daerah Jaisalme, Rajasthan.

    Menurut IAF, siasatan sedang dijalankan dan lokasi sebenar nahas juga belum didedahkan.

    Pada 8 Dis , sebuah helikopter tentera terhempas di kawasan Coonoor di daerah Nilgiris, Chennai, mengorbankan Ketua Turus Tentera India, Jeneral Bipin Rawat. – BERNAMA

  • Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 38 terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam kejadian feri terbakar pada Jumaat di daerah Jhalokati, Bangladesh.

    Timbalan pesuruhjaya daerah Jhalokati, Md Nazmul Alam berkata, feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan dalam perjalanan dari Dhaka ke daerah Barguna.

    Beliau berkata, kebakaran bermula di bahagian enjin kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    “Setakat ini 38 mayat telah ditemukan,” katanya lapor Xinhua.

    Beliau berkata ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan operasi mencari masih dijalankan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri hilang.

    “Kami dimaklumkan feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan feri itu sudah ditarik ke tebing,” katanya.

    Mangsa yang terselamat memberitahu media tempatan, ramai penumpang terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

    Tiada kematian melibatkan warga asing dan feri yang terbakar itu dilaporkan membawa lebih muatan. – BERNAMA

  • Dua lelaki berbalas tembakan dalam pusat beli-belah

    Dua lelaki berbalas tembakan dalam pusat beli-belah

    EMPAT orang cedera dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di pinggir bandar Chicago pada Khamis, lapor Xinhua.

    Kejadian berlaku kira-kira 5.45 petang. (2345 GMT) di pusat beli-belah Oakbrook Center, apabila dua lelaki berbalas tembakan di kawasan koridor di bahagian timur pusat beli-belah itu, kata Ketua polis Oak Brook James Kruger pada sidang akhbar.

    Seorang daripada lelaki itu cedera dan telah ditahan. Tiga orang awam turut dilaporkan cedera.

    Polis telah menahan dua suspek terbabit dan sedang menyiasat kemungkinan suspek ketiga. – BERNAMA

  • Tiga rentung, 44 cedera kilang penapis minyak terbakar

    Tiga rentung, 44 cedera kilang penapis minyak terbakar

    TIGA rentung manakala 44 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kilang penapis minyak, Haldia Oil Corporation, terletak di 136 kilometer dari bandar Kolkata, India.

    Menteri Petroleum Hardeep Singh Puri berkata pihaknya telah mengarahkan siasatan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian. 

    Kebakaran berlaku pada Selasa petang ketika kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah unit sedang dijalankan, menurut syarikat itu.- Bernama

  • Bangunan terbakar, 27 mangsa maut terperangkap

    Bangunan terbakar, 27 mangsa maut terperangkap

    DUA puluh tujuh orang dikhuatiri maut dalam kebakaran sebuah bangunan di wilayah Osaka Jepun pada Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Kebakaran bermula di tingkat empat bangunan yang terletak berdekatan Stesen JR Osaka dan berjaya dipadamkan sekitar pukul 10.45 pagi waktu tempatan, menurut pihak bomba tempatan, yang menerima laporan kebakaran sekitar pukul 10.20 pagi waktu tempatan.

    Api merebak di kawasan seluas kira-kira 20 meter persegi. – BERNAMA

  • Lori tangki meletup, 60 mangsa terbakar hidup-hidup

    Lori tangki meletup, 60 mangsa terbakar hidup-hidup

    ANGKA kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 60 orang apabila sebuah lori tangki bahan api meletup di bandar pelabuhan Cap-Haitien di utara Haiti pada Selasa, kata seorang pegawai tempatan.

    Berpuluh-puluh orang cedera dan dibawa ke hospital di Cap-Haitien, bandar kedua terbesar di Haiti, lapor Xinhua memetik Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor yang menyifatkan letupan itu sebagai “mengerikan.”

    “Anggota bomba sedang membuat penilaian awal untuk menentukan jumlah rumah yang terbakar” akibat letupan itu, tambah Almonor.

    Kerajaan mengumumkan akan membina hospital medan untuk merawat mangsa yang cedera memandangkan kawasan hospital sesak dengan mangsa.

    Menurut Timbalan Datuk Bandar, letupan berlaku pada pagi Selasa selepas lori tangki itu cuba mengelak sebuah motosikal dan terbalik. Beberapa bahan api melimpah keluar.

    Haiti bergelut dengan kekurangan bahan api dan harga gas yang melambung tinggi, dicetuskan oleh tindakan kumpulan bersenjata. Pada 25 Okt, anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kesukaran menghantar bahan api di Haiti berkemungkinan akan mengorbankan nyawa. – BERNAMA

  • 7 maut, 4 cedera kenderaan seludup PATI kemalangan

    7 maut, 4 cedera kenderaan seludup PATI kemalangan

    TUJUH pendatang asing tanpa izin (PATI) maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan membawa mereka melanggar sebuah kedai bunga di Hungary selepas mengelak mengelak pemeriksaan polis lewat semalam.

    Kenderaan dipandu warga Serbia itu terbabas lalu merempuh sebuah kedai bunga dan pemandu berkenaan ditahan hari ini.

    Menurut polis, lelaki itu didakwa memecut kenderaan yang didaftar di Serbia itu untuk mengelak pemeriksaan polis, namun kemalangan di Morahalom, pekan di sempadan Hungary-Serbia.

    Tiada maklumat lanjut diberikan, bagaimanapun terdapat gambar kemalangan yang menyaksikan sebahagian dinding kedai bunga itu rosak, namun polis menyatakan tiada sesiapa di dalamnya cedera.

    Tragedi paling buruk membabitkan PATI sebelum ini berlaku di Hungary, di mana 71 PATI ditemui mati akibat sesak nafas dalam sebuah trak yang ditinggalkan di lebuh raya Austria.

    Pada 2019, mahkamah Hungary menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup berhubung kematian itu. – AFP