Category: Luar Negara

  • Lelaki ‘panas baran’ pukul teman wanita hingga bayi dalam kandungan mati

    Lelaki ‘panas baran’ pukul teman wanita hingga bayi dalam kandungan mati

    SEORANG lelaki ‘panas baran’ dipenjara seumur hidup oleh Mahkamah Bournemouth Crown selepas dia didapati bersalah membunuh bayi yang masih dalam kandungan teman wanitanya pada 29 Mei 2020.

    Dailymail.com melaporkan, Asa Davison, 35 tahun yang mendapati Isabelle Irish hamil bayi hasil hubungan dengan lelaki lain menyerang wanita tersebut dengan menumbuk dan menendang bahagian perut serta menyeretnya di atas jalan raya.

    Lelaki berusia 35 tahun itu berbuat demikian dengan niat untuk menggugurkan kandungan Irish yang berusia 7 bulan.

    Bagaimanapun Iris berjaya melepaskan diri dan bersembunyi di belakang sebuah rumah di mana dia ditemui oleh pemilik rumah tersebut yang kemudiannya menghubungi pihak polis.

    Ketika pemeriksaan imbasan ultrasound dijalankan ke atas kandungan Iris, doktor mendapati tiada lagi degupan jantung walaupun sebelum ini bayi itu sihat.

    Hakim Mahkamah Nournemouth, Johannah Cutts menyifatkan Davison merupakan individu yang “sangat berbahaya” kepada golongan wanita dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh paling kurang 12 tahun sebelum boleh dipertimbangkan untuk pelepasan parol.

    “Selama perbicaraan ini, kamu cuba menegaskan bahawa kamu cuba untuk membantu Cik Irish tetapi saya menolak kenyataan itu. Kamu bukannya kesatria di atas kuda. Kamu seorang lelaki yang mempunyai sikap panas baran dan ganas.

    ‘’Saya tidak teragak-agak untuk mendapati kamu bahaya. Tindakan kamu bukan sahaja bertujuan untuk menyebabkan teman wanita kamu cedera parah pada bahagian badan tetapi juga mahu membunuh bayi yang belum lahir,’’ tegas hakim.

    Mahkamah diberitahu, Irish sememangnya sedang mengandung apabila dia mula menjalin hubungan dengan Davison pada awal tahun 2020.

    Walaupun Davidson berkata, mereka boleh meneruskan hubungan selepas bayi itu lahir, namun lelaki itu mempunyai rasa dendam sehingga dia bertindak ganas ke atas Irish.

    Perbuatan ganas pada 29 Mei itu dilihat oleh seorang saksi yang menganggap Davidson menyeret teman wanitanya di atas jalan raya seperti “anjing di hujung tali”.

    Walaupun mengalami detik ‘mengerikan’ itu namu Irish tetap bersama Davidson sebelum pada September 2020 lelaki tersebut menyerang dia sekali lagi.

    Davison didapati bersalah atas 4 tuduhan yang menyebabkan bayi di dalam kandungan terbunuh.

  • Tiada vaksin, Djokovic dilarang masuk Australia sertai Australian Open

    Tiada vaksin, Djokovic dilarang masuk Australia sertai Australian Open

    PEMAIN tenis No.1 dunia,  Novak Djokovic, dihalang daripada memasuki Australia dan akan dihantar pulang selepas terdapat isu visa dan vaksinasi.

    Djokovic ditahan di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne walaupun negara tersebut telah meluluskan pengecualian perubatan agar beliau boleh mengambil bahagian dalam kejohanan Australian Open.

    Hari ini, pemain  Serbia itu diberikan surat memaklumkan beliau akan dihantar pulang selepas pihak berkuasa Australia menolak permohonanan  visanya.  

    Penguatkuasa Sempadan Australia (ABF) mengesahkan bahawa Djokovic gagal untuk memberikan bukti yang kukuh bahawa beliau tidak boleh divaksinasi atas masalah kesihatan.

    Djokovic mencetus kemarahan oleh warga Australia semalam apabila menyatakan bahawa beliau akan bermain dalam kejohanan Australian Open untuk mempertahankan kejuaraannya walaupun beliau tidak divaksinasi.

    Pada tahun lepas, beliau membuat kenyataan menentang pengambilan suntikan vaksin.

    Perdana Menteri Australia Scott Morrison menyatakan di Twitternya, “Visa Djokovic telah ditolak oleh pihak kami. Undang-undang tetap undang-undang, terutamanya jika berkaitan dengan sempadan kami. Tiada siapa dikecualikan.”

    “Dasar-dasar ketat kami adalah salah satu sebab Australia merupakan antara negara dengan kadar kematian COVID-19 yang paling rendah. Kami akan terus berhati-hati,” kata Morrison.

    Australia mengenakan dasar vaksinasi yang ketat ke atas rakyatnya dan warga asing  perlu memberikan bukti vaksinasi untuk memasuki negara itu. Jika seseorang tidak boleh mengambil vaksin kerana masalah kesihatan, mereka diminta mengemukakan bukti kukuh bagi menjelaskan perkara tersebut.

  • Cubaan seludup 2.8 juta pil  amphitemine gagal

    Cubaan seludup 2.8 juta pil amphitemine gagal

    PEMANTAUAN keselamatan rapi ke atas pengedar dan penyeludup dadah di sempadan timur Arab Saudi berjaya menggagalkan percubaan menyeludup 2.8 juta pil amphitemine.

    Jurucakap Direktorat Jeneral Pengawal Sempadan, Kolonel Misfer Al-Grieni berkata, mereka menahan suspek yang disyaki penerima bekalan tersebut dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik dan Angkatan Keselamatan Fasiliti.

    Selain itu, Pengawal Sempadan juga menggagalkan penyeludupan penyeludupan 627 kilogram ganja dan 28.94 tan dadah khat di sempadan utara Arab Saudi.

    Al-Greini berkata, 35 suspek ditahan kerana disyaki menyeludup dan menjadi penerima bekalan dadah itu. Mereka terdiri daripada  27 warga Arab Saudi, 7 Yemen dan seorang warga Etiopia.

    ‘’Suspek-suspek yang ditahan memasuki negara tersebut secara haram dan akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,’’ katanya lapor portal saudigazette.com.

    Kegiatan menyeludup dadah dianggap jenayah berat di Arab Saudi dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

    Pada Disember lalu , pihak berkuasa Arab Saudi merampas 30 juta bahan larangan yang disorok bersama buah pelaga. Kerajaan Syria juga merampas lebih 500 kilogram amphetimine yang dicampur bersama pasta yang mahu dihantar ke Riyadh

  • Hina Jung Un, ribuan sampel tulisan tangan penduduk Pyongyang diambil

    Hina Jung Un, ribuan sampel tulisan tangan penduduk Pyongyang diambil

    PIHAK berkuasa Korea Utara menuntut sampel tulisan tangan beribu-ribu penduduk Pyongyang selepas terdapat grafitti menghina pemimpin negara itu, Kim Jong Un.

    Di dinding sebuah kompleks pangsapuri di Pyongchon tertera tulisan besar yang memaparkan kata-kata, “Anak perempuan tak guna, rakyat kebulur sebab kau.”

    Grafitti tersebut dibuat apabila rakyat Korea Utara dilanda kebuluran dan ia bertambah buruk apabila sempadan Utara China ditutup berikutan wabak Covid-19.

    Selepas pihak berkuasa Korea Utara membersihkan grafitti tersebut, mereka kini berusaha mencari individu  yang bertanggungjawab melakukan penghinaan ke atas Jong Un.

    Pegawai di Korea Utara mengunjungi rumah dan pusat perniagaan untuk mengambil  sampel tulisan dan menyiasat pergerakan harian orang tempatan semasa grafitti tersebut dilakukan

    Disebabkan persekitaran politik di Pyongyang, kritikan dan pemberontakan terhadap Jun Un adalah sama sekali dilarang dan boleh dikenakan hukuman mati.

    Pada Mac 2018, seorang kolonel yang terlibat dalam pemberontakan ke atas Jong Un dihukum mati di hadapan khalayak ramai.

    Masalah kekurangan makanan di Korea Utara semakin teruk dan menyebabkan rakyat di negara tersebut sengsara.

    Sesetengah rakyat mereka melakukan perbuatan jenayah  seperti menculik anak orang-orang kaya dan setakat ini terdapat 4 kes yang disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan makanan.

    Korea Utara bergantung kepada jiran komunis mereka, China untuk mendapat bekalan itu  kerana negara tersebut tidak boleh berurusan dengan negara-negara lain dan sempadan kedua-dua negara ditutup untuk mengelak penularan Covid-19.

  • Dua warga Filipina jual dadah melalui WhatsApp dihukum mati

    Dua warga Filipina jual dadah melalui WhatsApp dihukum mati

    MAHKAMAH Jenayah Abu Dhabi menjatuhkan hukuman mati ke atas dua ekspatriat Filipina selepas didapati bersalah memiliki dan menjual  narkotik serta psikotropik.

    Kedua-dua penjenayah tersebut dikatakan mendapat bekalan dadah dalam jumlah besar daripada pembekal di luar negara yang kemudiannya disimpan di lokasi-lokasi yang tidak berpenghuni.

    Mereka diberikan koordinat lokasi dadah tersebut bagi membolehkan penjenayah itu mengambilnya. Bahan itu akan dibahagi-bahagikan dan dibungkus semula sebelum diedarkan di tempat-tempat yang ditetapkan melalui aplikasi WhatsApp.

    Melalui aplikasi tersebut pengedar dadah itu akan mendapat gambar dan lokasi untuk dihantar kepada penagih-penagih.

    Mahkamah telah memerintahkan dadah-dadah itu dimusnahkan dan segala barangan yang terlibat dalam proses penjualan seperti telefon bimbit dan wang hasil daripada jenayah itu dirampas.

    Ini bukan kali pertama Whatsapp digunakan untuk menjual dadah.

    Pada 20 Disember, Mahkamah Jenayah Abu Dhabi juga telah menjatuhkan hukuman yang sama terhadap  seorang warga Pakistan atas kesalahan pemilikan bahan narkotik dan psikotropik dengan niat untuk menjual.

    Pembekal memberikannya dalam kuantiti dadah yang banyak  dan disembunyikan di kawasan terbiar. Lelaki itu kemudiannya menjual bahan itu melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial lain.

    Mulai 2 Januari lalu, Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaksanakan undang-undang baharu untuk membendung masalah dadah di negara tersebut.

    Antara hukuman yang ditetapkan ialah dipenjara paling kurang 10 tahun dan denda Dh200,000 (RM228,000) untuk kesalahan yang berat dan boleh dikenakan hukuman mati jika  menyebabkan kematian.

  • Bertemu ibu kandung selepas lebih 30 tahun diculik

    Bertemu ibu kandung selepas lebih 30 tahun diculik

    SEORANG lelaki yang diculik ketika kecil lebih 30 tahun lalu seakan tidak percaya apabila berjaya bertemu semula dengan keluarganya selepas melakar peta kampung asalnya yang sebelum ini tular dalam media sosial.

    Semasa kejadian, Li Jingwei baru berusia empat tahun apabila dia diculik berhampiran rumahnya di barat daya China dan dijual kepada satu keluarga lebih 1,600 kilometer dari kampungnya.

    Portal Independent melaporkan, selama bertahun-tahun, dia mencari keluarga kandungnya tetapi ibu bapa angkatnya dan tiada jawapan diperoleh menerusi data pangkalan data asid deoksiribonukleik (DNA).

    Diilhamkan oleh dua kisah berprofil tinggi, baru-baru ini, mengenai lelaki muda yang bersatu semula dengan ibu bapa kandung mereka dalam keadaan yang sama, Li memutuskan untuk beralih dengan memanfaatkan penggunaan internet.

    Pada 24 Disember lalu, lelaki berusia 37 tahun itu menyiarkan gambar peta yang dilukis dengan tangan di Douyin, aplikasi seperti TikTok versi China dan meminta petunjuk mengenai lokasinya.

    Lakaran terperinci kawasan tempat dia dibesarkan termasuk ciri-ciri seperti kolam kecil, hutan buluh, dan bangunan yang dipercayainya sebagai sekolah.

    Dalam video yang dikongsi beribu-ribu kali dalam talian, Li berkata, dia sedang mencari rumahnya selepas dibawa ke Henan, di tengah China, oleh ‘jiran botak’ sekitar 1989.

    Polis berjaya mengecilkan kawasan itu ke sebuah perkampungan kecil berhampiran bandar pergunungan Zhaotong di wilayah Yunnan, menurut South China Morning Post.

    Selepas memberikan sampel darah yang sepadan dengan DNA seorang wanita di kampung itu, Li akhirnya bertemu semula dengan ibunya pada Tahun Baharu, tetapi malang, bapanya sudah meninggal dunia.

    Li dilaporkan berterima kasih kepada mereka yang membantu menjejaki keluarganya sebelum pertemuan semula yang penuh emosi.

    Dia menulis: “Selama 30 tahun menunggu, malam kerinduan yang tidak terkira banyaknya, dan akhirnya peta yang dilukis dengan tangan dari ingatan, ini memori sempurna selepas 13 hari.”

  • Lelaki ditahan buat lelongan palsu wanita Islam di India melalui online

    Lelaki ditahan buat lelongan palsu wanita Islam di India melalui online

    POLIS India menahan seorang lelaki yang didakwa menjual wanita Islam melalui lelongan palsu secara online, menurut pegawai kerajajaan dalam satu kes yang membangkitkan kemarahan di seluruh negara itu.

    Menteri Teknologi di Maharashtra, Satej Patil berkata, unit siber polis menahan seorang pelajar kejuruteraan berumur 21 tahun di Bengaluru.

    Laman sesawang tersebut mengandungi lebih 100 gambar wanita beragama Islam di India, termasuk wartawan, aktivis, pelakon filem dan juga artis-artis yang dipaparkan tanpa kebenaran.

    Salah satu daripada wanita tersebut adalah wanita berumur 65 tahun yang merupakan seorang ibu kepada seorang pelajar yang hilang.

    Wanita di India terutamanya yang beragama Islam kerap menjadi mangsa buli dalam media sosial seperti Twitter.

    Khadija Khan, seorang peguam dan wartawan dari Bar & Bench adalah antara wanita yang gambarnya dipamerkan dalam laman sesawang tersebut dan mengetahui tentang perkara berkenaan melalui akaun Twitter.

    “Pada awalnya saya tidak terkejut kerana kami sering menjadi bahan ejekan setiap hari tetapi pada hari esoknya, saya berasa takut dan gerun selepas baru sedar laman itu sebenarnya untuk apa,” kata Khan.

  • Aktivis AS desak Tesla tutup bilik pameran di Xinjiang

    Aktivis AS desak Tesla tutup bilik pameran di Xinjiang

    AKTIVIS-aktivis Amerika Syarikat (AS) mendesak Tesla Inc. untuk  menutup bilik pameran di Xinjiang, China selepas terdapat dakwaan kakitangannya mendera golongan minoriti orang Islam.

    Pada Jumaat lalu, Telsa umumkan pembukaan bilik pameran baharu mereka di Urumqi, ibu negeri Xinjiang.

    Ahli The Council On American-Islamic Relations, sebuah golongan aktivis berasal dari Washington mendesak agar syarikat kereta tersebut dan pemiliknya, Elon Musk untuk menutup bilik pameran itu dan “memberhentikan apa yang dilihat sebagai setaraf dengan sokongan untuk pembunuhan ramai-ramai”.

    “Warga Amerika Syarikat tidak sepatutnya membuat urusan perniagaan di tempat yang menjadi tumpuan kepada kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap sebuah agama dan golongan minoriti,” kata Ibrahim Hooper, Pengarah Komunikasi kumpulan aktivis itu dalam satu kenyataan, lapor agensi berita.

    Aktivis dan kerajaan luar menyatakan hampir 1 juta rakyat Uyghur dan rakyat minoriti yang beragama Islam telah dikurung dalam kem tahanan di Xinjiang.

    Pegawai-pegawai Cina menafikan dakwaan penderaan dan menyatakan kem tersebut diasaskan untuk latihan pekerja dan membendung unsur ekstremisme.

    AS  menghalang urusan import dari Xinjiang melainkan terdapat bukti barangan tersebut tidak dihasilkan daripada buruh paksa.

  • Kes Covid meningkat: Warga Xi’an berkurung selama 12 hari

    Kes Covid meningkat: Warga Xi’an berkurung selama 12 hari

    Lebih 13 Juta warga Xi’an di China berkurung selama 12 hari selepas mencatat kes Covid-19 paling tinggi sejak gelombang pandemik itu di Wuhan pada tahun 2020.

    Sehingga kini, negeri di kawasan barat laut China itu merekodkan lebih 1,600 kes dan sekaligus menyebabkan jumlah keseluruhan kes di negara itu meningkat ke paras paling tinggi sejak Mac 2020.

    Perintah berkurung di Xi’an ini adalah antara yang paling lama dan ketat sejak Wuhan pada awal 2020 yang melibatkan 11 juta rakyatnya.

    Disebabkan perintah tersebut, sejumlah besar rakyat negara itu mengganggur kerana kekurangan makanan dan ia memberi kesan kepada akses khidmat perubatan.

    Polisi “Zero-Covid” China menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan tempatan di mana ujian COVID secara besar-besaran akan laksanakan tambahan pula dengan kuarantin dan perintah berkurung yang panjang untuk membendung penularan virus tersebut.

    Pada awal pandemik, polisi tersebut mendapat sambutan yang baik dari rakyat kerana berjaya mengawal kes-kes COVID di Cina namun, penularan di kalangan warga tempatan semakin meningkat dan menimbulkan persoalan sampai bila polisi ini akan bertahan selepas rakyat negaranya dibelenggui dengan tempoh kurungan yang semakin berpanjangan.

    Sejak beberapa minggu yang lalu, warga Xi’an banyak menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka melalui laman media sosial mereka dan siaran langsung sidang media yang dilakukan oleh kerajaan Xi’an.

  • Bayi baru lahir dibuang dalam tong sampah tandas pesawat Air Mauritius

    Bayi baru lahir dibuang dalam tong sampah tandas pesawat Air Mauritius

    STAF lapangan terbang di Mauritius menjumpai seorang bayi lelaki yang baru lahir dalam tong sampah tandas sebuah kapal terbang.’

    Kapal Terbang Air Mauritius dari Madagascar itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Seewoosagur Ramgoolam pada 1 Januari lalu.

    Bayi tersebut dijumpai ketika pegawai lapangan terbang membuat pemeriksaan dalam pesawat itu dan mengarahkan bayi tersebut dihantar ke hospital untuk rawatan.

    Seorang wanita warga Madagascar berumur 20 tahun ditahan tetapi menafikan melahirkan bayi itu. Bagaimanapun melalui pemeriksaan yang dijalankan di sebuah hospital, wanita itu disahkan baru sahaja bersalin sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

    Dia akan disiasat lebih lanjut oleh pihak berkuasa sebelum didakwa atas kesalahan meninggalkan bayi baru lahir.