Category: Luar Negara

  • 336kg heroin bernilai RM789j dari Malaysia dirampas pihak berkuasa Australia

    336kg heroin bernilai RM789j dari Malaysia dirampas pihak berkuasa Australia

    SEBANYAK 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dirampas pihak berkuasa Australia dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

    Menurut Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Katanya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena berkenaan yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    “Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan, positif dadah jenis heroin.

    “Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, pihak berkuasa mengeluarkan semua bungkusan heroin daripada blok konkrit berkenaan dan meneruskan menghantar konsainan ke alamat di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

    “Pada 29 Mac lalu, risikan mendapati konsainan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.

    “Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap,” katanya.

    Susulan itu, katanya, AFP menggeledah beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales serta Queensland dan merampas pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta).

    Rampasan heroin seberat 336kg itu adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan AFP dan ABF. Rampasan terbesar heroin seberat 450kg direkodkan di Melbourne pada 2021.

    Sementara itu, Komander AFP, John Tanti, berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat bersama negara antarabangsa dan negara anggota Komanwel dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah.

    “AFP komited untuk menghentikan kegiatan sindiket yang menggunakan Lautan Pasifik sebagai ‘lebuh raya dadah’ secara maritim dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sindiket yang mendalangi kegiatan itu.

    “Kegiatan jenayah terancang rentas negara ini adalah satu ancaman kepada Australia, sedangkan sindiket dadah menjana jutaan dolar daripada kegiatan itu,” katanya.

  • Masjidil Haram kini lebih luas, sedia terima jutaan jemaah 10 hari terakhir Ramadan

    Masjidil Haram kini lebih luas, sedia terima jutaan jemaah 10 hari terakhir Ramadan

    MASJIDIL Haram dan Masjid Nabawi kini telah bersedia sepenuhnya untuk menerima jutaan jemaah semasa 10 hari terakhir Ramadan.

    Imam Masjidil Haram yang juga Presiden Umum Urusan dua masjid suci di Arab Saudi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais turut mengumumkan pembukaan kepada pembesaran ketiga Masjidil Haram.

    Menurut Astro AWANI, pembukaan kawasan baharu itu dilengkapi dengan sistem perkhidmatan lapangan, kejuruteraan dan teknikal bagi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah.

    Malah, ruang baharu itu dibuka di semua tiang dan laluan untuk mereka yang datang dari terowong Jarwal dan Jabal Al-Kaabah, seperti mana rancangan yang disediakan untuk 10 hari terakhir Ramadan.

    Di samping itu, untuk memastikan kebersihan dan keharuman, operasi pembersihan dan pewangi dipergiat sepanjang masa.

    Pihak pengurusan turut memberi tumpuan kepada operasi teknikal terutama melibatkan eskalator dan lif termasuk sistem pendingin hawa.

    Sejak awal Mac lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang Ramadan 1444H.

    Kementerian itu menerusi kenyataan dimuat naik di laman Twitter rasminya berkata, permohonan itu terbuka kepada semua warga Saudi dan warga asing dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

    Kerajaan Arab Saudi menegaskan, permit umrah bagi warga asing sah laku sehingga 90 hari, di samping mengingatkan para jemaah agar tidak tinggal di negara itu melebihi tempoh berkenaan.

  • Budak perempuan 5 tahun maut dihempap ATV dipandu budak 7 tahun

    Budak perempuan 5 tahun maut dihempap ATV dipandu budak 7 tahun

    SEORANG kanak-kanak perempuan lima tahun maut ditimpa sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dipandu kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang terbalik.

    Kanak-kanak perempuan yang tidak memakai topi keledar itu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dalam kejadian di Daerah Lunenburg, Virginia pada Selasa itu.

    Pihak berkuasa memaklumkan, kemalangan itu berlaku di tanah persendirian, lapor FOX5.

    Pihak berkuasa berkata, kanak-kanak lelaki itu memandu ATV berkenaan apabila ia terbalik menyebabkan kedua-dua mereka tercampak.

    Kenderaan itu bagaimanapun menghempap kanak-kanak perempuan berkenaan.

    Kanak-kanak lelaki itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.

    Polis masih menyiasat lanjut kejadian itu, lapor Agensi.

  • Bertengkar sampai telan telefon bimbit

    Bertengkar sampai telan telefon bimbit

    SEORANG gadis berusia 18 tahun di India terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas bertindak menelan telefon bimbit ketika bertengkar dengan abangnya.

    Lapor New York Post, insiden itu berlaku di Amayan, daerah Bhind di Madhya Pradesh, semalam. 

    “Pertengkaran antara adik-beradik akhirnya membawa kepada musibah,” kata seorang doktor terlibat dalam pembedahan di Hospital Jaya  Arogya. 

    Dua beradik itu dilaporkan bertengkar merebut sebuah telefon bimbit buatan China.

    Remaja itu akhirnya memutuskan untuk menelan peranti mudah alih itu bagi menghentikan pertengkaran tersebut.

    “Ketika perasaan marah memuncak semasa pertengkaran, gadis itu mengambil langkah impulsif dengan menelan telefon bimbit itu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Tidak lama kemudian, gadis itu mula mengalami sakit yang teruk.

    Menurut doktor, remaja itu mula mengalami sakit perut yang teruk dan muntah secara berterusan sehingga dikejarkan ke hospital.

    Sejurus tiba di hospital, pakar bedah menjalankan beberapa ujian ke atas remaja itu termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), X-ray dan ultrasound.

    Pakar bedah memutuskan mereka tidak dapat mengeluarkan telefon bimbit itu melalui kaedah endoskopi dan hanya boleh berbuat demikian menerusi pembedahan.

    Sementara itu, ketua pakar bedah Dr. Naveen Kushwah berkata, pasukannya berjaya mengeluarkan telefon bimbit tersebut selepas melakukan pembedahan selama dua jam.

    Katanya, remaja itu kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahannya yang memerlukan 10 jahitan.

  • Empat maut insiden tembakan di selatan Thailand

    Empat maut insiden tembakan di selatan Thailand

    SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh dalam kejadian tembakan di selatan Thailand semalam.

    Polis memberitahu serangan bermula kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) di daerah Khiri Rat Nikhom di wilayah Surat Thani—kira-kira 600 kilometer (km) di selatan ibu negara Bangkok.

    “Empat orang maut,” kata ketua polis tempatan Kriangkrai Kraikaew kepada AFP tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

    Lapor media tempatan, tembakan berlaku berhampiran rumah bekas ketua kampung.

    Dalang serangan masih diburu dan motif serangan dalam siasatan.

  • Lebih 40 NGO kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa, gesa kerajaan keluarkan pendirian tegas

    Lebih 40 NGO kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa, gesa kerajaan keluarkan pendirian tegas

    LEBIH 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutuk pencerobohan terbaharu rejim Israel terhadap Masjld Al-Aqsa dan serangan tanpa provokasi ke atas ratusan jemaah Islam di dalam dan sekitar masjid itu.

    Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, tindakan itu sekali lagi menunjukkan kepada dunia kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

    “Sejak hari pertama Ramadan, tentera Zionis telah menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan mengosongkannya berkali-kali.

    “Yang paling kejam adalah pada malam 4 April apabila mereka menyerang jemaah, memukul lelaki dan wanita sehingga menyebabkan ramai cedera parah dan ratusan memerlukan rawatan perubatan, selain menahan ratusan lelaki. Serangan ini berulang lagi malam tadi (5 April),” katanya dalam sidang media hari ini.

    Ujarnya, rejim memberikan versi mereka sendiri yang sebenarnya memutarbelitkan peristiwa itu dengan mendakwa jemaah mengurung diri mereka di dalam masjid, sedangkan tentera Zionis sebenarnya menyerang jemaah yang tidak bersenjata dengan bom tangan ‘stun’, peluru getah dan gas pemedih mata.

    “Mereka mahu mengosongkan masjid untuk memberi laluan kepada perayaan agama Yahudi, Paskah di mana upacara penyembelihan haiwan akan berlaku.

    “Hakikatnya, keseluruhan tapak Masjid Al-Aqsa adalah milik umat Islam secara eksklusif. Melakukan apa-apa ritual agama lain adalah satu penghinaan kepada masjid ketiga paling suci dalam Islam itu,” tegasnya mewakili semua NGO terlibat.

    Malah, tindakan membahagikan Masjid Al-Aqsa kepada ruang solat Muslim dan Yahudi oleh rejim Israel adalah terbatal dan tidak sah sama sekali.

    Justeru, kesemua NGO itu mendesak seluruh dunia tidak hanya berdiam diri kerana tindakan biadab rejim apartheid itu mesti dikutuk berhabis-habisan.

    “Komuniti antarabangsa mesti mengerahkan segala cara untuk memberikan tekanan paling kuat ke atas rejim Zionis Israel.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya serbuan terbaharu rejim Zionis Israel ke atas Masjid Al- Aqsa. Kami percaya bahawa serangan semasa bulan suci Ramadan ini membenarkan sekali lagi definisi Israel sebagai entiti pengganas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Gabungan NGO itu juga menggesa semua kerajaan terutamanya kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan pendirian yang tegas terhadap rejim Israel dan menuntut mereka berundur dari Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis dengan serta-merta.

    Dalam masa sama, mereka mendesak negara-negara Islam yang telah memeterai perjanjian damai dan normalisasi dengan Israel agar segera memutuskan hubungan tersebut.

    “Semua negara yang cintakan keamanan mesti mengambil langkah untuk mengasingkan Zionis terutama dalam ekonomi.

    “Kami seru kerajaan terutama kepada kerajaan Malaysia untuk memberikan input kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau ICJ yang telah diberi mandat oleh PBB untuk memberikan nasihat dan pendapat tentang akibat undang-undang yang timbul akibat dasar Israel di wilayah Palestin diduduki iaitu sebenarnya dilakukan Israel adalah jenayah aparthied dan kemanusiaan, dilakukan Zionis,” ujarnya lagi.

  • Kurang 24 jam, polis rejim cemari lagi kesucian Masjid Al-Aqsa

    Kurang 24 jam, polis rejim cemari lagi kesucian Masjid Al-Aqsa

    BELUM sampai tempoh 24 jam, polis rejim Zionis kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid Al-Aqsa, semalam, beberapa jam selepas pasukan itu menyerbu masjid suci itu dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 orang dari kawasan masjid berkenaan.

    Tindakan keras itu yang berlaku ketika Ramadan dan menjelang sambutan keagamaan Yahudi, turut mencetuskan serangan saling berbalas merentasi sempadan di Gaza serta meningkatkan kebimbangan akan keganasan semakin memuncak.

    Agensi berita Reuters dalam laporannya yang dipetik Berita Harian, dalam insiden kedua pada malam tadi, polis Israel sekali lagi memasuki pekarangan masjid itu serta cuba mengusir jemaah dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan pegun, kata petugas Waqaf, pertubuhan Islam dilantik Jordan untuk menguruskan kompleks berkenaan.

    Berikutan itu, jemaah bertindak balas dengan membaling objek terhadap pasukan rejim Zionis berkenaan, menurut saksi, manakala Palang Merah Palestin pula memaklumkan enam orang mengalami kecederaan.

    Polis rejim dalam satu kenyataan mendakwa, puluhan orang muda membawa masuk batu serta mercun ke masjid dan cuba membentengi diri mereka di dalamnya. Bagaimanapun, pihak Waqaf berkata, pasukan rejim itu memasuki masjid terbabit sebelum jemaah selesai menunaikan solat.

    Nabil Abu Rudeineh sebagai jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan tindakan pihak Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mewujudkan ketenangan serta kestabilan ketika Ramadan.

    Dalam insiden terdahulu tidak sampai 24 jam sebelum itu, polis menyerbu Masjid Al-Aqsa dengan mendakwa sejumlah perusuh bertopeng telah memasuki masjid dan menguncinya.

    Menurut Palang Merah Palestin, seramai 12 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran pertama itu, termasuk akibat tembakan peluru getah dan dipukul, manakala polis Israel pula memaklumkan dua anggotanya cedera.

    Susulan pertempuran pertama itu, sekurang-kurang sembilan roket dilaporkan ditembak dari Gaza ke Israel sebelum dibalas dengan serangan udara rejim Zionis yang menyasarkan lokasi pengeluaran senjata kumpulan Hamas. Begitupun, tiada sebarang kematian dilaporkan di kedua-dua belah sempadan Gaza.

    Hamas tiada membuat pengakuan bertanggungjawab atas serangan roket itu, namun percaya ia adalah tindak balas terhadap serbuan polis Israel di Masjid Al-Aqsa.

    Sejurus sebelum pertempuran kedua di masjid itu, semalam, dua lagi roket dilaporkan ditembak dari Gaza. Tentera Israel mendakwa satu daripadanya tersasar, manakala satu lagi mengenai kawasan terbuka.

    Mengikut ketetapan ‘status quo’ sekian lama bawah pengurusan pekarangan Masjid Al-Aqsa, hanya umat Islam boleh menunaikan solat di kawasan itu yang menyaksikan puluhan ribu jemaah memenuhinya untuk beribadah ketika Ramadan.

    Mereka yang bukan Islam pula cuma dibenarkan melawat, namun semakin ramai pelawat Yahudi mengingkari ketetapan berkenaan dengan melakukan perkara keagamaan mereka di kawasan terbabit.

    Pihak Waqaf menyifatkan tindakan polis Israel itu sebagai ‘serangan terang-terangan terhadap identiti dan fungsi Masjid Al-Aqsa sebagai tempat ibadah untuk Muslim sahaja.’

  • Pencabulan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa biadab – Pas Selangor

    Pencabulan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa biadab – Pas Selangor

    PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya pencabulan berterusan tentera rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang beribadah pada malam Rabu.

    Ketua Penerangannya, Nushi Mahfodk berkata, sebelum kejadian itu berlaku, tentera Zionis turut berbalas serangan dengan rakyat Palestin di Bandar Huwara yang terletak di Tebing Barat.

    Menurutnya, Pas Selangor menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu merupakan satu tindakan biadab, keji dan tidak berperikemanusiaan terhadap umat Islam di Palestin yang sedang menjalani ibadah pada Ramadan.

    “Perbuatan biadab, keji dan tidak berperikemanusiaan itu amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang berpuasa.

    “Sehubungan itu, Pas Selangor mengajak semua wakil agama di negara ini mengecam serangan tidak berperikemanusiaan yang mencemarkan kesucian masjid ketiga yang mulia dalam Islam atas dasar keadilan dan kemanusiaan sejagat.

    “Pas Selangor konsisten dalam mempertahankan aqidah Islam dan umatnya serta bertegas menolak kewujudan Israel sebagai sebuah negara berdaulat di rantau Asia Barat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kesucian Masjid Al-Aqsa dicemari, penduduk Palestin dipukul, kemudahan dirosakkan

    Kesucian Masjid Al-Aqsa dicemari, penduduk Palestin dipukul, kemudahan dirosakkan

    KESUCIAN Masjid Al-Aqsa dicemari dengan tindakan biadab polis dan tentera rejim Zionis yang memukul penduduk Palestin dan merosakkan beberapa fasiliti utama di kawasan masjid suci berkenaan.

    Menurut Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders, tindakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa itu mengakibatkan tujuh rakyat Palestin cedera parah, ratusan yang lain cedera ringan dan lebih 400 ditangkap.

    “Berita terkini dari rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami di lokasi juga memaklumkan Klinik Lapangan di Masjid Al-Aqsa hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui MyAqsa Defenders pada 2021 rosak teruk akibat keganasan regim Zionis.

    “Selain itu, rejim Zionis juga bertindak menutup pintu-pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa bagi menghalang rakyat Palestin beriktikaf dan pasukan paramedik untuk merawat mangsa yang tercedera dan hal ini menambahkan lagi ketegangan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

    Kata kenyataan itu lagi, episod keganasan kali ini berkait rapat dengan perayaan Yahudi Passover (Paskah) yang disambut oleh rakyat Israel dan dijadualkan bermula pada 5 April dan akan berlangsung selama 7 hari.

    Katanya, kemuncaknya adalah perarakan besar-besaran yang akan berlangsung di sekitar Masjid Al-Aqsa.

    “Sejak awal tahun ini, situasi di Tebing Barat berada di tahap yang sangat genting apabila rejim Zionis Israel menggempur Jenin, Nablus dan beberapa bandar utama dan melaksanakan beberapa siri pembunuhan dan penangkapan pemuda Palestin.

    “Sehingga kini seramai lebih 90 rakyat sudah terbunuh sejak awal 2023 sahaja, menjadikannya antara tahun paling berdarah buat Palestin.

    “Bagi mengangkat isu ini, kami sentiasa berkomunikasi dan melaporkan daripada rakan-rakan NGO dan media di Palestin melalui medium media sosial kami,” katanya.

    Katanya, antara keperluan yang utama ketika ini ialah bantuan baik pulih klinik lapangan dan bantuan kewangan kepada keluarga yang telah cedera.

    “MyAqsa Defenders juga ingin menguar-uarkan bahawa bantuan kecemasan untuk Al-Quds boleh disalurkan kepada NGO gabungan kami di pautan https://beacons.ai/myaqsa.

    “MyAqsa Defenders juga menggesa agar kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan segera mengutuk tindakan biadap rejim Zionis ini dan mengangkat isu ini di Parlimen serta memanfaatkan platform di peringkat antarabangsa isu ini mendapat perhatian semua pihak,” katanya.

  • Padah gigit bayi enggan tidur, pembantu rumah dipenjara

    Padah gigit bayi enggan tidur, pembantu rumah dipenjara

    TINDAKAN seorang pembantu rumah warga Indonesia menggigit seorang daripada pasangan kembar diasuhnya kerana enggan tidur membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan, oleh sebuah Mahkamah Singapura, semalam.

    Lapor Channel News Asia, mahkamah menjatuhi hukuman penjara itu ke atas Masita Khoridaturochmah, 33, yang didakwa atas pertuduhan mendera mangsa secara sengaja sehingga mengakibatkan kesakitan fizikal yang tidak perlu.

    Bagaimanapun butiran mangsa dan lokasi, disunting daripada kertas pertuduhan berikutan mahkamah mengeluarkan perintah ‘gag’ bagi melindungi identiti mangsa.

    Mahkamah diberitahu bahawa Masita mula bekerja dengan ibu mangsa sejak 2021, dengan antara tugas utamanya ialah menjaga pasangan bayi kembar perempuan itu dan melakukan kerja rumah.

    Pada 26 Mei 2022, majikan Masita dilaporkan keluar rumah kira-kira pukul 5 petang untuk mengambil anak perempuan sulungnya pulang dari prasekolah.

    Masita kemudian ditinggalkan di rumah bersama pasangan bayi kembar terbabit yang ketika itu berusia 14 bulan.

    Wanita itu cuba menidurkan kedua-dua bayi berkenaan tetapi berang apabila seorang daripadanya tetap enggan tidur walaupun sudah dipujuk kira-kira setengah jam sehingga melambatkan dia memasak makan malam.

    Kira-kira pukul 6.30 petang, Masita menggigit bayi itu sekali di lengan kiri bayi itu sehingga meninggalkan kesan lebam.

    Sementara itu, hakim membenarkan permohonan Masita untuk hukuman penjara itu ditangguhkan selama seminggu bagi membolehkannya menyelesaikan beberapa urusan, termasuk menghubungi keluarganya di Indonesia untuk mengaturkan kepulangannya selepas selesai menjalani hukuman penjara nanti.