Category: Luar Negara

  • Ahli geng bertempur, kanak-kanak terbunuh terkena tembakan sasar

    Ahli geng bertempur, kanak-kanak terbunuh terkena tembakan sasar

    SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas ditembak di bahagian kepala di Little Village, Chicago pada Sabtu lalu, kata pihak polis.

    Melissa Ortega, 8, baru sahaja berpindah dari Mexico ke Chicago. Ketika berjalan-jalan bersama penjaganya, suspek melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki berumur 26 tahun yang sedang keluar dari sebuah kedai runcit.

    Melissa dan penjaganya berlari masuk ke sebuah bank selepas mendengar bunyi tembakan namun penjaganya menyedari Melissa terkena tembakan.

    Melissa Otega

    Menurut pihak polis, lelaki yang keluar dari kedai runcit itu adalah sasaran sebenar, bagaimanapun Melissa terkena tembakan yang tersasar. Walaupun penjaganya tidak tercedera, Melissa disahkan mati ketika tiba di Hospital Stroger.

    Jurucakap balai polis Chicago, Michelle Tanehill berkata lelaki tersebut yang cedera di bahagian belakang kepala kini dalam keadaan kritikal di hospital Mount Sinai sejak Ahad lalu.

    Suspek sehingga kini belum dapat ditahan dan David Brown, Superintenden Balai Polis Chicago berkata mereka akan teruskan usaha untuk mencari suspek.

    “Pembunuhan tragis dan tidak berhati perut Melissa telah mengejutkan bandar kami. Tiada apa yang boleh dikatakan apabila nyawa seorang kanak-kanak diambil. Tidak boleh dijelaskan perasaan keluarganya,” kata Brown di laman Twitternya.

    Melissa merupakan pelajar dari akademi Emiliano Zapata, sebuah sekolah rendah di kawasan bandar yang banyak dihuni oleh orang  Mexico. Keluarganya baru berpindah dari Mexico tahun lepas dan kini mereka sedang mengendalikan kutipan derma dalam talian untuk pengebumiannya.

  • Penjenayah kanibal sempat serang wanita sebelum ditangkap semula

    Penjenayah kanibal sempat serang wanita sebelum ditangkap semula

    SEORANG penjenayah Kanibal Perancis terkenal yang membunuh seorang petani sebelum memasak lidah dan jantung mangsa itu dengan kacang putih ditahan semula selepas melarikan diri daripada sebuah hospital di Toulouse.

    Bagaimanapun Jeremy Rimbaud, 34 yang pernah bertugas sebagai tentera di Afghanistan sempat menyerang seorang wanita di daerah itu pada Rabu lalu kira-kira pukul 10 malam sebelum ditangkap semula.

     ‘’Wanita itu benar-benar takut,’’ kata satu sumber penyiasatan.

    Penyiasat itu berkata, “Wanita itu bersama anjiingnya berjalan-jalan berhampiran bandar ketika Rimbaud menyerang.’’

    “Dia menumbuk wanita itu pada bahagian belakang kepala dan memukulnya dengan sebatang kayu sebelum melarikan diri selepas orang ramai campur tangan dan menghalaunya,’’ katanya.

    Tidak lama kemudian, wanita  itu mendapat tahu dia diserang oleh seorang kanibal.

    Sikap ganas Rimbaud yang pulang dari Afghanistan pada Jun 2011 terdedah lima bulan kemudian apabila, pada 14 November 2011, dia membunuh dan mengerat mayat Leopold Pedebidau, 90 tahun – seorang petani di barat Toulouse. Rimbaud memberitahu detektif, dia mendengar suara yang memberitahu untuk membunuh lelaki tua.

    Rimbaud ditahan selepas dia cuma membunuh seorang lagi petani dengan batang besi dan dia kemudiaannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta disahkan mengidap Schizophrenia. Ia akibat kesan ketika bertugas di Afghanistan.

    Dia dikatakan mengambil pil ketamine apabila bertugas di barisan hadapan bagi memberikannya keberanian bersama-sama tentera Perancis yang lain.Peguamnya Maitre Francoise Seles menyifatkan, Rimbaud adalah mangsa perang Afghanistan.

    Sementara itu polis memaklumkan siasatan dijalankan bagai mengenalpasti bagaimana Rimbaud dapat melarikan diri dari hospital di mana dia ditahan Uni Psikiatri sejak tahun 2011.

  • PM New Zealand tunda majlis perkahwinan kerana Omicron

    PM New Zealand tunda majlis perkahwinan kerana Omicron

    PERDANA Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menunda majlis perkahwinannya kerana negara itu akan beralih ke tahap amaran merah COVID-19, lapor Sputnik.

    “Apabila melibatkan majlis, sama ada hari jadi atau perkahwinan atau apa-apa jenis acara seumpama itu, perhimpunan dihadkan hanya kepada 100 orang dengan amaran tahap merah bermula pada 11.59 (10:59 GMT) malam ini,” kata Ardern pada sidang akhbar Ahad, seperti yang dipetik oleh The New Zealand Herald, dan menambah kata bahawa perhimpunan orang yang tidak divaksin pula dihadkan kepada 25 orang.

    Mengulas mengenai perkahwinannya sendiri, perdana menteri berkata beliau juga sama dengan warga New Zealand yang lain.

    “…perkahwinan saya tidak akan diteruskan tetapi saya juga tergolong dalam ramai lagi warga New Zealand yang pernah mengalami pengalaman serupa disebabkan pandemik,” kata Ardern.

    Beliau menjelaskan, pelaksanaan tahap amaran merah di New Zealand diputuskan apabila lebih banyak kes Omicron disahkan di negara itu.

    Perdana menteri itu merancang untuk berkahwin dengan pasangannya Clarke Gayford pada musim panas ini di Gisborne, menurut The New Zealand Herald. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Neve. – BERNAMA

  • Serangan udara penjara Yaman korbankan 70 nyawa

    Serangan udara penjara Yaman korbankan 70 nyawa

    SERANGAN udara ke atas sebuah penjara di Utara Saada, Yaman pada Jumaat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang, lapor AFP.

    Menurut laporan agensi berita, serangan udara itu merupakan serangan balas Emiriah Arab Bersatu (UAE) diketuai Arab Saudi ke atas pemberontak Houthi yang menyerang Abu Dhabi, pada Isnin.

    Dalam satu kenyataan bersama-sama, lapan agensi bantuan yang beroperasi di Yaman menyifatkan serangan berkenaan satu serangan yang tidak menghiraukan orang awam apabila mangsa-mangsa yang terbunuh adalah termasuk pendatang, wanita dan kanak-kanak.

    Mereka berkata, penjara di Saada digunakan sebagai pusat tahanan untuk migran, turut menempatkan ramai mangsa di sana.

    Dalam kejadian berasingan di bandar pelabuhan Hodeida, agensi bantuan Save The Children melaporkan sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut dalam serangan oleh pakatan berkenaan yang memusnahkan kemudahan telekomunikasi.

    Tiga kanak-kanak itu diaporkan sedang bermain di padang bola sepak berhampiran ketika peluru berpandu meletus.

    Yaman turut dilaporkan mengalami gangguan internet di seluruh negara ekoran serangan udara berkenaan.

    Sementara itu, UAE menegaskan mereka bersama-sama ahli gabungan lain akan kekal komited terhadap tindak balas bersasar dari serangan pemberontak Houthi.

    Serangan itu katanya, adalah susulan pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan dron dan peluru berpandu ke atas Abu Dhabi Isnin lalu sehingga mengorbankan tiga nyawa.

    Serangan ke atas Abu Dhabi itu menandakan pemberontak Houthi telah membawa perang tujuh tahun antara mereka dan UAE ke fasa yang baharu.

  • 5 maut, lori kontena rempuh 20 kenderaan di lampu isyarat

    5 maut, lori kontena rempuh 20 kenderaan di lampu isyarat

    SERAMAI lima terkorban dalam kemalangan jalan raya membabitkan lori kontena di Balikpapan, Kalimantan Timur, Indonesia, hari ini.

    Menerusi rakaman CCTV yang tular dalam media sosial, memaparkan lori berkenaan merempuh kira-kira 20 kenderaan yang berhenti semasa lampu isyarat merah.

    Memetik laporan Kompas TV, insiden berlaku di persimpangan jalan Muara Rapak, Balikpapan pukul 6.15 pagi Jumaat (waktu tempatan).

    Menurut Ketua Polis Trafik Kalimantan Timur, Sony Irawan, setakat ini, pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah keseluruhan mangsa korban serta jumlah kenderaan yang terlibat.

    Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, kemalangan dipercayai berlaku akibat kegagalan brek lori tersebut.

    Jurucakap Polis Kalimantan Timur, Yusuf Sutejo berkata, pemandu lori yang dikenal pasti sebagai M. Ali, 47 tahun, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Balikpapan.

    “Trak dengan muatan kontena 20 kaki itu mengandungi kapur pembersih air dengan berat 20 tan.

    “Di depan simpang Muara Rapak adalah bundaran (bulatan), jadi dia berhenti setelah menabrak sejumlah kenderaan di situ,” kata Yusuf.

    Menurut pemandu berkenaan, dia cuba memperlahankan lori ketika di persimpangan jalan, namun gagal akibat masalah brek, memetik laporan Kompas TV.

    Rakaman CCTV serta rakaman video oleh beberapa saksi di lokasi kejadian tular dalam media sosial sejak hari ini.

  • Penumpang enggan pakai pelitup muka, pesawat ke London dari Miami terpaksa berpatah balik

    Penumpang enggan pakai pelitup muka, pesawat ke London dari Miami terpaksa berpatah balik

    SEBUAH pesawat American Airlines yang menghala ke London dari Miami terpaksa berpatah balik apabila seorang penumpang enggan memakai pelitup muka.

    American Airlines berkata pesawat tersebut bertindak demikian pada malam Rabu lalu, pesawat 38 American Airlines yang berlepas dari Miami (MIA) ke London (LHR) berpatah balik disebabkan seorang penumpang enggan mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka.

    Menurut portal Miami Herald, penerbangan tersebut sudah pun memulakan perjalanannya selama 90 minit dan terbang pada paras 34,000 kaki atas lautan Atlantik sebelum berpatah balik  ke lapangan terbang Miami.

    Syarikat penerbangan tersebut berkata mereka menghubungi pihak polis Miami dan pegawai-pegawai membawa wanita tersebut keluar daripada pesawat itu tanpa sebarang masalah.

    Jurucakap Balai polis Miami-Dade berkata, kakitangan American Airlines menguruskan masalah dengan penumpang tersebut dengan tenang. CNN berkata penerbangan tersebut dibatalkan selepas tiba di terminal.

    “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami dan meminta maaf kepada pelanggan kami ke atas kesulitan ini,” kata American Airlines dalam satu kenyataan.

    Menurut peraturan yang diperkenalkan oleh Federal Aviation Administration (FAA), semua penumpang yang menaiki pesawat masuk atau keluar ke Amerika Syarikat wajib memakai pelitup muka di dalam pesawat untuk mengelak jangkitan Covid-19.

    FAA menyatakan terdapat peningkatan kes-kes penumpang yang tidak mengikut peraturan sejak permulaan pandemik.

  • Lelaki dijel cuba curi tumbuhan lebih setengah juta ringgit

    Lelaki dijel cuba curi tumbuhan lebih setengah juta ringgit

    SEORANG lelaki Korea Selatan, Kim Byungsu dihukum penjara 24 bulan di Amerika Syarikat (AS) kerana cubaan mencuri satu tumbuhan yang bernilai ratusan ribu dolar semalam.

    Hakim Daerah AS, George H. Wu menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Byungsu, 46, dan turut memerintahkan dia membayar sebanyak AS$3,985 (RM16,713) sebagai ganti rugi kepada negeri California untuk perbelanjaan berkaitan penanaman semula tumbuhan yang dicuri itu.

    Dia sebelum ini mengaku salah pada September 2021 atas satu pertuduhan cuba mengeksport tumbuhan itu yang sekali gus melanggar undang-undang negeri.

    Byungsu dituduh cuba mencuri tumbuhan succulents Dudleya yang bernilai AS$150,000 (RM629,100) dari sebuah taman di utara California.

    Tumbuhan itu tumbuh seperti bunga tumbuh di pantai Oregon dan utara California dan popular di Asia Timur yang digunakan untuk hiasan. – Agensi

  • Tarik balik atau longgar larangan perjalanan antarabangsa – WHO

    Tarik balik atau longgar larangan perjalanan antarabangsa – WHO

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan negara anggotanya pada Rabu supaya menarik balik atau melonggarkan larangan perjalanan antarabangsa meskipun pandemik COVID-19 masih dianggap membimbangkan, lapor Xinhua.

    Jawatankuasa Kecemasan WHO membentangkan beberapa cadangan kepada Ketua Pengarah WHO, yang memutuskan bahawa pandemik COVID-19 terus menjadi kebimbangan terhadap kesihatan awam di peringkat antarabangsa.

    Jawatankuasa itu berkata bahawa bukti vaksinasi terhadap COVID-19 tidak boleh digunakan sebagai satu-satunya cara atau syarat membenarkan perjalanan antarabangsa memandangkan akses global yang terhad dan pengedaran vaksin COVID-19 yang tidak saksama.

    Ia juga menasihatkan negara untuk menjalankan siasatan epidemiologi terhadap penularan SARS-CoV-2 di antara manusia-haiwan serta pengawasan terhadap perumah haiwan yang berpotensi.

    Jawatankuasa itu meminta pemantauan serta perkongsian data jangkitan dengan rekod masa sebenar, penularan dan evolusi SARS-Cov-2 dalam haiwan, menegaskan bahawa data berkenaan akan membantu memberi kefahaman global serta mengenalpasti virus tepat pada masanya, dan penilaian risiko kesihatan awam. – BERNAMA

  • Selepas 5 hari diculik, mayat kanak-kanak 4 tahun dijumpai di pulau

    Selepas 5 hari diculik, mayat kanak-kanak 4 tahun dijumpai di pulau

    POLIS Belanda menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki warga Belgium di sebuah pulau selepas diculik oleh penjaganya 5 hari lalu.

    Mayat Dean Verberckmoes, 4, ditemukan di Neeltje Jans, sebuah pulau di timur Dutch Zeeland berhampiran dengan taman tema Delta.

    Penculiknya, Dave De Kock, 34 ditahan di Meerkerk semalam dan kemudiannya membawa polis kepada mayat kanak-kanak tersebut.

    Polis memulakan pemburuan selepas ibu Dean, Elke Verberckmoes melaporkan kepada mereka bahawa De Kock tidak memulangkan anaknya ke rumah mereka di Belgium.

    Pihak pendakwaraya Belgium mendedahkan bahawa penculik Dean mempunyai rekod dipenjara 10 tahun atas kesalahan cuai dan mendera sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun mati pada tahun 2008.

    Elke berkata De Kock sudah biasa menjaga Dean dan adik perempuannya kerana dia sedang melalui rawatan untuk kemurungan dan memerlukan bantuan untuk menjaga anak-anaknya.

    De Kock sepatutnya menghantar Dean ke rumah datuk neneknya pada hari Khamis minggu lepas namun tidak berbuat demikian. Elke kemudiannya membuat laporan polis tentang kehilangan anak lelakinya.

    Pihak polis memulakan pencarian kerana risau akan rekod jenayahnya dan kemungkinan De Kock membawa Dean merentas sempadan Belgium.

    Dave De Kock

    De Kock juga mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan ketika ditahan semalam, mabuk teruk, menurut polis.

    Lelaki berumur 34 tahun itu kemudian turut bekerjasama dengan polis Belanda dengan menunjukkan lokasi mayat Dean pada petang itu.

    “Pada sekitar pukul 10 malam, kami menemui mayat seorang kanak-kanak. Kami berterima kasih kepada pihak-pihak yang membantu kami dan mengucapkan takziah kepada keluarganya,” kata polis.

    Kes tersebut telah mencetuskan kerisauan ke atas bagaimana De Kock diberikan kebenaran untuk menjadi penjaga kanak-kanak walaupun mempunyai rekod jenayah.

  • Kapal tentera laut meletup, tiga kelasi maut

    Kapal tentera laut meletup, tiga kelasi maut

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    LETUPAN di sebuah kapal tentera laut India pada Selasa mengorbankan tiga anak kapalnya.

    Kapal pemusnah peluru berpandu INS Ranvir itu sedang berlabuh di limbungan laut Mumbai ketika letupan berlaku.

    “Kru kapal bertindak pantas mengawal keadaan. Tiada kerosakan material besar dilaporkan,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

    Kapal itu ditugaskan bersama Markas Timur Tentera Laut sejak November tahun lalu dan dijangka kembali ke pelabuhan pangkalannya tidak lama lagi, tambahnya.

    Siasatan telah diarahkan untuk mengetahui punca letupan.

    Sebelas anak kapal cedera dalam insiden itu, yang berlaku di ruang dalaman kapal, lapor media India.

    INS Ranvir, yang dibina di bekas Kesatuan Soviet, mula digunakan pada April 1986, menurut maklumat di laman web tentera laut. – BERNAMA