Category: Luar Negara

  • Tujuh maut pesawat bawa pelancong terhempas

    Tujuh maut pesawat bawa pelancong terhempas

    TUJUH orang maut selepas sebuah pesawat yang membawa sekumpulan pelancong terhempas di Gurun Nazca di Peru, Sputnik memetik laporan media.

    Menurut stesen penyiar RPP, pesawat itu membawa pelancong melawat Garisan Nazca, yang terkenal di dunia dengan pelbagai lukisan besar atas muka bumi (geoglyph).

    Pesawat itu membawa rakyat Belanda dan Chile. Punca kejadian masih tidak diketahui. – BERNAMA

  • Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    AGENSI berita Bloomberg membuat kesilapan dengan menyiarkan tajuk berita “Rusia Menceroboh Ukraine” (Russia Invades Ukraine) dan tidak lama kemudian menarik balik tajuk itu, lapor Sputnik.

    “Kami telah menyediakan tajuk utama untuk banyak senario dan tajuk ‘Russia Invades Ukraine’ secara tidak sengaja diterbitkan sekitar jam 4 petang ET (21:00 GMT) hari ini di laman web kami,” tulis Bloomberg di laman web rasminya.

    “Kami amat kesal atas kesilapan itu. Tajuk berita telah dikeluarkan dan kami sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.

    Dalam beberapa bulan lalu, Rusia didakwa menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk serangan.

    Bagaimanapun, Rusia berulang kali menyatakan bahawa ia tidak berniat menyerang Ukraine. – BERNAMA

  • 13,208 kes baharu COVID-19 di Singapura

    13,208 kes baharu COVID-19 di Singapura

    Oleh MASSITA AHMAD

    SINGAPURA melaporkan 13,208 kes baharu akibat jangkitan COVID-19 pada Jumaat, peningkatan tiga kali ganda berbanding Khamis.

    Republik itu juga melaporkan enam kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menurut data Kementerian Kesihatan (MOH) yang diterbitkan menerusi laman webnya.

    Sepanjang 28 hari lepas, data menunjukkan bahawa 85,357 orang telah dijangkiti virus berkenaan dengan 99.7 peratus tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya simptom tidak ketara.

    Daripada jumlah itu, 0.3 peratus memerlukan bantuan oksigen dan sokongan dan 0.04 peratus ditempatkan di unit rawatan rapi.

    Kadar jangkitan mingguan COVID-19 di Singapura berada pada 1.39 pada Jumaat, meningkat daripada 1.23 pada Khamis.

    Jumlah kes akibat COVID-19 kini mencecah 379,681, dengan 866 kematian.

    Sehingga 3 Feb, 89 peratus penduduknya telah lengkap divaksin atau menerima dua dos vaksin COVID-19, dan 59 peratus telah menerima suntikan penggalak. – BERNAMA

  • Kaki berkecai terpijak bom ketika pergi memancing

    Kaki berkecai terpijak bom ketika pergi memancing

    HASRAT seorang lelaki untuk memancing di daerah Chana, Songkhla, Thailand tidak kesampaian apabila kakinya berkecai apabila terpijak sebutir bom pada petang semalam.

    Kejadian yang berlaku dekat sebuah jambatan landasan kereta api itu tidak jauh dari lokasi pertembungan tentera tempatan dengan kumpulan pemberontak, lapor Agensi berita Bangkok Post.

    Mangsa, Sutthisak Meansen, 44, meninggalkan rumahnya untuk memancing ikan di jambatan berkenaan, di Kampung Nam Khem.

    Sewaktu melangkah mencari tempat paling sesuai untuk memancing, sebutir bom meledak di bawah telapak kakinya. Pihak polis memberitahu, kaki kanannya berkecai selain mengalami kecederaan parah di tangan kanannya.

    Penduduk kampung berdekatan bergegas membawanya ke Hospital Chana dengan menaiki motosikal.

    Polis percaya, bom itu diletakkan di lokasi itu oleh pihak pemberontal. Kedudukan lokasi kejadian adalah kira-kira 5 kilometer dari sebuah kawasan masjid yang menyaksikan pertembungan askar Thailand dan sekumpulan pemberontak pada pagi semalam.

    Media tempatan melaporkan, tiga militan terbunuh apabila mereka cuba merempuh pasukan keselamatan di sebuah pusat pengajian al-Quran di Ban Na, Chana.

    Unit pemusnah bom turut membuat pemeriksaan teliti di sekitar lokasi kejadian berikutan kebimbangan terdapat lebih banyak bom yang ditanam di situ.

  • Belanda mahu keadilan terhadap mangsa MH17

    Belanda mahu keadilan terhadap mangsa MH17

    PERDANA Menteri Belanda, Mark Rutte menggesa diadakan sidang dialog bagi mengendurkan krisis dengan Rusia.

    Gesaan itu dibuat semasa beliau melawat ibu negara Ukraine dan menegaskan sekali lagi azamnya bagi memastikan keadilan untuk keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di negara itu pada 2014.

    Rutte merupakan pemimpin Eropah terbaharu, mengikuti langkah perdana menteri Britain dan Poland melawat Kyiv sebagai tanda solidariti.

    Ini berikutan Rusia mengerahkan ribuan tenteranya di sempadan negara itu yang membimbangkan negara-negara Barat.

    Krisis di Ukraine itu dipantau teliti oleh Belanda, yang mana pendakwa raya negara itu menuntut pendakwaan terhadap empat lelaki yang dituduh membunuh dengan menembak jatuh pesawat MH17.

    Pendakwa raya menyatakan bahawa defendan, yang kesemuanya masih bebas, membantu membekalkan sistem misil yang diguna oleh puak pemisah disokong Rusia menentang tentera Kyiv, dan diguna menembak roket terhadap pesawat itu.

    Kesemua 298 orang penumpang, kebanyakannya warga Belanda terbunuh.

    “Keutamaan Belanda adalah membuktikan kebenaran terhadap kejadian sebenar, meraih keadilan dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman,” kata Rutte semasa sidang akhbar bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

    “Ia bukan suatu proses mudah tetapi berputus asa bukan suatu pilihan kepada kami berdua,” ujar beliau, lapor Reuters.

    Kerajaan Belanda juga menyalahkan Rusia sebagai bertanggungjawab dalam kes tersebut.

    Moscow yang menyokong puak pemisah dalam peperangan menentang tentera kerajaan Ukraine, menafikan sebarang pembabitan.

    Dalam kes MH17, keputusan dijangka dicapai di dalam perbicaraan pembunuhan terhadap tiga warga Rusia dan seorang Ukraine tahun ini.

    Pasukan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda telah merumuskan pada 2019 bahawa pelancar misil digunakan untuk menembak pesawat penumpang, dari pangkalan tentera Rusia berdekatan sempadan Ukraine.

  • Kumpulan bersenjata kejam bunuh 1,192 mangsa

    Kumpulan bersenjata kejam bunuh 1,192 mangsa

    SERAMAI 1,192 orang dibunuh dan 3,348 individu diculik dalam serangan berterusan oleh kumpulan bersenjata yang mengamuk di negeri Kaduna, barat laut Nigeria pada 2021, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa.

    Menurut laporan keselamatan 2021, kerajaan Kaduna turut mengesahkan bahawa 891 orang mengalami kecederaan pelbagai tahap, manakala 45 mangsa, termasuk 29 kanak-kanak bawah umur, telah dirogol dalam tempoh itu, lapor Xinhua.

    Pesuruhjaya keselamatan dan hal ehwal dalam negeri, Samuel Aruwan berkata laporan itu merangkumi pelbagai bentuk serangan, termasuk samun, serangan balas, penculikan, dan kecurian lembu di negeri itu.

    Aruwan menambah beberapa pembekal senjata berjaya ditahan dengan senjata dan peluru turut dirampas. – BERNAMA

  • Anggota bomba maut ditembak warga emas semasa padam kebakaran

    Anggota bomba maut ditembak warga emas semasa padam kebakaran

    SEORANG anggota bomba, Max Fortuna, meninggal dunia ditembak ketika dalam usaha memadam kebakaran di Stockton, California.

    Insiden berlaku ketika veteran bomba itu dan pasukannya tiba di lokasi kebakaran melibatkan tong sampah yang merebak ke sebuah bangunan.

    Polis memaklumkan trak bomba tiba di lokasi sekitar 4.45 pagi selepas menerima panggilan kecemasan.

    Mangsa ditembak ketika usaha pemadaman giat dijalankan.

    Seorang suspek berusia 67 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

    Penyiasat masih lagi cuba menentukan motif kejadian tembakan berkenaan.

  • Taktik seludup kokain di dalam  20,000 biji kelapa gagal

    Taktik seludup kokain di dalam 20,000 biji kelapa gagal

    POLIS Colombia berjaya  menggagalkan cubaan menyeludup cecair kokain yang diletakkan di dalam 20,000 biji buah kelapa ke Genoa, Itali di Cartagena, Colombia.

    Taktik penyeludupan itu terbongkar apabila Unit Nakrotik Pejabat Pendakwaraya Kebangsaan Colombia yang bekerjasama dengan pasukan khas polis melakukan pemeriksaan ke atas buah kelapa berkenaan yang dimasukkan ke dalam 504 beg kanvas.

    Melalui pemeriksaan itu mereka mendapati air kelapa telah dibuang manakala cecair lain disuntik ke dalamnya.

    “Semasa pemeriksaan, kami mendapati bahawa air di dalam buah tropika tersebut dikeluarkan dan diisi dengan cecair kokain,” kata pihak pendakwa raya Colombia dalam satu kenyataan.

    Buah kelapa yang dirampas itu dihantar ke makmal untuk pemeriksaan bagi menentukan kuantiti  tepat dadah yang dimasukkan.

    Tiada tangakapan dilakukan setakat ini namun pendakwa raya yang terlibat dalam operasi tersebut berkata mereka akan mencari lebih banyak maklumat untuk menentukan dari mana datangnya penghantaran tersebut dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

    Pihak berkuasa Colombia  kini bekerja rapat dengan pihak berkuasa Itali di Genoa bagi mengenalpasti dalang di sebalik rangkaian penyeludupan dadah ke Eropah.

  • Pelukis tatu bahagia hidup sebumbung dengan 8 isteri

    Pelukis tatu bahagia hidup sebumbung dengan 8 isteri

    MEMANG hebat. Seorang pelukis tatu di Thailand mengagumkan ramai netizen selepas kisahnya hidup sebumbung dengan lapan isteri yang masih muda tular dalam media sosial.

    Memetik laporan Oddity Central, lelaki bernama Ong Dam Sorot itu menjadi terkenal selepas dia menceritakan kisahnya dalam satu rancangan televisyen.

    Rakaman video temu bual tersebut telah ditonton lebih tiga juta kali di YouTube.

    Ong memberitahu dalam temu bual tersebut bahawa semua isterinya mempunyai hubungan yang baik dan mereka menikmati kehidupan berkeluarga yang harmoni.

    Bagaimana dia bertemu lapan isterinya? Ong berkata, dia bertemu isteri pertamanya, Nong Sprite di majlis perkahwinan seorang rakan.

    Ong bertanya sama ada wanita itu menyukainya dan bertanya jika dia ingin berkahwin dengannya.

    Pertemuan dengan isteri kedua, Nong L pula adalah kisah cinta pandang pertama.

    Ong bertemu wanita itu di sebuah pasar dan Nong L bersetuju untuk berkahwin walaupun mengetahui pelukis tatu itu sudah beristeri.

    Dia bertemu dengan isteri ketiga di sebuah hospital manakala Ong berkenalan dengan isteri keempat, kelima dan keenam masing-masing melalui Instagram, Facebook dan TikTok.

    Tidak cukup dengan enam isteri, pelukis tatu tersebut bertemu dengan seorang lagi wanita bernama Nong Film ketika isteri ketujuhnya itu mengunjungi sebuah kuil bersama ibunya.

    Nong Film tidak mampu berkata ‘tidak’ ketika Ong melamarnya.

    Jodoh lelaki bertuah itu dengan isteri kelapan, Nong Mai, bertaut ketika dia bercuti bersama empat isterinya di Pattaya.

    Rahsia kebahagiaan dalam perkahwinan Ong bersama lapan isteri terletak pada sifatnya yang sangat penyayang dan bertimbang rasa.

    Kesemua isterinya mengakui bahawa Ong melayan mereka dengan baik dan tiada masalah yang boleh mencetuskan pergaduhan sesama mereka.

    Pelukis tatu itu turut memberitahu, terdapat empat bilik tidur disediakan untuk isteri-isterinya dan mereka tidur bersamanya mengikut giliran.

    Setakat ini, dia mempunyai seorang anak daripada isteri pertama manakala dua lagi isterinya sedang sarat mengandung.

    Ong menafikan lapan wanita itu berkahwin dengannya kerana wang.

    “Setiap ahli keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing. Isteri-isteri saya mencari pendapatan dengan bekerja atau menjual pelbagai produk seperti makanan, kosmetik dan kraftangan,” jelasnya.

  • Gaza berhadapan bencana akibat varian Omicron

    Gaza berhadapan bencana akibat varian Omicron

    SEORANG pegawai kesihatan Palestin pada Jumaat berkata Semenanjung Gaza sedang melalui situasi ‘sukar dan bencana’ berikutan penularan pantas varian Omicron COVID-19, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Keluk jangkitan meningkat pada kadar yang pantas berbanding sebelum ini,” kata penasihat kepada menteri kesihatan Palestin Fathi Abu Warda kepada pemberita di Gaza.

    Menurut beliau, 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 daripadanya dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dan penggunaan katil mencecah 56 peratus.

    Abu Warda menyeru setiap warganegara yang dijangkiti COVID-19 atau mempunyai simptom berkaitan supaya segera ke hospital, dengan menyatakan bahawa 48 peratus daripada pesakit yang dimasukkan ke wad di Semenanjung Gaza adalah kes jangkitan Omicron.

    Cuaca sejuk semasa yang melanda wilayah Palestin dan kekurangan sumber tenaga di Semenanjung Gaza mengakibatkan bekalan elektrik terputus selama 12 jam setiap hari. Kekurangan alat pemanasan menggalakkan lagi penyebaran virus itu, katanya.

    “Setakat ini, hanya 30 peratus daripada populasi di Semenanjung Gaza telah menerima vaksin,” kata Abu Warda, sambil menambah bahawa kementerian kesihatan menggesa orang ramai untuk mengambil suntikan.

    Pada Jumaat, Palestin melaporkan lima kematian dan 5,380 kes baharu COVID-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut laporan harian koronavirus kementerian kesihatan. – Bernama