Category: Luar Negara

  • Kereta api diserang, lapan penumpang maut 26 cedera

    Kereta api diserang, lapan penumpang maut 26 cedera

    SEORANG pegawai di negeri Kaduna di utara Nigeria pada Selasa mengesahkan lapan penumpang terbunuh dan 26 yang lain cedera dalam serangan ke atas kereta api penumpang Kaduna-Abuja oleh sekumpulan lelaki bersenjata, lapor Xinhua.

    Pesuruhjaya Keselamatan Dalaman dan Hal Ehwal Negeri, Samuel Aruwan dalam mengesahkan angka itu dalam satu kenyataan, mendedahkan bahawa maklumat daripada Nigerian Railway Corporation (NRC) menunjukkan seramai 362 penumpang disahkan telah membeli tiket.

    Menurut Aruwan, senarai penumpang tidak termasuk petugas NRC dan pegawai keselamatan di dalam kereta api, sambil menambah terdapat beberapa penumpang yang tidak diketahui.

    Siasatan bagi mengenal pasti status penumpang masih berjalan dan belum diketahui setakat ini.

    Pada malam Isnin sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Abuja menuju ke Kaduna, ibu negara Nigeria, diserang oleh lelaki bersenjata di Rijana, sebuah bandar di Kaduna. Pengganas menanam alat letupan di sepanjang landasan, dan letupan berlaku sebaik kereta api menghampirinya, menyebabkan keretapi tergelincir.

    Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman kereta api penumpang, menyifatkannya sebagai perkara yang membimbangkan. – BERNAMA

  • Skandal 1MDB: Isteri pegawai bank Goldman beri keterangan

    Skandal 1MDB: Isteri pegawai bank Goldman beri keterangan

    ISTERI kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, memberi keterangan terhadap suaminya pada perbicaraan bela diri di New York, Amerika Syarikat (AS) berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Perbicaraan itu membabitkan penyelewengan ratusan juta dolar daripada dana 1MDB antara 2009 dan 2014.

    Berita Harian memetik laporan Reuters memaklumkan, Ng adalah bekas ketua pegawai Goldsman di Malaysia yang didakwa atas konspirasi penyelewengan wang dan pelanggaran undang-undang anti-rasuah.

    Pihak pendakwaan berkata, beliau membantu bekas majikannya Tim Leissner, menggelapkan wang daripada 1MDB, mencuci hasil dana dan memberi rasuah kepada pegawai bertujuan mendapatkan perniagaan untuk Goldman.

    Ng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

    Beliau berhujah, bahawa AS$35 juta yang diterima daripada Leissner adalah hasil perniagaan usaha sama antara kedua-dua isteri mereka.

    Pihak pendakwaan bagaimanapun, menyatakan bahawa wang berkenaan adalah sogokan daripada skim berkenaan.

    Semalam, isteri Ng, Hwee Bin Lim, memberi keterangan bahawa selepas Ng mula bekerja untuk Leissner pada pertengahan tahun 2000, beliau melabur sebanyak 48 juta Yuan, iaitu kira-kira AS$6 juta pada waktu itu ke dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh isteri Leissner, Judy Chan.

    Bin Lim memberi keterangan itu pada perbicaraan bela diri memasuki hari kedua, yang bermula awal Februari lalu.

    Bin Lim berkata, beliau dan Judy Chan, bagaimanapun bertengkar pada 2011 dan mengarahkan beliau melupuskan sahamnya yang sudah melonjak.

    Pada 2012, Judy Chan memberitahunya beliau sudah bersedia memindahkan AS$26 juta.

    Ketika disoal oleh peguam Ng, Marc Agnifilo, sama ada wang yang akan dihantar oleh Judy Chan kepada beliau datang daripada 1MDB, Bin Lim menjawab, ‘tidak sama sekali’.

    “Wang itu datang daripada Judy Chan dan keluarganya,” katanya.

    Peguam Judy Chan bagaimanapun, tidak memberikan sebarang respon ketika diminta memberikan komen.

    Pada 2018, Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan memberi keterangan Februari lalu bahawa pelaburan yang dilakukan oleh Bin Lim ke dalam perniagaan Judy Chan hanyalah suatu rekaan untuk menjelaskan mengenai bayaran sogokan.

    Ia bertujuan supaya pihak bank yang memproses dana berkenaan tidak menjadi curiga.

    Pertuduhan itu adalah satu daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pihak pendakwaan menyatakan AS$4.5 bilion daripada AS$6.5 bilion diraih daripada 1MDB disalurkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan juga sekutu mereka menerusi pemberian rasuah dan sogokan.

    Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 billion dan mengaturkan supaya unit mereka di Malaysia mengaku bersalah di Mahkamah AS.

  • Mahkamah Singapura tolak rayuan, Nagaenthran ke tali gantung

    Mahkamah Singapura tolak rayuan, Nagaenthran ke tali gantung

    Oleh MASSITA AHMAD

    MAHKAMAH Rayuan Singapura menolak rayuan warganegara Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam berhubung hukuman mati yang dihadapinya.

    Mahkamah membacakan keputusannya pada Selasa selepas mengekalkan penghakiman perbicaraan Nagaenthran yang diadakan pada 1 Mac.

    Peguam M Ravi menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan bahawa “Mahkamah @menganggap rayuan itu sebagai menyalahi proses dan undang-undang antarabangsa tidak terpakai.”

    “Nagaenthran yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental akan dihukum gantung mungkin dalam beberapa hari akan datang,” menurut Ravi.

    Ravi memberi bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

    Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan panel hakim lima orang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

    Selain rayuan itu, peguamnya Violet Netto, turut memohon mahkamah menggunakan kuasanya bagi membolehkan dia menjalani penilaian pakar psikiatri.

    Nagaenthran yang berasal dari Perak dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabitkan kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin pada 2009 di Singapura yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Kes Nagaenthran telah menarik perhatian antarabangsa.

    Pada 7 Nov 2021, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran berhubung kes ini.

    Sementara itu pada 3 Dis lepas, Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah melalui segala proses mengikut undang-undang.

    Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.

    Dia dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 10 Nov 2021 tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. — BERNAMA

  • 3 maut, 10 cedera dalam kemalangan lebih 50 kenderaan

    3 maut, 10 cedera dalam kemalangan lebih 50 kenderaan

    SEKURANG-KURANGNYA tiga maut manakala lebih 10 cedera dalam kemalangan melibatkan lebih 50 kenderaan di timur Pennsylvania, semalam.

    Kemalangan tersebut sehingga menutup sebahagian sempadan negeri di timur Pennsylvania, lapor Astro Awani, hari ini.

    Bagaimanapun, menurut koroner daerah, Dr. David J..Moylan, kerja-kerja menyelamat masih belum selesai kerana ada kenderaan yang terbakar dan jumlah kematian sebenar mungkin meningkat.

    Nahas yang berlaku sekitar pukul 10.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada ribut salji yang mengaburkan penglihatan.

    Kira-kira 50 kenderaan termasuk beberapa lori dan treler terlibat dalam nahas.

    Kakitangan kecemasan dari empat daerah berbeza bergegas ke lokasi kejadian dan sehingga kini telah membawa kira-kira 20 pesakit ke hospital terdekat untuk rawatan.

    Rakaman yang tular dalam media sosial pada Isnin menunjukkan nahas berlaku apabila sebuah treler berada di luar kawalan merempuh sebuah lori sampah.

  • Tular pemuda buang air besar hanyut bersama jamban

    Tular pemuda buang air besar hanyut bersama jamban

    SEBUAH klip video pendek lucu menunjukkan seorang pemuda duduk di atas bumbung jamban yang dihanyutkan air banjir tular di Indonesia semalam.

    Menurut laporan Kompas Jakarta, kejadian berlaku pada Sabtu lalu di Desa Tunggul Irang, Banjar, Kalimantan Selatan ketika pemuda tersebut sedang membuang air besar.

    Rakaman itu menunjukkan tandas terapung dihanyut arus melalui Sungai Martapura, di Kalimantan Selatan.

    Ia telah dirakam seorang penduduk yang menyaksikan kejadian itu ketika pemuda bersama jamban dinaiki dibawa air dalam keadaan separuh tenggelam.

    Turut kelihatan tumbuhan liar disekeliling jamban dibawa bersama-sama arus sungai terbabit.

    Pemuda berbaju merah kelihatan duduk bersantai di atas bumbung dengan melihat sekeliling, tanpa meminta pertolongaan ketika hanyut.

    Bagaimanpun penduduk yang merakam kejadian itu tidak mengenali siapakah gerangan pemuda tersebut.

    Nasib pemuda itu juga tidak diketahui, tetapi berkemungkinan besar dia berjaya selamatkan diri kerana di hilir sungai itu dikatakan terdapat jambatan gantung yang membolehkan pemuda itu berpaut. 

  • [VIDEO] Bengang isteri jadi bahan lawak, Will Smith lempang Chris Rock

    [VIDEO] Bengang isteri jadi bahan lawak, Will Smith lempang Chris Rock

    SIAPA yang tak bengang bila isteri kesayangan dijadikan bahan lawak di hadapan khalayak ramai.

    Aktor Hollywood, Will Smith tidak dapat menahan sabar apabila Chris Rock bergurau tentang kepala isterinya, Jada Pinkett yang dicukur botak pada majlis Anugerah Oscar malam tadi.

    Memetik laporan Mirror, bintang siri komedi Fresh Prince of Bel Air itu mengejutkan para selebriti yang hadir dan penonton di rumah apabila di melempang muka Chris.

    Insiden yang menggemparkan itu dapat dilihat secara langsung melalui kaca televisyen.

    Ketika menyampaikan anugerah untuk kategori dokumentari utama terbaik, Chris membuat lawak bodoh tentang rambut Jada.

    “Jada, tak sabar menunggu untuk GI Jane 2,” katanya.

    Will yang langsung tidak terhibur dengan lawak Chris terus meluru ke atas pentas dan melempang aktor komedi itu sebelum kembali ke tempat duduknya.

    “Jangan sebut nama isteri saya!” jerit Will.

    Video tular yang menunjukkan Will Smith melempang Chris Rock setelah isterinya, Jada Pinkett Smith dijadikan bahan lawak pada majlis Anugerah Oscar, malam Ahad. (Kredit: Twitter Erik Davis)

    Lawak biadab yang dibuat oleh Chris adalah merujuk kepada filem GI Jane yang diterbitkan pada 1997.

    Dalam filem tersebut, Demi Moore yang memegang watak utama mempunyai fesyen rambut yang serupa dengan Jada.

    “Wau, Will Smith baru saja melempang saya. Ini merupakan malam yang paling hebat dalam sejarah televisyen,” kata Chris.

    Will kemudian dianugerahkan Oscar sulungnya atas watak yang dilakonkannya dalam King Richard.

    Beliau turut meminta maaf atas tindakannya melempang Chris sebelum itu.

    “Saya kelihatan seperti bapa yang gila, seperti yang mereka katakan tentang Richard Williams, namun cinta membuatkan kita melakukan perkara yang gila.

    “Terima kasih atas penghormatan ini, terima kasih atas saat ini… saya harap Akademi akan menjemput saya pada masa akan datang,” katanya.

    JADA PINKETT SMITH
    JADA PINKETT SMITH (Gambar: Instagram)

    Sebelum ini, Jada menjelaskan bahawa dia mencukur kepalanya disebabkan oleh penyakit alopecia yang dihidapi menyebabkan rambutnya gugur.

    Dia mengumumkan perkara itu dalam Instagram tahun lalu serta berkongsi pengalamannya menghidap penyakit tersebut.

  • Rundingan damai Ukraine – Rusia pusingan seterusnya di Istanbul

    Rundingan damai Ukraine – Rusia pusingan seterusnya di Istanbul

    MESYUARAT rundingan damai yang seterusnya antara Rusia dan Ukraine akan diadakan di Istanbul, Turki, dan dipersetujui presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin pada Ahad.

    Erdogan dan Putin membincangkan perkembangan terkini dan proses rundingan damai krisis Rusia-Ukraine menerusi perbualan telefon, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Komunikasi Turki.

    Erdogan menegaskan keperluan gencatan senjata serta-merta dan pemulihan keamanan antara Rusia dan Ukraine serta langkah menangani krisis kemanusiaan di rantau ini

    Turki akan terus memberikan sokongan kepada proses ini, kata Erdogan.

    Bagaimanapun, tiada tarikh khusus diberikan untuk sesi mesyuarat itu.

    Turki menjadi tumpuan dunia pada 10 Mac, berikutan negara itu menjadi tuan rumah kepada pertemuan  peringkat tertinggi kedua-dua pihak membabitkan menteri luar Rusia dan Ukraine di bandar Antalya di selatan Turki, sejak krisis tercetus.

    Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu, berikutan negara itu menjalin hubungan mesra dengan Rusia dan Ukraine.

    Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

    Sekurang-kurangnya 1,119 orang awam terbunuh dan 1,790 yang lain cedera manakala lebih 3.82 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- Bernama

  • Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    TENTERA Rusia berjaya diusir sejauh lebih 70 kilometer dari ibu negara, Kyiv di beberapa lokasi tertentu hasil “kejayaan operasi” ketenteraan Ukraine, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine pada Sabtu.

    “Di beberapa kawasan lain, unit Angkatan Tentera Rusia berada 35 kilometer (sekitar 22 batu) dari Kyiv,” kata Oleksandr Motuzyanyk pada sidang media, lapor Agensi Anadolu.

    Bagaimanapun,”tiada sebarang tanda pengunduran tentera Rusia dari kawasan tertentu di Kyiv buat masa ini,” katanya.

    Motuzyanyk mendakwa negaranya berjaya “melaksanakan mobilisasi,” dan kini “di peringkat kedua mobilisasi.”

    “Kami telah mengerah lebih 100,000 orang. Pada masa ini, seluruh negara menyertai usaha menentang penceroboh,” katanya.

    Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

    Sekurang-kurangnya 1,081 orang awam telah terbunuh dan 1,707 yang lain cedera manakala lebih 3.7 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA

  • Doktor Malaysia bantu pelarian Ukraine di Poland

    Doktor Malaysia bantu pelarian Ukraine di Poland

    KETIKA berada di Warsaw, Poland awal bulan ini, Dr Muruga Raj Rajathurai terpanggil untuk menjadi sukarelawan perubatan di pusat perlindungan pelarian Ukraine.

    Beliau berkhidmat sebagai sukarelawan di Stesen Sentral Warsaw selama 11 hari, memberi rawatan perubatan kepada beribu-ribu rakyat Ukraine yang menyeberang ke Poland untuk melarikan diri daripada operasi ketenteraan Rusia.

    Berkongsi pengalamannya, Dr Muruga berkata disebabkan bimbang dengan keselamatan tiga anaknya dan dua anak abangnya yang menuntut di Universiti Perubatan Warsaw, beliau memutuskan untuk ke Poland pada 3 Mac.

    “Selepas memastikan mereka selamat, anak saya cerita ada ramai pelarian Ukraine mula datang ke Stesen Sentral Warsaw untuk mencari perlindungan.

    “Jadi saya ambil keputusan untuk berkhidmat sebagai sukarelawan perubatan dari 8 hingga 19 Mac,” kata doktor di sebuah poliklinik di Johor itu kepada Bernama.

    Dr Muruga yang juga Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata amat menyedikan melihat keadaan pelarian, terutamanya kanak-kanak yang hanya berbekalkan sedikit barang keperluan terpaksa berpisah dengan keluarga untuk menyeberang ke Poland.

    “Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila semua lelaki Ukraine berumur 18 hingga 60 tahun dilarang meninggalkan negara mereka buat sementara.

    “Ramai meninggalkan Ukraine dan melintasi sempadan untuk mencari perlindungan di Poland dengan meninggalkan bapa, anak lelaki, abang, suami mereka di rumah. Tiada komunikasi antara mereka,” katanya.

    Beliau berkata mereka melarikan diri tanpa sebarang dokumen peribadi atau ubat-ubatan yang diperlukan.

    “Kebanyakan pelarian alami tekanan dan kebimbangan kerana tidak pasti bila boleh balik semula ke tanah air mereka.

    Sekurang-kurangnya 1,000 pelarian menerima rawatan perubatan di pusat itu setiap hari.

    Menurut Dr Muruga, sepanjang masa, sukarelawan di pusat itu termasuk beliau dan pasukan perubatannya berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

    “Saya juga tersentuh dengan usaha kemanusiaan dan keprihatinan warga Poland dalam membantu pelarian Ukraine di negara mereka,” katanya yang mewarisi minat bapanya, C. Rajathurai yang juga terlibat dengan aktiviti sosial.

    Anak-anaknya turut membantu usaha mengumpul dana untuk pelarian dengan melibatkan diri bersama badan antarabangsa seperti Persatuan Palang Merah.

    “Selain itu anak lelaki saya juga membantu mendapat dan mengagihkan makanan setiap hari kepada pelarian,” katanya yang kembali ke Malaysia pada 21 Mac.

    Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 1,000 orang awam terbunuh di Ukraine dan 1,650 dilaporkan cedera, manakala lebih 3.67 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara jiran, sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan pada 24 Feb. – Bernama

  • Lelaki penggal kepala budak sebelum bawa keliling kampung

    Lelaki penggal kepala budak sebelum bawa keliling kampung

    SEORANG lelaki berusia 30 tahun ditahan setelah memenggal kepala seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun dan membawanya keliling kampung, dalam kejadian di daerah Sambalpur Odisha, India, semalam.

    Kejadian ngeri itu menggemparkan penduduk sekitar, lapor The New Indian Express dan New18.com.

    Difahamkan, ketika kejadian, kanak-kanak itu pergi untuk membuang air di satu kawasan di sebuah ladang pada waktu pagi.

    Suspek dipercayai pergi ke lokasi membawa kapak dan tidak semena-mena memenggal kepala mangsa.

    Dia kemudian berjalan mengelilingi kampung sambil memegang kepala mangsa yang dipenggal itu sebelum mencucinya di sebuah telaga.

    Isteri suspek yang melihat tindakan itu terus memarahi suaminya namun terhenti apabila dia diugut dengan kapak.

    Suspek kemudian tidur di atas tanah di situ.

    Suspek yang memenggal kanak-kanak perempuan sudah ditahan pihak berkuasa dan kapak yang digunakannya juga sudah dirampas

    Siasatan awal polis mendedahkan suspek seorang pemabuk, tetapi tidak bermusuh dengan keluarga si mati.

    “Kami masih belum dapat memastikan apa yang bermain dalam fikirannya ketika melakukan jenayah itu,” kata pegawai polis.

    Menurut penduduk kampung, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak perempuan sering bertengkar dengan keluarganya, namun dia dipercayai bukan seorang yang mengalami sakit mental.

    Senjata yang digunakan suspek dirampas dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

    Pihak berkuasa mengesahkan motif di sebalik kejadian ngeri itu masih belum dapat dipastikan dan sedang disiasat.