Category: Luar Negara

  • Krisis Sudan: 29 rakyat Malaysia dikenal pasti

    Krisis Sudan: 29 rakyat Malaysia dikenal pasti

    WISMA Putra mengikuti perkembangan di Sudan setiap masa bersama-sama agensi kerajaan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain bagi memastikan rakyat Malaysia di Sudan selamat.

    Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, sehingga kini jumlah rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Sudan adalah sebanyak 29 orang.

    Kesemua mereka katanya, dilaporkan selamat dan maklumat mereka adalah seperti berikut: 11 pelajar; tiga Home Based Staff dan lapan ahli keluarga; satu orang yang bekerja dengan Petronas; satu orang yang bekerja dengan UNICEF; satu orang yang bekerja dengan PBB; dua orang yang bekerja PBB di Wilayah Abyei; satu orang yang bekerja di World Vision; dan satu orang yang bekerja di Hotel Lian Tian International.

    “Mesyuarat Antara Agensi telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri, Datuk Norman Muhamad, pada Ahad, 16 April 2023, pukul 9.30 pagi di Bilik Operasi Wisma Putra.

    “Tujuan mesyuarat diadakan adalah untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan serta berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan terjamin semasa konflik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, Bilik Operasi 24 jam juga telah dilancarkan di Wisma Putra bagi memantau keadaan semasa kejadian di Sudan termasuk komunikasi berkumpulan melalui WhatsApp turut dilakukan.

    “Kepada rakyat Malaysia yang berada di sana, dinasihatkan ambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara waktu.

    “Mereka boleh berhubung terus dengan Pihak wakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Konflik di Sudan, yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

  • Kebakaran pangsapuri di Dubai: 16 penghuni maut, 9 cedera

    Kebakaran pangsapuri di Dubai: 16 penghuni maut, 9 cedera

    SEKURANG-kurangnya 16 penghuni maut manakala sembilan yang lain cedera dalam kebakaran sebuah bangunan kediaman di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

    Lapor AFP, kebakaran berlaku pada tengah hari Sabtu di tingkat empat pangsapuri di taman perumahan Al-Ras di bandar pelabuhan berkenaan.

    Pasukan pertahanan awam dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media UAE berkata, siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada “kekurangan pematuhan terhadap keperluan keselamatan dan keselamatan bangunan”.

    Identiti dan warganegara mangsa terbabit masih belum didedahkan.

    Dubai mempunyai penduduk sekitar 3.3 juta, di mana hampir 90 peratus adalah warga asing.

    Bandar ini pernah mengalami kebakaran dahsyat yang menyebabkan kerosakan besar namun jumlah mangsa yang terkorban tidak ramai.

    Pada 2017, pihak berkuasa mengumumkan penggunaan peraturan bangunan yang lebih ketat untuk meminimumkan risiko kebakaran, yang dikaitkan terutamanya dengan bahan mudah terbakar yang digunakan dalam pelapisan luar bangunan.

  • Bekas ahli parlimen India, abang ditembak mati ketika siaran langsung TV

    Bekas ahli parlimen India, abang ditembak mati ketika siaran langsung TV

    BEKAS ahli Parlimen India yang disabitkan dengan kesalahan menculik ditembak mati bersama abangnya ketika siaran langsung di televisyen.

    Dalam kejadian di Prayagraj, yang juga dikenali sebagai Allahabad di Uttar Pradesh malam tadi, Atiq Ahmed, yang diiring polis, sedang bercakap dengan beberapa wartawan sebelum tembakan dilepaskan penyerang ke arah kepalanya dari jarak dekat.

    Lapor BBC, susulan serangan itu, tiga suspek lelaki yang menyamar sebagai wartawan kemudian menyerah diri dan ditahan.

    Anak lelaki Atiq, Asad sebelum ini maut ditembak polis awal minggu ini dalam insiden tembak-menembak.

    Bekas ahli Parlimen itu sebelum ini mendakwa terdapat ancaman terhadap nyawanya sendiri daripada pihak polis.

    Rakaman video tular kejadian itu menunjukkan Atiq dan abangnya Ashraf dalam keadaan tangan mereka bergari menjawab soalan media semasa dalam perjalanan untuk pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran beberapa saat sebelum mereka berdua ditembak.

    Dalam rakaman itu, Atiq ditanya sama ada dia menghadiri pengebumian anaknya, dan kata-kata terakhirnya: “Mereka tidak bawa kami, jadi kami tidak pergi.”

    Menurut polis, ketiga-tiga suspek datang ke lokasi kejadian menaiki motosikal.

    Seorang wartawan dan anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.

    Susulan kejadian itu, Ketua Menteri Yogi Adityanath mengarahkan siasatan terhadap pembunuhan itu dan melarang perhimpunan beramai-ramai di daerah Uttar Pradesh.

    Atiq, yang merupakan bekas ahli parlimen, dan abangnya berada dalam tahanan polis dan dibawa ke Prayagraj di Uttar Pradesh, di mana Atiq menghadapi tuduhan pembunuhan dan serangan.

    Dia dipenjarakan pada 2019 selepas disabitkan kesalahan menculik.

    Lebih 180 orang yang menghadapi pelbagai pertuduhan telah dibunuh oleh polis di Uttar Pradesh dalam tempoh enam tahun lalu.

    Aktivis hak asasi manusia menuduh polis melakukan pembunuhan secara semberono, tuduhan yang dinafikan kerajaan negeri itu.

  • Perdana Menteri Jepun terselamat insiden letupan

    Perdana Menteri Jepun terselamat insiden letupan

    PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida dan ketua kerajaan yang lain terselamat dalam insiden letupan yang berlaku ketika Kishida sedang bersiap sedia untuk menyampaikan ucapan awam di bandar Wakayama, lapor Sputnik.

    Menurut penyiar NHK, kejadian itu berlaku pada 11.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu (02:30 GMT) selepas Kishida menamatkan lawatan ke kawasan nelayan Saikasaki di Wakayama dan sedang bersiap sedia untuk berucap.

    Sebelum perdana menteri memulakan ucapannya, bunyi letupan kuat kedengaran tidak jauh dari lokasi, kata NHK.

    Sementara itu, Agensi Berita Kyodo melaporkan objek menyerupai suar dengan asap dilemparkan ke arah perdana menteri.

    Menurut NHK berikutan kejadian itu, seorang lelaki ditahan.

    Kishida membatalkan ucapan awamnya di Wakayama dan kini berada di ibu pejabat polis utama Wilayah Wakayama, lapor Kyodo.

  • Lelaki bakar bekas teman wanita hidup-hidup ditahan

    Lelaki bakar bekas teman wanita hidup-hidup ditahan

    SEORANG lelaki yang didakwa membakar bekas teman wanitanya hidup-hidup ditahan di Colombia pada Rabu.

    Sergio Tarache Parra, 19, dituduh menyimbah Katherine Gomez, 18, dengan minyak tanah sebelum membakar mangsa di dataran di Lima, Peru pada 18 Mac lalu.

    Menurut konsulat Peru di Bogota, notis merah Interpol telah dikeluarkan untuk penahanan Tarache.

    Beberapa hari sebelumnya, remaja perempuan itu dipercayai memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

    Mangsa yang melecur 60 peratus di badan dimasukkan ke hospital, namun meninggal dunia enam hari kemudian.

    Kementerian dalam negeri Peru memaklumkan, Tarache yang berasal dari Venezuela akan diekstradisi dari Colombia ke Peru untuk dibicarakan.
    Kamera keselamatan (CCTV) menunjukkan pemuda itu melarikan diri dari tempat kejadian selamat menyerang mangsa.

    Polis Peru menawarkan ganjaran AS$12,500 (RM55,024) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek, lapor Agensi.

  • Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    SEKURANG-KURANGNYA 100 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera di Myanmar, menurut laporan media dan saksi.

    Tentera melancarkan roket ke perbandaran Pazigyi di wilayah Sagaing pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Roket itu dilancarkan ketika upacara pembukaan pejabat baharu Angkatan Pertahanan Rakyat antijunta di situ. Ramai penduduk kampung dilaporkan datang ke bandar untuk menghadiri majlis berkenaan.

    Pertempuran sengit juga dilaporkan tercetus di kawasan itu baru-baru ini antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang junta.

    Myanmar diperintah junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan pada Selasa itu dan meminta mereka yang melakukannya supaya bertanggungjawab.

    Laporan media menunjukkan Pazigyi kini dalam keadaan huru-hara. Menurut saksi, jumlah kematian mungkin akan meningkat.

    Penduduk berkata tentera menunggu upacara bermula bagi melancarkan serangan udara dan gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan.

    Kerajaan bayangan antijunta di Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional dalam satu kenyataan menyifatkan serangan itu sebagai ‘perbuatan keji’ dan bukti keganasan junta terhadap orang awam yang tidak bersalah.

  • Lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah di Masjidil Haram setiap hari sejak awal Ramadan

    Lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah di Masjidil Haram setiap hari sejak awal Ramadan

    MASJIDIL Haram, masjid paling suci umat Islam yang terletak di tengah-tengah Kota Makkah, Arab Saudi, mencatat kedatangan lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah dari serata dunia setiap hari sejak awal Ramadan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Menurut SPA, pengurusan Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut menyatakan kesiapsiagaannya untuk menerima pertambahan jumlah kedatangan jemaah dalam 10 hari terakhir Ramadan.

    “Jabatan akan menggerakkan semua sumber manusia dan peralatan operasinya bagi menjamin kelancaran ibadah umrah dan keselamatan jemaah”, kata jabatan itu seperti dipetik SPA.

    Tambahnya, operasi pembersihan dan pensterilan di Masjidil Haram melibatkan lebih 4,000 pekerja pembersihan sebanyak 10 kali setiap hari.

    Setiap proses pembersihan menggunakan lebih 80,000 liter (L) sabun cecair, 1,600L penyegar dan kira-kira 15,000L cecair pembasmi kuman.

    Lebih 70 pasukan lapangan juga digerakkan 24 jam setiap hari untuk menyahkuman setiap ruangan di Masjidil Haram dan halaman luarnya, menggunakan bahan mesra alam dan lebih 500 pembersih tangan automatik.

    Pengagihan air Zamzam juga digandakan dengan lebih 200,000 botol diagihkan di halaman Tawaf (Mataf) menggunakan robot AI, tidak termasuk pengagihan secara beg silinder oleh lebih 1,400 pekerja dan puluhan tong statik setiap hari.

    Selain itu, lebih 8,000 kerusi roda biasa dan berkuasa elektrik disediakan untuk kegunaan jemaah umrah dan pengunjung warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Jabatan itu turut menekankan keperluan bagi jemaah dan pengunjung untuk mematuhi arahan semasa melaksanakan ibadah dan memberi kerjasama penuh kepada anggota keselamatan dan petugas bagi menjamin suasana keagamaan yang tenang dan selamat.

  • 5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    SEORANG lelaki bersenjata dan empat yang lain terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah bank di bandar Louisville di negeri Kentucky Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut polis.

    Lapan orang turut cedera termasuk dua pegawai polis. Seorang daripada pegawai polis itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, lapor Agensi Berita Jermam (dpa).

    Timbalan ketua polis Louisville Paul Humphrey berkata, polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.

    Dua pegawai polis itu cedera ketika berbalas tembakan dengan penyerang.

    Humphrey berkata, setakat ini belum jelas sama ada penyerang ditembak oleh polis atau membunuh diri.

    Menurut siasatan awal, suspek merupakan kakitangan bank itu atau pernah bekerja di bank berkenaan.

  • Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    PELAKON dan pelawak veteran Hong Kong, Richard Ng Yiu Hon dilaporkan meninggal dunia, semalam.

    Lapor DimSum Daily yang dipetik Astro AWANI, Ng meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berkaitan usia.

    Dikenali dengan peranan komedinya pada tahun 80-an dan 90-an, pemergian lelaki berusia 83 tahun itu juga disahkan oleh ahli keluarganya.

    Richard Woo atau Richard Ng mempunyai kerjaya berjaya dalam industri filem dan televisyen serta pernah muncul dalam lebih 80 buah filem.

    Beliau pernad dinominasikan untuk Anugerah Pelakon Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong sebanyak dua kali menerusi lakonannya dalam Winners and Sinners sebelum menjayakan drama bersiri Lucky Stars dan Beyond the Sunset.

    Ng juga pernah bekerja bersama beberapa nama terbesar dalam filem-filem Hong Kong termasuk Datuk Jackie Chan, Tan Sri Michelle Yeoh, Andy Lau dan Jet Li.

    Nama Ng melonjak selepas membawa watak penting pada tahun 1983 sebagai ‘Exhaust Pipe’ dalam filem Winners and Sinners arahan Sammo Hung.

    Beliau juga dikenali dengan peranannya dalam filem komedi Pom Pom, siri filem komedi Lucky Stars bersama rakan Lucky Star dan John Shum.

    Ng meninggalkan seorang isteri Susan dan empat orang anak iaitu Alex, Zoe, Louise dan Carl.

    Hong Kong, Richard Ng, pelakon hong kong, meninggal dunia,

  • Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    SEORANG penoreh getah maut setelah dibelit seekor ular sawa sepanjang enam meter dalam kejadian di sebuah kebun getah dekat Desa Sukajaya, Bayung Lencir, Sumatera Selatan di Indonesia Jumaat lalu.

    Memetik laporan Tribun News, mangsa yang dikenali sebagai Sangadah, 50, sempat menjerit meminta pertolongan ketika kakinya dibelit reptilia berkenaan.

    Rakan mangsa yang mendengar jeritan Sangadah bagaimanapun tidak berani menghulurkan pertolongan.

    Difahamkan, rakan mangsa pergi meminta bantuan penduduk kampung dan setibanya di lokasi kembali, Sangadah dilihat tidak bermaya kerana ular sawa tersebut telah membelit badannya sehingga paras dada.

    Penduduk kampung kemudian bertindak membunuh ular sawa tersebut.

    Namun Sangadah telah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

    Seorang anak mangsa, Ma’ruf Tamami berkata, ibunya pergi ke kebun getah untuk menoreh seorang diri pada pukul 6 pagi.

    “Seorang saksi melihat kaki ibu dibelit, dia yang panik segera memanggil penduduk untuk membunuh ular sawa itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Kampung Sukajaya, Sunarto berkata, ketika ditemui, ular tersebut masih hidup dan segera dibunuh bagi menyelamatkan mangsa.

    “Selama ini mangsa sering menoreh getah sendirian di kebun dan tidak pernah berlaku kes manusia diserang ular di kawasan ini,” tambahnya.

    Menurut Mukim Bayung Lencir, M Imron berkata, kes ini merupakan kejadian pertama penduduk mati dibelit ular.