Category: Luar Negara

  • Hanya sejuta umat Islam di bawah 65 tahun dibenar tunai haji tahun ini

    Hanya sejuta umat Islam di bawah 65 tahun dibenar tunai haji tahun ini

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU) mengumumkan jumlah jemaah haji yang dibenarkan bagi musim haji tahun ini 1443 Hijrah/2022 Masihi terhad kepada sejuta jemaah tempatan dan antarabangsa.

    Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman Twitter hari ini, kementerian itu menyatakan jumlah jemaah antarabangsa untuk tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara berkenaan dengan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.

    Kementerian menegaskan bahawa musim haji tahun ini terbuka kepada jemaah di bawah 65 tahun dan mengambil vaksin Covid-19 asas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Saudi.

    Menurut kenyataan itu, jemaah haji yang datang dari luar Saudi wajib menyerahkan keputusan negatif ujian PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

    Kementerian turut mengingatkan keperluan jemaah haji untuk mematuhi langkah berjaga-jaga dan mengikuti semua arahan kesihatan semasa melaksanakan ibadah mereka.

    Untuk rekod, tahun lalu Arab Saudi membenarkan hanya 60,000 jemaah domestik meliputi warganegaranya dan warga asing yang berada di negara itu untuk menunaikan haji. – Bernama

  • Kemenangan kepada rakyat Malaysia – Peguam Persekutuan AS

    Kemenangan kepada rakyat Malaysia – Peguam Persekutuan AS

    KEJAYAAN pihak pendakwaan memastikan bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng yang berdepan tuduhan terlibat rasuah dan penggubahan wang haram berkait dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerima hukuman, bukan sahaja satu kejayaan kepada kemenangan dalam menegakkan undang-undang tetapi juga kemenangan kepada rakyat Malaysia.

    Peguam Persekutuan AS, Breon Peace dalam satu sidang video selepas mahkamah di Brooklyn memutuskan Ng sebagai bersalah berkata, rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana itu yang bertujuan mengumpul wang bagi membangunkan ekonomi negara mereka, lapor Satu Berita.

    Berikut transkrip penuh sidang video Peace:

    Sebentar tadi Juri Persekutuan di mahkamah Brooklyn menjatuhkan hukuman bersalah kepada bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng, atas penglibatannya dalam rasuah dan penggubahan wang haram berkait dengan dana pelaburan pembanguna Malaysia iaitu 1MDB.

    Skim/skandal ini sangat besar, defendan dengan rakan-rakan konspiratornya menggelapkan berbillion dollar dana itu. Cara mereka melakukan sangat berani, mengejutkan dan luar biasa.

    Ng mendapatkan peluang perniagaan untuk majikannya dengan merasuah pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dan sangat jelas ini berlaku kerana sikap tamak.

    Kemenangan hari ini bukan sahaja dalam menegakkan keluhuran undang-undang tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana itu bertujuan mengumpul dana bagi membangunkan ekonomi negara mereka.

    Defendan dan kroninya tidak melihat 1MDB sebagai entiti untuk melakukan perkara baik buat rakyat Malaysia sebaliknya lubuk untuk mengkayakan mereka dengan timbunan wang daripada dana itu.

    Di antara 2012 – 2013, Roger Ng menerima lebih 32 juta US dollar sebagai balasan daripada peranannya mencuri dan menggubahkan berbillion dollar daripada 1MDB termasuk satu dana yang 1MDB terbitkan sepanjang 2012 – 2013 menerusi tiga transaksi bon dan menggunakan wang berkenaan untuk merasuah.

    Roger Ng juga berkonspirasi mempengaruhi bahagian kawalan dalaman Goldman Sachs bagi memastikan bank tersebut meluluskan ketiga-tiga bon berkenaan yang sangat penting untuk (menjayakan) skim (skandal) ini.

    Roger Ng juga berpakat dengan pihak lain untuk membolehkan aktiviti penggubahan wang haram itu berjaya memasuki sistem kewangan Amerika dengan membeli antaranya hartanah mewah di New York, hasil seni bernilai tinggi, barang kemas dan menaja penerbitan filem Hollywood, The Wolf of Wall Street.

    Dalam satu filem lain berkaitan Wall Street apabila ditonjolkan sikap tamak sebagai bagus, tetapi tamak tidak bagus apabila ia mendorong kita kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk mempengaruhi kawalan dan polisi korporat serta melanggar undang-undang persekutuan.

    Keputusan hari ini satu mesej tegas telah disampaikan kepada mereka yang berhasrat melakukan jenayah kewangan yang didorong sikap tamak. Anda akan ditangkap, didakwa dan dihukum seperti Roger Ng dan berdepan hukuman penjara panjang. 

  • Tampar Chris Rock: Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun

    Tampar Chris Rock: Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun

    PELAKON terkenal Hollywood, Will Smith dilarang menghadiri acara Oscar selama 10 tahun selepas pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik itu menampar pelawak Chris Rock di atas pentas akhir bulan lalu.

    Langkah itu diputuskan lembaga gabenor Akademi Seni dan Sains Filem dalam satu mesyuarat yang diadakan pada Jumaat.

    “Acara Oscar ke-94 diadakan bagi meraikan ramai individu dalam komuniti kita dalam menghasilkan karya terbaik sepanjang tahun lalu.

     “Namun detik itu dicemari oleh tindakan berbahaya dan tidak boleh diterima Smith seperti yang kita lihat berlaku di atas pentas,” kata Presiden Akademi David Rubin dan Ketua Eksekutif Dawn Hudson dalam satu kenyataan bersama, lapor Astro Awani.

    Dalam satu kenyataan balas, Smith berkata beliau “menerima dan menghormati keputusan yang dibuat pihak Akademi”.

    Larangan itu bermakna Smith tidak akan menyampaikan salah satu anugerah utama di majlis anugerah Oscar tahun depan, seperti tradisi untuk pemenang pelakon terbaik.

    Minggu lalu, Smith meletak jawatan daripada Akademi dan berkata sedia menerima sebarang hukuman yang dijatuhkan oleh Akademi itu.

    Bagaimanapun, pihak Akademi membenarkan Smith untuk kekal menerima anugerah pelakon terbaiknya bagi lakonannya dalam “King Richard.”

    Pihak akademi juga memohon maaf kerana gagal menangani situasi yang berlaku antara Smith dan Rock dengan sebaiknya.

    Sebelum ini pelakon berkenaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan memohon maaf pada Rock, penerbit Oscar, calon anugerah serta penonton acara tersebut.

    Selain daripada Oscar, Smith turut dilarang menghadiri acara dan program lain dianjurkan badan tersebut secara fizikal atau maya.

    Namun badan berkenaan tidak menyatakan jika Smith layak dicalonkan untuk sebarang anugerah dalam tempoh tersebut.

    Filem terbaharu Smith “Emancipation” mengisahkan seorang lelaki yang berjaya membebaskan diri daripada menjadi seorang hamba dijangka ditayangkan tahun ini.

  • Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

    Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang dibicarakan berhubung skandal global 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam.

    Ng, 49, disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan dalam kes itu, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram.

    Astro Awani yang memetik Bloomberg melaporkan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun, lapor Bloomberg.

      Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan persekutuan selama lapan minggu di Brooklyn, New York, yang menyaksikan pengakuan mengejutkan Tim Leissner, bekas bos Ng.

    Leissner, yang mengaku bersalah, adalah saksi utama terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc itu.

    Leissner mengakui berbohong secara peribadi dan profesional dalam rompakan berbilion dolar wang 1MDB yang mana Goldman berperanan mengatur tiga urus niaga bon.

    Ia merupakan kemenangan yang sukar oleh AS membabitkan penipuan dana kekayaan negara yang ditubuhkan untuk membantu rakyat dan ekonomi Malaysia tetapi sebaliknya digunakan untuk kepentingan pegawai kerajaan, jurubank dan pengantara dengan anggaran AS$2.7 bilion.

    Jho Low yang didakwa sebagai dalang utama oleh AS, merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan bagi Goldman, serta AS$1.42bilion untuk dirinya sendiri, bagaimanapun masih bebas.

    Hasil daripada penipuan itu digunakan untuk barangan termasuk kapal layar mewah AS$200 juta dan untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street.”

    Kes itu adalah rekod terburuk Goldman. Pada 2020, sebuah unit Goldman mengakui telah berkomplot untuk melanggar undang-undang antirasuah AS, pengakuan bersalah pertama bagi firma yang ditubuhkan pada 1869 itu.

    Bank itu membayar lebih daripada AS$2.9 bilion, penalti terbesar seumpamanya dalam sejarah AS, dan lebih daripada AS$5 bilion di seluruh dunia untuk peranannya dalam skim penipuan itu.

  • Helikopter pengawal pantai terhempas, 2 maut, seorang hilang

    Helikopter pengawal pantai terhempas, 2 maut, seorang hilang

    SEBUAH helikopter milik Pengawal Pantai terhempas di perairan pulau Mara, Korea Selatan pada Jumaat, menyebabkan dua maut dan seorang lagi hilang, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Helikopter Sikorsky S-92 membawa empat kru sebelum terhempas di perairan 370 kilometer barat daya Pulau Mara pada 1.32 pagi waktu tempatan.

    Mangsa yang terkorban termasuk dua pembantu juruterbang, dikenali Chung, 51, dan Hwang, 28, manakala seorang mekanik, Cha, 42, dikhuatiri hilang.

    Seorang lagi juruterbang Choi, 47, berjaya diselamatkan bot peronda dan dilaporkan selamat, menurut pegawai.

    Nahas berlaku ketika helikopter itu dalam perjalanan pulang ke Busan selepas terlibat dalam operasi menyelamat di perairan berhampiran Taiwan. – BERNAMA

  • Nelayan jumpa ‘anak naga’ di laut dalam

    Nelayan jumpa ‘anak naga’ di laut dalam

    SEORANG nelayan menemukan makhluk ganjil yang kelihatan seperti ‘anak naga’ ketika menangkap ikan di kawasan laut dalam di Laut Norway, baru-baru ini.

    Memetik laporan Mirror, ramai netizen yang terkejut melihat haiwan laut aneh itu setelah Roman Fedortsov berkongsi gambar hasil tangkapannya dalam media sosial.

    Sebelum ini, dia pernah menemukan beberapa hidupan laut yang kelihatan aneh seperti makhluk berbentuk cendawan berwarna jingga serta haiwan menyerupai donat.

    Penemuan yang terbaharu itu adalah seekor ikan yang panjang dan netizen menggelarnya sebagai ‘anak naga’.

    Fedortsov berkongsi gambar haiwan laut itu dalam laman Instagram miliknya yang mempunya kira-kira 646,000 pengikut.

    Hantaran itu meraih lebih 22,000 ‘like’ setakat ini, dan kebanyakan netizen hairan melihat haiwan laut yang pelik tersebut.

    anak naga
    Gambar: Instagram rfedortsov_official_account

    Berikut adalah sebahagian daripada komen mereka:

    “Ia kelihatan seperti anak naga yang baru menetas. Lol.”

    “Ya tuhan. Naga. Agak hebat! Apakah ini sebenarnya?”

    “Chupacabra laut atau lautan?”

    “Apa benda tu?”

    “Saya rasa lagi dua kepalanya sudah hilang.”

    “Apakah nama haiwan yang ajaib ini?”

    “Adakah ia ditangkap hidup-hidup dan anda mengembalikannya semula ke laut?”

    “Haiwan ini kelihatan cantik.”

    “Gelinya. Saya rasa saya tidak akan berenang di lautan lagi.”

    “Comelnya… saya nak seekor.”

    Namun, ia ternyata bukan anak naga kerana ikan itu dikenal pasti dari spesies kimera yang juga dinamakan ‘jerung hantu’.

  • Tiga syarikat seleweng 1MDB digunakan untuk mencari dana yang hilang

    Tiga syarikat seleweng 1MDB digunakan untuk mencari dana yang hilang

    TIGA syarikat berpangkalan di Pulau British Virgin yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah memfailkan notis bankrupsi di bawah Bab 15 Kod Kemuflisan Amerika Syarikat (AS) di Florida.

    Astro Awani memetik laporan Agensi Bloomberg memberitahu, langkah tersebut membolehkan tiga syarikat itu yang nama tidak didedahkan, membawa penghutang asing untuk membawa prosiding ke negeri yang terbabit.

    Menurut artikel itu lagi, objektif utama syarikat-syarikat tersebut ialah untuk mendapatkan semula sebahagian daripada ASD8.5 bilion (RM35.86 bilion) dipercayai diseleweng dari 1MDB dan berkemungkinan besar masih ada dalam AS.

    “Entiti persisiran luar ini merupakan sebahagian penyelewengan ke atas 1MDB, menurut pemfailan syarikat itu lagi, dengan sebahagian daripadanya diwujudkan khusus untuk menerima dana yang dicuri, atau memindahkan kepada entiti lain.

    “Kini entiti tersebut diselia oleh pentadbir yang dilantik oleh kerajaan Malaysia,” menurut artikel itu lagi.

    Bloomberg berkata, Bab 15 direka untuk membantu penyelia mendapatkan maklumat daripada mereka yang terlibat dalam perjanjian tersebut dan merampas apa sahaja aset yang berjaya dikesan.]

    Menurut dokumen mahkamah, penyelia kepada dana berkenaan telah mengenal pasti beberapa individu dan entiti yang terletak di dalam AS, sama ada terlibat atau mempunyai pengetahuan tentang transaksi yang berlaku.

    “Sebahagian daripada dana yang hilang telah melalui beberapa entiti di AS, termasuk pengurus pelaburan, pengurus dana, dan beberapa entiti AS yang menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan tersebut,” menurut artikel itu lagi.

    Langkah itu dilakukan selepas seorang juri di Brooklyn, New York, akan memutuskan nasib bekas pegawai bank Kumpulan Goldman Sachs Inc, Roger Ng, yang dituduh bersubahat dengan bekas majikannya Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan dari Malaysia, Jho Low, untuk menyeleweng dana 1MDB.

    Leissner sebelum ini dilaporkan mengaku bersalah dan kini sedang menjadi saksi dalam perbicaraan terhadap Ng, manakala Jho Low sehingga kini masih gagal dikesan.

  • Irdina terbaik, kedudukan pertama daripada 10,000 pelajar di Virginia Tech

    Irdina terbaik, kedudukan pertama daripada 10,000 pelajar di Virginia Tech

    PELAJAR dari Malaysia, Irdina Shahriman telah mengharumkan nama negara apabila menjadi pelajar di kedudukan pertama daripada 10,000 penuntut lain di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.

    Hal itu dicapai selepas beliau berjaya mencapai purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempoh pembelajarannya di universiti berkenaan.

    Anak gadis berusia 24 tahun itu merupakan pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dan graduan Sarjanan Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik.

    Memetik laporan Remaja, Irdina berkata, beliau sedikit gementar ketika berada di VT memandangkan kursus pengajiannya itu didominasi kaum lelaki.

    “Saya bekerja keras untuk memperoleh keputusan cemerlang dan bukannya seorang genius secara semula jadi.

    “Saya membuat nota dengan bersungguh-sungguh dan tidak ponteng kelas. Paling penting saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas untuk meningkatkan pemahaman tentang pembelajaran,” katanya.

    Mengulas lanjut, Irdina berkata, beliau banyak berkorban untuk mengecapi kejayaan tersebut memandangkan sistem pembelajaran di Amerika Syarikat adalah berbeza.

    Katanya, sistem pembelajaran di situ mempunyai peperiksaan dua kali seminggu sepanjang semester.

    “Jadi hal ini memerlukan pelajar untuk konsisten dalam pelajaran. Ada ketikanya saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem bersama-sama.

    “Cuti hujung minggu dan hari bekerja tidak ada bezanya dengan saya kerana banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan belajar untuk peperiksaan,” katanya.

  • Miliki 500 gram kokain: Warga Israel dihukum mati di UAE

    Miliki 500 gram kokain: Warga Israel dihukum mati di UAE

    SEBUAH mahkamah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang wanita warga Israel selepas dia didapati bersalah memiliki 500 gram kokain.

    Portal SaudiGazette melaporkan, wanita yang dinamakan oleh media Israel sebagai Fidaa Kiwan, 43 kini sedang membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.

    Media di Israel berkata Kiwan mempunyai sebuah studio fotografi di Haifa di Utara Israel. Wanita 43 tahun itu terbang ke Dubai tahun lepas atas urusan kerja.

    Seminggu kemudian, dia ditahan polis selepas mereka menjumpai kokain itu di pangsapurinya, bagaimanapun Kiwan menafikan dadah itu miliknya.

    Pembentukan hubungan diplomatik antara Israel dan negara yang dibuat melalui perjanjian damai pada 2020 memungkinkan peningkatan kedatangan warganegara Israel dan banyak dalam kalangan mereka bukan pelancong dan ahli perniagaan.

    “Pejabat kami di Dubai mengesan kenaikan kadar kes jenayah yang melibatkan warga Israel,” kata Ziv Agmon, peguam Israel dan pakar undang-undang Emiriah.

    “Orang Israel perlu memahami bahawa penguatkuasa undang-undang di Dubai memandang serius kes-kes melibatkan dadah,” katanya.

  • Buku nota Charles Darwin yang hilang dikembalikan selepas dua dekad  

    Buku nota Charles Darwin yang hilang dikembalikan selepas dua dekad  

    DUA buku nota Charles Darwin yang hilang dari Perpustakaan Universiti Cambridge selama lebih dua dekad telah dikembalikan, umum pihak perpustakaan pada Selasa.

    Bungkusan yang mengandungi buku nota termasuk lakaran Tree of Life Darwin 1837 telah dikembalikan oleh seorang yang tidak dikenali pada 9 Mac, bersama-sama sekeping nota bertulis: ‘Pustakawan. Selamat Hari Easter. X.’

    Menurut United Press International (UPI), bungkusan itu diletakkan di kawasan awam di luar pejabat pustakawan di tingkat empat bangunan perpustakaan itu.

    BUKU nota Charles Darwin yang telah dipulangkan kembali kepada perpustakaan Universiti Cambridge.

    Pada November 2020 pustakawan Jessica Gardner merayu kepada orang ramai untuk memulangkan buku berkenaan.

    “Saya berasa amat lega selepas buku itu dipulangkan,” kata Gardner.

    Gardner berkata, susulan dengan kehilangan buku tersebut ciri-ciri keselamatan di perpustakaan itu telah dinaik taraf.

    Buku nota itu akan dipamerkan di perpustakaan berkenaan mulai 9 Julai. – Bernama