Category: Luar Negara

  • Ajaran sesat: 47 mayat ditemukan satu kubur, disuruh puasa hingga mati

    Ajaran sesat: 47 mayat ditemukan satu kubur, disuruh puasa hingga mati

    POLIS Kenya menemui seramai 47 mayat dipercayai pengikut ajaran sesat selepas mengikut arahan seorang paderi untuk berpuasa sehingga mati.

    Pihak berkuasa mula menggali mayat kesemua individu berkenaan di hutan Shakahola sejak Jumaat lalu.

    Berdasarkan laporan awal, kesemua pengikut paderi berkenaan percaya bahawa mereka akan ke syurga sekiranya mereka mati kelaparan.

    Setakat ini, proses menggali kesemua pengikut itu masih berjalan.

    Awal bulan ini, polis menyelamatkan 15 ahli kumpulan itu yang menurut mereka diarahkan untuk mati kelaparan.

    Empat daripada mereka meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

    Suspek, paderi sebuah gereja, Paul Mackenzie telah ditangkap berikutan maklumat yang mencadangkan kewujudan kubur milik sekurang-kurangnya 31 pengikut.

    Media tempatan, memetik sumber polis melaporkan, Mackenzie enggan makan atau minum semasa dalam tahanan polis.

    Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki berkata, keseluruhan hutan seluas 800 ekar telah ditutup dan diisytiharkan sebagai tempat jenayah.

    “Pihak berkuasa akan mengenakan hukuman paling berat kerana melibatkan nyawa yang tidak bersalah,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Malah tambahnya, peraturan dan garis panduan yang lebih ketat setiap gereja, masjid, kuil sedang dikaji susulan daripada kejadian berkenaan.

  • Pergolakan di Sudan: RSF umum genjatan senjata 72 jam sempena Aidilfitri

    Pergolakan di Sudan: RSF umum genjatan senjata 72 jam sempena Aidilfitri

    PASUKAN separa tentera Rapid Support Forces (RSF) Sudan mengumumkan gencatan senjata selama 72 jam bermula 6 pagi (waktu tempatan) Jumaat sempena Aidilfitri.

    “Gencatan senjata itu bertepatan dengan Aidilfitri yang penuh barakah…dan membuka koridor kemanusiaan untuk memindahkan penduduk serta memberi peluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan RSF di Twitter.

    Dalam kenyataan itu, RSF turut mengesahkan komitmen mereka terhadap gencatan senjata itu.

    Pertempuran meletus pada Sabtu lalu antara Tentera Sudan (SAF) dan RSF di Khartoum dan kawasan sekitar.

    RSF menuduh SAF menyerang tenteranya di selatan Khartoum. Pihak SAF pula mendakwa RSF menyebarkan pembohongan dan melabelkan pasukan separa tentera itu sebagai ‘pemberontak’.

    Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, selepas tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.

  • PM mohon bantuan Jerman pindahkan rakyat Malaysia dari Sudan

    PM mohon bantuan Jerman pindahkan rakyat Malaysia dari Sudan

    KERAJAAN Malaysia memohon bantuan Jerman untuk membantu dalam usaha memindahkan rakyat Malaysia dari Sudan susulan konflik semakin meruncing antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) di kebanyakan lokasi di Khartoum.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kiriman menerusi Facebook hari ini berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, semalam.

    Ketika perbualan itu, Perdana Menteri berkata, beliau berkesempatan memohon bantuan daripada pihak Jerman untuk membantu dalam usaha pemindahan rakyat Malaysia dari Sudan.

    “Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri Malaysia akan menggembleng segala usaha bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin,” katanya, lapor Berita Harian.

    Anwar juga membincangkan dengan Steinmeier isu-isu hubungan dua hala Malaysia-Jerman, kerjasama anti-rasuah antara institut anti-rasuah kedua-dua negara, dan kerjasama dalam inisiatif tenaga karbon hijau.

    Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata dua rakyat Malaysia yang berada di Sudan, dibawa keluar dan dipindahkan ke lokasi selamat.

    Beliau berkata, operasi pemindahan berkenaan adalah langkah persediaan Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan untuk mengumpulkan rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum, kelak.

    “Alhamdulillah, semalam, setelah membuat penilaian yang mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra, pegawai Kedutaan Besar kita di Khartoum berjaya membawa keluar dua rakyat Malaysia dari tempat mereka ke lokasi selamat.

    “Dalam operasi berkenaan, pegawai kita turut membantu membawa keluar dua warga Kanada, seorang warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

    Zambry berkata, operasi berkenaan amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

    Situasi di Sudan terutama di kebanyakan lokasi di ibu negara Khartoum, kini semakin meruncing berikutan pertempuran antara SAF dan RSF.

    Mengulas lanjut, Zambry berkata, situasi di Sudan amat kompleks dan ia berubah setiap masa, dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

    Katanya, gencatan senjata yang diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat juga langsung tidak dipatuhi.

    “Marilah kita memanjatkan doa dan memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan-Nya,” katanya.

  • Pergolakan Sudan: 2 rakyat Malaysia terperangkap dibawa ke lokasi selamat

    Pergolakan Sudan: 2 rakyat Malaysia terperangkap dibawa ke lokasi selamat

    DUA rakyat Malaysia yang terperangkap susulan pergolakan di Sudan berjaya dibawa ke lokasi selamat oleh pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

    Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, menerusi operasi sama, pegawai kedutaan turut membantu membawa dua warga Kanada, seorang warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom (UK) keluar dari kawasan berkenaan.

    “Walaupun operasi ini amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan susulan laporan terkini pertempuran yang semakin meruncing di kebanyakan lokasi sepanjang masa.

    “Operasi pemindahan berkenaan adalah sebagai langkah persediaan Kedutaan Besar kita mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak,” kata Zambry dalam kenyataan.

    Beliau berkata, situasi di Sudan amat kompleks, dijangka berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

    Malah, gencatan senjata yang telah diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi, tambahnya.

    Sebelum ini dilaporkan bahawa Kementerian Luar memantau rapat situasi di Khartoum berikutan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) pada Sabtu, yang mencetuskan pergolakan politik dan menggugat keselamatan di negara itu.

    Menurut kementerian, semua 29 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di Sudan, kebanyakannya pelajar, disahkan selamat.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berikutan panggilan telefon bersama Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier semalam bagi membincangkan isu hubungan dua hala, beliau telah memohon bantuan daripada Jerman bagi usaha repatriasi rakyat Malaysia dari Sudan.

    “Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri Malaysia akan menggembleng segala usaha bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin,” katanya di Facebook, lapor FMT.

  • Pendakwa raya AS tutup kes ke atas pelobi Jho Low

    Pendakwa raya AS tutup kes ke atas pelobi Jho Low

    JURI Amerika Syarikat (AS) akan mula membincangkan pada Isnin depan jika Pras Michel iaitu seorang penyanyi rap yang memenangi Grammy bertukar menjadi pempengaruh politik bersalah kerana melobi bagi pihak banduan Malaysia Jho Low dan China.

    Rumusan pendakwa raya Sean Mulryne kepada juri bahawa, Michel, 50, adalah penting dalam plot yang gagal dalam usaha cuba melobi pentadbiran Donald Trump untuk menamatkan siasatan AS ke atas Jho Low, yang didakwa membayar AS$100 juta kepada Michel.

    Michel juga dituduh bertindak mewakili China dalam mendapatkan ekstradisi ke atas Guo Wengui.

    Pendakwa raya mendakwa Michel mengaut AS$70 juta daripada cubaan Low untuk melobi kerajaan Trump dan satu lagi bayaran AS$18 juta yang dibayar Low untuk bergambar dengan bekas presiden AS, Barack Obama.

    Perbicaraan itu setakat ini mendedahkan bahawa Jho Low pada 2012 melalui bantuan Michel mendapatkan undangan ke pesta Krismas Obama merangkap pengumpulan dana di Washington DC.

    Jho Low kemudian mengambil gambar yang dirinya diapit oleh bekas pasangan pertama itu.

    Pada awal tahun itu, bapa Jho Low, Larry, berjaya mencari jalan melalui seorang pengumpul dana berlainan di Miami, Florida juga dengan bantuan Michel untuk duduk bersebelahan dengan Obama.

    Saksi pendakwaan, Leonardo DiCaprio memberi keterangan sebelum perbicaraan bahawa Jho Low telah merancang untuk menderma sehingga AS$30 juta untuk membantu kempen pemilihan semula Obama pada 2012.

    Ketika itu, Jho Low sudah menjadi tumpuan kerana penglibatannya dengan 1MDB – dana pelaburan negara yang merupakan hasil idea bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pestanya dengan selebriti terkenal.

    1MDB mengumpul berbilion-bilion pinjaman untuk pelaburan strategik. Bagaimanapun, pelbagai pihak berkuasa di seluruh dunia termasuk di Malaysia membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar dana 1MDB teresebut telah diselewengkan.

    Jho Low telah didakwa bersama Michel. Bagaimanapun, perbicaraan ke atas Jho Low belum dimulakan kerana dia dipercayai bersembunyi di China.

    Michel, dalam pembelaannya, berhujah bahawa dia tidak tahu bahawa adalah menjadi tanggung jawabnya untuk mendedahkan aktivitinya di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing AS dan bahawa sebarang sumbangan kepada kempen Obama oleh sekutunya tidak dibiayai oleh Jho Low.

    Peguam bela David Kenner memberitahu juri bahawa Michel tidak cuba mempengaruhi kerajaan AS.

    “Pada 2012, Jho Low mahukan gambar. Itulah keseluruhan kes ini,” katanya.

    Kenner berkata, bukan tanggungjawab Michel untuk memeriksa atau menyaring Jho Low.

    “Adakah itu satu beban yang perlu dipikul oleh seorang warga negara Amerika sebelum mereka bercampur dengan seseorang?” soal Kenner, lapor Malaysiakini.

  • Umat Islam di Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada hari ini (Jumaat)

    Umat Islam di Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada hari ini (Jumaat)

    UMAT Islam di Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada hari ini iaitu pada Jumaat.

    Saudi Press Agency melalui kenyataan di Twitter mengumumkan bahawa umat Islam di negara berkenaan akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat, 21 April 2023.

    Selain Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jordan, Libya, Palestin dan Sudan juga mengumumkan 1 Syawal bermula hari ini.

    Sementara itu, umat Islam di Pakistan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu.

    Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Ruet-e-Hilal Pusat di Islamabad.

    Pada satu sidang media, pengerusi panel melihat anak bulan, Maulana Abdul Khabir Azad berkata, jawatankuasa itu sebulat suara memutuskan Hari Raya Puasa ditetapkan pada Sabtu.- Agensi

  • Umat Islam di Singapura, Indonesia, Thailand sambut raya Sabtu

    Umat Islam di Singapura, Indonesia, Thailand sambut raya Sabtu

    UMAT Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu.

    Di SINGAPURA, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam pengumuman di laman sesawang Majlis Ugama Islam (MUIS) hari ini, berkata: “Mengikut pengiraan astronomi, hilal bagi bulan Syawal tidak muncul pada petang ini selepas matahari terbenam. Ini menandakan esok akan berakhir 30 hari Ramadan.

    “Oleh itu, sukacita dimaklumkan bahawa hari pertama Syawal atau Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023”.

    Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua umat Islam di Singapura.

    “Saya mohon ampun atas segala kekurangan. Semoga masyarakat Islam kita terus bersatu dalam mengharungi segala cabaran dengan penuh belas kasihan dan empati,” katanya.

    Di JAKARTA, Menteri Hal Ehwal Agama Yaqut Cholil Qoumas berkata, Aidilfitri akan disambut pada Sabtu kerana “anak bulan Syawal pada Maghrib di Indonesia tidak memenuhi kriteria”.

    Menteri itu merujuk kepada kriteria yang ditetapkan oleh Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) berdasarkan perjanjian pada 2021.

    Susulan pengumuman itu, Ramadan akan berlangsung sehari lagi di negara majoriti penduduk Islam paling ramai penduduk dan Syawal disambut sehari selepas itu.

    Di THAILAND, Syeikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon turut mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri di negara itu, selepas disahkan bahawa anak bulan tidak kelihatan.

    “Oleh itu, saya mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

  • Indonesia sambut Aidilfitri pada esok

    Indonesia sambut Aidilfitri pada esok

    PIMPINAN Pusat Muhammadiyah, Indonesia menetapkan 1 Syawal 1444 Hijrah jatuh pada Jumaat 21 April 2023.

    Ketua PP Muhammadiyah, Prof Dr. H. Syamsul Anwar MA mengumumkan tarikh berkenaan melalui siaran langsung di YouTube rasmi PP Muhammadiyah.

    Ia dibuat berpandukan Hisab Hakiki Wujudul Hilal yang berpandukan Majlis Tarjih dan Tajdid.

    Sebelum ini, dalam acara itu, beliau turut mengatakan bahawa 1 Ramadan bertetapan dengan 23 Mac lalu dan 1 Zulhijjah akan bermula pada 19 Jun depan.

    Hasil hisab menunjukkan bahawa pada hari Isnin, 29 Syaaban bersamaan dengan 21 Mac lalu, ijtima’ menjelang Ramadan masih belum bermula.

    Menurutnya, ijtima’ akan berlangsung keesokan harinya, iaitu pada Rabu, 30 Syaban atau 22 Mac pada 12.25 tengah malam waktu Indonesia.

    Hilal telah muncul ketika matahari terbenam di Yogyakarta dan bulan berada di atas ufuk di seluruh wilayah Indonesia ketika matahari terbenam ketika itu.

    CNBC Indonesia melaporkan, Muhammadiyah menetapkan awal bulan Qamariah termasuk Ramadan, Syawal, dan Zulhijah tidak berdasarkan penampakan, melainkan berdasarkan pada posisi geometris benda-benda langit iaitu Matahari, Bumi, dan Bulan.

    Berdasarkan laporan media sebelum ini, Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Abdullah Jaidi menjangkakan terdapat kemungkinan waktu penentuan 1 Syawal di negara itu berbeza dengan negara-negara lain di rantau ini.

    Kemungkinan perbezaan sambutan Aidilfitri di rantau ini pada tahun ini adalah kerana ketika matahari terbenam, pada 20 April 2023, kedudukan bulan di Indonesia tidak memenuhi kriteria baru Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura (MABIMS) iaitu ketinggian minimum 3 darjah dan pemanjangan 6.4 darjah.

  • 80 maut, rempuhan di pusat bantuan Yaman

    80 maut, rempuhan di pusat bantuan Yaman

    SEKURANG-KURANGNYA 80 orang terbunuh manakala lebih 220 lagi cedera dalam kejadian rempuhan di sebuah pusat bantuan di Bab Al-Yaman, Sanaa pada Rabu.

    Jurucakap rasmi pihak berkuasa kesihatan Houthi, Anis Al-Subaihi mengesahkan kejadian itu sambil berkata pasukan perubatan bertindak balas dengan segera dan memindahkan mangsa yang cedera ke beberapa hospital di ibu negara untuk menerima rawatan.

    TV al-Masirah milik Houthi melaporkan bahawa kementerian dalam negeri kumpulan itu mendakwa bencana itu berpunca akibat rempuhan semasa pengagihan wang tunai secara rawak oleh peniaga tempatan, tanpa mendapat kerjasama organisasi atau kementerian.

    Jurucakap kementerian itu, Abdul Khaliq Al-Ajri dipetik sebagai berkata bahawa pihak berkuasa telah menahan dua peniaga yang bertanggungjawab terhadap pengagihan wang berkenaan dan sedang menyiasat kejadian itu, lapor Xinhua.

    Ramai rakyat Yaman, hidup dalam kemiskinan akibat konflik yang berlanjutan selama bertahun-tahun, berpusu-pusu ke pusat-pusat kebajikan untuk mendapatkan keperluan asas ketika Aidilfitri.

    Yaman terperangkap dalam perang saudara sejak akhir 2014.

    Peperangan itu telah menyaksikan puluhan ribu orang terbunuh, menyebabkan 4 juta orang hilang tempat tinggal dan mendorong Yaman ke ambang kebuluran.

  • Jho Low beri AS$20juta untuk bergambar dengan Obama, bukan sumbangan kempen

    Jho Low beri AS$20juta untuk bergambar dengan Obama, bukan sumbangan kempen

    PENYANYI rap The Fugees, Prakazrel “Pras” Michel dalam keterangan pembelaannya berkata, dia menerima USD20 juta daripada Low Taek Jho atau Jho Low untuk membantu mengatur sesi bergambar untuk ahli perniagaan Malaysia itu dengan bekas presiden, Barack Obama.

    Michel berdepan dakwaan konspirasi jenayah, melobi pengaruh asing dan mengenakan bayaran kempen kerana dipercayai berkomplot dengan Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas presiden, Donald Trump.

    Lapor agensi berita Reuters yang dipetik FMT, di depan juri di Washington, pemenang Grammy itu berkata, Low yang kini menjadi buruan atas tuduhan menyeleweng USD4.5 bilion daripada 1MDB, tidak mengarahkannya menggunakan wang bergambar itu untuk membuat sumbangan kempen.

    Michel berkata, dia menggunakan sebahagian wang itu untuk membawa tiga rakannya menghadiri majlis kutipan derma untuk Obama dengan bayaran USD40,000 setiap seorang dan dia tidak tahu tindakan itu tidak wajar.

    “Apabila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik,” tanya Pendakwa Raya Persekutuan, John Keller.

    “Tidak. Sebaik saja dia beri saya wang itu, terpulang kepada budi bicara saya bagaimana membelanjakannya kerana itu wang saya,” kata Michel.

    Dia menyifatkan dana daripada Low itu sebagai “wang percuma”.

    Warga asing dilarang menderma kepada kempen pilihan raya AS dan ia juga melanggar undang-undang untuk membayar orang lain menyumbang kepada kempen itu.

    Michel dituduh bersubahat dengan Low dalam tiga skim, dengan pendakwa raya mendakwa dia dibayar berjuta-juta dolar.

    Dalam pertuduhan pertama, pendakwa mendakwa Michel melanggar undang-undang pilihan raya persekutuan dengan menyalurkan kira-kira USD2 juta daripada Low ke tabung kempen Obama 2012 dan menyembunyikan sumber dana itu atas nama orang lain.

    Dia juga dituduh cuba meyakinkan Jabatan Kehakiman era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayah terhadap Low berhubung skandal 1MDB, selain cuba melobi AS bagi pihak China untuk menghantar ahli perniagaan China, Guo Wengui pulang ke negaranya.