SEKURANG-KURANGNYA 31 orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian rempuhan di sebuah gereja di selatan Nigeria pada Sabtu.
Menurut Agensi Anadolu, memetik media tempatan, insiden berlaku ketika gereja mengadakan majlis amal untuk membantu golongan memerlukan di Port Harcourt, di negeri Rivers.
Kejadian tercetus apabila beratus-ratus orang berebut-rebut untuk mendapatkan hadiah yang disumbangkan. – BERNAMA
TOKOH Islam Indonesia, Ahmad Shafii Maarif atau Buya Syafii Maarif meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun di kediamannya di Kabupaten Sleman, Yogyakarta, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi, waktu tempatan.
Ketua Umum Pengurus Pusat (PP) Muhammadiyah Haedar Nashir, kehilangan allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua Umum PP tersebut membuatkan rakyat republik tersebut berduka.
“Muhammadiyah dan bangsa Indonesia berduka. Telah wafat Buya Prof Dr. H. Ahmad Syafii Maarif.
“Semoga beliau husnul khatimah, diterima amal ibadahnya, diampuni kesalahannya, dilapangkan di kuburnya, dan ditempatkan di jannatun na’im.
“Mohon dimaafkan kesalahan beliau dan do’a dari semuanya,” katanya menurut Astro AWani yang memetik laporan Agensi.
Berita sedih itu turut mendapat perhatian Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyampaikan ucapan takziah menerusi laman Instagram rasmi beliau.
Menurutnya, beliau kali terakhir bertemu Buya Syafii di kediamannya di Kabupaten Sleman ketika tokoh tersebut baru selesai terima rawatan dan menurut Jokowi, pada waktu itu, Buya Syafii kelihatan sihat.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Atas nama pemerintah, rakyat Indonesia, saya menyampaikan belasungkawa yang dalam atas berpulangnya Buya Syafii.
“Semoga segala amal ibadah almarhum diterima oleh Allah SWT, diampuni kesalahannya, dan segenap keluarga yang ditinggalkan sabar dan tabah.
“Selamat jalan Sang Guru Bangsa,” tulis beliau dalam status yang dimuat naik kira-kira pukul 2 petang tadi.
Buya Syafii sebelum ini pernah dikejarkan ke hospital pada 14 Mei lepas akibat mengalami sesak napas.
Begitupun, keadaan bekas Ketua PP Muhammadiyah – dari tahun 1998 hingga 2005 – itu semakin baik bahkan doktor juga membenarkan Buya Syafii pulang ke rumah.
PRESIDEN Senegal, Macky Sall pada Khamis memecat Menteri Kesihatan, Abdoulaye Diouf Sarr, susulan insiden kebakaran hospital yang mengorbankan nyawa 11 bayi baru lahir.
Dalam ucapannya di televisyen, Sall menamakan Marie Khemesse Ngom Ndiaye sebagai menteri kesihatan baharu, lapor Agensi Anadolu.
Ndiaye pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah kesihatan awam.
Pada Rabu, 11 bayi baru lahir maut dalam kebakaran di unit neonatal Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di Tivaouane yang mencetuskan kemarahan rakyat.
Sarr, yang berada di Geneva untuk menghadiri perhimpunan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terpaksa memendekkan lawatannya.
Sementara itu, pihak pendakwa raya memaklumkan siasatan masih diteruskan untuk menentukan punca sebenar kejadian. – BERNAMA
SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di sebuah mahkamah di selatan India pada Selasa kerana mendera isterinya.
Harian Metro memetik laporan Agensi memaklumkan, kes itu berhubung hantaran perkahwinan sehingga menyebabkan mangsa membunuh diri.
Mahkamah daerah di negeri Kerala mendapati Kiran Kumar bersalah di bawah undang-undang ‘kematian hantaran kahwin.’
Ini membolehkan pendakwaan terhadap individu yang menyebabkan kematian wanita dalam tempoh tujuh tahun perkahwinan dengan hantaran perkahwinan dan bayaran.
Hantaran kahwin tidak dibenarkan mengikut undang-undang, tetapi ia menjadi amalan biasa di India, di mana ia disediakan keluarga pengantin perempuan.
Kumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Difahamkan, Kumar sudah berkahwin dengan Vismaya Nair, kira-kira setahun sebelum Vismaya ditemukan meninggal dunia di bilik air rumah keluarga suaminya pada Jun lalu.
Keluarga Vismaya sebelum itu berjanji memberikan sejumlah emas, tanah seekar (kira-kira 0.4 hektar) dan kereta sebagai hantaran kahwin.
Namun, lelaki itu tidak berpuas hati dengan model kereta itu dan meminta lebih banyak wang, menurut dokumen mahkamah.
Mahkamah mendapati, Kumar melakukan penderaan fizikal dan verbal terhadap Vismaya.
Pada 2020, India merekodkan lebih 10,000 aduan hantaran kahwin dan hampir 7,000 ‘kematian hantaran kahwin’.
SEKURANG-KURANGNYA 14 terbunuh manakala 32 lagi cedera dalam empat insiden letupan yang menggegarkan Kabul dan Mazar-i-Sharif pada Rabu, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Di Kabul, sekurang-kurangnya lima jemaah terbunuh dan 17 lagi cedera selepas letupan menggegarkan sebuah masjid ketika solat maghrib di Kolola Pushta.
Kejadian berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat di Masjid Hazrat-e-Zekria, kata jurucakap polis, Khalid Zadran di Twitter.
Letupan berlaku kira-kira sejam selepas tiga letupan berturur-turut berlaku di Mazar-i-Sharif, meragut sembilan nyawa dan mencederakan 15 yang lain, kata jurucakap polis wilayah itu, Mohammad Asif Waziri.
Tiga bas menjadi sasaran dalam insiden itu.
Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini. – Bernama
SATU kejadian tembakan dan letupan bom berlaku di daerah Takbhai, Thailand, pada malam tadi menyebabkan penduduk setempat di Tumpat terkejut dan cuba mengetahui keadaan sebenar.
Bunyi tembakan bertalu-talu jelas kedengaran dan sesekali detuman bom kedengaran dan situasi tegang berkenaan dapat disaksikan menerusi video di media sosial.
Berita Harian melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 (waktu Malaysia) dan dipercayai berlaku berhampiran di wilayah Narathiwat yang menyasarkan pihak berkuasa.
Berdasarkan beberapa video yang tular, ia memaparkan situasi tegang dengan dentuman bom dan tembakan bertalu-talu, sehingga menimbulkan huru-hara.
Dikatakan serangan itu dibuat terhadap pasukan tentera Thailand dan beberapa tangkapan sudah dibuat.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, yang ditemui di sini, turut memaklumkan kejadian itu yang berlaku dekat Tumpat.
Beliau enggan mengulas lanjut kerana tembakan berlaku di dalam wilayah Thailand.
SERAMAI 11 bayi yang baharu lahir meninggal dunia dalam kebakaran sebuah hospital di bandar Tivaouane, Senegal, pada malam Rabu.
Presiden negara itu, Macky Sall menerusi ciapannya dalam Twitter miliknya pada Rabu, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kepada ibu dan keluarga mereka, saya merakamkan rasa simpati yang mendalam,” ciap Sall pada lewat malam, menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut tentang kebakaran itu yang berlaku pada Rabu dan Sall dilaporkan berada di Angola dalam satu lawatan negara.
Tragedi itu berlaku di Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di hab pengangkutan Tivaouane dan berpunca daripada litar pintas, menurut seorang ahli politik Senegal, Diop Sy.
Kebakaran merebak dengan cepat, katanya.
Menteri kesihatan Senegal, Abdoulaye Diouf Sarr yang berada di Geneva untuk Perhimpunan Kesihatan Sedunia berkata, beliau akan segera kembali ke Senegal.
Datuk Bandar itu, Demba Diop berkata, tiga bayi telah diselamatkan.
Menurut media tempatan, Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh baru sahaja dirasmikan.
Kejadian serupa pernah berlaku di bandar utara Linguere pada akhir April lalu apabila kebakaran berlaku di sebuah hospital dan empat bayi yang baharu lahir terkorban.
Datuk bandar bandar itu telah menyatakan kerosakan elektrik pada unit penghawa dingin di wad bersalin sebagai punca kebakaran.
SEORANG pemuda berumur 19 tahun menjadi tular setelah melamar kekasihnya yang jauh lebih tua dan mungkin sebaya dengan neneknya.
Memetik laporan Mirror, Giuseppe D’Anna melamar seorang wanita berusia 76 tahun.
Dia seterusnya memuat naik video melamar buah hatinya dalam TikTok.
Video yang dikongsi melalui akaun @milina_gatta itu setakat ini telah ditonton lebih 23 juta kali dan memaparkan kapsyen ‘La nostra promessa’ yang bermaksud ‘janji kita’.
Tangkap layar video Tiktok @milina_gatta.
Walaupun ramai netizen mempersoalkan tindakan Giuseppe itu, dia sedikit pun tidak kisah.
“Dan ini hanyalah permulaan bagi siri yang panjang,” ujarnya dalam kapsyen.
Dalam video yang sama, Giuseppe turut berkongsi gambar-gambarnya bersama wanita warga emas terbabit serta cincin pertunangan mereka.
Ada netizen yang berseloroh mendakwa pemuda itu hanya ingin mengejar harta kekasihnya manakala yang lain yakin Giuseppe mahu Sony PlayStation 5.
SEORANG wanita dikecam netizen ekoran tindakannya memberi makan sayur kelakai yang digoreng dengan 25 ulas cili lombok kepada bayinya yang berusia 5 bulan.
Pemilik akaun TikTok @ceooppakalteng03 itu seolah-olah tidak berasa bersalah dengan perbuatannya malah tergamak berkongsi rakaman video anaknya memakan makanan yang pedas dalam aplikasi media sosial berkenaan.
Memetik laporan Coconuts Jakarta, wanita tersebut berasal dari Palangkaraya di Kalimantan, Indonesia.
Dalam rakaman video tersebut, kelihatan bayi berkenaan menangis sekuat-kuat hatinya selepas mengunyai sayur kelakai yang sangat pedas itu,
Kelakai merupakan sejenis paku yang biasa ditemui di Kalimantan Tengah.
Wanita tersebut menyatakan bahawa keturunan Jawa harus kuat makan cili lombok.
“Merasai sayur kelakai dengan lombok 25 biji.
“Selepas dikunyah langsung terasa pedasnya.
“Yang tua aja makan sampai berpeluh. Apa lagi bayi. Bukan main ibunya,” katanya seperti yang ditulis dalam teks video itu.
Ketika ini, video itu telah menerima lebih 1.9 juta tontonan namun ruangan komen ditutup, mungkin bagi mengelakkan daripada terus dikecam netizen.
Walau bagaimanapun, netizen memberi komen mereka di bawah video yang lain pula.
“Tahniah, anda akhirnya muncul di FYP selepas mengorbankan anak anda.”
“Anda contoh orang yang tahu buat anak tetapi tak tahu jaga dia.”
Di sebalik kecaman itu, wanita berkenaan seolah-olah buat tak kisah malah dia ‘pin’ video tersebut pada bahagian atas profilnya.
Setakat ini, belum diketahui apa tindakan pihak berkuasa di Indonesia ekoran video tular itu yang didakwa mengandungi unsur membahayakan kanak-kanak.
Orang ramai dinasihatkan agar jangan meniru perbuatan dalam rakaman video tersebut kerana ia boleh memudaratkan kesihatan bayi yang masih belum belum bersedia makanan pepejal apatah lagi yang sangat pedas.
KONFLIK Rusia-Ukraine yang sedang meletus ketika ini dijangka melarat sehingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga, ramal penyangak mata wang antarabangsa, George Soros.
Memetik laporan Mirror, Soros, 91, meramalkan situasi itu akan menyebabkan tamadun dunia moden berakhir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland baru-baru ini.
Katanya, satu-satu harapan yang tinggal bagi dunia Barat adalah menumpaskan Presiden Rusia, Vladimir Putin secepat mungkin bagi menamatkan perang yang menggegarkan Eropah itu.
“Penaklukan itu mungkin permulaan bagi Perang Dunia Ketiga dan tamadun kita mungkin berakhir.
“Kita mesti menggerakkan segala sumber-sumber kita untuk menamatkan perang lebih awal.
“Satu-satunya cara yang ada untuk memastikan kesinambungan tamadun kita adalah dengan menewaskan Putin secepat mungkin.
“Walaupun pertempuran akan berhenti, situasi tidak akan kembali seperti sedia kala.
“Konflik tersebut menyebabkan isu-isu kemanusian yang lain seperti melawan pandemik dan perubahan iklim, mengelakkan perang nuklear, mengekalkan institusi global tidak diberi keutamaan dan sebab itu saya kata tamadun kita mungkin akan tamat,” katanya.
Soros memuji Ukraine yang mempertahankan nilai-nilai Barat dan berpandangan, negara itu sedang berperang untuk dunia Barat dan Eropah.
“Mereka ada peluang untuk menang dan kita mesti memberikan segala bantuan yang mereka minta,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau mengkritik Jerman terutamanya bekas Canselor, Angela Merkel kerana menjalinkan ‘rundingan khas’ dengan Moscow bagi menjamin bekalan minyak.