Category: Luar Negara

  • Polis Brazil nafi jumpa mayat wartawan Britain ‘diikat di pokok’

    Polis Brazil nafi jumpa mayat wartawan Britain ‘diikat di pokok’

    Polis Brazil telah menafikan mereka terjumpa dua mayat ketika operasi pencarian wartawan Britain, Dom Phillips dan tukang pandunya ‘diikat di pokok.’

    Ahli keluarga Phillips diberitahu oleh Duta United Kingdom di Brazil tentang penemuan tersebut sebelum Presiden Jair Bolsonaro umum penemuan ‘sisa dalaman’ manusia terapung atas sungai.

    Namun, polis Brazil menafikan kenyataan tersebut dan berkata mereka masih mencari Phillips dan Orang Asli, Bruno Pereira.

    Abang ipar Phillips, Paul Sherwood memberitahu The Guardian bahawa, “Duta kami memberitahu, mereka terjumpa dua mayat.”

    “Beliau tidak memberitahu di mana dan hanya berkata di dalam hutan. Beliau kata mereka terikat pada pokok tetapi tidak dapat dicam lagi,” katanya.

    Isteri Phillips dan anak buahnya turut memberi kenyataan bahawa dua mayat dijumpai.

    Pada Jun 5, Phillips,57 hilang di Kawasan pendalaman hutan yang sering diteroka pembalak pelombong haram dan geng dadah.

    Semalam, pasukan pencarian terjumpa beg yang mengandungi but, pakaian dan sebuah komputer riba yang terikat pada sebuah kayu balak terapung di Kawasan berdekatan di mana kedua-dua mangsa hilang.

    Ibu mertua Phillips berkata penemuan tersebut petanda bahawa menantunya “tidak lagi bersama kami.”

  • Berang kalah permainan, pengantin lelaki pukul isteri ketika majlis perkahwinan

    Berang kalah permainan, pengantin lelaki pukul isteri ketika majlis perkahwinan

    VIDEO seorang lelaki memukul isterinya ketika majlis perkahwinan mereka selepas kalah dalam satu permainan di Uzbekistan menjadi tular dan menarik perhatian netizen.

    Pasangan suami isteri tersebut berada di atas pentas ketika majlis resepsi mereka dan mengambil bahagian dalam satupermainan.

    Selepas isterinya menang, lelaki tersebut berang dan dirakam memukul isterinya di bahagian kepala dengan kuat. Pengapit mereka boleh dilihat terkejut dengan tindakan pengantin lelaki itu.

    Tetamu majlis turut terdiam selepas kejadian itu sementara pengantin bersikap seperti tiada apa yang berlaku.

    Ia tidak diketahui apa yang berlaku selepas rakaman berhenti namun, si isteri diiring turun daripada pentas selepas kelihatan terkejut dengan tindakan suaminya.

    Setakat ini, tiada sebarang komen daripada penguatkuasa di Uzbekistan.

    Pengguna media sosial di Asia menyuarakan kemarahan mereka terhadap video yang viral itu.

    Seorang pengguna menulis, “Bagus video ini terpapar di media sosial untuk memalukan lelaki ini. Saya harap dia (pengantin perempuan) dibawa pergi daripada lelaki ini. Bagaimana ibu bapa dia boleh melihat itu terjadi? Lelaki tu ahli mafia ke? Jijiknya.”

    Sebuah komen di Twitter berkata, “Ini menjadi kebiasaan dan itu sangat menakutkan. Saya harap dia lari daripada lelaki itu sebelum terlambat.”

  • Wanita maut dipijak gajah, dihempap gajah sama sekali lagi ketika pengebumian

    Wanita maut dipijak gajah, dihempap gajah sama sekali lagi ketika pengebumian

    TULAR di India, wanita maut dipijak gajah, mayatnya diserang sekali lagi oleh haiwan yang sama ketika pengebumian.

    Seorang wanita berusia 70 tahun dilaporkan maut selepas dipijak oleh seekor gajah dan kemudian mayatnya dihempap oleh haiwan yang sama ketika di majlis pengebumiannya.

    Wanita tersebut diserang oleh gajah itu ketika mengambil air dalam kejadian di kampung Raipal, India Timur pada Khamis lalu, menurut Satu Berita yang memetik laporan Daily Mail.

    Mendiang kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami beberapa kecederaan akibat dipijak oleh gajah itu.

    Pegawai polis Rasgovindpur, Lopamudra Nayak berkata haiwan tersebut datang semula ke majlis pengebumian wanita itu pada waktu petang.

    Ia dipercayai memijak dan menghempap mayat wanita itu untuk kali kedua ketika upacara terakhir pengebumian sedang berlangsung.

    Namun demikian, keluarga mangsa dikatakan tetap meneruskan upacara tersebut selepas gajah berkenaan beredar dari situ.

    Difahamkan, gajah tersebut telah ‘merantau’ dari Pusat Perlindungan Hidupan Liar Darma di negeri Jharkhand, iaitu 200 kilometer dari Raipal.

    Sehubungan itu, kira-kira 100 orang dilaporkan telah terbunuh setiap tahun di India disebabkan oleh serangan gajah.

    Susulan itu juga kerajaan India telah mengambil langkah membendung kejadian seperti itu dengan meletakkan kolar radio pada haiwan tersebut dan memaklumkan kepada penduduk tempatan melalui mesej teks apabila haiwan itu mengembara melalui zon yang dihuni manusia.

    Tahun lepas, tular satu video di negara tersebut yang menyaksikan seorang lelaki dihempap oleh seekor gajah.

    Video yang dipercayai dirakam di daerah Dhubri itu mempamerkan haiwan liar tersebut tiba-tiba muncul dari hutan dan mengejar mangsa.

    Mangsa dilaporkan selamat akibat serangan itu tetapi mengalami kecederaan yang serius.

  • [VIDEO] 7 penumpang maut dalam nahas helikopter

    [VIDEO] 7 penumpang maut dalam nahas helikopter

    SEBUAH helikopter yang hilang daripada radar trafik udara pada Khamis telah ditemukan dan kesemua tujuh penumpang disahkan terkorban, menurut pihak berkuasa Itali pada Sabtu.

    Seorang pengembara yang melalui kawasan berhampiran Monte Cusna — sebuah gunung di wilayah tengah Itali Emilia Romagna berhampiran sempadan dengan Tuscany — menghubungi pihak berkuasa selepas menemui serpihan bangkai pesawat itu, lapor Xinhua.

    Menurut laporan, seorang juruterbang, seorang warga Itali, termasuk empat warga Turki dan dua rakyat Lubnan terkorban dalam nahas itu.

    Pihak berkuasa Itali telah menjalankan operasi mencari bagi mengesan helikopter dan penumpangnya sejak Khamis.

    Helikopter itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari bandar Tuscan Lucca ke Treviso, sebuah bandar yang terletak di utara Venice.

    Pegawai Itali masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca nahas.

    Pihak berkuasa tempatan berjaya menemukan lima mayat pada Sabtu. Beberapa jam kemudian, dua lagi mayat ditemukan. – BERNAMA

  • Tujuh butir bom meletup di Narathiwat

    Tujuh butir bom meletup di Narathiwat

    Oleh TUWAEDANIYA MERINGING

    PENGEBOM meletupkan sekurang-kurangnya tujuh butir bom di dua lokasi di Narathiwat di selatan Thailand pagi Jumaat, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

    Ketua Polis Daerah Narathiwat, Pol Mej Jeneral Waesamae Salae berkata, dalam kejadian pertama pada 7.30 pagi (waktu tempatan), empat bom jangka buatan sendiri meletup di tepi jalan di Jalan Yingo-Raman.

    Kira-kira sejam kemudian, tiga bom yang diletakkan di tepi jalan meletup berhampiran lokasi letupan pertama.

    “Skuad pemusnah bom mengambil masa kira-kira lima jam untuk memeriksa dan membersihkan tempat kejadian,” katanya pada sidang media hari ini.

    Media tempatan melaporkan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu, berikutan diketepikan daripada perbincangan antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand. – BERNAMA

  • 15 warga Malaysia terbabit kemalangan bas di Arab Saudi

    15 warga Malaysia terbabit kemalangan bas di Arab Saudi

    KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) mengesahkan insiden kemalangan melibatkan bas pekerja dinaiki 15 warganegara Malaysia yang terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi semalam.

    Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, mereka merupakan pekerja di syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Mekah.

    Susulan insiden itu, mereka yang terlibat dibawa ke Hospital An Nur dan King Faisal Hospital di Mekah bagi mendapatkan rawatan.

    “Dua daripada mangsa mengalami kecederaan serius patah tulang di bahagian bahu dan tengkuk, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

    Menurut Wisma Putra, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung kemalangan itu.

    Tambahnya, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan insiden itu dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

    “Kementerian Luar mendoakan agar kesemua mangsa kembali pulih dengan segera,” katanya.

  • 2 pekerja terjatuh dalam tangki coklat di kilang gula-gula

    2 pekerja terjatuh dalam tangki coklat di kilang gula-gula

    DUA pekerja terjatuh ke dalam tangki coklat di kilang gula-gula Mars Wrigley di Pennsylvania, semalam, lapor media Amerika Syarikat (AS).

    Bagaimanapun keduad-uanya berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam tangki coklat di kilang gula-gula Mars Wrigley di Pennsylvania, lapor media Amerika Syarikat (AS).

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, kedua-duanya tidak dapat keluar dari tangki tersebut yang mana mereka dilaporkan berdiri separas pinggang dalam muatan coklat sehingga diselamatkan.

    Rakaman media tempatan di lokasi kejadian menunjukkan sejumlah anggota polis dan kenderaan kecemasan berada di luar kilang milik sebuah syarikat coklat di bandar Elizabethtown timur laut AS.

    Pekerja itu dibawa ke hospital tetapi keadaan mereka tidak diketahui, kata media tempatan.

    Setakat ini, punca yang menyebabkan dua pekerja itu terjatuh ke dalam tangki tersebut masih belum diketahui.

    Lima anggota bomba telah berjaya menarik mereka keluar dari tangki, kata Brad Wolfe iaitu penyelia komunikasi untuk penghantaran daerah Lancaster.

    Pihak berkuasa telah dipanggil untuk membantu kerja-kerja menyelamat manakala Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sedang menyiasat kejadian tersebut.

  • Polis tahan remaja lelaki tikam gadis 13 tahun

    Polis tahan remaja lelaki tikam gadis 13 tahun

    POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan di timur Perancis kerana disyaki menikam seorang gadis berusia 13 tahun hingga mati, dalam kejadian di sebuah kampung di utara Lyon, Macon, Perancis.

    Menurut polis tempatan, mayat mangsa ditemui awal pagi Khamis dengan banyak kesan keganasan berhampiran bekas sekolah rendahnya di sebuah kampung di utara Lyon.

    Menurut Berita Harian yang memetik laporan AFP, siasatan awal mendapati pasangan itu mungkin putus cinta, sambil menambah gadis itu hilang lewat Rabu dan anggota polis dikerahkan untuk mencari mangsa di sekitar perkampungan penanaman wain yang didiami 800 penduduk.

    Ketua sekolah wilayah, Pierre N’Gahane, berkata gadis itu adalah seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Lugny, sebuah bandar berhampiran kampung asalnya Clesse.

    “Apa yang berlaku sama sekali tidak dapat difahami,” katanya kepada penyiar televisyen BFM.

    “Tiada laporan mengenai buli di sekolah gadis itu,” tambahnya, sambil menyifatkan mangsa sebagai pelajar yang baik.

    N’Gahane tidak dapat mengesahkan bahawa gadis itu dan suspek baru-baru ini telah berpisah, tetapi berkata ia ‘mungkin’.

    Di sekolah menengah Lugny, pelajar dan guru ditawarkan sokongan psikologi, kata pihak berkuasa pendidikan serantau.

    Di Clesse, sekolah rendah itu ditutup, dengan sejambak bunga ros putih dan merah jambu dilekatkan pada penghadang di luar.

    “Ini adalah hari yang mengerikan,” kata Datuk Bandar Clesse Jean-Pierre Chevrier dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa keluarga gadis itu ‘disenangi’ dan anak tunggal keluarga itu ‘sangat baik, sama seperti ibu bapanya.

  • Lombong berlian runtuh, lebih 40 orang maut

    Lombong berlian runtuh, lebih 40 orang maut

    Lebih 40 orang terbunuh pada Selasa dalam kejadian lombong berlian runtuh di tengah Republik Demokratik Congo (DRC), menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.

    Menteri Dalam Negeri kerajaan wilayah Kasai, Alain Tshisungu Ntumba memberitahu media sekurang-kurangnya enam mayat telah ditemukan dan misi mencari masih diteruskan untuk mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan.

    Beliau berkata, kesemua mangsa adalah penggali berlian kecil-kecilan yang beroperasi di telaga bawah tanah dan tragedi itu telah menjejaskan lebih 40 telaga dengan kedalaman 15 hingga 18 meter. – Bernama

  • [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang disahkan maut manakala 46 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan pejabat di bandar Daegu, tenggara Korea Selatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap pada Khamis.

    Kebakaran berlaku kira-kira 10.55 pagi waktu tempatan di bangunan pejabat tujuh tingkat di Daegu.

    Tujuh orang ditemukan maut dan 46 lagi cedera akibat terhidu asap.

    Kira-kira 50 jentera bomba bersama 160 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran.

    Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat. – BERNAMA