Category: Luar Negara

  • Mayat wartawan Britain ditemukan, polis sahkan identiti

    Mayat wartawan Britain ditemukan, polis sahkan identiti

    IDENTITI mayat yang ditemui di Amazon disahkan milik wartawan Britain, Dom Philips, lapor Agensi Anadolu.

    Pengesahan dibuat setelah ujian forensik dan rekod pergigian dijalankan terhadap mayat yang ditemui itu, menurut polis persekutuan Brazil pada Jumaat.

    Selain itu, proses pengecaman seorang jurupandu yang juga pakar pengkaji masyarakat orang asli, Bruno Pereira diteruskan serta punca kematian Philips dan Pereira kini masih disiasat.

    Phillips, 57, yang bekerja untuk akhbar The Guardian berpangkalan di Britain, mengembara ke wilayah itu untuk menulis buku mengenai orang asli di Amazon manakala Pereira, 41, seorang pakar di Yayasan Pribumi Nasional milik kerajaan. Kedua-dua mereka dilaporkan hilang sejak 5 Jun lepas. – BERNAMA

  • Penduduk terlampau gemuk, majlis perbandaran tolak cadangan McDonald’s buka khidmat pandu lalu

    Penduduk terlampau gemuk, majlis perbandaran tolak cadangan McDonald’s buka khidmat pandu lalu

    PENDUDUK Cremorne, Sydney berang selepas majlis perbandaran mereka menolak perancangan McDonald’s untuk melaksanakan khidmat pandu lalu di situ.

    Francais makanan segera tersebut merancang perkhidmatan pandu lalu yang lebih besar namun ditolak oleh orang atasan kerana risau penduduk mereka ‘terlampau gemuk.’

    Penguatkuasa kesihatan di Sydney berpendapat, penduduk di kawasan tersebut mempunyai kadar obesiti yang tinggi.

    Pejabat Kesihatan Daerah Setempat Sidney Utara berkata, penambahan khidmat pandu lalu tersebut boleh memberikan kesan kepada kesihatan dan mencetuskan kenaikan kadar obesiti di kawasan berkenaan.

    “Kami risau jika makanan segera mudah didapatkan melalui pembesaran perkhidmatan pandu lalu, ia boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia juga boleh menjejaskan strategi untuk menangani masalah obesiti,” tambah mereka.

    Pengurus pejabat itu, Andrew Wheeler dan Mary McCafferty, juga berkata jarak yang dekat di antara restoran tersebut dengan sebuah pusat kesihatan OKU merupakan satu kerisauan kepada pihak kesihatan tempatan.

    “Ia akan menjejas pesakit-pesakit yang ingin menghadiri temu janji di kemudahan tersebut dan akan menjejaskan kesihatan mereka,” kata Wheeler.

    McDonald’s menjelaskan mereka hanya ingin memudahkan pelanggan mereka yang lebih selesa untuk memasuki pandu lalu sejak pandemik.

  • Lelaki pukul isteri ketika majlis perkahwinan mungkin dipenjara 15 hari

    Lelaki pukul isteri ketika majlis perkahwinan mungkin dipenjara 15 hari

    Seorang lelaki yang dirakam  memukul isterinya pada majlis perkahwinan mereka telah didakwa dan mungkin akan dipenjara 15 hari.

    Pengantin lelaki tersebut mencetus kemarahan dalam media sosial selepas satu video dia memukul isterinya kerana kalah permainan tular.

    Video tersebut juga mendapat perhatian anak Presiden Uzbekistan, Saida Mirziyoyeva dan akhirnya mendorong  polis bertindak.

    Si suami yang tidak dinamakan telah didakwa atas kesalahan ‘hooliganism’ namun hanya akan dipenjara selama 15 hari sahaja jika didapati bersalah.

    Selepas kejadian tersebut, lelaki itu dikatakan meminta maaf kepada pengantinnya dan menyesal ke atas tindakan tersebut.

    “Pada hari yang sama, pasangan tersebut berbaik semula dan kini duduk sebumbung,” kata majlis perundangan di Uzbekistan.

    Selepas video kejadian itu tular, Saida menggesakan orang ramai untuk menyuarakan masalah keganasan ke atas wanita.

    “Kami tidak sepatutnya berdiam tentang masalah ini, kami tidak boleh berpura-pura masalah ini adalah masalah yang hanya berlaku sekali sekala,” kata beliau.

  • Dipilih warisi kekayaan datuk, gadis diculik ayah sendiri

    Dipilih warisi kekayaan datuk, gadis diculik ayah sendiri

    TAMAK dengan kekayaan, seorang bapa tergamak untuk menculik anaknya sendiri selepas anak perempuannya  itu menjadi pewaris kepada kekayaan  di Mesir.

    Noura Aly Essam, 23 diheret oleh ayahnya selepas mewarisi satu pertiga daripada kekayaan datuknya supaya dia dapat sambung belajar.

    Bapa mangsa yang tidak mahu dinamakan, heret Noura daripada rumahnya selepas mendapat tahu tentang pewarisan tersebut pada Sabtu lalu.

    Noura, yang bercampur Mesir dan Korea sudah bertahun hidup bersama datuk dan neneknya, kata pihak polis Mesir.

    Pelajar 23 tahun itu dipukul dan diheret dari rumahnya kemudian dikunci dalam bilik tidur.

    Pendakwaraya berkata, “Terdapat percanggahan di antara 2 beranak itu disebabkan wasiat datuknya.”

    Menurut pihak berkuasa, bapa mangsa berbuat demikian kerana “berasa dengki dan benci” kepada anaknya.

    Ketika diculik, Noura tercedera pada bahagian mata selepas “dipijak” ayahnya, dan telefon bimbitnya turut dirampas.

    Selepas 2 hari, polis mengeluarkan kenyataan bahawa Noura telah dipulangkan dengan selamat kepada keluarganya dan bapanya ditahan.

    Kedutaan Korea Selatan juga mengeluarkan kenyataan bahawa mereka “berterima kasih ke atas usaha pihak Mesir”untuk memulangkan Nora.

  • Saifuddin kritik nasionalisme keterlaluan, politik identiti

    Saifuddin kritik nasionalisme keterlaluan, politik identiti

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    NASIONALISME keterlaluan dan politik identiti menjejaskan kewujudan bersama secara aman di kalangan rakyat dan negara, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada persidangan di New Delhi, Khamis.

    Berucap pada sesi menteri “Dialog Delhi”, menteri itu berkata diplomasi dan kesederhanaan diperlukan untuk menghindari konflik.

    “Dialog ini sangat bertepatan dalam suasana hari ini dan penting kerana kita sedang membincangkan untuk menjalin persahabatan ketika identiti dan politik nasionalistik mengancam untuk mengetepikan nilai kesederhanaan dan toleransi,” kata Saifuddin.

    Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan dalam ekstremisme agama dan nasionalisme keterlaluan, yang mengetepikan demokrasi dan merencatkan globalisasi.

    Menurut Saifuddin, ia meningkatkan cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional seperti keganasan, penghijrahan paksa, dan pertikaian wilayah.

    Bagi perkumpulan 10 anggota negara Asia Tenggara, ASEAN, antara cabarannya adalah konflik di Myanmar, katanya.

    Menteri Luar pada pagi Khamis menyertai Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India (SAIFMM), yang menandakan ulang tahun ke-30 hubungan dialog antara kedua-dua pihak.

    Saifuddin menyifatkan pertemuan itu sebagai “sangat berhasil”, berkata ASEAN dan India sepakat untuk “mengukuhkan dan meluaskan perkongsian strategik kami”.

    Beliau berkata, kedua-dua pihak boleh memanfaatkan dua kekuatan utama mereka – penduduk dan teknologi – dalam mengembangkan hubungan mereka. – BERNAMA

  • Wanita hamil tujuh bulan dipenggal kepala, bekas teman lelaki ditahan

    Wanita hamil tujuh bulan dipenggal kepala, bekas teman lelaki ditahan

    SEORANG  wanita hamil tujuh bulan dijumpai tanpa kepala sebelum majlis menyambut kelahiran bayinya di Illinois.

    Mangsa, Liese Dodd, 22 dijumpai ibunya dalam keadaan ngeri di rumah selepas tidak mendengar khabarnya. Kepala mangsa dijumpai di dalam tong sampah di luar pangsapuri yang dia didiami.

    Polis Illinois berkata, apa yang dilakukan ke atas  wanita berusia  22 tahun tersebut  adalah perbuatan keji.

    Melalui siasatan yang dijalankan, bekas teman lelaki mangsa, Deundrea Holloway, 22 didakwa melakukan dua pembunuhan termasuk ke atas janin yang tidak lahir, mengerat tubuh badan manusia dan cubaan menutup pembunuhan.

    Ketua Polis Illinoi, Marcos Pulido berkata, wanita itu dibunuh dengan sangat kejam.

    ‘’Dia merupakan seorang anak perempuan dan bakal menjadi ibu. Ahli keluarganya sedang merancang majlis baby shower yang sepatutnya diadakan pada hujung bulan ini namun ia bertukar kepada majlis pengebumian,” kata Pulido.

    Mangsa sepatutnya menyambut kelahiran anaknya pada akhir bulan depan.

  • Belon helium meletup cetus kebakaran, 8 termasuk kanak-kanak maut

    Belon helium meletup cetus kebakaran, 8 termasuk kanak-kanak maut

    LAPAN orang terkorban dalam kebakaran yang berlaku lewat Selasa di Tehran, ibu negara Iran.

    Berlaku satu letupan diikuti kebakaran semasa majlis hari jadi di sebuah kafe di pinggir bandar Shahriar di Tehran, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Tasnim, memetik laporan Astro Awani.

    Empat kanak-kanak adalah antara yang maut, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

    Tiga kanak-kanak, tiga wanita, dan seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia di hospital.

    Menurut Pejabat Pendakwaraya Shahriar, kafe itu terletak di ruang bawah tanah dan sebiji belon helium meletup dan terbakar, berdasarkan maklumat awal.

    Ketika kejadian orang ramai melarikan diri ke dapur di bahagian belakang tetapi mengalami sesak nafas akibat asap.

  • Ayah maut mangsa periuk api di laut

    Ayah maut mangsa periuk api di laut

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena letupan periuk api ketika berenang di sebuah pantai di wilayah Odessa, Ukraine baru-baru ini.

    Insiden itu menimbulkan persoalan kemungkinan dia telah melanggar periuk api yang ditempatkan di pantai-pantai Ukraine.

    Rakaman yang dirakam di wilayah Odessa, negara yang dilanda perang dengan Rusia itu menunjukkan orang ramai berlari ke arah pantai sejurus sebelum letupan air.

    Mayat lelaki itu kemudian dihanyutkan yang mana sebelum itu isteri, anak lelaki dan rakannya juga duduk di tepi pantai beberapa saat sebelum dia meninggal dunia kerana letupan tersebut, lapor Sinar Harian.

    Disebabkan perang berterusan dengan Rusia, pegawai tempatan telah melarang orang ramai berenang di kawasan yang mempunyai periuk api.

    Ukraine telah menuduh Rusia meletakkan periuk api di Laut Hitam dengan sengaja manakala Moscow pula mendakwa sebaliknya.

  • Bekas peserta Miss Dubai ditahan jual dadah

    Bekas peserta Miss Dubai ditahan jual dadah

    SEORANG Ratu Cantik Rusia bakal dikenakan hukuman penjara 20 tahun selepas disyaki menjual dadah, kata penguatkuasa Rusia.

    Kristina Dukhina, 34 ditahan behampiran rumahnya di Moscow City.

    Dukhina merupakan peserta Miss Dubai pada 2019 dan memenangi Grand Prix Miss Federation di Rusia pada 2020.

    Wanita 34 tahun itu juga mempunyai sebuah syarikat permodelan di Crimea. Ibu kepada dua anak tersebut ditahan selepas pihak polis menemui hampir separuh kilogram mephedrone.

    Wanita Rusia itu kini disiasat kerana disyaki cuba menjual dadah tersebut.

    Di Rusia, kes dadah tidak diambil ringan dan pemilikan dadah melebihi 2.5 gram boleh dihukum penjara selama 10 tahun .

    Seorang peguam ketika mengulas kes itu berkata, ‘’kes seperti ini amat menakutkan. Begitu mudah hidup seseorang itu musnah. Dengan beberapa gram dadah dia akan di penjara dalam tempoh yang lama.

  • Kanak-kanak bisu, pekak diselamatkan selepas empat hari jatuh dalam perigi

    Kanak-kanak bisu, pekak diselamatkan selepas empat hari jatuh dalam perigi

    PEKERJA kecemasan menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun semalam, dari perigi sempit selepas dilaporkan terperangkap sejak lebih empat hari lalu, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Rahul Sahu yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, jatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter petang Jumaat lalu, ketika bermain di halaman belakang rumahnya di wilayah tengah, Chhattisgarh, India.

    Jentera penolak tanah dan kren digunakan untuk membantu menggali terowong di sebelah telaga, dengan kelebaran yang kecil.

    Anggota tentera dan agensi tindak balas bencana India turut membantu dalam operasi berkenaan.

    “Sahu berjaya diselamatkan dengan selamat atas doa semua orang dan usaha gigih dari pasukan penyelamat,” ciap Ketua Menteri, Bhupesh Baghel di Twitter, memetik laporan Berita Harian.

    Pegawai pentadbiran daerah tempatan, Jeetendra Shukla memberitahu wartawan bahawa budak lelaki itu hidup tetapi lemah dan sudah dikejarkan ke hospital di daerah berdekatan.

    “Seekor ular dilihat di lubang yang sama tetapi budak lelaki itu sudah menunjukkan keberaniannya dan kekal tenang ketika operasi menyelamatnya,” katanya.

    Katanya, cuaca buruk serta ancaman ular berbisa dan kala jengking yang ditemui ketika penggalian turut menghalang usaha menyelamat.

    Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal ketika dihubungi dari lokasi kejadian berkata, ketika operasi menyelamat, kamera digunakan untuk memantau keadaan dan pergerakan budak itu.

    “Memandangkan budak itu tidak boleh bercakap atau mendengar, kami berdepan cabaran lebih besar,” katanya.

    Jurucakap kerajaan berkata, sebuah paip oksigen disediakan bagi menyalurkan udara segar kepada Sahu ketika usaha menggali terowong terhalang oleh batu keras yang berada di bawah.

    Perigi yang tidak berbumbung adalah ciri umum yang terdapat di perkampungan petani di India dan sering mengakibatkan kemalangan maut yang membabitkan kanak-kanak kecil.

    Pada 2019, seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ditarik keluar dari perigi, maut selepas usaha menyelamatnya selama empat hari di negeri utara Punjab.

    Pada tahun sama, seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun diselamatkan di wilayah Haryana selepas terperangkap selama dua hari.