Category: Luar Negara

  • Wanita berdepan 10 tuduhan membunuh

    Wanita berdepan 10 tuduhan membunuh

    SEORANG wanita rakyat Thailand yang didakwa melakukan beberapa pembunuhan menggunakan racun sianida, berdepan sekurang-kurangnya 10 pertuduhan pembunuhan terancang.

    Timbalan komander Bahagian Pencegahan Jenayah, Kolonel Anek Taosupap, berkata polis melakukan siasatan terperinci terhadap wanita berusia 36 tahun itu.

    Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai kaitan dengan suspek melalui skim pinjaman wang serta gadai janji kereta dan tanah.

    “Ramai daripada mangsa memindahkan duit (berjumlah) lima hingga enam digit kepada suspek sebelum kematian mereka,” katanya.

    Wanita dikenali Sararat Rangsiwuthaporn itu didakwa meracuni mangsa menggunakan sianida yang berlaku sejak 2020.

    Sehingga kini, polis mengenal pasti 10 orang menjadi mangsa termasuk seorang wanita yang maut di Nakhon Pathom pada Disember 2020.

    Turut menjadi mangsa dua anggota polis wanita dan dua orang guru yang meninggal dunia di Nakhon Pathom pada 2021 dan 2022.

    Seorang wanita dari Kanchanaburi terselamat daripada cubaan membunuh menggunakan racun itu.

    Terdahulu, ibu dan kakak kepada seorang daripada mangsa, mendiang Siriporn Khanwong dari Kanchanaburi memfailkan aduan yang membawa kepada penahanan Sararat pada 25 April lalu.

    Pada 14 April, Siriporn menemani suspek untuk membuat amalan Buddha yang dikenali ‘merit-making’, sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia di tebing sungai Mae Klong di Ban Pong di Ratchaburi.

    Siasatan awal menunjukkan suspek mencampurkan sianida dalam makanan Siriporn dan ketika mayatnya ditemukan, telefon bimbit, wang tunai dan beg mangsa didapati hilang.

    Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, sianida ialah bahan kimia yang bertindak pantas yang mengganggu keupayaan tubuh untuk menggunakan oksigen dan menyebabkan serangan jantung serta berpotensi membawa maut.

  • Remaja Bangladesh terselamat dalam kontena, ditemui lemas

    Remaja Bangladesh terselamat dalam kontena, ditemui lemas

    REMAJA lelaki Bangladesh yang dihantar pulang Februari lalu selepas ditemui dalam sebuah kontena perkapalan di Pelabuhan Klang bulan lepas dilapor meninggal dunia di kampungnya.

    Lapor Bdnews24.Com yang dipetik Free Malaysia Today, Ratul Islam Fahim lemas ketika mandi seorang diri di kolam berhampiran rumahnya di Monohargonj di daerah Cumilla semalam menurut polis tempatan.

    Bapanya memberitahu polis bahawa Ratul yang juga anak sulung daripada tiga beradik lelaki mengalami masalah mental dan tidak tahu berenang.

    Faruk Mia yang juga seorang buruh harian berkata, Ratul mandi seorang diri kerana semua orang berada di sawah untuk menuai padi.

    “Bagaimana saya boleh hidup selepas ini?” Faruk dipetik sebagai berkata.

    Menurut Bdnews24.Com, Ratul dikebumikan tanpa pemeriksaan bedah siasat selepas keluarganya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

    Laporan itu menambah bahawa polis tempatan berjanji melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu.

    Kisah remaja berusia 16 tahun itu menarik perhatian media antarabangsa selepas dia ditemui di dalam kontena itu, terselamat selama enam hari tanpa makanan dan minuman.

    Ratul ditemui dalam kontena di sebuah dermaga di Pelabuhan Barat Pelabuhan Klang pada 17 Jan.

    Ratul memberitahu pihak berkuasa pada masa itu bahawa dia bermain dalam kontena berkenaan dengan rakan-rakan di Chittagong namun akhirnya mendapati dirinya terkunci di dalam.

    Ratul dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang sebelum ditempatkan sementara di bawah jagaan Yayasan Chow Kit.

    Kementerian Dalam Negeri kemudian mengatur untuk mendapatkan dokumennya daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sebelum menghantarnya pulang pada 22 Feb.

  • Daihatsu didakwa palsukan ujian keselamatan Perodua Axia – laporan

    Daihatsu didakwa palsukan ujian keselamatan Perodua Axia – laporan

    DAIHATSU Motor Company, anak syarikat Toyota Motor didakwa mengakui menipu dan memalsukan keputusan ujian keselamatan kemalangan melibatkan bahagian panel sisi pintu bagi 88,000 unit kereta yang dijual di bawah jenama Toyota.

    Lapor Sinar Harian yang memetik agensi berita Reuters, syarikat itu mengesahkan kemasan pintu diubah suai dengan sebuah ‘takik’ (notch) untuk meminimumkan risiko panel pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan.

    Menurut laporan itu, model yang terjejas termasuk Toyota Yaris Ativ buatan Thailand dari Ogos lalu dan Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula dari Februari.

    Daripada 88,000 kenderaan itu, kira-kira 11,800 merupakan kereta Perodua Axia 2023 yang dijual di Malaysia.

    Baki selebihnya atau kira-kira 76,000 adalah model Yaris terutamanya untuk negara Thailand, Mexico dan Majlis Kerjasama Teluk (Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman).

    Dalam pada itu, Pengerusi Toyota, Akio Toyoda berkata, kejadian itu tidak boleh diterima kerana melanggar kepercayaan pelanggan.

    “Kami sedang menyiasat bagaimana panel sisi Yaris dan model lain telah ditukar untuk ujian keselamatan dan memohon maaf atas apa yang berlaku kerana dilihat sebagai pencabulan ke atas kepercayaan pengguna,” katanya.

    Bagaimanapun, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan ujian kemalangan.

    Tambah beliau, siasatan secara terperinci akan dilakukan, namun memerlukan sedikit masa.

  • 11 maut, 9 hilang bot penumpang karam di Riau, Indonesia

    11 maut, 9 hilang bot penumpang karam di Riau, Indonesia

    SEBUAH bot laju penumpang yang terlebih muatan karam di perairan wilayah barat Riau, Indonesia pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan lebih sembilan lagi hilang, lapor Xinhua memetik seorang penyelamat.

    Bot laju SB Evelyn Calisca 01 karam di perairan Pulau Burung daerah Indragiri Hilir, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari sebuah pelabuhan di daerah itu.

    Bot itu sedang menuju ke sebuah pelabuhan di Tanjung Pinang, ibu kota wilayah Kepulauan Riau, kata I Nyoman Sidakarya, ketua pejabat mencari dan menyelamat wilayah.

    “Kini, jumlah korban mencecah 11 orang, dan lebih 9 lagi disahkan hilang,” katanya dalam kenyataan yang diterima Xinhua.

    Sidakarya berkata jumlah korban dan orang hilang mungkin meningkat kerana ramai penumpang tidak disenaraikan dalam senarai penumpang.

    Beliau berkata 58 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat bersama terdiri daripada pejabat mencari dan menyelamat, tentera, polis dan sukarelawan.

    Pejabat mencari dan menyelamat akan menunggu laporan daripada saudara atau keluarga mengenai kehilangan anggota mereka dalam beberapa hari akan datang, menurut Kukuh Widodo, pegawai akhbar di pejabat mencari dan menyelamat di wilayah Riau kepada Xinhua melalui telefon.

    “Bot laju ini terlalu kecil untuk membawa lebih 80 orang. Ia membawa terlalu ramai penumpang,” katanya. – BERNAMA

  • Prakazrel “Pras” Michel bersalah dalam kes 1MDB – Mahkamah AS

    Prakazrel “Pras” Michel bersalah dalam kes 1MDB – Mahkamah AS

    MAHKAMAH Persekutuan Washington mendapati Prakazrel “Pras” Michel, bekas penyanyi rap dengan kumpulan The Fugees bersalah bersubahat melancarkan kempen melobi saluran belakang untuk menamatkan siasatan Amerika Syarikat terhadap ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Juri persekutuan semalam mensabitkan Michel, 50, atas petuduhan jenayah lain, termasuk bersubahat untuk menyalurkan wang Low secara haram untuk kempen pilihan raya Presiden Barack Obama pada 2012.

    Dia juga didakwa atas 10 pertuduhan konspirasi, mengganggu saksi dan memalsukan rekod kewangan kempen.

    Menurut laporan Bloomberg yang dipetik Malaysiakini, Michel membuat kesilapan dengan memberi keterangan membela diri semasa perbicaraan selama sebulan, dengan menafikan salah laku.

    Michel dikatakan tidak menunjukkan sebarang emosi apabila dia diisytiharkan “bersalah” atas semua 10 pertuduhan, dan berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun.

    Menurut pendakwa raya Low membayar lebih AS$100 juta (RM446 juta) kepada Michel dalam dua plot. Konspiratornya melobi pentadbiran Presiden Donald Trump pada 2017 untuk menamatkan siasatan AS berhubung dakwaan penyelewengan berbilion dolar oleh Low daripada dana 1MDB.

    Sementara itu, Reuters melaporkan sabitannya itu adalah susulan daripada perbicaraan yang dipenuhi dengan tipu daya politik selain menampilkan saksi berprofil tinggi termasuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio dan bekas Peguam Negara AS, Jeff Sessions.

    Jho Low yang turut menghadapi pertuduhan berasingan di New York didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara, 1MDB kini masih bebas.

    The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris pada 1996, ‘The Score.’

    Namun, menjelang 2012, menurut pendakwa raya, Michel sangat memerlukan wang tunai dan menemui penyelesaian melalui Jho Low, yang terkenal mengadakan pesta dan membayar sejumlah besar wang kepada selebriti.

  • CEO Hankook Steel Korea Selatan dihukum penjara kerana kematian pekerja

    CEO Hankook Steel Korea Selatan dihukum penjara kerana kematian pekerja

    KETUA Pegawai Eksekutif Hankook Steel & Mill Co dijatuhi hukuman penjara setahun hari ini, berhubung kematian seorang pekerja di kilangnya, sekali gus menjadi ketua korporat pertama yang dihukum penjara kerana kawalan keselamatan industri yang longgar, lapor Yonhap.

    Cawangan Mahkamah Daerah Changwon di bandar tenggara Masan, kira-kira 300 kilometer tenggara Seoul, mensabitkan kesalahan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif itu kerana gagal menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi berhubung kematian seorang pekerja pada Mac tahun lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif itu ditahan di bilik mahkamah dan dibawa ke penjara selepas dijatuhkan hukuman.

    Pekerja berusia 60an itu meninggal dunia di kilang syarikat itu di daerah Haman berhampiran selepas kakinya dihempap plat keluli seberat 1.2 tan.

    Ia merupakan kali pertama seorang ketua korporat dipenjarakan kerana melanggar Akta Hukuman Kemalangan Serius yang membolehkan pemilik perniagaan atau CEO syarikat yang mempunyai 50 atau lebih pekerja dikenakan penjara sekurang-kurangnya satu tahun atau denda sehingga 1 bilion won (AS$747,663) sekiranya berlaku bencana yang membawa maut semasa bertugas yang disebabkan oleh langkah keselamatan yang lemah di tempat kerja.

    Undang-undang itu berkuat kuasa pada Januari 2022.

  • Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    PEMBONGKARAN aktiviti bomoh pengganda wang dikenali sebagai Mbah Slamet yang membunuh kira-kira 12 mangsa di Banjarnegara, Jawa Tengah, mengejutkan masyarakat negara itu, baru-baru ini.

    Kompas melaporkan, polis menemukan semua mayat yang ditanam di kawasan tanah di lereng bukit pada kedalaman 0.8 meter (m) sehingga satu meter.

    Berikut adalah kronologi, motif dan jumlah mangsa pembunuhan oleh bomoh pengganda wang:

    • Pembunuhan disyaki dilakukan Slamet Tohari, 45, terbongkar selepas polis Banjarnegara menerima laporan kejadian orang hilang pada 27 Mac lalu.
    • Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat dikesan hilang selepas berkunjung ke Banjarnegara, untuk berjumpa Slamet pada 23 Mac lalu.
    • Sebelum hilang, mangsa sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarga meminta mereka mencarinya di rumah Slamet, jika dia tidak dapat dihubungi selepas beberapa hari.
    • Selepas pesanan itu diterima, keluarga tidak menerima sebarang khabar berita daripada mangsa lalu mereka ke rumah Slamet.
    • Keluarga turut membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa dan sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
    • Hasil siasatan, polis mendapati mangsa sudah dibunuh dan mayatnya ditanam.

    Ketua Polis Banjarnegara Hendri Yulianto berkata, mangsa ditanam di kawasan menuju ke hutan di Wanayasa.

    Susulan penemuan mayat mangsa itu, polis turut menemukan beberapa lagi mayat mangsa lain di kawasan berhampiran.

    Media sebelum ini melaporkan, Mbah Slamet yang disyaki membunuh sekurang-kurangnya 10 mangsa sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada 1 April lalu.

    Slamet ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Semua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (kira-kira RM11,822) kepada lima bilion rupiah (kira-kira RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    PEJABAT Peguam Negara Switzerland (OAG) telah memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas dakwaan mereka membantu menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memperkayakan diri dan orang lain.

    Ini berkaitan pemindahan AS$1 bilion pada 2009, dan AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011.

    Dakwaan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland merujuk kepada episod fasa Good Star dalam skandal 1MDB.

    Siaran akhbar oleh OAG menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah merancang bersama ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini dalam buruan untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan yang akhirnya akan menipu 1MDB.

    Ini menyebabkan lembaga pengarah 1MDB bersetuju untuk memindahkan AS$1 bilion untuk projek usaha sama itu, yang mana AS$700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Switzerland dimiliki Low.

    Daripada AS$700 juta itu, OAG berkata Low memindahkan AS$85 juta kepada seorang tertuduh, dan dia kemudian memindahkan AS$33 juta kepada tertuduh lain.

    Walaupun OAG tidak menamakan tertuduh, ini nampaknya merujuk kepada Tarek Obaid dan Patrick Mahoney..

    Peguam Tan Sri Shafee Abdullah semasa perbicaraan 1MDB mengemukakan dokumen yang menunjukkan Tarek dan Mahoney masing-masing menerima AS$85 juta dan AS$33 juta daripada dana melalui firma Good Star.

    Sementara itu, OAG berkata, baki AS$300 juta daripada pemindahan 1MDB September 2009 telah disalurkan kepada Petrosaudi untuk manfaat syarikat terbabit.

    Selanjutnya, pendakwaan Switzerland juga berkata, kedua-dua tertuduh turut bersubahat membantu Low menipu 1MDB sebanyak AS$830 juta lagi antara Sept 2010 dan Okt 2011 daripada sumber nota Murabahah pinjaman Islam susulan usaha sama palsu itu.

    Menurut OAG, dana yang diterima kedua-duanya digunakan untuk memperoleh hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk membangunkan aktiviti Petrosaudi yang menjana pendapatan besar, serta mengekalkan gaya hidup mewah.

    Sementara itu, dalam rujukan jelas kepada aduan oleh pemberi maklumat Xavier Justo terhadap bos Petrosaudi mengenai ugutan, pemerasan, pemenjaraan palsu dan lain-lain, OAG berkata ia memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

    Ia antara lain memetik bahawa unsur-unsur kesalahan yang dilaporkan tidak dipenuhi, hak untuk memfailkan aduan terbatas pada tempoh masa tertentu, atau perkara yang dilaporkan tidak menimbulkan syak wasangka yang munasabah di bawah undang-undang.

    Bagaimanapun, OAG menyatakan bahawa keputusan ini boleh dirayu kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland, lapor Malaysiakini.

  • Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan

    Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan

    MENTERI Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum, Sudan berjaya diselamatkan semalam.

    “Semua mereka selamat tiba di Port Sudan pada pukul 2.07 petang waktu Sudan iaitu bersamaan 8.07 malam waktu Malaysia setelah melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dengan mengambil masa selama 30 jam.

    “Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain untuk turut sama dalam proses evakuasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, 26 warganegara lain itu merangkumi seorang warga Filipina; enam warga Kemboja; 14 warga Singapura; seorang warga Thailand; dua warga Amerika Syarikat; seorang warga Palestin dan seorang warga Sudan.

    Menurut beliau, dua rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan proses evakuasi tersebut berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak United Nations.

    “Selanjutnya, kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang itu keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen iaitu sama ada melalui laluan udara dengan sewaan khas pesawat atau melalui laluan laut (kapal laut).

    “Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” ujar beliau.

    Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

    Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

    Konflik bersenjata berkenaan tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

    Mengulas lanjut, Zambry berkata, keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain dalam konvoi Malaysia tersebut dimaklumkan sihat dan selamat.

    “Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegera mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Lelaki berpakaian seragam tentera bunuh 60 penduduk kampung

    Lelaki berpakaian seragam tentera bunuh 60 penduduk kampung

    SEKURANG-KURANGNYA 60 penduduk maut dibunuh oleh sekumpulan lelaki berpakaian seragam tentera dalam kejadian di kampung Karma di utara Burkina Faso, kata seorang pendakwa raya tempatan pada Ahad.

    “Komander briged gendarmerie Ouahigouya melaporkan kepada saya seramai 60 penduduk kampung Karma dibunuh oleh lelaki yang memakai pakaian seragam tentera,” kata Lamine Kabore, lapor Agensi Anadolu.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dipindahkan ke kemudahan kesihatan tempatan.

    Susulan insiden itu, Kabore mengarahkan siasatan dijalankan untuk menahan semua yang terlibat.

    Serangan seperti itu lazim berlaku di Burkina Faso yang dibelenggu oleh keganasan sejak beberapa tahun lalu, selepas tentera merampas kuasa dalam dua rampasan kuasa pada Januari dan September 2022.

    Sejak itu, ramai orang awam dan tentera maut, menjadikan negara itu negara kedua paling terjejas di dunia, menurut Indeks Keganasan Global 2023.