Category: Luar Negara

  • Polis Narathiwat gagalkan cubaan seludup ‘ice’ lebih 900kg ke Malaysia

    Polis Narathiwat gagalkan cubaan seludup ‘ice’ lebih 900kg ke Malaysia

    POLIS Narathiwat menggagalkan cubaan menyeludup hampir satu tan metrik dadah jenis ‘ice’ atau kristal methamphetamine bernilai hampir 350 juta baht di Narathiwat, selatan Thailand.

    Ketua Polis Narathiwat, Mej Jen Anuruth Imarb berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) pada 18 Mei, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai ‘runner’ dan anggota sindiket pengedaran dadah.

    “Polis menahan sebuah pikap yang mencurigakan pada sekatan jalan raya dan menemukan dadah jenis kristal methamphetamine seberat 925 kilogram tersembunyi dalam kenderaan itu.

    “Pemandu pikap itu ditahan. Siasatan awal, lelaki itu mendapatkan stok dadah di Bangkok sebelum menghantar ke Tak Bai di Narathiwat dengan upah 400,000 baht.

    “Dadah itu dipercayai akan diseludup ke Malaysia,” katanya pada satu sidang media di Narathiwat.

    Anuruth berkata polis turut merampas tiga buah kereta, lima buah motosikal dan barangan kemas serta menyita sebuah rumah dan akaun bank milik sindiket itu.

  • Shah Rukh Khan didakwa beri ‘duit kopi’ RM13 juta gugur kes dadah anak

    Shah Rukh Khan didakwa beri ‘duit kopi’ RM13 juta gugur kes dadah anak

    NAMA aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) menjadi bualan di bibir peminat di India selepas beliau didakwa memberikan rasuah kepada pegawai Biro Kawalan Narkotik (NCB) sebagai ganjaran menggugurkan pertuduhan kes dadah melibatkan anaknya, Aryan.

    SRK dikatakan menawarkan wang berjumlah 250 juta rupee (kira-kira RM13 juta) kepada seorang pegawai bernama Sameer Wankhede.

    Lebih mengejutkan, tangkap layar perbualan Sameer di aplikasi WhatsApp dipercayai bersama SRK mula tersebar di media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

    Dalam perbualan tersebut, SRK menghantar mesej panjang lebar merayu agar nama anaknya digugurkan daripada siasatan mengambil dadah ketika di atas kapal pelayaran pada Oktober 2021.

    Sesetengah pengguna media sosial percaya bahawa dakwaan tersebut adalah benar berdasarkan gaya hidup mewah ditampilkan Sameer selain kerap bercuti di luar negara dipercayai menggunakan wang rasuah.

    Aryan, 25, ditahan bersama tujuh rakan lain termasuk dua wanita di sebuah kapal pelayaran di pantai Mumbai pada Oktober 2021 atas dakwaan penyalahgunaan dadah.

    Dia bagaimanapun dibebaskan selepas 28 hari ditahan dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti penglibatannya.

    Kertas pertuduhan yang difailkan di mahkamah oleh agensi itu menamakan 14 tertuduh dalam kes berkaitan tetapi menggugurkan enam yang lain termasuk Aryan kerana kekurangan bukti.

    Pegawai dan anggota NCB menyerbu sebuah kapal persiaran pada 2 Oktober 2021 setelah dimaklumkan bahawa terdapat dadah di dalamnya.
    Aryan antara beberapa orang yang ditangkap dalam kes itu dan menghabiskan masa selama hampir tiga minggu di dalam penjara sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

    Kes itu mendominasi tajuk utama dan perbualan di media sosial India kerana NCB mendakwa Aryan adalah penagih dadah dan juga membekalkan dadah yang diseludup, menurut Sinar Harian yang memerik laporan Agensi.

  • Belanja urusan pemakaman Ratu Elizabeth II hampir RM1 bilion

    Belanja urusan pemakaman Ratu Elizabeth II hampir RM1 bilion

    KERAJAAN United Kingdom (UK) membelanjakan hampir £162 juta (RM911 juta) bagi urusan pemakaman Ratu Elizabeth II dan acara sampingan lain sepanjang tempoh berkabung selama 10 hari, kata Kementerian Kewangan.

    Pemakaman negara pada 19 September 2022 itu berlangsung 11 hari selepas kematian baginda. Semasa tempoh berkabung nasional itu, ratusan ribu orang melawat Westminster Abbey, tempat jasad baginda ditempatkan.

    Menurut laporan portal BBC News, daripada jumlah itu, dua kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Kebudayaan, Media dan Sukan menanggung kos yang tinggi.

    Kos yang ditanggung kedua-dua kementerian itu masing-masing ialah sebanyak £74 juta (RM416 juta) dan £57 juta (RM321 juta). Kesemua kos yang ditanggung jabatan kerajaan berkaitan dengan pemakaman mendiang Elizabeth serta acara lain sebelumnya.

    Antaranya, termasuk sepanjang jasad baginda ditempatkan di St Giles Cathedral Edinburg bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

    Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, John Glen, keutamaan kerajaan pada masa itu adalah untuk memastikan acara berkenaan berjalan lancar dan dengan penuh penghormatan, selain memastikan keselamatan orang awam terjaga pada sepanjang masa.

    Dalam kenyataan menteri secara bertulis yang disampaikan kepada Parlimen, Glen berkata, Perbendaharaan UK turut menyediakan pembiayaan tambahan pada saat-saat diperlukan selain menjelaskan ‘sepenuhnya’ perbelanjaan yang dikeluarkan terlebih dulu oleh kerajaan Scotland, Wales dan Ireland Utara.

    Pendedahan kos turut mencetuskan persoalan sama Britain mampu menanggungnya dalam keadaan ekonomi sekarang yang menyaksikan inflasi tertinggi.

    Justeru, tidak kurang yang mempertikaikan perbelanjaan sebegitu besar bagi pamakaman Elizabeth, yang disusuli pula dengan pertabalan Raja Charles III awal bulan ini, ketika sebahagian besar penduduk Britain bergelut untuk meneruskan kehidupan.

    Selepas kemangkatan Elizabeth, 96, di Istana Balmoral, Scotland pada 8 September 2022, kerajaan UK mengumumkan tempoh berkabung kebangsaan selama 10 hari.

    Jasa mendiang Elizabeth bersemayam di St Giles Cathedral Edinburgh selama 24 jam, sebelum dibawa ke Westminster Abbey di London di mana beribu-ribu orang beratur berjam-jam untuk memberi penghormatan.

    Skala pemakaman negara dan tempoh berkabung disifatkan polis sebagai ‘mungkin operasi terbesar yang pernah dilakukan di UK’ pada masa itu.

    Pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia dan kerabat diraja asing menyertai keluarga diraja England itu bagi pemakaman negara di Westminster Abbey.

    Acara pemakaman diraja itu turut ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia.

    Ia ada;ah pemakaman negara pertama sejak pengebumian bekas Perdana Menteri, Sir Winston Churchill pada 1965, yang menjadi acara penghormatan terbesar sejak Perang Dunia Kedua. 

  • Sempat ucap selamat tinggal kepada isteri sebelum maut dibelit sawa 7 meter

    Sempat ucap selamat tinggal kepada isteri sebelum maut dibelit sawa 7 meter

    SEORANG warga emas sempat mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya sebelum dia ditemui maut dibelit seekor ular sawa sepanjang tujuh meter dalam kejadian dekat Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara, Indonesia, Khamis lalu.

    Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Rasmin, 63, ditemui sedang ditelan dan sudah tidak bernyawa oleh menantu dan anak perempuannya di kebun mereka.

    Ketua Polis Tinanggaea, Iptu Asiz Doali berkata, mangsa pergi ke kebun untuk melihat lembu peliharaannya dan mengucapkan selamat tinggal kepada isteri pada pukul 4.30 petang.

    Bagaimanapun, isteri mangsa yang dikenali sebagai Inah mula risau apabila suaminya tidak pulang ke rumah meskipun sudah menjelang lewat petang.

    Isteri mangsa kemudian meminta menantunya yang dikenali sebagai Suparjo dan anak mangsa untuk pergi ke kebun mencari mangsa.

    “Suparjo dan isteri kemudian pergi ke kebun dan terkejut apabila mendapati mangsa dibelit ular sawa.

    “Mereka kemudian meminta bantuan penduduk setempat untuk membantu menyelamatkan mangsa.

    “Mangsa nyaris ditelan ular sawa tersebut kerana kepala mangsa telah masuk ke dalam mulut ular tersebut,” katanya menurut laporan UtusanTV memetik Detik.com.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tinanggea, Ipda Yusuf berkata, pemeriksaan mendapati tubuh mangsa patah akibat dibelit.

    “Ular tersebut membelit seluruh badan mangsa sehingga menyebabkan tulang rusuknya patah.

    “Terdapat juga kesan gigitan di kaki dan leher mangsa. Dipercayai ular tersebut menerkam leher mangsa kerana terdapat kesan cedera parah,” katanya.

  • 21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    POLIS Kenya pada Selasa menemukan 21 lagi mayat dari kubur di bandar Malindi, yang disyaki dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pemujaan.

    Polis berkata setakat ini 133 mayat telah ditemukan sejak penemuan kubur besar itu di sebidang tanah di hutan Shakahola pada akhir April.

    Kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, lapor Xinhua.

    Pada April polis menyerbu kawasan milik paderi dikenali Paul Nthenge selepas menerima maklumat daripada orang awam.

    Setiausaha Kabinet di Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara, Kithure Kindiki berkata proses menggali kubur itu dibuat dengan berhati-hati untuk melindungi maruah dan privasi keluarga mangsa.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan 65 orang telah diselamatkan dari belukar setakat ini, termasuk dua yang telah diselamatkan sebelum ini.

    Presiden Kenya William Ruto menyifatkan insiden itu sebagai keganasan dan telah mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kejadian berkenaan.

  • Sami lari didakwa liwat pengawal keselamatan

    Sami lari didakwa liwat pengawal keselamatan

    SEORANG sami dari Persatuan Kesedaran Krishna Antarabangsa (Iskcon) dituduh meliwat dan melakukan penyeksaan seksual terhadap seorang pengawal keselamatan yang bekerja untuk organisasi itu.

    India Today melaporkan, sami itu dikenal pasti sebagai Jagadartiha Das atau Jayanta Kumar Saha yang memegang jawatan sebagai ketua penyelaras di ibu pejabat kuil Iskcon di Mayapur, Nabadwip.

    Sami itu kini melarikan diri daripada polis, sumber memberitahu India Today.

    Pengadu ialah seorang pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang dikaitkan dengan Iskcon sejak enam tahun lalu.

    Dia mendakwa dipanggil ke kamar peribadi sami yang tertuduh pada malam 16 Januari. Pengawal itu berkata, sami itu melakukan penyeksaan seksual dan merogolnya.

    Kata pengadu lagi, apabila dia membantah tindakan sami itu, tertuduh mengugutnya akan kehilangan pekerjaan jika memberitahu sesiapa mengenainya.

    Pengawal keselamatan itu berkata, “beliau memaksa saya untuk melakukan hubungan seks yang menyimpang dengannya di atas kerelaan saya.

    “Saya diserang secara fizikal oleh sami. Selepas kejadian itu, saya mengalami kemurungan mental untuk masa yang lama, saya tidak dapat berkongsi masalah ini dengan sesiapa kerana takut kehilangan pekerjaan juga.”

    Pengadu berkata, apabila dia berkongsi kejadian itu dengan beberapa rakan sekerjanya selepas beberapa hari, dia mendapati perkara yang sama berlaku dengan beberapa daripada mereka.

    Menurut pengawal itu, tertuduh sami melakukan serangan seksual terhadap empat orang lagi yang bekerja di pejabat Iskcon yang sama.

    Selepas insiden itu diketahui, pengarah bersama Mayapur Iskcon membentuk jawatankuasa siasatan dalaman.

    Pihak berkuasa mereka mengeluarkan kenyataan mengatakan sami Jagadartiha Das yang tertuduh, akan hilang kelayakan daripada memegang sebarang jawatan pengurusan di Mayapur Iskcon.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 (kurung yang salah), 377 (kesalahan luar tabii), dan 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan India, menurut aduan bertulis oleh pengawal keselamatan.

  • Polis Thailand dedah syabu, yaba banyak diseludup ke Malaysia

    Polis Thailand dedah syabu, yaba banyak diseludup ke Malaysia

    KETUA Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Anuruth Imarb mendedahkan, syabu dan yaba merupakan antara dua jenis dadah yang paling banyak diseludup masuk ke Malaysia.

    Anuruth yang memaklumkan perkara tersebut dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam berkata, semua dadah itu dipercayai dibawa masuk menggunakan pangkalan haram di sempadan Thailand-Malaysia di sepanjang Sungai Golok.

    Menurutnya, kerajaan Thailand amat bimbang dengan situasi tersebut kerana Narathiwat merupakan wilayah dan lokasi yang mudah untuk pengedaran dadah khususnya ke Malaysia kerana bersempadan dengan Kelantan.

    “Kesemua dadah berkenaan dibawa masuk dari kawasan utara Thailand iaitu di Segi Tiga Emas melalui sindiket-sindiket dadah sebelum tiba di sempadan wilayah selatan di sini,” ujarnya.

    Beliau berkata, kejayaan terbesar yang telah direkodkan pihaknya setakat ini ialah pada 2 Julai dan 10 Ogos lalu melibatkan dadah seberat 2,000 kilogram (kg) di Sungai Golok.

    Tambahnya, rampasan itu melibatkan nilai berjumlah RM20 juta.

    Anuruth memberitahu, siasatan yang dilakukan mendapati kebanyakan pengedar bermula sebagai penagih.

    “Kita juga mendapati suspek yang ditahan akan memberitahu bahawa ketua terbesar mereka berasal dari Songkhla.

    “Polis Wilayah Narathiwat sentiasa mengatur pelbagai langkah untuk mencegah, menyekat dan menyelesaikan masalah dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ibu tetak, rebus, makan kepala anak sendiri di Mesir

    Ibu tetak, rebus, makan kepala anak sendiri di Mesir

    SEORANG ibu di Mesir didakwa menetak kepala anaknya dengan parang sebelum merebus dan memakan sebahagian daripada kepala kanak-kanak itu.

    Cebis-cebisan Youseff yang berusia lima tahun dijumpai bapa saudaranya dalam sebuah baldi di kediaman mereka di Kampung Abu Shalabi. Penemuan ngeri tersebut menyebabkan Hanaa, 29 ditahan pihak polis.

    Menurut media tempatan, Hanaa mengaku kepada penyiasat bahawa dia memakan cebisan kepala anaknya kerana ingin ‘dia kekal bersamanya’,

    Dia kemudian didakwa memasukkan kepala Youseff dan bahagian badan yang lain dalam air mendidih dan memakannya.

    Selepas ditahan, Hanaa memberitahu pihak polis di Faqus dia tidak berniat untuk membunuh Youseff namun mempunyai masalah kesihatan mental.

    Bekas suami Hanaan berkata, diia tidak terkejut dengan apa dilakukan oleh Hanaa terhadap anaknya itu.

    “Sejak kebelakangan ini, dia cuba untuk menjauhkan Youseff dari saya dan menghasutnya untuk membenci saya. Saya hanya ingn tahu jika anak saya baik-baik sahaja,” kata bekas suami Hanaa yang hanya dikenali sebagai H.A.

    Menurut peguam H.A, Samir Mohamed Saleh, suspek menebalkan muka dan berkata dia mahu “membebaskan dia (Youseff) dan diri sendiri”.

    “Bapanya asyik datang untuk cuba rampas dia dari saya setiap masa,” kata Hanaa.

    Jabatan Dakwaraya Awam berkata dalam sebuag kenyataan bahawa suspek telah ditahan dan akan melalui penilaian psikiatrik.

  • Tak bayar, pelacur tikam alat sulit pelanggan

    Tak bayar, pelacur tikam alat sulit pelanggan

    MENGERIKAN apabila seorang pelacur di Malawi menikam salah seorang pelanggannya pada bahagian alat sulit kerana mendakwa mangsa berhutang 1000 kwacha (kira-kira RM250) dengannya.

    Daily Star melaporkan, jurucakap polis berkata, pekerja seks itu ditangkap dan kini berdepan tuduhan yang serius.

    Laman berita Malawi 24 berkata, kejadian mengerikan itu berlaku di Monkey Bay dekat daerah Mangochi, dan suspek dikenali sebagai Patricia Wyson.

    Dia didakwa menikam alat sulit pelanggannya dengan pisau.

    Jurucakap balai polis Monkey Bay, Sarjan Alice Sichali berkata, kejadian berlaku di Kampung Chembe di kawasan Penguasa Tradisi Nankumba, Cape Maclear, pada malam 28 April lalu.

    Polis berkata, suspek berusia 29 tahun bertemu mangsa dan kedua-duanya membuat perjanjian untuk melakukan hubungan seks dengan bayaran.

    Harga yang dipersetujui hanyalah 1,000 Kwacha.

    Selepas bersetuju, suspek menuju ke rumah pelanggan.

    “Ketika di sana, pertengkaran berlaku…. dalam proses itu suspek mengambil pisau tajam dan mencederakan alat sulit pelanggan,” kata Sersan Sichali.

    Lelaki itu dikejarkan ke pusat kesihatan Cape Maclear dan dirujuk ke hospital komuniti Monkey Bay untuk rawatan dan pemeriksaan.

    Suspek pula kemudian ditangkap dan dijangka berdepan pertuduhan termasuk berniat menyebabkan kecederaan teruk, lapor Malawi 24.

  • Suspek militan Malaysia mahu dakwaan dihenti atas alasan ‘salah laku’ AS

    Suspek militan Malaysia mahu dakwaan dihenti atas alasan ‘salah laku’ AS

    DUA rakyat Malaysia yang didakwa melakukan keganasan berkait pengeboman Bali pada 2002 memfailkan usul untuk membatalkan tuduhan itu atas alasan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyediakan jurubahasa tidak cekap dan berat sebelah.

    Brian Bouffard, peguam mewakili dua rakyat Malaysia itu berkata, anak guamnya diberikan tiga jurubahasa sama, walaupun terdapat bantahan jurubahasa itu tidak cekap dan berat sebelah.

    Bouffard mewakili Nazir Lep dan Farik Amin dari Malaysia, bersama seorang warga Indonesia, Hambali.

    “Beberapa usul lain turut difailkan berkaitan tindakan kerajaan terus melengahkan kes itu.

    “Kami sedang menunggu keputusan mengenai usul kami untuk menolak kes itu kerana salah laku kerajaan berhubung jurubahasa. Kami berharap dapat mendengar sesuatu dalam masa beberapa minggu.

    “Jika bukan kerana keputusan AS untuk menyeksa banduan dan mengklasifikasikan semua bukti menunjukkan penderaan tidak terkata yang dilakukan terhadap mereka di Guantanamo, kes-kes ini sepatutnya selesai bertahun-tahun lalu,” katanya memetik laporan FMT.

    Nazir, Farik dan Hambali yang nama sebenarnya Encep Nurjaman, berdepan lapan pertuduhan bersama, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang meragut 202 nyawa di Bali pada Oktober 2002 serta pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.

    Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke kurungan bersendirian di tapak rahsia yang dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

    Dalam perbicaraan sebelum ini, mereka membantah jurubahasa yang disediakan atas alasan seorang daripadanya adalah bekas jurubahasa dengan hak kerahsiaan peguam-klien yang menimbulkan konflik kepentingan.

    Seorang lagi bekas penterjemah sulit untuk ketiga-tiganya, dan yang ketiga menyatakan dia mahu ketiga-tiga tertuduh dibunuh dalam tahanan kerana kerajaan membuang masa serta wang dengan membicarakan mereka.

    Dalam perbicaraan yang bermula Isnin lalu dan ditangguhkan pada Rabu di Mahkamah Tentera AS di Guantanamo, Brian berkata, pihak pembelaan menghabiskan kebanyakan masa menjelaskan bagaimana kelewatan tidak perlu itu merugikan anak guam dan ahli keluarga mereka.

    “Beberapa ahli keluarga mangsa pengeboman Bali hadir untuk memerhati dan mereka turut kecewa dengan kelewatan tidak berkesudahan itu. Nampaknya, kerajaan AS satu-satunya pihak yang mahu mengheret dan menangguhkan penyelesaian kes ini.

    “Bagi perbicaraan seterusnya, kami meminta tarikh pada Disember, tetapi kerajaan mahu ia diadakan pada 2025. Kami sedang menunggu keputusan mengenai perkara ini juga,” katanya.

    Ahli keluarga empat mangsa terbang dari United Kingdom untuk menghadiri perbicaraan itu buat kali pertama.

    Menurut penyiar Australia 7 News, seorang saudaranya kecewa selepas Hambali, yang dilaporkan dalang pengeboman itu, dilihat ketawa terbahak-bahak di mahkamah sambil berbual dengan tertuduh lain.