Category: Luar Negara

  • 10 termasuk tujuh murid maut nahas treler, tiga lagi kenderaan

    10 termasuk tujuh murid maut nahas treler, tiga lagi kenderaan

    SERAMAI 10 orang maut termasuk tujuh murid dalam satu nahas jalan raya melibatkan sebuah treler, trak pikap dan dua motosikal, berhampiran kawasan sekolah di Bekasi, Jawa Barat pada Rabu.

    Ketua Pesuruhjaya Trafik Polis Metro Jaya, Latief Usman berkata kejadian pada 11 pagi waktu tempatan itu dipercayai berpunca daripada treler berkenaan yang mengalami masalah brek sebelum merempuh perhentian bas.

    Rempuhan itu turut menyebabkan tiang telekomunikasi tumbang dan menghempap trak pikap. 

    Latief berharap jumlah mangsa yang maut tidak bertambah, menurut laporan media.

    Treler berkenaan turut merempuh ibu bapa dan murid Sekolah Rendah Kota Bekasi yang baru menamatkan sesi persekolahan.  

    Beliau berkata polis akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas. – BERNAMA

  • Bekas imam Masjidilharam dipenjara 10 tahun kritik acara hiburan

    Bekas imam Masjidilharam dipenjara 10 tahun kritik acara hiburan

    MAHKAMAH Rayuan Arab Saudi telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka , Sheikh Saleh Al Talib.

    Memetik laporan Astro Awani, pihak berkuasa Saudi menahan Sheikh Saleh pada Ogos 2018, selepas didakwa menyampaikan khutbah yang mengkritik badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di negara itu.

    Beliau dipercayai mengecam konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada norma agama dan budaya mereka dalam khutbahnya.

    “Mahkamah Rayuan Jenayah Khusus di Riyadh, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Imam Masjidil Haram, Syeikh Saleh Al Talib, sekaligus membatalkan keputusan pembebasan terhadapnya,” kata Pertubuhan untuk Demokrasi di Dunia Arab (Dawn) melalui Twitter, pada Isnin.

    Penahanan Sheikh Saleh dilakukan ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman meneruskan usaha mereformasi masyarakat dengan menahan ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda pembaharuan.

    Sheikh Saleh mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia, dengan ribuan menonton khutbah dan bacaan al-Qurannya di YouTube.

  • Peletakan jawatan Sadr cetus keganasan berdarah, 20 maut

    Peletakan jawatan Sadr cetus keganasan berdarah, 20 maut

    PERTEMPURAN hebat tercetus di Baghdad mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang selepas ulama berpengaruh Syiah, Moqtada al-Sadr, mengumumkan akan berhenti dari politik, mendorong penyokong setia beliau menyerbu istana kerajaan.

    Agensi berita Reuters melaporkan, menjelang malam, bunyi tembakan mesingan dan letupan kedengaran di kawasan Zon Hijau yang menempatkan ibu pejabat kerajaan dan kedutaan asing.

    Pegawai keselamatan berkata, beberapa pertempuran tercetus antara pejuang Briged Keamanan Sadr dan anggota pasukan keselamatan Iraq yang ditugaskan untuk melindungi Zon Hijau, selain anggota bersekutu dengan Iran mungkin juga terbabit.

    Reuters tidak dapat mengesahkan pihak yang menembak dan sasarannya daam kejadian malam tadi.

    Pertempuran tercetus antara lelaki muda yang setia kepada Sadr dan penyokong tentera pro-Iran, yang membaling batu antara satu sama lain berhampiran Zon Hijau, sebelum pertempuran bersenjata pada sebelah malamnya.

    Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan ramai lagi cedera, menurut polis dan pasukan perubatan.

    Tentera Iraq mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dan menggesa penunjuk perasaan meninggalkan Zon Hijau.

    Pertempuran itu menyusul berikutan pengumuman Sadr bahawa beliau akan menarik diri daripada semua kegiatan politik, keputusan didakwanya sebagai reaksi kepada kegagalan pemimpin dan parti Syiah lain untuk melakukan reformasi sistem pemerintahan yang diancam rasuah dan lemah.

    Sadr kemudian memaklumkan akan mengadakan mogok lapar sebagai protes terhadap penggunaan senjata oleh semua pihak.

    Kebuntuan politik antara Sadr dan kumpulan Syiah lawan yang kebanyakannya disokong Iran sudah menyebabkan Iraq kembali berdepan keganasan baru ketika negara itu sedang bergelut untuk pulih daripada peperangan sejak berdekad, sekatan, persengketaan awam serta rasuah.

    Kemenangan pergerakan Sadr dalam pilihan raya pada Oktober, dilihat percubaannya untuk membentuk kerajaan bebas daripada kumpulan disokong Iran, namun akhirnya menarik diri daripada parlimen, sehingga mencetuskan keganasan baru semalam.

  • Aktres Korea, Yoo Joo-eun meninggal dunia

    Aktres Korea, Yoo Joo-eun meninggal dunia

    AKTRES Korea Selatan yang popular dengan drama siri Joseon Survival Period, Yoo Joo-eun meninggal dunia hari ini dipercayai membunuh diri.

    Rappler.com melaporkan, kematian mendiang yang baru berusia 27 tahun disahkan abang pelakon itu melalui hantaran di Instagram (IG).

    “Pada 29 Ogos 2022, Joo-eun meninggalkan dunia ini untuk ke tempat yang lebih baik. Bagi mereka yang berkelapangan, doakan dia dalam perjalanannya.

    “Atas permintaan terakhir Joo-eun saya berkongsikan hantaran ini,” tulis abangnya sebagaimana lapor portal Soompi.

    Soompi turut berkongsi nota mendiang yang antaranya menyatakan hidup tanpanya mungkin kosong namun tolong hidup dengan berani

    Melalui nota itu, antara lain, Joo Eun meluahkan rasa cinta terhadap bidang lakonan. Namun, mendiang mengaku tidak lagi berupaya melakukannya apabila hanya memberi fokus kepada kerjaya.

    Sementara itu, upacara pengebumian mendiang dilapor akan dianjurkan, Rabu ini.

    Joo Eun memulakan kerjaya seni pada 2018 menerusi drama Big Forest. Mendiang mula dikenali selepas berlakon dalam Joseon Survival Period.

  • Kapal perang terbesar UK rosak dalam perjalanan ke AS

    Kapal perang terbesar UK rosak dalam perjalanan ke AS

    KAPAL perang terbesar UK rosak di luar pantai selatan England lewat Ahad baru selepas memulakan pelayaran ke Amerika Syarikat (AS).

    Menurut Agensi Anadolu, HMS Prince of Wales, satu daripada dua kapal induk Tentera Laut Diraja, kekal berlabuh di Isle of Wight dengan siasatan mengenai kerosakannya dijalankan.

    “Kapal HMS Prince of Wales berlabuh di Kawasan Latihan Pantai Selatan ketika siasatan terhadap isu mekanikal yang muncul dijalankan,” lapor Anadolu memetik kenyataan Tentera Laut Diraja.

    Jurnal Pertahanan UK, sebuah portal berita pertahanan, melaporkan bahawa aci kipas kanan kapal perang itu juga turut mengalami kerosakan.

     Kapal perang itu dijadualkan belayar ke AS, Kanada dan Caribbean, dan akan mengendalikan jet pejuang F-35 generasi kelima serta dron.

    HMS Prince of Wales, yang mengetuai tugas kumpulan pengangkut, dikerahkan bersama kapal frigat, kapal tangki serta kumpulan helikopter dan dron. 

    Jet pejuang F-35 dijangka menyertai kapal itu apabila ia tiba di AS, tambahnya.

    Sebelum memulakan pelayaran dan mengalami kerosakan, Pegawai Pemerintah Kapten Richard Hewitt dalam satu kenyataan berkata “HMS Prince of Wales yang akan berada di Atlantik untuk sepanjang tahun ini bukan saya akan memperluaskan had operasi kapal perang UK ini, selain ia juga akan mengukuhkan lagi hubungan rapat dengan sekutu terdekat kami.”

    Menurut beliau, kejayaan mengendalikan F35 Lightnings dan dron serta tuan rumah Forum Masa Depan Atlantik di atas kapal berkenaan adalah hasil dedikasi petugas di atas kapal yang kebanyakannya adalah penempatan pertama mereka dengan Tentera Laut Diraja,” tambah Hewitt.

    HMS Prince of Wales, seberat 65,000 tan metrik dan menelan belanja £3 bilion (US$3.5 bilion) untuk dibina, telah dirasmikan pada 2021 di bandar Portsmouth.- BERNAMA 

  • Banjir: Satu perempat Pakistan ditenggelami air, lebih seribu orang maut

    Banjir: Satu perempat Pakistan ditenggelami air, lebih seribu orang maut

    BANJIR besar di Pakistan menenggelamkan satu perempat atau 25 peratus wilayah di negara Asia Selatan itu, kata Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman.

    “Ketika hujan reda, kami akan melihat satu perempat wilayah Pakistan ditenggelami air,” kata Sherry yang dipetik Al Jazeera, semalam.

    Menurutnya, banjir besar itu merupakan krisis global akibat perubahan iklim dan yang terburuk dalam satu dekad.

    Bencana semasa musim monsun itu menurutnya memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat dengan helikopter digunakan membantu memindahkan penduduk terjejas.

    Dalam laporan berasingan The Express Tibune, Sherry memberi amaran jumlah penduduk terjejas banjir dijangka meningkat sehingga 33 juta orang.

    Buat masa ini katanya, sebanyak 1,033 orang meninggal dunia manakala lebih 1,500 penduduk cedera.

    “Paras Sungai Kabul masih ditahap bahaya memaksa pihak berkuasa melarang penduduk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

    Menurut Sherry, hujan tuurt menjejaskan sistem komunikasi penting yang kini sedang dibangunkan semula agensi berkaitan.

    Katanya, daerah Kalam menerima taburan hujan tertinggi dengan 41.5 mm dengan lebih banyak hujan dijangka berlaku di wilayah utara Azad Jammu Kashmir, Khyber-Pakhtunkhwa dan Balochistan.

  • Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    TINDAKAN lima pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah di Aceh, Indonesia mandi sungai semasa hujan lebat mengundang padah apabila mereka dihanyutkan arus deras sungai Sabtu lalu.

    Lapor CNN Indonesia, akibat kejadian itu, empat pelajar termasuk seorang dari Malaysia ditemukan meninggal dunia manakala seorang lagi diselamatkan penduduk setempat.

    Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Darazatul Aulia (17), M. Reza Asri (18), Ahmadal Hadi (17) dan Fakhrul Razi (20) dari Malaysia.

    Sementara seorang mangsa selamat bernama Saiful Amani (23).

    Ketua agensi Basarnas Banda Aceh, Ibnu Harris Hussain berkata, tragedi itu menimpa mangsa yang berenang di Sungai Brayeun semasa hujan lebat dan secara tiba-tiba datang kepala air datang menghanyutkan mereka.

    “Seorang pelajar berjaya diselamatkan penduduk setempat manakala empat lagi pelajar dihanyutkan dan ditemukan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Mengulas lanjut Ibnu Harris berkata, mayat terakhir mangsa ditemukan ialah Fakhrul Razi yang dijumpai di Pantai Lampuuk di Aceh Besar.

    “Fakhrul Razi ditemukan nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

    Tambahnya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.

    “Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI

  • Ulama terkemuka India, Jalaluddin meninggal dunia

    Ulama terkemuka India, Jalaluddin meninggal dunia

    -ULAMA Islam India terkemuka Maulana Jalaluddin Umri meninggal dunia pada usia 88 tahun di New Delhi pada petang Jumaat.

    Beliau adalah bekas ketua Jamaat-e-Islami Hind, sebuah organisasi sosio-agama, dan Naib Presiden Lembaga Undang-undang Peribadi Muslim Seluruh India (AIMPLB), sebuah perhimpunan intelektual dan organisasi.

    Sepanjang hayatnya, Allahyarham merupakan seorang pemidato terkenal dan pengarang dua puluh  buah buku. Tulisan Jalaluddin dianggap berpengaruh besar dalam pelbagai subjek.

    AIMPLB mengenang beliau sebagai “seorang pemikir yang cemerlang dan cendekiawan Islam yang berwawasan.”

    Presiden Jamiat Ulama-i-Hind Maulana Mahmood Asad Madani mengingati beliau sebagai seorang yang berkhidmat sebagai suara kaum India Muslim manakala ulama Zafarul Islam Khan menggelarnya sebagai “tonggak masyarakat”.

    Jalaluddin dilahirkan pada 1935 di sebuah kampung bernama Puttagram di daerah Arkot Utara negeri Tamil Nadu.

    Beliau meninggal akibat radang paru-paru ketika dalam rawatan di hospital. – BERNAMA

  • 2 jemaah umrah maut, 18 cedera bas bertembung lori

    2 jemaah umrah maut, 18 cedera bas bertembung lori

    SEKURANG-kurangnya dua jemaah umrah Oman maut, manakala 18 lagi cedera dalam kemalangan sebuah bas berhampiran Taif di Arab Saudi ketika dalam perjalanan ke Mekah.

    Saudi Gazette melaporkan, bas membawa jemaah umrah itu bertembung dengan sebuah lori di Lebuhraya Riyadh-Taif pada petang Rabu.

    Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi di Mekah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kemalangan di lebuh raya Riyadh-Taif selepas Jambatan Nasayef menghala ke Taif.

    Bertindak atas laporan itu katanya, 11 anggota pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian dengan ambulans dan menjalankan misi menyelamat.

    “Dua jemaah meninggal dunia di tempat kejadian manakala jemaah yang cedera dibawa ke hospital,” katanya.

    Dalam pada itu, kedutaan Kesultanan Oman di Riyadh mengesahkan penyelarasan sedang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Oman di Jeddah dan pihak berkuasa Saudi yang berkaitan untuk segera menyelesaikan prosedur penghantaran pulang jenazah ke negara itu.

    Pada masa sama, pihak kedutaan akan memastikan rawatan dan perubatan terbaik untuk mangsa cedera.

    Pihak Kedutaan Oman dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga jemaah yang meninggal dunia dan berharap mangsa yang cedera segera pulih.

  • PM Thailand teruskan tugas Menteri Pertahanan

    PM Thailand teruskan tugas Menteri Pertahanan

    PEMIMPIN Thailand, Prayuth Chan-ocha akan meneruskan tugas sebagai Menteri Pertahanan berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menggantung tugasnya sebagai Perdana Menteri Rabu lalu.

    Ia merupakan kenyataan pertamanya kepada orang ramai menerusi hantaran dimuat naik di media sosial, sejak mahkamah memutuskan untuk menyemak had penggal pentadbirannya.

    Agensi berita Reuters melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan kini memangku jawatan Perdana Menteri Thailand, negara ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara.

    “Saya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Pertahanan untuk rakyat dan Thailand setiap hari,” ciapnya di Twitter rasminya malam tadi.

    Mahkamah Perlembagaan pada Rabu memutuskan untuk mendengar petisyen dikemukakan parti pembangkang yang berhujah bahawa tempoh pentadbiran Prayuth sebagai ketua junta tentera selepas mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2014, harus dikira dalam tempoh keseluruhannya memegang jawatan.

    Perlembagaan menetapkan had penggal lapan tahun untuk perdana menteri.

    Bagaimanapun, masih tidak jelas bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan itu.

    Kontroversi mengenai had penggal Prayuth adalah episod terbaharu dalam hampir dua dekad pergolakan politik yang berselang-seli, termasuk dua rampasan kuasa dan protes ganas, berpunca daripada penentangan terhadap pembabitan tentera dalam politik dan tuntutan untuk perwakilan yang lebih besar apabila kesedaran politik berkembang.

    Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata pada Jumaat Kabinet terus berfungsi seperti biasa.