Category: Luar Negara

  • Gempa 7.6 magnitud, amaran tsunami sepanjang pantai Papua New Guinea, Indonesia

    Gempa 7.6 magnitud, amaran tsunami sepanjang pantai Papua New Guinea, Indonesia

    GEMPA bumi berukuran 7.6 pada skala Richter menggegarkan Papua New Guinea pada Sabtu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Gempa bumi berlaku pada kedalaman 61.4 kilometer (km) dan 67 km dari timur Kainantu, sebuah bandar di timur Papua New Guinea.

    Sistem amaran tsunami Amerika Syarikat mengeluarkan amaran ancaman berikutan gempa bumi itu, lapor Sputnik.

    “Gelombang tsunami berkemungkinan melanda sekitar 1,000 km dari pusat gempa di sepanjang pantai Papua New Guinea dan Indonesia,” menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS.

    Dua gempa bumi lemah berlaku di barat daya bandar Pariaman, Indonesia dipercayai mencetuskan gempa bumi kuat itu.

    Tiada kerosakan dilaporkan setakat ini.- BERNAMA

  • 11 termasuk dua beradik maut disambar petir

    11 termasuk dua beradik maut disambar petir

    SEKURANG-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera disambar petir di Bangladesh sejak dua hari lepas, menurut laporan pada Jumaat.

    Kejadian terbaharu dilaporkan di daerah barat daya Khulna yang meragut nyawa dua beradik manakala sembilan lagi kematian dilaporkan pada Khamis di daerah utara Sirajganj.

    Kekerapan kematian akibat disambar petir telah mencetuskan kebimbangan.

    “Kami bimbang nak keluar rumah kalau hujan atau cuaca ribut sebab takut petir,” kata Md Rashedul Islam, penduduk kawasan Mirpur, di Dhaka kepada Agensi Anadolu.

    Beliau berkata penduduk akan naik ke bumbung ketika hujan untuk mandi dan bermain hujan, tetapi sekarang aktiviti itu jarang dilihat.

    Menurut rekod Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan, lebih 3,000 terbunuh akibat disambar petir di Bangladesh sejak 2011. Sekurang-kurangnya 362 orang terbunuh pada 2021, pada Jun sahaja 31 mangsa maut. 

    Data menunjukkan hampir 70 peratus kematian direkodkan di negara yang terjejas akibat perubahan iklim antara April dan Jun.

    Pencinta alam sekitar berkata penanaman pokok secara besar-besaran di negara itu sangat berkesan membantu melindungi warga Bangladesh daripada panahan petir di samping langkah pencegahan lain.

  • Sultan Brunei kini jadi pemerintah paling lama di dunia

    Sultan Brunei kini jadi pemerintah paling lama di dunia

    PEMENRINTAH Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menjadi raja paling lama berkhidmat di dunia selepas kemangkatan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II, kelmarin.

    Sultan Hassanal Bolkiah yang menaiki takhta pada tahun 1967 telah memerintah selama 54 tahun dan 339 hari sehingga semalam iaitu lebih empat tahun lebih lama daripada Ratu Margrethe II dari Denmark.

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, ratu itu kini menduduki tempat kedua sebagai pemerintah diraja masih hidup yang paling lama memerintah.

    Sebelum ini, Ratu Elizabeth II menjadi Ketua Negara yang paling lama berkhidmat di dunia dan majlis meraikannya diadakan baru-baru ini sempena ulang tahun ke-70 pertabalannya pada awal tahun ini.

    Baginda menaiki takhta ketika berusia hanya 25 tahun pada tahun 1952 selepas Perang Dunia II.

    Sultan Hassanal Bolkiah yang berusia 76 tahun juga menjadi Perdana Menteri Brunei sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom pada tahun 1984.

  • Kemangkatan Ratu Elizabeth II: Operasi London Bridge bermula

    Kemangkatan Ratu Elizabeth II: Operasi London Bridge bermula

    OPERASI London Bridge ialah nama kod untuk perancangan yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

    Ratu Elizabeth telah menduduki takhta diraja sejak tahun 1952, tempoh paling panjang pernah direkodkan dalam mana-mana sistem monarki British. Sepanjang tempoh itu, baginda telah melangkaui belasan Perdana Menteri, hampir 20 acara Olimpik dan hampir 10 Pope.

    Ratu Elizabeth juga menjadi ‘batu asas’ Komanwel , pengasas hampir 600 organisasi dan badan kebajikan, serta memainkan peranan penting dalam pakatan United Kingdom (UK) dengan banyak negara. Pemergian Ratu Elizabeth akan membawa banyak perubahan, bukan sahaja kepada UK, tetapi juga kepada dunia.

    Pada hari kemangkatan Ratu Elizabeth, Setiausaha Sulitnya, Edward Young dengan segera akan memberikan mesej berkenaan kepada Perdana Menteri. Mesej itu akan tertera “London Bridge is down”.

    Perdana Menteri kemudian akan mengatur rancangan Operasi London Bridge. Dalam masa beberapa minit sahaja, 15 kerajaan di luar UK dengan Ratu Elizabeth sebagai ketua negeri akan dimaklumkan dengan penuh teliti.

    Ia kemudian diikuti dengan makluman kepada 36 negara dan pemimpin Komanwel lain seluruh dunia. Pintu Pagar utama Istana Buckingham akan dipaparkan notis kemangkatan Ratu dengan logo berwarna hitam.

    Dalam masa sama, berita kemangkatan itu akan disebarkan kepada pihak media untuk dilaporkan kepada negara seluruh dunia. Setiap media akan bersedia dengan berita itu dan setiap stesen radio mempunyai rangkaian untuk menyebar pemberitahuan mengenai tragedi negara iaitu kemangkatan Ratu Elizabeth.

    Semua berita lain di BBC akan dihentikan sementara, untuk memberi laluan kepada berita kemangkatan Ratu. Pembaca berita akan menukar pakaian mereka kepada sut hitam dan warna tema BBC News yang asalnya merah akan bertukar kepada warna hitam. Surat khabar, saluran televisyen dan stesen radio akan bersedia untuk membuat liputan selama tempoh bermulanya kemangkatan.

    Pada hari kemangkatan, Putera sulung Ratu, Putera Charles akan segera diangkat sebagai Raja. Ketika itu juga, premis perniagaan dan urus niaga saham akan ditutup bagi memberi penghormatan.

    Putera Charles bakal dinobatkan sebagai Raja Charles III.

    Putera Charles akan memberikan ucapan rasmi pertamanya sebagai Raja dan ketua Kerajaan serta akan mengangkat sumpah setia dengan 41 das tembakan hormat di Hyde Park, London.

    Selepas itu, Raja Charles akan mengatur jelajah UK, melawat pemimpin kerajaan di ibu kota setiap negeri, Edinburgh, Belfast dan Cardiff sebelum kembali ke London.

    Dalam tempoh ini, stesen televisyen akan memainkan banyak dokumentari yang tersedia sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth. BBC pula tidak akan memainkan rancangan berbentuk hiburan seperti program komedi sehingga pengebumian baginda.

    Empat hari selepas kemangkatan, keranda Ratu akan diletakkan di pedati tentera diraja dan diarak dari Istana Buckingham ke Westminster Hall, lokasi di mana baginda akan diletakkan selama empat hari selepas Raja Charles dan keluarga diraja memberikan penghormatan terakhir. Kemudian, pintu dibuka kepada ratusan ribu orang untuk memberikan penghormatan sama.

    Upacara pengebumian akan mengambil masa selama 10 hingga 12 hari selepas Ratu Elizabeth mangkat. Hari pengebumian juga akan menjadi cuti rasmi bank di seluruh UK. Bursa Saham akan ditutup untuk kali kedua dalam tempoh dua minggu dan kebanyakan perniagaan akan turut mengikutinya.

    Tepat jam 11 pagi, menara jam Big Ben akan membunyikan locengnya dan seluruh negara akan mula berdiam. Keranda Ratu akan dibawa keluar ke dalam Webminster Abbey, di mana kira-kira 2,000 tetamu terhormat memberikan penghormatan dan berdoa.

    Keranda itu akan dibawa ke Windsor Castle dan akhir sekali ke St. George’s Chapel di mana Ratu Elizabeth akan disemadikan di sebelah mendiang ayahandanya, Raja George VI.

    Dalam masa setahun selepas pengebumian, upacara pertabalan rasmi Raja Charles akan berlangsung pada hari cuti bank UK.

    Secara keseluruhannya, dengan mengambil kira pelbagai cuti bank, perbelanjaan pengebumian, dan keraian pertabalan, kemangkatan Ratu Elizabeth menelan kos sebanyak berbilion pound.

    Malah, banyak perubahan akan berlaku. Antaranya, mata wang British yang baharu akan dicetak dengan gambar Raja Charles dan mata wang dengan gambar Ratu Elizabeth akan beransur-ansur dikeluarkan daripada penggunaan. Perkara sama juga akan berlaku kepada percetakan setem, pasport, dan uniform polis serta tentera. Lagu kebangsaan akan ditukar kepada “God Save The King”.

  • Ratu Elizabeth mangkat pada usia 96 tahun

    Ratu Elizabeth mangkat pada usia 96 tahun

    RATU Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun.

    Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.

    “Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta.

    Putera tertua dalam kalangan empat anak baginda, Putera Charles, 73, secara langsung menaiki takhta sebagai Raja, sekali gus melakar sejarah sebagai pewaris takhta tertua dalam sejarah Britain.

    Terdahulu, anggota kerabat diraja bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang keadaan kesihatan ratu berusia 96 tahun yang dinasihatkan kekal di bawah pemantauan perubatan, lapor media.

    Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.

    Kenyataan itu turut menjelaskan Putera Charles selaku putera sulung baginda dan pewaris takhta, dan isteri, Camilla berangkat ke Istana Balmoral, istana yang dihuni bersama putera sulungnya, Putera Wiliam.

    Kemangkatan baginda diumum sejurus selepas pihak istana semalam mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya.

    Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland.

    Menyertai mereka ialah anak Charles, Putera Prince William, dan adiknya Putera Harry.

    Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss, sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.

    Ratu Elizabeth bersama Putera Charles

    Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.

    Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952.

    Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.

    Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.

    Namun, sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

    Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.

    Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.

    Lagu kebangsaan ‘God Save the Queen’ dimainkan berulang kali, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai ‘Monarki Global Terakhir’.

    Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.

    Upacara Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama yang pada tarikh yang belum lagi ditetapkan.

    Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.

    Warga Britain mula dikejutkan dengan hakikat bahawa era pemerintahan baginda mungkin sudah mencapai penghujungnya pada April 2021 berikutan kemangkatan suaminya selama 73 tahun, Putera Philip, yang juga Duke of Edinburgh.

    Bagaimanapun, kemangkatan Philip tidak menjejaskan peranan baginda untuk menunaikan tanggungjawab awamnya, walaupun semakin terbatas akibat usia dan masalah kesihatan.

    Pada salah satu penampilan awamnya yang terakhir iaitu Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baginda bertitah: “Tiada siapa antara kita akan hidup selama-lamanya”.

    Justeru, baginda menggesa pemimpin dunia meninggalkan legasi yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda.

  • Pesawat ringan Tentera Laut Indonesia terhempas, dua maut

    Pesawat ringan Tentera Laut Indonesia terhempas, dua maut

    JURUTERBANG dan pembantu juruterbang pesawat ringan milik Tentera Laut Indonesia disahkan terbunuh selepas pesawat itu terhempas di perairan wilayah Jawa Timur pada Rabu, kata Ketua Staf Angkatan Laut Indonesia Laksamana Yudo Margono ini, lapor Xinhua.

    “Kedua-dua mereka (juruterbang dan pembantu juruterbang) disahkan maut,” kata laksamana itu pada sidang akhbar.

    Pesawat G-36 Bonanza T-2503, dilaporkan terhempas di Selat Madura semasa menjalankan latihan pertahanan. Bangkai pesawat ditemui tenggelam kira-kira 15 meter dari permukaan air.

    Margono berkata mayat mangsa masih di dalam pesawat ketika bangkai pesawat itu dijumpai.

    “Kedua-dua mereka masih duduk di kerusi masing-masing di dalam pesawat. Bangkai pesawat dikeluarkan dari lautan pagi ini (Khamis),” kata Margono.

    Pesawat itu terputus hubungan selepas  10 minit berlepas ketika  menjalani latihan latihan anti-serangan udara atau air defence exercise (Adex).

  • Kesilapan bank, lelaki terkejut dalam akaun ada RM222.7 bilion

    Kesilapan bank, lelaki terkejut dalam akaun ada RM222.7 bilion

    SEORANG lelaki di Louisiana terkejut selepas £43 bilion (RM222.7 billion) dimasukkan ke dalam akaun banknya secara tidak sengaja.

    Darren James berkata dia terpegun selepas isteri menghubunginya bahawa terdapat £43.4 bilion yang disalurkan secara tiba-tiba.

    Kesilapan yang aneh daripada pihak bank tersebut memberikan kekayaan sementara kepada James dan menjadikannya manusia ke-25 terkaya di dunia ketika itu.

    “Ia pelik kerana saya tak pernah melihat duit sebanyak itu dalam hidup saya.  Kami mula berfikir siapa yang akan datang mengetuk pintu rumah kami kerana kami tidak mempunyai kenalan sekaya itu ,” kata James kepada Channel FOX 9.

    Darren James

    Bagaimanapun James memahami bahawa wang itu bukan miliknya dan sebagai bekas penguatkuasa undang-undang dia memahami, kalau dia terus menyimpannya ia boleh dianggap mencuri.

    “Kami tahu duit itu bukan milik kami jadi kami tidak boleh buat apa-apa dengannya,” kata James yang merupakan ejen hartanah.

    James kemudiannya menghubungi Bank Chase bagi melaporkan apa yang berlaku.

    Bank itu tidak mendedahkan dari mana sumber wang berkenaan dan tidak menyatakan bagaimana kesilapan itu terjadi.

    James berkata jika dia diberikan rezeki untuk menerima wang sejumlah itu, dia akan cuba untuk membantu orang lain.

    “Saya akan gunakan untuk membantu orang lain – bagi orang harapan bahawa masih terdapat kebaikan di dunia ini. Itu impian saya,”

  • Ibu nekad lawan harimau demi selamatkan bayinya

    Ibu nekad lawan harimau demi selamatkan bayinya

    SEORANG wanita di India nekad melawan seekor harimau tanpa menggunakan sebarang senjata demi untuk menyelamatkan anaknya daripada dibaham haiwan tersebut.

    Archana Choudhary bersama bayi lelakinya berusia 15 bulan keluar dari rumah mereka di Madhya Pradesh sebelum mamalia sesat itu menerkam mereka ketika insiden pada Ahad lalu.

    Pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava berkata, berlaku pergelutan antara harimau itu dan wanita berkenaan setelah cuba membaham anaknya.

    “Haiwan itu juga cuba untuk melarikan bayi tersebut, namun jeritan ibunya telah didengari penduduk kampung yang kemudiannya bertindak membantu mereka,” ujarnya menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.

    Harimau itu akhirnya menyelinap ke dalam hutan berhampiran.

    Difahamkan, Choudhary yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital dan keadaan wanita itu bersama bayi lelakinya dilaporkan semakin baik.

    Sementara itu, The Times of India melaporkan operasi menjejaki haiwan itu telah dilancarkan malah penduduk kampung sekitar turut dinasihatkan supaya tidak keluar rumah pada waktu malam sebagai langkah berjaga-jaga.

    Konflik manusia-haiwan dikatakan semakin meningkat di seluruh Asia Selatan akibat aktiviti penebangan hutan secara berleluasa untuk projek pembangunan bandar.

    Data kerajaan menunjukkan hampir 225 terkorban di New Delhi akibat diserang harimau antara 2014 dan 2019.

  • Kanak-kanak 3 tahun tertembak bayi 5 bulan

    Kanak-kanak 3 tahun tertembak bayi 5 bulan

    SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun di Amerika Syarikat secara tidak sengaja tertembak seorang bayi berusia lima bulan di sebuah rumah di Florida.

    Penjaga kanak-kanak dan bayi itu didakwa atas kesalahan cuai, menurut polis, lapor Xinhua.

    Penguatkuasa undang-undang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada Sabtu.

    Paula Concepcion Santos, 25, ditahan polis dan didakwa atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak, dan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Tampa.

    Menurut laporan, keadaan bayi itu tidak mengancam nyawa, dan telah menerima rawatan sewajarnya.

    Setakat Selasa, Santos masih berada dipenjara dengan bon US$15,000.

    “Walaupun kami bersyukur bayi itu tidak mengalami kecederaan parah, kejadian ini harus menjadi peringatan kepada setiap ibu bapa atau penjaga untuk memeriksa dan menjaga senjata mereka dengan betul.

    “Kanak-kanak sepatutnya tidak boleh mengakses senjata api, lebih-lebih lagi, senjata api harus sentiasa disimpan dalam peti besi berkunci dengan peluru disimpan secara berasingan,” kata Ketua Polis Tampa, Mary O’Connor.

  • Pelarian Rohingya terselamat selepas 4 hari terapung di laut

    Pelarian Rohingya terselamat selepas 4 hari terapung di laut

    PIHAK berkuasa Thailand menyelamatkan 51 pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak di wilayah Satun semalam.

    Nelayan tempatan menyelamatkan 10 pelarian Rohingya yang dijumpai terapung di laut di daerah La-ngu Satun, manakala 41 lagi ditemukan di sebuah pulau di daerah Thung Wa.

    Polis sedang menyiasat sama ada kedua-dua kumpulan itu datang dari bot yang sama dan menjadi mangsa pemerdagangan orang. 

    Penguasa polis daerah La-ngu, Kol Pol Sitthipong Husrangsi berkata nelayan tempatan menemui 10 lelaki yang keletihan berpaut pada gabus polisterin.

    “Mereka telah ditempatkan di pusat perlindungan, sementara menunggu siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita.

    Pentadbiran Wilayah Satun memaklumkan selepas disoal siasat, 10 lelaki yang berasal dari Rakhine itu, telah melarikan diri dari pusat perlindungan di Bangladesh.

    “Menurut lelaki itu bot yang mereka naiki terlebih muatan dan dalam perjalanan menuju ke Indonesia telah dilanda ribut sehingga memaksa mereka meninggalkan kapal itu. 

    “Mereka berada di laut selama empat hari sebelum diselamatkan nelayan tempatan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, pihak berkuasa meneruskan pencarian selepas menerima maklumat lebih ramai warga Rohingya telah mendarat di pantai berhampiran.

    “Mereka menjumpai 41 lagi pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak lelaki di sebuah pulau di luar pantai daerah Thung Wa. 

    “Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan lapar dan dehidrasi,” menurut kenyataan itu.