Category: Luar Negara

  • Gagal jawab kerja sekolah, bapa tak sengaja bakar anak hidup-hidup

    Gagal jawab kerja sekolah, bapa tak sengaja bakar anak hidup-hidup

    SEORANG bapa di Pakistan membakar anaknya hidup-hidup selepas kanak-kanak itu tidak menyiapkan kerja sekolahnya pada 14 September lalu.

    Kejadian kejam tersebut berlaku di pangsapuri keluarga itu apabila  Nazir Khan geram selepas anaknya yang berumur 12 tahun tidak menyiapkan tugasan sekolah.

    Nazir menyimbah minyak tanah ke atas Shaheer dan membakar mancis dengan niat untuk menakutkan anaknya supaya dapat menyiapkan tugasan sekolah lebih cepat namun, secara tidak sengaja api menyambar tubuh kanak-kanak itu,

    Ibunya, Shazia yang berada di dapur mendengar jeritan anaknya dan melihat suaminya dalam keadaan panik.

    Mereka cuba untuk menyelamatkan Shaheer dengan mencampak kain dan baju untuk memadam kebakaran itu.

    Shaheer cedera parah dengan kesan melecur yang teruk dan dihantar ke hospital berdekatan tetapi meninggal dunia dua hari kemudian.

    Nazir Khan

    Menurut pegawai polis tempatan, Salim Khan, Nazir naik darah selepas anaknya ingin bermain layang-layang daripada menyiapkan kerja sekolah.

    Bapanya bertindak dengan tegas dan memaksa anaknya membuat tugasan tersebut namun ketika ditanya tentang soalan dalam tugasannya, Shaheer memberikan jawapan yang ‘tidak memuaskan’.

    Selepas kejadian tersebut, Shazia mengambil dua hari untuk berkabung sebelum memfailkan kes menentang suaminya.

    Pada 17 September, Nazir ditahan dan akan dihadap ke mahkamah pada 24 September.

  • Sembilan maut depoh kontena runtuh

    Sembilan maut depoh kontena runtuh

    SEKURANG-kurangnya sembilan orang terbunuh dan seramai 28 yang lain cedera pada Selasa apabila sebahagian daripada depoh kontena runtuh di Sao Polo, Brazil.

    Menurut Bomba, kejadian berlaku di bandar Itapecerica da Serra, di depot milik Multiteiner, sebuah syarikat yang menjual dan memajak kontena kepada perniagaan yang mengeksport barangan.

    Kira-kira 64 pekerja berkumpul di depoh itu apabila platform runtuh, menurut jurucakap bomba Luciana Soares, sambil menambah bahawa pekerja penyelamat sedang berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, lapor Xinhua.

    Kejadian berlaku ketika dua calon untuk kerusi timbalan, Jones Donizette dan Ely Santos, melawat kemudahan itu dalam satu kempen menjelang pilihan raya 2 Oktober.

    “Ketika mereka mengucapkan selamat tinggal kepada pekerja, sebahagian daripada struktur konkrit pecah dan mereka terperangkap dalam runtuhan itu,” kata pasukan media calon-calon itu di media sosial.

    — BERNAMA

  • Guru tergamak campur cecair peluntur dalam hidangan murid

    Guru tergamak campur cecair peluntur dalam hidangan murid

    SEORANG guru di Jepun tergamak meletakkan cecair peluntur dalam makanan tengah hari muridnya setelah kecewa ditukarkan kelas.

    Memetik laporan Kyodo News, jurucakap polis di Fujimi berkata, Ayana Hanzawa mengaku melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan di Sekolah Rendah Mizutani-Higashi Khamis lalu.

    Menurutnya, tindakan suspek terbongkar apabila beberapa murid menyedari bau pelik yang datang daripada hidangan kari mereka sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada guru lain.

    Bagaimanapun katanya, tiada murid yang menjamah kari tersebut dan ia telah dihantar ke makmal untuk analisis.

    “Keputusan makmal kemudiannya mendapati hidangan itu mengandungi peluntur klorin,” kata polis.

    Difahamkan, Hanzawa mengajar di sekolah itu sejak 2020 dan kecewa apabila diarah menjadi guru kelas lain pada April lalu biar pun sebelum ini dia berkeras mahu kekal dengan kelas lamanya.

    Menurut pegawai sekolah yang enggan namanya disiarkan, kari yang dicemari cecair peluntur itu akan dihidangkan kepada murid di kelas baharu guru wanita berusia 24 tahun tersebut.

    Sementara itu, siasatan polis mendapati Hanzawa membeli peluntur di farmasi berhampiran.

    Suspek kemudiannya disiasat atas dakwaan berbuat khianat terhadap perniagaan.

  • Tiga maut, dua pesawat kecil bertembung di udara

    Tiga maut, dua pesawat kecil bertembung di udara

    TIGA orang terbunuh apabila dua pesawat kecil bertembung di udara pada Sabtu di negeri Colorado Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.

    Menurut Pejabat Syerif daerah Boulder, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 8.54 pagi waktu tempatan (1454 GMT).

    Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS dalam hantaran Twitter mengesahkan ia sedang menyiasat pelanggaran di udara antara pesawat Cessna 172 dan pesawat Sonex Xenos berhampiran Longmont, Colorado, lapor Xinhua.

    Pasukan bantuan menemukan dua lokasi kemalangan yang berasingan, kata Pejabat Syerif dalam satu kenyataan berita.

    “Pesawat pertama yang terhempas ditemukan di blok 10,000 Niwot Rd di sebelah selatan. Dua orang yang berada di dalam pesawat itu terbunuh di tempat kejadian,” kata pejabat sheriff.

    “Pesawat kedua ditemukan di blok 9,700 Niwot Rd di sebelah utara,” dan seorang penumpang di dalamnya juga maut sebelum pasukan bantuan tiba di tempat kejadian, kata pejabat sheriff.

    Pegawai berkata punca nahas masih dalam siasatan.- BERNAMA

  • Polis Thailand edar gambar wanita mangsa culik

    Polis Thailand edar gambar wanita mangsa culik

    POLIS Thailand telah mengedarkan gambar mangsa kes culik di Tumpat, dekat sini, ke 19 buah balai polis di Wilayah Narathiwat bagi membantu mengesan wanita itu. 

    Ketua Polis Wilayah Narathiwat Jeneral Wan Seman Wan Salleh berkata gambar seorang suspek lelaki turut diedarkan dan usaha berkenaan dijalankan bagi membantu polis Kelantan yang mengesyaki mangsa diculik dan dilarikan ke Thailand.

    “Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan wanita yang juga ejen kosmetik berusia 36 tahun yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 September lalu.

    “Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terlibat menculik wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    — LAGI

    POLIS-CULIK (NARATHIWAT) 2 (AKHIR) KOTA BHARU

    Wan Seman berkata operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.

    Beliau berkata beberapa siri serbuan telah dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa. 

    “Polis Thailand juga telah memaklumkan mengenai kes tersebut di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipat gandakan usaha.

    “Operasi ini juga melibatkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan,” katanya dan menambah gambar mangsa dan suspek turut diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.

    Dalam kejadian 13 September lepas, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ejen kosmetik diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat kira-kira pukul 5.10 petang.

    Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.- BERNAMA

  • Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

    Rogol remaja, gantung mayat mangsa di pokok

    SERAMAI enam lelaki ditahan polis India kelmarin kerana dituduh melakukan jenayah rogol beramai-ramai dan membunuh dua beradik perempuan yang mayatnya ditemukan tergantung pada pokok di luar kampung mereka, sehingga mencetuskan protes.

    Mangsa berusia 15 dan 17 tahun itu adalah daripada komuniti Dalit, etnik terendah dalam sistem kasta Hindu, yang kerap mengalami tahap keganasan seksual di negara mempunyai kadar jenayah terhadap wanita itu.

    Ketua polis tempatan, Sanjiv Suman berkata, semalam, suspek memikat mangsa ke padang di mana mereka menyerang mereka secara seksual dan kemudian membunuh gadis berkenaan dengan selendang mangsa.

    Berpuluh-puluh penduduk tempatan termasuk keluarga remaja terbabit mengadakan protes jalanan berhampiran kampung mereka di negeri utara Uttar Pradesh, bagi menuntut hukuman terhadap tertuduh.

    Seorang suspek utama, yang adalah jiran remaja perempuan itu sudah pun ditahan selepas pertempuran dengan polis yang menyebabkan dia ditembak di kaki, menurut Harian Metro yang memetik laporan AFP.

    Laporan bedah siasat mengesahkan serangan seksual dan sesak nafas sebagai punca kematian, kata Sanjiv.

    Hampir 32,000 kes rogol dilaporkan di India pada 2021, menurut angka kerajaan, tetapi lebih banyak lagi dianggap tidak dilaporkan.

    Tahun lalu, pihak berkuasa Uttar Pradesh segera melakukan bedah siasat ke atas mangsa rogol Dalit yang dibunuh oleh seorang lelaki Hindu turut menyebabkan kemarahan yang meluas.

    Insiden terbaharu, mengimbau kepada kes rogol dan pembunuhan dua sepupu berusia 14 dan 15 tahun daripada komuniti Dalit pada 2014 di negeri sama, yang mencetuskan kekecohan.

    Gadis-gadis itu ditemukan tergantung pada pokok mangga dan polis pada mulanya menuduh lelaki kasta atas tempatan melakukan serangan seksual dan membunuh mereka tetapi siasatan polis tidak berjalan dengan lancar dan tiada siapa yang disabitkan kesalahan.

  • Mayat dua anak ditemukan dalam beg, wanita Korea Selatan ditahan

    Mayat dua anak ditemukan dalam beg, wanita Korea Selatan ditahan

    SEORANG wanita Korea Selatan ditahan atas tuduhan membunuh dua kanak-kanak yang dijumpai dalam bagasi di New Zealand.

    Pada bulan lepas, sebuah keluarga di Auckland menjumpai dua mayat di dalam dua buah beg yang mereka beli secara lelong di atas talian.

    Dua mayat tersebut dikenal pasti sebagai kanak-kanak dalam lingkungan umur 5-10 tahun dan dijangka mati sejak beberapa tahun lalu.

    Pihak polis berkata suspek merupakan warganegara Korea Selatan tetapi berpindah ke New Zealand.

    ‘’Suspek disyaki ibu kepada kedua-dua mangsa tersebut selepas alamatnya didaftar kepada unit storan yang menyimpan dua bagasi tersebut,’’ kata jurucakap polis.

    Siasatan masih dijalankan dan dan suspek di dalam proses ekstradisi ke New Zealand selepas disoal siasat polis tempatan.

  • [VIDEO]Ustazah meninggal dunia ketika baca al-Quran

    [VIDEO]Ustazah meninggal dunia ketika baca al-Quran

    TIADA siapa tahu pengakhiran hidup kita. Namun pemergian seorang guru mengaji ketika sedang membaca al-Quran juga satu daripada kematian dicemburui apatah lagi ketika melakukan ibadah dan amal soleh.

    Itu yang berlaku kepada Ustazah Taslimah dari daerah Tebet, Jakarta Selatan Indonesia.

    Menerusi video yang tular, seorang wanita tiba-tiba rebah ketika sedang membacakan ayat suci al-Quran.

    Okezone dalam laporannya menyatakan, hasil semakan mendapati, wanita tersebut adalah Taslimah yang rutin menjadi guru mengaji di Masjid Al Barokah As Syafi’iyah Tebet, Jakarta Selatan setiap pagi Khamis.

    Difahamkan Taslimah sedang menjayakan Majlis Taklim As-Syafiyah Ummahat, pada pagi semalam.

    Berdasarkan video yang dimuatnaik Assalam TV, Ustazah Taslimah dirakam sedang membacakan ayat suci al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 5-6 di hadapan peserta majlis taklim menggunakan mikrofon.

    Namun selang beberapa minit, wanita itu terjatuh dan kelihatan beberapa orang berusaha untuk menolong guru tersebut

    “Astaghfirullah.., Astaghfirullah,”  suara jemaah yang dapat didengar dalam video di akaun Youtube tersebut.

    Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan, Pengerusi Masjid Al Barkah As Syafiiyah, Alwy Rasyid mengesahkan kejadian tersebut.

    “Allahyarham meninggal tadi pagi pukul 7.30 (waktu tempatan). Beliau tengah bertugas membaca khatam al-Quran dan tahlil. 

    “Saat baca khatam al-Quran kan baca satu ayat al-Quran, di situ suaranya mulai melemah tapi terus mencoba,” kata Alwy kepada CNNIndonesia.com.

    Alwy memberitahu, Taslimah merupakan salah satu ustazah yang kerap bertugas memimpin doa dan pengajian di masjid tersebut.

    Sebelum meninggal, Alwy mengatakan keadaan badan Taslimah terlihat baik-baik saja. 

    Taslimah, tambahnya sudah datang ke Masjid As Syafiiyah sebelum pukul 6.00 pagi lagi.

    Allahyarham juga sempat berziarah ke makam orang tua Alwy yang berada di sekitar masjid sebelum majlis itu.

    “Jemaah pada awalnya menyangka beliau pengsan, lalu ikhtiar bawa ke hospital namun dimaklumkan sudah meninggal,” katanya.

  • Tanam duit RM36j, elak bayar cukai

    Tanam duit RM36j, elak bayar cukai


    SEPASANG suami isteri di Rom mengaku mengelak membayar cukai selepas wang tunai berjumlah lapan juta euro (kira-kira RM36.17 juta) dijumpai ditanam di tanah persendirian milik mereka di Franciacorta.

    Pasangan terbabit membuat pengakuan berkenaan menerusi peguam mereka ketika perbicaraan di hadapan Hakim pada Rabu.

    Menurut Agensi Berita Itali (ANSA), pasangan itu ditahan dan dibawa ke penjara selepas syarikat mereka disyaki mengeluarkan invois palsu sebanyak 500 juta euro dan mengelak membayar cukai sebanyak 93 juta euro.

  • Twitter akan guna mahkamah desak Elon Musk muktamadkan pembelian

    Twitter akan guna mahkamah desak Elon Musk muktamadkan pembelian

    PEMEGANG saham syarikat gergasi media sosial, Twitter meluluskan perjanjian dengan Elon Musk dalam pembelian platform itu pada harga AS$44 bilion.

    Keputusan itu diumumkan sewaktu persidangan menerusi panggilan telefon yang ringkas dengan pelabur dari ibu pejabat Twitter di San Francisco.

    Ini bermakna, Twitter akan mendesak Elon Musk untuk memuktamadkan pembelian platform itu dengan menggunakan mahkamah, alpor Astro AWANI.

     Pada April, Twitter bersetuju untuk menjual syarikat itu kepada Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc.

    Bagaimanapun, perjanjian itu tidak diteruskan kerana Twitter didakwa gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun ‘spam’ atau ‘bot’ merangkumi lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.

    Musk kemudian enggan untuk meneruskan pembelian syarikat itu pada Julai, namun Twitter menegaskan bahawa Musk tidak boleh berundur daripada perjanjian itu.

    Kedua-duanya akan bertemu di Mahkamah Delaware pada Oktober dan semasa perbicaraan, hakim akan memutuskan sama ada Musk perlu membeli syarikat itu atau sebaliknya.

    Untuk rekod, Twitter kini bernilai AS$32 bilion, jauh di bawah tawaran AS$44 bilion daripada Musk.